Tafsir Surah an-Nahl Ayat 124 – 128 (Tiga peringkat dakwah)

Ayat 124: Tidak diragukan bahawa Allah mensyariatkan atas setiap umat satu hari dari satu minggu agar mereka berkumpul untuk melakukan ibadah.

Allah telah menawarkan Hari Jumaat sebagai hari ibadat untuk Bani Israil. Tapi mereka menolak. Oleh kerana itu, maka mereka di berikan dengan Hari Sabtu dan mereka terima. Mereka menggantikan Hari Jumaat dan memilih Hari Sabtu, kerana hari Sabtu adalah hari yang Allah tidak menciptakan sesuatu pun padanya; mengingat semua penciptaan telah diselesaikan pada hari sebelumnya, iaitu hari Jumaat. Maka Allah menetapkan hari Sabtu buat mereka dalam syariat kitab Taurat, dan memerintahkan mereka agar berpegang teguh padanya serta memeliharanya. Selain dari itu Allah memerintahkan kepada mereka agar mengikuti Nabi Muhammad.

Bagaimana pula dengan orang Kristian? Menurut suatu pendapat, sesungguhnya Nabi Isa memindahkan mereka kepada hari Ahad. Menurut pendapat yang lainnya lagi, Nabi Isa tidak meninggalkan syariat Kitab Taurat kecuali apa yang di-mansukh pada sebahagian hukum-hukumnya, dan bahawa sesungguhnya Nabi Isa masih tetap memelihara hari Sabtu hingga baginda diangkat menjadi Nabi. Sebaliknya orang-orang Nasrani sesudahnya — iaitu di zaman Konstantinopel yang mengalihkannya ke hari Ahad untuk membezakan dengan orang-orang Yahudi, dan mereka mengalihkan kiblat menghadap ke arah timur, tidak lagi menghadap ke arah Sakhrah (kubah Baitul Maqdis).

Undang-undang Hari Sabtu: haram untuk buat kerja dunia. Dan bila dah ada larangan, tentu ada yang diuji. Ada yang diuji kerana pada Hari Sabtu itulah yang banyak rezeki melimpah ruah.

إِنَّما جُعِلَ السَّبتُ عَلَى الَّذينَ اختَلَفوا فيهِ ۚ وَإِنَّ رَبَّكَ لَيَحكُمُ بَينَهُم يَومَ القِيامَةِ فيما كانوا فيهِ يَختَلِفونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The sabbath was only appointed for those who differed over it. And indeed, your Lord will judge between them on the Day of Resurrection concerning that over which they used to differ.

(MELAYU)

Sesungguhnya diwajibkan (menghormati) hari Sabtu atas orang-orang (Yahudi) yang berselisih padanya. Dan sesungguhnya Tuhanmu benar-benar akan memberi putusan di antara mereka di hari kiamat terhadap apa yang telah mereka perselisihkan itu.

 

إِنَّما جُعِلَ السَّبتُ عَلَى الَّذينَ اختَلَفوا فيهِ

Sesungguhnya diwajibkan (menghormati) hari Sabtu atas orang-orang (Yahudi) yang berselisih padanya.

Ayat ini menunjukkan yang ayat-ayat sebelum ini berkenaan golongan Yahudi. Ini kerana Sabbath adalah untuk mereka. Tapi ayat ini menyebut yang mereka diberikan Sabbath itu apabila mereka berselisih. Maka ada pendapat yang mengatakan, dulu tidak ada Sabbath itu. Maksudnya, mereka pada waktu itu mesti menerima Hari Jumaat juga pada asalnya. Jadi, Sabbath itu adalah sebagai hukuman untuk mereka. Dan selepas itu, larangan pada Hari Sabtu itu pun mereka tak menjaga juga.

