Tafsir Surah an-Nahl Ayat 1 – 6 (Azab yang telah sampai)

TPengenalan:

Dakwa surah ini ada pada ayat 1. kalimat أَتىٰ أَمرُ اللهِ bermaksud telah datang azab kepada Musyrikin Mekah. Iaitu kemarau yang panjang telah menimpa mereka. Kemarau itu sebagai bala kerana mereka menolak ajaran Nabi SAW. Surah ini diturunkan di Mekah untuk memberitahu kepada mereka, azab itu telah pun berlaku kepada mereka.

Surah ini boleh dibahagikan kepada tiga bahagian:

  • Ayat 1 – 112 adalah bahagian pertama. Di dalamnya ada 8 dalil. Bahagian ini membincangkan Tauhid – iaitu menafikan syirik ilmu dan tasarruf. Allah hendak  memberitahu yang kedua-duanya hanya milik Allah sahaja. Oleh kerana ini adalah dalam fikiran, maka yang dinafikan syirik i’tikadi.
  • Ayat 113 – 119 adalah bahagian kedua. Bahagian ini hendak menafikan syirik amali (syirik dalam bentuk perbuatan). Ini adalah kerana ada manusia yang mengharamkan perkara yang Allah telah halalkan. Juga kerana ada melakukan nazar kepada selain Allah.
  • 120 sampai habis adalah bahagian ketiga.

 

Hubungan dengan surah-surah sebelum ini:

  • Surah Ibrahim menunjukkan dalil-dalil peristiwa berkenaan Tauhid. Maka mesti berpegang kepada Tauhid.
  • Surah Hijr selepas itu memberi amaran, kalau tidak berpegang kepada Tauhid, maka seseorang itu akan menyesal apabila berhadapan dengan pembalasan dari Allah.
  • Surah Nahl ini pula memberitahu manusia bahawa jika mereka masih menolak untuk menerima ajaran Tauhid, maka janganlah tergesa-gesa memohon agar diazabkan dengan segera.

 

Ayat 1:  Ayat Takhwif Duniawi. Musyrikin Mekah mengejek-ngejek kepada Nabi Muhammad dengan mengatakan kalau benar mereka akan dikenakan azab musibah, mana dia?

أَتىٰ أَمرُ اللهِ فَلا تَستَعجِلوهُ ۚ سُبحانَهُ وَتَعالىٰ عَمّا يُشرِكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The command of Allāh is coming,¹ so be not impatient for it. Exalted is He and high above what they associate with Him.

  • Literally, “has come,” indicating the certainty and nearness of the Last Hour.

(MELAYU)

Telah pasti datangnya ketetapan Allah maka janganlah kamu meminta agar disegerakan (datang)nya. Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari apa yang mereka persekutukan.

 

أَتىٰ أَمرُ اللهِ

Telah pasti datangnya ketetapan Allah

Tidak lama lagi mereka akan dikenakan dengan azab. Jadi ini adalah Surah Makkiah peringkat ketiga (tidak lama sebelum Nabi berhijrah ke Madinah). Maksudnya, Allah sudah buat keputusan untuk mengenakan azab kepada mereka. Ia ‘pasti’ datang dan sebab itu dalam fi’il madhi (past tense). Ini adalah kerana kalau ianya dalam fi’il madhi, tapi tidak berlaku lagi, ini bermaksud ia pasti akan berlaku.

Atau, ada pendapat yang mengatakan ia memang telah terjadi juga kerana mereka telah dikenakan dengan kemarau yang panjang. Mereka minta disegerakan musibah, Allah beritahu mereka memang sudah terima azab musibah.

 

فَلا تَستَعجِلوهُ

Allah maka janganlah kamu meminta agar disegerakan (datang)nya.

