Tafsir Surah Yusuf Ayat 100 – 103 (Mimpi yang menjadi kenyataan)

Ayat 100:

وَرَفَعَ أَبَوَيهِ عَلَى العَرشِ وَخَرّوا لَهُ سُجَّدًا ۖ وَقالَ يا أَبَتِ هٰذا تَأويلُ رُؤيايَ مِن قَبلُ قَد جَعَلَها رَبّي حَقًّا ۖ وَقَد أَحسَنَ بي إِذ أَخرَجَني مِنَ السِّجنِ وَجاءَ بِكُم مِنَ البَدوِ مِن بَعدِ أَن نَزَغَ الشَّيطانُ بَيني وَبَينَ إِخوَتي ۚ إِنَّ رَبّي لَطيفٌ لِما يَشاءُ ۚ إِنَّهُ هُوَ العَليمُ الحَكيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he raised his parents upon the throne, and they bowed to him in prostration.¹ And he said, “O my father, this is the explanation of my vision of before. My Lord has made it reality. And He was certainly good to me when He took me out of prison and brought you [here] from bedouin life after Satan had induced [estrangement] between me and my brothers. Indeed, my Lord is Subtle in what He wills. Indeed, it is He who is the Knowing, the Wise.

  • That of greeting and respect, which was lawful until the time of Prophet Muḥammad (). Prostration to any person or object other than Allāh was then prohibited conclusively.

(MALAY)

Dan ia menaikkan kedua ibu-bapanya ke atas singgasana. Dan mereka (semuanya) merebahkan diri seraya sujud kepada Yusuf. Dan berkata Yusuf: “Wahai ayahku inilah ta’bir mimpiku yang dahulu itu; sesungguhnya Tuhanku telah menjadikannya suatu kenyataan. Dan sesungguhnya Tuhanku telah berbuat baik kepadaku, ketika Dia membebaskan aku dari penjara dan ketika membawa kamu dari dusun padang pasir, setelah syaitan merosakkan (hubungan) antaraku dan saudara-saudaraku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Lembut terhadap apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

 

وَرَفَعَ أَبَوَيهِ عَلَى العَرشِ

Dan ia menaikkan kedua ibu-bapanya ke atas singgasana.

Nabi Yusuf a.s menaikkan ibubapa baginda ke pentas/singgahsana. Kalau dalam mimpi baginda yang disebut di awal surah ini, mereka berdua inilah yang diisyaratkan sebagai matahari dan bulan.

 

وَخَرّوا لَهُ سُجَّدًا

Dan mereka (semuanya) merebahkan diri seraya sujud kepada Yusuf.

Ibu bapa Nabi Yusuf, adik beradiknya semua sujud kepada baginda. Ini adalah sebagai sujud penghormatan. Dan waktu itu tidak haram lagi, maka boleh buat. Hal ini masih diperbolehkan di dalam syariat mereka, bilamana memberikan salam penghormatan kepada orang besar, yakni boleh bersujud kepadanya. Hal ini diperbolehkan sejak zaman Nabi Adam sampai kepada syariat Nabi Isa a.s. Kemudian dalam syariat Nabi Muhammad Saw. hal ini diharamkan, dan hanya dikhususkan kepada Allah Tuhan sekalian alam. Demikianlah ringkasan dari apa yang dikatakan oleh Qatadah dan lain-lainnya.

Di dalam sebuah hadis disebutkan bahawa ketika Mu’az tiba di negeri Syam, dia mendapati mereka masih bersujud kepada uskup-uskup mereka. Ketika Mu’az bersujud kepada Rasulullah Saw., Rasulullah Saw. bertanya, “Apakah yang engkau lakukan ini, hai Mu’az?” Mu’az menjawab, “Sesungguhnya aku melihat penduduk negeri Syam bersujud kepada uskup-uskup mereka, maka engkau lebih berhak untuk disujudi, wahai Rasulullah.” Maka Rasulullah Saw. bersabda:

“لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لِأَحَدٍ، لَأَمَرْتُ الزَّوْجَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا مِنْ عِظم حَقِّهِ عَلَيْهَا”

Seandainya aku memerintahkan kepada seseorang untuk ber­sujud kepada orang lain, tentu aku akan perintahkan kepada wanita untuk bersujud kepada suaminya, kerana hak suaminya atas dirinya sangatlah besar.

Di dalam hadis lain disebutkan bahwa Salman bersua dengan Nabi Saw. di salah satu jalan kota Madinah; saat itu Salman baru masuk Islam, maka ia bersujud kepada Nabi Saw. (sebagai penghormatan kepadanya). Nabi Saw. bersabda membantah:

“لَا تَسْجُدْ لِي يَا سَلْمَانُ، وَاسْجُدْ لِلْحَيِّ الَّذِي لَا يَمُوتُ”

Hai Salman, janganlah kamu sujud kepadaku. Bersujudlah kepada Tuhan Yang Hidup, Yang tak pernah mati.

