Tafsir Surah Yusuf Ayat 23 – 25 (Ujian digoda wanita)

Ayat 23: Sambungan keadaan ke 5 iaitu kita akan mendengar kisah bagaimana baginda digoda oleh isteri tuannya.

وَرٰوَدَتهُ الَّتي هُوَ في بَيتِها عَن نَّفسِهِ وَغَلَّقَتِ الأَبوٰبَ وَقالَت هَيتَ لَكَ ۚ قالَ مَعاذَ اللهِ ۖ إِنَّهُ رَبّي أَحسَنَ مَثوايَ ۖ إِنَّهُ لا يُفلِحُ الظّٰلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And she, in whose house he was, sought to seduce him. She closed the doors and said, “Come, you.” He said, “[I seek] the refuge of Allāh. Indeed, he¹ is my master, who has made good my residence. Indeed, wrongdoers will not succeed.”

  • Her husband, al-‘Azeez.

(MALAY)

Dan wanita  yang Yusuf tinggal di rumahnya menggoda Yusuf untuk menundukkan dirinya (kepadanya) dan dia menutup pintu-pintu, seraya berkata: “Marilah ke sini”. Yusuf berkata: “Aku berlindung kepada Allah, sungguh tuanku telah memperlakukan aku dengan baik”. Sesungguhnya orang-orang yang zalim tiada akan berjaya.

 

وَرٰوَدَتهُ الَّتي هُوَ في بَيتِها عَن نَّفسِهِ

Dan wanita yang Yusuf tinggal di rumahnya hendak menggoda Yusuf untuk menundukkan dirinya

Isteri menteri itu telah jatuh hati kepada Nabi Yusuf. Dia sentiasa sahaja mencari peluang untuk menggoda dan mengambil kesempatan ke atas Nabi Yusuf. Kalau kita cari dalam Qur’an, Allah tak sebut pun nama wanita ini. Tapi orang sahaja kata namanya Zulaikha dan ini tidak benar kerana tidak ada dalil yang sahih tentang nama itu. Oleh itu, nama dia tidak perlu diketahui kerana Allah tidak sebut pun (maknanya tidak penting), kerana yang penting hendak disampaikan adalah sifatnya yang buruk.

راوَدَتهُ adalah keputusan untuk melakukan sesuatu setelah fikir lama, berjalan mundar mandir memikirkannya. Maknanya lama sudah difikirkan rancangan itu dan bermain dalam kepalanya.

Di dalam ayat sebelum ini, telah disebut yang Nabi Yusuf kuat berpegang pada prinsipnya. Sekarang kita dapat tahu bahawa perempuan ini hendak dia meninggalkan prinsipnya dengan menggodanya.

هُوَ في بَيتِها (dia tinggal di rumah perempuan itu). Allah tak sebut pun ‘isteri lelaki itu’, tapi Allah sebut tentang rumah wanita itu. Allah hendak menekankan yang Nabi Yusuf tinggal di bawah bumbung wanita itu. Ini adalah kerana Allah hendak beritahu dilemma yang dihadapi oleh baginda. Amat susah keadaan Nabi Yusuf ini kerana wanita itu yang selalu berada di rumah itu. Wanita itulah puan yang jaga rumah itu kerana suaminya selalu tidak ada di rumah. Maka, bayangkanlah bukan senang baginda nak tolak apa yang diminta oleh perempuan itu.

عَن نَفسِهِ maksudnya perempuan itu hendak baginda ubah pegangannya. Dia tahu yang Nabi Yusuf adalah seorang yang ada prinsip, seorang yang baik. Tapi wanita itu hendak Nabi Yusuf gugurkan pegangannya itu.

 

وَغَلَّقَتِ الأَبوٰبَ

dan dia menutup pintu-pintu,

Setelah wanita itu nekad untuk menjalankan rancangannya, dia telah tutup pintu segala pintu-pintu (kerana الأَبوابَ dalam bentuk jamak). Sudahlah mereka tinggal mereka berdua sahaja waktu itu, dan pintu kena tutup pula.

Dan kalimah غَلَّقَ bermaksud mengunci-ngunci – maksudnya banyak pintu yang dikuncinya, bukan satu sahaja – oleh itu, bukan senang Nabi Yusuf nak lari, kalau dia nak lari pun. Kerana mungkin ada yang fikir, dia kan muda, kenapa tak lari sahaja? Jadi kita tahu dari ayat ini yang memang dia muda tapi ada masalah kalau nak lari.

 

وَقالَت هَيتَ لَكَ

seraya berkata: “Marilah ke sini”. 