Atau, ada pendapat yang mengatakan bahawa mereka berselisih itu adalah tentang Hari Jumaat, maka Allah berikan Hari Sabtu untuk mereka. Dan apabila Nabi Muhammad diangkat menjadi Rasul dan baginda memuliakan Hari Jumaat (kerana Allah tawarkan Hari Jumaat kepada Nabi dan baginda menerimanya), mereka tegur pula Nabi Muhammad, kenapa jadikan Hari Jumaat sebagai hari mulia, sedangkan hari ibadat yang awla’ adalah Hari Sabtu, kata mereka. Maka, Allah beritahu maklumat yang sebenar.

 

وَإِنَّ رَبَّكَ لَيَحكُمُ بَينَهُم يَومَ القِيامَةِ فيما كانوا فيهِ يَختَلِفونَ

Dan sesungguhnya Tuhanmu benar-benar akan memberi keputusan di antara mereka di hari kiamat terhadap apa yang telah mereka perselisihkan itu.

Allah akan berikan hukuman kepada mereka pada hari akhirat nanti. Kalau tidak dapat di selesaikan di dunia ini kerana mereka banyak beralasan, maka tunggulah di akhirat kelak dimana keputusan tepat akan diberikan oleh Allah. Tapi itu adalah keputusan amali, maknanya kalau baru tahu waktu itu, sudah terlambat dah kerana Allah akan buat keputusan dan akan terus memberikan hukuman.

Di dalam kitab Sahihain disebutkan melalui hadis Abdur Razzaq, dari Ma’mar, dari Hammam, dari Abu.Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW. pernah bersabda:

“نَحْنُ الْآخِرُونَ السَّابِقُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، بِيْدَ أَنَّهُمْ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِنَا، ثُمَّ هَذَا يَوْمُهُمُ الَّذِي فَرَضَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ فَاخْتَلَفُوا فِيهِ، فَهَدَانَا اللَّهُ لَهُ، فَالنَّاسُ لَنَا فِيهِ تَبَعٌ، الْيَهُودُ غَدًا، وَالنَّصَارَى بَعْدَ غَدٍ”.

Kita adalah umat yang terakhir, tetapi umat yang paling ter­dahulu di hari kiamat, hanya bezanya mereka diberikan Al-Kitab sebelum kita. Kemudian hari ini (Jumaat) adalah hari mereka juga yang telah difardhukan Allah atas mereka, tetapi mereka berselisih pendapat tentangnya, dan Allah memberi kita petunjuk kepadanya. Manusia sehubungan dengan hal ini mengikuti kita, orang-orang Yahudi besok, dan orang-orang Nasrani lusanya.


 

Ayat 125: Allah ajar cara menyeru manusia untuk menyampaikan risalah tauhid. Ayat ini amat penting untuk difahami dan ditadabbur. Kita kena tahu yang ada tiga peringkat dalam dakwah – ini adalah kerana dakwah kita terbahagi kepada tiga jenis golongan.

  1. Ada orang yang umum.
  2. Ada orang yang bijak pandai. Iaitu golongan yang cerdik pandai.
  3. Ada golongan yang melawan. Mereka itu mempertahankan apa yang telah dan sedang mereka amalkan.

ادعُ إِلىٰ سَبيلِ رَبِّكَ بِالحِكمَةِ وَالمَوعِظَةِ الحَسَنَةِ ۖ وَجادِلهُم بِالَّتي هِيَ أَحسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعلَمُ بِالمُهتَدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Invite to the way of your Lord with wisdom and good instruction, and argue with them in a way that is best. Indeed, your Lord is most knowing of who has strayed from His way, and He is most knowing of who is [rightly] guided.

(MELAYU)

Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.

