Tafsir Surah Muhammad Ayat 16 – 19 (Adakah Nabi berdosa?)

Ayat 16: Ini adalah Zajrun tentang munafik. Atau, tentang orang mukmin tapi yang lemah iman mereka. Oleh itu, kita kena periksa diri kita dan kalau kita ada sifat-sifat ini, maka diam-diam kita buanglah.

Orang munafik itu duduk dengan orang mukmin tapi akidah mereka berlainan. Maka natijah untuk mereka juga berlainan. Memang tidak akan sama, sebagai contoh, Firaun masuk neraka tapi isterinya masuk syurga. Begitu juga antara Nabi Nuh dan anaknya. Jadi kalau dalam dunia duduk bersama, tidak pasti di akhirat nanti akan duduk bersama. Maka Allah beri teguran kepada munafikin yang duduk dengan Nabi. Mereka itu kenalah belajar dan faham agama. Maka ayat ini juga ditujukan kepada orang-orang Islam sekarang yang tidak mengenal agama dengan sebenarnya.

وَمِنهُم مَن يَستَمِعُ إِلَيكَ حَتّىٰ إِذا خَرَجوا مِن عِندِكَ قالوا لِلَّذينَ أوتُوا العِلمَ ماذا قالَ آنِفًا ۚ أُولٰئِكَ الَّذينَ طَبَعَ اللهُ عَلىٰ قُلوبِهِم وَاتَّبَعوا أَهواءَهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And among them, [O Muḥammad], are those who listen to you, until when they depart from you, they say to those who were given knowledge,¹ “What has he said just now?” Those are the ones of whom Allāh has sealed over their hearts and who have followed their [own] desires.

•From among the Prophet’s companions.

(MELAYU)

Dan di antara mereka ada orang yang mendengarkan perkataanmu sehingga apabila mereka keluar dari sisimu, mereka berkata kepada orang yang telah diberi ilmu pengetahuan (sahabat-sahabat Nabi): “Apakah yang dikatakannya tadi?” Mereka itulah orang-orang yang dikunci mati hati mereka oleh Allah dan mengikuti hawa nafsu mereka.

seterusnya,

وَمِنهُم مَن يَستَمِعُ إِلَيكَ

Dan di antara mereka ada orang yang mendengarkan perkataanmu

Allah memberitahu ada dari kalangan yang datang dengar kepada pengajian dari Rasulullah itu adalah golongan munafik. Pada zahirnya nampak seperti mereka dengar dan memberi tumpuan kepada apa yang dikatakan oleh Rasulullah. Mereka itu sanggup duduk dalam majlis Nabi dan dengar dengan penuh perhatian kerana Allah pakai kalimah يَستَمِع dan bukan يَسمِع sahaja. Maknanya, mereka itu lebih baik sikit dari golongan munafik yang memang tidak datang dengar kepada kata-kata Nabi pun atau datang tapi tidak mendengar dengan teliti.

seterusnya,

حَتّىٰ إِذا خَرَجوا مِن عِندِكَ

sehingga apabila mereka keluar dari sisimu

Mereka itu nampak beri perhatian, sehinggalah mereka keluar dari majlis Nabi itu. Apa yang mereka kata setelah mereka keluar?

seterusnya,

قالوا لِلَّذينَ أوتُوا العِلمَ ماذا قالَ آنِفًا

mereka berkata kepada orang yang telah diberi ilmu pengetahuan (sahabat-sahabat Nabi): “Apakah yang dikatakannya tadi?”

Selepas mereka keluar dari majlis Rasulullah, mereka pegi jumpa para sahabat yang rapat dengan Nabi. Mereka itu adalah para sahabat yang diberi kefahaman ilmu wahyu. Ini adalah sifat sahabat kerana mereka itu diberikan dengan ilmu. Ilmu adalah lambang sahabat nabi. Kerana kalau jenis yang munafik, Allah sebut mereka datang ke majlis nabi sahaja (tapi tidak tidak dapat ilmu).