Keterangan ini dimaksudkan untuk menunjukkan bahawa bersujud dalam penghormatan kepada seorang pembesar diperbolehkan dalam syariat mereka.

 

وَقالَ يا أَبَتِ هٰذا تَأويلُ رُؤيايَ مِن قَبلُ

Dan berkata Yusuf: “Wahai ayahku, inilah ta’bir mimpiku yang dahulu itu; 

Nabi Yusuf mengatakan, inilah takwil mimpi baginda dulu, iaitu semasa baginda kecil lagi. Mimpi itu telah disebut di awal surah ini. Jadi kisah mimpi itu di awal surah dan terjadi sekali lagi di hujung-hujung surah. Jadi, kisah-kisah lain yang panjang ini adalah antara kisah mimpi itu. Iaitu dari ayat yang disebutkan di dalam firman-Nya:

إِنِّي رَأَيْتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوْكَبًا

sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas buah bintang. (Yusuf: 4), hingga akhir ayat.

 

جَعَلَها رَبّي حَقًّا

sesungguhnya Tuhanku telah menjadikannya suatu kenyataan. 

Allah telah memberikan mimpi itu kepada baginda dan telah menjadikannya benar.

 

وَقَد أَحسَنَ بي إِذ أَخرَجَني مِنَ السِّجنِ

Dan sesungguhnya Tuhanku telah berbuat baik kepadaku, ketika Dia membebaskan aku dari penjara

Dan sekarang baginda memuji-muji Allah SWT. Memang baginda menghadapi banyak ujian dan sengsara dalam kehidupan baginda dari kecil lagi. Tapi lihatlah bagaimana baginda kata Allah telah berbuat baik dengan baginda. Baginda tidak sebut pun kesusahan yang baginda alami. Baginda cuma menyebut perkara yang baik sahaja. Mungkin kerana dia tidak mahu mengulang tentang perkara-perkara yang sedih kerana ayahnya Nabi Ya’kub telah lama bersedih dah.

Maka baginda mengenangkan bagaimana Allah keluarkan baginda dari penjara (tak sebut pun kes masuk penjara itu dan berapa lama duduk dalam penjara). Ini adalah nikmat pertama yang baginda sebut.

 

وَجاءَ بِكُم مِنَ البَدوِ

dan ketika membawa kamu dari padang pasir, 

Dan baginda bergembira dengan kedatangan mereka ke Mesir itu. Nabi Yusuf bersyukur kerana Allah telah bawa mereka semua keluar dari tanah padang pasir yang tidak ada makanan itu dan sekarang duduk dengan baginda. Ini adalah nikmat kedua yang disebut.

 

أَن نَزَغَ الشَّيطانُ بَيني وَبَينَ إِخوَتي

setelah syaitan merosakkan (hubungan) antaraku dan saudara-saudaraku. 

Baginda bersyukur kerana mereka sekarang dapat bersama, walaupun setelah syaitan dah cuba memisahkan antara baginda, bapanya dan adik beradik baginda. Lihatlah bagaimana sekarang baginda dah panggil mereka itu ‘saudara’ baginda. Dulu tidak begitu.

Tapi walaupun abang-abang baginda telah buat banyak kesalahan kepada dirinya, baginda tidak cela pun abang-abang baginda. Baginda tak sentuh pun tentang telaga yang mereka tinggalkan baginda. Ini kerana mereka yang tinggalkan baginda di situ, maka baginda tidak mahu mengenangkan perkara itu. Oleh itu, baginda hanya sebut tentang penjara sahaja yang tidak ada kena mengena dengan mereka. Dan baginda salahkan syaitan sahaja.

 

إِنَّ رَبّي لَطيفٌ لِما يَشاءُ

Sesungguhnya Tuhanku Maha Lembut terhadap apa yang Dia kehendaki.

Maksudnya rancangan Allah amat halus, segalanya Dia yang uruskan, samada besar atau kecil, sampaikan kita tak tahu apa yang Dia buat.

 

إِنَّهُ هُوَ العَليمُ الحَكيمُ

Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Segala perancangan Allah amat cantik kerana Dia yang Maha Bijaksana. Kita selalunya tidak nampak hikmah di sebalik perancangan Allah itu. Apabila kita sudah terima yang Allah itu Maha Bijaksana, maka kita kenalah terima apa sahaja yang Allah telah, sedang dan akan lakukan.


