Tafsir Surah Muhammad Ayat 12 – 15 (Jenis-jenis sungai syurga)

Ayat 12: Tabshir Ukhrawi. Apabila melibatkan peperangan, menyabung nyawa, maka memang ada yang takut mati. Kerana manusia memang sayangkan nyawa mereka. Maka kalau ada perasaan begitu, orang itu kena mengaji tafsir Qur’an. Perkara ini memang disentuh dalam ayat-ayat Qur’an. Mereka yang takut mati itu adalah kerana mereka jahil. Apabila mereka jahil tentang wahyu, maka mereka tidak yakin dengan janji Allah yang banyak diberikan dengan jelas dalam Qur’an. Maka mereka kena belajar lagi sampai mereka yakin dengan janji Allah tentang kelebihan jihad qital itu.

Maka, dalam ayat ini, Allah memberitahu tentang syurga untuk memberi motivasi kepada mujahideen. Balasan bagi mereka yang beriman dan berjihad adalah syurga dan balasan bagi mereka yang engkar adalah neraka.

إِنَّ اللهَ يُدخِلُ الَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ جَنّاتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهارُ ۖ وَالَّذينَ كَفَروا يَتَمَتَّعونَ وَيَأكُلونَ كَما تَأكُلُ الأَنعامُ وَالنّارُ مَثوًى لَهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, Allāh will admit those who have believed and done righteous deeds to gardens beneath which rivers flow, but those who disbelieve enjoy themselves and eat as grazing livestock eat, and the Fire will be a residence for them.

(MELAYU)

Sesungguhnya Allah memasukkan orang-orang mukmin dan beramal soleh ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Dan orang-orang kafir bersenang-senang (di dunia) dan mereka makan seperti makannya binatang. Dan jahannam adalah tempat tinggal mereka.

 

إِنَّ اللهَ يُدخِلُ الَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ جَنّاتٍ

Sesungguhnya Allah memasukkan orang-orang mukmin dan beramal soleh ke dalam jannah

Allah akan memasukkan orang beriman dan beramal soleh ke dalam syurga. Iman yang dimaksudkan itu kenalah ‘iman yang sempurna’ iaitu tiada syirik. Kerana kalau iman biasa sahaja, tapi ada fahaman syirik, maka tidak dapat masuk syurga. Perkara ini telah dijelaskan dalam banyak ayat-ayat Qur’an.

Dan amalan itu kenalah amalan yang soleh, bukan amalan bidaah. Orang kita ramai yang buat amalan ibadat, tapi malangnya amalan mereka itu kebanyakannya adalah amalan bidaah sahaja. Kena ingat yang amalan bidaah tidak ada pahala, cuma dapat dosa sahaja. Dan ramai pula yang salah dengan maksud ‘Bidaah Hasanah’, maka kena belajar agama lagilah untuk faham.

Allah memberi semangat kepada mereka yang takut-takut untuk berjihad, kena ingat yang balasan bagi iman sempurna dan amalan soleh termasuk jihad fi sabilillah adalah syurga. Kemudian Allah jelaskan apakah yang ada dalam syurga itu:

 

تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهارُ

yang mengalir di bawahnya sungai-sungai.

Syurga itu amat hebat sekali. Sebenarnya tidak dapat digambarkan kerana terlalu hebat dan tidak ada bandingan dengan apa yang ada dalam alam dunia sekarang. Tapi Allah beri isyarat sahaja sebagai motivasi kepada pembaca Qur’an. Allah beritahu kehebatan syurga itu sampai ada air sungai yang mengalir di bawah istana penghuni syurga. Ini adalah amat hebat sekali kerana jarang ada rumah yang ada sungai di bawah rumah. Sumber air ada menjadi kesukaan semua manusia. Kalau kawasan rumah berdekatan dengan air, samada air kolam, air terjun, air laut, tasik dan sebagainya, itu adalah kawasan perumahan yang mahal.

