Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 1 – 4 (Perjalanan Isra’)

Pengenalan:

Surah Isra’ ini amat rapat dengan Surah Kahf dan ia mengandungi pengajaran yang amat penting sekali. Ada banyak persamaan antara surah ini dan surah Kahf nanti yang kita akan perhatikan.

Surah ini juga dikenali dengan nama Surah Bani Israil, kerana banyak menyebut tentang sejarah mereka sebelum Nabi Muhammad. Ini penting kerana sejarah mereka penting untuk kita ketahui. Perkara yang berlaku kepada mereka akan berlaku kepada kita juga. Jadi, ada pengajaran penting yang kita harus tahu supaya kita dapat berhati-hati. Ambillah pengajaran dari surah ini.

Dakwa surah ini ada pada ayat 1 dan ayat akhir.

Ada dua cara Allah turunkan ilmu kepada hambaNya.

  1. Satu dengan cara diberikan dalil-dalil ayat Quran, dan
  2. Satu lagi dengan cara mukjizat.

Oleh itu, ada 5 ayat berkenaan mukjizat dan 10 ayat-ayat Tauhid dalam surah ini. Iaitu ayat Tauhid dalam jenis dalil.

Ada juga dimasukkan ‘amalan tiga serangkai’. Ini boleh rujuk kepada Istilah Tafsir. Ringkasnya, ada tiga perkara yang  mesti dilakukan apabila ditimpa musibah – Jangan syirik – jangan zalim – hendaklah buat baik. Ini disebut dalam ayat 23-39.

Di dalam surah ini juga, Allah mengajar cara tabligh menyampaikan dakwah kepada manusia.


Ayat 1: Ayat Dalil Wahyi. Ia juga adalah Ayat Mukjizat dan Dakwa bagi surah ini.

سُبحانَ الَّذي أَسرىٰ بِعَبدِهِ لَيلًا مِنَ المَسجِدِ الحَرامِ إِلَى المَسجِدِ الأَقصَى الَّذي بارَكنا حَولَهُ لِنُرِيَهُ مِن آياتِنا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّميعُ البَصيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Isrā’: The Night Journey. The sūrah is also known as Banī Isrā’eel (The Children of Israel).

Exalted¹ is He who took His Servant [i.e., Prophet Muḥammad ()] by night from al-Masjid al-Ḥarām to al-Masjid al-Aqṣā,² whose surroundings We have blessed, to show him of Our signs. Indeed, He is the Hearing, the Seeing.

  • Above any imperfection or failure to do as He wills.
  • In Jerusalem.

(MELAYU)

Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (Kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

سُبحانَ الَّذي أَسرىٰ بِعَبدِهِ لَيلًا

Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam

Allah memulakan surah ini dengan mengagungkan DiriNya.

Allah juga menyuruh kita mensucikanNya daripada apa yang dianggap oleh Musyrikin yang Dia memerlukan perantara atau wakil. Ini juga adalah maksud Subhanallah itu.

Kalimah isra’ maksudnya ‘bawa berjalan malam hari’. Yang dimaksudkan adalah perjalanan isra’ mi’raj Nabi Muhammad. Ini adalah satu mukjizat yang Allah berikan kepada Nabi Muhammad SAW. Allah boleh memperjalankan baginda dalam satu malam sahaja melangkau perjalanan yang amat jauh.

Sebenarnya kalimah isra’ sendiri sudah ada membawa maksud ‘malam’, jadi kenapa tambah dengan kalimah لَيلًا (malam)? Ini kerana, hendak menekankan bahawa bukan sepanjang malam masa yang diambil oleh Nabi dalam isra’, tetapi sebahagian malam sahaja.

Jadi, ayat ini adalah tentang perjalanan isra’ mi’raj Nabi Muhammad. Isra’ adalah perjalanan peringkat pertama iaitu di bumi dan mi’raj pula adalah perjalanan naik ke langit. Surah ini hanya sebut tentang isra’ sahaja dan surah Najm pula menyentuh tentang mi’raj.

