Tafsir Surah Muhammad Ayat 1 – 4 (Kelebihan jihad)

Pengenalan

Surah ini diturunkan sebelum Perang Badr berlaku. Selain dari Surah Muhammad ini, Surah Baqarah pun begitu juga. Ianya adalah persediaan kepada Perang yang akan berlaku di Badr. Oleh itu, Surah Muhammad ini adalah sambungan dari apa yang telah ada dalam Surah Baqarah. Allah jadikan perbicaraan tentang perang di dalam surah yang lain. Dan stail surah ini pun lain dari surah-surah yang lain; kita boleh lihat bagaimana ia dimulai dengan isim mausul.

Surah ini turun selepas surah-surah Hamim Tujuh yang menyentuh tentang tauhid – maka sepatutnya mereka yang membaca surah ini, tauhid mereka sudah kemas. Maka seterusnya adalah diarahkan untuk perang untuk menegakkan tauhid. Dan inilah arahan kepada Nabi Muhammad. Maka kita sebagai umat baginda pun kenalah ikut apa yang telah dilakukan oleh baginda. Kita kena ingat yang Allah yang arahkan peperangan untuk menegakkan tauhid itu. Nabi Muhammad telah diarah untuk memerangi seluruh manusia sehingga mereka terima apa yang telah diajar dalam Surah-surah Hamim Tujuh dan Surah Zumar.

Oleh kerana surah ini ada elemen perang maka ia juga dinamakan Surah Qital (Surah Perang). Sebelum memulakan perang menegakkan tauhid itu, kita kena pastikan mukmin yang terlibat dalam jihad itu benar-benar putih dan yang dilawan itu hitam sungguh-sungguh. Kerana kita tidak mahu berada di pihak yang salah dan kita tidak mahu menyerang pihak yang tidak bersalah. Maka surah ini ajar bandingan antara musuh. Oleh sebab perbezaan itu penting, maka kerana itu arahan qital tidak diberikan di awal Islam. Kerana Allah nak pastikan iman para mujahid itu telah mantap.

Mungkin kita rasa agak berat untuk menyerang musuh Islam. Oleh itu kita kena sedar yang Allah izinkan qital kerana pihak Muslim telah dizalimi. Sebelum ini, Allah tidak izinkan berperang walaupun sahabat dah minta izin untuk serang balas kepada musuh yang telah menyerang, menindas dan menyakiti mereka. Kita juga kena sedar yang manusia memang berperang pun dari dulu lagi, jadi kalau peperangan terjadi, itu adalah perkara biasa sahaja. Tapi Allah tidak benarkan lagi peperangan di awal Islam kerana itu adalah qital ala kafir (perang cara kufur). Maka Allah tangguhkan keizinan berperang sampailah Allah izinkan dan keizinan ini terdapat dalam surah al-Hajj. Allah izinkan berperang selepas lebih 70 ayat larang perang. Allah tidak benarkan umat Islam berperang lagi waktu awal kerana bimbang umat Islam berperang kerana sebab yang salah. Kalau mati ketika perang kerana salah sebab, maka akan masuk neraka. Maka memang bahaya sungguh.

Jadi kena pastikan iman dan tauhid sudah mantap dan benar, barulah dibenarkan berperang. Jihad dalam Islam berbeza dengan perang biasa yang sudah dilakukan oleh manusia dari dulu lagi. Kita disuruh berperang untuk sampaikan ayat-ayat Allah. Kerana tugas kita kena sampaikan wahyu Qur’an kepada orang bukan Islam. Dan penyampaian wahyu itu sebenarnya sudah bermula dari period Mekah lagi apabila umat Islam disuruh tabligh kepada manusia.

Setelah Islam mula bertapak di Madinah, umat Islam sudah semakin ramai. Tapi ada beza antara Muslim Mekah dan Muslim Madinah. Muslim Mekah sudah banyak berkorban untuk menegakkan dan mengamalkan ajaran Islam. Jadi mereka sudah tahu apakah maksudnya menjadi muslim. Akan tetapi Muslim Madinah belum lagi diuji sebegitu. Memang mereka sudah nampak Islam itu indah, tapi tiba-tiba apabila Nabi Muhammad sudah mengeluarkan arahan berperang, mereka teragak-agak. Sebelum itu Nabi sudah hantar 8 sariyah (serangan kecil) sebelum Perang Badr terjadi lagi.

Tapi mereka masih lagi tidak yakin. Oleh kerana itu apabila Nabi beri arahan berperang di Badr, ada antara mereka yang rasa berat hati. Ramai dari kalangan golongan Muslim Madinah berasa tidak patut berperang berterusan dengan musyrikin Mekah. Mereka rasa macam tak patut kalau serang musuh, kenapa tak berbincang sahaja? Kita kena sedar yang mereka itu bukan munafik tapi memang orang Islam yang masih tidak faham lagi. Muslim Mekah sudah tahu apa yang berlaku. Mereka tahu yang Islam itu agama yang aman tapi masih ada keperluan untuk berperang. Kerana waktu itu mereka sudah ada negara, mereka bukan kumpulan sahaja lagi. Ini penting untuk difahami kerana apabila sudah ada negara, kena ada undang-undang.