Maka janganlah kamu minta ia dipercepatkan. Kalau sudah di timpakan azab musibah, kamu sendiri yang akan menyesal. Sepatutnya kamu minta hidayah, bukannya minta azab. Tetapi, kerana mereka itu degil dan tidak percaya dengan ancaman itu, mereka minta disegerakan pula azab itu. Perihalnya sama dengan yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَيَسْتَعْجِلُونَكَ بِالْعَذَابِ وَلَوْلا أَجَلٌ مُسَمًّى لَجَاءَهُمُ الْعَذَابُ وَلَيَأْتِيَنَّهُمْ بَغْتَةً وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ يَسْتَعْجِلُونَكَ بِالْعَذَابِ وَإِنَّ جَهَنَّمَ لَمُحِيطَةٌ بِالْكَافِرِينَ}

Dan mereka meminta kepadamu supaya segera diturunkan azab. Kalau tidaklah kerana waktu yang telah ditetapkan, benar-benar telah datang azab kepada mereka, dan azab itu benar-benar akan datang kepada mereka dengan tiba-tiba, sedangkan mereka tidak menyedarinya. Mereka meminta kepadamu supaya segera diturunkan azab. Dan sesungguhnya Jahanam benar-benar meliputi orang-orang kafir. (Al-‘Ankabut: 53-54)

Semua itu kerana mereka jahil. Mereka tidak takut dengan azab itu kerana mereka jahil seperti disebutkan dalam firman-Nya:

{يَسْتَعْجِلُ بِهَا الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِهَا وَالَّذِينَ آمَنُوا مُشْفِقُونَ مِنْهَا وَيَعْلَمُونَ أَنَّهَا الْحَقُّ أَلا إِنَّ الَّذِينَ يُمَارُونَ فِي السَّاعَةِ لَفِي ضَلالٍ بَعِيدٍ}

Orang-orang yang tidak beriman kepada hari kiamat meminta supaya hari itu segera didatangkan, dan orang-orang yang ber­iman merasa takut kepadanya dan mereka yakin bahawa kiamat itu adalah benar (akan terjadi). Ketahuilah bahawa sesungguhnya orang-orang yang membantah tentang terjadinya kiamat itu benar-benar dalam kesesatan yang jauh. (Asy-Syura:18)

 

سُبحانَهُ وَتَعالىٰ عَمّا يُشرِكونَ

Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari apa yang mereka persekutukan.

Ini adalah Dakwa Surah ini. Maka sucikan Allah dari apa yang mereka samakan dengan sifat makhluk. Allah tidak mungkin sama sifatNya dengan makhluk. Hanya Allah sahaja yang ada sifat ilah dan sifat Tuhan, maka janganlah mengangkat kedudukan makhluk seperti Tuhan pula. Janganlah sembah makhluk dan jangan berdoa kepada makhluk.


 

Ayat 2: Ini adalah Dakwa Surah ini. Dakwa Surah ini berkenaan Tauhid. Hendaklah Nabi Muhammad menyampaikan ajaran Tauhid dan tiada ilah melainkan Allah. 

Ayat ini juga mengandungi bukti yang Nabi Muhammad adalah seorang Rasul kerana baginda telah diturunkan dengan wahyu.

يُنَزِّلُ المَلائِكَةَ بِالرّوحِ مِن أَمرِهِ عَلىٰ مَن يَشاءُ مِن عِبادِهِ أَن أَنذِروا أَنَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا أَنا فَاتَّقونِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He sends down the angels, with the inspiration [i.e., revelation] of His command, upon whom He wills of His servants, [telling them], “Warn that there is no deity except Me; so fear Me.”

(MELAYU)

Dia menurunkan para malaikat dengan (membawa) wahyu dengan perintah-Nya kepada sesiapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hamba-Nya, iaitu: “Peringatkanlah olehmu sekalian, bahawasanya tidak ada ilah melainkan Aku, maka hendaklah kamu bertakwa kepada-Ku”.

 

يُنَزِّلُ المَلائِكَةَ بِالرّوحِ مِن أَمرِهِ

Dia menurunkan para malaikat dengan (membawa) wahyu dengan perintah-Nya

Kalimah الرّوحِ dalam ayat ini ditafsirkan sebagai ‘wahyu’. Ini adalah kerana wahyu itu adalah roh bagi roh. Kerana jasad kita ada roh, bukan? Dan roh kita ini ada rohnya juga. Kalau jasad kita memerlukan makanan dari bumi iaitu dari tanah. Maka, roh kita ini memerlukan makanan dari wahyu.