هَيتَ لَكَ bermaksud “datang ke mari” tapi dari kalimah yang digunakan, ia memberi isyarat bahawa wanita itu menjerit. Beliau mengarahkan Nabi Yusuf untuk segera datang kepadanya. Dan ini pun adalah satu kesusahan kepada Nabi Yusuf juga, kerana selalunya dia akan taat kepada wanita itu dari kecil lagi. Jadi serba salah jadinya Nabi Yusuf dalam keadaan ini.

 

قالَ مَعاذَ اللهِ

Yusuf berkata: “Aku berlindung kepada Allah,

مَعاذَ اللَّهِ adalah kalimah menyatakan bergantung kepada Allah. Dan مَعاذَ adalah isim dzarf (masa dan tempat). Oleh itu, baginda bukan sahaja meminta perlindungan dari Allah, tapi baginda minta Allah berikan tempat yang selamat untuk baginda. Baginda minta tempat menyorok, tempat yang selamat. Ada muqaddar dalam ayat ini: aku minta perlindungan kepada Allah daripada keinginan nafsumu terhadapku.

 

إِنَّهُ رَبّي أَحسَنَ مَثوايَ

sungguh tuanku telah memperlakukan aku dengan baik”.

رَبّ dalam ayat ini boleh jadi merujuk kepada Allah atau tuan rumah itu. Mungkin Nabi Yusuf menggunakan kalimah itu dalam bentuk yang umum kerana asal maksud ‘Rabb’ adalah ‘tuan’. Dan waktu itu boleh lagi panggil tuan sebagai rabb.

Nabi Yusuf mengingatkan wanita itu tuannya telah jaga dirinya dengan baik selama hari ini. Baginda mengingatkan kembali bagaimana tuannya itu memberikan tempat tinggal yang baik dan layanan yang baik. Walaupun kebaikan itu diberikan kepada diri baginda, tapi baginda cakap dengan kuat kerana nak ingatkan kepada isterinya itu. Tidak patut kalau orang yang baik kita buat begitu. Tidak patut Nabi Yusuf berhubungan dengan isteri tuannya, dan tidak patut isteri itu berlaku curang kepada suaminya yang baik itu.

 

إِنَّهُ لا يُفلِحُ الظّٰلِمونَ

Sesungguhnya orang-orang yang zalim tiada akan berjaya.

Baginda juga mengingatkan yang orang zalim tidak akan berjaya. Allah gunakan ‘zalim’ dalam ayat ini kerana mereka yang melakukan fahsya’ (seperti yang dilakukan oleh perempuan itu) sebenarnya mereka melakukan kezaliman terhadap Allah.


 

Ayat 24:

وَلَقَد هَمَّت بِهِ ۖ وَهَمَّ بِها لَولا أَن رَّأىٰ بُرهٰنَ رَبِّهِ ۚ كَذٰلِكَ لِنَصرِفَ عَنهُ السّوءَ وَالفَحشاءَ ۚ إِنَّهُ مِن عِبادِنَا المُخلَصينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And she certainly determined [to seduce] him, and he would have inclined to her had he not seen the proof [i.e., sign] of his Lord. And thus [it was] that We should avert from him evil and immorality. Indeed, he was of Our chosen servants.

(MALAY)

Sesungguhnya wanita itu telah bersungguh dengan Yusuf, dan Yusuf pun bermaksud (melakukan pula) dengan wanita itu andaikata dia tidak melihat tanda (dari) Tuhannya. Demikianlah, Kami memalingkan dari padanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba-hamba Kami yang terpilih.

 

وَلَقَد هَمَّت بِهِ

Sesungguhnya wanita itu telah bersungguh dengan dengan Yusuf,

Keinginan isteri menteri itu amat tinggi untuk bersama dengan Nabi Yusuf. Agaknya kenapa wanita itu mahu sangat kepada Nabi Yusuf? Adakah kerana baginda seorang yang teramat tampan, seperti yang selalu disebut-sebut? Sebenarnya bukan kerana baginda tampan sahaja tapi kerana akhlak baginda sekali. Baginda seorang yang baik dan selalu menemani wanita itu. Dan suaminya pun selalu tidak ada di rumah dan dia selalu lihat Yusuf di rumah itu.

