Tafsir Surah al-Hijr Ayat 24 – 31 (Asal usul kejadian manusia)

Ayat 24: Setelah Allah kata Dia yang menghidupkan dan mematikan dan akan mewarisi apa sahaja yang ada dalam dunia ini, Allah beritahu yang Dia kenal kita semua.

وَلَقَد عَلِمنَا المُستَقدِمينَ مِنكُم وَلَقَد عَلِمنَا المُستَأخِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have already known the preceding [generations] among you, and We have already known the later [ones to come].

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Kami telah mengetahui orang-orang yang terdahulu daripada-mu dan sesungguhnya Kami mengetahui pula orang-orang yang terkemudian (daripadamu).

 

وَلَقَد عَلِمنَا المُستَقدِمينَ مِنكُم

Dan sesungguhnya Kami telah mengetahui orang-orang yang terdahulu daripada-mu dan

Semuanya Allah kenal, dari makhluk yang mula-mula dicipta. Allah kenal kerana Allah lah yang menjadikan kita semua.

Mungkin المُستَقدِمينَ bermaksud mereka yang melakukan kebaikan. Ini kerana kalimah المُستَقدِمينَ dari katadasar ق د م yang bermaksud ke hadapan. Dan dalam Qur’an, ia juga merujuk kepada penghantaran amal kebaikan ke hadapan (iaitu hantar ke langit dan amalan kebaikan itu akan menunggu kita – ini macam kita simpan amal kebaikan kita itu). Kalau ini maksud yang digunakan, maknanya Allah hendak memberitahu, Dia tahu siapa antara kita yang melakukan amal kebaikan. Tak payah nak cerita kepada orang lain, tak payah nak tunjuk kepada orang lain, kerana yang penting untuk tahu adalah Allah. Manusia lain tidak perlu tahu amal kebaikan kita. Kalau orang lain tahu, itu yang jadi bahaya kerana takut kita riak dan sum’ah pula dengan amalan kita itu.

 

وَلَقَد عَلِمنَا المُستَأخِرينَ

dan sesungguhnya Kami mengetahui pula orang-orang yang terkemudian

Dan Allah amat tahu golongan yang terkemudian. Iaitu mereka yang hidup selepas mereka yang awal, sampailah kepada makhluk yang dicipta dekat dengan Hari Kiamat.

Dan kalau kita ambil pandangan tentang amalan, المُستَأخِرينَ bermaksud orang yang mengakhirkan amal kebaikan mereka. Mereka lambat-lambatkan/lengah-lengahkan amal kebaikan mereka. Ini dinamakan taswif. Dan ini adalah bahaya. Kadang-kadang kita tahu yang kita kena buat amal kebaikan, tapi kita lengah-lengahkan (esok boleh buat, tahun depanlah aku mulakan.. ) Ini adalah salah satu dari senjata syaitan yang amat kuat. Apabila syaitan tidak dapat halang kita dari dapat ilmu tentang amal kebaikan, dia akan cuba guna senjata taswif ini – lengahkan kita dari buat amal kebaikan itu. Maknanya, Allah perhatikan sahaja kita yang menangguhkan untuk buat amal kebaikan ini – dah tahu kena buat, tapi tak buat-buat juga.

Maka ambillah pengajaran dari ayat ini. Fikirkan balik apakah amalan yang kita sentiasa tangguh-tangguhkan. Mungkin ada orang yang kita nak dakwah, tapi tak pergi-pergi lagi; mungkin dah ada rancangan nak pergi umrah, tapi ditangguhkan kerana sibuk dengan kerja dan keluarga; mungkin nak infak kepada seseorang, tapi tak beri lagi; mungkin dah teringin nak pergi ke kelas pengajian, tapi tak pergi-pergi lagi sebab nak tunggu masa lapang (kalau tunggu masa lapang, memang tidak akan ada). Janganlah kita tertipu dengan syaitan lagi.


 

Ayat 25: Apa yang Allah akan buat dengan golongan terdahulu dan terkemudian itu?

وَإِنَّ رَبَّكَ هُوَ يَحشُرُهُم ۚ إِنَّهُ حَكيمٌ عَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, your Lord will gather them; indeed, He is Wise and Knowing.

(MELAYU)

Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang akan menghimpunkan mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.

