Tafsir Surah ar-Ra’d Ayat 17 – 18 (Perumpamaan yang indah)

Ayat 17: Ayat tanbih ke 6. Ini adalah perumpamaan dari Allah.

أَنزَلَ مِنَ السَّماءِ ماءً فَسالَت أَودِيَةٌ بِقَدَرِها فَاحتَمَلَ السَّيلُ زَبَدًا رابِيًا ۚ وَمِمّا يوقِدونَ عَلَيهِ فِي النّارِ ابتِغاءَ حِليَةٍ أَو مَتاعٍ زَبَدٌ مِثلُهُ ۚ كَذٰلِكَ يَضرِبُ اللهُ الحَقَّ وَالباطِلَ ۚ فَأَمَّا الزَّبَدُ فَيَذهَبُ جُفاءً ۖ وَأَمّا ما يَنفَعُ النّاسَ فَيَمكُثُ فِي الأَرضِ ۚ كَذٰلِكَ يَضرِبُ اللهُ الأَمثالَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He sends down from the sky, rain, and valleys flow according to their capacity, and the torrent carries a rising foam. And from that [ore] which they heat in the fire, desiring adornments and utensils, is a foam like it. Thus Allāh presents [the example of] truth and falsehood. As for the foam, it vanishes, [being] cast off; but as for that which benefits the people, it remains on the earth. Thus does Allāh present examples.

(MALAY)

Allah telah menurunkan air (hujan) dari langit, maka mengalirlah air di lembah-lembah menurut ukurannya, maka arus itu membawa buih yang naik ke atas. Dan dari apa (logam) yang mereka lebur dalam api untuk membuat perhiasan atau alat-alat, ada (pula) buihnya seperti buih arus itu. Demikianlah Allah membuat perumpamaan (bagi) yang benar dan yang bathil. Adapun buih itu, akan hilang sebagai sesuatu yang tak ada harganya; adapun yang memberi manfaat kepada manusia, maka ia tetap di bumi. Demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan.

 

أَنزَلَ مِنَ السَّماءِ ماءً

Allah telah menurunkan air dari langit,

Allah hantar air dari langit. Iaitu dalam bentuk air hujan.

 

فَسالَت أَودِيَةٌ بِقَدَرِها

maka mengalirlah air di lembah-lembah menurut ukurannya,

Air yang diturunkan itu akan lalu di lembah-lembah di bumi mengikut kadarnya masing-masing. Iaitu ia akan memenuhi setakat ruang yang ada yang boleh diisi. Ada lembah yang cetek dan ada yang dalam. Kalau air itu lebih dari kawasan yang diisi, maka air itu akan ambil tempat lain pula, macam yang terjadi apabila terjadinya banjir. Bila terjadi banjir, orang tentu tidak suka.

Ini adalah isyarat kepada dakwah dari wahyu, yang memenuhi bumi Mekah. Dakwah yang Nabi sampaikan itu penuh sampai Musyrikin Mekah tidak boleh terima lagi maka mereka buat keputusan untuk menghalau Nabi.

Hal ini juga mengisyaratkan dan menggambarkan tentang hati manusia dan perbezaan-perbezaannya. Di antara hati itu ada yang dapat memuat ilmu yang banyak, di antaranya ada pula yang tidak dapat memuat ilmu yang banyak, melainkan sedikit, kerana hatinya sempit.

 

فَاحتَمَلَ السَّيلُ زَبَدًا رابِيًا

maka arus itu membawa buih yang naik ke atas.

Kembali lagi kepada air yang mengalir di dalam lembah-lembah itu. Arus air itu juga membawa bersamanya, buih yang naik timbul di atas permukaan air. Buih itu mengandungi kekotoran dan kerana itu ia naik ke atas. Arus itu akan membawa buih yang naik ke atas air untuk dibersihkan.

Ini adalah perumpamaan antara orang mukmin dan orang kafir. Orang mukmin itu adalah air yang bersih itu tapi orang kafir adalah seperti buih yang kotor itu. Oleh itu, ada perbezaan antara kedua mereka.

 

وَمِمّا يوقِدونَ عَلَيهِ فِي النّارِ

Dan dari apa (logam) yang mereka lebur dalam api 

Sekarang diberikan pula elemen yang lain: logam yang manusia bakar.