 

ادعُ إِلىٰ سَبيلِ رَبِّكَ بِالحِكمَةِ

Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah

Dalam setiap masyarakat, ada golongan yang bijak pandai. Mereka itulah golongan atasan. Mereka mungkin pemimpin masyarakat, orang yang dihormati dalam masyarakat, dan tidak semestinya dalam bidang agama sahaja. Mereka ini bukan jenis buang masa bersosial dengan semua orang dan mereka bukanlah golongan yang lagha dengan kehidupan mereka sahaja. Mereka ini adalah golongan yang kawal apa yang berlaku di kalangan mereka, mereka menjadi ikutan manusia. Kalau pada zaman Nabi, mereka itu adalah pemuka kaum, penyair dan orang bijak pandai. Pada zaman Nabi Musa pula, mereka itu adalah ahli sihir, keluarga Firaun.

Kepada mereka jenis ini, kena ada dakwah yang boleh mengubah dan menarik mereka. Kerana itulah Nabi Musa diberikan dengan mukjizat tongkat yang boleh menjadi ular. Ianya ditunjukkan kepada Firaun dan ahli sihir. Dan yang nampak kelebihan itu adalah ahli sihir kerana mereka ahli dalam perkara sihir. Maknanya, waktu itu Nabi Musa bercakap menggunakan bahasa yang tinggi kepada golongan tertentu. Kepada mereka jenis ini, kena dakwah بِالحِكمَةِ.

Maksud dengan hikmah adalah dengan menggunakan dalil – dalil aqli dan naqli. Kerana tidak boleh buat andaian dalam agama. Mereka pun tidak mahu terima kalau kita cakap kosong sahaja.

Oleh itu, kita haruslah tingkatkan pendidikan agama kita supaya Qur’an boleh dipelajari dan dikaji dengan tinggi. Kita harus ada universiti yang ajar Qur’an sahaja. Bukan universiti yang ada pengajian Qur’an sahaja, tapi universiti yang ajar Qur’an sahaja. Ini tidak ada lagi pada zaman dulu dan sekarang. Supaya mereka yang keluar dari universiti itu boleh membincangkan tentang Qur’an dengan cara yang mendalam. Mereka adalah orang yang kaji luar dan dalam tentang Qur’an. Mereka ini harus menjadi orang yang pakar tentang Qur’an. Dan mereka itu kenalah orang yang bijak akalnya kerana bukan sahaja harus tahu tentang Qur’an, tetapi mereka harus tahu sains-sains yang lain – seperti sosiologi, psikologi, ekonomi dan sebagainya.

Ini adalah kerana dunia menghadapi segala masalah dalam perkara ini dan perkara ini ada disentuh dalam Qur’an juga. Dan dunia memang memerlukan pengajaran dari Qur’an kerana Qur’an menyelesaikan masalah umat. Sebagai contoh, dunia memang ada masalah ekonomi, bukan? Jadi mereka yang bijak pandai itu kena fikirkan bagaimana mahu menyelesaikan masalah ekonomi itu menggunakan Qur’an. Mereka harus tahu ekonomi luar dan dalam dan tahu bagaimana mahu mengaitkan dengan Qur’an. Dan kalau ada orang Islam yang pandai Qur’an dan pandai pula ekonomi, tentu dia dapat memberi nasihat yang amat berguna sekali. Ia pasti hebat sekali! Waktu itu, barulah orang yang ada ilmu akan nampak bagaimana ada keindahan dalam Qur’an seperti juga para ahli sihir yang nampak apa yang ditunjukkan oleh Nabi Musa itu adalah ilmu yang benar kerana mereka memang ahlinya. Kalau pakar ekonomi nampak Qur’an dan Islam dapat memberikan jalan yang harmoni kepada masalah ekonomi, tidakkah ini menjadi satu pengakuan kepada kebenaran Islam? Tentu sekali!

Dan perkara ini tidak dapat dilakukan setakat pengajian di madrasah dan masjid sahaja. Harus ada sampai ke peringkat universiti. Dan ini memerlukan usaha yang amat-amat tinggi.

