Tafsir Surah Yusuf Ayat 5 – 8 (Hubungan anak dan bapa)

Ayat 5:

قالَ يٰبُنَيَّ لا تَقصُص رُءياكَ عَلىٰ إِخوَتِكَ فَيَكيدوا لَكَ كَيدًا ۖ إِنَّ الشَّيطٰنَ لِلإِنسٰنِ عَدُوٌّ مُّبينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “O my son, do not relate your vision to your brothers or they will contrive against you a plan. Indeed Satan, to man, is a manifest enemy.

(MALAY)

Ayahnya berkata: “Hai anakku, janganlah kamu ceritakan mimpimu itu kepada saudara-saudaramu, maka mereka merancang rancangan terhadapmu. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia”.

 

Lihatlah apa kata Nabi Ya’kub dalam ayat ini. Kita selalunya tidak layan sangat mimpi budak-budak, bukan? Tapi lihatlah bagaimana Nabi Ya’kub melayan dan mendengar apa yang disampaikan oleh anaknya itu. Ini menunjukkan yang dia adalah seorang ayah yang baik dan kita kena perhatikan dan cuba untuk menirunya dengan melayan anak-anak kita dengan sebaik mungkin. Ini penting kerana kalau dari waktu mereka kecil kita tidak layan mereka, nanti bila mereka dah besar, jangan hairan dan mengeluh kalau mereka tidak mahu bercakap dengan kita lagi. Ini kerana semasa mereka memerlukan kita, kita tak layan mereka, maka balasannya nanti, apabila kita memerlukan mereka, mereka dah tak layan kita lagi. Ini adalah pengajaran yang amat penting untuk kita perhatikan.

Dan lihatlah juga Nabi Ya’kub ini, baginda terus pergi ke ayahnya untuk menceritakan apa yang telah berlaku untuk mendapatkan nasihat baginda. Ini juga hebat kerana selalunya kalau kita lihat, perkara ini tidak berlaku sekarang. Selalunya seorang anak itu tidak mengadu kepada ayahnya kerana selalunya mereka akan pergi mengadu kepada emak mereka. Ini menunjukkan kepada kita, Nabi Ya’kub adalah seorang yang pandai jaga anaknya sampai anaknya sendiri rasa senang untuk berjumpa dan mengadu dengannya. Oleh itu Nabi Ya’kub ini adalah ‘role model’ untuk seorang ayah. Kita kena belajar apa yang baginda lakukan dan cuba mencontohi baginda.

 

قالَ يٰبُنَيَّ

Ayahnya berkata: “Hai anakku, 

Lihatlah kalimah yang Nabi Ya’kub untuk memanggil anaknya: يا بُنَيَّ (wahai anakku yang tercinta. Ini adalah panggilan lembut seorang ayah kepada anaknya – panggilan manja. Maka begitulah kita juga kena gunakan kalimah yang sama. Cakap dengan lembut, dengan penuh kasih sayang. Jangan mengeluh kalau anak mengganggu kita – mungkin kita sedang bercakap waktu itu, sedang menyelesaikan pekerjaan penting, sedang kepenatan, sedang melihat TV, sedang kepeningan dengan entah apa masalah, sedang kepenatan – apa sahaja, tetaplah panggil anak kita dengan panggilan sayang dan kasih.

 

لا تَقصُص رُءياكَ عَلىٰ إِخوَتِكَ

janganlah kamu ceritakan mimpimu itu kepada saudara-saudaramu, 

Nabi Ya’kub menasihati Nabi Yusuf supaya jangan beritahu kepada adik beradik dia kerana takut mereka akan dengki. Takut mereka akan buat rancangan yang akan menyusahkan. Maknanya, Nabi Ya’kub sudah tahu sebelum ada mimpi pun, abang-abang dia sudah ganggu Nabi Yusuf dah. Kalau mereka tahu dia dapat mimpi macam itu, lagilah mereka akan bertambah dengki lagi dengan dia.

 

فَيَكيدوا لَكَ كَيدًا

maka mereka merancang rancangan terhadapmu.

Allah gunakan ‘كيد’ dan bukan ‘مكر’. Dua-dua digunakan dalam bahasa Arab sebagai ‘rancangan’, tapi tidak sama antara keduanya. ‘مكر adalah rancangan jahat untuk merosakkan seseorang. Dan kalau كيد pula, ia boleh digunakan mungkin rancangan untuk kebaikan atau untuk kejahatan. Ini menunjukkan  yang Nabi Ya’kub tidak pasti apa yang abang-abang Nabi Yusuf itu akan buat. Cuma baginda suruh Nabi Yusuf berjaga-jaga sahaja. Ini menunjukkan kebijaksanaan baginda.