 

وَإِنَّ رَبَّكَ هُوَ يَحشُرُهُم

Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang akan menghimpunkan mereka. 

Semua makhluk terdahulu dan kemudian akan Allah kumpulkan di Mahsyar nanti. Tidak dapat dibayangkan keadaan di sana nanti – dari makhluk yang mula dicipta sampailah yang dicipta dekat dengan kiamat. Semuanya duduk di satu tempat bersesak-sesak!

 

إِنَّهُ حَكيمٌ عَليمٌ

Sesungguhnya Dia adalah Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.

Allah Maha Bijaksana dalam apa sahaja yang Dia lakukan. Kita sahaja yang tidak nampak kerana akal kita yang cetek.

Allah juga tahu apa sahaja yang kita lakukan. Kerana Dia Maha Mengetahui. Benda yang dalam hati kita pun Allah tahu juga, apatah lagi perkara lain?


 

Ayat 26: Allah tahu segala-galanya tentang kita. Mana mungkin Allah tidak tahu sedangkan Dia yang menjadikan kita semua? Maka sekarang Allah menceritakan tentang kejadian manusia itu. Allah nak ingatkan yang manusia dijadikan dari makhluk yang lemah.

وَلَقَد خَلَقنَا الإِنسانَ مِن صَلصالٍ مِن حَمَإٍ مَسنونٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We did certainly create man out of clay from an altered black mud.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk.

 

وَلَقَد خَلَقنَا الإِنسانَ مِن صَلصالٍ

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat kering

Inilah kejadian manusia, iaitu bagaimana Nabi Adam a.s. dijadikan. Bahan ramuan untuk menjadikan Nabi Adam ada disebut dalam Qur’an dan ini adalah salah satu dari ayatnya. Kena baca semua ayat baru dapat gambaran penuh. Dalam ayat ini disebut yang pada satu peringkat, Nabi Adam dalam bentuk صَلصالٍ – tembikar yang kering. Asalnya dari katadasar ص ل ص ل yang bermaksud ‘bunyi’. Ini adalah kerana kalau tembikar kering itu dijentik, ia ada mengeluarkan bunyi.

 

مِن حَمَإٍ مَسنونٍ

dari lumpur hitam yang diberi bentuk. 

Dan tembikar itu dibuat dari tanah lumpur yang hitam. Dan tanah lumpur itu bersifat مَسنونٍ (dibentuk). Kalimah مَسنونٍ dari س ن ن (sunnah, sunan diambil dari katadasar yang sama). Kerana sunnah itu adalah acuan yang kita kena ikut. Dan مَسنونٍ bermaksud acuan yang dibentuk. Atau, ia sudah ada bentuk tertentu kerana lama dalam keadaan begitu, terbiar sahaja.

Kalau tanah rumput, tentu ia berbau busuk. Tambahan pula ia terbiar sahaja, tidak ada nilai pun. Oleh itu, inilah asal kejadian manusia, maka Allah nak beritahu, kita ini tak patut nak sombong. Asal kejadian kita bukan hebat mana pun.


 

Ayat 27: Dan Allah ceritakan juga asal kejadian jin. Jin dan manusia adalah dua makhluk yang ada taklif (tanggungjawab dalam syariat).

وَالجانَّ خَلَقناهُ مِن قَبلُ مِن نارِ السَّمومِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the jinn We created before from scorching fire.

(MELAYU)

Dan Kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) dari api yang sangat panas.

 

وَالجانَّ خَلَقناهُ مِن قَبلُ

Dan Kami telah menciptakan jin sebelum itu

Jin telah dicipta awal lagi sebelum kita. Sebelum kita duduk di dunia ini, merekalah yang menghuni bumi ini dan diberi dengan tanggungjawab dalam beragama.

Dalam Qur’an, hanya disebut Malaikat, manusia dan juga jin sebagai makhluk yang ada akal. Kalau makhluk yang lain, kita tidak tahu. Ada juga yang bertanya tentang makhluk yang hidup sebelum jin, siap ada nama tertentu pula. Tapi kita tidak tahu tentang perkara itu dan perkara ini termasuk dalam perkara ghaib. Kalau perkara ghaib, kita memerlukan dalil untuk menerimanya. Jadi tidak perlu sibukkan diri dengan mencari maklumat itu kerana ianya tidak penting pun. Kalau penting, Allah dah beritahu dah kepada kita, bukan?