Apa yang kita mula kena ubah adalah sikap manusia terhadap Qur’an ini. Ramai yang tidak pandang sangat Qur’an ini kerana mereka tidak nampak bagaimana boleh mengambil manfaat dari Qur’an. Oleh itu, kalau kita kata Qur’an adalah penyelesai masalah, bagaimana hendak lakukan? Bagaimana cara praktikalnya? Bagaimana kita hendak ambil pengajaran itu? Setakat ini, kita tidak cukup ilmu itu. Sebagai seorang Islam yang sudah yakin dengan agama Islam, kita tahu yang Qur’an adalah penyelesaian masalah, tapi kita tidak tahu caranya. Belum lagi pada tahap yang mendalam. Belum lagi pada tahap yang boleh menyakinkan para pakar dalam bidang mereka – ekonomi, sosial, psikologi dan lain-lain.

Kita kena bekerjasama. Kerana kita mungkin bukan orang yang belajar dan mengajar, tapi kita masih dapat membantu. Sebagai contoh, kita dapat membantu dengan pengurusan, dengan kewangan dan sebagainya.

 

وَالمَوعِظَةِ الحَسَنَةِ

dan pelajaran yang baik

Ini adalah kepada golongan yang umum, kena gunakan bahasa yang lembut, kerana mereka hanya memerlukan المَوعِظَةِ الحَسَنَةِ (nasihat baik) sahaja. Kena beri pengajaran dan nasihat yang dapat menusuk ke dalam jiwa. Sebab itu dalam khutbah, dilembutkan sahaja pengajaran yang ada di dalamnya, kerana banyak jenis manusia yang ada di situ.

Ibnu Jarir mengatakan bahawa yang diserukan kepada manusia ialah wahyu yang diturunkan kepadanya berupa Al-Qur’an, Sunnah, dan pelajaran yang baik; yakni semua yang terkandung di dalamnya berupa larangan-larangan dan kejadian-kejadian yang menimpa manusia (di masa lalu). Pelajaran yang baik itu agar dijadikan peringatan buat mereka akan pembalasan Allah Swt. (terhadap mereka yang durhaka).

Oleh itu, kalau kita mula jumpa orang yang baru kita kenal, bagi nasihat biasa sahaja. Ilmu dakwah ini, setiap muslim kena ada. Kita kena tahu untuk bercerita tentang agama terutama kepada orang kafir. Kerana kalau mereka bertanya tentang agama Islam, maka kita kena tahu nak cerita bagaimana kepada mereka. Cerita tentang umum sahaja. Begitu juga kepada orang yang baru nak kenal agama, kita kena tahu nak bagi nasihat kepada mereka bagaimana. Untuk tahu apa yang hendak disebut, maka kita kenalah belajar tentang agama kita sendiri.

Kalimah الحَسَنَةِ di sini ditafsirkan dengan beri targhib dan tarhib (ajakan dan larangan). Ini adalah untuk melembutkan hati. Kita kena jadikan nasihat ini dapat sampai kepada manusia. Supaya mereka senang hendak dapatkan dan kongsi dengan orang lain. Kerana itu kita kena mudahkan orang untuk belajar tafsir Qur’an. Golongan ini adalah yang paling senang kalau dibandingkan dalam tiga jenis peringkat ini. Kerana mereka orang yang umum – mereka bukan pakar dan mereka bukan orang yang menentang.

Orang yang berdakwah dalam lapangan ini memerlukan maklumat dari mereka yang dalam golongan pertama di atas.

 

وَجادِلهُم بِالَّتي هِيَ أَحسَنُ

dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik.

Dan akan ada golongan yang melawan. mereka menggunakan berbagai cara untuk menjatuhkan para Rasul dan para pendakwah. Begitulah yang dilakukan oleh pemuka Quraisy kerana mereka sudah takut melihat bagaimana Rasulullah sudah ramai pengikutnya. Begitulah yang dilakukan oleh musuh-musuh para Rasul dari dulu pun. Maka kepada jenis ini, kena beri yang lebih baik, iaitu أَحسَنُ.

