Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 105 – 111 (Seru nama Allah dalam doa)

Ayat 105: Allah memuji Qur’an yang diturunkanNya.

وَبِالحَقِّ أَنزَلناهُ وَبِالحَقِّ نَزَلَ ۗ وَما أَرسَلناكَ إِلّا مُبَشِّرًا وَنَذيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And with the truth We have sent it [i.e., the Qur’ān] down, and with the truth is has descended. And We have not sent you, [O Muḥammad], except as a bringer of good tidings and a warner.

(MELAYU)

Dan Kami turunkan (Al Quran) itu dengan sebenar-benarnya dan Al Quran itu telah turun dengan (membawa) kebenaran. Dan Kami tidak mengutus kamu, melainkan sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan.

 

وَبِالحَقِّ أَنزَلناهُ وَبِالحَقِّ نَزَلَ

Dan Kami turunkan (Al Quran) itu dengan sebenar-benarnya dan Al Quran itu telah turun dengan (membawa) kebenaran. 

Ini adalah titah Allah kepada orang Mekah dan setiap manusia. Allah hendak menekankan yang diturunkan Qur’an itu adalah untuk menyampaikan kebenaran. Ini adalah kerana orang Mekah itu sangka mereka benar, kerana mereka kata mereka ikut agama Nabi Ibrahim tapi tidak sebenarnya. Oleh itu, Allah beritahu kebenaran yang sebenarnya melalui Qur’an ini dan memang berlainan sekali dengan apa yang mereka faham.

Dan Qur’an itu turun dengan kebenaran. Tidak ada perubahan langsung dari dulu sampai sekarang. Segala apa yang disampaikan dalam Qur’an itu tidak ada yang bersalahan antara satu sama lain. Dan tidak bersalahan langsung dengan fitrah kehendak manusia.

Ada dua kalimah al-haq digunakan dalam ayat ini. Menurut ibn Asyur, kata al-haq yang pertama adalah dengan erti lawan dari keraguan, manakala al-haq yang kedua dalam kerti lawan kebathilan.

 

وَما أَرسَلناكَ إِلّا مُبَشِّرًا وَنَذيرًا

Dan Kami tidak mengutus kamu, melainkan sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan.

Nabi Muhammd diutus untuk beri peringatan dan beri berita gembira. Kepada mereka yang beriman dan mahu mengikut wahyu yang benar itu, mereka akan mendapat berita gembira; tapi kepada mereka yang degil dan menolak wahyu itu, mereka akan diberikan dengan ancaman dan peringatan.


 

Ayat 106:

وَقُرآنًا فَرَقناهُ لِتَقرَأَهُ عَلَى النّاسِ عَلىٰ مُكثٍ وَنَزَّلناهُ تَنزيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [it is] a Qur’ān which We have separated [by intervals] that you might recite it to the people over a prolonged period. And We have sent it down progressively.

(MELAYU)

Dan Al Quran itu telah Kami turunkan dengan beransur-ansur agar kamu membacakannya perlahan-lahan kepada manusia dan Kami menurunkannya bahagian demi bahagian.

 

وَقُرآنًا فَرَقناهُ لِتَقرَأَهُ عَلَى النّاسِ عَلىٰ مُكثٍ

Dan Al Quran itu telah Kami turunkan dengan beransur-ansur agar kamu membacakannya perlahan-lahan kepada manusia

Maksudnya Allah menurunkan ayat-ayat Qur’an itu sikit demi sedikit. Allah menunggu kejadian-kejadian yang berlaku supaya umat dapat pakai apabila perlu. Maka Qur’an itu diturunkan sedikit demi sedikit dan ini adalah rahmat sebenarnya. Tidaklah Qur’an itu diturunkan dengan sekali gus sampai menyusahkan para sahabat untuk mengamalkannya.

Maka Rasul dan sahabat عَلىٰ مُكثٍ (menunggu-nunggu) kedatangan ayat Qur’an untuk memperjelaskan satu-satu perkara dan permasalahan.