 

عَلىٰ مَن يَشاءُ مِن عِبادِهِ

kepada siapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hamba-Nya,

Wahyu itu diturunkan kepada para anbiya’. Allah yang pilih siapakah yang layak menerima wahyu itu. Manusia jangan persoalkan. Musyrikin Mekah mempersoalkan kenapa Muhammad pula yang dapat wahyu, kenapa tidak mereka atau orang-orang yang lebih hebat (pada pandangan mereka) dari kalangan mereka? Allah mahu memberitahu, tidak perlu sibuk akan hal itu keraana Allah sendiri yang pilih.

 

أَن أَنذِروا أَنَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا أَنا

iaitu: “Peringatkanlah olehmu sekalian, bahawasanya tidak ada ilah melainkan Aku, 

Untuk apakah wahyu itu diberikan kepada para Rasul. Tujuannya adalah untuk memberi peringatan kepada manusia. Kalimah أَنذِروا ini adalah arahan kepada semua Rasul. Setiap Rasul yang diberikan wahyu itu dipertanggungjawabkan untuk memberi peringatan kepada ummat mereka.

 

فَاتَّقونِ

maka hendaklah kamu bertakwa kepada-Ku”.

Kesimpulan dari wahyu yang disampaikan kepada setiap Rasul itu, termasuk juga Quran adalah untuk mengajak manusia supaya bertaqwa kepada Allah. Iaitu dengan menjaga hukum dan sedar yang Allah sentiasa memerhatikan apa sahaja yang kita lakukan. Kita harus taat kepada hukum Allah kerana kita takut dengan balasan yang Allah boleh timpakan kepada mereka yang engkar.

Balaghah: Kalimah فَاتَّقونِ sepatutnya adalah ي tapi dihazafkan. Sepatutnya kalimah ini jadi begini: فَاتَّقونِي kerana ي bermaksud ‘Aku’. Apabila dihazafkan ya’ mutakallim (merujuk kepada yang bercakap), maka ia bermaksud ‘berterusan’ dan ‘sentiasa’. Oleh itu, kita kenalah terus bertaqwa kepada Allah, bukan sekejap-sekejap sahaja. Tidak ada masa yang kita tidak perlu bertaqwa kepada Allah dan tidak ada masa yang kita boleh berhenti dari bertaqwa kepada Allah.


 

Ayat 3: Dalil aqli afaqi. kenapa kita harus sembah dan doa hanya kepada Allah sahaja.

خَلَقَ السَّماواتِ وَالأَرضَ بِالحَقِّ ۚ تَعالىٰ عَمّا يُشرِكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He created the heavens and earth in truth. High is He above what they associate with Him.

(MELAYU)

Dia menciptakan langit dan bumi dengan hak. Maha Tinggi Allah daripada apa yang mereka persekutukan.

 

خَلَقَ السَّماواتِ وَالأَرضَ بِالحَقِّ

Dia menciptakan langit dan bumi dengan hak.

Allah yang menjadikan langit dan bumi ini dengan bersebab. Bukanlah Allah jadikan alam ini sia-sia sahaja (seperti fahaman sesetengah agama lain). Allah jadikan bumi ini sebagai ‘bekas ujian’ untuk kita. Kita harus beramal dengan amal kebaikan dan taat kepada Allah selama kita duduk di dunia ini. Allah menciptakan semuanya dengan benar dan tidak sia-sia, bahkan:

{لِيَجْزِيَ الَّذِينَ أَسَاءُوا بِمَا عَمِلُوا وَيَجْزِيَ الَّذِينَ أَحْسَنُوا بِالْحُسْنَى}

supaya Dia memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat jahat terhadap apa yang telah mereka kerjakan dan memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik dengan pahala yang lebih baik (syurga). (An-Najm:31)

Dan Allah jadikan alam ini untuk menzahirkan kebenaran – iaitu Allah Maha Pencipta dan Dialah sahaja yang patut ditaati.

Kalau kita tidak mahu taat kepada Allah, maka duduklah di bumi dan langit yang lain kerana langit dan bumi yang ini dijadikan oleh Allah. Kalau Dia yang jadikan alam ini dan kita tidak mahu taat, maka teruk sungguh perangai kita yang tidak mengenang jasa.

 

تَعالىٰ عَمّا يُشرِكونَ

Maha Tinggi Allah daripada apa yang mereka persekutukan.

