Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 23 – 27 (Layanan kepada ibubapa)

Ayat 23: Kandungan ayat ini terdapat juga di dalam Taurat, iaitu yang selalu dikenali sebagai The Ten Commandment.

Dan sekarang bermulanya ayat amalan tiga serangkai. Kalau kita ditimpa musibah, maka kita kena buat amal-amalan ini yang akan membuatkan Allah belas kasihan kepada kita.

۞ وَقَضىٰ رَبُّكَ أَلّا تَعبُدوا إِلّا إِيّاهُ وَبِالوالِدَينِ إِحسانًا ۚ إِمّا يَبلُغَنَّ عِندَكَ الكِبَرَ أَحَدُهُما أَو كِلاهُما فَلا تَقُل لَهُما أُفٍّ وَلا تَنهَرهُما وَقُل لَهُما قَولًا كَريمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And your Lord has decreed that you not worship except Him, and to parents, good treatment. Whether one or both of them reach old age [while] with you, say not to them [so much as], “uff,”¹ and do not repel them but speak to them a noble word.

  • An expression of disapproval or irritation.

(MELAYU)

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.

 

وَقَضىٰ رَبُّكَ أَلّا تَعبُدوا إِلّا إِيّاهُ

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia

Kalimah قَضىٰ dalam ayat ini bermaksud perintah, iaitu perintah dari Allah. Yang pertama, amalkan tauhid dan tinggalkan syirik. Kerana kalau musibah yang menimpa kita adalah kerana kesalahan yang kita lakukan, terutama sekali amalan syirik.

Ini adalah arahan yang penting dari Allah kepada manusia: jangan hambakan diri kepada selain dari Allah. Kalau buat juga, itu adalah kesalahan yang amat besar dan akan menyebabkan kekal dalam neraka.

 

وَبِالوالِدَينِ إِحسانًا

dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu

Dan hendaklah berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Lihat bagaimana Allah sebut tentang ibu bapa sebaik sahaja Allah sebut tentang tauhid kepada DiriNya dan ini memberitahu kepada kita bahawa perkara ini amatlah penting. Maka, jangan kita main-main tentang perkara ini.

Kalimah yang digunakan dalam ayat ini adalah والد yang bermaksud ibu bapa yang melahirkan kita (biological parents). Ini berbeza dengan kalimah ٌأب yang kadangkala digunakan untuk juga ‘bapa’. Kalau digunakan أب, ia bermaksud bapa yang telah menjaga kita dengan baik dan sayang kepada kita. Kenapa ada perbincangan tentang perkara ini? Kerana kita disuruh berbuat baik kepada ibubapa kita, samada mereka baik atau pun tidak. Kerana ada juga ibubapa yang tidak baik, bukan? Itu tidak kisah kerana itu Allah gunakan kalimah والد dalam bentuk yang umum. Kalau mereka tidak baik, tidak jaga kita dengan baik pun, kita tetap kena berbuat baik kepada mereka. Maka tidak bolehlah digunakan alasan untuk tidak berbuat baik kepada ibu bapa kalau mereka tidak berbaik dengan kita. Yang mereka tidak berbuat baik dan menjaga anak mereka dengan baik itu adalah masalah mereka dan mereka kena jawap nanti; tapi seorang anak tetap kena menghormati mereka dan tetap kena berbuat baik kepada mereka. Alasan mereka ibubapa yang jahat, bukanlah alasan untuk tidak berbuat baik dengan mereka.

Allah kata kita kena berbuat ihsan dengan ibu bapa kita dan ini bermaksud berbuat sehabis baik dengan mereka. Maka boleh dikatakan bahawa ini adalah arahan yang paling susah di dalam kumpulan ayat-ayat ini kerana kadang-kadang kita rasa susah untuk benar-benar buat baik dengan ibu bapa kita sendiri. Kerana kadang-kadang mereka mahukan perkara yang berlainan dari kehendak kita, bukan?