Seperti yang kita tahu, di Madinah itu pada zaman Nabi, ada golongan Muhajirin dan Ansar. Golongan Muhajirin itu adalah pendatang tapi mereka diberikan dengan bantuan yang baik. Golongan Ansar sampai sanggup berkongsi apa sahaja yang mereka ada untuk diberikan kepada sahabat mereka dari kalangan Muhajirin. Ini adalah sesuatu yang hebat kerana bayangkan kalau pendatang asing di negara lain sekarang – mereka diletakkan dalam kawasan khemah, kawasan ghetto dan penduduk asal tidak suka dan marah kepada mereka. Kerana mereka lihat pendapat asing itu mengambil kerja-kerja mereka dan menghabiskan sumber negara sahabat. Tapi lihat bagaimana Nabi berjaya menjadikan mereka golongan Ansar dan Muhajirin itu bersaudara sampaikan golongan Ansar sanggup kongsi apa sahaja yang mereka ada (harta dan tempat tinggal, malah ada yang ceraikan isteri mereka untuk dikahwinkan dengan saudara mereka dari Mekah itu).

Jadi kita ceritakan hal ini kerana hendak memberitahu yang kedua-dua puak tidaklah kaya dan hidup dengan senang. Mereka hidup dengan serba kekurangan – lihatlah kisah mereka bawa apa semasa berperang Badr. Mereka tidak ada kelengkapan perang, kerana mereka itu kebanyakannya petani sahaja. Mereka pakaian pun tidak cukup. Kehidupan mereka amat susah dan serba kekurangan. Maka Allah berikan perjanjian balasan yang amat nikmat sekali. Ini memberi semangat kepada mereka. Kalau mereka hidup susah di dunia pun, tapi mereka akan dapat kehebatan di akhirat kelak apabila mereka masuk ke dalam syurga.

 

وَالَّذينَ كَفَروا يَتَمَتَّعونَ

Dan orang-orang kafir bersenang-senang

Sekarang Allah bandingkan dengan orang-orang kafir pun. Orang kafir itu memang ada yang kaya-raya dan sedang menikmati kehidupan yang baik. Tetapi mereka hanya berseronok di atas dunia sahaja. Tujuan hidup mereka adalah untuk puaskan hawa nafsu mereka sahaja. Mereka tidak terfikirkan pun tentang akhirat. Mereka nak berterusan hidup dalam kesenangan semasa mereka hidup di dunia ini. Kerana mereka hanya memikirkan dunia sahaja, maka segala kehidupan mereka adalah untuk memuaskan nafsu sahaja.

 

وَيَأكُلونَ كَما تَأكُلُ الأَنعامُ

dan mereka makan seperti makannya binatang.

Mereka nak puaskan nafsu mereka sampaikan mereka makan pun sudah macam binatang makan. Mereka kunyah dan kunyah dan tidak ada adab langsung dalam cara makan mereka. Orang Islam pun ada makan dan puaskan hawa nafsu mereka, tapi dengan cara yang halal dan baik. Memang orang mukmin makan juga, tapi tidaklah macam binatang.

Dan orang kafir itu, mereka tidak kisah tentang makanan – mereka makan apa yang mereka boleh makan. Mereka sudah tak kisah halal atau haram, baik atau tidak, orang punya atau mereka punya. Kerana itu Allah bandingkan mereka dengan binatang. Kerana mereka tak kisah pun apa yang mereka nak makan. Bukankah binatang itu pakai makan sahaja apa yang ada depan mata mereka? Allah nak beritahu kita yang orang kafir itu mereka ikut sahaja nafsu – mereka menjalani kehidupan hedonistic (puaskan nafsu sahaja, bergembira sahaja). Maka kita janganlah begitu.

Biarkan mereka kerana itu sahaja yang mereka ada. Mereka itu seperti binatang yang makan untuk dirinya sendiri dan tidak kisah pun berkenaan orang lain dan mereka tidak kisah untuk masa hadapan. Binatang yang hanya kira tentang makanan sahaja itu, tak sedar yang mereka diberikan dengan makanan yang banyak itu bukanlah untuk mengenyangkan mereka tetapi kerana hendak menggemukkan mereka dan apabila sudah gemuk nanti mereka akan disembelih.

Maka janganlah kita hidup di dunia ini untuk makan dan memuaskan kehendak kita sahaja. Telah disebutkan dalam hadis sahih melalui sabda Rasulullah Saw. yang mengatakan:

“الْمُؤْمِنُ يَأْكُلُ فِي مِعيّ وَاحِدٍ، وَالْكَافِرُ يَأْكُلُ فِي سَبْعَةِ أَمْعَاءٍ”

Orang yang mukmin makan dengan satu perut, sedangkan orang kafir makan dengan tujuh perut.

