Tafsir Surah Ibrahim Ayat 38 – 42 (Doa Nabi Ibrahim)

Ayat 38: Ini adalah sambungan dari doa Nabi Ibrahim a.s.

رَبَّنا إِنَّكَ تَعلَمُ ما نُخفي وَما نُعلِنُ ۗ وَما يَخفىٰ عَلَى اللهِ مِن شَيءٍ فِي الأَرضِ وَلا فِي السَّماءِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Our Lord, indeed You know what we conceal and what we declare, and nothing is hidden from Allāh on the earth or in the heaven.

(MELAYU)

Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau mengetahui apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami lahirkan; dan tidak ada sesuatupun yang tersembunyi bagi Allah, baik yang ada di bumi mahupun yang ada di langit.

 

رَبَّنا إِنَّكَ تَعلَمُ ما نُخفي وَما نُعلِنُ

Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau mengetahui apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami lahirkan; 

Nabi Ibrahim mengaku yang Allah Maha Tahu apa yang kami sembunyikan dalam hati dan apa yang kita cakap di lidah kita. Maka banyaklah yang kita cakap dan banyak lagi yang kita tidak sebut pun – semuanya Allah tahu. Ini adalah kesempurnaan ilmu Allah SWT.

Maksud ayat ini, Nabi Ibrahim hendak mengatakan yang Allah mengetahui maksud baginda dalam doanya dan apa yang baginda kehendaki dalam doa itu untuk penduduk kota suci ini. Sesungguhnya hal itu tiada lain menuju kepada redhaNya dan mengikhlaskan diri kepadaNya.

 

وَما يَخفىٰ عَلَى اللهِ مِن شَيءٍ فِي الأَرضِ وَلا فِي السَّماءِ

dan tidak ada sesuatupun yang tersembunyi bagi Allah, baik yang ada di bumi mahupun yang ada di langit.

Dan ilmu Allah itu amat luas sampai tidak ada yang tersembunyi dari pengatahuan Allah. Tidak kira samada apa yang terjadi itu di bumi atau di langit.

Maka kerana itu, hendaklah kita sembah Allah sahaja dan doa kepada Allah sahaja. Kerana tidak ada entiti lain yang ada sifat sebegini.


 

Ayat 39: Sekarang Nabi Ibrahim memuji lagi Allah. Begitulah, kita dalam berdoa kena puji Allah banyak-banyak. Gunakan pujian itu sebagai tawasul kita. Bukannya kita gunakan perantaraan dalam bentuk Nabi, wali dan malaikat.

الحَمدُ لِلهِ الَّذي وَهَبَ لي عَلَى الكِبَرِ إِسماعيلَ وَإِسحاقَ ۚ إِنَّ رَبّي لَسَميعُ الدُّعاءِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Praise to Allāh, who has granted to me in old age Ishmael and Isaac. Indeed, my Lord is the Hearer of supplication.

(MELAYU)

Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku di hari tua(ku) Ismail dan Ishaq. Sesungguhnya Tuhanku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) doa.

 

الحَمدُ لِلهِ الَّذي وَهَبَ لي عَلَى الكِبَرِ إِسماعيلَ وَإِسحاقَ

Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku di hari tua(ku) Ismail dan Ishaq. 

Nabi Ibrahim a.s. pun terus memuji dan bersyukur kepada Allah yang telah memberi anak kepadanya, walaupun baginda dah tua.

Kita boleh lihat dalam ayat ini yang Nabi Ismail a.s. disebut dahulu kerana baginda lebih tua dari Nabi Ishaq a.s.

 

إِنَّ رَبّي لَسَميعُ الدُّعاءِ

Sesungguhnya Tuhanku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) doa.

Allah amat mendengar doa makhluk. Allah mendengar untuk kabulkan, bukan sekadar dengar sahaja. Ini kerana kalau setakat dengar, kita pun dengar juga, bukan? Tapi kita bukan buat apa pun. Yang kita hendak adalah supaya dimakbulkan.

Tapi kalau ada yang minta kepada roh Nabi, wali dan malakat, macam mana pula? Adakah mereka itu mendengar? Tentu tidak. Nabi dan wali dah mati dan malaikat pula bukan kerja mereka untuk dengar doa kita dan sampaikan doa kita kepada Allah. Itu adalah perbuatan yang sia-sia.


 

Ayat 40: Selepas puji Allah, maka ini adalah doa Nabi Ibrahim a.s.