Kita boleh lihat dalam ayat ini, Allah gelar baginda ‘hambaNya’. Ini adalah kedudukan yang tertinggi yang boleh dicapai oleh seorang makhluk. Kerana Nabi Muhammad adalah manusia paling mulia dan Allah gunakan kalimah ‘hamba’ untuk baginda. Ini menunjukkan bahawa kedudukan hamba daripada Allah adalah kedudukan yang tinggi. Ianya juga mengajar kita bahawa kedudukan yang tinggi adalah apabila boleh menjadi hamba kepada Allah. Kalau hamba kepada manusia memang kedudukan yang hina, tetapi kalau hamba kepada Allah, itu adalah kedudukan yang tinggi.

Waktu kejadian ini, Baginda sudah tidak ada pelindung lagi iaitu Abu Thalib yang sentiasa memelihara baginda dari kecil dan sehingga baginda menjadi Rasul. Walaupun Abu Thalib sendiri tidak beriman, tetapi beliau tetap percaya kepada Nabi Muhammad dan mempertahankan baginda dari diganggu oleh Musyrikin Mekah yang mahu menyakiti baginda. Musyrikin Mekah tidak dapat menyakiti fizikal baginda kerana menghormati Abu Thalib.

Tetapi, baginda tetap berdakwah walaupun Abu Thalib sudah tiada. Allah membawa Nabi Muhammad melalui perjalanan yang hebat itu untuk memberitahu kepada baginda: tidak mengapa bagi baginda kalau sudah tidak ada pelindung dari kalangan manusia, kerana sekarang Allah yang akan menjadi pelindung kepada baginda. Allah tunjukkan bagaimana Dia boleh memperjalankan baginda dalam perjalanan yang jauh tapi dalam masa yang singkat dan ditunjukkan dengan berbagai kejadian hebat. Allah yang begini hebat akan menjaga baginda. Maka, jangan risau dengan apa yang hendak dilakukan oleh manusia terhadap baginda kerana Allah sahaja sudah cukup sebagai pelindung.

مِنَ المَسجِدِ الحَرامِ إِلَى المَسجِدِ الأَقصَى

dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsa

Isra’ adalah perjalanan Nabi Muhammad ke Jurusalem. Itu adalah tempat Bani Israil. Ini sebagai isyarat bahawa Nabi Muhammad bukan sahaja imam kepada Masjidil Haram di Mekah, tetapi imam kepada Masjidil Aqsa juga. Kisah tentang perjalanan ini sangat panjang dan perlu dipelajari secara khusus di tempat lain. Yang penting untuk kita ketahui bahawa baginda telah menjadi imam kepada para Nabi di Masjidil Aqsa itu.

الَّذي بارَكنا حَولَهُ

yang telah Kami berkahi sekelilingnya

Allah telah berkati tempat itu. Ianya memang tempat yang subur. Tetapi selain itu, tempat tersebut telah diberikan dengan ramai para Nabi. Nabi Ibrahim juga pernah ke sana. Nabi Ishak telah ditinggalkan di situ oleh Nabi Ya’kub (Nabi Ismail pula di Mekah). Sekarang, keturunan Nabi Ibrahim juga (iaitu Nabi Muhammad) yang akan menggabungkan dua tempat suci ini.

لِنُرِيَهُ مِن آياتِنا

agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda Kami.

Tujuan dibawa perjalanan itu adalah untuk menunjukkan sebahagian dari tanda Qudrat Allah. Diperlihatkan syurga neraka dan macam-macam lagi. Dalam ayat lain disebutkan melalui firman-Nya:

{لَقَدْ رَأَى مِنْ آيَاتِ رَبِّهِ الْكُبْرَى}

Sesungguhnya Dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (ke­kuasaan) Tuhannya yang paling besar. (An-Najm: 18)

Kejadian isra’ mi’raj ini berlaku selepas baginda di halau apabila baginda berdakwah di Ta’if. Baginda telah berdakwah di sana kerana waktu itu baginda lihat yang penduduk Mekah ramai yang mahu menerima dakwah Tauhid. Maka, baginda mencuba nasib di Ta’if pula. Namun malangnya, penduduk Ta’if juga tidak mahu menerima malah lebih teruk lagi hinggakan baginda di halau dengan dihujani dengan batu.

