Tafsir Surah an-Nahl Ayat 119 – 123 (Ikut Nabi Ibrahim)

Ayat 119: Ayat targhib kepada taubat dan tabshir. Sebelum ini Allah sebut tentang mereka yang menzalimi diri mereka sendiri. Maka dalam ayat ini Allah sebut tentang taubat.

ثُمَّ إِنَّ رَبَّكَ لِلَّذينَ عَمِلُوا السّوءَ بِجَهالَةٍ ثُمَّ تابوا مِن بَعدِ ذٰلِكَ وَأَصلَحوا إِنَّ رَبَّكَ مِن بَعدِها لَغَفورٌ رَحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then, indeed your Lord, to those who have done wrong out of ignorance and then repent after that and correct themselves – indeed, your Lord, thereafter, is Forgiving and Merciful.

(MELAYU)

Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu (mengampuni) bagi orang-orang yang mengerjakan kesalahan kerana kebodohannya, kemudian mereka bertaubat sesudah itu dan memperbaiki (dirinya), sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

ثُمَّ إِنَّ رَبَّكَ لِلَّذينَ عَمِلُوا السُّوءَ بِجَهالَةٍ

Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu (mengampuni) bagi orang-orang yang mengerjakan kesalahan kerana kebodohannya,

Ini adalah tentang mereka yang melakukan dosa kerana jahil, kemudian mereka bertaubat. Memang mereka melakukan kesalahan, sebagai contohnya, makan makanan haram dan lain-lain dosa. Dan mereka lakukan dosa itu kerana jahil. Dan ‘jahil’ itu maksudnya, kalah dengan emosi. Ulama Salaf mengatakan bahawa setiap orang yang berbuat durhaka, dia adalah orang yang bodoh.

Jadi, bukannya bermaksud ‘jahil’ itu dia tidak tahu benda itu salah. Kerana kalau dia tidak tahu benda itu salah, itu adalah ghaflah. Maka, kita kena faham maksud ayat ini – kadang-kadang walaupun kita tahu yang perkara itu salah, berdosa, tapi kadang-kadang kita buat juga kerana kalah dengan emosi dan nafsu. Kerana asal maksud ‘jahil’ itu memang ‘ikut emosi’. Kerana itu orang yang berakal itu adalah mereka yang buat keputusan menggunakan intelek dan bukan kerana ikut kehendak nafsu/emosi.

 

ثُمَّ تابوا مِن بَعدِ ذٰلِكَ

kemudian mereka bertaubat sesudah itu

Yang penting, selepas mereka melakukan dosa itu, mereka bertaubat. Kita sebagai manusia, memang tidak dapat lari dari melakukan dosa – kalau tak besar, tentu ada melakukan dosa-dosa kecil. Hanya para Nabi sahaja yang tidak melakukan dosa. Yang penting, kita kena bertaubat (kembali kepada Allah). Mengaku kesalahan yang kita telah lakukan dan menyesal di atas perbuatan kita itu. Dan bertekad untuk tidak melakukannya lagi.

 

وَأَصلَحوا

dan memperbaiki 

Dan satu lagi, mereka kemudian kena baiki diri mereka. Jangan lagi lakukan dosa yang sama. Kalau duduk dalam kawasan yang menyebabkan mudah untuk berbuat maksiat, maka tinggalkan tempat itu. Kalau berkawan dengan orang yang mengajak kepada maksiat, maka tinggalkan orang itu. Kalau dulu melakukan dosa kerana tidak ada ilmu, maka kenalah mula belajar agama (mulakan dengan belajar tafsir Quran). Ini semua antara termasuk perkara ‘membaiki diri’.

 

إِنَّ رَبَّكَ مِن بَعدِها لَغَفورٌ رَحيمٌ

sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Kena buat segala perkara itu, maka berharaplah semoga Allah ampunkan dosa-dosa kita. Allah itu Maha Pengampun – Dia suka untuk ampunkan dosa hambaNya asalkan mereka mahu bertaubat dan kembali kepadaNya. Dan kadang-kadang, mungkin kita masih juga buat dosa yang sama walaupun telah bertaubat, maka bertaubatlah lagi. Walau selepas itu pun, Allah masih tetap pengampun.


 

Ayat 120: Dalil naqli tafsili. Allah bercerita tentang Nabi Ibrahim a.s.