رَبِّ اجعَلني مُقيمَ الصَّلاةِ وَمِن ذُرِّيَّتي ۚ رَبَّنا وَتَقَبَّل دُعاءِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

My Lord, make me an establisher of prayer, and [many] from my descendants. Our Lord, and accept my supplication.

(MELAYU)

Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat, ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku.

 

رَبِّ اجعَلني مُقيمَ الصَّلاةِ وَمِن ذُرِّيَّتي

Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat,

Baginda minta supaya Allah jadikanlah baginda sentiasa mengerjakan solat. Ini adalah kerana solat itu amalan ibadat yang amat penting. Memerlukan kekuatan untuk terus mengerjakannya. Ini kita pun tahu, kerana berapa ramai dari kalangan orang yang mengaku muslim, tapi tak solat pun.

Kenapa baginda minta kepada Allah? Kerana baginda tahu yang untuk terus mengerjakan solat, memerlukan taufik dari Allah, bukan dari kekuatan diri kita. Kalau setakat kekuatan diri kita, tidak dapat melawan nafsu dan bisikan syaitan yang tidak suka kita solat.

Baginda pertamanya minta untuk diri baginda dan kemudian baginda minta Allah jadikan juga anak cucu dari keturunan baginda pun tetap mendirikan solat. Ini menunjukkan baginda amat mementingkan amalan agama anak cucu baginda. Baginda bukan hanya kisah tentang baginda sahaja, tapi anak cucunya. Maka kita pun kenalah ambil pengajaran dari baginda ini. Kita pun kena risau tentang anak cucu kita. Kita kena beri mereka pengetahuan agama dan kena berdoa supaya mereka pun dijaga agama mereka.

 

رَبَّنا وَتَقَبَّل دُعاءِ

Ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku.

Dan akhirnya baginda berdoa supaya Allah terimalah doa baginda itu. Ini juga adalah adab dalam berdoa. Kita akhir sekali tunjukkan kepada Allah yang kita memang berharap Allah perkenankan doa kita. Bila berdoa, kita kena ada harapan yang penuh – bukan sambil lewa sahaja (nak beri boleh, tak beri pun tidak apa). Kita kena harap sungguh-sungguh. Kalau kita minta sambil lewa sahaja, apa agaknya Allah akan balas? Bayangkan kalau ada orang minta tolong kita, tapi sambil lewa dan macam nak tak nak sahaja? Tentu kita nak layan pun malas!

Kalau dari mula doa baginda, baginda sebut dirinya dengan kalimah رَبِّ. Kemudian baginda ajak anak-anaknya ikut sekali berdoa dan kerana itu digunakan kalimah رَبَّنا.


 

Ayat 41: Penutup doa Nabi Ibrahim a.s.

رَبَّنَا اغفِر لي وَلِوالِدَيَّ وَلِلمُؤمِنينَ يَومَ يَقومُ الحِسابُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Our Lord, forgive me and my parents and the believers the Day the account is established.”

(MELAYU)

Ya Tuhan kami, beri ampunlah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat)”.

 

رَبَّنَا اغفِر لي وَلِوالِدَيَّ وَلِلمُؤمِنينَ

Ya Tuhan kami, beri ampunlah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin

Sebelum ini baginda doa untuk diri baginda anak cucu keturunan baginda. Sekarang baginda minta Allah ampunilah dosa baginda dan dosa ibubapa baginda. Tapi bukankah ayah baginda seorang pembuat berhala dan musyrik? Bukankah tidak boleh mendoakan orang yang telah musyrik? Jadi kita kena sedar yang hal ini dilakukan oleh Nabi Ibrahim sebelum ia berlepas diri dari ayahnya, setelah ia mengetahui dengan jelas bahawa ayahnya adalah musuh Allah Swt.

Dan baginda doakan untuk orang mukmin. Jadi doa ini untuk umum.

 

يَومَ يَقومُ الحِسابُ

pada hari terjadinya hisab

Penting dosa diampunkan pada hari tertegaknya hisab (Mahkamah Pengadilan Allah). Waktu itu, kalau kita ada bawa dosa, memang tidak tentu selamat. Kerana kalau Allah tidak ampunkan pada hari itu, maka kita akan dimasukkan ke dalam neraka, walaupun kita boleh beriman, beramal dengan tauhid. Ini adalah kerana dosa itu kena dibersihkan. Tapi kalau Allah ampunkan terus, maka kita akan terus masuk ke dalam syurga dan itulah harapan kita. Kerana kita tidak akan sanggup untuk menghadapi neraka itu walaupun sesaat.