Begitulah yang terjadi apabila suami selalu tidak ada di rumah. Kalau tidak kuat iman, mulalah nak cari orang lain, bukan? Dan perkara ini biasa kerana seorang wanita memerlukan perhatian dari lelaki. Kalau tidak diberikan oleh lelaki yang sepatutnya, mereka akan cari orang lain. Sebab itulah seorang isteri kena diberikan perhatian oleh suaminya; seorang anak perempuan kecil juga kena diberi perhatian oleh bapanya – kalau tidak, mereka akan isikan kekosongan itu dengan lelaki lain – sebab itulah kita boleh lihat bagaimana budak-budak perempuan sekarang kecil lagi dah ada teman lelaki di sekolah. Ini adalah kerana bapa mereka tidak memberi perhatian kepada mereka sampaikan mereka mencari-cari perhatian dari lelaki lain – tidak kisahlah kalau yang mengisinya adalah budak hingusan lagi.

Dan suami pun kena faham perkara ini. Jangan sibuk dengan kerja dan hobi main bola dan memancing sahaja. Sekali sekala kena beri perhatian kepada isteri. Kerana kalau mereka tidak dapat dari suami, akan ada masalah nanti. Ada kemungkinan, mereka akan cari perhatian dari orang lain. Dan bila dah jadi begitu, mereka akan buat perangai. Maka ketahuilah yang para isteri memerlukan masa dan perhatian dari suami mereka. Jadi kalau kita berada di rumah, tanyalah tentang diri mereka, apa mereka buat, apa yang mereka hendak dan sebagainya – janganlah sibuk dengan komputer buat kerja dan main handphone sahaja. Begitulah pengajaran yang kita boleh ambil dari kisah ini. Kerana kisah ini menyentuh juga tentang psikologi manusia.

 

وَهَمَّ بِها

dan Yusuf pun berkeinginan dengan wanita itu

وَهَمَّ بِها (dan dia pun berkeinginan kepada wanita itu). Nabi Yusuf adalah seorang lelaki yang tampan dan perempuan itu pun memang mahu kepada baginda. Tentulah baginda ada nafsu juga kerana baginda pun lelaki juga, bukan? Oleh itu, baginda pun teringin juga kepada perempuan itu juga, dan ini adalah normal. Dan rumah itu selamat kerana tiada orang lain dan semua pintu pun telah dikunci. Oleh itu, semua keadaan untuk membolehkan perzinaan itu berlaku telah ada.

Akan tetapi, baginda tetap juga melarikan diri dan cuba untuk menyelamatkan diri baginda dari melakukan maksiat itu. Kita kena terima hakikat yang kita sebagai manusia biasa yang ada nafsu, memang susah nak jaga perkara ini. Kalau nak tahan dari melakukannya, kena ingat kepada Allah sahaja. Iaitu lebih takut kepada Allah. Kerana itulah yang boleh menghalang kita dari buat benda salah dan dosa. Dan kalau tidak ingat kepada Allah dan balasan buruk di akhirat kelak, nafsu kita akan membisikkan keinginannya kepada kita yang akan menyebabkan kita tergelincir. Dan inilah yang banyak terjadi di kalangan masyarakat sekarang. Jangan kata orang muda, yang tua pun boleh terbabas juga. Tidak payah kita panjangkan kerana teramat banyak dalam berita di suratkhabar sebagai bukti.

Seperti yang kita telah sebut tadi, Nabi Yusuf pun tertarik juga kepada wanita itu. Walaupun memang ada terjemahan yang berlainan kerana nak jaga juga status Nabi Yusuf dengan mengatakan yang baginda tidak teringin dengan perempuan itu. Tetapi dari segi bahasa, ianya tidak begitu – memang baginda tertarik juga sebenarnya.

Tapi setakat ada keinginan sahaja dan tidaklah baginda meneruskan keinginan baginda itu. Ini adalah adalah kerana kalimah هَمَّ walaupun bermaksud ‘mahu’, tapi ada dua peringkat. Pertama, ada kemahuan yang diteruskan dan ada keinginan yang belum diteruskan lagi. Perempuan itu berkeinginan dan dia meneruskan keinginannya itu – sedangkan keinginan baginda adalah keinginan normal tapi tidak diteruskan oleh baginda. Ia berdetik sahaja dalam hati baginda. Kita kena sedar, ada keinginan tidak salah, yang salah adalah kalau terus menjalankannya. Ini macam masa kita puasa – rasa dahaga tidak berdosa – tapi kalau diteruskan dengan minum air yang berdosa. Keinginan tidak salah kerana keinginan ini Allah yang letak dalam diri manusia – semua manusia yang normal ada nafsu. Dan begitu jugalah kita, tinggi macam mana pun ilmu kita, masih ada nafsu lagi. Dan Nabi Yusuf juga ada nafsu tapi baginda juga diberi dengan kekuatan iman untuk mengawalnya.

