Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 28 – 32 (Jangan dekati zina)

Ayat 28: Dalam ayat sebelum ini tentang memberikan pertolongan kepada saudara mara.  Tapi bagaimana pula kalau kita tidak dapat membantu mereka pada masa itu? Bab ini pun Allah ajar juga.

Jadi kita masih lagi dalam bab Amalan Tiga Serangkai – berbuat baik.

وَإِمّا تُعرِضَنَّ عَنهُمُ ابتِغاءَ رَحمَةٍ مِن رَبِّكَ تَرجوها فَقُل لَهُم قَولًا مَيسورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if you [must] turn away from them [i.e., the needy] awaiting mercy from your Lord which you expect,¹ then speak to them a gentle word.

  • i.e., if you have not the means to give them at present.

(MELAYU)

Dan jika kamu berpaling dari mereka untuk memperoleh rahmat dari Tuhanmu yang kamu harapkan, maka katakanlah kepada mereka ucapan yang lembut.

 

وَإِمّا تُعرِضَنَّ عَنهُمُ

Dan jika kamu berpaling dari mereka

Kadang-kadang kita memang tidak boleh membantu ahli keluarga kita yang datang kepada kita untuk meminta tolong walaupun kita bukan jenis orang yang membazir. Dalam keadaan begini bagaimanakah yang kita perlu lakukan dan bagaimana kita kena layan mereka?

 

ابتِغاءَ رَحمَةٍ مِن رَبِّكَ تَرجوها

untuk memperoleh rahmat dari Tuhanmu yang kamu harapkan, 

Kita tidak dapat tolong mereka itu bukan kerana kita tidak mahu tolong tapi kerana waktu mereka datang minta tolong kepada kita,  kita pun sebenarnya sedang mengharapkan rahmat daripada Allah untuk membantu diri kita sendiri. Kiranya memang tengah sesak waktu itu.

 

فَقُل لَهُم قَولًا مَيسورًا

maka katakanlah kepada mereka ucapan yang lembut.

Tetapi dalam kita menolak itu, kita kena bercakap baik dengan mereka dengan menjelaskan kenapa kita tidak boleh tolong mereka pada waktu itu. Gunakan perkataan yang mereka mudah terima. Pertamanya, kenalah minta maaf kepada mereka kerana tidak boleh beri. Jangan kita tolak mereka dan marah pula kepada mereka kerana minta tolong kepada kita sedangkan kita pun susah juga. Kadang-kadang kita marah kepada orang yang minta kepada kita, bukan? (“Kau tak nampakkah aku pun susah juga ni?”).

Maka katakan dengan baik kenapa kamu tidak boleh beri pertolongan kepada mereka. Katakan yang kamu juga sedang mencari rezeki dari Allah dan apabila sudah dapat nanti, kamu akan hubungi mereka kembali. Ini kerana ulama tafsir mengatakan, kalimat قَولًا مَيسورًا mengandungi makna harapan dan janji. Iaitu janji untuk bantu dan janji untuk hubungi mereka balik.


 

Ayat 29: Allah ajar kita supaya dalam memberi, jangan memberi berlebihan sehingga habis.

وَلا تَجعَل يَدَكَ مَغلولَةً إِلىٰ عُنُقِكَ وَلا تَبسُطها كُلَّ البَسطِ فَتَقعُدَ مَلومًا مَحسورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not make your hand [as] chained to your neck¹ or extend it completely¹ and [thereby] become blamed and insolvent.

  • i.e., refusing to spend.
  • i.e., being extravagant.

(MELAYU)

Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu dan janganlah kamu terlalu mengulurkannya kerana itu kamu menjadi tercela dan menyesal.

 

وَلا تَجعَل يَدَكَ مَغلولَةً إِلىٰ عُنُقِكَ

Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu

Ini adalah Pepatah Arab. Maksud tangan di leher adalah ‘tangan terikat’ dengan tidak memberi infak atau tolong orang lain. Iaitu susah nak keluar duit. Mereka rasa susah sangat nak keluarkan duit sebagai bantuan sampaikan rasa macam kena cekik kalau kena keluarkan juga duit itu. Mereka yang dimaksudkan kedekut sangat nak keluarkan duit. Kita memang digalakkan untuk berjimat cermat tetapi janganlah teruk sangat.

