Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 8 – 12 (Peluang kepada Bani Israil)

Ayat 8: Ini ayat berkenaan mukjizat yang kedua. Ia juga adalah khulasah ketiga dalam Kitab Taurat.

عَسىٰ رَبُّكُم أَن يَرحَمَكُم ۚ وَإِن عُدتُم عُدنا ۘ وَجَعَلنا جَهَنَّمَ لِلكافِرينَ حَصيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Then Allāh said], “It is expected, [if you repent], that your Lord will have mercy upon you. But if you return [to sin], We will return [to punishment]. And We have made Hell, for the disbelievers, a prison-bed.”

(MELAYU)

Mudah-mudahan Tuhanmu akan melimpahkan rahmat(Nya) kepadamu; dan sekiranya kamu kembali kepada (kederhakaan) nescaya Kami kembali (mengazabmu) dan Kami jadikan neraka Jahannam penjara bagi orang-orang yang tidak beriman.

عَسىٰ رَبُّكُم أَن يَرحَمَكُم

Mudah-mudahan Tuhanmu akan melimpahkan rahmat(Nya) kepadamu;

Allah mahu memberitahu bahawa Allah bukan benci kepada mereka dan Allah masih beri peluang lagi kepada mereka. Kalau mereka ikut syariat Nabi akhir zaman (Nabi Muhammad), mereka akan selamat. Allah masih sanggup untuk melimpahkan rahmatNya kepada mereka.

وَإِن عُدتُم عُدنا

dan sekiranya kamu kembali kepada (kederhakaan) nescaya Kami kembali (mengazabmu) 

Tetapi, Allah mahu tegaskan bahawa kalau mereka kembali semula kepada perangai lama mereka, Allah akan berikan nasib yang sama seperti yang telah diberikan dulu kepada mereka. Iaitu Bangsa Yahudi telah hancur sebanyak dua kali. Pada kali ini, kalau mereka tidak ambil peluang juga lagi untuk menerima ajaran daripada Nabi Muhammad, maka mereka akan mendapat nasib yang sama sekali lagi.

Tetapi seperti yang kita tahu dari sirah, kebanyakan daripada mereka tidak mengambil pengajaran. Maka, ada Yahudi di Madinah yang menentang Nabi Muhammad dan kerana itu mereka dihancurkan. Iaitu Bani Nadhir dan Bani Quraizah. Bani Nadhir semua telah dihalau keluar dan Bani Quraizah telah dibunuh semua sekali (kejadian pada 6H).

وَجَعَلنا جَهَنَّمَ لِلكافِرينَ حَصيرًا

dan Kami jadikan neraka Jahannam penjara bagi orang-orang yang tidak beriman.

Yang disebut itu tadi adalah azab di dunia. Allah juga telah menyediakan neraka jahannam itu untuk orang-orang kafir yang akan mengepung mereka seperti penjara. Mereka tidak akan dapat keluar. Kalau penjara di dunia, mungkin ada harapan lagi untuk lari, namun tidak ada harapan kalau penjara di akhirat.


Ayat 9: Ini juga ayat tentang mukjizat. Allah menceritakan tentang Quran kerana ia adalah mukjizat terbesar dan ia masih berkekalan. Mukjizat-mukjizat lain yang dilakukan oleh Nabi lain, sudah tiada untuk dilihat lagi. Yang tahu tentangnya adalah mereka yang melihatnya dengan mata sendiri dan kemudian mereka menceritakan kepada anak-anak mereka. Lama kelamaan ia menjadi seperti kisah sahaja. Tetapi, kita amat beruntung sekali kerana Quran ini adalah mukjizat yang masih kekal. Kalau ada orang yang tanya: ” Di manakah mukjizat Nabi kamu?”, Kita boleh pergi ke almari kita, keluarkan Quran dan terus tunjuk kepada mereka, bukan?

إِنَّ هٰذَا القُرآنَ يَهدي لِلَّتي هِيَ أَقوَمُ وَيُبَشِّرُ المُؤمِنينَ الَّذينَ يَعمَلونَ الصّالِحاتِ أَنَّ لَهُم أَجرًا كَبيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, this Qur’ān guides to that which is most suitable and gives good tidings to the believers who do righteous deeds that they will have a great reward

(MELAYU)

Sesungguhnya Al Quran ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang Mukmin yang mengerjakan amal soleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar,

إِنَّ هٰذَا القُرآنَ يَهدي لِلَّتي هِيَ أَقوَمُ

Sesungguhnya Al Quran ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus

Mereka diberitahu bahawa peluang mereka untuk naik kembali dari kehinaan dan kemusnahan mereka adalah dengan menerima Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Janganlah menentang, tetapi terimalah dengan baik.