Maka begitulah kita kena bersabar untuk belajar Qur’an ini sedikit demi sedikit. Jangan nak cepat habis, sampaikan tidak tahu mana satu nak amalkan dahulu. Kalau terlalu banyak sangat pada satu masa, sampai tidak faham sangat jadinya.

 

وَنَزَّلناهُ تَنزيلًا

dan Kami menurunkannya bahagian demi bahagian.

Oleh kerana keperluan manusia itu berperingkat, maka kerana itu penurunan Qur’an itu mengambil masa yang lama selama 23 tahun. Sebagai contoh, kita boleh lihat dalam ayat-ayat Qur’an, pengharaman arak mengambil masa tiga peringkat. Dan kerana ianya dilakukan sedikit demi sedikit, ia memberi kesan yang bagus untuk mengubah masyarakat. Kerana kalaulah pengharaman itu dilakukan terus, tentu ramai yang akan menentang kerana mereka sudah lama minum arak. Tentu mereka akan memberontak kalau tiba-tiba diharamkan terus arak itu. Oleh itu, Allah mulakan dengan mengatakan ianya lebih banyak buruk dari baik – kemudian Allah meletak hukum tidak boleh minum arak apabila hendak solat sahaja kerana tidak boleh solat dalam keadaan mabuk – kemudian barulah diharamkan terus setelah sekian lama. Kerana fikiran para sahabat sudah dikondisi dengan keburukan arak itu. Mereka sudah bersedia untuk meninggalkannya terus.


 

Ayat 107:

قُل آمِنوا بِهِ أَو لا تُؤمِنوا ۚ إِنَّ الَّذينَ أوتُوا العِلمَ مِن قَبلِهِ إِذا يُتلىٰ عَلَيهِم يَخِرّونَ لِلأَذقانِ سُجَّدًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Believe in it or do not believe.” Indeed, those who were given knowledge before it¹ – when it is recited to them, they fall upon their faces in prostration,

  • i.e., the righteous among the People of the Scriptures who recognize the truth contained in the Qur’ān.

(MELAYU)

Katakanlah: “Berimanlah kamu kepadanya atau tidak usah beriman (sama saja bagi Allah). Sesungguhnya orang-orang yang diberi pengetahuan sebelumnya apabila Al Quran dibacakan kepada mereka, mereka menyungkur atas muka mereka sambil bersujud,

 

قُل آمِنوا بِهِ أَو لا تُؤمِنوا

Katakanlah: “Berimanlah kamu kepadanya atau tidak usah beriman

Setelah diberikan dengan segala hujah, Allah pulangkan kepada manusia yang mendengar Qur’an ini – pilihkan sama mahu ikut beriman atau tidak. Kerana Allah tidak paksa – Allah beri kelebihan memilih kepada manusia dan jin. Kerana itu manusia dan jin diberikan dengan akal untuk memilih. Kerana sudah ada akal, maka telah diberikan hujah yang panjang lebar dalam wahyu dan telah dibangkitkan para Rasul untuk menyampaikannya. Kalau gunakan akal, maka tentu akan sampai kepada kebenaran.

Ayat ini bukanlah beri pilihan kepada manusia untuk tidak beriman. Arahan untuk beriman memang sudah ada, tapi kalau tidak mahu beriman juga, memang akan dikenakan dengan hukuman yang keras nanti di akhirat. Cuma kalau tidak mahu beriman, memang boleh, tapi kena azablah nanti. Kalau berani tidak beriman, silakan. Begitulah maksudnya. Jangan salah faham pula tentang ayat ini.

