Tafsir Surah Muhammad Ayat 5 – 11 (Siapakah Maulana?)

Ayat 5: Dalam ayat sebelum ini telah disebut yang Allah hendak menguji orang beriman dalam peperangan jihad. Sekarang Allah beritahu apakah natijah kepada mereka kalau mereka melepasi ujian itu.

سَيَهديهِم وَيُصلِحُ بالَهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He will guide them and amend their condition

(MELAYU)

Allah akan memberi pimpinan kepada mereka dan memperbaiki keadaan mereka,

 

سَيَهديهِم

Allah akan memberi pimpinan kepada mereka

Mereka yang berjaya menaruh nyawa mereka untuk menegakkan agama Allah akan diberi hidayah. Ini adalah kelebihan yang Allah berikan kepada mereka yang berjihad. Allah akan akan pimpin mereka sampai ke syurga.

 

وَيُصلِحُ بالَهُم

dan memperbaiki keadaan mereka,

Dan Allah akan menenangkan hati mereka dalam semua keadaan di akhirat. Dari semasa mereka mati, semasa mereka di dalam kubur, apabila bangkit dari kubur dan sampailah mereka masuk ke dalam syurga.

Dan satu lagi tafsir, mereka akan diperbaiki sebelum di masukkan ke dalam syurga. Kerana kadang-kadang mereka mati dalam keadaan menyedihkan, dengan darah berlumuran, perut terburai, tangan kena cantas dan sebagainya. Ini biasa kerana mereka telah dibunuh. Tambahan pula waktu mereka di medan perang zaman itu. Mereka itu orang yang mulia, tapi kadang-kadang kain nak tutup mereka pun tidak ada seperti Saidina Hamzah. Itu adalah keadaan mereka semasa mereka mati; tapi bila mereka di akhirat nanti, mereka akan diperbaiki dengan amat indah sekali. Mereka akan diberi persalinan dan diberikan dengan wangi-wangian yang kita tidak dapat bayangkan.


 

Ayat 6: Ini adalah tafsir kepada kalimah وَيُصلِحُ dalam ayat di atas.

وَيُدخِلُهُمُ الجَنَّةَ عَرَّفَها لَهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And admit them to Paradise, which He has made known to them.

(MELAYU)

dan memasukkan mereka ke dalam jannah yang telah diperkenalkan-Nya kepada mereka.

 

وَيُدخِلُهُمُ الجَنَّةَ

dan memasukkan mereka ke dalam jannah

Mereka akan terus dimasukkan ke dalam syurga. Sebelum akhirat bermula lagi mereka telah dimasukkan ke dalam syurga. Ini adalah kerana mereka itu adalah syuhada’. Nanti apabila Mahkamah Mahsyar ditegakkan, mereka akan dikeluarkan sekejap dari syurga untuk dibacakan amal-amal mereka dan mereka akan dimasukkan semula ke dalam syurga. Mereka tidak akan melalui hari kiamat dan akhirat di Mahsyar seperti orang-orang lain.

 

عَرَّفَها لَهُم

yang telah diperkenalkan-Nya kepada mereka.

Maksudnya mereka akan diperkenalkan dengan syurga itu. Syurga itu akan diperkenalkan kepada mereka sebelum mereka masuk. Sampaikan apabila mereka masuk ke dalam syurga itu, mereka tidak rasa canggung kerana dah kenal. Kerana kalau kita sampai kepada tempat yang hebat seperti hotel yang mahal dan mewah pun, tentu kita akan rasa canggung sedikit, bukan? Kerana kalau kita dari kampung dan sampai ke hotel yang mewah tentu kita pun tidak tahu bagaimana hendak menggunakan kemudahan-kemudahan yang ada di dalam hotel itu. Sampaikan kita rasa malu dengan orang lain yang lebih tahu dari kita. Dan begitulah nanti syurga itu, ianya adalah tempat yang sangat-sangat hebat dan akan menyebabkan orang yang tidak kenal dengan  syurga itu akan rasa canggung.

