Tafsir Surah an-Nahl Ayat 35 – 37 (Salahkan takdir sebab musyrik)

Ayat 35: Ayat syikayah. Allah memberitahu dalil bodoh yang digunakan oleh golongan musyrik. Mereka menjadikan kehendak Allah sebagai tanda keredhaanNya dan Allah jawab salah faham mereka itu dalam ayat ini.

وَقالَ الَّذينَ أَشرَكوا لَو شاءَ اللَهُ ما عَبَدنا مِن دونِهِ مِن شَيءٍ نَحنُ وَلا آباؤُنا وَلا حَرَّمنا مِن دونِهِ مِن شَيءٍ ۚ كَذٰلِكَ فَعَلَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم ۚ فَهَل عَلَى الرُّسُلِ إِلَّا البَلاغُ المُبينُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who associate others with Allāh say, “If Allāh had willed, we would not have worshipped anything other than Him, neither we nor our fathers, nor would we have forbidden anything through other than Him.” Thus did those do before them. So is there upon the messengers except [the duty of] clear notification?

(MELAYU)

Dan berkatalah orang-orang musyrik: “Jika Allah menghendaki, nescaya kami tidak akan menyembah sesuatu apapun selain Dia, baik kami mahupun bapa-bapa kami, dan tidak pula kami mengharamkan sesuatu pun tanpa (izin)-Nya”. Demikianlah yang diperbuat orang-orang sebelum mereka; maka tidak ada kewajiban atas para Rasul, selain dari menyampaikan (amanat Allah) dengan terang.

Ayat seterusnya

وَقالَ الَّذينَ أَشرَكوا

Dan berkatalah orang-orang musyrik:

Orang yang mengamalkan syirik, tetap juga tidak mengalah dengan amalan mereka. Walaupun telah diberitahu kesalahan amalan dan fahaman mereka, mereka tetap juga tidak mahu mendengar hujah dan dalil yang diberikan.

Ayat seterusnya

لَو شاءَ اللَهُ ما عَبَدنا مِن دونِهِ مِن شَيءٍ

“Jika Allah menghendaki, niscaya kami tidak akan menyembah sesuatu apapun selain Dia,

Mereka sebut nama Allah, menunjukkan yang mereka ini jenis orang yang kenal dengan Allah. Tetapi mereka masih juga melakukan syirik. Maka, tidak hairanlah kalau musyrikin ini adalah orang Islam yang kenal Allah. Mereka beriman kepada Allah, tetapi dalam masa yang sama, mereka ada fahaman dan amalan syirik. Ini adalah kerana mereka tidak belajar wahyu, maka mereka telah ditipu oleh syaitan yang mengajar ajaran-ajaran sesat kepada mereka.

Untuk membenarkan amalan mereka yang syirik itu, mereka telah berhujah seperti yang Allah firmankan dalam ayat ini. Ini adalah kerana Allah tahu apakah yang berada di dalam hati mereka. Memang selalunya hujah orang-orang yang melakukan syirik ini Allah telah siap berikan di dalam Quran. Kita hanya cuma perlu semak sahaja. Dan orang musyrik itu tidak sedar bahawa hujah mereka ada dalam Quran.

Mereka katakan bahawa apa yang mereka lakukan itu Allah redha dan ini adalah ‘takdir’. Mereka berkata bahawa jikalau Allah tidak suka, tentu mereka tidak lakukan apa yang mereka lakukan itu; maknanya, mereka sangka, kerana tiada apa-apa halangan mahupun hukuman yang Allah timpakan kepada mereka, maka mereka rasakan amalan dan fahaman mereka itu benar. Allah tidak beri apa-apa tanda yang ianya salah (tidak sakit perut, jatuh sakit, kena panah petir dan sebagainya), jadi tentulah apa yang mereka lakukan itu benar. Mereka katakan lagi, Allah tidak ganggu apa yang mereka lakukan itu kerana Allah suka apa yang mereka lakukan. Dengan kata lain, perkataan mereka mengandungi kesimpulan bahawa seandainya Allah SWT tidak suka dengan apa yang mereka lakukan, tentulah Allah mengingkari perbuatan itu dengan menurunkan hukuman, dan tentulah Dia tidak akan memberikan kesempatan kepada mereka untuk melakukannya. Maknanya, mereka kata apa yang mereka buat itu adalah atas kehendak Allah.

Ayat seterusnya

نَحنُ وَلا آباؤُنا

baik kami maupun bapa-bapa kami,

Baik kami dan tok nenek kami. Mereka kata, “kalau ianya salah, tok nenek mereka juga tidak akan lakukan. Tetapi tok nenek (golongan terdahulu) ramai yang lakukan, sehingga ia menjadi amalan turun temurun. Mustahil mereka salah juga? Adakah kamu mahu mengatakan bahawa mereka itu sesat?”