Dan kalau kita ada keinginan untuk melakukan suatu perkara jahat dan kita tidak meneruskannya kerana takut kepada Allah, kita ada dapat pahala, sepertimana disebut dalam hadis Abdur Razzaq, dari Ma’mar, dari Hammam, dari Abu Hurairah r.a. yang mengatakan bahwa Rasulullah Saw. pernah bersabda:

“يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى: إِذَا هَمّ عَبْدِي بِحَسَنَةٍ فَاكْتُبُوهَا لَهُ حَسَنَةً، فَإِنَّ عَمِلَهَا فَاكْتُبُوهَا لَهُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا، وَإِنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا فَاكْتُبُوهَا حَسَنَةً، فَإِنَّمَا تَرَكَهَا مِنْ جَرّائي، فَإِنْ عَمَلِهَا فَاكْتُبُوهَا بِمِثْلِهَا”

Allah Swt. berfirman, “Apabila hamba-Ku berniat melakukan suatu amal kebaikan, maka catatlah untuknya pahala satu amal kebaikan. Jika dia mengerjakannya, maka catatkanlah baginya sepuluh kali lipat amal kebaikannya. Dan jika dia berniat hendak melakukan suatu perbuatan buruk (dosa), lalu dia tidak mengerjakannya, maka catatkanlah satu kebaikan. Kerana sesungguhnya dia meninggal­kannya sebab (takut kepada)-Ku, dan jika dia mengerjakannya, maka catatkanlah satu amal keburukan.

 

لَولا أَن رَّأىٰ بُرهٰنَ رَبِّهِ

andaikata dia tidak melihat tanda (dari) Tuhannya.

Allah memberitahu kita, kalaulah baginda tidak nampak ‘tanda’ dari Allah, tentu baginda pun akan tergelincir juga. Kalimah بُرهانَ (tanda) dalam ayat ini, tidak dapat dipastikan apakah tanda yang dimaksudkan. Kalau dibaca dalam tafsir, memang ada banyak kisah pula tentangnya. Sebagai contoh, ada yang kata baginda nampak wajah bapanya; ada kata baginda dapat wahyu waktu itu; ada kata pintu semua tertutup sendiri dan sebagainya; memang ada banyak kisah tapi itu semua tidak kemas, tidak dapat dipastikan yang ianya benar; ada yang kata, بُرهانَ itu merujuk kepada sifat maksum yang Allah berikan kepada baginda. Apa yang kita pasti dari ayat ini, baginda nampak sesuatu yang menyebabkan baginda sedar bahawa kalau baginda teruskan, itu akan membahayakannya.

Ada muqaddar dalam ayat ini: “kalau baginda tidak nampak, tentu baginda dah berzina dengan perempuan itu”. Allah tak sebut dalam matan ayat ini untuk memelihara nama baginda.

 

كَذٰلِكَ لِنَصرِفَ عَنهُ السّوءَ وَالفَحشاءَ

Demikianlah, Kami memalingkan dari padanya kemungkaran dan kekejian. 

Allah beritahu yang Dialah yang menghilangkan kejahatan dari baginda. Allah tidak kata Dia jauhkan baginda dari kejahatan (tapi jauhkan kejahatan dari baginda). Kalau kita nak bayangkan, seolah-olah kejahatan hendak melekat pada diri baginda dan Allah buang jauh-jauh. Allah jaga nama baik Nabi Yusuf lagi. Kerana hendak membezakan antara Nabi Yusuf dan kejahatan itu. Kejahatan itulah yang hendak mendekati Nabi Yusuf yang mulia – baginda bukanlah seorang yang jahat.

Semua yang buruk adalah السّوءَ. Allah menjaga baginda dari السّوءَ. Baginda sudah lama menjaga diri baginda dan sebagaimana seorang yang selalu berlatih lari, kakinya sudah ada otot yang kuat, maka begitulah kekuatan iman baginda sudah mencapai tahap yang tinggi. Baginda menjaga diri baginda dari melakukan dosa dari dahulu lagi. Begitulah dengan kita juga, kenalah jaga dari buat dosa apa pun sahaja. Kerana kalau dah mula buat dosa dalam satu perkara, maka lebih mudah untuk buat dosa di tempat lain pula. Kerana kita sudah tidak sensitif dengan dosa. Kerana kita buat dosa dan rasa tiada kesan buruk pun, maka kita tidak rasa bersalah untuk buat dosa-dosa yang lain.

الفَحشاءَ pun termasuk dalam dosa juga, tapi itu lebih khusus kepada dosa yang melibatkan nasfu seks. Contohnya zina, liwat, melihat pornografi, bercakap lucah dan sebagainya.

 

إِنَّهُ مِن عِبادِنَا المُخلَصينَ

Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba-hamba Kami yang terpilih.