Namun, hati baginda tetap cekal dalam dakwah. Kerana Nabi tidak kisah kalau orang tidak berkenan kepada baginda, asalkan Allah berkenan dengan baginda. Maka, Allah beri pengalaman isra’ mi’raj ini kepada baginda untuk menguatkan kecekalan hati baginda. Allah tunjuk syurga, neraka dan kerajaanNya kepada Nabi Muhammad. Allah mahu memberitahu kepada baginda, siapa yang ikut baginda, mereka akan masuk syurga itu dan yang menolak baginda akan masuk neraka itu.

إِنَّهُ هُوَ السَّميعُ البَصيرُ

Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Allah Maha Mendengar. Allah mahu memberitahu yang Dia dengar segala kata-kata dakwah Nabi dan segala kata-kata orang yang mengata baginda. Dan Allah Maha Melihat segala hal yang berlaku.

Allah juga Maha Mendengar apakah kesan dari kejadian isra’ mi’raj itu. Apabila baginda beritahu tentang kejadian itu, ramai orang Mekah suka. Ini adalah kerana mereka pernah kata yang baginda gila, dan sekarang mereka ada bukti! Mereka mahu menggunakan kisah ini sebagai hujah kuat mereka. Orang pertama yang mereka jumpa adalah Abu Bakr kerana mereka mahu ejek baginda. Mereka rasa tentu Abu Bakr juga akan meninggalkan baginda Rasul apabila mendengar kisah gila ini. Tetapi, apabila mereka kata yang menceritakan pengalaman itu adalah Nabi Muhammad sendiri, Abu Bakr kata jikalau Nabi Muhammad yang berkata, tentu ia benar. Abu Bakr sanggup kata begitu kerana dia sungguh percaya kepada Nabi Muhammad. Sekarang bandingkan dengan kebanyakan golongan Bani Israil yang walaupun telah beriman dengan Nabi mereka, mereka tetap tidak percaya.


Ayat 2: Dalil naqli. Oleh kerana surah ini tentang Bani Israil, maka Allah menyebut tentang Nabi Musa dan Kitab Taurat. Selalu Allah menyebut tentang kisah Nabi Musa selepas menyebut tentang Nabi Muhammad.

وَآتَينا موسَى الكِتابَ وَجَعَلناهُ هُدًى لِبَني إِسرائيلَ أَلّا تَتَّخِذوا مِن دوني وَكيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We gave Moses the Scripture and made it a guidance for the Children of Israel that you not take other than Me as Disposer of affairs,¹

  • i.e., trust in Allāh, knowing that He (subḥānahu wa ta‘ālā) is responsible for every occurrence.

(MELAYU)

Dan Kami berikan kepada Musa kitab (Taurat) dan Kami jadikan kitab Taurat itu petunjuk bagi Bani Israil (dengan firman): “Janganlah kamu mengambil penolong selain Aku,

وَآتَينا موسَى الكِتابَ

Dan Kami berikan kepada Musa kitab (Taurat) 

Allah sebut Nabi Bani Israil yang paling utama iaitu Nabi Musa a.s. Baginda telah diberikan dengan Taurat. Dan telah banyak kali disebut di tempat yang lain, Taurat itu sama dengan Quran dari segi akidah. Ajaran Tauhid yang ada dalam Quran sama sahaja dalam Taurat kerana Tauhid tidak pernah berubah.