 

إِنَّ الَّذينَ أوتُوا العِلمَ مِن قَبلِهِ إِذا يُتلىٰ عَلَيهِم يَخِرّونَ لِلأَذقانِ سُجَّدًا

Sesungguhnya orang-orang yang diberi pengetahuan sebelumnya apabila Al Quran dibacakan kepada mereka, mereka menyungkur atas muka mereka sambil bersujud,

Maka gunakanlah akal kamu untuk memilih jalan mana. Samada nak beriman dengan wahyu Qur’an ini atau tidak. Tapi Allah ingatkan tentang mereka yang sudah ada kitab – iaitu Ahli Kitab dari kalangan Yahudi dan Nasara. Iaitu segolongan kecil dari kalangan mereka yang soleh. Iaitu mereka yang berpegang kepada kitab sucinya dan menegakkannya serta tidak meng­ubah dan tidak menggantinya dengan yang lain. Allah menceritakan bagaimana apabila mereka mendengar Qur’an dibacakan, mereka tidak dapat kawal diri, sampai terjatuh atas dagu mereka. Ini adalah kerana kalimah لِلأَذقانِ adalah dari ذ ق ن yang bermaksud ‘dagu’.

Tapi kenapa dagu pula? Sepatutnya kalau sujud di atas dahi, bukan? Memang selalunya sujud atas dahi tapi mereka terjatuh atas dagu mereka kerana tak dapat kawal diri kerana terpesona sangat. Ini adalah rabbi Bani Israil yang menunggu-nunggu kedatangan nabi akhir zaman hampir tidak percaya yang mereka dapat bertemu dengan baginda. Ini kerana keturunan mereka turun temurun sudah lama dah tunggu dan mereka terkejut kerana mereka diberi peluang untuk melihat perkara itu. Keturunan nenek moyang mereka hanya dapat sampaikan pesanan supaya tunggu kedatangan Nabi akhir zaman itu di Madinah (Yathrib) dan diturunkan pesanan itu turun temurun. Tapi mereka yang dapat memenuhi harapan itu. Alangkah bertuahnya mereka! Kerana itu mereka terjatuh atas dagu mereka, dan bukan atas dahi mereka.


 

Ayat 108: Ayat sebelum ini tentang perbuatan mereka yang terus sujud dan ini adalah kalimah yang keluar dari mulut mereka pula.

وَيَقولونَ سُبحانَ رَبِّنا إِن كانَ وَعدُ رَبِّنا لَمَفعولًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they say, “Exalted is our Lord! Indeed, the promise of our Lord has been fulfilled.”

(MELAYU)

dan mereka berkata: “Maha Suci Tuhan kami, sesungguhnya janji Tuhan kami pasti dipenuhi”.

 

وَيَقولونَ سُبحانَ رَبِّنا

dan mereka berkata: “Maha Suci Tuhan kami,

Mereka menyucikan Allah. Tasbih maksudnya mengatakan Allah suci dari kata-kata manusia yang tidak patut tentang Allah. Sebagai contoh, ada yang kata Allah ada anak, maka tasbih itu menolak fahaman itu; ada yang kata Allah memerlukan perantara untuk berdoa kepadaNya, maka tasbih menolak fahaman syirik itu. Maksudnya, mereka menolak segala fahaman syirik tentang Allah.

 

إِن كانَ وَعدُ رَبِّنا لَمَفعولًا

sesungguhnya janji Tuhan kami pasti dipenuhi”.

Tafsiran kedua, tasbih mereka itu adalah bermaksud: Allah suci dari memungkiri janji. Ini adalah kerana Ahli Kitab itu memuji Allah kerana telah memenuhi janji untuk mengangkat Nabi akhir zaman dari Yathrib seperti yang disebut dalam kitab-kitab mereka. Mereka sekarang memuji Allah kerana janji Allah itu telah dipenuhi. Sekarang mereka menjadi umat yang berpeluang untuk bertemu dan beriman dengan Rasul akhir zaman itu. Alangkah beruntungnya mereka!


 

Ayat 109: Selepas disebut tentang Ahli Kitab itu jatuh sujud di atas dagu mereka, sekarang disampaikan Ayat Sajdah di dalam surah ini.

وَيَخِرّونَ لِلأَذقانِ يَبكونَ وَيَزيدُهُم خُشوعًا ۩

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they fall upon their faces weeping, and it [i.e., the Qur’ān] increases them in humble submission.