 

وَالنّارُ مَثوًى لَهُم

Dan jahannam adalah tempat tinggal mereka.

Oleh kerana perangai mereka macam binatang dan mereka tidak memikirkan tentang kehidupan di akhirat kelak, maka mereka akan dimasukkan ke dalam api neraka. Mereka tidak akan pergi ke tempat lain.


 

Ayat 13: Ayat takhwif duniawi dan tasliah kepada Nabi. Ini adalah kerana Nabi Muhammad dan para sahabat telah dihalau keluar dari Mekah. Puak Musyrikin Mekah telah melakukan keganasan dan penidasan sampaikan orang mukmin tidak ada jalan penyelesaian melainkan untuk meninggalkan Mekah, iaitu kampung halaman mereka yang mereka amat sayang. Maka Allah pujuk mereka dalam ayat ini.

وَكَأَيِّن مِن قَريَةٍ هِيَ أَشَدُّ قُوَّةً مِن قَريَتِكَ الَّتي أَخرَجَتكَ أَهلَكناهُم فَلا ناصِرَ لَهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And how many a city was stronger than your city [i.e., Makkah] which drove you out? We destroyed them; and there was no helper for them.

(MELAYU)

Dan betapa banyaknya negeri yang (penduduknya) lebih kuat dari pada (penduduk) negerimu (Muhammad) yang telah mengusirmu itu. Kami telah membinasakan mereka, maka tidak ada seorang penolongpun bagi mereka.

 

وَكَأَيِّن مِن قَريَةٍ هِيَ أَشَدُّ قُوَّةً مِن قَريَتِكَ الَّتي أَخرَجَتكَ

Dan betapa banyaknya negeri yang lebih kuat dari pada negerimu  yang telah mengusirmu itu.

Allah mengingatkan bahawa telah banyak kaum yang telah dimusnahkan olehNya kerana pendudukan kampung/pekan itu telah melampau terhadap agama dan terhadap Rasul mereka.

Musyrikin Mekah yang menjadi pemuka masyarakat pada zaman Nabi Muhammad itu rasa mereka sudah hebat. Negeri Mekah itu memang terkenal dan didatangi oleh ramai penduduk Tanah Arab kerana ada Kaabah di situ. Dan mereka yang menjadi pemimpin masyarakat dan dipandang tinggi oleh orang lain kerana merekalah kononnya ‘penjaga’ Kaabah.

Allah hendak memberitahu dalam ayat ini yang Mekah itu dan penduduknya tidaklah sehebat mana pun. Ramai yang datang kepada mereka itu hanyalah kerana Kaabah ada di situ. Mereka tidak sedar atau lupa bagaimana ada kaum-kaum dan tempat-tempat lain yang lebih hebat dari mereka tetapi dimusnahkan juga oleh Allah.

Mereka bukan hebat sangat tetapi mereka sanggup mengeluarkan Nabi Muhammad dan para sahabat kerana Nabi membawa ajaran tauhid. Mereka sanggup menidakkan hak penduduk Mekah sendiri untuk beramal dengan agama yang benar. Sedangkan mereka membenarkan berjenis-jenis orang datang ke Mekah dan tawaf di Kaabah. Tapi apabila penduduk mereka sendiri yang hendak mengamalkan agama pilihan mereka, dan agama itu sendiri pun agama yang benar, mereka tindas para sahabat mukmin itu sampaikan mereka terpaksa melarikan diri ke tempat lain. Ini adalah satu kekejaman dan sebab inilah yang menyebabkan muslim boleh serang orang Mekah. Kerana mereka ada hak untuk mempertahankan hak mereka dan mengambil hak mereka kembali.

Bayangkan betapa sedihkan para sahabat dan Nabi sendiri kerana terpaksa meninggalkan kampung halaman tercinta.