 

مِن نارِ السَّمومِ

dari api yang sangat panas.

Kalau manusia dijadikan dari tanah, jin pula dijadikan dari api yang membahang. Inilah asal kejadian asal mereka, iaitu bapa mereka al-Jan (seperti bapa kita adalah Nabi Adam a.s.) Dan sepertimana kita sekarang tidak lagi dijadikan dari tanah, begitu juga jin-jin sekarang tidak dijadikan dari api dah.


 

Ayat 28: Dalam Surah Baqarah ayat 30, Allah memberitahu yang Dia hendak menjadikan manusia sebagai khalifah di bumi. Tapi tidak disebutkan tentang bagaimana manusia itu akan dijadikan. Maklumat itu tersebut dalam ayat ini.

وَإِذ قالَ رَبُّكَ لِلمَلائِكَةِ إِنّي خالِقٌ بَشَرًا مِن صَلصالٍ مِن حَمَإٍ مَسنونٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [mention, O Muḥammad], when your Lord said to the angels, “I will create a human being out of clay from an altered black mud.

(MELAYU)

Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku akan menciptakan seorang manusia dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk,

 

وَإِذ قالَ رَبُّكَ لِلمَلائِكَةِ

Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat:

Sebelum Allah menjadikan manusia sebagai khalifah di mukabumi, Allah telah beritahu rancanganNya ini kepada para malaikat. Ini sebagai pemberitahuan sahaja. Bukanlah Allah berbincang dan minta pendapat malaikat pula sebelum menjadikan Nabi Adam. Keputusan tetap di tangan Allah – Allah tetap buat juga walaupun malaikat atau jin tidak setuju.

 

إِنّي خالِقٌ بَشَرًا مِن صَلصالٍ مِن حَمَإٍ مَسنونٍ

“Sesungguhnya Aku akan menciptakan seorang manusia dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk,

Allah beritahu bagaimana Dia akan menjadikan manusia itu. Tafsir ini sudah diberitahu di atas tadi.


 

Ayat 29: Setelah dibentuk Nabi Adam a.s. dari tanah liat itu, kemudian menjadi tembikar, Allah meniupkan roh.

فَإِذا سَوَّيتُهُ وَنَفَختُ فيهِ مِن روحي فَقَعوا لَهُ ساجِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when I have proportioned him and breathed into him of My [created] soul,¹ then fall down to him in prostration.”

  • The element of life and soul which Allāh created for that body, not His own spirit or part of Himself (as some mistakenly believe).

(MELAYU)

Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya, dan telah meniupkan kedalamnya ruh (ciptaan)-Ku, maka tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud.

 

فَإِذا سَوَّيتُهُ

Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya,

Maksudnya setelah Allah menjadikan bentuk Nabi Adam itu.

 

وَنَفَختُ فيهِ مِن روحي

dan setelah Aku meniupkan ke dalamnya ruh (ciptaan)-Ku, 

Setelah dijadikan bentuk, allah telah tiupkan roh ke dalam jasad itu. Kerana kalau tidak ada roh, tidaklah jadi manusia (jadi tembikar sahaja).

Perkataan روحي (RohKu) menjadi perbincangan yang hebat juga di kalangan manusia, terutama di kalangan ahli sufi dan tarekat. Mereka kata roh itu Roh Allah (Allah tiupkan sebahagian dari RohNya). Ini adalah salah sama sekali kerana itu sudah mengatakan Nabi Adam itu adalah sebahagian dari Allah pula. Sebenarnya Allah cuma mengatakan yang Nabi Adam telah dimasukkan dengan roh ciptaanNya. Begini, kalau saya kata: “Itu beg saya”, adakah itu bermaksud beg itu sebahagian dari saya? Tentu tidak, bukan? Maksud saya adalah beg itu saya punya. Maka roh yang Allah tiupkan ke dalam jasad Nabi Adam itu adalah roh ciptaan Allah dan ianya adalah kepunyaan Allah. Jadi, Nabi Adam telah ditiupkan roh ciptaan Allah dan kita semua pun. Jadi tidak ada kelebihan keterlaluan pada Nabi Adam. Dan begitu juga dengan Nabi Isa. Kejadian mereka itu adalah kejadian yang telah ditentukan oleh Allah. Bukanlah apabila Allah kata Dia tiupkan roh ke dalam jasad Nabi Adam dan Nabi Isa, mereka ada kelebihan ketuhanan pula. Oleh itu, tidak boleh nak sembah Nabi Isa.