Allah telah memperkenalkannya kepada mereka dan membimbing mereka kepadanya. Mujahid mengatakan bahawa penghuni syurga mengetahui rumah dan tempat tinggalnya masing-masing, mengingat Allah telah membagi-bagikannya kepada mereka. Mereka tidak akan keliru atau salah masuk, seakan-akan mereka adalah penghuninya sejak mereka diciptakan, tidak seorang pun yang menunjukkan mereka kepadanya. Muhammad ibnu Ka’b mengatakan, “Apabila mereka masuk syurga, mereka mengetahui rumah-rumah mereka sebagaimana kalian mengetahui rumah-rumah kalian (sewaktu di dunia) bila pulang dari solat Jumat.”

Satu lagi tafsir, mereka telah diperkenalkan dengan syurga itu semasa di dunia lagi, iaitu seperti yang telah diberitahu dalam kitab wahyu.

Satu lagi tafsir, Allah akan wangikan syurga itu untuk menjemput ahli-ahlinya. Ini disebutkan di sini kerana bangsa Arab suka dengan bau-bau yang wangi. Kerana itu apabila mereka menjemput atau sedang menanti tetamu yang besar dan istimewa, mereka akan mengasap rumah mereka dengan wangi-wangian.


 

Ayat 7:

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا إِن تَنصُرُوا اللهَ يَنصُركُم وَيُثَبِّت أَقدامَكُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, if you support Allāh, He will support you and plant firmly your feet.

(MELAYU)

Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kakimu.

 

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا إِن تَنصُرُوا اللهَ يَنصُركُم

Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu

Sekarang Allah khitab kepada orang-orang yang beriman. Allah beritahu kepada mereka, kalau mereka bantu Allah, Allah akan bantu mereka. Tapi Allah tidak memerlukan bantuan apa-apa pun dari manusia, maka apakah maksud ‘bantuan’ itu? Iaitu bantu dengan belajar wahyu, amalkan wahyu itu dan sampaikan kepada orang lain. Dan salah satu cara untuk mengamalkan wahyu itu adalah dengan mempertaruhkan nyawa di medan perang.

Kita kena ingat yang ayat ini datang sebelum perang bermula dalam Islam. Tapi mereka yang belum berperang sudah terbayang untuk pergi perang. Sebab mereka sudah ada semangat dah.

Satu lagi maksud bantu Allah, bermaksud tolong Allah adalah bantu rasulNya. Ataupun bermaksud membantu agama Allah. Yakinlah yang kalau kita membantu RasulNya atau membantu agama, maka Allah akan bantu kita. Allah akan tolong bukan sahaja di dunia tetapi di akhirat sekali.

 

وَيُثَبِّت أَقدامَكُم

dan meneguhkan kakimu.

Dan kaki mereka akan ditetapkan, diteguhkan. Mereka akan diteguhkan kaki untuk menghadapi musuh sampaikan walau sehebat dan seramai mana pun musuh yang akan dihadapi, kaki akan menjadi tetap. Kerana kalau kita dalam ketakutan, kaki kita yang akan jadi lembik, bukan? Maka Allah akan tetapkan kaki mereka menjadi teguh untuk menghadapi musuh.

Bukan kaki sahaja yang Allah akan tetapkan, tapi Allah akan tetapkan hati mereka dalam perang itu nanti. Pendirian mujahidin akan ditetapkan. Semua ini akan diberikan kepada mereka, tapi dengan syarat mereka kena tolong agama Allah.


 

Ayat 8: Ini pula tentang musuh-musuh Islam. Apa yang akan terjadi pada mereka?

وَالَّذينَ كَفَروا فَتَعسًا لَهُم وَأَضَلَّ أَعمالَهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But those who disbelieve – for them is misery, and He will waste their deeds.

(MELAYU)

Dan orang-orang yang kafir, maka kecelakaanlah bagi mereka dan Allah menghapuskan amal-amal mereka.