(MELAYU)

Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyu’.

 

وَيَخِرّونَ لِلأَذقانِ يَبكونَ

Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangis

Sekarang mereka sujud sambil menangis kerana hati mereka tersentuh dengan apa yang terjadi.

 

وَيَزيدُهُم خُشوعًا

dan mereka bertambah khusyu’.

Dan bacaan Qur’an telah meningkatkan hati mereka dalam khusyuk. Khusyuk bermaksud perasaan takut yang sampai menyebabkan badan kaku. Begitulah yang mereka rasa apabila mereka mendengar ayat Qur’an dibacakan.

Mereka faham apa yang disampaikan dalam Qur’an itu dan kerana itulah bacaan Qur’an itu berkesan kepada mereka. Tapi orang kita yang tidak faham tafsir Qur’an, mereka hanya baca sahaja Qur’an itu tanpa memahami pun apa yang mereka baca. Mereka selalu baca Qur’an, tapi mereka tidak ambil pengajaran darinya. Mereka baca Qur’an, tapi mereka tidak sedar yang mereka melakukan amalan yang berlawanan dengan Qur’an. Alangkah ruginya!


 

Ayat 110: Ini adalah Dakwa Utama surah ini. Iaitu Dakwa berkaitan Tauhid. Allah boleh diseru dengan Nama-namaNya yang banyak, asalkan seru Dia sahaja dan jangan seru selainNya.

قُلِ ادعُوا اللهَ أَوِ ادعُوا الرَّحمٰنَ ۖ أَيًّا ما تَدعوا فَلَهُ الأَسماءُ الحُسنىٰ ۚ وَلا تَجهَر بِصَلاتِكَ وَلا تُخافِت بِها وَابتَغِ بَينَ ذٰلِكَ سَبيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Call upon Allāh or call upon the Most Merciful [ar-Raḥmān]. Whichever [name] you call – to Him belong the best names.” And do not recite [too] loudly in your prayer or [too] quietly but seek between that an [intermediate] way.

(MELAYU)

Katakanlah: “Serulah Allah atau serulah Ar-Rahman. Dengan nama yang mana saja kamu seru, Dia mempunyai al asmaaul husna (nama-nama yang terbaik) dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam solatmu dan janganlah pula merendahkannya dan carilah jalan tengah di antara kedua itu”.

 

قُلِ ادعُوا اللهَ أَوِ ادعُوا الرَّحمٰنَ

Katakanlah: “Serulah Allah atau serulah Ar-Rahman.

Kita disuruh untuk serulah salah satu dari nama Allah. Dalam ayat ini disebut asma’ Allah iaitu ar-Rahman. Itu adalah nama Allah juga dan diberitahu kepada musyrikin Mekah kerana mereka tidak tahu. Mereka jahil agama kerana maklumat agama mereka tidak ada, mereka sudah lama tidak ada Nabi dan tidak ada kitab, maka maklumat agama sangat sikit. Yang banyak ada hanyalah kata-kata tok nenek mereka yang reka hal agama, sampaikan mereka jadi sesat dan amalkan amalan syirik.

Oleh kerana jahil, apabila Allah sebut sifat-sifatNya dalam Qur’an, mereka hairan. Mereka dengar seolah-olah nama Allah banyak pula, jadi mereka tanya mana satu yang nak diseru. Disebutkan bahawa Nabi Muhammad SAW sering mengucapkan kalimat “Ya Allah, Ya Rahman”. Maka orang-orang musyrik kata: “Dia melarang kita untuk menyembah dua tuhan, sedangkan dia sendiri menyeru tuhan lain disampingNya”.

Itulah hasil dari kejahilan mereka. Maka Allah nak beritahu, nama Allah sahaja yang banyak, tapi DzatNya hanya satu sahaja. Yang banyak itu nama sifat sahaja, jadi janganlah keliru.