Begitulah hujjah mereka. Dan hujjah tok nenek ini memang selalu digunakan. Maka kalau ada yang mengatakan amalan itu sudah lama ada di dalam masyarakat, beritahu mereka yang hujah mereka itu sama seperti hujah orang kafir yang Allah sampaikan dalam Quran. Beritahu mereka: “eh, hujah awak ini samalah dengan hujah orang kafir, awak tidak tahu kah?”. Memang dia tidak tahu kerana dia tidak belajar tafsir Quran.

Ayat seterusnya

وَلا حَرَّمنا مِن دونِهِ مِن شَيءٍ

dan tidak pula kami mengharamkan sesuatupun tanpa (izin)-Nya”.

Mereka katakan lagi, kalau Allah tidak benarkan, tentulah mereka tidak haramkan perkara yang halal. Kalau tok nenek haramkan, tentulah ia ada sandaran (mereka tidak tahu sandaran apa, mereka terima sahaja tanpa usul periksa).

Perbuatan mengharamkan yang halal adalah perbuatan kufur. Kerana Allah sahaja yang boleh jatuhkan hukum halal dan haram. Kalau kita haramkan yang halal, maka itu sudah ambil kerja Tuhan. Bagaimana agaknya kalau ambil kerja Tuhan? Tentu berat hukumannya bukan?

Antara contoh mengharamkan yang halal adalah amalan berpantang masyarakat kita sekarang. Apabila ada wanita bersalin, maka mereka akan pantang (haram)kan pemakanan makanan tertentu. Ianya tanpa hujah, tetapi kerana bidan dari dahulu lagi sudah ajar begitu, mereka ikut sahaja.

Ayat seterusnya

كَذٰلِكَ فَعَلَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم

Demikianlah yang diperbuat orang-orang sebelum mereka; 

Allah beritahu, begitulah hujah yang dikatakan oleh orang-orang dahulu. Waktu itu diulang oleh Musyrikin Mekah. Dan sekarang diulang oleh Musyrikin Malaysia pula. Semuanya kerana ikut-ikutan sahaja dan tidak tahu tentang wahyu.

Dan begitulah amalan masyarakat sebelum kita yang ikut amalan dari tok nenek mereka. Mereka kata perbuatan mereka itu telah ditakdirkan oleh Allah – maka tidak salah kalau begitu? Jadi kita harus faham benar-benar beza antara ‘kehendak’ dan ‘redha’. Memang Allah bagi mereka lakukan amalan itu, tanpa dikenakan azab. Tetapi tidak semestinya Allah benarkan ia terjadi, menjadi hujah yang Allah ‘redha’. Kerana Allah benarkan sahaja perbuatan jahat seseorang, tetapi dalam masa yang sama, Allah tidak redha. Kerana kalau orang mahu sesat, Allah biarkan sahaja. Allah tunggu di akhirat kelak untuk hukum dan azab mereka.

Sebagai satu contoh, sihir adalah suatu perbuatan yang haram. Ianya sudah tentu salah, tetapi Allah benarkan ia terjadi, bukan? Adakah Allah redha? Tentu tidak. Allah benarkan sihir terjadi setelah pengamalnya melakukan proses-proses tertentu. Tetapi Allah pasti tidak redha dengan sihir.

Ayat seterusnya

فَهَل عَلَى الرُّسُلِ إِلَّا البَلاغُ المُبينُ

maka tidak ada kewajiban atas para rasul, selain dari menyampaikan dengan terang.

Beritahu mereka: kalau kamu dengar wahyu yang disampaikan oleh Rasul, kamu tidak akan cakap perkara seperti ini. Apabila kamu lakukan perkara sebegini, ini bermakna hati kamu yang tidak baik.

Mereka kononnya berkata bahawa Allah tidak engkari apa yang mereka telah lakukan itu. Padahal sebenarnya Allah telah meng­engkari perbuatan mereka dengan tindakan yang keras, dan Dia telah melarang manusia melakukannya dengan larangan yang kuat. Iaitu Dia telah mengutus seorang Rasul kepada setiap umat, memberitahu mana boleh lakukan dan mana tidak.

Rasul tidak boleh hendak halang kamu dari melakukan apa yang kamu lakukan, kerana tugas Rasul hanya menyampaikan. Dan Rasul telah menjalankan tugas mereka – yang tidak terima dan dengar itu adalah kerana degil sahaja.

Ayat seterusnya


Ayat 36: Dalil naqli ijmali dan takhwif duniawi.