 

وَلا تَبسُطها كُلَّ البَسطِ

dan janganlah kamu terlalu mengulurkannya

Tapi dalam masa yang sama jangan pula ‘mendepangkan’ tangan kita yang bermaksud memberi terlalu banyak kerana kita berangan-angan nak jadi seperti Abu Bakar. Janganlah kita beri kepada orang lain sampai tidak ada bahagian yang tinggal untuk diri kita dan ahli keluarga kita. Janganlah kita baca kisah Abu Bakar itu sampai kita rasa itulah sahaja kayu ukur yang ada dari kalangan para sahabat. Sedangkan bukan semua sahabat mengeluarkan infak sampai 100% harta mereka. Para sahabat yang lain pun ada juga mengeluarkan infak tapi mereka tidaklah keluarkan semuanya sekali. Maka jangan kita bantu melebihi kemampuan kita.

Malangnya kadang-kadang kita selalu diwar-warkan kisah infak Saidina Abu Bakr itu sampaikan seolah-olah itulah sahaja tanda iman seseorang. Sampaikan kita semua rasa apa yang kita berikan itu tidak mencukupi. Sedangkan siapakah kita dan siapakah Abu Bakr? Iman kita adakah sama dengan iman Abu Bakr?

 

فَتَقعُدَ مَلومًا مَحسورًا

kerana itu kamu menjadi tercela dan menyesal.

Menjadi tercela kalau bakhil dan berat untuk membantu. Kerana orang yang memerlukan bantuan itu tahu yang diminta itu ada kelapangan untuk membantu, tapi tidak mahu kerana kedekut. Maka orang akan cela mereka kerana bakhil ada perbuatan yang cela.

Tapi kalau beri tanpa memikirkan diri sendiri cukup atau tidak, nanti akan menyesal pula. Kalimah مَحسورًا dari ح س ر yang digunakan untuk haiwan yang telah berjalan jauh dan keletihan sampai tidak boleh bergerak dah. Janganlah kita beri melebihi dari kemampuan kita sampaikan kita pun lelah tidak dapat nak menguruskan kehidupan kita dan keluarga.

Maka kita kenalah cari jalan pertengahan antara dua extreme itu (tahan tangan dan beri terlalu banyak). Ini penting kerana takut nanti kita akan tercela dan menyesal. Kita kenalah menjadi seorang muslim yang bijak dalam berbelanja dan dalam memberi. Kita kenalah pandai menguruskan ekonomi diri sendiri.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Ubaidah Al-I laddad, telah menceritakan kepada kami Sikkin ibnu Abdul Aziz, telah menceritakan kepada kami Ibrahim Al-Hijri, dari Abul Ahwas, dari Abdullah ibnu Mas’ud yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW. pernah bersabda:

“مَا عَالَ مَنِ اقْتَصَدَ”

Tidak akan jatuh miskin orang yang berhemat.

Tapi janganlah gunakan alasan ini untuk tidak mahu infak kepada orang lain. Jangan lupa kelebihan infak yang selalu disebut dalam Qur’an dan dalam hadis. Antaranya di dalam kitab Sahihain disebutkan melalui jalur Mu’awiyah ibnu Abu Mazrad, dari Sa’id ibnu Yasar, dari Abu Hurairah r.a. yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda:

“مَا مِنْ يَوْمٍ يُصْبِحُ الْعِبَادُ فِيهِ إِلَّا وَمَلَكَانِ يَنْزِلَانِ مِنَ السَّمَاءِ يَقُولُ أَحَدُهُمَا: اللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا، وَيَقُولُ الْآخَرُ: اللَّهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا”

Tiada suatu hari pun yang padanya hamba-hamba Allah berpagi hari melainkan terdapat dua malaikat yang turun dari langit. Salah seorang yang mengatakan, “Ya Allah, berikanlah ganti kepada orang yang berinfak.” Sedangkan malaikat yang lain­nya mengatakan, “Ya Allah, berikanlah kehancuran bagi orang yang kikir.”