قَالَ ابْنُ أَبِي حَاتِمٍ: ذَكَرَ أَبِي، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَبْدِ الْأَعْلَى، عَنِ الْمُعْتَمِرُ بْنُ سُلَيْمَانَ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ حَنَش ، عَنْ عِكْرِمَةَ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ: أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمَّا خَرَجَ مِنْ مَكَّةَ إِلَى الْغَارِ أُرَاهُ قَالَ: الْتَفَتَ إِلَى مَكَّةَ -وَقَالَ: “أَنْتِ أَحَبُّ بِلَادِ اللَّهِ إِلَى اللَّهِ، وَأَنْتِ أَحَبُّ بِلَادِ اللَّهِ إِلَيَّ، وَلَوْ أَنَّ الْمُشْرِكِينَ لَمْ يُخْرِجُونِي لَمْ أَخْرُجْ مِنْكِ”

Ibnu Abu Hatim mengatakan bahawa ayahnya telah meriwayatkan dari Muhammad ibnu Abdul Ala, dari Al-Mu’tamir ibnu Sulaiman, dari ayahnya, dari Hanasy, dari Ikrimah, dari Ibnu Abbas r.a., bahawa Nabi Saw. ketika keluar dari Mekah menuju ke gua tempat persembunyiannya. Ketika sampai di gua itu baginda menoleh ke arah Mekah, lalu berkata: Sesungguhnya engkau adalah negeri Allah yang paling disukai oleh-Nya, dan engkau adalah negeri Allah yang paling aku sukai; seandainya orang-orang musyrik itu (penduduknya) tidak mengusirku, aku tidak akan keluar meninggalkanmu.

 

أَهلَكناهُم فَلا ناصِرَ لَهُم

Kami telah membinasakan mereka, maka tidak ada seorang penolongpun bagi mereka.

Daerah-daerah lain yang lebih hebat dari Mekah itu pun telah pernah dihancurkan oleh Allah. Mereka akan dimusnahkan dan tidak ada sesiapa yang boleh bantu mereka nanti. Allah nak ingatkan kepada musyrikin Mekah yang degil sangat itu – janganlah berlagak sangat dengan kedudukan yang mereka ada, sokongan yang mereka ada. Itu semua tidak berguna langsung apabila Allah buat keputusan untuk menghancurkan mereka nanti. Mereka sahaja yang sangka mereka kuat, banyak penyokong, tapi sampai masanya nanti, Allah akan musnahkan mereka dan jatuhkan mereka.

Ini juga adalah tasliah kepada Nabi Muhammad. Baginda tetap selamat dan tidak kisah apakah yang orang kafir itu lakukan terhadap baginda.


 

Ayat 14: Selepas disebut dengan sifat orang mukmin dan sifat orang kufur itu, maka Allah bandingkan keadaan orang beriman dan orang-orang yang kufur.

أَفَمَن كانَ عَلىٰ بَيِّنَةٍ مِن رَبِّهِ كَمَن زُيِّنَ لَهُ سوءُ عَمَلِهِ وَاتَّبَعوا أَهواءَهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So is he who is on clear evidence from his Lord like him to whom the evil of his work has been made attractive and they follow their [own] desires?

(MELAYU)

Maka apakah orang yang berpegang pada keterangan yang datang dari Rabbnya sama dengan orang yang (syaitan) menjadikan dia memandang baik perbuatannya yang buruk itu dan mengikuti hawa nafsunya?

 

أَفَمَن كانَ عَلىٰ بَيِّنَةٍ مِن رَبِّهِ

Maka apakah orang yang berpegang pada keterangan yang datang dari Rabbnya

Orang beriman adalah mereka yang berpegang dengan ‘bayyinah’, iaitu berpegang kepada keterangan dari wahyu dan keyakinan yang Allah campakkan ke dalam hati mereka. Tentunya yang pertama sekali adalah Rasulullah sendiri.

Wahyu itu dari Allah dan kerana itu kita kena ikut dengan sepenuhnya. Begitu juga dengan fitrah yang telah ada dalam diri manusia. Itu pun dari Allah juga. Orang yang beriman dan beramal dengan amal yang soleh, mereka akan rasa tenang sahaja dengan diri mereka – ini adalah kerana mereka telah sama dengan fitrah yang ada dalam hati mereka itu. Kerana kalau ianya berlawananlah yang menyebabkan hati tidak tenang. Kerana itu selalu kita dengar bagaimana orang yang asalnya lahir dalam keluarga kufur tapi telah masuk Islam – mereka kata hati mereka tenang sangat. Ini adalah kerana mereka telah ada persamaan antara amalan luaran dan kehendak dalaman mereka.