وَلَقَد بَعَثنا في كُلِّ أُمَّةٍ رَسولًا أَنِ اعبُدُوا اللَهَ وَاجتَنِبُوا الطّاغوتَ ۖ فَمِنهُم مَن هَدَى اللهُ وَمِنهُم مَن حَقَّت عَلَيهِ الضَّلالَةُ ۚ فَسيروا فِي الأَرضِ فَانظُروا كَيفَ كانَ عاقِبَةُ المُكَذِّبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We certainly sent into every nation a messenger, [saying], “Worship Allāh and avoid ṭāghūt.”¹ And among them were those whom Allāh guided, and among them were those upon whom error was [deservedly] decreed. So proceed [i.e., travel] through the earth and observe how was the end of the deniers.

  • False objects of worship.

(MELAYU)

Dan sungguhnya Kami telah mengutus Rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): “Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thaghut”, maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul).

Ayat seterusnya

وَلَقَد بَعَثنا في كُلِّ أُمَّةٍ رَسولًا

Dan sungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat

Allah cipta manusia dan tidak biarkan mereka terkontang kanting dalam dunia ini tanpa petunjuk. Allah bangkitkan Rasul dan Nabi di setiap kaum. Semua mendapat peluang untuk menerima ajaran agama. Selain dari itu, Allah telah menurunkan wahyu. Dan Rasul terakhir adalah Nabi Muhammad, dan kita adalah umat baginda. Walaupun kita tidak dapat berjumpa dengan Nabi Muhammad, tetapi ajaran baginda telah sampai kepada kita. Tidak ada alasan mengatakan kita tidak dapat ilmu yang disampaikan daripada baginda.

Ayat seterusnya

أَنِ اعبُدُوا اللَهَ

“Sembahlah Allah, 

Inilah ajaran yang disampaikan oleh setiap Rasul kepada ummat mereka: ibadatlah, serulah, hanya kepada Allah sahaja. Inilah yang disampaikan oleh para Nabi sedang sebelum ini orang kafir kata apa yang mereka buat itu adalah apa yang Allah suka. Tidak mungkin Nabi ajar berlainan dengan apa yang Allah hendak, pula?

Ayat seterusnya

وَاجتَنِبُوا الطّاغوتَ

dan jauhilah Thaghut”, 

Bukan sahaja harus sembah dan seru kepada Allah, tetapi harus jauhkan dari sembahan dan seruan kepada taghut. Jangan pula lakukan dua-dua – sembah Allah dan sembah taghut pula. Ini masalah dengan orang kita, dua-dua mereka lakukan. Sedangkan dalam agama, kena ada ‘nafi’ dan ‘ithbat’. Kena nafikan benda yang salah – seperti taghut, syirik dan bid’ah.

Ayat seterusnya

فَمِنهُم مَن هَدَى اللهُ

maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah

Ada dari kalangan ummat Rasul itu yang mahu beriman. Selalunya mereka ini tidak ramai. Dan mereka selalunya dari kalangan orang-orang yang lemah dan miskin. Tetapi mereka masih sanggup untuk menerima kebenaran. Merekalah yang menjadi pembantu kepada Rasul-rasul mereka dan mereka selalu akan menjadi orang yang ditindas dan diperlakukan dengan teruk. Ini adalah kerana golongan penentang selalunya adalah golongan yang kuat dan berkuasa.

Ayat seterusnya

وَمِنهُم مَن حَقَّت عَلَيهِ الضَّلالَةُ

dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. 

Tetapi ramai dari kalangan manusia yang tidak mahu beriman. Mereka ini lebih banyak dari bilangan mereka yang beriman. Walaupun telah diberikan dengan berbagai hujah, dalil dan tanda kebenaran, mereka masih juga tidak mahu terima.

Telah pasti kesesatan ke atas mereka kerana kesalahan kepada diri mereka sendiri. Ini adalah kerana mereka tidak membuka hati mereka kepada kebenaran. Mereka ada rasa ragu-ragu kepada kebenaran yang disampaikan oleh Rasul mereka. Keraguan adalah perkara biasa sahaja, kerana bukan semua manusia terus beriman. Tetapi apabila ragu-ragu, haruslah dapatkan maklumat yang sebenarnya – kena dengar, fikir dan buat keputusan. Jangan terus dengan keraguan itu. Dan janganlah menentang penyebar tauhid. Kerana kalau mereka menentang, maka kesesatan itu mereka memang patut dapat.

Ayat seterusnya

فَسيروا فِي الأَرضِ

Maka berjalanlah kamu di muka bumi 

Kepada mereka yang tidak  mahu percaya kepada kebenaran wahyu, maka Allah suruh mereka berjalan di dunia ini. Ambil masa dan tengok alam ini serta fikir-fikirkan.