Imam Muslim telah meriwayatkan hadis berikut ini dari Qutaibah, dari Ismail ibnu Ja’far, dari Al-Ala, dari ayahnya, dari Abu Hurairah secara marfu’ yaitu:

“مَا نَقَصَ مَالٌ مِنْ صَدَقَةٍ، وَمَا زَادَ اللهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا وَمَنْ تَوَاضَعَ ِللهِ رَفَعَهُ اللهُ”

Tiada harta benda yang berkurang kerana bersedekah, dan tidak sekali-kali Allah menambahkan kepada orang yang berin­fak melainkan kemuliaannya. Dan barang siapa yang berendah diri kerana Allah, Allah pasti mengangkatnya (meninggikannya).


 

Ayat 30: Dalil aqli. Allah yang melapangkan rezeki kita, maka hendaklah kita sembah dan seru kepada Allah sahaja.  

Allah juga hendak memberitahu yang kelapangan rezeki itu adalah salah satu dari ujian, sebenarnya.

إِنَّ رَبَّكَ يَبسُطُ الرِّزقَ لِمَن يَشاءُ وَيَقدِرُ ۚ إِنَّهُ كانَ بِعِبادِهِ خَبيرًا بَصيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, your Lord extends provision for whom He wills and restricts [it]. Indeed He is ever, concerning His servants, Acquainted and Seeing.

(MELAYU)

Sesungguhnya Tuhanmu melapangkan rezeki kepada siapa yang Dia kehendaki dan menyempitkannya; sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.

 

إِنَّ رَبَّكَ يَبسُطُ الرِّزقَ لِمَن يَشاءُ

Sesungguhnya Tuhanmu melapangkan rezeki kepada siapa yang Dia kehendaki

Allah mengingatkan kepada kita bahawa Dialah yang membantu manusia lain dan bukannya kita dengan memberi bantuan kewangan. Kita mungkin rasa dengan kita membantu seseorang itu, masalah kewangan dia selesai tetapi tidak semestinya kerana semuanya bergantung kepada Allah. Kalau kita beri banyak mana pun, tidak semestinya masalah dia selesai kalau Allah tidak izinkan. Tapi mungkin kalau kita beri sedikit pun, kalau Allah berkati pemberian itu, dapat pula menyelesaikan masalah dia.

 

وَيَقدِرُ

dan menyempitkannya; 

Dan Allah lah yang menyempitkan kedudukan kewangan seseorang makhluk itu. Semuanya dalam tangan Allah dan Allah yang tentukan.

Dan pengembangan dan penyempitan ini boleh bertukar – mungkin pada satu masa kita yang infak dan beri pertolongan kepada orang, dan entah pada waktu yang lain orang itu pula infak kepada kita balik.

 

إِنَّهُ كانَ بِعِبادِهِ خَبيرًا بَصيرًا

sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.

Allah Maha Tahu dengan segala hamba-hambaNya. Allah tahu dan melihat kesusahan yang kita alami. Allah tahu dan melihat apa yang kita lakukan – samada kita memberi atau menahan pemberian kita.

Allah juga tahu siapakah yang layak dapat rezeki atau tidak. Di dalam sebuah hadis disebutkan seperti berikut:

“إِنَّ مِنْ عِبَادِي مَنْ لَا يُصْلِحُهُ إِلَّا الْفَقْرُ، وَلَوْ أَغْنَيْتُهُ لَأَفْسَدْتُ عَلَيْهِ دِينَهُ، وَإِنَّ مِنْ عِبَادِي لَمَنْ لَا يُصْلِحُهُ إِلَّا الْغِنَى، وَلَوْ أَفْقَرْتُهُ لَأَفْسَدْتُ عَلَيْهِ دِينَهُ”.

Sesungguhnya di antara hamba-hamba-Ku benar-benar terdapat orang yang tidak layak baginya kecuali hanya miskin. Seandainya Aku jadikan dia kaya, niscaya kekayaannya itu akan merosak agamanya. Dan sesungguhnya di antara hamba-hamba-Ku benar-benar terdapat orang yang tidak pantas baginya kecuali hanya kaya. Seandainya Aku jadikan dia miskin, tentulah kemiskinan itu akan merosak agamanya.

Adakalanya kekayaan itu pada sebahagian manusia merupakan suatu istidraj baginya (pembinasaan secara beransur-ansur), dan adakalanya kemiskinan itu merupakan suatu hukuman dari Allah. Semoga Allah melindungi kita dari kedua keadaan tersebut.