Maka hendaklah hal ini dilakukan dengan cara yang baik iaitu dengan lemah lembut, tutur kata yang baik, serta cara yang bijak. Ayat ini sama pengertiannya dengan ayat lain yang disebutkan oleh firman-Nya:

{وَلا تُجَادِلُوا أَهْلَ الْكِتَابِ إِلا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِلا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ}

Dan janganlah kalian berdebat dengan ahli kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang zalim di antara mereka. (Al-‘Ankabut: 46), hingga akhir ayat.

Maka, bolehlah berdebat dengan mereka jika mereka ahli debat. Sebagai contoh, apabila Nabi di Madinah, baginda berhujah dengan golongan Yahudi dan Nasara. Mereka itu orang yang sesuai untuk diaju pertanyaan. Iaitu mereka yang memliliki ilmu pengetahuan. Kerana kalau tidak ada pengetahuan, tidak boleh debat dengan mereka kerana Nabi larang. Kerana kita hendak muzakarah ilmu, tapi kalau mereka sendiri tidak ada ilmu, bagaimana? Dan apabila berhujah, kena debat tanpa emosi, perasaan marah. Dengan mereka memang kena berbahas dalam bentuk ilmiah. Tidak boleh dikawal oleh emosi kerana kalau ada kemarahan, waktu itu kita kena berhenti kerana tidak boleh diteruskan lagi. Kerana kita bukan hendak menjatuhkan lawan, tapi hendak mencari kebenaran. Inilah sahaja yang kita boleh lakukan kerana kalau orang yang lawan kita itu memberi hujah yang benar, maka kita kena terima.

Oleh itu, kita harus berbahas dengan mereka menggunakan hujah yang ‘lebih baik’. Bukan yang ‘terbaik’, tapi ‘lebih baik’. Kerana hujah terbaik adalah dari Allah. Jadi, kita kena fikirkan hujah yang lebih baik. Dan kalau mereka gunakan bahasa teruk, jangan balas dengan bahasa begitu juga. Kerana itu bukanlah hujah yang baik.

Maka kena berjidal dengan mereka menggunakan hujah yang lebih kuat, iaitu menggunakan hujah dari Allah. Maka kenalah faham Qur’an ini sebelum kita berjidal dengan para penentang. Kerana hujah dalam Qur’an ini adalah hujah yang hebat-hebat yang tidak tercapai oleh akal kita sendiri.

Tapi yang pasti, kita kenalah gunakan bahasa yang lembut setiap kali. Kerana kita tidak patut menyakiti hari lawan kita dalam berhujah itu. Kerana kita masih lagi hendak berdakwah kepadanya di lain kali. Maka jangan kita putuskan hubungan dengan mreka. Ianya seperti kita membunuh ular – biar ular itu mati tapi tongkat tidak patah – maksudnya biarlah dalil disampaikan tapi hati tidak retak.

Seperti halnya yang telah Allah perintahkan kepada Nabi Musa dan Harun, ketika keduanya diutus oleh Allah Swt. kepada Fir’aun, yang kisahnya disebutkan oleh Allah Swt. melalui firman-Nya:

{فَقُولا لَهُ قَوْلا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى}

maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut. (Thaha: 44)

 

إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبيلِهِ

Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya

Allah lebih tahu tentang mereka yang telah sesat. kalau mereka kalah dalam perdebatan pun, belum tentu mereka akan beriman lagi kerana hidayah itu milik Allah. Kita hanya boleh sampaikan sahaja. Dan bila kita sudah sampaikan, kita telah buat kerja kita dan kita sudah dapat pahala.