Golongan yang munafik itu bertanya kepada golongan mukmin itu, apa yang dikatakan oleh Nabi. Maksudnya mereka itu hanya mendengar dan tunjuk baik semasa di dalam majlis sahaja. Mereka itu nampak macam dengar baik-baik, tapi sebenarnya apa yang disampaikan oleh Rasulullah itu tidak masuk dalam hati.

Mereka tanya kepada sahabat yang mukmin itu, seolah-olah mereka macam tidak percaya dengan apa yang dikatakan oleh Nabi. Mereka tanya begitu kerana mereka nak cari orang yang sama fahaman dengan mereka. Mereka sebenarnya buat-buat tanya sahaja. Mereka nak tanya: benarkah Nabi ajak kita berperang? Mereka tidak tanya Nabi pun semasa dalam majlis Nabi, tapi tanya orang lain kerana mereka nak buat kecoh sahaja. Mereka nak timbulkan suasana tidak percaya kepada baginda sedangkan waktu ini adalah waktu hampir untuk berperang dah. Ini bahaya kalau ada yang rasa tidak tulus ikhlas kerana kalau nak masuk perang, tidak boleh ada sifat begitu.

Atau ayat ini hendak menceritakan keadaan mereka yang sebenarnya – mereka tidak beri tumpuan pun semasa di dalam majlis Nabi tadi kerana pada mereka apa yang dikatakan oleh Nabi itu tidak penting mana. Mereka nak dengar tentang dunia sedangkan wahyu banyak sebut tentang akhirat. Ini adalah kerana para munafik itu sifatnya hendakkan keduniaan sahaja. Kalau tentang akhirat, mereka tak beri perhatian pun. Mereka duduk dengan orang Islam yang lain pun kerana mereka nak mereka nampak seperti orang Islam macam mereka orang yang mukmin juga.

seterusnya,

أُولٰئِكَ الَّذينَ طَبَعَ اللهُ عَلىٰ قُلوبِهِم

Mereka itulah orang-orang yang dikunci mati hati mereka oleh Allah

Ayat khatmul qalbi (penutupan hati). Allah beritahu yang mereka itu telah ditutup hati mereka. Walaupun mereka duduk dalam majlis Nabi tapi mereka masih tetap tidak faham, maka itu bermaksud hati mereka itu telah ditutup oleh Allah dari memahami. Ini terjadi kepada mereka telah menjadi kafir ‘peringkat keempat’. Iaitu mereka berterusan menolak ajaran wahyu yang disampaikan oleh Nabi, sampai lama kelamaan hati mereka telah ditutup. Ini tidak terus berlaku dari awal tapi setelah lama mereka menentang. Maksudnya, lama peluang yang Allah telah berikan tapi mereka yang tidak ambil peluang itu.

Sebagai contoh, semua sudah tahu kita bapa saudara Nabi Muhammad, Abu Talib. Beliau melebihkan kaum dia dari wahyu Allah yang disampaikan oleh Nabi Muhammad. Dia tidak beriman dan menyatakan keimanannya sedangkan dia tolong anak saudaranya itu dari mula lagi sampai ke akhir hayatnya. Tapi kita kena faham yang dia tolong itu kerana Nabi Muhammad SAW itu adalah anak saudaranya, bukan dia tolong kerana Nabi Muhammad itu Rasulullah. Kalaulah dia tolong atas dasar Muhammad itu Rasulullah, ulama kata dia pasti akan dapat hidayah. Oleh itu, orang seperti Abu Talib itu tidak mengambil peluang untuk beriman semasa dia ada peluang itu. Maka dia telah kerugian yang amat sangat.

seterusnya,

وَاتَّبَعوا أَهواءَهُم

dan mengikuti hawa nafsu mereka.

allah beritahu yang mereka itu sebenarnya ikut nafsu mereka sahaja. Ini selalunya dikatakan tentang sifat orang kafir sedangkan ayat ini berkenaan orang munafik pada zaman Rasulullah. Maknanya, orang munafik itu sama sahaja dengan orang kafir. Mereka itu musuh dalaman. Kerana itu mereka lebih teruk kerana kalau musuh luaran, senang nak nampak. Tapi pada luarannya mereka nampak seperti orang Islam tapi dalam hati mereka sebenarnya kufur, mereka itu adalah musuh dalaman, gunting dalam lipatan. Mereka amat bahaya kerana mereka boleh merosakan umat Islam dari dalaman. Perangai mereka mungkin mempengaruhi orang-orang yang lemah iman mereka, maka mereka itu amat bahaya.