Maka berilah tindakan yang baik kepada ibu bapa kita kerana sebelum kita kenal Allah dan sebelum kita kenal agama, ibu bapa kita lah yang kita kenal dahulu. Merekalah yang telah berjasa melahirkan kita dan membesarkan kita, melayan kerenah kita semasa kita kecil dulu. Kalau emak dan ayah yang kita nampak di hadapan mata kita pun kita tidak boleh berlaku baik, maka bagaimana kita boleh harap boleh berlaku baik kepada Allah yang tidak ada di depan mata kita dan kita tidak dapat melihatNya?

 

إِمّا يَبلُغَنَّ عِندَكَ الكِبَرَ أَحَدُهُما أَو كِلاهُما

Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu,

Memang kita tidak nafikan bahawa apabila ibubapa itu telah tua, memang susah untuk berurusan dengan mereka, tetapi Allah nak beritahu bahawa walaupun mereka begitu kita tetap kena berbuat baik dengan mereka. Ini adalah ujian untuk kita.

Ayat ini adalah keadaan di mana apabila mereka telah tua dan duduk bersama dengan kita. Ini disebut secara khusus, kerana tidak sama kalau mereka tua dan duduk jauh dari kita. Kerana apabila mereka sentiasa bersama dengan kita, tentub mereka akan berkata macam-macam perkara dan kadang-kadang tindakan-tindakan mereka adakalanya akan menyebabkan kita sakit hati, bukan?

Kadang-kadang seorang sahaja yang tinggal dan kadang-kadang kedua mereka duduk dengan kita. Tidak kira sama ada bapa atau ibu kita disebut, kerana sifat kedua-dua mereka tidak sama. Kadang-kadang seorang dari mereka itu lebih mencabar lagi dari seorang yang lain. Akan tetapi walau apa pun yang mereka kata dan walau apa yang mereka buat, kita kena tahan perasaan kita dan kita jangan kurang ajar kepada mereka.

Nasihat ini amat penting, terutama sekali kepada orang-orang yang telah berkahwin kerana mereka sudah ada keluarga sendiri dan sudah sibuk dengan kehidupan sendiri. Maka mereka kena berusaha lebih sedikit untuk meluangkan masa untuk ibu bapa. Cara kita bercakap dengan mereka pun perlu amat dijaga supaya tidak mengguris hati mereka. Ini penting kerana semakin tua seseorang itu, semakin menjadi perasa dan mudah tersentuh dengan perkara yang kecil-kecil pun. Semua ini akan diuji kepada kita.

 

فَلا تَقُل لَهُما أُفٍّ

maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah”

Kalimah أُفٍّ bermaksud asalnya sesuatu yang menggelikan dan kemudian bertukar membawa maksud ‘Ah bosannya’. Kadang-kadang perkataan tidak perlu keluar atau bunyi tidak perlu keluar pun, tetapi ia dikeluarkan dalam bentuk memek muka dan perbuatan kita. Kita yang belajar ini janganlah keluarkan kalimah ataupun perbuatan-perbuatan yang boleh dikira sebagai أُفٍّ ini.

Inilah kalimah yang nampak pendek dan lembut sahaja, tapi sebenarnya ia amat kasar. Kalau bahasa kita, mungkin tidak gunakan kalimah أُفٍّ, tapi mungkin ‘uh’, ‘ah’ atau ‘eh’. Kena bandingkan dengan lafaz daerah masing-masing.

 

وَلا تَنهَرهُما

dan janganlah kamu membentak mereka

Kalimah تَنهَرهُما berasal dari kalimah نهر yang bermaksud ‘sungai’. Digunakan dalam ayat ini untuk bermaksud marah kepada seseorang, kerana orang yang kena marah bertubi-tubi itu rasa seperti mereka dihambur dengan air sungai yang kuat.

Tambahan pula orang yang sedang memarah itu bercakap dengan kuat dan laju, sampai air liur mereka pun terkeluar juga sampai kena kepada orang yang dimarahi itu. Ayat ini mengajar kita supaya jaga perasaan kita supaya kita jangan sampai marah dan menghambur kepada ibu bapa kita. Jangan tengking mereka. Amat teruk sekali kalau sampai kita tertengking ibubapa kita. Marah macam mana pun, kita jangan sekali-kali tengking ibubapa kita. Kena kawal hati kita – jangan bagi syaitan masuk sampai boleh tengking ibubapa kita.