 

ابتِغاءَ حِليَةٍ أَو مَتاعٍ زَبَدٌ مِثلُهُ

untuk membuat perhiasan atau alat-alat, ada (pula) buihnya seperti buih arus itu.

Manusia membakar logam untuk dilembutkan supaya mudah dibuat perhiasan atau alat-alat keperluan yang lain. Logam itu boleh jadi samada emas, tembaga atau perak.

Apabila dibakar, pada leburan logam itu juga ada buih (macam air di lembah itu juga ada buih). Buih pada logam cair itu adalah tahi emas, tahi besi atau tahi timah.

 

كَذٰلِكَ يَضرِبُ اللهُ الحَقَّ وَالباطِلَ

Demikianlah Allah membuat perumpamaan (bagi) yang benar dan yang bathil. 

Yakni apabila perkara yang hak dan perkara yang bathil bertemu, maka perkara yang bathil tidak akan kuat dan pasti lenyap. Perihalnya sama dengan buih, tidak akan bertahan lama dengan air, tidak pula dengan emas, perak, dan logam lainnya yang dilebur dengan api, melainkan pasti akan menyurut dan lenyap.

Jadi ada perumpamaan menggunakan air dan satu lagi menggunakan logam. Allah beri perumpamaan antara kebenaran dan bathil. Dalam perumpamaan ini, air disamakan dengan besi kerana kedua-duanya ada buih yang mengandungi kekotoran. Tapi kenapa pakai air dan satu lagi pakai logam? Ada beza antara keduanya. Satu buih kerana air dan satu lagi buih yang naik kerana panas. Antara kedua ini, mana yang senang? Mari kita lihat:

Allah nak bandingkan antara orang kafir dan orang mukmin. Di Mekah, ada orang mukmin yang diibaratkan sebagai air dan musyrikin Mekah yang diibaratkan sebagai buih pada air itu. Ini senang sahaja untuk dilihat dan dipisahkan.

Akan tetapi di Madinah pun ada juga orang kafir iaitu golongan munafik. Mereka mengaku yang mereka itu beriman tapi sebenarnya dalam hati mereka tidak beriman. Allah menggunakan perumpamaan buih pada besi pula untuk mereka. Kerana kalau dengan air, senang buih itu nak naik ke atas. Ini kerana orang kafir di Mekah itu senang nampak dan dikenali, kerana mereka tidak mengaku Muslim pun.

Tapi orang munafik itu lain sekali. Mereka itu ada dalam masyarakat Islam, tinggal bersama dan malah solat bersama. Oleh kerana itu bukan senang nak bezakan mana yang mukmin dan mana yang munafik. Oleh kerana itu memang susah sikit nak keluarkan kekotoran itu macam juga susah untuk keluarkan kekotoran dari dalam logam. Jadi ‘kepanasan’ yang dimaksudkan adalah dengan peperangan demi peperangan yang akan mengeluarkan siapa mereka yang sebenarnya. Apabila dikerahkan umat Islam untuk berjihad di dalam peperangan, orang munafik tidak mahu terlibat dan mereka akan memberi berbagai alasan untuk tidak infak untuk peperangan dan menyerahkan diri mereka masuk ke dalam pasukan tentera.

Apabila semua panas dek kerana peperangan itu, maka sifat mereka yang sebenarnya akan keluar dan bolehlah orang mukmin tahu mana satulah antara mereka yang munafik supaya mudah untuk mengeluarkan mereka dari golongan umat Islam. Mereka ini perlu dikenalpasti oleh pemerintah kerana mereka itu akan merosakkan masyarakat kalau tidak dikeluarkan. Tapi peperangan ini terkena kepada semua orang, maknanya semua Islam kena lalui.

Allah beritahu di atas, yang dari logam itu (emas, besi atau tembaga), boleh dijadikan perhiasan atau barang kegunaan lain seperti periuk dan sebagainya. Antara dua jenis ini, tentu yang kita lebih suka adalah dalam bentuk perhiasan. Ini isyarat kepada dua kemungkinan yang akan didapati oleh orang Islam yang pergi berjihad. Apabila muslim pegi perang, ada dua kemungkinan yang akan terjadi – yang utama adalah: mati syahid masuk syurga. Dan yang rendah sikit dari itu adalah mendapat kejayaan semasa hidup (menang perang dan dapat kutip Harta Ghanimah). Antara dua perkara ini tidak sama. Walaupun kedua-dua bagus tapi ada yang lebih baik dari satunya. Oleh itu, perumpamaan mati syahid adalah perhiasan dan perumpamaan barang lain adalah menang dan mendapat kemenangan.