Kita telah belajar di dalam Surah-surah Hamim Tujuh yang mengajar kita bahawa hanya Allah sahaja yang layak disembah dan diseru dalam doa. Jadi kita sudah belajar tentang akidah yang utama iaitu tauhid dalam berdo’a dan tauhid dalam menyembah. Dan sekarang kita masuk ke dalam Surah Muhammad yang mengajar kita bahawa jikalau ada manusia yang tidak mahu menerima Islam ini, maka kita perlu menyampaikan agama ini dengan perang. Kerana kita tidak boleh membenarkan mereka yang kufur itu terus menghalang orang lain dari masuk ke dalam syurga Allah. Kerana sebenarnya manusia yang degil dan menentang Islam ini tidak ramai. Yang ramai itu adalah mereka yang takut dan mengikut sahaja apa yang dikatakan oleh pemimpin mereka. Kerana itu kalau kita lihat di dalam sejarah Islam, para sahabat yang berjuang dan juga golongan salaf yang berjuang untuk memperkenalkan agama Islam, mereka itu tidak ramai yang mati tetapi hasil dari usaha mereka itu begitu ramai sekali yang telah masuk ke dalam Islam. Ini adalah kerana selepas dimusnahkan pemimpin dan tentera-tentera mereka, rakyat jelata keseluruhannya mudah untuk masuk Islam. Kerana yang menentang Islam itu dari tersebar hanyalah golongan atasan sahaja. Kerana apabila penghalang dakwah telah tiada maka rakyat jelata dapat mengenali Islam dan mereka dengan redha masuk Islam. Jadi kita kena sedar bahawa peperangan itu adalah sebagai pembuka ruang kepada golongan-golongan yang tertindas untuk membebaskan diri mereka.

Jadi tidaklah Islam itu memaksa orang lain masuk Islam dengan cara perang. Kita kena tahu bahawa mereka yang masuk Islam itu setelah negara mereka diserang adalah kerana mereka rela untuk masuk Islam setelah mereka mengenali Islam. Sebelum itu mereka tidak kenal Islam melainkan propaganda yang disampaikan oleh pemimpin mereka sahaja.

Jadi di dalam Surah Muhammad ini mengandungi syarat perang di mana Allah menyuruh kita berperang untuk menyebarkan agama dan mengajar cara-cara perang itu.

Dan di dalam surah ini juga mengandungi kutukan Allah kepada mereka yang duduk di dalam negara Islam tetapi tidak suka untuk berperang. Ini adalah golongan yang tidak mahu berjihad ataupun mengeluarkan harta untuk membantu proses jihad. Mereka ini adalah golongan munafik sebenarnya.

Kaitan dengan surah-surah selepasnya

Kita telah tahu sebelum Surah Muhammad ini adalah Surah-surah Hamim Tujuh tentang tauhid. Dan selepas surah Muhammad ini kita akan belajar surah al-Fath di mana Allah memberitahu kepada kita, jikalau kita menjalankan jihad dengan benar, Allah akan bantu dengan memberi kemenangan kepada umat Islam. Allah memberi janji kemenangan kepada mereka yang mahu berkorban untuk menegakkan agama Islam di atas bumi ini. Kepada mereka yang terkorban di dalam medan perang, mereka dijanjikan dengan syurga dan kepada mereka yang menang, mereka dijanjikan dengan kejayaan membuka kawasan Islam yang baru dan kerana itu mereka akan mendapat pahala yang berpanjangan dari Islamnya orang-orang yang baru itu. Mereka akan dapat pahala yang banyak kerana memasukkan orang lain ke dalam agama Islam. Itu merupakan saham akhirat yang berpanjangan untuk mereka. Kerana keturunan yang awal masuk Islam juga akan terus berada dalam Islam, bukan?

Dan selepas kejayaan umat Islam membuka dan membina Negara Islam yang semakin luas, maka tentunya negara Islam memerlukan perundangan Islam. Dan ini  diceritakan di dalam surah yang seterusnya iaitu sudah Hujurat. Dalam surah itu Allah mengajar cara-cara untuk hidup di dalam negara Islam. Kerana kalau umat Islam tidak mengikut cara-cara yang dia ajar oleh Allah itu, maka negara Islam itu akan menjadi kucar kacir dan rosak.

Maka tiga surah ini, iaitu Surah Muhammad, Surah Fath dan Surah Hujurat adalah tiga suruh yang serangkai yang berkait rapat antara satu dengan lainnya.

Muqaddimah Surah

Surat ini terbahagi kepada dua bahagian:

Ayat 1 – 19 adalah Bahagian Pertama. Terdapat contoh-contoh perbandingan di dalam bahagian pertama ini. Iaitu perbandingan antara golongan kafir dan golongan mukmin. Kerana yang berperang untuk pihak Islam itu hendaklah memastikan yang dirinya orang yang beriman. Tidak boleh ada perangai-perangai Yahudi atau Nasara, atau sifat-sifat orang kafir. Dan kena pastikan yang busuk itu memang benar-benar orang kafir. Hanya apabila dia seorang muslim sebenar yang mengamalkan agama Islam dengan benar dan menentang puak yang benar-benar kafir, barulah ada bantuan dari Allah dalam perang.

Ayat 20 hingga akhir adalah Bahagian Kedua. Dalam bahagian ini Allah memberitahu sifat-sifat munafik yang tidak patut ada dalam pasukan Islam. Khalifah kena pastikan bahawa tidak ramai yang bersifat munafik ini kerana mereka ini akan menjadi golongan musuh dalam selimut. Mereka ini adalah orang yang dari segi luarannya bersifat Islam tetapi dari amalan dan fikiran mereka itu adalah kufur. Golongan yang sebegini akan menyebabkan tertahannya bantuan Allah s.w.t. kerana jikalau akidah mereka rosak maka amalan mereka juga rosak. Ini penting kerana Allah hanya menjanjikan kemenangan kepada golongan mukmin yang sebenar saja. Jadi untuk mengenali mereka, Allah ceritakan tentang sifat-sifat mereka dalam bahagian kedua dari Surah Muhammad ini.


 

Ayat 1: Allah memberi penjelasan siapakah kafir yang benar-benar hitam. Kita kena tahu sifat mereka kerana kita kena pastikan mereka itu memang kafir sebelum mereka diperangi.