Tidak disebut tentang memukul ibubapa kita dalam ayat ini dan ayat-ayat lain. Tapi kita boleh faham begini: kalau tengking dan kata uff pun tidak boleh dengan mereka, apatah lagi kalau pukul mereka. Jadi tidak perlu disebut.

 

وَقُل لَهُما قَولًا كَريمًا

dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.

Sebaliknya kita disuruh di dalam ayat ini untuk bercakap kepada ibu bapa kita dengan kata-kata yang baik. Iaitu kata-kata yang lembut dan hormat sungguh-sungguh kepada mereka. Maka gunakan perkataan yang mulia iaitu kata-kata yang tidak menyakiti hati.

Hadis-hadis yang menyebutkan tentang berbakti kepada kedua orang tua cukup banyak, antara lain ialah hadis yang diriwayatkan melalui berbagai jalur dari Anas dan lain-lainnya yang mengatakan bahwa pada suatu hari Nabi Saw. naik ke atas mimbar, kemudian beliau mengucapkan kalimat Amin sebanyak tiga kali. Maka ketika ditanyakan, “Wahai Rasulullah, apakah yang engkau aminkan?” Maka Nabi Saw. menjawab:

“أَتَانِي جِبْرِيلُ فَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ رَغِمَ أَنْفُ امْرِئٍ ذُكِرْتَ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْكَ، فَقُلْ: آمِينَ. فَقُلْتُ: آمِينَ. ثُمَّ قَالَ: رَغِمَ أَنْفُ امْرِئٍ دَخَلَ عَلَيْهِ شَهْرُ رَمَضَانَ ثُمَّ خَرَجَ وَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ، قُلْ: آمِينَ. فَقُلْتُ آمِينَ. ثُمَّ قَالَ: رَغِمَ أَنْفُ امْرِئٍ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ أَوْ أَحَدَهُمَا فَلَمْ يُدْخِلَاهُ الْجَنَّةَ، قُلْ: آمِينَ. فَقُلْتُ: آمِينَ”

Jibril datang kepadaku, lalu mengatakan, “Hai Muhammad, terhinalah seorang lelaki yang namamu disebut di hadapannya, lalu ia tidak membaca salawat untukmu. Ucapkanlah ‘Amin’.” Maka saya mengucapkan Amin lalu Jibril berkata lagi, “Terhinalah seorang lelaki yang memasuki bulan Ramadan, lalu ia keluar dari bulan Ramadan dalam keadaan masih belum beroleh ampunan baginya. Katakanlah, ‘Amin’.” Maka aku ucapkan Amin. Jibril melanjutkan perkataannya, “Terhinalah seorang lelaki yang menjumpai kedua orang tuanya atau salah seorangnya, lalu keduanya tidak dapat memasukkannya ke syurga. Katakanlah, ‘Amin’.” Maka aku ucapkan Amin.

Jadi, ini adalah sebahagian dari Amalan Tiga Serangkai.

  1. Jangan syirik
  2. Berbuat baik

 

Ayat 24: Masih lagi tentang ibubapa.

وَاخفِض لَهُما جَناحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحمَةِ وَقُل رَبِّ ارحَمهُما كَما رَبَّياني صَغيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And lower to them the wing of humility out of mercy and say, “My Lord, have mercy upon them as they brought me up [when I was] small.”

(MELAYU)

Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil”.

 

وَاخفِض لَهُما جَناحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحمَةِ

Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua kerana rahmah

Secara literalnya, ayat ini bermaksud ‘merendahkan sayap’ kita. Ia bermaksud kita merendahkan diri kita di hadapan ibu bapa kita. Memang burung-burung ada keupayaan untuk terbang, tapi apabila ia merendahkan sayapnya bermaksud dia merendahkan dirinya kerana walaupun dia boleh terbang, tetapi dia pilih untuk tidak terbang.