Begitulah doa Nabi Ibrahim a.s. yang Allah naqalkan dalam Qur’an ini. Ini adalah kerana ia adalah doa yang amat baik. Doa yang Allah ajar dalam Qur’an ini amat baik untuk diamalkan. Sebab itulah Allah letak dalam Qur’an. Tambahan pula ianya adalah doa dari Nabi. Ada lebih kurang dalam 70 lebih doa-doa yang Allah ajar dalam Qur’an. Maka kenalah kita tahu dan amalkan, sekurangnya ada kita buat satu setiap hari. Boleh periksa di sini untuk senarai doa-doa itu.


 

Ayat 42: Sekarang masuk ke peristiwa ke-enam dalam surah ini. Sudah masuk bahagian baru dari surah ini. Sebelum ini tadi disebut doa Nabi Ibrahim a.s. Orang Mekah mungkin sangka mereka akan dapat bahagian dari doa itu (kerana mereka kata mereka keturunan Nabi Ibrahim). Jadi Allah nak bagitahu yang mereka jangan berharap.

Dan ayat ini juga adalah tasliah (pujukan) kepada Nabi Muhammad dan orang mukmin. Ini adalah kerana para sahabat waktu itu sedang ditindas. Allah selalu ingatkan mereka untuk bersabar. Dan dalam ayat ini, Allah hendak beritahu yang apa sahaja kekerasan yang dikenakan kerana mereka waktu itu, akan dibalas kepada orang yang kejam terhadap mereka.

Bagaimana ayat ini menjadi tasliah? Kerana kalau kita tahu yang orang yang kejam kepada kita akan dibalas, kita akan rasa lega sikit, bukan?

وَلا تَحسَبَنَّ اللهَ غافِلًا عَمّا يَعمَلُ الظّالِمونَ ۚ إِنَّما يُؤَخِّرُهُم لِيَومٍ تَشخَصُ فيهِ الأَبصارُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And never think that Allāh is unaware of what the wrongdoers do. He only delays them [i.e., their account] for a Day when eyes will stare [in horror].

(MELAYU)

Dan janganlah sekali-kali kamu (Muhammad) mengira, bahawa Allah lalai dari apa yang diperbuat oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnya Allah memberi tangguh kepada mereka sampai hari yang pada waktu itu mata (mereka) terbelalak,

 

وَلا تَحسَبَنَّ اللهَ غافِلًا عَمّا يَعمَلُ الظّالِمونَ

Dan janganlah sekali-kali kamu mengira, bahawa Allah lalai dari apa yang diperbuat oleh orang-orang yang zalim.

Jangan sekali-kali (ada penekanan dalam ayat ini dengan syaddah pada huruf ن itu) kamu sangka yang Allah tidak tahu tentang apa yang mereka lakukan terhadap orang mukmin. Jangan kamu sangka Allah lalai leka tentang perbuatan mereka. Ini penting untuk diingatkan kerana nampak macam Allah tidak peduli kerana tak hukum lagi mereka yang zalim itu.

Begitulah juga, kadang-kadang kita lihat orang yang zalim ini, macam tidak ada apa kesan pun kepada mereka – mereka masih kuat, masih boleh buat zalim, dan lama pula mereka hidup. Allah nak beritahu yang kita kena sabar sahaja. Semua kezaliman yang kita terima itu akan dikira sebagai pahala buat kita kalau kita bersabar.

 

إِنَّما يُؤَخِّرُهُم لِيَومٍ تَشخَصُ فيهِ الأَبصارُ

Sesungguhnya Allah memberi tangguh kepada mereka sampai hari yang pada waktu itu mata (mereka) terbelalak,

Allah nak beritahu yang Dia tidak leka, tapi Allah hanya lengahkan sahaja hukuman ke atas mereka. Sampai bila? Sehingga sampai pada hari yang mata-mata makhluk akan terbelalak. Kalimah تَشخَصُ dari ش خ ص yang bermaksud mata tidak boleh tutup. Maknanya, mata yang terbeliak kerana terkejut sangat pada hari itu kerana melihat segala kejadian yang menakjubkan dan menakutkan. Waktu itu, Allah akan balas kezaliman yang dilakukan oleh mereka yang zalim.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 014: Ibrahim. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s