 

وَالَّذينَ كَفَروا فَتَعسًا لَهُم

Dan orang-orang yang kafir, maka kecelakaanlah bagi mereka

Orang kafir yang dimaksudkan adalah golongan kafir degil. Mereka itu menentang agama Islam dan menjauhkan orang lain dari agama Islam.

Kalimah فَتَعسًا dari ت ع س yang bermaksud terjatuh, tersembam atas muka, direndahkan, musnah, disedihkan. Ianya bermaksud celaka dan malanglah untuk mereka. Mereka duduk di dunia ini lagi sudah dimurkai oleh Allah. Mereka sentiasa hidup dalam kebimbangan. Ini adalah kerana mereka pakai nikmat Allah tapi tidak terima tauhid Allah. Mereka itu macam orang asing yang duduk dalam negara tanpa permit. Orang-orang yang sebegitu, bukankah sentiasa takut sahaja? Mereka tidak tenteram.

 

وَأَضَلَّ أَعمالَهُم

dan Allah menghapuskan amal-amal mereka.

Dan di akhirat nanti akan habis segala amalan baik mereka. Amalan baik yang mereka lakukan selama mereka di dunia walaupun memang baik dan dapat digunakan sebagai kemudahan, sampai boleh digunakan satu dunia pun, tetapi ia tidak membantu mereka langsung kerana ia menjadi sia-sia sahaja.

Disebut tentang amalan baik akan hilang begitu sahaja banyak kali kerana orang Mekah itu sangka mereka itu banyak amal, kerana mereka buat amal di Kaabah, jaga dan bantu orang yang datang untuk beribadat di Kaabah. Jadi mereka sangka tentulah mereka akan selamat. Tapi kalau buat amal baik mana pun, tidak memberi seseorang itu hak untuk lawan agama. Jadi Allah hendak beritahu mereka dengan tegas, segala amalan mereka itu akan hancur sahaja. Tidak jadi pahala pun kerana mereka mengamalkan syirik dan mereka menentang agama Allah.


 

Ayat 9: Kenapa Allah buat begitu kepada mereka?

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم كَرِهوا ما أَنزَلَ اللهُ فَأَحبَطَ أَعمالَهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That is because they disliked what Allāh revealed, so He rendered worthless their deeds.

(MELAYU)

Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka benci kepada apa yang diturunkan Allah (Al Quran) lalu Allah menghapuskan (pahala-pahala) amal-amal mereka.

 

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم كَرِهوا ما أَنزَلَ اللهُ

Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka benci kepada apa yang diturunkan Allah

Mereka dikenakan dengan azab yang teruk kerana mereka benci dengan apa yang Allah hantar. Kerana mereka tidak berkenan dengan wahyu yang Allah turunkan dan sampaikan melalui Rasulullah. Mereka berasa benci dan tidak mahu menerima. Dan kerana itu mereka tak ikut wahyu tapi ikut nafsu mereka sahaja.

Begitulah kita jangan benci dengan wahyu. Kita kena belajar wahyu itu sampai kita dapat faham. Kita kena teruskan belajar supaya dapat memahaminya. Lama kelamaan kalau kita bukan hati kita dan teruskan belajar, kita akan cinta kepada wahyu. Ini penting kerana agama Islam ini kena ikut wahyu. Tapi malangnya ramai orang kita tidak kenal wahyu dan tidak berminat nak belajar wahyu. Macam-macam mereka belajar, ilmu dunia dan juga ilmu agama juga, tapi ilmu wahyu mereka tidak belajar lagi.

 

فَأَحبَطَ أَعمالَهُم

lalu Allah menghapuskan (pahala-pahala) amal-amal mereka.

Sekali lagi Allah ulang tentang amal yang tidak bernilai langsung. Amal baik mereka jadi kosong. Kita terjemah sebagai ‘amal baik’ kerana kalimah أَعمالَ bermaksud ‘amal baik’ dari segi bahasa. Jadi Allah memang kata mereka ada buat amal kebaikan, tapi itu tidak dikira kalau mereka tidak ikut Qur’an, tidak terima Qur’an.