Mimpi itu bererti bahawa kelak semua saudara Yusuf akan tunduk dan menghormatinya dengan penghormatan yang sangat besar; kerana kelak mereka akan bersujud kepadanya demi menghormati, mengagungkan, dan memuliakannya. Maka Ya’qub merasa khawatir bila Yusuf menceritakan mimpinya itu kepada saudara-saudaranya, kerana mereka pasti akan merasa dengki terhadapnya, lalu mereka akan membuat tipu daya untuk membinasakannya.

Tentang mimpi, Rasulullah SAW pernah bersabda:

“إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ مَا يُحِبُّ فَلْيُحَدِّثْ بِهِ، وَإِذَا رَأَى مَا يَكْرَهُ فليتحوَّل إِلَى جَنْبِهِ الْآخَرِ وَلْيَتْفُلْ عَنْ يَسَارِهِ ثَلَاثًا، وَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنْ شَرِّهَا، وَلَا يُحَدِّثْ بِهَا أَحَدًا، فَإِنَّهَا لَنْ تَضُرَّهُ”

Apabila seseorang di antara kalian melihat (dalam mimpinya) sesuatu yang disukainya, hendaklah ia membicarakannya. Dan apabila ia melihat sesuatu yang tidak disukainya, hendaklah ia beralih ke sisi yang lain (dalam tidurnya), lalu hendaklah ia meludah ke arah kirinya sebanyak tiga kali dan hendaklah ia minta perlindungan kepada Allah dari kejahatan mimpinya itu, dan janganlah ia membicarakannya kepada seorang pun; maka sesungguhnya mimpi buruknya itu tidak akan membahayakannya.

Ia menunjukkan yang baginda sedar dengan realiti semasa. Baginda sedar yang tidak semestinya anak-anaknya itu adalah anak seorang Nabi, mereka itu semuanya baik sahaja. Ini mengajar kita yang kalau kita dah cuba didik anak kita dengan ajaran baik pun, tidak semestinya mereka jadi baik. Lihatlah Nabi Ya’kub ini – dia Nabi tapi anak dia ada yang tidak baik. Begitu juga Nabi Nuh a.s yang ada anak yang tidak mahu ikut baginda.

Ini mengajar bahawa kita tidak boleh kawal orang lain dan kita kena sabar sahaja dengan mereka. Memang kita tidak dapat kawal segala apa yang orang di bawah kita lakukan, bukan? Masa anak kita kecil, bolehlah kalau kita hukum mereka, tahan mereka, paksa mereka, tapi kalau mereka dah besar sikit, macam mana? Nanti bila mereka dah besar, kita akan sedar yang kita hanya boleh nasihat mereka sahaja dan berikan ajaran sebaik mungkin, tapi Allah yang menjaga mereka dan beri hidayah kepada mereka, bukan kita. Maka terimalah hakikat yang kita memang tidak boleh kawal mereka dan ini kadang-kadang susah untuk diterima oleh kita.

 

إِنَّ الشَّيطٰنَ لِلإِنسٰنِ عَدُوٌّ مُبينٌ

Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia

Nabi Ya’qub takut syaitan akan ambil kesempatan dengan mimpi itu pula nanti. Kerana syaitan akan membisikkan cadangan-cadangan jahat dalam hati abang-abangnya nanti. Syaitan tidak akan lepaskan peluang kerana dia memang amat memusuhi keturunan Bani Adam dan akan buat segala macam perkara untuk menyesatkan manusia.


 

Ayat 6:

وَكَذٰلِكَ يَجتَبيكَ رَبُّكَ وَيُعَلِّمُكَ مِن تَأويلِ الأَحاديثِ وَيُتِمُّ نِعمَتَهُ عَلَيكَ وَعَلىٰ آلِ يَعقوبَ كَما أَتَمَّها عَلىٰ أَبَوَيكَ مِن قَبلُ إِبرٰهيمَ وَإِسحٰقَ ۚ إِنَّ رَبَّكَ عَليمٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And thus will your Lord choose you and teach you the interpretation of narratives [i.e., events or dreams] and complete His favor upon you and upon the family of Jacob, as He completed it upon your fathers before, Abraham and Isaac. Indeed, your Lord is Knowing and Wise.”