 

Ayat 31: Ini adalah suruhan supaya jangan zalim. Ianya adalah perkara ketiga dalam ‘Amalan Tiga Serangkai’ (1. Jangan syirik – 2. buat benda baik – 3. jangan zalim).

وَلا تَقتُلوا أَولادَكُم خَشيَةَ إِملاقٍ ۖ نَحنُ نَرزُقُهُم وَإِيّاكُم ۚ إِنَّ قَتلَهُم كانَ خِطئًا كَبيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not kill your children for fear of poverty. We provide for them and for you. Indeed, their killing is ever a great sin.

(MELAYU)

Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut kemiskinan. Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepadamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah suatu dosa yang besar.

 

وَلا تَقتُلوا أَولادَكُم خَشيَةَ إِملاقٍ

Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut kemiskinan.

Jangan bunuh anak-anak kita kerana takut kekayaan kita akan rosak. Ini kerana ada yang bunuh anak-anak mereka kerana takut miskin. Mereka takut miskin kalau anak-anak mereka ramai dan mereka tidak cukup wang untuk tanggung anak-anak itu. Ayat ini ditujukan kepada semua manusia kerana ia tidak dihadkan kepada orang Islam sahaja. Ramai yang berkira-kira dalam menguruskan kehidupan mereka sampaikan kalau isteri mengandung, mereka sudah risau dah.

‘Bunuh anak’ boleh jadi samada dalam bentuk jasmani atau rohani. Bentuk jasmani itu adalah dengan mengambil nyawa mereka. Yang pasti, kalau bunuh anak sendiri setelah anak itu lahir. Tapi ini juga termasuk kalau guna pil perancang keluarga. Ada yang tak mahu anak sampai buat perancangan keluarga (makan pil atau pakai kondom). Jadi ini dijadikan larangan untuk merancang keluarga tanpa sebab yang munasabah – iaitu sebab takut miskin sahaja. Kalau memang doktor nasihatkan atas sebab kesihatan, maka bolehlah kalau nak rancang keluarga.

Membunuh anak itu juga boleh dalam bentuk rohani. ‘Bunuh rohani’ itu adalah dengan tidak ajar agama kepada anak-anak kita. Agama tidak diajar tapi ajar benda lain. Mereka bukannya tidak hantar anak belajar, tapi mereka tidak hantar untuk belajar agama. Mereka tetap hantar anak mereka untuk belajar supaya dapat sijil dan dapat bekerja dan menyara hidup mereka. Contohnya, hantar anak ke sekolah Inggeris. Itu bunuh rohani namanya kalau tidak hantar anak untuk belajar agama. Mereka hantar ke pengajian begitu kerana takut miskin, tak dapat kerja dan jadi miskin. Sampaikan anak itu tidak kenal agama langsung. Mereka rasa kalau anak-anak mereka belajar agama sahaja (pergi ke sekolah madrasah atau sekolah tahfiz), anak-anak itu tidak dapat kerja dan jadi miskin.

 

نَحنُ نَرزُقُهُم وَإِيّاكُم

Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepadamu.

Allah ingatkan supaya jangan takut anak-anak itu tidak ada rezeki kerana Dia yang akan memberi rezeki kepada mereka, bukannya kita. Setiap orang sudah ditetapkan rezeki buat mereka.

Bukan mereka sahaja yang diberi rezeki tapi kamu sebagai ibubapa sekali pun. Kamu sibuk-sibuk nak fikirkan rezeki anak sedangkan kamu dapat rezeki pun dari Allah juga, bukan?

Dari segi balaghah, khitab dalam ayat ini ditujukan kepada orang yang mampu, yakni Allah lah yang memberi rezeki anak-anak itu dan juga rezeki ibubapa. Lain halnya dengan apa yang disebutkan di dalam surat Al-An’am, khitab-nya ditujukan kepada orang miskin. Allah Swt. telah berfirman:

{وَلا تَقْتُلُوا أَوْلادَكُمْ مِنْ إِمْلاقٍ نَحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ}

Dan janganlah kalian membunuh anak-anak kalian karena takut kemiskinan. Kami akan memberi rezeki kepada kalian dan kepada mereka. (Al-An’am: 151)

 

إِنَّ قَتلَهُم كانَ خِطئًا كَبيرًا

Sesungguhnya membunuh mereka adalah suatu dosa yang besar.