Ayat seterusnya

فَانظُروا كَيفَ كانَ عاقِبَةُ المُكَذِّبينَ

dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan

Tengoklah kesan orang-orang dahulu yang telah dikenakan dengan azab kerana menolak wahyu dan Rasul mereka. Allah berikan azab yang amat menghinakan dan Allah hapuskan terus keturunan mereka. Ini begitu mudah sahaja kepada Allah.

Saranan ini kepada orang yang tidak mahu percaya sahaja. Kepada kita yang percaya, tidak perlu pergi ke tempat-tempat sebegitu. Kerana ada larangan daripada Nabi untuk pergi ke tempat-tempat yang telah dikenakan dengan azab itu.

Ayat seterusnya


Ayat 37: Ayat tasliah kepada Nabi.

إِن تَحرِص عَلىٰ هُداهُم فَإِنَّ اللَهَ لا يَهدي مَن يُضِلُّ ۖ وَما لَهُم مِن ناصِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Even] if you should strive for their guidance, [O Muḥammad], indeed, Allāh does not guide those He sends astray,¹ and they will have no helpers.

  • As a result of their choice to reject guidance.

(MELAYU)

Jika kamu sangat mengharapkan agar mereka mendapat petunjuk, maka sesungguhnya Allah tiada memberi petunjuk kepada orang yang disesatkan-Nya, dan sekali-kali mereka tiada mempunyai penolong.

Ayat seterusnya

إِن تَحرِص عَلىٰ هُداهُم

Jika kamu sangat mengharapkan agar mereka dapat petunjuk, 

Sebagai seorang Rasul yang sedar kesan buruk kalau menolak kebenaran, baginda amat berharap supaya semua umat baginda menerima kebenaran. Baginda amat sedih apabila ramai yang menolak dakwah daripada baginda. Baginda telah berusaha siang dan malam, berjumpa dengan mereka secara terang-terangan atau secara bersembunyi. Tetapi masih ramai lagi yang tidak mahu beriman. Baginda amat risau jikalau ada kesilapan dalam cara dakwah baginda. Baginda sebagai seorang yang lembut hati, telah menyalahkan diri baginda. Maka Allah mahu memberitahu bahawa bukannya salah baginda. Allah tahu bahawa baginda amat berharap sangat supaya semua umat baginda beriman, tetapi tidak semestinya keinginan baginda itu akan diperolehi.

Ayat seterusnya

فَإِنَّ اللَهَ لا يَهدي مَن يُضِلُّ

maka sesungguhnya Allah tiada memberi petunjuk kepada orang yang disesatkan-Nya,

Kerana akan ada yang tidak beriman sampai bila-bila. Walaupun baginda berusaha bersungguh-sungguh sekali pun untuk dakwah mereka, baginda tidak dapat keluarkan mereka dari kesesatan. Baginda tidak mampu melakukannya kerana hidayah itu datang dari Allah.

Ada orang yang Allah telah tetapkan tidak akan beriman. Tapi bukanlah Allah buat keputusan untuk terus sesatkan mereka. Mereka yang telah tetap akan disesatkan itu adalah kerana mereka telah sampai peringkat keempat kekufuran. Kerana mereka telah diberi peluang berkali-kali untuk menerima dakwah, tetapi mereka menolak dan mereka menentang berkali-kali pula. Jadi sampai pada satu tahap, Allah akan buat keputusan Khatmul Qalbi, terus tutup hati mereka dari kebenaran hidayah. Waktu itu, walau apa pun yang terjadi, walau sesiapa pun yang dakwah mereka, mereka tidak akan dapat menerima hidayah.

Ayat seterusnya

وَما لَهُم مِن ناصِرينَ

dan sekali-kali mereka tiada mempunyai penolong.

Apabila Allah telah membuat keputusan untuk tutup pintu hati mereka daripada kebenaran, tidak ada sesiapa pun yang dapat menyelamatkan mereka dari kesesatan – sama ada Rasul, ahli keluarga atau kawan-kawan mereka sekali pun. Mereka itu Allah telah tulis sebagai ahli neraka. Tunggu masa untuk mati dan dikenakan dengan azab sahaja.

Sama halnya dengan yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَمَنْ يُرِدِ اللَّهُ فِتْنَتَهُ فَلَنْ تَمْلِكَ لَهُ مِنَ اللَّهِ شَيْئًا}

Barang siapa yang Allah menghendaki kesesatannya, maka sekali-kali kamu tidak akan mampu menolak sesuatu pun (yang datang) dari Allah. (Al-Maidah: 41)

Allahu a’lam. Sambung ke tafsir yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 016: an-Nahl. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s