 

Ayat 101: Sekarang baginda memuji lagi Allah. Segala apa kelebihan yang baginda dapat, baginda pulangkan kepada Allah – semua itu dari Allah. Begitulah yang kita dapat belajar dari Nabi Yusuf ini; bila ada masalah, hala dan rujuk kepada Allah dan bila senang pun, begitu juga kembalikan kepada Allah.

۞ رَبِّ قَد آتَيتَني مِنَ المُلكِ وَعَلَّمتَني مِن تَأويلِ الأَحاديثِ ۚ فاطِرَ السَّماواتِ وَالأَرضِ أَنتَ وَلِيّي فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ ۖ تَوَفَّني مُسلِمًا وَأَلحِقني بِالصّالِحينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

My Lord, You have given me [something] of sovereignty and taught me of the interpretation of dreams. Creator of the heavens and earth, You are my protector in this world and the Hereafter. Cause me to die a Muslim and join me with the righteous.”

(MALAY)

Ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah menganugerahkan kepadaku sebahagian kerajaan dan telah mengajarkan kepadaku sebahagian ta’bir mimpi. (Ya Tuhan) Pencipta langit dan bumi. Engkaulah Pelindungku di dunia dan di akhirat, wafatkanlah aku dalam keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang yang saleh.

 

رَبِّ قَد آتَيتَني مِنَ المُلكِ

Ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah menganugerahkan kepadaku sebahagian kerajaan

Nabi Yusuf bersyukur kerana telah diberi dengan kuasa dalam kerajaan. Apabila ayat ini dibaca, ia memberi isyarat yang nanti Nabi Muhammad akan pun diberikan dengan kerajaan juga. Jadi ayat ini juga memberi isyarat yang Nabi Muhammad akan menang mengatasi musuh baginda yang menentang baginda.

 

وَعَلَّمتَني مِن تَأويلِ الأَحاديثِ

dan telah mengajarkan kepadaku sebahagian ta’bir mimpi.

Baginda bersyukur kepada Allah kerana telah memberikan kepada baginda ilmu mengetahui ramalan dengan tepat.

 

فاطِرَ السَّماواتِ وَالأَرضِ

Pencipta langit dan bumi.

Allah yang telah memberikan semua itu. Dan Allah boleh sahaja buat begitu kerana Dialah pencipta langit dan bumi.

 

أَنتَ وَلِيّي فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ

Engkaulah Pelindungku di dunia dan di akhirat,

Nabi Yusuf mengaku yang Allah adalah penolong baginda sepanjang masa. Allah sentiasa sahaja bersama baginda walaupun baginda dalam kesusahan dan menerima musibah dan ujian. Allah tidak pernah tinggalkan baginda.

 

تَوَفَّني مُسلِمًا

wafatkanlah aku dalam keadaan Islam

Baginda telah dapat segala nikmat itu. Dan sekarang baginda berdoa supaya bila sampai masa nanti, apabila telah habis ajal baginda, baginda minta matilah baginda sebagai seorang muslim. Maksudnya supaya mati dalam tauhid. Ini kerana kita dikira dengan iman kita semasa kita mati. Masa sekarang, kalau kita sudah beriman, belum tentu kita selamat lagi kerana mungkin kita mati dalam keadaan kufur. Kita minta berlindung dari keadaan itu. Kerana itu, kita pun kena minta supaya akhir hayat kita nanti, kita masih lagi beriman sempurna.

Kenapa sebut tentang kematian pula? Ini kerana kita kena sentiasa melihat dan bersedia untuk mati. Dan lihatlah bagaimana Nabi Muhammad nanti, apabila telah mendapat kejayaan menyebarkan agama Islam dan apabila sudah dapat mengembalikan agama tauhid di Mekah, maka baginda sudah bersedia untuk mati. Ini disebut dalam Surah an-Nasr.

 

وَأَلحِقني بِالصّالِحينَ

dan gabungkanlah aku dengan orang-orang yang saleh.

Nabi Yusuf berdoa semoga baginda digabungkan dengan orang-orang saleh selepas baginda wafat nanti. Di dunia, baginda waktu itu telah digabungkan dengan keluarga baginda, tapi ada lagi yang lebih penting. Iaitu apabila mati, semoga dikumpulkan dengan orang-orang yang soleh di akhirah nanti.

Doa yang dibacakan oleh Nabi Yusuf ini amatlah molek dan boleh diamalkan oleh kita dalam doa kita.