Begitulah Allah beri penerangan kepada kita supaya kita dapat bayangkan dan dapat faham. Ini penting untuk diketahui kerana begitulah perjalanan dakwah.

 

فَأَمَّا الزَّبَدُ فَيَذهَبُ جُفاءً

Adapun buih itu, akan hilang sebagai sesuatu yang tak ada harganya; 

Kembali kepada perumpamaan buih kembali. Kedua-dua jenis buih yang dari air dan dari bakaran logam itu, akan dibuang. Begitulah sifat benda yang kotor, memang tidak diperlukan dan tidak disukai, oleh itu akan dibuang. Oleh itu, jangan risau tentang orang kafir itu, mereka akan dibuang macam sampah oleh Allah SWT.

 

وَأَمّا ما يَنفَعُ النّاسَ فَيَمكُثُ فِي الأَرضِ

adapun yang memberi manfaat kepada manusia, maka ia tetap di bumi.

Sedangkan air yang bermanfaat dan logam yang baik, akan tetap menunggu sesuatu. Kalimah مكث bermaksud ‘tunggu sesuatu’. Ini seperti orang Islam yang baik, mereka memang ada di dunia, tapi mereka menunggu untuk sesuatu yang lebih baik. Mereka menunggu untuk mati dan dimasukkan ke dalam syurga.

Adapun barang yang bermanfaat bagi manusia, ia adalah emas dan perak; dan yang bermanfaat bagi bumi ialah air yang diserap oleh bumi sehingga menjadi subur kerananya. Hal ini dijadikan perumpamaan bagi amal saleh yang melestarikan pelakunya, sedangkan amal buruk akan menyurutkan pelakunya, sebagaimana surutnya buih itu. Demikian pula halnya petunjuk dan perkara yang hak, keduanya datang dari sisi Allah. Barang siapa yang mengerjakan perkara yang hak, maka ia akan memperoleh pahalanya, dan amalnya itu akan lestari sebagaimana lestarinya sesuatu yang bermanfaat bagi manusia di bumi.

 

كَذٰلِكَ يَضرِبُ اللهُ الأَمثالَ

Demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan.

Begitulah Allah berikan perumpamaan. Allah kumpulkan zaman Mekah dan zaman Madinah dalam satu ayat ini. Hebat sekali dan alangkah indah kalau kita dapat faham.

Sebahagian ulama Salaf mengatakan, “Apabila aku membaca suatu masal (perumpamaan) dari Al-Qur’an, lalu aku tidak memahaminya, maka aku menangisi diriku sendiri, kerana Allah Swt. telah berfirman: ‘dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.’ (Al-Ankabut: 43).”


 

Ayat 18:

لِلَّذينَ استَجابوا لِرَبِّهِمُ الحُسنىٰ ۚ وَالَّذينَ لَم يَستَجيبوا لَهُ لَو أَنَّ لَهُم ما فِي الأَرضِ جَميعًا وَمِثلَهُ مَعَهُ لَافتَدَوا بِهِ ۚ أُولٰئِكَ لَهُم سوءُ الحِسابِ وَمَأواهُم جَهَنَّمُ ۖ وَبِئسَ المِهادُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For those who have responded to their Lord is the best [reward], but those who did not respond to Him – if they had all that is in the earth entirely and the like of it with it, they would [attempt to] ransom themselves thereby. Those will have the worst account, and their refuge is Hell, and wretched is the resting place.

(MALAY)

Bagi orang-orang yang memenuhi seruan Tuhannya, (disediakan) pembalasan yang baik. Dan orang-orang yang tidak memenuhi seruan Tuhan, sekiranya mereka mempunyai semua (kekayaan) yang ada di bumi dan (ditambah) sebanyak isi bumi itu lagi besertanya, niscaya mereka akan menebus dirinya dengan kekayaan itu. Orang-orang itu disediakan baginya hisab yang buruk dan tempat kediaman mereka ialah Jahanam dan itulah seburuk-buruk tempat kediaman.