إِنَّ إِبراهيمَ كانَ أُمَّةً قانِتًا ِللهِ حَنيفًا وَلَم يَكُ مِنَ المُشرِكينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, Abraham was a [comprehensive] leader,1 devoutly obedient to Allāh, inclining toward truth, and he was not of those who associate others with Allāh.

  • i.e., embodying all the excellent qualities which make one an example to be followed.

(MELAYU)

Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang imam yang dapat dijadikan teladan lagi patuh kepada Allah dan hanif. Dan sekali-kali bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan (Tuhan),

 

إِنَّ إِبراهيمَ كانَ أُمَّةً قانِتًا ِللهِ

Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang imam yang dapat dijadikan teladan lagi patuh kepada Allah

Dalam ayat ini, Allah beritahu yang Nabi Ibrahim adalah ‘ummah’. ‘Ummah’ bermaksud satu kumpulan yang ada hala tujuan yang sama. Iaitu semua dalam umat itu ada tujuan yang sama yang mereka hendak capai. Ini memberi isyarah bahawa Nabi Ibrahim ada arah tujuan yang tetap.

Tapi selalunya ummah itu adalah kumpulan manusia yang ramai, tapi Nabi Ibrahim itu seorang sahaja. Ini adalah kerana Allah mahu beritahu yang baginda adalah satu ummah sendiri. Baginda seorang pun sudah dikira sebagai satu ummah. Ini adalah kerana baginda selalu berseorangan sahaja. Baginda tidak ada pengikut yang ramai. Namun, baginda tetap berdakwah ke merata tempat. Ini sama dengan pendapat Mujahid yang mengatakan bahawa Ibrahim a.s. adalah seorang ummah, yakni orang yang beriman sendirian, sedangkan manusia semuanya di masa itu kafir.

Dan walaupun baginda seorang sahaja, tapi bukankah darinya bercambah banyak jenis ummah yang lain, bukan? Lihatlah umat Nabi Ishak menjadi Bani Israil dan dari anaknya Nabi Ismail menjadi umat Nabi Muhammad. Ini adalah satu penghormatan kepada baginda.

Satu lagi maksud, baginda mempunyai sifat seluruh umat. Memang ada manusia yang ada sifat yang baik, tapi tidak menyeluruh. Tapi pada Nabi Ibrahim ada keseluruhan sifat baik pada baginda.

Satu lagi makna al-ummah dalam ayat ini ialah ‘imam yang dijadikan ikutan’. Memang baginda menjadi ikutan orang sesudah baginda. Dari Malik, disebutkan bahawa Ibnu Umar mengatakan bahawa al-ummah ialah orang yang mengajar manusia akan agama mereka.

Al-A’masy mengatakan dari Yahya ibnul Jazzar, dari Abul Abidin, bahawa ia datang kepada Abdullah ibnu Mas’ud, lalu ia berkata, “Kepada siapa lagi kami bertanya kalau bukan kepada engkau?” Maka Ibnu Mas’ud kelihatan seakan-akan kasihan kepadanya, lalu Abul Abidin bertanya, “Ceritakanlah kepadaku apakah makna al-ummah itu!” Abdullah ibnu Mas’ud menjawab bahwa al-ummah ialah orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.

قانِتًا salah satu dari maksud ‘taat’. Iaitu taat dalam fokus, suka dalam melakukan taat itu dan menurut perintah. Dalam masa yang sama, ia membawa maksud taat dalam merendah diri. Semua itu baginda tujukan kepada Allah.

 

حَنيفًا وَلَم يَكُ مِنَ المُشرِكينَ

hanif dan sekali-kali bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan (Tuhan),

حَنيفًا dari segi bahasa bermaksud fokus. Maksudnya baginda selalu ikut dan taat kepada perintah Allah. Ia juga digunakan untuk membawa maksud ‘tauhid’.

Dan ditambah pula penekanan bahawa baginda tidak pernah buat syirik. Walaupun kalimah ‘hanif’ sudah membawa maksud ‘tauhid’, tapi Allah tambah lagi dengan penekanan bahawa Nabi Ibrahim tidak pernah syirik. Ini adalah kerana, ada dalam teks agama Ahli Kitab yang mengatakan Nabi Ibrahim telah melakukan syirik di hujung hayat baginda. Maka Allah hendak membersihkan nama baginda dengan menekankan baginda tidak pernah buat syirik.