 

كَمَن زُيِّنَ لَهُ سوءُ عَمَلِهِ

sama dengan orang yang (syaitan) menjadikan dia memandang baik perbuatannya yang buruk itu

Siapakah yang mencantikkan amalan mereka itu? Yang mencantikkan amalan mereka itu adalah syaitan yang duduk dengan mereka. Amalan mereka itu buruk, tapi syaitan bisikkan kepada mereka yang amalan mereka itu baik-baik. Ini samalah dengan amalan syirik dan amalan bidaah yang banyak diamalkan oleh masyarakat kita sekarang. Amalan itu buruk, tapi kerana mereka jauh dari wahyu Allah, tidak belajar wahyu Allah, tidak belajar tafsir Qur’an, maka mereka telah senang ditipu oleh syaitan.

Maka Allah tanya: adakah yang beramal atas bayyinah itu sama dengan orang yang beramal dengan amalan yang dicantikkan sahaja oleh syaitan? Tentu tidak sama. Begitulah musyrikin Mekah sangka mereka buat benda yang baik. Syaitan cantikkan dengan mengelabui mata mereka. Benda yang buruk mereka nampak baik dan mereka sahaja yang perasan sahaja amalan mereka itu baik. Sebenarnya mereka telah ditipu. Mereka sangka kerana mereka itu penjaga Kaabah dan mereka keturunan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, maka tentu amalan mereka itu benar.

Padahal amalan syirik dan maksiat mereka itu adalah dari bisikan syaitan. Syaitan yang ajar mereka dengan bisikkan kepada mereka amalan-amalan syirik. Oleh kerana mereka jauh dari agama, maka mereka nampak maksiat yang mereka lakukan itu sebagai kebaikan. Mereka pandang kehidupan dunia itulah yang semata-mata kehidupan yang sebenar. Mereka tidak hiraukan tentang akhirat kerana syaitan telah hilangkan ilmu akhirat dari mereka. Kerana itu mereka pelik benar apabila Nabi Muhammad mengatakan yang akan ada Hari Kiamat dan kebangkitan semula di akhirat kelak. Syaitan telah hilangkan ilmu itu dari mereka supaya senang syaitan nak ajak buat perkara yang salah.

 

وَاتَّبَعوا أَهواءَهُم

dan mengikuti hawa nafsunya?

Oleh itu, ajaran salah selalunya dari syaitan tapi kadang-kadang ia datang dari diri sendiri kerana dia tidak ada ilmu dan dia fikir sendiri. Atau ia boleh jadi dari ajakan manusia lain. Tidak kisah dari mana, tapi yang penting, ia tidak datang dari wahyu. Ubatnya adalah kena belajar ilmu wahyu. Kena belajar tafsir Qur’an dan syarah hadis. Malangnya masyarakat kita amat jauh dari wahyu dan mereka tidak kisah tentang agama. Mereka tidak kisah tentang Qur’an, tapi yang diagungkan adalah kata-kata ulama sahaja. Sedangkan kata-kata ulama itu kenalah disandarkan kepada ayat-ayat Qur’an dan hadis-hadis Nabi, barulah boleh ditapis. Kalau setakat kata-kata ulama sahaja, adakah kepastian yang ianya benar dan betul?

Mereka yang sebegitu adalah mengikut nafsu mereka sahaja. Apabila sesuatu pendapat itu didasarkan atas dalil yang sah, maka ianya adalah dalil hawa nafsu sahaja. Mereka sanggup pakai kerana mereka tidak ada dalil asas dari ilmu wahyu. Ini adalah kerana mereka mengikut hawa nafsu sahaja. Kita kena sedar yang hawa nafsu adalah lawan kepada wahyu.

Adakah sama dua jenis orang itu? Maka tentulah dua contoh ini tidak sama. Jadi kita kena letak diri kita di mana? Kita nak duduk di kumpulan yang pakai dalil atau kumpulan yang tidak pakai dalil, tapi pakai hawa nafsu sahaja? Fikir-fikirkan.


 

Ayat 15: Jadi kita sudah tahu yang dua kumpulan itu tidak sama – maka apabila tidak sama maka natijah di akhirat juga tidak sama, di mana orang yang beriman dan beramal soleh ada dimasukkan ke dalam syurga. Dan sekarang Allah akan sebut tentang syurga. Inilah natijah kepada mereka yang belajar ilmu wahyu dan mengamalkan wahyu yang dipelajarinya.

Dan kemudian disebut juga natijah kepada orang yang beramal mengikut hawa nafsunya.