Sifat-sifat Allah lebih tinggi dari yang manusia musyrikin itu sifatkan. Mereka ada menyamakan kedudukan makhluk dengan kedudukan Allah. Ini tidak mungkin kerana Sifat Allah lebih tinggi lagi dari itu. Sebagai contoh, ada yang berdoa memohon pertolongan kepada Nabi dan wali. Mereka kata Nabi dan wali itu boleh dengar walaupun mereka telah mati dan walaupun mereka itu tidak ada di depan. Ini tidak ada dalam nas syarak, maka ini adalah rekaan mereka semata. Mereka yang ada fahaman begitu sebenarnya telah ada iktikad di dalam hati mereka yang makhluk-makhluk itu ada sifat yang sama dengan Allah dan ini adalah syirik. Kerana yang Maha Mendengar adalah sifat Allah, bukan sifat makhluk.


 

Ayat 4: Dalil Aqli Anfusi. Allah Maha Tinggi, bagaimana pula dengan makhluk?

خَلَقَ الإِنسانَ مِن نُطفَةٍ فَإِذا هُوَ خَصيمٌ مُبينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He created man from a sperm-drop; then at once1 he is a clear adversary.

  • As soon as he becomes strong and independent.

(MELAYU)

Dia telah menciptakan manusia dari mani, tiba-tiba ia menjadi pembantah yang nyata.

 

خَلَقَ الإِنسانَ مِن نُطفَةٍ

Dia telah menciptakan manusia dari mani,

Allah memberitahu yang manusia itu dijadikan dari sperma (sebenarnya bukan dari ‘mani’ kerana yang menjadikan anak adalah sperma yang ada dalam mani itu). Allah menceritakan tentang kejadian manusia dari نُطفَةٍ ini kerana hendak mengingatkan manusia yang mereka dijadikan dari sesuatu yang hina. Bayangkan, kalaulah mani ini jatuh atas lantai rumah kita, tentu kita nak bersihkan kerana ia hina, bukan?

 

فَإِذا هُوَ خَصيمٌ مُبينٌ

tiba-tiba ia menjadi pembantah yang nyata.

Walaupun manusia dijadikan dari kejadian yang hina, tapi ramai yang berlagak. Degil untuk menerima kebenaran, degil untuk taat kepada Allah. Ini memang tidak patut. Kenanglah wahai manusia, kamu itu dijadikan dari sesuatu yang tidak ada nilai; kemudian Allah yang beri segala keperluan kamu. Maka apa punca yang kamu meninggi diri tidak mahu menerima kebenaran yang Allah sampaikan melalui para RasulNya itu?

Ini seperti firman Allah Swt.:

{أَوَلَمْ يَرَ الإنْسَانُ أَنَّا خَلَقْنَاهُ مِنْ نُطْفَةٍ فَإِذَا هُوَ خَصِيمٌ مُبِينٌ وَضَرَبَ لَنَا مَثَلا وَنَسِيَ خَلْقَهُ قَالَ مَنْ يُحْيِي الْعِظَامَ وَهِيَ رَمِيمٌ قُلْ يُحْيِيهَا الَّذِي أَنْشَأَهَا أَوَّلَ مَرَّةٍ وَهُوَ بِكُلِّ خَلْقٍ عَلِيمٌ}

Dan apakah manusia tidak memperhatikan bahawa Kami mencipta­kannya dari setitik air (mani), maka tiba-tiba ia menjadi musuh yang nyata! Dan dia membuat perumpamaan bagi Kami, dan dia lupa kepada kejadiannya; ia berkata, “Siapakah yang dapat menghidupkan tulang belulang yang telah hancur luluh?” Katakanlah, “Ia akan dihidupkan oleh Tuhan yang menciptakan kali yang pertama. Dan Dia Maha Mengetahui tentang segala makhluk.” (Yaasin:77-79)


 

Ayat 5: Allah ingatkan lagi dengan jasaNya. Ini adalah faedah dari segi jasmani/fizikal.

وَالأَنعامَ خَلَقَها ۗ لَكُم فيها دِفءٌ وَمَنافِعُ وَمِنها تَأكُلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the grazing livestock He has created for you; in them is warmth¹ and [numerous] benefits, and from them you eat.