Maka serulah manusia untuk menyembah Allah, dan janganlah merasa kecewa (bersedih hati) terhadap orang yang sesat di antara mereka. Kerana sesungguhnya bukanlah tugas kita memberi mereka petunjuk. Sesungguhnya tugas kita hanyalah menyampaikan, dan Allah yang akan memberi hidayah atau tidak. Dalam ayat yang lain disebutkan oleh firman-Nya:

{إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ}

Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi. (Al-Qashash: 56)

{لَيْسَ عَلَيْكَ هُدَاهُمْ}

Bukanlah kewajibanmu menjadikan mereka mendapat petunjuk (Al-Baqarah: 272)

 

وَهُوَ أَعلَمُ بِالمُهتَدينَ

dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.

Dan Allah lebih tahu tentang mereka yang mendapat hidayah. Makanya, mereka dapat hidayah itu bukan sebab debat kita, tapi dari Allah.


 

Ayat 126: Tadi telah disebut tentang dakwah pada tiga peringkat manusia. Dan memang itulah tugas kita yang penting untuk dilakukan – kena ada dakwah kepada masyarakat setakat yang kita mampu. Dan memang selalunya bila kita mula berdakwah, kita akan diserang. Kita dituduh dengan pelbagai perkara yang menyakitkan hati kita. Dan kadang-kadang sampai menyebabkan kecelakaan pada diri kita juga. Dalam keadaan begitu, kita boleh balas.

وَإِن عاقَبتُم فَعاقِبوا بِمِثلِ ما عوقِبتُم بِهِ ۖ وَلَئِن صَبَرتُم لَهُوَ خَيرٌ لِلصّابِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if you punish [an enemy, O believers], punish with an equivalent of that with which you were harmed.¹ But if you are patient – it is better for those who are patient.

  • Not exceeding it.

(MELAYU)

Dan jika kamu memberikan balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan seksaan yang ditimpakan kepadamu. Akan tetapi jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar.

 

وَإِن عاقَبتُم فَعاقِبوا بِمِثلِ ما عوقِبتُم بِهِ

Dan jika kamu memberikan balasan, maka balaslah dengan balasan yang setimpal dengan yang ditimpakan kepadamu. 

Ini adalah balasan yang diberikan sebagai timbal balas. Ini dinamakan Qisas dalam perundangan Islam.

Dalam ayat ini, muslim diberitahu, kalau kita diserang, maka kita boleh balas dengan cara kita diserang. Tidak boleh dengan cara yang lain. Begitulah yang telah dilalui oleh Nabi Muhammad dan siapa yang serang Nabi dulu? Seperti yang kita tahu, puak Quraisy yang mula serang dahulu dan menyakitkan Rasulullah serta para sahabat yang lain. Dan sekarang Allah memberitahu yang boleh balas balik dengan cara yang sama. Tapi ayat ini adalah ayat Makkiyah dimana masa itu umat Islam tidak dibenarkan lagi untuk mempertahankan diri mereka lagi. Maka dalam hal ini ada isyarat yang muslim akan serang balik. Bukan waktu ayat ini diturunkan, tetapi di masa hadapan.

Dalam keadaan kita sekarang, kalau kita dizalimi dan disakiti, undang-undang Islam membenarkan kita membalas balik. Tapi haruslah melalui proses kehakiman. Janganlah apabila kita dipukul, kita kumpul kawan-kawan dan cari orang yang pukul kita itu dan balas pukulan mereka semula. Tetapi, hendaklah kita melalui proses melaporkan kepada pihak berkuasa dan biarlah pihak berkuasa menjalankan tugasan mereka.

 

وَلَئِن صَبَرتُم لَهُوَ خَيرٌ لِلصّابِرينَ

Akan tetapi jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar.

Walaupun ada ruang undang-undang untuk membalas balik tetapi Allah hendak memberitahu, kalau kita dapat bersabar, itu lebih baik. Begitulah, di waktu umat Islam disakiti di Mekah, Nabi arahkan mereka untuk bersabar.