(MALAY)

Dan demikianlah Tuhanmu, memilih kamu (untuk menjadi Nabi) dan diajarkan-Nya kepadamu sebahagian dari ta’bir mimpi-mimpi dan disempurnakan-Nya nikmat-Nya kepadamu dan kepada keluarga Ya’qub, sebagaimana Dia telah menyempurnakan nikmat-Nya kepada dua orang bapamu sebelum itu, (iaitu) Ibrahim dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

 

وَكَذٰلِكَ يَجتَبيكَ رَبُّكَ

Dan kerana kesempurnaan inilah, Tuhanmu telah memilihmu

Kalimah كَذٰلِكَ dalam ayat ini diterjemahkan: ‘kerana kesempurnaan inilah’, kerana ianya bukan ayat perbandingan kerana tidak ada apa yang hendak dibandingkan.

Nabi Ya’kub gunakan kalimah يَجتَبيكَ (memilihmu). Ada maksud tertentu kenapa ijtiba’ ini berbeza dengan kalimah lain yang digunakan untuk ‘pemilihan’. Memang ada lagi kalimah-kalimah lain. Sebagai contoh, kalimah ‘ikthiar’ itu digunakan kalau memilih berdasarkan kebaikan. Tapi kalau digunakan kalimah ijtiba’, ia bermaksud pemilihan berdasarkan kepada kebolehan. Ini macam kita ambil orang untuk bekerja dengan kita – ini kerana mereka ada kelebihan dan kebolehan untuk melakukan kerja itu. Akan tetapi, apa yang Nabi Yusuf telah lakukan sampai baginda dikatakan ada kebolehan itu? Kalau nak kirakan, dia tidak buat apa-apa pun. Dan kelebihan baginda itu bukan setakat dapat mimpi sahaja kerana dalam surah ini nanti kita akan lihat bagaimana orang kafir pun dapat mimpi yang benar juga. Sebenarnya, Nabi Ya’kub dapat lihat yang anaknya itu ada kelebihan kerana akhlaknya baik, dia dapat faham tentang mimpinya, maknanya telah nampak kebijakan pada anaknya itu.

Nanti akan ada dua kisah lagi tentang mimpi. Iaitu mimpi raja dan mimpi orang dalam penjara. Kedua mereka itu nanti akan tanya apakah maksud mimpi mereka itu. Tapi lihatlah bagaimana Nabi Yusuf tidak minta ditadbir pun mimpinya itu dan ini menunjukkan yang dia tahu apakah maksud mimpinya itu. Maknanya, baginda sudah ada kelebihan.

 

وَيُعَلِّمُكَ مِن تَأويلِ الأَحاديثِ

dan diajarkan-Nya kepadamu sebahagian dari ta’wil kata-kata 

Selalu تَأويلِ untuk Nabi Yusuf ini dikatakan tentang kelebihan baginda meramal maksud mimpi. Tapi lihat balik bagaimana kalimah yang digunakan adalah الأَحاديثِ (kata-kata). Oleh itu, baginda boleh mengetahui maksud bagi sesuatu peristiwa, sesuatu perkara yang berlaku – bukan setakat mimpi sahaja. Kalau ada orang bercakap dengan baginda, baginda boleh tahu apakah maksud yang disampaikan. Dan ini adalah mukjizat Nabi Yusuf.

Dari segi bahasa, ada 3 jenis kalimah yang digunakan untuk interpretasi sesuatu yang susah dan kompleks untuk difahami:

  • takwil – digunakan dalam bentuk umum.
  • ifta’ (dari sinilah menjadi ‘mufti’ iaitu orang yang ada ilmu untuk mengambil hukum dari persoalan manusia)
  • tadbir. Ini digunakan khusus untuk mimpi.

Kita lihat bagaimana Nabi Ya’kub gunakan kalimah تَأويلِ, maknanya bukan tadbir mimpi sahaja, tapi Nabi Yusuf akan tahu nak ‘baca manusia’ – kerana الأَحاديثِ tidak bermaksud mimpi sahaja, tapi termasuk dengan percakapan juga. Maksudnya apabila baginda jumpa orang dan tengok sikit, dia akan tahu apakah yang tersembunyi dan apa yang tersirat.

