Tafsir Surah an-Nahl Ayat 88 – 90 (Ayat khutbah Jumaat)

Ayat 88: Takhwif ukhrawi

الَّذينَ كَفَروا وَصَدّوا عَن سَبيلِ اللهِ زِدناهُم عَذابًا فَوقَ العَذابِ بِما كانوا يُفسِدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those who disbelieved and averted [others] from the way of Allāh – We will increase them in punishment over [their] punishment for what corruption they were causing.

(MELAYU)

Orang-orang yang kafir dan menghalangi (manusia) dari jalan Allah, Kami tambahkan kepada mereka siksaan di atas siksaan disebabkan mereka selalu berbuat kerosakan.

 

الَّذينَ كَفَروا

Orang-orang yang kafir

Iaitu orang-orang yang engkar untuk menerima ajaran tauhid. Bukan sahaja mereka tidak menerima ajaran tauhid, malah mereka lawan pula. Ini bukanlah semua bukan muslim, kerana ada bukan muslim yang tidak ganggu agama Islam, malah ramai yang menghormatinya. Tetapi ada pula yang sengaja menentang agama Islam ini dari disebarkan dan diamalkan oleh manusia. Mereka inilah yang digelar sebagai ‘kafir’ dalam Quran.

 

وَصَدّوا عَن سَبيلِ اللهِ

dan menghalangi (manusia) dari jalan Allah,

Bukan sahaja mereka tidak mahu menerima ajaran tauhid itu, tetapi mereka menghalang pula orang lain dari menerima ajaran tauhid itu. Mereka buat berbagai-bagai hujah untuk menghalang manusia lain dari beriman. Mereka gunakan kedudukan mereka, mereka gunakan akal mereka untuk mempersoalkan agama Islam ini. Mereka buat kajian, mereka buat tohmahan, mereka ganggu dan tindas muslim, serta bermacam-macam lagi.

Ini seperti yang disebut dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَهُمْ يَنْهَوْنَ عَنْهُ وَيَنْأَوْنَ عَنْهُ}

Mereka melarang (orang lain) mendengarkan Al-Qur’an dan mereka sendiri menjauhkan diri darinya. (Al-An’am : 26)

Hasil dari usaha mereka, maka ada manusia yang pandang serong tentang agama Islam. Kerana mereka mendapat maklumat yang salah tentang agama Islam dari orang-orang kafir itu.

 

زِدناهُم عَذابًا فَوقَ العَذابِ

Kami tambahkan kepada mereka siksaan di atas siksaan

Orang kafir yang menyebabkan orang lain tidak mengamalkan Islam itu akan ditambah azab kepada mereka. Kenapa? Kerana mereka bukan sahaja kufur, tetapi mereka halang orang lain dari kebenaran juga. Mereka telah menjadi musuh Islam. Jadi mereka akan digandakan azab. Bukan sahaja dosa mereka sendiri mereka harus tanggung, dengan dosa-dosa orang-orang lain yang disesatkan oleh mereka itu juga mereka harus tanggung.

 

بِما كانوا يُفسِدونَ

disebabkan mereka selalu berbuat kerosakan.

Mereka dikenakan dengan balasan yang teruk kerana kerosakan yang mereka jadikan. Bukan mereka sahaja rosak, tetapi mereka merosakkan orang lain pula. Dosa menyesatkan orang lain dia akan tanggung – tapi bukanlah dia ambil dosa orang itu sampai habis. Orang yang sesat itu pun harus tanggung juga.

Maka jangan kita sangka orang yang disesatkan itu selamat pula. Mereka pun harus tanggung dosa mereka sendiri. Kerana mereka juga bersalah tidak menggunakan intelek dan pancaindera yang Allah telah berikan untuk mencari kebenaran. Sepatutnya mereka harus dapatkan kebenaran dan cerita sebenar, jangan percaya bulat-bulat kepada kata-kata orang kafir itu.