الَّذينَ كَفَروا وَصَدّوا عَن سَبيلِ اللهِ أَضَلَّ أَعمالَهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those who disbelieve and avert [people] from the way of Allāh – He will waste their deeds.¹

•i.e., cause them to be lost or make them worthless, earning no reward.

(MELAYU)

Orang-orang yang kafir dan menghalangi (manusia) dari jalan Allah, Allah mensia-sia perbuatan-perbuatan mereka.

 

الَّذينَ كَفَروا

Orang-orang yang kafir

Orang kafir di dalam Qur’an adalah mereka yang bukan sahaja tidak beriman dengan Islam, tapi mereka menentang Islam. Bukannya setakat tidak beragama Islam sahaja. Ini adalah kerana ramai sahaja yang tidak beragama Islam, tapi mereka tidak menentang Islam pun.

 

وَصَدّوا عَن سَبيلِ اللهِ

dan menghalangi (manusia) dari jalan Allah,

Sudahlah dalaman memang sudah kafir, mereka menghalang orang lain pula kepada Islam. Iaitu dengan propaganda yang mereka adakan untuk menghalang agama Islam dari berkembang dan supaya ramai orang Islam keluar dari Islam atau jauh dari agama. Mereka menyebabkan orang yang terasa hendak masuk ke dalam agama Islam pun susah.

 

أَضَلَّ أَعمالَهُم

Allah mensia-siakan amalan-amalan mereka.

Allah beritahu yang orang yang kufur dan menahan orang lain, segala amal baik mereka telah musnah. Kerana orang kafir pun kadang-kadang ada amalan baik mereka juga. Apa sahaja yang dilakukan oleh Musyrikin Mekah itu sudah hancur. Samada untuk dunia atau akhirat. Maka perancangan yang mereka buat untuk berlawan dengan kerajaan Islam di Madinah juga sudah hancur sebenarnya. Rancangan mereka telah gagal sebelum mereka datang pun lagi untuk berperang.

Maka dari ini kita dapat tahu bahawa amalan baik orang kafir itu tidak mendapat balasan di akhirat dan kalau mereka melakukan amalan baik pun, balasan mereka akan dibahagikan di dunia lagi seperti mereka akan mendapat rezeki yang baik, kesihatan yang baik dan sebagainya. Maknanya Allah balas dah siap-siap di dunia lagi, supaya mereka tidak dapat nak tuntut di akhirat kelak. Ini semakna dengan firman-Nya:

{وَقَدِمْنَا إِلَى مَا عَمِلُوا مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَاهُ هَبَاءً مَنْثُورًا}

Dan Kami hadapi amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang beterbangan. (Al-Furqan: 23)

Kalimah yang digunakan adalah أَعمالَ yang dari segi bahasa bermaksud ‘amal yang baik’, bukan amal sahaja. Kerana kalau kita lihat memang ada kebaikan pun pada orang kafir. Ada yang berakhlak baik dan jasa mereka pun banyak kepada dunia. Ada yang buat penemuan sains yang memanfaatkan seluruh dunia. Ada yang banyak tolong orang dan sebagainya. Tapi walaupun amalan mereka itu baik, tapi Allah lenyapkan amal kebaikan mereka itu kerana Allah menilai apa yang ada dalam hati, bukan dari segi luaran sahaja. Kalau akidah mereka tidak benar, maka tidak berguna lagi segala amalan kebaikan mereka itu.

Jadi, ayat ini tentang siapakah orang kafir itu. Kena pastikan yang mereka itu menentang Islam dan menghalang orang lain dari agama Islam juga. Barulah mereka itu boleh diperangi.


 

Ayat 2: Sekarang Allah jelaskan pula siapakah yang dikira sebagai mukmin.

وَالَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ وَآمَنوا بِما نُزِّلَ عَلىٰ مُحَمَّدٍ وَهُوَ الحَقُّ مِن رَبِّهِم ۙ كَفَّرَ عَنهُم سَيِّئَاتِهِم وَأَصلَحَ بالَهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who believe and do righteous deeds and believe in what has been sent down upon Muḥammad – and it is the truth from their Lord – He will remove from them their misdeeds and amend their condition.

(MELAYU)

Dan orang-orang mukmin dan beramal soleh serta beriman kepada segala apa yang diturunkan kepada Muhammad dan itulah yang haq dari Tuhan mereka, Allah menghapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan memperbaiki keadaan mereka.

 

وَالَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ

Dan orang-orang mukmin dan beramal soleh

Ini adalah orang yang beriman sempurna. Iaitu beriman seperti yang sepatutnya. Dan iman yang sempurna adalah tidak ada syirik di dalam fahamannya.

Dan dia membuktikan imannya itu dengan beramal. Tidaklah mulut sahaja kata beriman, tapi tiada amalan yang dilakukan. Beramal pula kena dengan amalan yang soleh. Iaitu amalan yang sunnah – yang ada contoh dari Nabi dan para sahabat. Jangan pula amalkan amalan bidaah.

 

وَآمَنوا بِما نُزِّلَ عَلىٰ مُحَمَّدٍ

serta beriman kepada segala apa yang diturunkan kepada Muhammad

Dan mereka beriman dengan apa yang diturunkan kepada Muhammad. Kerana mereka percaya apa yang Nabi bawa adalah al-haq, iaitu dari wahyu.

Tapi apakah dia yang diturunkan kepada baginda? Salah satunya tentulah Qur’an tapi bukan itu sahaja. Ia termasuk apa sahaja yang diberikan kepada baginda. Samada Qur’an atau Sunnah. Kedua-duanya kena terima dan diimani. Ini penting kerana ada kalangan munafik yang kononnya mahu terima Qur’an sahaja, mereka tak berapa nak pakai hadis dari Nabi. Ini adalah kerana mereka berhujah yang baginda itu adalah seorang manusia sahaja dan mungkin adalah melakukan kesalahan atau kesilapan. Seolah-olah mereka kata yang Nabi Muhammad itu sebagai tukang bawa surat sahaja (posmen).