Mereka masih ada lagi ajaran dan hukum yang ada di dalam kitab Taurat tetapi Allah hendak memberitahu bahawa Quran ini lebih baik dan lebih tegak lagi. Tentu mereka ada kelebihan dan kebolehan yang Allah telah berikan dan itu tidak ada masalah, tetapi Allah hendak memberitahu bahawa apa yang ada di dalam Quran ini lebih baik lagi dari apa yang mereka ada.

وَيُبَشِّرُ المُؤمِنينَ

dan memberi khabar gembira kepada orang-orang Mukmin

Quran memberi berita gembira kepada orang mukmin. Siapakah mereka itu dan apakah ciri-ciri mereka? Yang pertama, hendaklah percaya dengan apa yang perlu dipercayai, barulah dikira sebagai mukmin. Mesti tahu apakah fahaman akidah yang benar dan berpegang dengannya. Maksud fahaman yang benar itu adalah dalam Quran, maka mestilah belajar akidah dari Quran. Jadi, yang pertama adalah akidah mesti sempurna.

الَّذينَ يَعمَلونَ الصّالِحاتِ

yang mengerjakan amal saleh

Mereka yang mukmin juga adalah mereka yang mengamalkan amalan soleh. Mereka bukan sahaja mengaku mereka beriman, tetapi mereka juga tunjukkan keimanan mereka dengan cara praktikal iaitu melakukan amal soleh.

Tetapi, kita mesti ingat yang amalan soleh itu adalah amalan sunnah, bukan amalan bidaah. Apabila lakukan amal ibadat, pastikan kita tahu tentang amalan itu dan harus tahu apakah dalilnya. Kita mesti pastikan amalan itu bertepatan dengan syariat Quran dan sunnah. Jangan main ikut sahaja. Kerana main ikut sahaja, maka ramai masyarakat kita mengamalkan amalan bidaah (dan bila ditegur, mereka marah kita pula).

Allah menekankan tentang kepentingan untuk melakukan amalan yang baik kerana bangsa Yahudi telah mengatakan bahawa kalau ada iman sahaja juga sudah cukup.

أَنَّ لَهُم أَجرًا كَبيرًا

bahawa bagi mereka ada pahala yang besar,

Allah menjanjikan pahala besar untuk mereka yang beriman dan beramal soleh. Kalau di dunia, kita menggunakan harta untuk berdagang, tapi di akhirat nanti, segala harta dan pendapatan tidak berguna lagi dan yang berguna hanyalah pahala.


Ayat 10: Ayat takhwif.

وَأَنَّ الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِالآخِرَةِ أَعتَدنا لَهُم عَذابًا أَليمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And that those who do not believe in the Hereafter – We have prepared for them a painful punishment.

(MELAYU)

dan sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat, Kami sediakan bagi mereka azab yang pedih.

وَأَنَّ الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِالآخِرَةِ

dan sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat,

Ini lawan kepada orang yang beriman dalam ayat sebelum ini. Kalau masih berdegil juga, tidak mahu beriman, tidak kisah tentang kehidupan akhirat. Allah beritahu yang mereka akan mendapat balasan yang buruk.

أَعتَدنا لَهُم عَذابًا أَليمًا

Kami sediakan bagi mereka azab yang pedih.

Allah sudah siap sediakan azab yang khusus untuk mereka sahaja. (Kerana kalimah لَهُم itu taqdim, maka ia menunjukkan eksklusif untuk mereka sahaja). Iaitu ada azab yang khusus untuk mereka, tentu lebih teruk dari orang lain. Kerana mereka ini sepatutnya tahu kebenaran yang dibawakan oleh Nabi Muhammad, tetapi mereka tetap berdegil.


Ayat 11: Ayat zajrun.

وَيَدعُ الإِنسانُ بِالشَّرِّ دُعاءَهُ بِالخَيرِ ۖ وَكانَ الإِنسانُ عَجولًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And man supplicates for evil [when angry] as he supplicates for good, and man is ever hasty.¹

  • i.e., impatient, emotional, and acting without forethought.

(MELAYU)

Dan manusia doa untuk kejahatan sebagaimana ia berdoa untuk kebaikan. Dan adalah manusia bersifat tergesa-gesa.