seterusnya,


Ayat 17: Kalau ayat sebelum ini tentang golongan munafik, ayat ini pula tentang orang mukmin. Maka kita kena pandai bezakan dan pilih mana satu jalan yang kita nak ikut. Orang mukmin itu, semakin lama dan semakin banyak mereka mengaji agama, semakin banyak mereka dapat ilmu. Maknanya, manusia bukannya terus pandai. Mereka kena meluangkan masa dan tenaga untuk terus belajar dan belajar.

وَالَّذينَ اهتَدَوا زادَهُم هُدًى وَآتاهُم تَقواهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who are guided – He increases them in guidance and gives them their righteousness.¹

Taqwā, meaning piety, consciousness and fear of Allāh, and care to avoid His displeasure.

(MELAYU)

Dan orang-orang yang menerima petunjuk, Allah menambah petunjuk kepada mereka dan memberikan balasan ketakwaannya.

seterusnya,

وَالَّذينَ اهتَدَوا زادَهُم هُدًى

Dan orang-orang yang menerima petunjuk, Allah menambah petunjuk kepada mereka

Ini adalah mereka yang telah ikut hidayah dan tidak ikut ajakan munafik itu. Iaitu mereka yang sebelum masuk ke dalam majlis Nabi pun mereka telah ada keinginan di dalam hati mereka untuk mendapatkan kebenaran. Mereka datang itu kerana mereka hendak belajar, bukannya hendak mempersoalkan. Ini adalah kerana mereka itu telah ada inabah di dalam hati mereka.

Jadi apabila mereka yang sebegitu dapat duduk di dalam majlis Nabi maka mereka akan diberikan dengan hidayah tambahan di atas hidayah yang telah ada. Mereka itu memang sudah dapat hidayah dan semakin bertambah dan bertambah hidayah yang Allah akan berikan.

Begitulah kalau orang yang belajar agama, belajar tafsir Qur’an kerana mereka telah dapat hidayah untuk belajar wahyu Allah. Apabila mereka duduk dalam kelas pengajian, mereka akan mendapat ilmu tambahan. Mereka jadi semakin faham. Mungkin pada awalnya mereka susah nak faham kerana baru belajar, tapi kerana mereka memang ada keinginan untuk tahu, maka Allah akan berikan hidayah itu kepada mereka.

seterusnya,

وَآتاهُم تَقواهُم

dan memberikan balasan ketakwaannya.

Dan Allah akan tambah taqwa mereka. Maknanya mereka sudah ada taqwa. Dan kerana usaha mereka, maka akan ditambah lagi oleh Allah. Ini bermaksud ada potensi taqwa yang telah ada dalam diri manusia itu.

Mereka ini adalah jenis yang tidak hiraukan apa yang dikatakan oleh munafikin itu. Kalau zaman sekarang, akan ada sahaja orang yang hendak menjatuhkan agama. Mereka beri hujah-hujah yang tidak berasaskan wahyu. Kalau tidak ada kekuatan diri dan ilmu sedikit sebanyak, mungkin akan termakan dengan isu-isu yang ditimbulkan oleh golongan yang bukan sunnah ini. Tapi kalau hati telah bulat mahu kepada kebenaran, mahu kepada taqwa, maka Allah akan bantu.

seterusnya,


Ayat 18: Takhwif duniawi. Kepada mereka yang masih tidak mahu beriman sepenuhnya itu, Allah tanya kepada mereka: nak tunggu sampai bila? Mereka itu akan tunggu dan tunggu sampai mereka mati dan waktu itu mereka akan terlambat dah. Maka ingatlah yang benda baik dalam agama ini jangan ditunggu, jangan tangguh-tangguh lagi. Jangan nak terus tengok-tengok sahaja. Allah sentiasa suruh kita bersegera dalam perkara kebaikan. Syaitan memang akan membisikkan kepada kita untuk melengah-lengahkan perkara yang baik – ini dinamakan taswif.