وَجَعَلناهُ هُدًى لِبَني إِسرائيلَ

dan Kami jadikan kitab Taurat itu petunjuk bagi Bani Israil

Kitab Taurat itu sebagai pedoman kepada Bani Israil. Oleh itu, kita dapat tahu bahawa Taurat itu hanya kepada Bani Israil sahaja dan dalilnya dalam ayat ini.

أَلّا تَتَّخِذوا مِن دوني وَكيلًا

“Janganlah kamu mengambil penolong selain Aku,

Allah sebut perkara yang penting disebut dalam Taurat. Inilah khulasah Kitab Taurat. Sememangnya banyak perkara tentang agama yang ada dalam Taurat itu, tetapi Allah berikan patinya: Jangan jadikan pelindung selain Allah. Jangan jadikan selain Allah sebagai ilah yang mereka serahkan urusan kepadanya.

‘Wakil’ adalah seseorang yang dipercayai dalam hal peribadi. Kerana ada benda yang kita mahu lakukan sendiri, susah kita hendak beri kepada orang lain untuk dilakukan bagi pihak kita. Tetapi kalau kita percaya sangat kepada seseorang itu, kita sanggup beri dia buat perkara itu bagi pihak kita. Inilah kepercayaan yang diberikan kepada seorang ‘wakil’. Allah beritahu mereka jangan percaya orang lain melainkan kepada Dia sahaja. Jangan letak kepercayaan penuh melainkan kepada Allah sahaja. Jangan jadikan pelindung selain Allah. Maksudnya jangan syirikkan Allah dengan sesuatu apa pun.


Ayat 3: Siapakah yang dimaksudkan ‘selain Allah’?

ذُرِّيَّةَ مَن حَمَلنا مَعَ نوحٍ ۚ إِنَّهُ كانَ عَبدًا شَكورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O descendants of those We carried [in the ship] with Noah. Indeed, he was a grateful servant.

(MELAYU)

(Iaitu) anak cucu dari orang-orang yang Kami bawa bersama-sama Nuh. Sesungguhnya dia adalah hamba (Allah) yang banyak bersyukur.

ذُرِّيَّةَ مَن حَمَلنا مَعَ نوحٍ

(iaitu) anak cucu dari orang-orang yang Kami bawa bersama-sama Nuh. 

Kita ini adalah keturunan daripada Nabi Nuh kerana selepas Banjir Besar itu, memang tidak ada manusia lain yang hidup. Maka, yang dimaksudkan adalah umat manusia keturunan Nabi Nuh a.s. Jadi, maksud ayat ini: Jangan ambil zuriat manusia sebagai wakil atau sebagai pelindung.

Atau, ayat ini sambung dari ayat sebelum ini, jadi ia berbunyi begini: “jangan ambil wakil selain Allah, wahai zuriat selepas Nabi Nuh”.

إِنَّهُ كانَ عَبدًا شَكورًا

Sesungguhnya dia adalah hamba yang banyak bersyukur.

Selepas itu disebut pula tentang Nabi Nuh a.s. Baginda adalah seorang Nabi yang banyak bersyukur. Di dalam hadith dan atsar dari ulama Salaf disebutkan bahawa Nabi Nuh a.s. selalu memuji Allah bila makan, minum, berpakaian, dan dalam semua perbuatannya. Kerana itulah maka ia digelar sebagai hamba Allah yang banyak bersyukur.

Seperti yang kita telah tahu, Bani Israil telah diselamatkan dengan menyeberangi air laut apabila mereka lari dari Firaun dan kuncu-kuncunya. Tetapi Allah mahu mengingatkan yang itu bukan kali pertama manusia diselamatkan dengan cara yang melibatkan air. Kali pertama dalam sejarah adalah apabila Nabi Nuh dan pengikut baginda diselamatkan dari Banjir Besar dengan dimasukkan ke dalam bahtera Nabi Nuh. Allah juga mahu mengingatkan yang Bani Israil adalah keturunan Nabi Nuh juga. Iaitu dari anak baginda yang bernama Sam.