 

أَيًّا ما تَدعوا فَلَهُ الأَسماءُ الحُسنىٰ

Dengan nama yang mana saja kamu seru, Dia mempunyai al asmaaul husna (nama-nama yang terbaik) 

Allah beritahu lagi, mana-mana sahaja nama yang diseru, itu adalah nama-nama yang indah hak Allah. Ianya adalah nama yang ‘husna’ (terbaik) kerana nama Allah itu ada sifat. Ada hakikat di dalamnya, bukan kosong sahaja. Sebagai contoh, kalau kita sebut nama Allah ar-Razzaq (Pemberi Rezeki), memang Allah yang beri rezeki kepada makhuk. Tak nama kalau nama kawan kita yang Razak kerana itu hanya nama dia sahaja, tidak ada hakikat. Kadang-kadang orang itu pun miskin, bagaimana nak bagi rezeki?

Oleh kerana nama-nama Allah itu ada hakikat, maka kalau minta tolong dengan menyeru nama-nama itu, Allah memang boleh tolong. Maka serulah nama-nama Allah doa-doa kita. Inilah tawasul yang digalakkan. Pakai nama-nama Allah yang banyak itu sebagai pujian kepadaNya dan mintalah apa yang hendak diminta. Kalau berdoa minta rezeki, maka serulah nama Allah ar-Razzaq itu. Pakailah nama Allah yang sesuai dengan apa yang diminta.

Dan berhentilah guna nama-nama wali, Nabi dan malaikat. Tidak ada amalan itu dalam agama. Itu adalah amalan musyrikin sebelum Islam – zaman jahiliyah. Itu adalah rekaan manusia sahaja. Tapi kerana masyarakat sekarang jahil, mereka seru nama-nama Nabi, wali dan malaikat seolah-olah kembali kepada zaman jahiliyah. Mereka menjadikan nama-nama wali, Nabi dan malaikat itu sebagai wasilah untuk menyampaikan doa kepada Allah. Tapi masalah tak selesai pun. Kerana Nabi, wali dan malaikat itu tidak dapat menyelesaikan masalah dan mereka tidak dapat menyampaikan doa kita kepada Allah. Tidak perlu pun guna mereka untuk sampaikan doa kerana Allah sentiasa dengar doa kita. Maka serulah nama Allah yang bertepatan, kerana apabila nama Allah diseru, Allah boleh selesaikan masalah kita dan menyampaikan kehendak dan hajat yang kita mahu.

 

وَلا تَجهَر بِصَلاتِكَ

dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam solatmu

Sekarang Allah memberi nasihat kepada Nabi dan orang mukmin: jangan mengeraskan bacaan dalam solat terlalu kuat. Ini adalah kerana kalau orang musyrik dengar, mereka akan mencari Nabi dan para sahabat dan akan mencaci pula Qur’an dan Allah yang telah menurunkannya.

 

وَلا تُخافِت بِها

dan janganlah pula merendahkannya

Tapi janganlah pula baca rendah sangat. Kerana kalau baca ringan sangat sampai tidak didengari oleh para sahabat dan orang lain yang mukmin, mereka tidak dapat ambil manfaat pula dari bacaan itu.

Dikatakan bahawa Abu Bakr baca Qur’an perlahan sangat sedangkan Umar baca kuat sangat.

Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ya’qub, telah menceritakan kepada kami Ibnu Ulayyah, dari Salamah ibnu Alqamah, dari Muhammad ibnu Sirin yang mengatakan bahawa ia pernah men­dengar berita bahawa sahabat Abu Bakar apabila solat merendahkan ba­caan Al-Qur’annya, sedangkan Umar mengeraskan bacaan Al-Qur’annya. Maka dikatakan kepada Abu Bakar, “Mengapa engkau laku­kan hal itu?” Abu Bakar menjawab, “Saya sedang bermunajat kepada Tuhanku, dan Dia mengetahui keperluanku.” Lalu dikatakan kepadanya, “Engkau baik.” Dan dikatakan kepada Umar, “Mengapa engkau lakukan hal itu?” Umar menjawab, “Saya sedang mengusir setan dan melenyap­kan rasa kantuk.” Maka dikatakan kepadanya, “Engkau baik.” Dan ketika firman Allah Swt. diturunkan, iaitu: dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam solatmu, dan janganlah pula merendahkannya dan carilah jalan tengah di antara kedua itu. (Al-Isra: 110) maka dikatakan kepada Abu Bakar, “Angkatlah sedikit suara bacaanmu.” Dan dikatakan kepada Umar, “Rendahkanlah sedikit suara bacaanmu.”