مَثَلُ الجَنَّةِ الَّتي وُعِدَ المُتَّقونَ ۖ فيها أَنهارٌ مِن ماءٍ غَيرِ آسِنٍ وَأَنهارٌ مِن لَبَنٍ لَم يَتَغَيَّر طَعمُهُ وَأَنهارٌ مِن خَمرٍ لَذَّةٍ لِلشّارِبينَ وَأَنهارٌ مِن عَسَلٍ مُصَفًّى ۖ وَلَهُم فيها مِن كُلِّ الثَّمَراتِ وَمَغفِرَةٌ مِن رَبِّهِم ۖ كَمَن هُوَ خالِدٌ فِي النّارِ وَسُقوا ماءً حَميمًا فَقَطَّعَ أَمعاءَهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Is the description of Paradise, which the righteous are promised, wherein are rivers of water unaltered,¹ rivers of milk the taste of which never changes, rivers of wine delicious to those who drink, and rivers of purified honey, in which they will have from all [kinds of] fruits and forgiveness from their Lord… [Are its inhabitants] like those who abide eternally in the Fire and are given to drink scalding water that will sever their intestines?

•In taste or smell, neither stagnant nor polluted.

(MELAYU)

(Apakah) perumpamaan (penghuni) jannah yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa yang di dalamnya ada sungai-sungai dari air yang tiada berubah rasa dan baunya, sungai-sungai dari air susu yang tidak berubah rasanya, sungai-sungai dari khamar yang lazat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai dari madu yang disaring; dan mereka memperoleh di dalamnya segala macam buah-buahan dan keampunan dari Rabb mereka, sama dengan orang yang kekal dalam jahannam dan diberi minuman dengan air yang mendidih sehingga memotong ususnya?

 

مَثَلُ الجَنَّةِ الَّتي وُعِدَ المُتَّقونَ

(Apakah) perumpamaan (penghuni) jannah yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa

Allah akan beri perumpamaan syurga yang dijanjikan. Kalimah الجَنَّةِ dari segi bahasa asal bermaksud ‘kebun’. Ia adalah satu tempat yang amat menenangkan, dengan segala kehijauan dan kedamaian cuaca dan suasana. Kenapa Allah gunakan ‘kebun’ dan ‘taman’ sebagai perumpamaan? Kerana ini memang kehendak manusia. Lumrah diri manusia yang memang sukakan tanaman dan kehijauan. Kalau ada yang kata mereka tidak suka, itu adalah kerana mereka mungkin masih muda lagi. Kalau tak percaya, tunggu bila dah tua sikit, memang kalau dah tua memang suka kepada tanaman. Sebab itu orang kita kalau dah pencen, suka balik kampung supaya senang bercucuk tanam. Dan kalau kita lihat tempat tinggal yang mahal-mahal, ada tanaman menghijau kerana memang naluri manusia sukakan kehijauan.

 

فيها أَنهارٌ مِن ماءٍ غَيرِ آسِنٍ

yang di dalamnya ada sungai-sungai dari air yang tiada berubah rasa

Orang-orang Arab mengatakan terhadap air yang berubah baunya dengan sebutan asin. Di dalam hadis yang marfu’ yang diketengahkan oleh Ibnu Abu Hatim, gairu asin artinya yang jernih dan tidak keruh.

Sudahlah duduk di dalam taman dan kebun, ada banyak sungai pula. Dan sungai-sungai itu bukan sepergi sungai di dunia kerana sungai-sungai di syurga, sungai yang indah dan tidak akan menjadi busuk. Sungai-sungai itu tidak pernah berubah dari segi bau, rasa dan warnanya pun tidak berubah. Jadi ianya adalah bersih sungguh. Tidaklah sama seperti sungai yang di dunia sekarang – kadang-kadang macam-macam yang dibuang di dalamnya sampaikan tidak terjaga dan ia menjadi amat kotor sangat.

 

وَأَنهارٌ مِن لَبَنٍ لَم يَتَغَيَّر طَعمُهُ

sungai-sungai dari air susu yang tidak berubah rasanya,

Dan sungai-sungai di syurga itu adalah sungai yang hebat – ianya bukan sungai biasa. Sekarang Allah beritahu yang Dia boleh jadikan sungai dari susu, bukan dari air. Dan susu itu bukan seperti susu di dunia kerana di dalam sebuah hadis marfu’ disebutkan:

“لَمْ يَخْرُجْ مِنْ ضُرُوع الْمَاشِيَةِ”.