Sekarang kita lihat Allah sudah mula sebut tentang Nabi Muhammad di dalam ayat ini. Hanya ada 4 kali sahaja nama Nabi Muhammad disebut dalam Qur’an. Dan tiga kali dari empat itu, Allah gunakan kalimah ‘Rasul’ bersamanya. Iaitu apabila ada kalimah ‘Muhammad’ atau ‘Ahmad’, akan ada ditambah dengan kalimah ‘Rasulullah’. Ini adalah salah satu dari kemuliaan Nabi Muhammad yang diisyaratkan oleh Allah. Kerana memang Allah bila bercakap dengan Nabi Muhammad di dalam Qur’an, ianya berlainan kalau bercakap dengan Nabi-nabi yang lain – Nabi lain disebut nama sahaja – ya Ibrahim, ya Yahya, ya Zakariya dan sebagainya. Akan tetapi, di dalam Qur’an, Allah tidak pernah berfirman ya Muhammad – tapi Allah panggil dengan gelaran baginda.

Tetapi dalam ayat ini, Allah sebut nama Muhammad, tapi tidak disebut Rasulullah bersamanya. Agaknya kenapa? Ini adalah kerana kalimah ‘Rasul’ adalah bermaksud ‘pembawa risalah’ iaitu risalah dari Allah. Allah nak tolak sesetengah fahaman salah seperti golongan yang munafik itu. Bukankah golongan munafik kata baginda hanya ‘pembawa surat’ sahaja? Maka Allah nak beritahu yang apa sahaja yang diberikan kepada baginda adalah haq. Baginda bukan sahaja bawa apa yang Allah sampaikan, bukan posmen sahaja, bukan hanya ulang kembali apa yang Allah kata. Ini bermaksud apa sahaja arahan dari baginda kena diikuti, walaupun ianya bukan dalam bentuk ayat Qur’an. Dan arahan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah arahan perang untuk menyerang kafilah Abu Sufyan iaitu peristiwa sebelum terjadinya Perang Badr.

 

وَهُوَ الحَقُّ مِن رَبِّهِم

dalam keadaan mereka menerima yang itulah haq dari Tuhan mereka,

Dan baginda adalah al-haq dan apa yang baginda katakan adalah al-haq. Dan memang wahyu yang dibawa oleh Rasulullah itu adalah kebenaran. Tapi wahyu itu bukan hanya dalam bentuk ayat-ayat Qur’an sahaja, tapi ia ada dalam bentuk hadis, ada dalam bentuk hikmah.

 

كَفَّرَ عَنهُم سَيِّئَاتِهِم

Allah menghapuskan kesalahan-kesalahan mereka

Sesiapa yang beriman begitu, beriman seperti yang sepatutnya, Allah berjanji yang Allah akan tutup dosa-dosa mereka. Tentu mereka ada buat dosa juga, bukan? Walaupun mereka itu beriman, tapi tentu ada sedikit sebanyak kesalahan dan dosa yang dilakukan. Tapi Allah beri berita baik yang Dia akan ampunkan.

 

وَأَصلَحَ بالَهُم

dan memperbaiki keadaan mereka.

Dan Allah berjanji akan memperbaiki hal mereka dengan diberikan taufik kepada mereka. Maksudnya, Allah akan baiki hati mereka supaya mereka layak masuk syurga. Allah akan baiki dan bina mereka dari masa ke semasa. Allah akan bawa mereka ke arah kebaikan. Ini adalah kerana apabila taat kepada Nabi, mereka akan jadi semakin kuat, semakin baik.

Ia juga bermaksud Allah akan memberi kepada mereka taufik untuk melakukan amalan baik dan terus melakukan amalan baik. Itulah maksudnya Allah akan islahkan mereka. Kerana kita tidaklah terus bermula menjadi sempurna, malah memerlukan masa untuk berubah ke arah kebaikan, bukan? Dan caranya adalah bermula dengan iman yang betul – beriman dengan Allah dan beriman dengan Rasulullah. Dari situ akan membuka jalan kepada kebenaran dan kebaikan. Lihatlah betapa besarnya iman dan amal soleh.

Maka perkara-perkara ini kena ada dalam diri umat Islam sebelum boleh berperang. Kena faham perkara ini dulu. Kerana kalau tidak, kalau iman tidak sempurna, Allah tidak akan beri bantuan.


 

Ayat 3: Hikmah beza antara kufur dan iman.

ذٰلِكَ بِأَنَّ الَّذينَ كَفَرُوا اتَّبَعُوا الباطِلَ وَأَنَّ الَّذينَ آمَنُوا اتَّبَعُوا الحَقَّ مِن رَبِّهِم ۚ كَذٰلِكَ يَضرِبُ اللهُ لِلنّاسِ أَمثالَهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That is because those who disbelieve follow falsehood, and those who believe follow the truth from their Lord. Thus does Allāh present to the people their comparisons.1

•So that they may know the results of their choice.

(MELAYU)

Yang demikian adalah kerana sesungguhnya orang-orang kafir mengikuti yang bathil dan sesungguhnya orang-orang mukmin mengikuti yang haq dari Tuhan mereka. Demikianlah Allah membuat untuk manusia perbandingan-perbandingan bagi mereka.

 

ذٰلِكَ بِأَنَّ الَّذينَ كَفَرُوا اتَّبَعُوا الباطِلَ

Yang demikian adalah kerana sesungguhnya orang-orang kafir mengikuti yang bathil

ذٰلِكَ  merujuk kepada dua ayat sebelum ini yang mana Allah telah memberikan perbezaan antara orang kafir dan orang yang beriman. Maka sekarang Allah hendak memberitahu apakah hikmah perbezaan itu.