Ibnu Zaid mengatakan bahawa pada mulanya kaum muslim diperin­tahkan memaafkan sikap orang-orang musyrik. Tetapi setelah masuk Islam, banyak lelaki yang mempunyai kekuatan, maka mereka mengatakan, “Wahai Rasulullah, sekiranya Allah memberi izin kepada kita (untuk membalas), tentulah kami akan balas anjing-anjing itu.” Maka turunlah ayat ini, yang kemudian di-mansukh oleh ayat jihad.

Ayat ini mempunyai persamaan dengan ayat-ayat lain, yang intinya mengandung perintah untuk bersikap adil dan dianjurkan bersikap pemurah (memaaf), seperti yang disebutkan dalam firman-Nya:

{وَجَزَاءُ سَيِّئَةٍ سَيِّئَةٌ مِثْلُهَا}

Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa. (Asy-Syura: 40)

Kemudian dalam firman selanjutnya disebutkan:

{فَمَنْ عَفَا وَأَصْلَحَ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ}

maka barang siapa memaafkan dan berbuat baik, maka pahalanya atas (tanggungan) Allah. (Asy-Syura: 40), hingga akhir ayat.


 

Ayat 127: Ayat tasliah kepada Nabi. Allah sambung tentang sabar.

وَاصبِر وَما صَبرُكَ إِلّا بِاللهِ ۚ وَلا تَحزَن عَلَيهِم وَلا تَكُ في ضَيقٍ مِمّا يَمكُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And be patient, [O Muḥammad], and your patience is not but through Allāh. And do not grieve over them and do not be in distress over what they conspire.

(MELAYU)

Bersabarlah (hai Muhammad) dan tiadalah kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah dan janganlah kamu bersedih hati terhadap (kekafiran) mereka dan janganlah kamu bersempit dada terhadap apa yang mereka tipu dayakan.

 

وَاصبِر

Bersabarlah

Allah beritahu kepada Nabi yang baginda sendiri kena bersabar. Baginda yang paling teruk kena serang tapi waktu itu bukan waktu untuk menyerang balas lagi.

 

وَما صَبرُكَ إِلّا بِاللهِ

dan tiadalah kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah

Allah beritahu yang sabar itu bergantung kepada Allah. Kekuatan untuk sabar adalah dari Allah, bukan dari kita. Allah yang beri taufik dan masukkan kesabaran dalam diri kita. Tapi kita kena berusaha dan kerana usaha untuk bersabar itu, kita akan dapat banyak pahala.

 

وَلا تَحزَن عَلَيهِم

dan janganlah kamu bersedih hati terhadap mereka

Nabi seorang yang berhati lembut. Baginda amat sayang kepada umat baginda dan baginda berharap kalau mereka dapat ikut baginda dan selamat dunia dan akhirat. Baginda tidak mahu diseksa kerana penolakan mereka terhadap dakwah baginda. Maka, apabila mereka menolak dakwah baginda, tentunya baginda amat bersedih.

Maka Allah beritahu baginda, jangan bersedih atas mereka. Kalau mereka kufur dengan dakwah baginda, itu bukan kesalahan baginda dan itu kerana ketetapan dari Allah.

 

وَلا تَكُ في ضَيقٍ مِمّا يَمكُرونَ

dan janganlah kamu bersempit dada terhadap apa yang mereka tipu dayakan.

Waktu itu baginda sedang menghadapi tentangan dan rancangan jahat dari penentang baginda. Maka tentunya baginda berasa susah juga kerana hendak menghadapi rancangan-rancangan itu. Maka Allah nasihatkan baginda supaya jangan gusar kerana rancangan mereka itu. Allah beritahu Nabi supaya jangan risaukan tentang mereka. Allah sendiri yang akan uruskan mereka. Baginda cuma perlu teruskan dakwah kepada manusia.

Dan begitu jugalah kita dalam menentang mereka yang tidak suka dengan sunnah ini. Mereka ada macam-macam rancangan untuk menjatuhkan jalan sunnah di negara ini. Kerana mereka ada kuasa dan mereka ada pengikut. Malah ada yang sudah ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara. Tapi, kita ambil pengajaran dari ayat ini bahawa janganlah kita risau dan gusar di atas rancangan mereka itu. Sebaliknya kita teruskan dakwah kepada manusia untuk kembali kepada sunnah.