Tidak dikeluarkan dari tetek hewan ternak.

Dan susu itu pula tidak sama dengan susu yang ada di dunia. Kerana susu itu tidak pernah rosak dan ia tidak akan jadi kenyal. Rasanya akan sama sahaja, dan tidak akan menjadi buruk. Kerana kalau susu di dunia, ia tidak tahan lama. Tidak lama selepas diperah, kalau tidak masuk ke dalam peti ais, ia akan jadi masam dan lama kelamaan akan jadi kenyal dan tidak boleh diminum lagi.

 

وَأَنهارٌ مِن خَمرٍ لَذَّةٍ لِلشّارِبينَ

sungai-sungai dari khamar yang lazat rasanya bagi peminumnya

Dan satu lagi sungai yang Allah cipta adalah sungai dari arak. Arak itu pula amat lazat. Arak itu tidak sama dengan arak dunia sekarang kerana arak yang diminum oleh manusia sekarang adalah masam sebenarnya. Walaupun ia tidak sedap sebenarnya, tapi orang minum juga arak itu kerana lama-lama apabila dah biasa minum, barulah rasa itu boleh diterima. Arak di dunia ini kalau tidak kerana manusia minum kerana nak mabuk, mereka tak minum pun. Jadi, sungai arak itu lain dengan arak yang di dunia kerana arak yang di syurga amat lazat yang tidak pernah dirasai sebelum ini. Jadi jangan sangka yang ia adalah arak sama macam sekarang diminum manusia.

Dan tidaklah arak itu sama dengan arak di dunia kerana di dalam hadis Marfu’ disebutkan:

“لَمْ تَعْصُرْهَا الرِّجَالُ بِأَقْدَامِهَا”.

Tidak diperas dengan kaki-kaki kaum lelaki.

Tapi arak itu tidaklah memabukkan peminumnya seperti arak di dunia seperti yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{لَا فِيهَا غَوْلٌ وَلا هُمْ عَنْهَا يُنزفُونَ}

Tidak ada dalam khamr itu alkohol dan mereka tiada mabuk karena (meminum)nya. (Ash-Shaffat: 47)

{لَا يُصَدَّعُونَ عَنْهَا وَلا يُنزفُونَ}

mereka tidak pening karenanya dan tidak pula mabuk (Al-Waqi’ah: 19)

 

وَأَنهارٌ مِن عَسَلٍ مُصَفًّى

dan sungai-sungai dari madu yang disaring;

Satu lagi adalah sungai dari madu, dan kita diberitahu yang madu itu adalah jenis yang dibersihkan. Ini adalah kerana ianya telah ditapis dan tidak ada habuk langsung. Kalau madu di dunia, tidak ada yang begitu kerana akan ada sahaja elemen lain di dalamnya. Kerana madu dunia duduk dalam sarang, maka kalau nak makan, kena tapis dulu.

Madu itu bukanlah yang keluar dari lebah kerana di dalam hadis yang marfu’ disebutkan:

“لَمْ يَخْرُجْ مِنْ بُطُونِ النَّحْلِ”

yang bukan dikeluarkan dari perut lebah.

Maka di atas adalah penerangan dari Allah tentang nikmat dari segi minuman yang Allah suruh kita fikir-fikirkan. Susu, arak dan madu yang telah disebut di atas memang  sekarang dijadikan sebagai nikmat di dunia ini. Kerana memang manusia memang suka kepada susu, arak dan madu. Dan Allah jadikan dalam bentuk sungai di syurga nanti. Dan gambaran seperti ini hanya akan berada di syurga sahaja. Kerana walau kaya macam mana pun, tidak akan ada orang yang boleh buat sungai madu, susu dan arak. Ianya hanya boleh terjadi di syurga sahaja nanti.

 

وَلَهُم فيها مِن كُلِّ الثَّمَراتِ

dan mereka memperoleh di dalamnya segala macam buah-buahan

Di atas telah disebut tentang nikmat minuman. Dan sekarang disebut pula nikmat jenis makanan. Di syurga nanti, ahli syurga akan diberi dengan semua jenis buahan. Buah-buahan yang banyak itu tidak bermusim dan tidak dihalang seperti buah-buah yang kita ada di dalam dunia sekarang. Ini kerana buah di dunia sekarang bermusim (kalau nak makan durian, kena tunggu musim dia baru dapat makan). Dan tidak terhalang, maksudnya tidak memudharatkan kita. Kalau orang sakit, tak boleh makan durian, kerana ia mengandungi perkara-perkara yang membahayakan.