فَهَل يَنظُرونَ إِلَّا السّاعَةَ أَن تَأتِيَهُم بَغتَةً ۖ فَقَد جاءَ أَشراطُها ۚ فَأَنّىٰ لَهُم إِذا جاءَتهُم ذِكراهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then do they await except that the Hour should come upon them unexpectedly? But already there have come [some of] its indications. Then how [i.e., what good] to them, when it has come, will be their remembrance?

(MELAYU)

Maka tidaklah yang mereka tunggu-tunggu melainkan hari kiamat (iaitu) kedatangannya kepada mereka dengan tiba-tiba, kerana sesungguhnya telah datang tanda-tandanya. Maka apakah faedahnya bagi mereka kesedaran mereka itu apabila Kiamat sudah datang?

seterusnya,

فَهَل يَنظُرونَ إِلَّا السّاعَةَ أَن تَأتِيَهُم بَغتَةً

Maka tidaklah yang mereka tunggu-tunggu melainkan hari kiamat (iaitu) kedatangannya kepada mereka dengan tiba-tiba,

Mereka itu nak tunggu lagikah? Mereka nak tunggu sampai mereka kena azabkah?

السّاعَةَ yang disebut itu boleh bermaksud ‘Kiamat Besar’ ataupun ‘kiamat kecil’ yang bermaksud ‘mati’. Kedua-duanya akan datang secara mengejut. Mungkin kita semua tidak berjumpa dengan Kiamat Besar itu tapi kita pasti akan bertemu dengan kiamat kecil juga. Dan memang mati itu akan datang secara mengejut dan mereka tidak akan dapat buat persiapan. Orang mukmin pun akan mati mengejut juga kerana orang mukmin pun tidak tahu bilakah dia akan mati. Tapi mati mengejut tidak menjadi bahaya bagi orang mukmin kerana orang mukmin sudah bersedia, tapi amat bahaya kepada orang fasik.

seterusnya,

فَقَد جاءَ أَشراطُها

sesungguhnya telah datang tanda-tandanya.

Kalau bercakap tentang Kiamat Besar, mereka kena sedar yang tanda kiamat dah ada dah. Salah satu dari tanda Kiamat adalah Nabi Muhammad SAW sendiri. Kerana apabila Nabi Muhammad telah diangkat sebagai Nabi akhir zaman, itu bermaksud selepas baginda tidak ada lagi Nabi lain lagi dan yang ada selepas itu adalah Kiamat.

سُلَيْمَانَ، حَدَّثَنَا أَبُو حَازِمٍ، حَدَّثَنَا سَهْلُ بْنُ سَعْدٍ قَالَ: رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ بِأُصْبُعَيْهِ هَكَذَا، بِالْوُسْطَى وَالَّتِي تَلِيهَا: “بُعِثْتُ أَنَا وَالسَّاعَةُ كَهَاتَيْنِ”

Imam Bukhari mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ahmad ibnul Miqdam, telah menceritakan kepada kami Fudail ibnu Sulaiman, telah menceritakan kepada kami Abu Raja, telah menceritakan kepada kami Sahl ibnu Sa’d r.a. yang mengatakan bahwa ia pernah menyaksikan Rasulullah Saw. berisyarat dengan kedua jarinya, iaitu jari tengah dan jari yang mengiringinya seraya bersabda: Aku diutus sedang (jarak antara) aku dan hari kiamat sama seperti kedua jari ini.

Dan ada banyak lagi tanda-tanda Kiamat yang telah pun berlaku dan akan berlaku.

seterusnya,

فَأَنّىٰ لَهُم إِذا جاءَتهُم ذِكراهُم

Maka apakah faedahnya bagi mereka kesedaran mereka itu apabila Kiamat sudah datang?