 

فَقَعوا لَهُ ساجِدينَ

maka tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud.

Kalimah فَقَعوا adalah kata arahan (fi’il amar). Ia dari kalimah و ق ع yang bermaksud ‘jatuh’. Allah suruh para malaikat jatuh tunduk untuk sujud kepada Nabi Adam a.s.

Dari ayat ini, kita dapat tahu yang Allah sebut perkara ini sebelum Nabi Adam dijadikan lagi. Maknanya, arahan untuk sujud telah diberikan sebelum baginda dijadikan lagi. Oleh itu, Iblis dah tahu dah arahan ini kerana Allah dah beritahu awal-awal lagi dah. Tapi kita tahu yang Iblis sombong kerana sangka dia lebih mulia dari Nabi Adam kerana dia dijadikan dari api dan Nabi Adam dijadikan dari tanah. Dia guna logik akal sahaja (api naik tinggi dan tanah itu di bawah – jadi api lebih mulia dari tanahlah kalau begitu). Perkara ini ada disebut dalam ayat lain:

{أَنَا خَيْرٌ مِنْهُ خَلَقْتَنِي مِنْ نَارٍ وَخَلَقْتَهُ مِنْ طِينٍ}

Aku lebih baik daripadanya, kerana Engkau ciptakan aku dari api, sedangkan dia Engkau ciptakan dari tanah. (Al A’raf: 12)

Tapi Allah telah beritahu yang Dia akan tiupkan roh ke dalam jasad Adam itu. Maka kemuliaan Nabi Adam bukan kerana tanah tapi kerana roh itu.


 

Ayat 30: Setelah diberikan arahan kepada malaikat, mereka terus sujud.

فَسَجَدَ المَلائِكَةُ كُلُّهُم أَجمَعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So the angels prostrated – all of them entirely,

(MELAYU)

Maka bersujudlah para malaikat itu semuanya bersama-sama,

 

Malaikat semua sekali sujud. Apabila ada huruf ف pada kalimah فَسَجَدَ itu, ia bermaksud mereka terus sujud, tanpa lengah. Mereka tidaklah kena fikir dulu, berbincang sesama mereka dan sebagainya. Itu semua tidak terjadi, kerana mereka terus sujud. Mereka ikut arahan Allah. Walaupun ada dikatakan tidak boleh sujud kepada makhluk, tapi kita kena ingat yang arahan ini adalah arahan dari Allah. Kalau Allah sendiri yang suruh, maka kita tidak ada pilihan untuk memikirkan samada boleh atau tidak untuk tidak melakukannya.

Kalimah كُلُّهُم sudah menunjukkan semua malaikat sujud tapi Allah tambah dengan kalimah أَجمَعونَ pula sebagai penekakan dalam balaghah. Maknanya tidak ada langsung-langsung yang tidak sujud. Disebut ‘semua sekali’ kerana nak jelaskan yang iblis bukan malaikat. Kerana malaikat semua sekali sujud tapi iblis tidak sujud – menunjukkan iblis bukanlah malaikat.


 

Ayat 31: Siapa yang tidak sujud?

إِلّا إِبليسَ أَبىٰ أَن يَكونَ مَعَ السّاجِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Except Iblees;¹ he refused to be with those who prostrated.

  • Who was of the jinn. See 18:50.

(MELAYU)

kecuali iblis. Ia enggan ikut besama-sama (malaikat) yang sujud itu.

 

إِلّا إِبليسَ

kecuali iblis.

Kita pun telah tahu bahawa Iblis tidak sujud. Ini kita dapat tahu dari ayat-ayat dalam surah lain, antaranya Baqarah:34.

 

أَبىٰ أَن يَكونَ مَعَ السّاجِدينَ

Ia enggan ikut besama-sama yang sujud.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut bahawa semua sekali malaikat telah sujud. Dan sekarang disebut bahawa Iblis tidak sujud. Ini sebagai dalil tambahan yang Iblis itu bukan jenis malaikat tapi jenis jin. Ini telah diberitahu dengan jelas dalam Kahf:50.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 015: al-Hijr. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s