Pembunuhan anak-anak samada dengan cara jasmani atau rohani adalah satu dosa besar.


 

Ayat 32: Jangan dekati zina.

وَلا تَقرَبُوا الزِّنا ۖ إِنَّهُ كانَ فاحِشَةً وَساءَ سَبيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not approach unlawful sexual intercourse.¹ Indeed, it is ever an immorality and is evil as a way.

  • i.e., avoid all situations that might possibly lead to it.

(MELAYU)

Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.

 

وَلا تَقرَبُوا الزِّنا

Dan janganlah kamu mendekati zina;

Dua dosa besar yang banyak disebut dalam Qur’an adalah zina dan pembunuhan. Kadang-kadang Allah sebut zina dulu dan kadang-kadang Allah sebut pembunuhan dulu. Allah sebut dua dosa ini kerana dua-duanya adalah dosa berat. Sebelum ini Allah telah sebut tentang pembunuhan anak dan sekarang disebut tentang zina pula kerana ia juga berat seperti bunuh – kerana ia membunuh hati. Ini bukanlah bunuh secara fizikal tapi bunuh secara spiritual.

Allah kata jangan ‘hampiri zina’. Allah tidak kata jangan ‘hampiri bunuh’ kerana ia lebih senang terjadi kalau didekati. Memang bahaya kerana kalau tidak jaga dari terlibat, boleh menyebabkan zina. Kadang-kadang lelaki dan perempuan itu hanya nak duduk bersembang sahaja. Tapi lama-lama boleh melarat kepada perkara yang lain. Kadang-kadang yang duduk berdua itu guna alasan nak beri dakwah kononnya, tapi lama-lama jadi benda lain pula. Tiba-tiba dah termengandung! Maka kena berhati-hati dengan perkara ini. Dan kalau nak dakwah kepada wanita, biar wanita juga yang dakwah kepada dia. Kita ingatkan perkara ini kerana ramai yang sudah tertipu dengan perkara ini. Kerana ianya mudah melarat, maka Allah berfirman: jangan dekati langsung. Allah kenal sifat kita dan kerana itu Allah telah beri jalan untuk menahan perkara itu dari melarat.

Maka kita kena ambil langkah yang sepatutnya. Jangan kita tertipu kononnya kita boleh tahan diri kita kalau ada pergaulan antara lelaki dan perempuan. Kerana kita sendiri pun sudah baca dan lihat perkara sebegini yang mulanya macam biasa sahaja, kawan biasa sahaja, tapi lama kelamaan dah jadi benda lain. Dan masalah ini terjadi kerana bermula dengan tak jaga sosial/pergaulan antara lelaki dan perempuan.

Bagaimana kita nak tahan diri kita? Bayangkan, apabila kita tengok wanita lain, kita kena ingat yang dia itu adik dan anak orang. Dan bayangkan pula kalau orang kacau anak dan adik kita, bagaimana? Tentu kita marah dan kita tidak redha, bukan? Maka janganlah kita kacau atau cuba-cuba nak berbaik dan rapat dengan ajnabi atau ajnabiah.

Mungkin kadang-kadang kita rasa macam kita boleh tahan dari terjadinya zina (“kami kawan sahaja ….), maka ingat kembali tentang Nabi Adam semasa di syurga dan larangan dekati pokok larangan. Bagaimana arahan Allah kepada Nabi Adam? Bukankah Allah berfirman ‘jadi dekati’ pokok itu? Allah beri arahan begitu kerana Dia tahu yang kalau dekati sahaja pokok itu, akan ada maslaah. Ringkasnya, Allah nak beritahu yang ada benda yang bahaya kalau dekati sahaja pun. Ini adalah kerana daya tarikan dia tinggi betul. Maka percayalah dengan nasihat dan arahan Allah ini.

Kerana itu, selalu kita dengar dalam adat orang Islam, dijaga pergaulan antara lelaki dan perempuan, kerana memang ulama dah lama memang jaga perkara ini. Mereka tidak benarkan lelaki dan perempuan duduk bersama dan duduk dalam kawasan yang dekat. Kalau dicari, memang tidak ada ayat yang khusus melarang pergaulan rapat antara lelaki dan perempuan, tapi ayat ini difahami oleh mereka yang faham. Dari ayat ini sahaja, ulama telah buat jalan penyelesaian – jangan bergaul rapat antara lelaki dan wanita.