Amalan dan rancangan orang kafir akan dihancurkan kerana mereka ikut kebathilan. Kalimah اتَّبَعُوا di dalam bentuk past tense. Maknanya, mereka telah tunjuk yang mereka telah ikut yang bathil. Ianya telah pun berlaku. Maka tidak ada harapan lagi untuk mereka. Sekarang adalah masa untuk berperang dengan mereka, bukan nak berbincang lagi dengan mereka.

 

وَأَنَّ الَّذينَ آمَنُوا اتَّبَعُوا الحَقَّ مِن رَبِّهِم

dan sesungguhnya orang-orang mukmin mengikuti yang haq dari Tuhan mereka.

Sedangkan orang mukmin ikut perintah dan arahan dari Allah. Dan begitulah perbandingan orang yang beriman dan orang yang kufur. Manusia dari dulu sampai sekarang ada yang berperangai dalam biman dan ada yang berperangai kufur. Ini telah banyak disebut dalam ayat-ayat Qur’an yang lain. Dan sebagaimana mereka yang dulu dikenakan dengan azab oleh Allah kerana kesalahan yang mereka lakukan dalam agama, maka Musyrikin Mekah juga akan kena azab. Tapi kali ini, Nabi Muhammad yang akan menyerang mereka dan menghancurkan mereka. Allah beri tangan baginda yang melakukannya dan ini tidak diberikan kepada Nabi-nabi yang lain. Kerana Nabi-nabi lain, umat mereka yang engkar dimusnahkan dengan azab Allah seperti angin, tempikan, banjir, gegaran dan sebagainya.

 

كَذٰلِكَ يَضرِبُ اللهُ لِلنّاسِ أَمثالَهُم

Demikianlah Allah membuat untuk manusia perbandingan-perbandingan bagi mereka.

Begitulah Allah hendak menceritakan kepada manusia keadaan manusia yang berbeza: antara orang beriman dan orang yang kufur. Dan kerana amalan dan iman mereka pun berlainan, maka balasan dari Allah juga berlainan. Begitulah Allah sentiasa jelaskan keadaan yang sebenarnya supaya kita dapat bezakan. Asalkan kita mahu belajar dan mengambil pelajaran dari wahyuNya. Kalau kita tidak belajar, kita tidak faham dan tidak sedar kenapa kita kena serang orang-orang kafir itu.


 

Ayat 4: Apabila sudah tahu beza antara siapa yang beriman dan siapa yang kufur, barulah boleh berperang. Sekarang Allah ajar cara berperang.

فَإِذا لَقيتُمُ الَّذينَ كَفَروا فَضَربَ الرِّقابِ حَتّىٰ إِذا أَثخَنتُموهُم فَشُدُّوا الوَثاقَ فَإِمّا مَنًّا بَعدُ وَإِمّا فِداءً حَتّىٰ تَضَعَ الحَربُ أَوزارَها ۚ ذٰلِكَ وَلَو يَشاءُ اللهُ لَانتَصَرَ مِنهُم وَلٰكِن لِيَبلُوَ بَعضَكُم بِبَعضٍ ۗ وَالَّذينَ قُتِلوا في سَبيلِ اللهِ فَلَن يُضِلَّ أَعمالَهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So when you meet those who disbelieve [in battle], strike [their] necks until, when you have inflicted slaughter upon them, then secure their bonds,¹ and either [confer] favor² afterwards or ransom [them] until the war lays down its burdens.³ That [is the command]. And if Allāh had willed, He could have taken vengeance upon them [Himself], but [He ordered armed struggle] to test some of you by means of others. And those who are killed in the cause of Allāh – never will He waste their deeds.

•i.e., take those remaining as captives.

•i.e., release them without ransom.

•i.e., its armor, machinery, etc., meaning “until the war is over.”

(MELAYU)

Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir (di medan perang) maka pancunglah batang leher mereka. Sehingga apabila kamu telah mengalahkan mereka maka tawanlah mereka dan sesudah itu kamu boleh membebaskan mereka atau menerima tebusan sampai perang berakhir. Demikianlah apabila Allah menghendaki nescaya Allah akan membinasakan mereka tetapi Allah hendak menguji sebahagian kamu dengan sebahagian yang lain. Dan orang-orang yang syahid pada jalan Allah, Allah tidak akan menyia-nyiakan amal mereka.

 

فَإِذا لَقيتُمُ الَّذينَ كَفَروا فَضَربَ الرِّقابِ

Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir (di medan perang) maka pancunglah batang leher mereka.

Oleh kerana sudah tahu perbezaan antara orang kafir dan orang beriman maka orang beriman tidak boleh membiarkan orang-orang kafir itu meneruskan kekafiran mereka. Maka mereka kenalah diperangi. Tapi tidaklah mereka itu terus diserang tetapi hendaklah mereka diberi dakwah dan pilihan untuk memperbaiki keadaan mereka selama tiga hari. Selepas tiga hari itu mereka boleh memilih untuk terus masuk ke dalam agama Islam atau mungkin mereka hendak berfikir dahulu maka mereka boleh membayar jizyah ataupun mereka boleh berperang dengan umat Islam. Oleh itu pilihan ada tiga:

  1. Masuk agama Islam.
  2. Bayar jizyah
  3. Bersedia untuk berperang.

Jadi pada hari keempat itu, kalau mereka tidak buat pilihan satu atau yang kedua, maka ia  adalah hari peperangan.

Dan Allah ajar, bila jumpa orang kafir di medan perang, maka serang bunuh terus mereka, iaitu terus tebang tengkuk mereka. Supaya mereka terus mati dengan cepat. Begitulah Allah ajar cara berperang. Ini adalah satu hikmah juga iaitu bagi mereka cepat mati. Dalam berperang pun Allah tidak beri kita nak seksa mereka. Dalam ayat yang lain, ada  disebut potong tangan mereka. Makanya, cara perang yang Allah ajar adalah ringkas dan padat.