Tentang mimpi yang benar, orang Islam pun boleh dapat mimpi yang benar. Iaitu akan diberikan kepada mereka yang benar dan jujur sahaja. Tapi kena berhati-hatilah kerana ramai yang menyalahgunakan mimpi ini. Ada golongan tarekat dan sufi yang menggunakan mimpi untuk membenarkan ajaran sesat mereka. Mereka reka amalan dan kata mereka dapat dalam mimpi. Atau mereka kata Nabi Muhammad yang ajar dalam mimpi mereka. Padahal yang ajar kepada mereka adalah syaitan. Bagaimana mereka boleh dapat mimpi yang benar, sedangkan amalan mereka banyak yang syirik dan bidaah?

 

وَيُتِمُّ نِعمَتَهُ عَلَيكَ وَعَلىٰ آلِ يَعقوبَ

dan disempurnakan-Nya nikmat-Nya kepadamu dan kepada keluarga Ya’qub,

وَيُتِمُّ نِعمَتَهُ عَلَيكَ maksudnya Allah akan menyempurnakan nikmat dengan melantik Nabi Yusuf menjadi Nabi.

وَعَلىٰ آلِ يَعقوبَ bermaksud keluarga mereka pun akan mendapat berkat. Ini kerana kejadian yang terjadi itu bukan untuk Nabi Yusuf juga tapi untuk keluarga mereka juga. Ini menunjukkan yang Nabi Ya’kub berbangga dengan anaknya itu. Dan dia sudah nampak yang masa depan Nabi Yusuf akan cerah.

 

كَما أَتَمَّها عَلىٰ أَبَوَيكَ مِن قَبلُ إِبرٰهيمَ وَإِسحٰقَ ۚ

sebagaimana Dia telah menyempurnakan nikmat-Nya kepada dua orang bapamu sebelum itu, (iaitu) Ibrahim dan Ishak.

Kelebihan yang diberikan kepada baginda itu adalah kesinambungan dari kelebihan yang telah diberikan kepada keluarga mereka dari zaman Nabi Ibrahim dan Nabi Ishak lagi. Mereka turun temurun mendapat pangkat kenabian itu.

Oleh itu, dalam ayat ini, Nabi Ya’kub memberi amaran dan dalam masa yang sama, memberi berita gembira kepada Nabi Yusuf a.s. Ini mengajar kita supaya jangan bagi amaran dan marah sahaja kepada anak kita. Kita janganlah negatif sangat dengan anak-anak. Dan ini adalah kesilapan ramai ibubapa. Ramai yang selalu komplen sahaja tentang anak mereka: “kenapa kamu tak jadi macam anak orang sebelah?”, “kenapa kamu tak jadi pandai macam sepupu kamu” dan sebagainya. Kata-kata seperti ini semua akan memusnahkan self esteem budak itu. Sepatutnya kalau kita nak anak kita jadi yakin dengan diri dia dan jadi lebih baik, kenalah bagi semangat kepada mereka. Kamu dulu pun bukannya hebat sangat, bukan?

 

إِنَّ رَبَّكَ عَليمٌ حَكيمٌ

Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Allah maha tahu apakah yang akan diberikan kepada Yusuf. Allah dengan kebijaksaanNya akan melakukan sesuatu yang baik bagi baginda.


 

Ayat 7:  Jadi inilah ringkasan permulaan kisah Nabi Yusuf dalam surah ini. Surah Yusuf mengandungi 4 dakwa penting:

  1. Tauhid – Allah sahaja yang Maha Mengetahui perkara ghaib. Surah ini adalah kisah Nabi Yusuf a.s. Perkara tauhid yang kita kena pegang dalam kisah ini adalah: Allah sahaja yang tahu perkara ghaib. Dari kisah yang panjang itu, kita dapat tahu yang Nabi Yusuf dan Nabi Ya’kub pun tidak tahu perkara ghaib.
  2. Tauhid – Allah sahaja yang ada kuasa mengurus. Hanya Allah taala yang mengurus dan mentadbir segala sesuatu dan Dia tidak memberi selainNya kuasa itu melainkan dalam asbab yang dibenarkan. Berbagai ikhtiar dilakukan oleh Nabi Ya’kub dan lain-lain karektor dalam surah ini tapi yang berlaku hanyalah dalam kehendak Allah sahaja. Dalam surah ini ada 15 keadaan yang berlaku pada Nabi Yusuf dalam keadaan yang berbeza-beza untuk menceritakan dua perkara ini – iaitu Allah yang Maha Mengetahui perkara ghaib dan Dialah sahaja yang Maha Berkuasa.
  3. Risalah – Nabi muhammad adalah Nabi benar yang dipilih oleh Allah taala.
  4. Akhirat – Tentang orang yang menderita untuk menegakkan agama Allah. Untuk mereka itu akhirnya akan berjaya. Walaupun mereka susah dalam kehidupan mereka, tapi kesudahannya mereka akan berjaya di akhirat kelak.