Kalau telah datang Kiamat itu, bagaimana lagi mereka akan dapat peringatan? Kalau dengan Qur’an ini pun mereka tidak boleh berubah, dan kedatangan Rasululah sendiri pun mereka tidak mahu ambil peluang nak berubah, apa lagi yang akan beri mereka berubah?

Dan kalau dah datang Kiamat itu baru nak berubah, baru nak beriman, ia tidak bermakna lagi dah. Iman waktu itu tidak bernilai dan tidak laku – ia tidak akan diterima.

seterusnya,


Ayat 19: Dan sekarang akan diberitahu maksud jihad.

فَاعلَم أَنَّهُ لا إِلٰهَ إِلَّا اللهُ وَاستَغفِر لِذَنبِكَ وَلِلمُؤمِنينَ وَالمُؤمِناتِ ۗ وَاللهُ يَعلَمُ مُتَقَلَّبَكُم وَمَثواكُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So know, [O Muḥammad], that there is no deity except Allāh and ask forgiveness for your sin¹ and for the believing men and believing women. And Allāh knows of your movement and your resting place.

•See footnote to 40:55.

(MELAYU)

Maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya tidak ada Ilah (sesembahan, tuhan) selain Allah dan mohonlah ampunan bagi dosamu dan bagi (dosa) orang-orang mukmin, laki-laki dan perempuan. Dan Allah mengetahui tempat kamu bergerak dan tempat kamu tinggal.

seterusnya,

فَاعلَم أَنَّهُ لا إِلٰهَ إِلَّا اللهُ

Maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya tidak ada Ilah (sesembahan, tuhan) selain Allah

Orang mukmin kena yakin yang tiada ilah selain Allah. Tempat pergantungan kita hanyalah Allah sahaja. Hanya Allah sahaja yang dapat bantu kita untuk memberi apa yang kita kehendaki dan apa yang kita minta jauhkan dari kita.

Sebelum ini telah disebut tentang orang munafik. Maka dalam ayat ini, orang munafik diingatkan kembali dengan syahadah. Mereka kena belajar apakah maksud syahadah itu sampai mereka boleh terima. Dan bila mereka terima, mereka kena sebut syahadah balik.

Ini penting kerana teras untuk terlibat di dalam jihad melawan musuh Islam kenalah ada iman yang tegap.  Dan tujuan melakukan jihad adalah kerana hendak menegakkan tauhid. Bagaimana kita nak ajak orang kepada tauhid, tapi diri kita sendiri tidak kemas dalam bab tauhid? Tentu ini tidak patut.

Memang seorang muslim kena faham maksud syahadah. Tapi adakah orang kita faham maksud syahadah itu? Kalau faham, kenapa ramai yang buat perkara yang berlawanan dengan syahadah? Adakah mereka pandai sebut sahaja, tapi mereka tidak tahu apakah yang mereka perlu lakukan untuk mengamalkan syahadah itu?

seterusnya,

وَاستَغفِر لِذَنبِكَ

dan mohonlah ampunan bagi dzanbimu

Dalam ayat ini, Nabi disuruh istighfar walaupun sebenarnya baginda tiada dosa kerana seorang Nabi itu bersifat maksum (tidak melakukan dosa). Maka arahan untuk istighfar ini bagi baginda adalah soori (sebagai contoh yang baik) sahaja. Tapi ianya mutlak untuk kita. Maka kita memang kena beristighfar kerana kita memang banyak dosa.

Maka kenalah selalu minta ampun kepada Allah untuk menghapuskan segala dosa. Dalam ayat ini, Allah hendak mengajak hambaNya meminta ampun walaupun dia itu seorang yang baik. Bayangkan, kalau Nabi Muhammad SAW pun disuruh untuk minta ampun, apatah lagi kita ini?