 

حَتّىٰ إِذا أَثخَنتُموهُم فَشُدُّوا الوَثاقَ

Sehingga apabila kamu telah mengalahkan mereka maka tawanlah mereka

Perangilah mereka sehingga darah mengalir. Dan kalimah أَثخَنتُموهُم dari  ث خ ن yang bermaksud mengalahkan, menundukkan. Apabila dah kalahlah mereka, maka tawanlan mereka dan فَشُدُّوا ketatkan الوَثاقَ tali yang mengikat mereka. Ini adalah cara apabila dah tangkap musuh. Ketatkan tali ikatan, jangan ikat dengan cara senang, cara lembut. Cara  ikat pun Allah ajar -r ikat pun kena kuat supaya mereka rasa sakit. Supaya orang lain yang nampak apa yang dikenakan kepada mereka akan rasa takut. Supaya orang lain jangan berani nak lawan Islam. Kita memang agama yang mengajar kelembutan, tapi tidak ada gunanya berlembut dengan musuh.

 

فَإِمّا مَنًّا بَعدُ

dan sesudah itu kamu boleh membebaskan mereka 

Selepas ditawan mereka itu, ketua perang boleh buat keputusan apa yang hendak dilakukan kepada mereka. Salah satu pilihan adalah dengan membebaskan mereka.

 

وَإِمّا فِداءً حَتّىٰ تَضَعَ الحَربُ أَوزارَها

atau menerima tebusan sampai perang berakhir.

Atau boleh ambil tebusan dari mereka. Dan keputusan ini akan dibuat oleh pemerintah. Ikut budi bicara pemerintah mengikut keadaan. Oleh itu, ada beberapa pilihan yang boleh dipilih:

  1. Bunuh mereka terus,
  2. Lepas atau bebaskan mereka,
  3. Ambil tebusan dari mereka. Iaitu mereka ditebus oleh orang lain dari pasukan mereka,
  4. Tukar orang tawanan kafir itu dengan orang tawanan dari puak Muslim.

Imam Syafii rahimahullah pula telah mengatakan bahawa imam boleh memilih antara menghukum mati, atau membebaskannya dengan cuma-cuma atau dengan tebusan atau dengan memperbudaknya (memperhambakan). Masalah ini diterangkan di dalam kitab-kitab feqah. Boleh baca lagi perbincangan ulama tentang perkara ini.

Maknanya, salah satu pilihan adalah boleh ambil tebusan. Kadangkala, mereka yang diperangi itu adalah ahli keluarga mujahideen itu juga. Sebagai contoh, apabila peperangan Badr, pihak musuh itu adalah dari ahli keluarga orang Mekah juga. Mereka sudah lama tak jumpa dan sekarang berjumpa di medan peperangan pula. Tapi mereka itu tetap dianggap sebagai musuh kerana mereka itu bukan ahli keluarga mereka lagi. Mereka bukan lagi ahli keluarga kerana mereka dah menentang agama Islam. Maka mereka tidak boleh dilayan seperti ahli keluarga yang biasa lagi.

Bolehlah pilih mana-mana pilihan, sampailah perang dah berhenti. Iaitu sehingga golongan kafir itu kalah perang dan letak senjata. Iaitu apabila mereka mengaku kalah dan tidak lagi membahayakan puak Mukmin. Maka, kena lawan dengan mereka sampai mereka kalah dan tanah mereka menjadi tanah jajahan orang Islam. Itulah maksudnya sampai mereka letak senjata.

Pun begitu, ayat ini boleh ditafsir dengan dua cara. Ini adalah kerana ada peperangan (war) dan ada pertempuran (battle):

  1. Tidak boleh ambil tebusan dan kena bunuh mereka sehingga perang dengan musyikin dah habis. Iaitu apabila perang itu habis secara keseluruhan.
  2. Boleh ambil tebusan setelah pertempuran selesai (peperangan belum habis lagi). Dan kemudian kena sambung perang sehinggalah habis perang dengan puak musyrikin Mekah itu.

Jadi kita kembali kepada kisah Perang Badr. Peperangan sudah bermula puak Mukmin telah memenangi pertempuran di Badr. Dan Nabi telah mengambil tawanan dari pihak yang kalah itu. Nabi mungkin sangka perang sudah habis. Dan kita kena ingat yang surah ini diturunkan sebelum perang bermula pun. Jadi selepas ada tebusan, baginda minta pendapat para sahabat. Ada beberapa pendapat dan dua pendapat yang utama adalah antara Abu Bakr dan Umar. Abu Bakr memberi cadangan supaya diambil tebusan dari pihak musyrikin Mekah itu atau kalau mereka tidak ada harta, maka minta mereka ajar anak-anak orang Islam untuk membaca dan menulis. Akan tetapi, Saidina Umar mengatakan yang mereka itu kena dibunuh semuanya. Ini adalah kerana kalau tidak, nanti mereka akan datang lagi dan menyerang kembali puak Islam. Dan bukan itu sahaja, beliau memberi cadangan, untuk melihat siapakah yang benar-benar setia dengan Islam,  ahli keluarga sendiri yang bunuh ahli keluarga mereka dari Mekah itu.

Nabi dengar semua pendapat dan kerana baginda seorang yang memang berhati lembut, maka baginda pakai pendapat Abu Bakr. Dan kemudian itulah turunnya ayat Anfal:67 yang menegur pilihan baginda itu.

ما كانَ لِنَبِيٍّ أَن يَكونَ لَهُ أَسرىٰ حَتّىٰ يُثخِنَ فِي الأَرضِ

Tidak patut, bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi.