Hal ini menunjukkan bahawa orang-orang kafir itu berbeza-beza dalam menerima azabnya. Sebagaimana orang-orang mukmin pula, berbeza-beza tingkatannya di dalam syurga, begitu pula darjat (kedudukan)nya. Seperti yang disebutkan oleh Allah Swt. dalam ayat yang lain melalui firman-Nya:

{قَالَ لِكُلٍّ ضِعْفٌ وَلَكِنْ لَا تَعْلَمُونَ}

Allah berfirman, ”Masing-masing mendapat (siksaan) yang berlipat ganda, tetapi kalian tidak mengetahui.” (Al-A’raf: 38)


 

Ayat 89: Allah menceritakan keadaan di akhirat nanti. Ini adalah i’adah kepada penjelasan tentang kezaliman dan dalil wahyi.

وَيَومَ نَبعَثُ في كُلِّ أُمَّةٍ شَهيدًا عَلَيهِم مِن أَنفُسِهِم ۖ وَجِئنا بِكَ شَهيدًا عَلىٰ هٰؤُلاءِ ۚ وَنَزَّلنا عَلَيكَ الكِتابَ تِبيانًا لِكُلِّ شَيءٍ وَهُدًى وَرَحمَةً وَبُشرىٰ لِلمُسلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [mention] the Day when We will resurrect among every nation a witness over them from themselves [i.e., their prophet]. And We will bring you, [O Muḥammad], as a witness over these [i.e., your nation]. And We have sent down to you the Book as clarification for all things and as guidance and mercy and good tidings for the Muslims.¹

  • Those who have submitted themselves to Allāh.

(MELAYU)

(Dan ingatlah) akan hari (ketika) Kami bangkitkan pada tiap-tiap umat seorang saksi atas mereka dari mereka sendiri dan Kami datangkan kamu (Muhammad) menjadi saksi atas seluruh umat manusia. Dan Kami turunkan kepadamu Al Kitab (Al Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri.

 

وَيَومَ نَبعَثُ في كُلِّ أُمَّةٍ شَهيدًا عَلَيهِم مِن أَنفُسِهِم

(Dan ingatlah) akan hari (ketika) Kami bangkitkan pada tiap-tiap umat saksi atas mereka dari mereka sendiri

Pada hari akhirat nanti Allah akan bangkitkan saksi kepada setiap umat, dari kalangan mereka juga.  Maksud ‘dari diri mereka juga’ iaitu saksi itu adalah orang yang rapat dengan mereka. Orang yang memang kenal dengan mereka kerana duduk sekampung dengan mereka dan tahu apa yang dilakukan oleh mereka.

 

وَجِئنا بِكَ شَهيدًا عَلىٰ هٰؤُلاءِ

dan Kami datangkan kamu (Muhammad) menjadi saksi atas seluruh umat manusia. 

Dan Nabi Muhammad akan dijadikan saksi ke atas mereka. Iaitu ke atas Kaum Quraish yang menolak baginda. Dan dalam Surah an-Nisa, disebut yang baginda akan menjadi saksi termasuk ke atas orang Islam semua (dan kerana itu mengejutkan). Dalam surah ini tidak mengejutkan sangat (kalau dibandingkan dengan ayat dalam Nisa itu) kerana dalam ayat ini baginda dikatakan menjadi saksi bagi masyarakat baginda waktu itu sahaja. Kerana ayat ini adalah ayat Makkiah, jadi ia menyentuh tentang mereka.

Ayat yang dimaksudkan adalah Nisa:41

{فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِنْ كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَى هَؤُلاءِ شَهِيدًا}

Maka bagaimanakah (halnya orang kafir nanti) apabila Kami mendatangkan seseorang saksi (rasul) dari tiap-tiap umat dan Kami mendatangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas mereka itu. (An-Nisa: 41)

 

وَنَزَّلنا عَلَيكَ الكِتابَ تِبيانًا لِكُلِّ شَيءٍ

Dan Kami turunkan kepadamu Al Kitab (Al Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu

Ini adalah Dalil Wahyi iaitu penerangan atau pemberitahuan dari Allah. Allah memberitahu kepada kita bahawa Quran ini adalah sebagai penjelasan bagi ‘segala sesuatu’. Tidaklah Quran menjelaskan segala sesuatu perkara dalam alam ini. Yang dimaksudkan adalah segala perkara tentang agama. Hal-hal agama yang penting dan perlu telah disentuh dalam Quran. Dan diperjelaskan lagi dalam hadis dan sunnah dari Rasulullah. Dan mana-mana yang Quran tidak sebut, tidak perlu. Maka jangan reka perkara baru dalam agama kerana agama Islam ini telah lengkap.