وَيَدعُ الإِنسانُ بِالشَّرِّ دُعاءَهُ بِالخَيرِ

Dan manusia doa untuk kejahatan sebagaimana ia berdoa untuk kebaikan. 

Allah menegur manusia yang minta keburukan sama seperti mereka meminta kebaikan.

Kerana yang menolak Nabi kemudian minta terus dikenakan dengan azab yang dijanjikan. (Kamu kata kalau kami tolak, kami kena azab; mana azab itu?).

Atau ia bermaksud, manusia berdoa untuk kebaikan, tetapi kebaikan yang mereka sangkakan itu sebenarnya adalah keburukan. Mereka tidak tahu apa yang mereka minta. Ini disebabkan oleh kebodohan mereka kerana ada golongan Yahudi telah meminta kepada Allah untuk memberikan Nabi dari kalangan mereka. Mereka tidak mahu menerima Nabi Muhammad kerana Nabi Muhammad itu adalah dari bangsa Arab dan mereka hanya mahu Nabi dari kalangan Bani Israil sahaja.

Begitu juga bangsa Quraisy telah berdoa kepada Allah untuk memusnahkan Nabi Muhammad dan para sahabat. Kerana mereka sangka mereka itu yang benar dan Nabi Muhammad itu membawa ajaran sesat. (Hampir sama dengan golongan Islam di Malaysia yang berkata golongan sunnah ini adalah golongan sesat – mereka gelar sebagai Wahabi. Ini adalah kerana kejahilan).

Allah juga menceritakan tentang sifat manusia yang tergesa-gesa dan doa yang dilakukannya dalam keadaan tertentu untuk keburukan sama ada dirinya, anaknya atau harta bendanya. Yang dimaksud dengan keburukan ini adakalanya ingin mati, binasa, kehancuran, dan laknat serta sebagainya yang buruk akibatnya. Seandainya Allah mengabulkan doanya, nescaya binasalah dia. Ayat ini sama erti dengan apa yang disebutkan oleh Allah SWT dalam ayat yang lain melalui firman-Nya:

{وَلَوْ يُعَجِّلُ اللَّهُ لِلنَّاسِ الشَّرَّ اسْتِعْجَالَهُمْ بِالْخَيْرِ لَقُضِيَ إِلَيْهِمْ أَجَلُهُمْ}

Dan kalau sekiranya Allah menyegerakan kejahatan bagi manusia. (Yunus: 11), hingga akhir ayat.

Hal yang sama telah ditafsirkan oleh Ibnu Abbas, Mujahid, dan Qatadah. Dalam sebuah hadith disebutkan:

“لَا تَدْعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ وَلَا عَلَى أَمْوَالِكُمْ، أَنْ تُوَافِقُوا مِنَ اللَّهِ سَاعَةَ إِجَابَةٍ يَسْتَجِيبُ فِيهَا”

Janganlah kalian berdoa untuk keburukan diri kalian, jangan pula untuk keburukan harta benda kalian, kerana dikhawatir­kan doa kalian akan bertepatan dengan sa’atul ijabah, lalu diperkenankan bagi kalian doa itu.

وَكانَ الإِنسانُ عَجولًا

Dan adalah manusia bersifat tergesa-gesa.

Memang kebanyakan manusia bersifat kelam kabut (tergopoh-gopoh). Begitulah, manusia tidak tahu apa yang mereka minta sebenarnya. Kadang-kadang kita minta kepada perkara yang tidak baik – sebagai contoh, kita minta supaya diberi sesuatu kerja tertentu, padahal kita tidak tahu bahawa kerja itu sebenarnya tidak elok bagi diri kita. Oleh itu, kita sepatutnya meminta doa kepada Allah untuk memberi kebaikan kepada kita tanpa kita menyebut secara spesifik apakah yang kita hendak. Tidak perlu hendak mengajar Allah untuk memberi kita sesuatu yang spesifik kerana kita tidak tahu sama ada ianya membawa kebaikan atau tidak. (Atau, sekurangnya, kita tambah dalam doa kita begini – Ya Allah, kalau perkara ini memberi kebaikan untuk diriku, maka Kau kabulkan dan berikanlah).

Ingatlah yang kita tidak tahu apakah sebenarnya kebaikan untuk kita. Kerana kita tidak tahu perkara ghaib. Maka, kita sepatutnya serahkan sahaja kepada Allah. Hanya memohon kebaikan sahaja.


Ayat 12: Ayat Tauhid.