Tapi kita tahu ada yang kata, apa masalah kalau berjumpa, berdating, pergi ke rumah dan sebagainya? Mereka kata, macam mana nak kenal hati budi bakal isteri/suami kalau tidak berjumpa dan bergaul begitu? Nanti dah kahwin nanti baru nak kenal kah? Kita katakan, memang susah nak kenal pun lelaki dan perempuan. Adakah kamu rasa kalau duduk dengan kekasih itu kamu akan kenal mereka? Tentu tidak kerana kalau kita dating pun, bukan kita boleh kenal mereka pun kerana mereka tidak akan tunjuk diri mereka yang sebenar. Kita pun dah selalu dengar kisah bagaimana lelaki/perempuan itu lain sebelum dan selepas kahwin. Dan kalau ada yang kata mereka kenal pasangan kekasih mereka pun, nanti tengoklah bila dah kahwin. Sebenarnya dah kahwin baru tahu perangai sebenar.

Kita kena tahu yang ‘zina’ itu bukanlah apabila sudah mengadakan seks sahaja. Kerana ada banyak lagi jenis zina seperti zina mata, zina mulut, zina tangan, kaki dan sebagainya. Semua ini kena dijaga kerana kalau salah satu terjadi, boleh membawa kepada zina seksual. Terutama sekali zina mata, kerana ia membawa ke tempat yang bahaya. Seperti orang selalu kata: dari mata turun ke hati. Maka kita kena jaga segala perkara itu.

 

إِنَّهُ كانَ فاحِشَةً وَساءَ سَبيلًا

sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.

Allah suruh kita berjaga-jaga sungguh kerana perbuatan zina itu amat buruk sekali dari dulu lagi. Maknanya bukan zaman sekarang ia buruk, tapi dari dulu lagi ia dah buruk.

Perbuatan zina memang berleluasa dari dulu sampai sekarang. Lalu bagaimana kita hendak mengawal diri kita dari melakukannya? Tahukah anda yang pernah seorang sahabat minta kepada Rasulullah untuk berzina? Mari kita lihat bagaimana Nabi menasihati sahabat itu. Mungkin kita boleh ambil pengajaran darinya.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ هَارُونَ، حَدَّثَنَا جَرِيرٌ، حَدَّثَنَا سُلَيْمُ بْنُ عَامِرٍ، عَنْ أَبِي أُمَامَةَ قَالَ: إِنَّ فَتًى شَابًّا أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، ائْذَنْ لِي بِالزِّنَا. فَأَقْبَلَ الْقَوْمُ عَلَيْهِ فَزَجَرُوهُ، وَقَالُوا: مًهْ مَهْ. فَقَالَ: “ادْنُهْ”. فَدَنَا مِنْهُ قَرِيبًا فَقَالَ اجْلِسْ”. فَجَلَسَ، قَالَ: “أَتُحِبُّهُ لِأُمِّكَ؟ ” قَالَ: لَا وَاللَّهِ، جَعَلَنِي اللَّهُ فِدَاكَ. قَالَ: “وَلَا النَّاسُ يُحِبُّونَهُ لِأُمَّهَاتِهِمْ”. قَالَ: “أَفَتُحِبُّهُ لِابْنَتِكَ”؟ قَالَ: لَا وَاللَّهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ، جَعَلَنِي اللَّهُ فِدَاكَ. قَالَ: “وَلَا النَّاسُ يُحِبُّونَهُ لِبَنَاتِهِمْ”، قَالَ: “أَتُحِبُّهُ لِأُخْتِكَ”؟ قَالَ: لَا وَاللَّهِ، جَعَلَنِي اللَّهُ فِدَاكَ. قَالَ: “وَلَا النَّاسُ يُحِبُّونَهُ لِأَخَوَاتِهِمْ”، قَالَ: “أَفَتُحِبُّهُ لِعَمَّتِكَ”؟ قَالَ: لَا وَاللَّهِ جَعَلَنِي اللَّهُ فِدَاكَ. قَالَ: “وَلَا النَّاسُ يُحِبُّونَهُ لِعَمَّاتِهِمْ” قَالَ: “أَفَتُحِبُّهُ لِخَالَتِكَ”؟ قَالَ: لَا وَاللَّهِ، جَعَلَنِي اللَّهُ فِدَاكَ. قَالَ: “وَلَا النَّاسُ يُحِبُّونَهُ لِخَالَاتِهِمْ” قَالَ: فَوَضَعَ يَدَهُ عَلَيْهِ وَقَالَ: “اللَّهُمَّ اغْفِرْ ذَنْبَهُ وَطَهِّرْ قَلْبَهُ وَحَصِّنْ فَرْجَهُ” قَالَ: فَلَمْ يَكُنْ بَعْدَ ذَلِكَ الْفَتَى يَلْتَفِتُ إِلَى شَيْءٍ