Kalimah تِبيانًا dalam ayat ini adalah bentuk isim mubalaghah. Maksudnya, amat jelas. Terutama dalam perkara tauhid. Penjelasan tentang tauhid sudah kemas dan lengkap dalam Qur’an, sampaikan tidak perlu lagi kepada penjelasan lain sebenarnya. Kerana tauhid ini perkara yang amat penting, maka Allah telah jelaskan semua sekali dalam Quran. Jadi, kalau ada penyusunan ulama tentang tauhid di dalam kitab-kitab mereka, ianya sebagai penjelasan dan pemantapan sahaja tentang apa yang ada dalam Quran. Jangan keluar dari pemahaman Quran kerana kalau begitu, itu bermaksud kita telah reka perkara baru dan ini amat bahaya.

Jadi, apakah yang akan ditanya kepada saksi-saksi itu? Salah satunya tentang Quran. Kerana selepas sahaja sebut tentang saksi, Allah sebut tentang kitab Quran. Maksudnya ada kaitan. Iaitu kita telah disampaikan dengan Quran dan kita akan ditanya nanti sama ada kita telah sampaikan atau tidak. Adapun Firman Allah Swt.:

{إِنَّ الَّذِي فَرَضَ عَلَيْكَ الْقُرْآنَ لَرَادُّكَ إِلَى مَعَادٍ}

Sesungguhnya yang mewajibkan atasmu (melaksanakan hukum-hukum) Al-Qur’an benar-benar akan mengembalikan kamu ke tempat kembali. (Al-Qashash: 85)

Maksudnya, Allah yang telah mewajibkan kita untuk menyampaikan Quran ini, akan mengembalikan kita kepadaNya, dan Dia akan tanya kita balik: adakah kita telah sampaikan kepada manusia?

 

وَهُدًى وَرَحمَةً وَبُشرىٰ لِلمُسلِمينَ

dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri.

Dan Quran ini adalah sebagai petunjuk untuk kita dalam hal agama dan hal kehidupan kita. Ini kepada mereka yang mahu luangkan masa untuk belajar. Setelah belajar, mereka sanggup untuk mengikutinya. Kerana kalau setakat tahu sahaja tetapi tidak mahu ikut, maka tidak ada gunanya.

Kalau kita amalkan petunjuk yang Allah berikan dalam Quran ini, kita akan mendapat rahmat. Dan rahmat itu diberitahu kepada kita dalam bentuk berita gembira yang banyak sekali ada dalam Quran ini – ayat-ayat tabshir. Rahmat yang amat besar adalah dimasukkan ke dalam syurga.

Muslimin yang dimaksudkan di sini adalah muwahhideen, iaitu mereka yang mengamalkan ajaran tauhid. Kerana kalau tidak beramal dengan tauhid, memang tidak akan dapat rahmat dan tidak akan dapat berita gembira itu. Mereka akan kekal selama-lamanya dalam neraka.


 

Ayat 90: Ini adalah ayat yang selalu dibaca dalam khutbah. Mungkin ramai yang hafal ayat ini kalau tidak hafal ayat-ayat lain pun kerana selalu sangat dengar. Maka kenalah kita faham apakah yang hendak disampaikan.

Ini adalah jenis ‘Ayat Tiga Serangkai’ untuk menolak azab. Ini adalah tentang tauhid atau melakukan keadilan.

۞ إِنَّ اللهَ يَأمُرُ بِالعَدلِ وَالإِحسانِ وَإيتاءِ ذِي القُربىٰ وَيَنهىٰ عَنِ الفَحشاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغيِ ۚ يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, Allāh orders justice and good conduct and giving to relatives and forbids immorality and bad conduct and oppression. He admonishes you that perhaps you will be reminded.