Ayat itu memberitahu yang Nabi tidak patut tebusan perang. Maknanya baginda telah melakukan kesilapan strategik. Maknanya, Allah sama pendapat dengan Saidina Umar. Jadi seolah-olahnya nampak macam Nabi Muhammad telah salah tafsir. Tapi kita kena ingat yang dalam ayat Anfal itu pun memang mengatakan ada ayat tentang perkara ini yang merujuk kepada ayat 4 Surah Muhammad inilah. Lihat ayat 68 itu:

لَولا كِتابٌ مِنَ اللَّهِ سَبَقَ لَمَسَّكُم فيما أَخَذتُم عَذابٌ عَظيمٌ

Kalau sekiranya tidak ada ketetapan yang telah terdahulu dari Allah, niscaya kamu ditimpa siksaan yang besar karena tebusan yang kamu ambil.

Maka kita kena berhati-hati dalam berkata tentang perkara ini. Kita kena sedar yang keputusan yang Nabi buat itu bukan satu ‘dosa’ dan memang dalam perkara yang dibolehkan. Tapi pada baginda, itu pun sudah berat dah. Jadi baginda istighfar dengan banyak sekali selepas peristiwa ini.

Qatadah mengatakan sehubungan dengan firman-Nya: ‘sampai perang berhenti’ dalam ayat ini bermaksud hingga tiada kemusyrikan lagi. Ayat ini semakna dengan firman-Nya:

وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّى لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ كُلُّهُ لِلَّهِ

Dan perangilah mereka, supaya jangan ada fitnah dan supaya agama itu semata-mata untuk Allah. (Al-Anfal: 39)

Ada yang berpendapat yang peperangan dalam Islam tidak akan berhenti. Hal ini telah diriwayatkan oleh Imam Nasai melalui dua jalur, dari Jubair ibnu Nafir, dari Salamah ibnu Nafil As-Sukuni dengan sanad yang sama.

قَالَ أَبُو الْقَاسِمِ الْبَغَوِيُّ: حَدَّثَنَا دَاوُدُ بْنُ رُشَيْد، حَدَّثَنَا الْوَلِيدُ بْنُ مُسْلِمٍ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ مُهَاجِرٍ، عَنِ الْوَلِيدِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ الجُرَشي، عَنْ جُبَيْرِ بْنِ نُفَير، عَنِ النَّوَّاسِ بْنِ سَمْعَانَ قَالَ: لَمَّا فُتِحَ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَتْح فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، سُيِّبَتِ الْخَيْلُ، وَوُضِعَتِ السِّلَاحُ، وَوَضَعَتِ الْحَرْبُ أَوْزَارَهَا، قَالُوا: لَا قِتَالَ، قَالَ: “كَذَبُوا، الْآنَ، جَاءَ الْقِتَالُ، لَا يَزَالُ اللَّهُ يُرَفِّع قُلُوبَ قَوْمٍ يُقَاتِلُونَهُمْ، فَيَرْزَقُهُمْ مِنْهُمْ، حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ عَلَى ذَلِكَ، وعُقْر دَارِ الْمُسْلِمِينَ بِالشَّامِ”.

Abul Qasim Al-Bagawi mengatakan, telah menceritakan kepada kami Daud ibnu Rasyid, telah menceritakan kepada kami Al-Walid, dari Jubair ibnu Muhammad ibnu Muhajir, dari Al-Walid ibnu Abdur Rahman Al-Jarasyi, dari Jubair ibnu Nafir, dari An-Nuwwas ibnu Sam’an r.a. yang mengatakan bahawa ketika Rasulullah Saw. beroleh suatu kemenangan, para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, kuda-kuda perang telah dilepaskan, dan semua senjata telah diletakkan serta peperangan telah berhenti.” Mereka mengatakan pula, “Tidak ada peperangan lagi.” Maka Rasulullah Saw. bersabda: Mereka dusta, sekarang peperangan akan datang lagi; Allah masih terus-menerus menyesatkan hati kaum, maka mereka memeranginya, dan Allah memberi rezeki kepada mereka darinya, hingga datanglah perintah Allah (hari kiamat), sedangkan mereka tetap dalam keadaan demikian (berjuang), dan kekuasaan negeri kaum muslim berada di Syam.

 

ذٰلِكَ وَلَو يَشاءُ اللهُ لَانتَصَرَ مِنهُم

Demikianlah apabila Allah menghendaki nescaya Allah akan membinasakan mereka

Kalimah ذٰلِكَ bermaksud: Begitulah Allah jadikan perang ini untuk memberi banyak kebaikan kepada umat Islam. Dan kelebihan perang ini Allah telah sebut di dalam awal surah Taubah (ada lima kebaikan yang disebut). Salah satunya kerana Allah hendak beri kepuasan hati kepada orang Islam dengan beri peluang kepada mereka untuk membunuh sendiri musuh-musuh mereka yang telah menindas mereka selama mereka berada di Mekah dahulu. Kerana begitulah perasaan manusia, yang kalau ada orang buat zalim kepada mereka, mereka akan puashati kalau mereka sendiri yang mengenakan hukuman kepada orang itu kembali. Dan begitulah peluang yang Allah berikan kepada umat Islam untuk membalas sendiri kezaliman yang telah dikenakan kepada mereka. Dan peluang ini tidak diberikan kepada umat-umat terdahulu seperti yang telah disebut di atas.

Dan kemudian Allah beritahu, kalau Allah kehendaki, Allah boleh beri kemenangan kepada orang Islam tanpa ada jihad pun. Dan memang Allah telah buat pun kepada golongan umat-umat terdahulu. Dan pada umat Islam zaman Nabi pun ada terjadi begitu, bukan semuanya kena berperang baru menang. Lihatlah macam perang Ahzab yang tidak terjadi pun.