Ayat ini menjawap persoalan yang ditimbulkan orang Islam sekarang. Ramai yang kata mereka ada berkawan dengan orang bukan Islam dan mereka orang bukan Islam itu baik-baik sahaja. Kalau orang yang baik macam itu, takkan masuk neraka pula? Mereka tanya kerana mereka macam tidak dapat terima yang kawan-kawan mereka yang baik itu pun akan kena azab juga.

Ingatlah yang kita tidak dapat nak pastikan manakah yang baik atau tidak. Mungkin yang baik pada kita, tidak baik pada Allah. Dan bagaimana kita nak terima mereka itu baik kalau mereka tidak terima ajaran Qur’an? Kita mungkin rasa sesuatu itu baik tapi tidak semestinya begitu. Macam ubat, anak-anak kita kata ianya tidak baik, sedangkan ibubapa pasti kata yang ianya baik. Jadi akal kita tidak semestinya pasti manakah yang baik atau tidak. Baik atau tidak itu, kita kena nilai dengan pandangan Allah, bukan ikut pandangan kita.


 

Ayat 10: Ayat takhwif duniawi.

۞ أَفَلَم يَسيروا فِي الأَرضِ فَيَنظُروا كَيفَ كانَ عاقِبَةُ الَّذينَ مِن قَبلِهِم ۚ دَمَّرَ اللهُ عَلَيهِم ۖ وَلِلكافِرينَ أَمثالُها

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Have they not traveled through the land and seen how was the end of those before them? Allāh destroyed [everything] over them,¹ and for the disbelievers is something comparable.

•i.e., destroyed them and all they owned.

(MELAYU)

Maka apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di muka bumi sehingga mereka dapat memperhatikan bagaimana kesudahan orang-orang sebelum mereka; Allah telah menimpakan kebinasaan atas mereka dan orang-orang kafir akan menerima (akibat-akibat) seperti itu.

 

أَفَلَم يَسيروا فِي الأَرضِ فَيَنظُروا كَيفَ كانَ عاقِبَةُ الَّذينَ مِن قَبلِهِم

Maka apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di muka bumi sehingga mereka dapat memperhatikan bagaimana kesudahan orang-orang sebelum mereka;

Kalau mereka masih berdegil, Allah beri peringatan kepada mereka: tidakkah mereka nak luangkan masa berjalan di bumi? Jalanlah sikit dan tengok apa yang terjadi kepada orang sebelum mereka? Iaitu umat-umat terdahulu yang telah dimusnahkan kerana mereka menolak agama? Kerana mereka menentang Rasul-rasul mereka? Mereka kenal golongan itu seperti Kaum Aad dan Tsamud kerana mereka ada lalu di bekas penempatan mereka itu. Dan mereka tahu kisah-kisah kaum-kaum itu. Allah ingatkan sahaja.

 

دَمَّرَ اللهُ عَلَيهِم

Allah telah menimpakan kebinasaan atas mereka

Allah telah hancurkan mereka yang menolak tauhid dan menentang Rasul mereka. Maka kenanglah kejadian itu. Ubahlah perangai jangan jadi seperti mereka itu.

Ayat ini ditujukan kepada orang-orang kafir kerana orang Islam dilarang untuk pergi ke tempat-tempat yang telah dikenakan dengan azab Allah. Katakan kepada mereka yang engkar itu: kalau kamu tidak percaya dengan wahyu yang Allah turunkan ini maka pergilah berjalan dan tengok bagaimana tempat-tempat yang Allah telah musnahkan itu kerana memang Allah kekalkan tempat-tempat itu untuk memberi pengajaran kepada manusia yang degil. Ada dari tempat-tempat itu Allah sebut pun di dalam Quran ini.

 

وَلِلكافِرينَ أَمثالُها

dan orang-orang kafir akan menerima (akibat-akibat) seperti itu.