(MELAYU)

Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi nasihat kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.

 

إِنَّ اللهَ يَأمُرُ بِالعَدلِ وَالإِحسانِ

Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan,

Allah menyuruh kepada keadilan dan kebaikan. Yang dimaksudkan adalah ‘tauhid’, kata ibn Abbas. Kerana adil itu adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya dan memang Allah itu adalah Tuhan dan kita harus menerima Allah sebagai Tuhan yang mesti ditaati.

Dan ‘keadilan’ adalah sesuatu yang mesti diamalkan oleh setiap manusia. Tidak kira dia seorang muslim atau pun tidak. Dan keadilan adalah sikap paling kurang yang mesti ada. Kerana kalau kurang sahaja dari berlaku adil, kira sudah sebagai penjenayah. Jadi jangan kita sangka yang ‘keadilan’ itu adalah sesuatu yang tinggi, kerana ia adalah yang paling kurang sekali. Kerana kurang sahaja dari adil, sudah buat kesalahan.

Dan kemudian baru Allah suruh kita buat lebih lagi, iaitu ihsan. Ihsan ini bermaksud buat yang lebih lagi dari adil. Kerana adil itu adalah kemestian yang paling kurang dan kalau kita buat lebih lagi, itu dipanggil ihsan dan Allah anjurkan kita berbuat ihsan. Jangan buat cukup-cukup makan sahaja, tetapi haruslah berusaha untuk buat lebih lagi. Macam kita kalau bab pakaian contohnya, kita harus pakai pakaian yang lebih cantik lagi, bukan? Kerana pakaian itu sepatutnya untuk tutup tubuh kita sahaja, tetapi kita bukan setakat ingin menutup tubuh kita sahaja, tetapi kita pakai pakaian yang cantik, yang lembut dan sedap dipakai. Maka kalau dalam pakaian pun kita sudah buat lebih, maka apakah tidak patut kalau dalam hal agama dan kehidupan kita, kita buat lebih lagi? Ihsan ini tidak ada hadnya, lagi kita boleh buat lebih, lagi baik.

Jadi secara ringkasnya, paling kurang kena ada keadilan dan paling tinggi adalah ihsan. Jadi dalam ayat ini disebut yang paling rendah dan paling tinggi sekali. ‘ The whole spectrum is mentioned here ‘.

 

وَإيتاءِ ذِي القُربىٰ

dan memberi kepada kaum kerabat,

Dan Allah memberi arahan kepada kita untuk memberi bantuan kepada kaum kerabat. Jadi kita kena ingat yang ini adalah ‘arahan’ kepada kita. Dan bila ianya arahan, ia adalah suruhan, bukan galakan sahaja. Memang harus dilakukan. Sekurang-kurangnya beri setakat adil sahaja dan cuba untuk berbuat ihsan. Kalau buat setakat adil, ia beri yang sepatutnya diberi dan kalau ihsan, beri lebih lagi dari yang sepatutnya.

Kenapa Allah suruh memberi kepada keluarga? Kerana kalau ingin sebut tentang keadilan dalam masyarakat dan dalam negara, ia tidak akan dapat dicapai kalau ia tidak kemas di bahagian keluarga dahulu. Oleh itu, harus mulakan dari keluarga kerana dari keluarga jadi masyarakat dan dari masyarakat jadi negara. Maka berikan bantuan kepada ahli keluarga kita, jangan buat tidak tahu sahaja. Ini seperti pengertian yang terdapat di dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَآتِ ذَا الْقُرْبَى حَقَّهُ وَالْمِسْكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَلا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا}

Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan; dan janganlah kalian menghambur-hamburkan (harta kalian) secara boros. (Al-Isra: 26)

Tapi ramai yang kita lihat, orang lain dia bantu tetapi dengan keluarga sendiri, dia tidak berbuat baik. Kadang-kadang ada perkelahian dalam keluarga pula. Sedangkan sepatutnya dengan keluarga yang kita harus rapat. Masalah bila rapat, tentu ada yang berkecil hati, salah cakap dan sebagainya. Itu perkara biasa sahaja, tapi janganlah jadikan sebagai penyebab untuk berkelahi pula. Kalau ada masalah komunikasi, haruslah di perbetulkan. Jangan main cakap lepas sahaja, haruslah fikirkan perasaan orang lain juga.