 

وَلٰكِن لِيَبلُوَ بَعضَكُم بِبَعضٍ

tetapi Allah hendak menguji sebahagian kamu dengan sebahagian yang lain.

Allah boleh beri kemenangan kepada umat Islam tanpa jihad, tetapi Allah nak uji mereka. Jihad disyariatkan untuk kebaikan umat Islam sebenarnya. Kerana banyak perkara di dalam peperangan itu adalah ujian yang berat-berat. Dan dengan ujian itu dapat menghilangkan sifat kemunafikan. Ianya juga adalah ujian kepada keyakinan mereka dalam agama, walaupun ianya susah.

Dengan sebagagian yang lain itu adalah orang kafir. Allah uji kita dengan adanya orang kafir itu. Mereka itu adalah ujian bagi kita.

 

وَالَّذينَ قُتِلوا في سَبيلِ اللهِ فَلَن يُضِلَّ أَعمالَهُم

Dan orang-orang yang syahid pada jalan Allah, Allah tidak akan menyia-nyiakan amal mereka.

Ini adalah satu lagi kelebihan yang besar. Ayat ini adalah targhib kepada qital. Allah nak bagi para pejuang itu peluang untuk ke syurga dengan jalan pintas. Kerana kalau mereka mati di medan perang, roh mereka akan terus masuk ke syurga. Maknanya mereka terus dapat nikmat syurga tanpa perlu tunggu penghakiman di Mahsyar. Dan ini adalah kelebihan hanya untuk para syuhada sahaja. Allah tidak akan sia-siakan amal mereka. Mereka akan dapat balasan yang lebih baik lagi dari apa yang mereka lakukan. Kerana perang itu sekejap sahaja, sedangkan balasan baik itu adalah untuk selama-lamanya.

Kalau mati syahid, dapat terus masuk syurga. Tapi kalau tidak mati, menang pula dalam peperangan itu, para mujahid boleh dapat harta ghanimah yang banyak. Ianya adalah harta yang paling bersih dan paling halal. Ianya paling halal kerana harta itu didapati kerana bertarung nyawa dan darah. Ini adalah kelebihan umat Nabi Muhammad kerana umat-umat dahulu tidak dapat ghanimah. Kalau ada peperangan dan mereka rampas harta dari musuh, harta itu akan dikumpulkan dan Allah akan datangkan api dari langit untuk menyambar harta rampasan itu.

Di antara mereka ada yang pahala amalnya terus mengalir kepadanya selama dalam alam kuburnya, sebagaimana yang telah diterangkan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam kitab musnadnya yang menyebutkan bahwa:

حَدَّثَنَا زَيْدُ بْنُ يَحْيَى الدِّمَشْقِيُّ، حَدَّثَنَا ابْنُ ثَوْبَانَ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ مَكْحُولٍ، عَنْ كَثِيرِ بْنِ مُرّة، عَنْ قَيْسٍ الْجُذَامِيِّ -رَجُلٍ كَانَتْ لَهُ صُحْبَةٌ-قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وسلم: “يُعْطَى الشَّهِيدُ سِتُّ خِصَالٍ عِنْدَ أَوَّلِ قَطْرَةٍ مِنْ دَمِهِ: يُكَفر عَنْهُ كُلُّ خَطِيئَةٍ، وَيَرَى مَقْعَدَهُ مِنَ الْجَنَّةِ، وَيُزَوَّجُ مِنَ الْحُورِ الْعِينِ، وَيُؤَمَّنُ مِنَ الْفَزَعِ الْأَكْبَرِ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَيُحَلَّى حُلَّة  الْإِيمَانِ”

telah menceritakan kepada kami Zaid ibnu Yahya Ad-Dimasyqi, telah menceritakan kepada kami Ibnu Sauban, dari ayahnya, dari Mak-hul, dari Kasir ibnu Murrah, dari Qais Al-Juzami -seorang lelaki yang berpredikat sahabat- yang telah menceritakan bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Orang yang mati syahid dianugerahi enam perkara, iaitu pada permulaan titis darahnya diampuni semua dosanya, dan dapat melihat kedudukannya kelak di dalam syurga dan akan dikahwinkan dengan bidadari yang bermata jeli, dan diselamatkan dari kegemparan yang dahsyat (hari kiamat) serta diselamatkan dari azab kubur dan dihiasi dengan keimanan yang menyelimuti dirinya.

Di dalam kitab Sahih Muslim disebutkan melalui sahabat Abdullah ibnu Amr, juga dari Abu Qatadah r.a., bahwa Rasulullah Saw. pernah bersabda:

“يُغفر لِلشَّهِيدِ كُلُّ شَيْءٍ إِلَّا الدَّيْن”

Diampuni bagi seorang yang mati syahid segala sesuatunya kecuali masalah hutang.

Ini adalah kerana kalau seorang mujahid itu ada hutang, dia tidak akan dimasukkan terus ke dalam syurga. Rohnya tergantung-gantung sehinggalah Hari Mahsyar untuk dijalankan penghakiman antara dia dan orang yang dia berhutang itu.

Begitulah kelebihan dari segi agama. Dan dari segi psikologi, kita telah sebut yang peperangan itu dapat mengurangi sakit hati umat Islam kepada orang kafir yang telah melakukan onar terhadap umat Islam. Maka Allah bagi kita pancung sendiri dengan tangan kita untuk balas dendam.

Ini semua adalah motivasi untuk berjihad. Kerana itu tepat sekali apabila Allah berfirman: sesiapa yang mati pada jalan Allah, amal mereka tidak sia-sia.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 047: Muhammad. Bookmark the permalink.

One Response to Tafsir Surah Muhammad Ayat 1 – 4 (Kelebihan jihad)

  1. Pingback: Tafsir Surah Muhammad Ayat 1 – 4 (Kelebihan jihad)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s