Kembali kepada perbincangan Allah suruh Nabi minta ampun. Hal ini kena dibincangkan kerana takut nanti ada yang salah faham pula. Takut ada yang berhujah dengan ayat ini untuk mengatakan Nabi berdosa pula sedangkan Nabi tidak berdosa. Jadi kena berhati-hati dalam memahami kalimah ذنب dalam ayat sebegini. Kita kena faham bahawa para Nabi itu maksum dan mereka tidak berdosa. Ini adalah faham ahli sunnah wal jamaah. Dan kerana itu kalau kita lihat, bila disebut ذنب Rasulullah, ia bukanlah dosa seperti yang dilakukan oleh kita tapi sebenarnya ذنب dalam ayat ada kaitan dengan strategi perang sahaja.

Kita kena sedar dan tahu bahawa baginda Rasulullah SAW adalah manusia paling bijak. Sudahlah bijak, baginda diberikan dengan wahyu pula sebagai panduan untuk baginda. Tapi tidaklah semua keputusan baginda diambil dari wahyu. Kerana ada masanya baginda gunakan intelek baginda yang hebat itu. Ini tidaklah salah kerana memang baginda bijak pun. Memang Allah jadikan baginda seorang yang bijak maka tidak salah kalau baginda menggunakan otaknya untuk memberi rancangan dalam bentuk strategi. Kadang-kadang Allah sengaja tidak beri wahyu tentang apa yang baginda lakukan. Allah biarkan baginda guna intelek baginda. Kita kena percaya yang apa sahaja keputusan yang baginda buat, itu adalah keputusan terbaik yang boleh diambil oleh seorang manusia. Oleh itu apabila baginda ambil pandangan Abu Bakr, itu adalah keputusan terbaik yang boleh dilakukan oleh seorang manusia. Dan kalau ada pilihan yang lebih baik itu, itu adalah keputusan Allah sahaja. Ini adalah kerana Allah sahaja yang tahu segala perkara.

Kalimah ذنب juga digunakan untuk ekor binatang. Perbuatan ذنب itu sendiri tidak buruk tapi ia berkait dengan kesan yang tidak baik. Kerana kalau memang perbuatan yang sendiri memamg dah buruk, kalimah sayyi’ah yang digunakan. Tapi dalam ayat ini kalimah ذنب yang digunakan, bukan sayyi’ah. Oleh itu, perbuatan ذنب boleh jadi baik atau buruk, tapi kesannya buruk. Tapi bukan dari asalnya sesuatu yang buruk.

Maka dalam buat keputusan berkenaan tawanan Perang Badr, baginda telah buat keputusan yang dicadangkan oleh Abu Bakr. Dan yang tahu kesannya tidak baik adalah Allah sahaja, Nabi sendiri tidak tahu kerana Nabi Muhammad tidak tahu masa hadapan. Kerana itu, kalimah ذنب digunakan dalam ayat ini.

Satu lagi kesan kepada ذنب adalah malu kerana ekor itu memalukan, bukan? Oleh itu, walaupun baginda tidak melakukan kesalahan pun, tapi baginda masih lagi malu kepada Allah kerana baginda letakkan carta yang tinggi untuk diri baginda. Dan kerana itu Allah suruh baginda istighfar. Dan kena ingat yang ayam dalam surah ini diturunkan sebelum kejadian itu sendiri. Jadi kenapa Nabi disuruh istighfar sekarang? Kerana Allah hendak memberitahu yang apa sahaja yang baginda rasa baginda tidak tepat keputusannya nanti, baginda disuruh untuk istighfar sahaja nanti.

Dan lihatlah apabila digunakan kepada Nabi, digunakan kalimah ذنب dalam bentuk mufrad (singular) sahaja, kerana seolah nak cakap, kalau ada pun kesilapan baginda, ada satu sahaja, memang tidak banyak.

Apabila Allah menggunakan kalimah ذنب terhadap Nabi, Allah sahaja yang boleh gunakan, kita tidak boleh.

Kita bincangkan dengan panjang kerana ianya penting untuk dijelaskan. Kerana kalau baca terjemahan sahaja, ia akan terjemahkan sebagai ‘dosa’ juga, maka takut kita rasa Nabi ada buat dosa pula. Dan fahaman itu adalah fahaman yang salah kerana Nabi tidak berdosa. Kita kena jelaskan dengan panjang kerana dalam terjemahan tidak dapat nak sampaikan maklumat ini.

seterusnya,

وَلِلمُؤمِنينَ وَالمُؤمِناتِ

dan bagi (dosa) orang-orang mukmin, laki-laki dan perempuan.