 

وَيَنهىٰ عَنِ الفَحشاءِ

dan Dia melarang dari perbuatan keji, 

Allah suruh kita menahan dari melakukan الفَحشاءِ. Sebelum ini telah disebut tentang membantu keluarga yang rapat dan الفَحشاءِ ini adalah musuh kepada institusi kekeluargaan. Ia adalah jenis dosa yang keji, yang memalukan. Ianya adalah perbuatan dosa yang kita sendiri malu kalau orang lain tahu. Ia selalunya melibatkan nafsu syahwat seks dan yang paling berat sekali adalah zina. Ia amat penting untuk ditinggalkan dan dielak dari mula lagi kerana ia boleh merosakkan perhubungan kekeluargaan.

 

وَالمُنكَرِ

dan kemungkaran

Kalimah المُنكَرِ merujuk kepda segala perbuatan yang buruk. Amat banyak perkara yang termasuk dalam perkara ini. Ia senang sahaja untuk kita tahu kerana المُنكَرِ adalah perkara yang semua orang terima bahawa ianya adalah perkara buruk. Oleh itu, tidak perlu di senaraikan kerana orang yang akal sihat tahu yang ianya adalah perkara buruk. Jadi المُنكَرِ adalah lawan kepada al-makruf yang dikenali oleh semua orang sebagai perkara yang baik.

 

وَالبَغيِ

dan permusuhan. 

Kalimah البَغيِ dari ب غ ي yang antara lain bermaksud memberontak dan melawan. Mereka yang melakukan البَغيِ adalah orang melawan hukum-hukum yang Allah telah tetapkan.

Ia juga bermaksud penindasan apabila melakukan kezaliman ke atas orang lain. Awal ayat ini Allah telah suruh kita berlaku adil, tetapi ada orang yang berlaku zalim kepada orang lain. Zalim ini dalam erti luasnya adalah tidak meletakkan sesuatu kepada tempatnya. Tidak memberi hak seseorang. Maka ramailah yang melakukan kesalahan ini. Maka harus kita berjaga-jaga tentang perkara ini. Harus tahu apa yang kita boleh dan tidak boleh lakukan. Harus fikirkan tentang hukum dalam setiap hal kehidupan kita. Kita tidak boleh buat ikut suka kita sahaja. Kadang-kadang kita sangka perkara itu tidak ada masalah apa-apa, tetapi sebenarnya telah dibincangkan dalam agama. Namun kerana tidak belajar, maka kita tidak tahu. Alangkah malangnya kalau kita disoal tentang perkara itu di akhirat kelak.

 

يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرونَ

Dia memberi nasihat kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.

Allah memberi peringatan dan nasihat kepda kita supaya kita dapat ingat. Allah tidak jadikan kita dan kemudian biar sahaja kita merayau dalam dunia ini tanpa bimbingan. Allah berikan kitab wahyu dan Allah bangkitkan para Rasul untuk menyampaikan cara hidup yang benar. Cuma kalau tidak belajar, memang tidak tahu. Maka kita harus belajar. Kerana Allah juga telah berikan akal dan pancaindera kepada kita untuk memahami apa yang disampaikan. Cuma harus luangkan masa. Dan masa juga Allah telah berikan. Tidak akan kita mahu guna seluruh masa itu untuk bersuka-suka sahaja? Nanti tiba masa akan mati, tidak kah akan rugi?

Asy-Sya’bi telah meriwayatkan dari Basyir ibnu Nuhaik, bahawa ia pernah mendengar Ibnu Mas’ud mengatakan, “Sesungguhnya ayat yang paling mencakup dalam Al-Qur’an adalah ayat surat An-Nahl,” iaitu firman-Nya: Sesungguhnya Allah menyuruh (kalian) berbuat adil dan berbuat kebajikan. (An-Nahl: 90), hingga akhir ayat. Demikianlah menurut riwayat Ibnu Jarir.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 016: an-Nahl. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s