Ini adalah perumpamaan yang diberikan kepada anak-anak yang memang ada kuasa untuk menang dengan ibu bapa mereka. Mungkin ibubapa mereka itu lemah dan makan pula hasil dari pencarian si anak itu. Maka kalau anak itu nak tinggikan dirinya, buat keputusan yang berlawanan dengan ibubapanya, dia boleh kerana dia yang berkuasa. Akan tetapi mereka memilih untuk tidak menang.

Ini tidak sama dengan orang yang memang lemah, tetapi ia bermakna seseorang yang memang dalam keadaan yang boleh menang tetapi dia memilih untuk merendahkan dirinya. Semasa kita kecil atau ditanggung oleh ibubapa kita, memang lah kita merendahkan diri kita, bukan? Tapi bukan begitu maksud ayat ini. Maksud ayat ini tentang mereka yang ada kelebihan atas ibubapa mereka, tapi mereka tetap merendahkan diri mereka.

Ini kerana seseorang anak itu apabila ia telah besar dan mungkin dia telah kaya dan ibu bapanya sekarang sudah tua dan miskin pula dan mungkin makan hasil dari pendapatan anaknya maka tentunya si anak itu berada pada kedudukan yang lebih tinggi dari ayahnya dalam hal dunia. Tapi walaupun mereka ada kedudukan seperti itu, mereka tetap kena merendahkan diri mereka di hadapan ibu bapa mereka. Maka walaupun kamu ada ‘sayap’ tetapi kamu berlakonlah yang kamu tidak ada sayap itu apabila kamu berada di hadapan ibu bapa kamu.

Kita buat begitu kerana ‘Rahmah’ terhadap mereka. Kerana mereka dulu telah jaga kita di waktu kita kecil dan kita telah pernah menyusahkan mereka, kencing berak sana sini, tapi mereka tetap sayang kepada kita. Mereka tetap sayang kepada kita walau apa pun yang kita buat terutama sekali ibu kita. Seorang ayah boleh halau anaknya dari rumah tetapi seorang ibu tidak berkemampuan untuk melakukannya.

Satu lagi maksud, kalau kamu mahukan rahmah daripada Allah, maka kamu kena bersifat Rahim kepada mereka.

 

وَقُل رَبِّ ارحَمهُما كَما رَبَّياني صَغيرًا

dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil”.

Dan kita hendaklah berdoa kepada Allah supaya menyayangi ibu bapa kita seperti ibu bapa kita itu menyayangi kita dan mendidik kita sewaktu kita kecil dahulu. Kerana ibu bapa kita telah menjaga kita sewaktu kecil dulu dan memastikan kita membesar dengan baik. Inilah antara tanda seorang yang soleh, iaitu yang mendoakan untuk ibubapanya.


 

Ayat 25: Masih lagi tentang ibubapa.

رَبُّكُم أَعلَمُ بِما في نُفوسِكُم ۚ إِن تَكونوا صالِحينَ فَإِنَّهُ كانَ لِلأَوّابينَ غَفورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Your Lord is most knowing of what is within yourselves. If you should be righteous [in intention] – then indeed He is ever, to the often returning [to Him], Forgiving.¹

  • For those who intend righteousness, hastening to repent from sins and errors committed through human weakness, Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā) promises forgiveness.

(MELAYU)

Tuhanmu lebih mengetahui apa yang ada dalam hatimu; jika kamu orang-orang yang baik, maka sesungguhnya Dia Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat.

 

رَبُّكُم أَعلَمُ بِما في نُفوسِكُم

Tuhanmu lebih mengetahui apa yang ada dalam hatimu;

Kadang-kadang pergaulan antara anak dan ibubapa tidak sama. Ada ibu bapa yang mudah untuk dibawa berbincang dan ada yang susah. Allah tahu apa yang ada dalam hati kita semasa berhadapan dengan mereka. Allah tahu apa yang kita lalui dan terpaksa hadapi perangai-perangai ibu bapa kita. Dan kalau kamu bersikap baik maka Allah juga tahu. Kalau hati kamu baik.

Allah tahu samada kita ikhlas atau tidak. Allah ada manusia yang buat baik kerana hendakkan dunia sahaja. Ada yang berbuat baik dengan ibubapa kerana nak tunjuk pada orang sahaja. Tapi kalau di belakang orang dan di dalam hatinya, dia benci ibubapanya. Allah nak beritahu yang Dia tahu apa yang bermain dalam hati kita.