Dan penekanan yang Nabi Ibrahim tidak syirik ini adalah kerana Musyrikin Mekah mengaku yang mereka mengikut ajaran Nabi Ibrahim. Mereka kata mereka anak cucu baginda dan apa yang mereka amalkan itu adalah peninggalan dari ajaran baginda. Sampaikan mereka kata mereka mengamalkan Agama Hanif. Mereka pun guna gelaran ‘hanif’ bagi diri mereka. Tapi Allah ingin tekankan bahawa, tidak sama sekali. Mereka tidak ikut ajaran Nabi Ibrahim sama sekali kerana Nabi Ibrahim tidak pernah buat syirik, sedangkan amalan Musyrikin Mekah itu penuh dengan syirik. Jadi mana mungkin mereka mendakwa yang mereka amal itu adalah ajaran Nabi Ibrahim?


 

Ayat 121: Sambungan sifat Nabi Ibrahim.

شاكِرًا لِأَنعُمِهِ ۚ اجتَباهُ وَهَداهُ إِلىٰ صِراطٍ مُستَقيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[He was] grateful for His favors. He [i.e., Allāh] chose him and guided him to a straight path.

(MELAYU)

(lagi) yang mensyukuri nikmat-nikmat Allah. Allah telah memilihnya dan menunjukinya kepada jalan yang lurus.

 

شاكِرًا لِأَنعُمِهِ

(lagi) yang mensyukuri nikmat-nikmatNya.

Sepanjang hidup Nabi Ibrahim, baginda adalah seorang yang sentiasa bersyukur. Baginda bersyukur kepada segala nikmat yang Allah telah berikan.

Musyrikin Mekah diperli dalam ayat ini kerana mereka tidak bersyukur. Mereka kononnya ikut ajaran Nabi Ibrahim tetapi sebenarnya mereka tidak ikut amalan baginda. Syukur itu maksudnya kena taat kepada apa yang Allah perintah, tetapi Musyrikin Mekah sebaliknya tidak taat.

Nabi Ibrahim sentiasa bersyukur terhadap nikmat yang Allah telah berikan kepada baginda. Tentunya baginda mendapat banyak nikmat, tetapi baginda hanya boleh bersyukur terhadap sebahagian sahaja. Kerana banyak lagi nikmat yang kita dapat dari Allah, tapi kita tidak tahu. Tidak mungin kita boleh tahu semua sekali.

 

اجتَباهُ

Allah telah memilihnya

Allah telah memilih Nabi Ibrahim menjadi seorang Rasul. Kalimah ijtiba’ bermaksud pemilihan kerana ada kelebihan yang ada pada seseorang. Maka ini adalah satu penghormatan kepada baginda kerana menunjukkan yang baginda ada kelebihan yang melayakkan baginda dipilih menjadi Rasul.

 

وَهَداهُ إِلىٰ صِراطٍ مُستَقيمٍ

dan menunjukinya kepada jalan yang lurus.

Dan Allah telah menunjukkan jalan yang lurus kepada Nabi Ibrahim dan baginda telah mengikuti jalan itu. Iaitu menyembah Allah semata, tiada menjadikan sekutu bagi-Nya, menurut syariat yang diredhai-Nya. Maka kita pun haruslah mengikuti jalan baginda itu. Dan dalam ayat yang lain, disebut yang Nabi Muhammad yang mengikut jalan baginda. Maka kita kalau mengikut jalan Nabi Muhammad, bermakna kita sebenarnya telah mengikut jalan Nabi Ibrahim a.s.


 

Ayat 122:

وَآتَيناهُ فِي الدُّنيا حَسَنَةً ۖ وَإِنَّهُ فِي الآخِرَةِ لَمِنَ الصّالِحينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We gave him good in this world, and indeed, in the Hereafter he will be among the righteous.

(MELAYU)

Dan Kami berikan kepadanya kebaikan di dunia. Dan sesungguhnya dia di akhirat benar-benar termasuk orang-orang yang soleh.

 

وَآتَيناهُ فِي الدُّنيا حَسَنَةً

Dan Kami berikan kepadanya kebaikan di dunia. 