 

Ayat 102: Kita sekarang sudah masuk ke ayat-ayat akhir penutup surah. Ayat ini adalah Dakwa Ketiga bagi surah ini. Dakwa terbahagi kepada tiga jenis (Tauhid, Risalah dan Akhirah). Ini adalah Dakwa tentang Risalah. Allah hendak memberitahu kita bahawa Nabi Muhammad adalah Nabi dan Rasul yang benar kerana kisah ini datangnya dari wahyu menandakan yang baginda adalah seorang Rasul. Kerana kalau baginda bukan seorang Nabi, takkan baginda boleh ceritakan kisah ini dengan jelas. Kerana kisah ini tidak ada dalam maklumat orang Arab Mekah.

Sekarang kita masuk ke bahagian penutup Surah Yusuf ini. Sudah habis kisah Nabi Yusuf dan sekarang masuk kepada penutupnya pula. Sekarang akan disebut pengajaran yang kita kena ambil dari kisah yang telah disebut dalam ayat-ayat sebelum ini. Kita kena ingat yang waktu surah ini diturunkan di Mekah, Nabi muhammad sedang dihentam dengan teruk di Mekah. Maka Allah turunkan surah ini kerana Allah nak pujuk hati Nabi (tasliah). Allah mulakan surah ini dengan kisah ujian yang telah diberikan kepada Nabi Yusuf dan kemudian diberikan berita gembira di hujungnya. Allah hendak ingatkan kepada Rasulullah, walaupun permulaannya susah, tapi penghujungnya baik. Maka Rasulullah kenalah bersabar.

ذٰلِكَ مِن أَنباءِ الغَيبِ نوحيهِ إِلَيكَ ۖ وَما كُنتَ لَدَيهِم إِذ أَجمَعوا أَمرَهُم وَهُم يَمكُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That is from the news of the unseen which We reveal, [O Muḥammad], to you. And you were not with them when they put together their plan while they conspired.

(MALAY)

Demikian itu (adalah) diantara berita-berita yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (Muhammad); padahal kamu tidak berada pada sisi mereka, ketika mereka memutuskan rencananya (untuk memasukkan Yusuf ke dalam sumur) dan mereka sedang mengatur tipu daya.

 

ذٰلِكَ مِن أَنباءِ الغَيبِ نوحيهِ إِلَيكَ

Demikian itu (adalah) diantara berita-berita yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu

Kisah Nabi Yusuf a.s. yang telah disebut itu adalah antara berita ghaib yang diberikan kepada baginda. Tidak ada cara bagi Nabi muhammad mengetahuinya sebelum itu. Melainkan Allah yang beritahu kepada baginda. Ini adalah satu tanda yang baginda adalah seorang Rasul.

 

وَما كُنتَ لَدَيهِم إِذ أَجمَعوا أَمرَهُم

padahal kamu tidak berada pada sisi mereka, ketika mereka memutuskan rencananya

Nabi Muhammad telah membacakan kisah Nabi Yusuf yang begini panjang, sedangkan baginda tidak ada pun masa abang-abang Nabi Yusuf itu buat rancangan mereka untuk menghilangkan Nabi Yusuf dari ayah mereka.

 

وَهُم يَمكُرونَ

dan mereka sedang mengatur tipu daya.

Nabi Muhammad pun tidak ada semasa abang-abangnya itu meletakkan Nabi Yusuf ke dalam telaga dan meninggalkan baginda di dalam telaga itu. Rancangan mereka itu rupanya ada sebab kenapa Allah benarkan terjadi. Ini adalah kerana Allah nak bawa Bani Israil ke Mesir. Memang Nabi Muhammad tidak ada waktu itu tapi Allah beritahu kisah baginda kepada Rasulullah sebagai pengajaran dan panduan untuk kita semua.


 

Ayat 103: Zajrun. Adakah semua manusia akan ambil pengajaran dari kisah Nabi Yusuf ini?

وَما أَكثَرُ النّاسِ وَلَو حَرَصتَ بِمُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And most of the people, although you strive [for it], are not believers.

(MALAY)

Dan sebahagian besar manusia tidak akan beriman — walaupun kamu sangat menginginkannya.

Nabi Muhammad tentu berfikir, kalau dah ada kisah ini, tentu ramailah nanti orang Yahudi akan masuk Islam, kerana Nabi Yusuf ini adalah Nabi besar mereka juga. Tentu mereka akan dapat lihat bagaimana kisah Nabi Yusuf itu ada persamaan dengan kisah Nabi Muhammad.

Walaupun Nabi ada perasaan begitu, tapi Nabi diberitahu dalam ayat ini, jangan berharap sangat. Kerana walaupun baginda berharap sangat akan ramai yang masuk Islam, tapi ramai antara mereka tidak akan beriman. Allah nak beritahu Nabi, kalau mereka tidak beriman, kekurangan bukan pada Nabi Muhammad tapi pada mereka. Tidak ada salah dalam cara dakwah baginda.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 012: Yusuf. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s