 

إِن تَكونوا صالِحينَ فَإِنَّهُ كانَ لِلأَوّابينَ غَفورًا

jika kamu orang-orang yang baik, maka sesungguhnya Dia Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat.

Kalimah ‘awwaba’ bermaksud ‘kembali dari perjalanan yang jauh’. ‘Awwaab’ adalah orang yang telah berada di dalam dosa yang panjang dan kemudian dia sedar bahawa dia telah buat salah. Bila dia dah sedar, maka dia pun bertaubat. Inilah yang sepatutnya kita lakukan.

Akan tetapi kadang-kadang apabila telah berada dalam perjalanan yang jauh, ada yang rasa macam nak patah balik itu malas. Tapi Allah kata kepada mereka yang telah jauh tetapi sanggup untuk kembali kepadaNya, kepada mereka itu Allah bersifat Maha Pengampun.

Jadi kadang-kadang kita telah lama tidak mengendahkan ibu bapa kita dan telah sampai satu ketika yang kita rasa tidak ada peluang untuk kita buat baik kepada mereka lagi. Tetapi Allah memberitahu bahawa masih ada lagi peluang itu. Yang penting adalah orang itu sanggup untuk berpatah balik dah sanggup melakukan usaha ke arah itu dan Allah beritahu kepada mereka yang dia maha Pengampun. Jadi, kalau sudah lama tidak bercakap baik dengan ibubapa, maka ambillah peluang ini; kalau sudah lama tak balik kampung, baliklah segera; kalau sudah lama tidak telefon, maka telefonlah tanya khabar mereka; kalau dulu anda pernah marah dan maki mereka, maka jumpalah mereka dan berlututlah depan mereka meminta maaf – tidak selamat hidup anda kalau anda tidak minta maaf.


 

Ayat 26: Sekarang masuk perkara kedua dalam berbuat baik.

وَآتِ ذَا القُربىٰ حَقَّهُ وَالمِسكينَ وَابنَ السَّبيلِ وَلا تُبَذِّر تَبذيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And give the relative his right, and [also] the poor and the traveler, and do not spend wastefully.1

  • i.e., on that which is unlawful or in disobedience to Allāh.

(MELAYU)

Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (hartamu) secara boros.

 

وَآتِ ذَا القُربىٰ حَقَّهُ

Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, 

Sekarang masuk kepada orang lain selain dari ibu bapa kita. Allah nak beritahu yang kalau dengan ibu bapa kita, kita boleh berbuat baik walaupun ianya susah, maka kalau dengan ahli keluarga kita yang lain itu akan lebih mudah.

Kepada ahli keluarga yang lain walaupun kita ada tanggungjawab terhadap mereka tetapi tanggungjawab itu tidaklah setinggi tanggungjawab kita terhadap ibu bapa.

Berikan hak kepada mereka yang paling rapat dengan kamu dari segi kekeluargaan. Setiap orang akan mendapat hak mereka masing-masing sama ada adik beradik, nenek dan sebagainya. Kerana ayat ini menjuruskan kepada setiap individu bukan kepada semua orang secara kolektif. Maknanya setiap orang, jangan ada yang tinggal.

Hak itu boleh jadi dari segi harta atau hubungan.

 

وَالمِسكينَ وَابنَ السَّبيلِ

kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan

Dan selain dari ahli keluarga, kita kena berikan hak kepada orang miskin dan kepada orang yang bermusafir.

 

وَلا تُبَذِّر تَبذيرًا

 dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (hartamu) secara boros.

Ayat ini bermaksud jangan membazir dalam perbelanjaan. Kalimah تُبَذِّر dari ب ذ ر yang bermaksud menabur benih. Diberi perumpamaan orang yang ada benih dan menaburkan kesemua tempat. Lihatlah apa yang dilakukan oleh petani yang menabur benih, bukankah dia akan taburkan begitu sahaja benih itu? Maka sekarang bayangkan kalau orang yang membazir, seperti dia membuang-buang dan menabur benih sahaja.