Nabi Ibrahim telah mendapat kebaikan di dunia. Tapi harus di ingat yang ia bukanlah dari segi harta. Kerana ‘kebaikan’ itu bukanlah tentang keduniaan. Yang lebih hebat adalah baginda dipilih menjadi Nabi dan pemimpin kepada golongan yang kemudian. Kemuliaan yang diberikan kepada baginda adalah amat hebat.

Tapi itu semua diberi setelah baginda melalui segala kesusahan. Lihatlah bagaimana baginda di seksa, di bakar, di sembelih anaknya, di halau dari kampung halaman, di tinggalkan anak isteri di tempat yang jauh dan macam-macam lagi. Semua ujian diperoleh baginda itu adalah amat berat tetapi baginda dapat melepasi segala ujian itu. Dan kerana berjaya melepasi segala ujian itu, maka baginda telah dikurniakan dengan kebaikan yang baginda dapat di dunia ini.

 

وَإِنَّهُ فِي الآخِرَةِ لَمِنَ الصّالِحينَ

Dan sesungguhnya dia di akhirat benar-benar termasuk orang-orang yang soleh.

Dan pasti di akhirat nanti baginda akan dapat kedudukan yang lebih tinggi lagi. Baginda dimasukkan sebahagian dari golongan solehin.

Dalam Nisa:69, Allah ada meletak 4 tahap manusia – Nabi, Siddiqin, Syuhada’ dan akhir sekali Solehin. Dan kerana itu kalau lihat kedudukan tahap itu, kedudukan paling rendah adalah Solehin, bukan? Tapi bagaimana pula Allah meletakkan kedudukan Nabi Ibrahim ini pada kedudukan solehin pula? Tapi ini menunjukkan kalau kita mendapat kedudukan solehin pun, maknanya kita dapat duduk dengan Nabi Ibrahim a.s.

Tapi bukanlah soleh baginda itu adalah soleh biasa, tapi ia peringkat soleh para Nabi yang bermakna ianya adalah antara darjat yang tinggi.


 

Ayat 123: Dalil Wahyi. Ini adalah titah khas kepada Nabi Muhammad. Nabi Muhammad kena ikut agama Nabi Ibrahim a.s.

ثُمَّ أَوحَينا إِلَيكَ أَنِ اتَّبِع مِلَّةَ إِبراهيمَ حَنيفًا ۖ وَما كانَ مِنَ المُشرِكينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then We revealed to you, [O Muḥammad], to follow the religion of Abraham, inclining toward truth; and he was not of those who associate with Allāh.

(MELAYU)

Kemudian Kami wahyukan kepadamu (Muhammad): “Ikutilah agama Ibrahim seorang yang hanif” dan bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan.

 

ثُمَّ أَوحَينا إِلَيكَ أَنِ اتَّبِع مِلَّةَ إِبراهيمَ حَنيفًا

Kemudian Kami wahyukan kepadamu (Muhammad): “Ikutilah agama Ibrahim seorang yang hanif”

Setelah diberitahu tentang Nabi Ibrahim itu, Nabi Muhammad diarahkan untuk mengikuti agama Nabi Ibrahim. Perkara paling penting adalah hanif – fokus kepada Allah – bermaksud tauhid.

 

وَما كانَ مِنَ المُشرِكينَ

dan bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan.

Dan Allah tekankan sekali lagi yang Nabi Ibrahim tidaklah seorang musyrik. Digunakan kalimah ما dalam ayat ini sebagai penolakan kepada tohmahan yang mengatakan bahawa baginda adalah musyrik. Kerana ia tidak sama kalau digunakan kalimah لا yang hanya bermaksud tidak (tanpa ada maksud penolakan).

Ayat ini juga sebagai penolakan kepada dakwaan Musyrikin Mekah mengaku mereka pun ‘hanif’ juga. Tapi sebenarnya mereka itu bohong sahaja. Kerana kalau ‘hanif’, tidak syirik. Maka Allah tambah kalimah tidak musyrik itu untuk membezakan mereka dengan Nabi Ibrahim. Mereka itu musyrikin tapi Nabi Ibrahim itu tidak sama sekali.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 016: an-Nahl. Bookmark the permalink.

One Response to Tafsir Surah an-Nahl Ayat 119 – 123 (Ikut Nabi Ibrahim)

  1. Pingback: Tafsir Surah an-Nahl Ayat 119 – 123 (Ikut Nabi Ibrahim)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s