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Yazid ibnu Harun, telah menceritakan kepada kami Jarir, telah menceritakan kepada kami Salim ibnu Amir, dari Abu Umamah, bahawa pernah ada seorang pemuda datang kepada Nabi Saw., lalu pemuda itu bertanya, “Wahai Rasulullah, izinkanlah aku berbuat zina.” Maka kaum yang hadir memusatkan pandangan mereka ke arah pemuda itu dan mengherdiknya seraya berkata, “Diam kamu, diam kamu!” Rasulullah Saw. bersabda, “Dekatkanlah dia kepadaku.” Maka pemuda itu mendekati Rasulullah Saw. dalam jaraknya yang cukup dekat, lalu Rasulullah Saw. bersabda, “Duduklah!” Pemuda itu duduk, dan Nabi Saw. bertanya kepadanya, “Apakah kamu suka perbuatan zina dilakukan terhadap ibumu?” Pemuda itu menjawab, “Tidak, demi Allah, semoga Allah menjadikan diriku sebagai tebusanmu.” Rasulullah Saw. bersabda, “Orang lain pun tentu tidak suka hal tersebut di lakukan terhadap ibu-ibu mereka.” Rasulullah Saw. bertanya, “Apakah kamu suka bila perbuatan zina dilakukan terhadap anak perempuanmu?” Pemuda itu menjawab, ‘Tidak, demi Allah, wahai Rasulullah, semoga diriku menjadi tebusanmu.” Rasulul­lah Saw. bersabda menguatkan, “Orang-orang pun tidak akan suka bila hal itu dilakukan terhadap anak-anak perempuan mereka.” Rasulullah Saw. bertanya, “Apakah kamu suka bila perbuatan zina dilakukan terhadap saudara perempuanmu?” Pemuda itu menjawab, “Tidak, demi Allah, semoga Allah menjadikan diriku sebagai tebusanmu.” Rasulullah Saw. bersabda menguatkan, “Orang lain pun tidak akan suka bila hal tersebut dilakukan terhadap saudara perempuan mereka.” Rasulullah Saw. bertanya, “Apakah kamu suka bila perbuatan zina dilakukan terhadap bibi (dari pihak ayah)mu?” Pemuda itu menjawab, “Tidak, demi Allah, semoga Allah menjadikan diriku sebagai tebusanmu.” Rasulullah Saw. bersabda, “Orang lain pun tidak akan suka bila perbuat­an itu dilakukan terhadap bibi (dari pihak ayah) mereka.” Rasulullah Saw. bertanya, “Apakah kamu suka bila perbuatan zina dilakukan terhadap bibi (dari pihak ibu)mu? Pemuda itu menjawab, “Tidak, demi Allah, semoga Allah menjadikan diriku sebagai tebusanmu.” Rasulullah Saw. bersabda, “Orang lain pun tidak akan suka bila hal itu dilakukan terhadap bibi (dari pihak ibu) mereka.” Kemudian Rasulullah Saw. meletakkan tangannya ke dada pemuda itu seraya berdoa: Ya Allah, ampunilah dosanya dan bersihkanlah hatinya serta peliharalah farjinya. Maka sejak saat itu pemuda tersebut tidak lagi menoleh kepada perbuatan zina barang sedikit pun.

Lihatlah bagaimana berhemahnya dan bijaknya cara Rasulullah menangani perkara itu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 017: al-Isra'. Bookmark the permalink.

One Response to Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 28 – 32 (Jangan dekati zina)

  1. Pingback: Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 28 – 32 (Jangan dekati zina)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s