Buah-buahan itu adalah makanan keinginan manusia. Manusia memang suka makan buah-buahan dan Allah telah programkan kecintaan kepada buah-buahan itu dalam diri kita.

 

وَمَغفِرَةٌ مِن رَبِّهِم

dan keampunan dari Rabb mereka,

Di atas telah disebut nikmat jenis jasmani. Iaitu dari segi makanan dan minuman, itu adalah untuk fizikal kita. Dan sekarang Allah sebut nikmat rohani pula. Nikmat rohani yang disebut dalam ayat ini adalah ampunan dari Allah. Ini adalah sesuatu yang amat disukai oleh kita kerana Allah maafkan segala kesalahan dan dosa kita. Bayangkan kalau Allah yang telah menjadikan kita, suka dan redha kepada kita. Kalau emak ayah kita redha kepada kita pun, kita sudah suka, tambahan pula kalau Allah yang menjadikan kita ini redha kepada kita, tentulah kita lagi suka, bukan?

 

كَمَن هُوَ خالِدٌ فِي النّارِ

sama dengan orang yang kekal dalam jahannam

Sekarang Allah buat perbandingan supaya kita boleh fikirkan dengan saksama: bolehkah ahli syurga yang telah diberikan dengan nikmat jasmani dan nikmat rohani itu dibandingkan dengan orang yang duduk dalam neraka? Tentu tidak boleh dan disamakan kerana beza antara kedua mereka itu amat jauh sekali. Lebih jauh dari langit dan bumi.

Ada ahli neraka yang akan kekal di dalam neraka itu kerana mereka telah melakukan syirik kepada Allah. Mereka tentu sekali amat berbeza dengan mereka yang duduk di dalam syurga dan natijah ini hanya kerana perbezaan dari segi fahaman dan amalan selama mereka hidup di dunia. Dan sebenarnya kehidupan di dunia itu tidak lama sangat pun. Kita sahaja yang rasa lama sekarang – tapi nanti apabila di akhirat kelak, kita akan rasa kehidupan di dunia ini setakat waktu petang atau waktu senja sahaja kerana lamanya masa di akhirat kelak.

 

وَسُقوا ماءً حَميمًا فَقَطَّعَ أَمعاءَهُم

dan diberi minuman dengan air yang mendidih sehingga memotong ususnya?

Kalau penghuni syurga diberikan dengan air dari sungai, kemudian diberikan dengan sungai dari susu, arak dan madu, apa minuman yang akan diberikan kepada ahli neraka? Mereka akan diberikan minum air yang sangat panas. Air itu sangat panas sampai memutuskan saraf mereka apabila mereka minum. Tidak dapat dibayangkan bagaimanakah kepanasan itu.

Tetapi kenapa mereka minum juga? Mereka terpaksa minum kerana sudah lama sangat dalam neraka dan amat dahaga sampaikan air panas dan busuk pun mereka sanggup minum juga. Tapi air itu bukan yang menghilangkan dahaga mereka sebaliknya lebih menyakitkan mereka lagi. Maka seksaan itu sangat-sangat memedihkan. Semoga kita diselamatkan dari keadaan itu. Maka hendaklah kita bezakan amalan ahli neraka itu dari diri kita.

Kena belajarlah mana amalan ahli syurga dan mana amalan ahli neraka. Jangan tidak kisah kerana takut kita termasuk dalam golongan ahli neraka pula tapi tak sedar. Janganlah hidup di dunia ini untuk mengenyangkan diri sahaja tapi hendaklah kita memikirkan apakah yang kita akan bawa ke akhirat kelak? Kerana lambat laun kita pasti akan menghadapinya juga. Janganlah sangka yang kita akan hidup selama-lamanya di dunia ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 047: Muhammad. Bookmark the permalink.

One Response to Tafsir Surah Muhammad Ayat 12 – 15 (Jenis-jenis sungai syurga)

  1. Pingback: Tafsir Surah Muhammad Ayat 12 – 15 (Jenis-jenis sungai syurga)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s