وَجَعَلنَا اللَّيلَ وَالنَّهارَ آيَتَينِ ۖ فَمَحَونا آيَةَ اللَّيلِ وَجَعَلنا آيَةَ النَّهارِ مُبصِرَةً لِتَبتَغوا فَضلًا مِن رَبِّكُم وَلِتَعلَموا عَدَدَ السِّنينَ وَالحِسابَ ۚ وَكُلَّ شَيءٍ فَصَّلناهُ تَفصيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have made the night and day two signs, and We erased the sign of the night and made the sign of the day visible¹ that you may seek bounty from your Lord and may know the number of years and the account [of time]. And everything We have set out in detail.

  • Or “giving sight.”

(MELAYU)

Dan Kami jadikan malam dan siang sebagai dua tanda, lalu Kami hapuskan tanda malam dan Kami jadikan tanda siang itu terang, agar kamu mencari kurnia dari Tuhanmu, dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun-tahun dan perhitungan. Dan segala sesuatu telah Kami terangkan dengan jelas.

وَجَعَلنَا اللَّيلَ وَالنَّهارَ آيَتَينِ

Dan Kami jadikan malam dan siang sebagai dua tanda,

Allah menjadikan malam dan siang sebagai tanda kepada kita. Iaitu tanda wujudnya Allah dan tanda qudrat Allah. Kita hendaklah sedar yang malam dan siang tidak terjadi sendiri, tetapi Allah yang menjadikannya. Bukanlah ia terjadi secara automatik apabila sampai waktunya kerana Allah yang menentukan ia terjadi. Ada masa nanti yang Allah akan tahan siang menjadi panjang. Nanti di akhirat juga – tiada malam di syurga dan tiada siang di neraka. Maka itu adalah tanda yang malam dan siang tidak terjadi sendiri.

Siang dan malam juga adalah tanda yang memberi nasihat. Iaitu kepada mereka yang gopoh seperti yang disebut dalam ayat sebelum ini. Bagaimana ia menjadi nasihat? Kita disuruh melihat kepada malam dan siang kerana siang dan malam datang silih berganti dan tidak tergopoh-gopoh. Apabila sampai masanya, Allah akan jadikan siang datang dan apabila sampai masanya, Allah akan jadikan malam datang. Maka, kita kena tunggu sahaja. Tunggu ketentuan dari Allah.

فَمَحَونا آيَةَ اللَّيلِ وَجَعَلنا آيَةَ النَّهارِ مُبصِرَةً

lalu Kami hapuskan tanda malam dan Kami jadikan tanda siang itu terang, 

Allah lah yang menghilangkan malam itu sedikit demi sedikit dengan mengeluarkan cahaya matahari. Dan apabila Allah hilangkan malam tidak ada sikit pun tanda malam itu masih ada.

Bila dah siang, keadaan menjadi terang dan senang untuk melihat keadaan di luar. Tidaklah nak kena pakai lampu.

لِتَبتَغوا فَضلًا مِن رَبِّكُم

agar kamu mencari kurnia dari Tuhanmu, 

Dan Allah jadikan siang untuk kita mudah melihat. Dan apabila siang hari itu terang, maka senang untuk kita mencari kurniaan Allah dalam mencari rezeki. Nak ke mana-mana pun senang, nak buat kerja pun senang.

وَلِتَعلَموا عَدَدَ السِّنينَ وَالحِسابَ

dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun-tahun dan perhitungan.

Dan dengan siang dan malam itu kita boleh mengira takwim (kalender) dan kita boleh menyimpan sejarah. Kita boleh kira hari demi hari untuk cukupkan seminggu, sebulan, setahun dan sebagainya. Bayangkan kalau siang sahaja ataupun malam sahaja tentu kita susah hendak buat takwim. Tidak boleh mahu membuat perkiraan.

وَكُلَّ شَيءٍ فَصَّلناهُ تَفصيلً

Dan segala sesuatu telah Kami terangkan dengan jelas.

Allah jelaskan segala perkara kepada kita di dalam Quran. Yang dimaksudkan adalah perkara agama. Kerana tidaklah semua perkara kehidupan disebut dalam Quran kerana tidak cukup tempat. Tetapi kalau bab agama, terutama bab akidah, semuanya telah disebut. Sedangkan bab feqah dan hukum, disebut secara umum sahaja dan dijelaskan dengan panjang lebar dalam Sunnah.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 017: al-Isra'. Bookmark the permalink.

One Response to Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 8 – 12 (Peluang kepada Bani Israil)

  1. Pingback: Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 8 – 12 (Peluang kepada Bani Israil)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s