  • i.e., in clothing, tents, furnishings, etc.

(MELAYU)

Dan Dia telah menciptakan binatang ternak untuk kamu; padanya ada (bulu) yang menghangatkan dan berbagai-bagai manfaat, dan sebahagiannya kamu makan.

 

وَالأَنعامَ خَلَقَها لَكُم

Dan Dia telah menciptakan binatang ternak untuk kamu; 

Apabila berfirman begini, maknanya Allah berbangga dengan ciptaan binatang. Allah yang menciptakan itu semua untuk kita. Kerana bumi ini adalah untuk kita tinggal. Maka Allah tidak biarkan kita tanpa kemudahan untuk hidup. Salah satu kemudahan yang Allah berikan adalah binatang ternak untuk kita gunakan.

 

لَكُم فيها دِفءٌ

padanya ada kehangatan

Dengan binatang ternak itu, boleh guna bulu-bulu binatang itu untuk kita memanaskan diri kita. Iaitu dengan memakai baju yang dibuat dari bulu biri-biri. Dengan baju itu, kita pakai untuk melindungi diri kita dari kesejukan alam ini. Jadi, bila kita pakai baju itu, kita teringatlah yang ini adalah salah satu dari nikmat Allah berikan kepada kita.

 

وَمَنافِعُ

dan berbagai-bagai manfaat,

Selain dari itu, banyak lagi manfaat lain. Allah tidak sebut satu persatu kerana kita boleh fikirkan sendiri. Antaranya kita minum susu, kulitnya pula kita gunakan untuk buat khemah dan benda-benda lain. Dengannya juga kita dapat jadikan kenderaan. Malah, banyak lagi.

 

وَمِنها تَأكُلونَ

dan sebahagiannya kamu makan.

Dan ada dari binatang ternak itu yang kita makan juga. Ianya adalah antara sumber makanan yang utama kepada kita. Bayangkan sekarang kalau kita tidak dapat makan daging, tentu susah hati kita, bukan?


 

Ayat 6: Ada lagi kelebihan yang Allah berikan kepada binatang ternak ini. Bukan untuk keperluan hidup sahaja. Kalau ayat sebelum ini adalah faedah fizikal (dapat ambil manfaat dari haiwan itu), sekarang adalah faedah rohani pula. Ada kesenangan apabila melihat binatang ternak itu.

وَلَكُم فيها جَمالٌ حينَ تُريحونَ وَحينَ تَسرَحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And for you in them is [the enjoyment of] beauty when you bring them in [for the evening] and when you send them out [to pasture].

(MELAYU)

Dan kamu memperoleh pandangan yang indah padanya, ketika kamu membawanya kembali ke kandang dan ketika kamu melepaskannya ke tempat penggembalaan.

 

وَلَكُم فيها جَمالٌ

Dan untuk kamu memperoleh pandangan yang indah padanya,

Binatang ternak ini adalah sesuatu yang kita suka lihat. Ayat ini mulanya diturunkan kepada bangsa Arab yang kebanyakan dari mereka mengembala binatang ternak. Kalau kita zaman sekarang pula, ada kesukaan kalau kita melihat binatang-binatang ternak ini makan di rumah, bermain sesama mereka. Ini kerana Allah tanamkan rasa kesukaan itu kepada diri kita.

 

حينَ تُريحونَ

ketika kamu membawanya kembali ke kandang

Keindahan binatang ternak ini lebih nampak ketika mereka kembali ke kandang. Waktu itu mereka telah kenyang dan bermain-main antara satu sama lain. Mereka dalam keadaan puas dan bergembira.

 

وَحينَ تَسرَحونَ

dan ketika kamu melepaskannya ke tempat penggembalaan.

Dan nampak keindahan pemandangan itu bila mana ketika pengembala melepaskan mereka dari kandang pada waktu pagi dan mereka bersegera untuk mencari makanan. Boleh nampak mereka keluar setelah satu hari berehat di kandang.

Perkara ini kalau mahu faham, boleh pergi ke ladang dan lihat sendiri dengan mata yang Allah anugerahkan kepada kita.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an.

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 016: an-Nahl. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s