Apakah kaitannya jangan membazir dengan hak ahli keluarga kita yang rapat? Ia bersangkutan kerana ahli keluarga kita itu lebih berhak kepada wang itu kalau dibandingkan dengan orang lain dan lebih-lebih lagi kalau kita membazir wang itu dengan mengeluarkannya tanpa kepentingan. Mungkin kita kata kita tidak ada wang lagi untuk tolong ahli keluarga kita yang susah; tapi kena periksa balik ke manakah wang itu pergi kerana entah-entah kita bazirkan sahaja. Maka Allah ingatkan, jangan membazir kerana kalau dah bazirkan duit ke tempat lain, memang lah tiada lagi wang nak bagi ahli kerabat, bukan?

تُبَذِّر adalah jenis perbelanjaan yang memang tidak diperlukan tetapi dilakukan kerana membazir sahaja. Ini beza jenis beli barang keperluan yang memang diperlukan dalam kehidupan tetapi beli jenis yang mahal yang tidak diperlukan; sebagai contoh beli baju yang berharga beribu ringgit. Ini israf (berlebih-lebihan). Israf adalah beli barang yang memang perlu, seperti baju kita memang perlukan pun, tapi bila beli baju yang jenis mahal dan tidak patut (kena nilai sendirilah), maka itu israf. Bazir pula jenis beli benda yang tidak perlu.

Ini masalah dan dugaan kalau manusia diberikan dengan wang yang banyak. Ia boleh jadi sampai mereka rasa agama tidak penting dan berada di bawah mereka. Mereka rasa hebat sangat wang mereka sampaikan ada yang sangka orang-orang yang berkecimpung dalam agama memerlukan sedekah dari mereka. Kerana itu ada orang yang sekali sekala akan panggil ustaz untuk datang ke rumah mereka untuk beri tazkirah dan kemudian mereka akan berikan sampul yang berisi dengan duit untuk ustaz-ustaz itu. Kerana dalam kepala  mereka, golongan agama ini di bawah mereka dan memerlukan pertolongan mereka yang kaya. Mereka rasa, dengan mereka buat tazkirah sebegitu dan mereka beri wang, mereka sudah selamat dan berbakti kepada agama. Sedangkan mereka sendiri tidak beramal dengan amal yang sebenar.


 

Ayat 27: Jangan membazir.

إِنَّ المُبَذِّرينَ كانوا إِخوانَ الشَّياطينِ ۖ وَكانَ الشَّيطانُ لِرَبِّهِ كَفورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, the wasteful are brothers of the devils, and ever has Satan been to his Lord ungrateful.

(MELAYU)

Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat engkar kepada Tuhannya.

 

إِنَّ المُبَذِّرينَ كانوا إِخوانَ الشَّياطينِ

Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan

Kenapa agaknya orang-orang yang membazir itu dikaitkan dengan syaitan? Ini adalah kerana Syaitan berusaha untuk mengadakan permusuhan sesama manusia dan salah satu cara yang dilakukannya adalah dengan arak dan perjudian. Dan satu lagi cara yang boleh menyebabkan rasa tidak puashati dikalangan manusia adalah apabila orang-orang yang kaya itu menunjuk-nunjuk kekayaan mereka yang menyebabkan orang yang tidak ada harta akan terasa hati. Apabila itu terjadi maka terdapatlah kasta di dalam masyarakat. Bila itu terjadi, masyarakat sudah tidak harmoni lagi dan boleh jadi kacau bilau.

 

وَكانَ الشَّيطانُ لِرَبِّهِ كَفورًا

dan syaitan itu adalah sangat engkar kepada Tuhannya.

Dan semua kita tahu bahawa syaitan itu kufur terhadap Allah. Maka janganlah kita terikut-ikut dengan bisikan dan ajakan syaitan. Syaitan itu memang akan sentiasa berusaha untuk merosakkan masyarakat dengan apa cara sekali pun.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 017: al-Isra'. Bookmark the permalink.

One Response to Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 23 – 27 (Layanan kepada ibubapa)

  1. Pingback: Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 23 – 27 (Layanan kepada ibubapa)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s