Nabi Nuh adalah seorang yang bersyukur. Bila diberitahu begini, kita haruslah ikut baginda juga iaitu dengan banyak mengucapkan kesyukuran kepada Allah SWT.

Tetapi seolah ada teguran Allah dalam ayat ini. Sebagai contoh, kalau diberitahu yang ayah seseorang itu baik secara tiba-tiba, ini seolah-olah mahu beritahu yang anak itu tidak baik (ayah kamu baik, kenapa kamu tidak jadi baik macam dia?). Jadi, seperti ada teguran kepada Bani Israiil yang tidak banyak bersyukur atas segala nikmat yang telah diberikan kepada mereka.


Ayat 4: Takhwif duniawi. Bani Israil telah bunuh dua Nabi iaitu Nabi Yusha’ a.s. dan Nabi Zakariya a.s. Setiap kali mereka bunuh Nabi-nabi itu, maka Allah hantar golongan yang kuat untuk musnahkan mereka. Hukuman yang dikenakan kepada mereka adalah kerana kezaliman mereka terhadap Allah dan terhadap manusia lain.

Kumpulan pertama yang menyerang kerajaan Bani Israil adalah Bukhtanassar (Nebuchadnezzar). Beliau adalah seorang Raja yang besar selain Namrud. Beliau menyerang, menakluk dan memusnahkan Jurusalem sekitar tahun 587 SM.

وَقَضَينا إِلىٰ بَني إِسرائيلَ فِي الكِتابِ لَتُفسِدُنَّ فِي الأَرضِ مَرَّتَينِ وَلَتَعلُنَّ عُلُوًّا كَبيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We conveyed¹ to the Children of Israel in the Scripture that, “You will surely cause corruption on the earth twice, and you will surely reach [a degree of] great haughtiness.”

  • Foretold out of divine knowledge of what they would do.

(MELAYU)

Dan telah Kami tetapkan terhadap Bani Israil dalam Kitab itu: “Sesungguhnya kamu akan membuat kerosakan di muka bumi ini dua kali dan pasti kamu akan menyombongkan diri dengan kesombongan yang besar”.

وَقَضَينا إِلىٰ بَني إِسرائيلَ فِي الكِتابِ

Dan telah Kami tetapkan terhadap Bani Israil dalam Kitab itu: 

Telah ditakdirkan dalam kitab Taurat atau sebelumnya lagi iaitu dalam suhuf.

Di dalam Tafsir al-Kasysyaaf az-Zamakhsyari menyebutkan, bahawa harus juga dikatakan قَضَينا sebagai fi’il yang bertindak seperti fi’il qasam. Dan لَتُفسِدُنَّ adalah jawabnya. Seolah-olahnya dikatakan, وأقسمنا لتفسدن (Kami telah bersumpah, bahawa sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan).

لَتُفسِدُنَّ فِي الأَرضِ مَرَّتَينِ

“Sesungguhnya kamu akan membuat kerosakan di muka bumi ini dua kali

Allah telah beritahu yang mereka pasti akan melakukan kerosakan di muka bumi dua kali. Ini adalah kerana mereka ada kuasa, bukan?

وَلَتَعلُنَّ عُلُوًّا كَبيرًا

dan pasti kamu akan menyombongkan diri dengan kesombongan yang besar”.

Mereka akan buat dua kali – maknanya mereka akan naik tinggi dua kali dimana mereka akan mendapat kuasa dalam dunia.

Atau maksudnya membunuh Nabi yang menjadi lambang Tauhid. Oleh itu, maksud meninggi itu adalah mereka angkat kepala kerana derhaka. Mereka menjadi sombong terhadap hamba Allah yang lain.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 017: al-Isra'. Bookmark the permalink.

One Response to Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 1 – 4 (Perjalanan Isra’)

  1. Pingback: Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 1 – 4 (Perjalanan Isra’)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s