 

لِلَّذينَ استَجابوا لِرَبِّهِمُ الحُسنىٰ

Bagi orang-orang yang memenuhi seruan Tuhannya, (disediakan) pembalasan yang baik. 

Ini adalah tentang mereka yang memenuhi kehendak Tuhan dengan sebaik mungkin. Mereka belajar apa yang mereka perlu lakukan dan tinggalkan, dan mereka ikut taat. Mereka taat dalam semua perkara dari segi akidah dan juga amalan.

Allah beri janji kepada mereka yang sebegitu: kepada mereka akan mendapat kebaikan yang besar. Iaitu syurga yang mereka akan kekal di dalamnya menikmati segala macam nikmat-nikmat yang tidak terhingga dan tidak terkira.

 

وَالَّذينَ لَم يَستَجيبوا لَهُ

Dan orang-orang yang tidak memenuhi seruanNya,

Dan ini pula sebaliknya tentang mereka yang tidak menyahut seruan Allah dan Nabi, yang tidak mahu ikut syariat dan peraturan yang Allah telah tetapkan. Bagaimana pula mereka?

 

لَو أَنَّ لَهُم ما فِي الأَرضِ جَميعًا وَمِثلَهُ مَعَهُ لَافتَدَوا بِهِ

sekiranya mereka mempunyai semua (kekayaan) yang ada di bumi dan (ditambah) sebanyak isi bumi itu lagi besertanya, niscaya mereka akan menebus dirinya dengan kekayaan itu.

Mereka nanti akan ditunjukkan dengan azab yang mereka akan terima. Waktu itu, mereka akan sanggup nak buat apa-apa sahaja supaya mereka selamat dari azab itu. Allah beri perumpamaan: kalaulah mereka ada emas sebanyak bumi semua sekali, dan kemudian diberi lagi sekali ganda (maknanya mereka ada dua bumi penuh emas!), tentu mereka pasti akan jadikan ia sebagai fidyah/tebusan untuk lepaskan diri mereka dari azab. Harta-harta dan kekayaan yang mereka kejar semasa mereka di dunia dulu, yang mereka simpan dan tengok setiap masa, mereka sanggup bagi semua sekali – kerana waktu itu tidak kira dah. Sebab azab itu teruk sangat, waktu itu mereka nak selamat sahaja. Kalau tiada harta pun tidak mengapalah pada mereka.

Tapi tentulah tidak ada sesiapa pun yang ada emas sepenuh bumi. Ini adalah kiasan sahaja untuk menunjukkan betapa mereka sanggup buat apa sahaja untuk menyelamatkan diri mereka.

 

أُولٰئِكَ لَهُم سوءُ الحِسابِ

Orang-orang itu disediakan baginya hisab yang buruk

Tapi segala pengharapan mereka akan sia-sia sahaja. Mereka tidak akan ada peluang untuk menebus kesalahan yang mereka telah lakukan di dunia dulu. Dan mereka akan diadili. Dan yang menakutkan, mereka (atau kita, kalau kita pun macam mereka) akan mendapat audit yang paling teruk. Allah tak kata ‘azab paling teruk’, tapi ‘audit’. Maksud setiap satu-satu perkara akan diperiksa sehalus-halusnya. Ini amat menakutkan kerana kita sendiri pun tahu kita ada masalah dengan amalan kita, bukan? Kalau periksa betul-betul, memang akan sangkut punya, bukan?

Dan mereka tidak akan dapat lepas dan kerana itu, tempat akhir mereka adalah neraka.

 

وَبِئسَ المِهادُ

dan itulah seburuk-buruk tempat kediaman.

Dan neraka itulah ‘pelukan’ yang paling teruk. Kalimah المِهادُ bermaksud ‘pelukan’ dari segi bahasa – seperti pelukan ibu yang menenangkan anaknya. Tapi Allah gunakan kalimah ini untuk menyakitkan hati mereka – ini bukan pelukan yang baik, tapi pelukan yang buruk sekali. Di negara itulah tempat tinggal mereka.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 013: al-Ra'd. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s