Dan kemudian baginda disuruh untuk meminta ampun bagi pihak mukminin dan mukminaat. Ini mengajar kita supaya ada sifat kasihan dan belas kepada orang lain, iaitu tidak hanya memikirkan diri sendiri sahaja tetapi memikirkan juga hal orang lain. Oleh kerana itu baginda mengajar doa: Allahummaghfirli wa lil mukminin wal mukminaat. Maka kita kenalah selalu baca dan amalkan doa begini.

Kita lihat dalam ayat ini disebut golongan mukminaat. Kebiasannya, selalu wanita tidak disebut dalam hal perang, tapi Allah selalu sebut wanita apabila menyebut tentang peperangan, kerana nak beritahu yang bila perang, wanita pun terlibat juga. Jangan kita sangka mereka tidak terlibat langsung. Ini adalah walaupun mereka tinggal di rumah tidak menyertai peperangan, tapi mereka telah melepaskan orang lelaki dari kalangan suami mereka, bapa atau anak mereka untuk berperang. Mereka pun takut juga dengan melepaskan ahli keluarga mereka yang dicintai itu. Memang kaum lelaki berperang fizikal tapi mereka berperang dengan hati mereka. Kita kena sedar yang mereka pun terseksa. Fikirkan kalau kaum lelaki itu mati dalam peperangan sedangkan mereka itu semua pencari rezeki bagi wanita-wanita itu. Mereka pun ada kemungkinan akan hilang punca pendapatan dan tempat berharap. Tapi kerana mereka yakin dengan janji Allah, kaum wanita itu benarkan juga.

Lagi satu, kalau kita kembali kepada perbincangan ذنب di atas tadi, baginda adalah kepala yang bertanggungjawap dalam peperangan, kerana kalau dalam peperangan, siapakah yang bertanggungjawab? Adakah tentera atau panglima? Tentulah panglima yang kena bertanggungjawab. Kerana itu selepas disebut tentang ذنب, disebut istighfar untuk mukminin dan mukminat kalau mereka ada salah. Kerana baginda sebagai panglima perang yang kena bertanggjawab – baginda yang ditanya dahulu, sepertimana panglima akan ditanya dahulu oleh Raja kalau ada kekalahan dalam perang. Jadi Nabi disuruh untuk minta ampun bagi pihak mereka juga. Inilah cara Allah mengajar tentang kepemimpinan. Kerana apabila kita jadi ketua, kita kena sedar yang kita yang kena bertanggungjawab. Oleh kerana itu kalau orang bawahan kita yang buat salah, kita yang kena tanggung.

seterusnya,

وَاللهُ يَعلَمُ مُتَقَلَّبَكُم وَمَثواكُم

Dan Allah mengetahui tempat kamu bergerak dan tempat kamu tinggal.

Allah tahu tempat tinggal kita. Allah tahu apa yang kita kena lalui dalam menjalani kehidupan kita. Disebut tentang tempat kita bergerak kerana Allah tahu yang kita sentiasa berubah dari masa ke semasa. Dan akhir sekali baru akan duduk tempat tetap. Ini hendak memberitahu kita yang Allah tahu segalanya tentang kita.

Semakna dengan apa yang disebutkan oleh firman-Nya:

{وَهُوَ الَّذِي يَتَوَفَّاكُمْ بِاللَّيْلِ وَيَعْلَمُ مَا جَرَحْتُمْ بِالنَّهَارِ}

Dan Dialah yang menidurkan kamu di malam hari dan Dia mengetahui apa yang kamu kerjakan pada siang hari. (Al-An’am: 60)

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 047: Muhammad. Bookmark the permalink.

One Response to Tafsir Surah Muhammad Ayat 16 – 19 (Adakah Nabi berdosa?)

  1. Pingback: Tafsir Surah Muhammad Ayat 16 – 19 (Adakah Nabi berdosa?)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s