 

Ayat 128: Tabshir.

إِنَّ اللهَ مَعَ الَّذينَ اتَّقَوا وَالَّذينَ هُم مُحسِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, Allāh is with those who fear Him and those who are doers of good.

(MELAYU)

Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan.

 

إِنَّ اللهَ مَعَ الَّذينَ اتَّقَوا

Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa

Allah beri berita gembira yang Dia ada bersama dengan orang yang bertaqwa. Maka kita kena mulakan usaha untuk jadi orang yang bertaqwa. Bagaimana nak jadi orang bertaqwa? Iaitu dengan menjaga hukum yang Allah sampaikan (kena belajar hukum dulu). Kita kena usaha untuk capai tahap ini. Ini adalah tahap takut iaitu takut dengan Allah dan kerana itu kita jaga perbuatan kita.

Allah kata Dia مَعَ (bersama) orang yang bertaqwa. Ini seolah-olah Allah memegang tangan kita dan memberi semangat dan bantuan kepada kita. Kita mendapat sokongan Allah dalam menjalankan misi dakwah. Tapi tidaklah Allah turun duduk sebelah kita pula, tapi dari segi bahasa sahaja. Ini seperti firman Allah Swt. kepada Musa dan Harun, iaitu:

{لَا تَخَافَا إِنَّنِي مَعَكُمَا أَسْمَعُ وَأَرَى}

Janganlah kamu berdua khawatir, sesungguhnya Aku beserta kamu berdua, Aku mendengar dan melihat. (Thaha: 46)

Maksudnya, Allah melihat dan mendengar apa yang berlaku dan Allah tidak perlu turun duduk sebelah kita kerana ilmu Allah amat luas. Juga seperti yang ada di dalam firman-Nya:

{أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأرْضِ مَا يَكُونُ مِنْ نَجْوَى ثَلاثَةٍ إِلا هُوَ رَابِعُهُمْ وَلا خَمْسَةٍ إِلا هُوَ سَادِسُهُمْ وَلا أَدْنَى مِنْ ذَلِكَ وَلا أَكْثَرَ إِلا هُوَ مَعَهُمْ أَيْنَ مَا كَانُوا}

Tidakkah kamu perhatikan, bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi? Tiada pembicaraan rahsia antara tiga orang, melainkan Dialah yang keempatnya. Dan tiada (pembicaraan antara) lima orang, melainkan Dialah yang keenamnya. Dan tiada (pula) pembicaraan antara (jumlah) yang kurang dari itu atau lebih banyak, melainkan Dia ada bersama mereka di mana pun mereka berada. (Al-Mujadilah: 7)

 

وَالَّذينَ هُم مُحسِنونَ

dan orang-orang yang berbuat kebaikan.

Ini adalah peringkat kedua selepas ‘taqwa’. Mulakan dengan taqwa dan kemudian meningkat ke maqam ‘ihsan’. Setelah kita berusaha menjaga taqwa, lama-lama perhubungan kita dengan Allah akan menjadi perhubungan atas dasar cinta. Inilah maqam ‘ihsan’.

Allahu a’lam. Tamat sudah tafsir Surah an-Nahl ini. Ini juga adalah ayat akhir juz 14.

Seperti yang kita telah sebut, surah ini ada menyentuh tentang Bani Israil. Dan selepas ini kita akan terus masuk ke dalam Surah al-Isra’ yang menyentuh mereka secara terus.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 016: an-Nahl. Bookmark the permalink.

One Response to Tafsir Surah an-Nahl Ayat 124 – 128 (Tiga peringkat dakwah)

  1. Pingback: Tafsir Surah an-Nahl Ayat 124 – 128 (Tiga peringkat dakwah)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s