 

وَابتَغِ بَينَ ذٰلِكَ سَبيلًا

dan carilah jalan tengah di antara kedua itu”.

Maka sebaiknya, kena cari suara yang pertengahan antara terlalu kuat dan terlalu perlahan. Oleh itu, dalam ayat ini Allah mengajar manusia cara berdoa kepadaNya – jangan nyaringkan doa itu atau solat itu.


 

Ayat 111: Ini adalah ayat Dakwa Surah. Ini adalah ayat tauhid. Ada lima pengajaran di dalam ayat ini tentang Tauhid.

وَقُلِ الحَمدُ للهِ الَّذي لَم يَتَّخِذ وَلَدًا وَلَم يَكُن لَهُ شَريكٌ فِي المُلكِ وَلَم يَكُن لَهُ وَلِيٌّ مِنَ الذُّلِّ ۖ وَكَبِّرهُ تَكبيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And say, “Praise to Allāh, who has not taken a son and has had no partner in [His] dominion and has no [need of a] protector out of weakness; and glorify Him with [great] glorification.”

(MELAYU)

Dan katakanlah: “Segala puji bagi Allah Yang tidak mengambil anak dan tidak mempunyai sekutu dalam kerajaan-Nya dan tidak memerlukan penolong kerana hina dan agungkanlah Dia dengan pengagungan yang sebesar-besarnya.

 

وَقُلِ الحَمدُ للهِ الَّذي لَم يَتَّخِذ وَلَدًا

Dan katakanlah: “Segala puji bagi Allah Yang tidak mengambil anak

Segala puji adalah untuk Allah. Kerana apa-apa sahaja pujian, akan kembali kepada Allah.

Dan kalau dinisbahkan kepada Musyrikin Mekah, mereka juga ada menggunakan kalimah alhamd dan digunakan untuk ilah-ilah mereka selain Allah. Allah menekankan di dalam Qur’an bahawa alhamd itu hanya untuk Allah sahaja.

Salah satu Sifat Allah yang hendak ditekankan adalah Allah tidak mengambil anak. Ini adalah teguran kepada agama-agama yang mengatakan Allah memerlukan ‘wakil’ di dalam penyembahan dan doa. Ini adalah kerana ‘anak’ yang dimaksudkan adalah ‘wakil’. Ini adalah fahaman syirik yang mengatakan Allah memerlukan perantara dalam sembahan dan doa kepadaNya. Oleh kerana itu, Musyrikin Mekah mengatakan Allah ambil para malaikat sebagai anak Allah; penganut Kristian mengatakan yang Nabi Isa adalah anak Allah; Yahudi mengatakan Nabi Uzair adalah anak Allah; umat Islam yang jahil wahyu pun mengatakan Allah memerlukan wakil dalam doa. Kerana itu ada yang menggunakan Nabi, wali dan malaikat sebagai perantara dalam sembahan dan doa.

 

وَلَم يَكُن لَهُ شَريكٌ فِي المُلكِ

dan tidak mempunyai sekutu dalam kerajaan-Nya

Allah tidak memerlukan syarik dalam pentadbiran kerajaanNya. Allah memerintah dengan sendiri dan tidak memerlukan pasangan. Allah juga tidak menyerahkan mana-mana bahagian dari pemerintahNya kepada Nabi atau wali. Ini adalah kerana ada fahaman sesat yang mengatakan bahagian yang besar, Allah pantau sendiri tapi ada bahagian-bahagian kecil yang diberikan kepada ‘wakil-wakilNya’.