لَقَد كانَ في يوسُفَ وَإِخوَتِهِ آيٰتٌ لِّلسّائِلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Certainly were there in Joseph and his brothers signs for those who ask, [such as]

(MALAY)

Sesungguhnya ada beberapa tanda-tanda (kekuasaan Allah) pada (kisah) Yusuf dan saudara-saudaranya bagi orang-orang yang bertanya.

 

لَقَد كانَ في يوسُفَ وَإِخوَتِهِ آيٰتٌ

Sesungguhnya ada beberapa tanda-tanda (kekuasaan Allah) pada (kisah) Yusuf dan saudara-saudaranya

Dalam ayat ini, ada dua karektor sedang disebut: Nabi Yusuf dan adik beradiknya. Abang-abang Nabi Yusuf tidak suka kepada baginda. Mereka pun tak suka Yusuf pergi ke bapa mereka dan rapat sangat. Dari sini, kita pun dapat agak yang mereka pun nampaknya tidak baik dengan bapa mereka sendiri. Ini adalah kerana mereka tidak suka cara bapanya melayan Yusuf. Dan beginilah masalah yang dihadapi oleh masyarakat: kadang-kadang mereka menyalahkan adik beradik yang tidak ada masalah dalam keluarga. Mereka merungut dan berkata adik itu yang disayangi, bukannya mereka. Dan mereka jadikan itu sebagai alasan untuk mereka jadi jahat, jadi nakal dan pemberontak (kerana mak ayah aku tak sayang kepada aku). Fikiran mereka keliru sangat sampaikan mereka rasa masalah mereka bermula dengan anak yang seorang itu. Mereka jadikan adik beradik mereka sebagai ‘kambing hitam’ untuk kesalahan mereka sendiri.

Akan tetapi, tidak dinafikan yang kadang-kadang benar juga ada ibubapa yang pilih kasih. Ini pun tidak dapat dipersalahkan kerana perangai anak-anak pun lain-lain – ada banyak jenis anak-anak kita ini. Dan normallah kalau anak itu baik, tentu mak ayah akan sayang kepada anak itu lebih lagi. Maka kenalah pandai ambil hati emak dan ayah – ikutkan kata mereka kalau nak disayangi oleh mereka. Yang jadi masalahnya kalau menyalahkan orang lain sahaja di atas kekurangan kita. Kalau seorang yang baik, dia akan lihat kepada dirinya sendiri dulu, sebelum nak menyalahkan orang lain.

Jadi ada tanda pada kisah mereka ini. Bukan sahaja dari Nabi Yusuf tapi juga dari adik beradiknya sekali. Dalam kisah mereka terdapat pengajaran yang kita kena ambil tahu.

Apakah tanda itu? Itulah tanda bahawa Allah Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa dalam setiap perkara.

 

لِّلسّائِلينَ

bagi orang-orang yang bertanya.

Yang dimaksud ‘bertanya’ itu adalah orang Yahudi. Mereka yang menimbulkan persoalan tentang Bani Israil dan Allah sedang jawap kepada mereka. Kepada mereka pun akan mendapat pengajaran – tentang bagaimana Bani Israil dapat berada di Mesir (sedangkan mereka asalnya dari tempat lain) dan kisah ini sepatutnya cukup bagi mereka untuk masuk Islam, kerana kisah ini hebat.

Kisan dan kandungan surah ini adalah menjawap persoalan yang dikemukan untuk membantah kerasulan Nabi Muhammad. Musyrikin Mekah telah bertanya kepada puak Yahudi bagaimana hendak berhujah dan menolak Nabi Muhammad. Maka puak Yahudi suruh tanya tentang kisah Nabi Yusuf kerana kisah itu mereka tahu ada dalam kitab mereka sahaja – orang Arab tentu tidak tahu. Dan apabila Nabi Muhammad boleh menceritakan tentang Nabi Yusuf, maka ini menjadi hujah dan dalil bahawa baginda memang seorang Rasul – kerana kisah ini bukanlah dari sejarah bangsa Arab, maka ia tentunya dari wahyu Allah. Maka tentulah Nabi Muhammad itu benar seorang Rasul.