Dan bagi orang kafir degil, ada banyak lagi contoh. Kalau mereka engkar, mereka pun akan jadi macam itu juga. Ada banyak lagi kaum yang telah dimusnahkan yang mereka boleh jadikan sebagai contoh dan misalan. Allah beritahu kepada mereka bahawa kalau kafir degil engkar dengan apa yang telah disampaikan maka begitulah yang mereka akan terima. Jadikanlah umat-umat terdahulu sebagai peringatan kepada diri sendiri.


 

Ayat 11: Ayat targhib kepada jihad. Orang mukmin kena sentiasa bersedia untuk melakukan jihad. Kerana jihad ini perlu dijalankan dan Allah akan bantu umat Islam kalau terus melakukan jihad. Maka jangan takut untuk melakukan jihad kerana Allah adalah mawla kita.

ذٰلِكَ بِأَنَّ اللهَ مَولَى الَّذينَ آمَنوا وَأَنَّ الكافِرينَ لا مَولىٰ لَهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That is because Allāh is the protector of those who have believed and because the disbelievers have no protector.

(MELAYU)

Yang demikian itu kerana sesungguhnya Allah adalah pelindung orang-orang yang beriman dan sesungguhnya orang-orang kafir itu tidak mempunyai pelindung.

 

ذٰلِكَ بِأَنَّ اللهَ مَولَى الَّذينَ آمَنوا

Yang demikian itu kerana sesungguhnya Allah adalah pelindung orang-orang yang beriman

Allah kekalkan tempat-tempat musuh Islam yang telah dihancurkan itu dan Allah ceritakan kisah-kisah mereka dalam Qur’an supaya umat Islam yakin dengan janji-janji Allah. Allah telah penuhi janjiNya untuk memusnahkan umat yang engkar dari dulu lagi.

Dan dengan membaca kisah-kisah itu, dapatlah kita yakin bahawa Allah sahaja mawla kepada orang beriman. Allah akan tetap bantu orang mukmin. Kalimah ‘wali’ adalah seseorang yang mahu jaga dan lindung kita. Sedangkan ‘mawla’ pula yang adalah yang memang sedang memelihara. Tidak semestinya wali dapat membantu orang lain walaupun dia hendak membantu, kerana ada orang yang nak jaga, tapi mungkin mereka tidak mampu nak bantu dan lindung.

 

وَأَنَّ الكافِرينَ لا مَولىٰ لَهُم

dan sesungguhnya orang-orang kafir itu tidak mempunyai pelindung.

Allah tegaskan yang orang-orang kafir tidak ada mawla, mereka cuma ada wali sahaja. Mereka pun tidak ada kuasa untuk melindungi orang yang mereka hendak beri pertolongan mereka.

Ini adalah kerana semasa berperang dengan orang Islam, orang-orang kafir itu memohon pertolongan dari berhala dan ilah-ilah mereka, tapi Nabi jawap yang mereka tidak ada mawla. Walaupun orang kafir dan ada kekuatan senjata, mereka tidak ada pelindung. Kerana pelindung yang sebenarnya adalah Allah taala.

Abu Sufyan pergi seraya mendendangkan syair yang isinya, “Tinggilah Hubal, tinggilah Hubal!” (Hubal nama berhala yang disembah mereka). Maka Rasulullah Saw. bersabda, “Mengapa kalian (kepada para sahabat) tidak menjawabnya?” Mereka bertanya, “Apa yang harus kami katakan?” Rasulullah Saw. bersabda:

اللَّهُ أَعْلَى وَأَجَلُّ

Allah lebih tinggi dan lebih agung.

Abu Sufyan berkata lagi, “Kami mempunyai Uzza, dan tiada Uzza bagi kalian.” (maksudnya kejayaan yang namanya kebetulan sama dengan berhala sembahan mereka). Rasulullah Saw. bersabda (kepada para sahabatnya), “Mengapa kalian tidak menjawabnya?” Mereka bertanya, “Apakah yang harus kami katakan, wahai Rasulullah?” Rasulullah Saw. bersabda:

اللَّهُ مَوْلَانَا وَلَا مَوْلَى لَكُمْ

Allah adalah Pelindung kami, dan tiada pelindung bagi kalian.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 047: Muhammad. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s