Kerana itu ada fahaman dalam masyarakat kita yang ada ‘wali-wali’ yang jaga bahagian-bahagian dunia. Mereka beriktikad yang ada wali yang jaga daerah tertentu, negara tertentu. Dah jadi macam ADUN dalam kerajaan Malaysia pula. Ini adalah fahaman yang salah dan syirik. Ini adalah syirik fi tasarruf. Allah tidak perlu bantuan dalam mentadbir alam ini.

 

وَلَم يَكُن لَهُ وَلِيٌّ مِنَ الذُّلِّ

dan tidak memerlukan penolong kerana hina

Memang tiada wali bagi Allah kerana hina. Maknanya Allah tidak perlukan penolong langsung kerana Allah tidak lemah. Kita yang lemah inilah yang memerlukan wali dan pembantu, tapi Allah tidak lemah langsung. Jadi buat apa Allah perlukan pembantu dalam mentadbir alam ini?

 

وَكَبِّرهُ تَكبيرًا

dan agungkanlah Dia dengan pengagungan yang sebesar-besarnya.

Dan agungkanlah Allah kerana Allah memang layak diagungkan.

Potongan ayat ini adalah tentang ‘takbir’. Jadi ayat ini terikat dengan ayat pertama surah ini – dalam ayat 1 itu ada ‘subhanallah’ dan ayat ini sambung dengan alhamdulillah dan Allahu Akbar – jadi melengkapkan zikir yang kita selalu baca selepas solat – subhanallah, walhamdulillah, wa la ilaaha illallah walallahu akbar.

Jadi ayat ini adalah tentang tauhid dan penerangan tentang syirik. Banyak disebut dalam Qur’an, tapi malangnya ramai yang tidak faham tentang tauhid dan tentang syirik. Kita kena faham bahawa syirik adalah meninggikan kedudukan makhluk sama dengan Allah. Atau merendahkan kedudukan Allah sama dengan makhluk. Itu adalah dua ekstrem yang tidak boleh ada dalam iktikad kita. Allah tidak akan sama dengan makhluk. Malangnya, ramai yang sangka syirik itu hanya kalau menyamakan ‘keseluruhan’ sifat Allah kepada selain Allah. Padahal, kalau salah satu sahaja sifat Allah disamakan dengan makhluk pun sudah dikira sebagai syirik.

Maka, penganut Kristian telah melakukan syirik kerana terlalu meninggikan kedudukan Nabi Isa sampaikan ke tahap ketuhanan.

Puak Yahudi pula bersalah kerana telah merendahkan kedudukan Allah – antaranya mereka kata tangan Allah terikat, Allah miskin dan sebagainya. Mereka buat tohmahan sebegitu seolah-olah Allah itu sifat macam manusia pula.

Dan ayat ini menekankan untuk mengagungkan Allah seperti yang layak bagi Allah. Jangan jadi seperti puak Yahudi yang merendahkan kedudukan Allah. Dalam ayat terakhir ini disentuh akidah puak Yahudi kerana surah ini adalah tentang mereka, maka fahaman mereka diserang dalam surah ini. Nanti kita akan lihat surah selepas ini tentang orang Kristian pula. Kita kena tahu akidah-akidah yang salah ini sebagai peringatan untuk kita.

Allahu a’lam. Tamat tafsir Surah al-Isra’. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Kahfi.

Nota: Kita telah habis bahagian kedua dari Qur’an ini. Kita telah pernah sebutkan yang Qur’an ini boleh dibahagikan kepada 4 bahagian dan setiap bahagian dimulai dengan kalimah alhamdulillah. Selepas ini kita akan masuk dalam bahagian ketiga Qur’an iaitu apabila dimulai dengan Surah al-Kahfi.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 017: al-Isra'. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s