المُخلَصينَ bermaksud seseorang yang dijadikan bersifat ikhlas. Ia adalah isim maf’ul, bukannya isim fa’il (bukan ‘mukhlis’). Maksudnya ‘dijadikan’ sebagai seorang yang mukhlis. Maknanya, Allah yang jadikan baginda dalam keadaan begitu, bukannya Nabi Yusuf jadi sendiri sebagai seorang yang mukhlis. Begitulah kalau sesiapa jadi baik, jadi mukhlis, beriman, itu semua adalah kurniaan Allah. Bukan kita boleh jadi beriman dengan sendiri. Allah yang berikan kelebihan itu kepada manusia. Maka, kita kena berharap kepada Allah untuk Dia berikan kita dengan sifat itu. Kita boleh berusaha, tapi kalau dengan usaha kita sahaja, tidak ada berjaya. Usaha memang kita kena buat, tapi kerana Allah nak tengok kita ada keinginan sahaja – tidaklah kita usaha dengan kekuatan kita dan semangat kita akan membolehkan kita jadi orang yang beriman – kita kena usaha dan yang paling penting, kita kena doa dan doa.


 

Ayat 25:

وَاستَبَقَا البابَ وَقَدَّت قَميصَهُ مِن دُبُرٍ وَأَلفَيا سَيِّدَها لَدَى البابِ ۚ قالَت ما جَزاءُ مَن أَرادَ بِأَهلِكَ سوءًا إِلّا أَن يُسجَنَ أَو عَذابٌ أَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they both raced to the door, and she tore his shirt from the back, and they found her husband at the door. She said, “What is the recompense of one who intended evil for your wife but that he be imprisoned or a painful punishment?”

(MALAY)

Dan keduanya berlumba-lumba menuju pintu dan wanita itu menarik baju Yusuf dari belakang hingga koyak dan kedua-duanya mendapati suami wanita itu di muka pintu. Wanita itu berkata: “Apakah pembalasan terhadap orang yang bermaksud berbuat serong dengan isterimu, selain dipenjarakan atau (dihukum) dengan azab yang pedih?”

 

وَاستَبَقَا البابَ

Dan keduanya berlumba-lumba menuju pintu

وَاستَبَقَا bermaksud mereka berlumba. Sama-sama berlumba ke arah pintu. Nabi Yusuf nak buka pintu itu dan lari dari wanita itu, dan wanita itu berlumba kerana hendak kejar Nabi Yusuf. Sama-sama berlumba ke arah pintu tapi bukan tujuan yang sama.

 

وَقَدَّت قَميصَهُ مِن دُبُرٍ

dan wanita itu mengoyak baju Yusuf dari belakang 

Nabi Yusuf yang ke depan dahulu. Dan wanita itu tarik baju Yusuf dari belakang sampai baju baginda terkoyak.

وَأَلفَيا سَيِّدَها لَدَى البابِ

dan kedua-duanya mendapati suami wanita itu di muka pintu. 

أَلفَيا (mereka dua mendapati). Iaitu mendapati sesuatu yang tidak dicari. Apabila pintu dibuka, di situ telah berada Menteri, suami perempuan itu. Mereka tak sangka jumpa tuan rumah di pintu itu. Allah takdirkan menteri itu balik awal dari biasa.

Soalan: siapa yang menteri itu nampak dulu? Sudah tentu dia nampak Nabi Yusuf kerana baginda yang di depan dan membuka pintu. Dan sudah sepatutnya menteri itu sudah nampak yang Yusuf yang mahu lari.

 

قالَت ما جَزاءُ مَن أَرادَ بِأَهلِكَ سوءًا

Wanita itu berkata: “Apakah pembalasan terhadap orang yang bermaksud berbuat serong dengan isterimu,

Tapi wanita itu pandai. Dia cepat-cepat cakap dulu untuk membersihkan namanya. Inilah salah satu dari kelicikan wanita yang Allah sebut dalam Qur’an. Yang sebenarnya, dia yang yang goda tapi dia dah putarbelit cerita. Dia terus tanya suami dia apa yang suami dia akan buat untuk hukum Yusuf? Soalan dia seolah-olah dia yang teraniya dan Nabi Yusuf yang salah.

 

إِلّا أَن يُسجَنَ أَو عَذابٌ أَليمٌ

selain dipenjarakan atau (dihukum) dengan azab yang pedih?”

Dan yang lebih hebat lagi, dia siap bagi cadangan lagi: samada penjarakan Nabi Yusuf atau beri hukuman yang menyakitkan baginda.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 012: Yusuf. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s