 

Ayat 8: Ini adalah keadaan ke 2. Allah memberitahu bahawa apa yang Nabi Ya’kub bimbangkan itu tetap tidak dapat disekat. Walaupun dia dah beri nasihat kepada Yusuf supaya jangan menyebut apa yang dia mimpikan itu kerana takut adik beradiknya tahu dan ambil tindakan, tetap juga terjadi. Kerana itu semua ada dalam taqdir Allah dan Allah yang mahukan ianya terjadi begitu.

إِذ قالوا لَيوسُفُ وَأَخوهُ أَحَبُّ إِلىٰ أَبينا مِنّا وَنَحنُ عُصبَةٌ إِنَّ أَبانا لَفي ضَلٰلٍ مُّبينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

When they said, “Joseph and his brother¹ are more beloved to our father than we, while we are a clan. Indeed, our father is in clear error.

  • Benjamin, who was born of the same mother as Joseph.

(MALAY)

(Yaitu) ketika mereka berkata: “Sesungguhnya Yusuf dan saudara kandungnya (Bunyamin) lebih dicintai oleh ayah kita dari pada kita sendiri, padahal kita (ini) adalah satu golongan (yang kuat). Sesungguhnya ayah kita adalah dalam kekeliruan yang nyata.

 

إِذ قالوا لَيوسُفُ

ketika mereka berkata: “Sesungguhnya Yusuf

Dalam ayat ini, ada tawkid (huruf ل pada لَيوسُفُ) pada Nabi Yusuf, menunjukkan penekanan dari mereka – kerana mereka benci sungguh kepada dia. Mereka ada irihati terhadapnya.

 

وَأَخوهُ

dan saudara kandungnya

Yang dimaksudkan adalah adiknya Bunyamin. Mereka ada 12 adik beradik. Tapi berlainan emak. 10 dari mereka dari satu emak dan Nabi Yusuf satu perut dengan adiknya Bunyamin.

 

أَحَبُّ إِلىٰ أَبينا مِنّا

lebih dicintai oleh ayah kita dari pada kita sendiri,

Mereka sudah tahu yang bapa mereka lebih sayang kepada Nabi Yusuf dan Bunyamin. Tapi lihat bagaimana susunan ayat ini: ‘Yusuf dan adiknya lebih disayangi’, bukannya: ‘ayah kita lebih sayang mereka lagi’.  Ini menunjukkan ada penekanan pada Yusuf dan adiknya, bukannya Nabi Ya’kub. Mereka lebih marah kepada Nabi Yusuf dan Bunyamin kerana mereka berdua adalah anak yang baik dan menjadikan mereka nampak teruk (bila ada yang baik, nampaklah mereka jadi teruk). Mereka lebih marah kepada Yusuf dan Bunyamin dari mereka marah kepada Nabi Ya’kub.

Adakah Nabi Ya’kub bersalah kerana terlebih sayang kepada dua anaknya itu? Kita kena faham bahawa perasaan kasih Nabi Ya’qub itu adalah secara naluri biasa dan bukan kerana syar’i. Memang perasaan baginda sayang kepada dua beradik itu dan bukan dibuat-buat. Dan oleh kerana begitu, maka Nabi Ya’qub tidak bersalah. Kesalahan hanya berlaku apabila tidak berlaku adil dari segi pemberian.

Kenapa Nabi Ya’qub menyayangi Nabi Yusuf dan adiknya Bunyamin?

  1. Kerana keduanya masih kecil berbanding abang-abang tirinya. Mengikut sesetengah riwayat, ibu mereka berdua telah meninggal.
  2. Tambahan pula, Nabi Ya’qub telah mengetahui kedudukan Nabi Yusuf yang gemilang samada melalui ilham atau melalui wahyu.
  3. Disamping itu, kecantikan dan perwarakan Nabi Yusuf telah menarik perhatian Nabi Ya’qub.

 

وَنَحنُ عُصبَةٌ

padahal kita (ini) adalah satu golongan

عُصبَةٌ bermaksud kumpulan yang kuat yang terdiri dari 5 – 10 orang. Dari kalimah inilah jadi asabiyyah – perkauman yang melebihkan keturunan dan puak sendiri. Mereka rasa mereka kuat kerana mereka lebih ramai dari Yusuf dan Bunyamin. Mereka rasa kekuatan kekeluargaan 10 orang mereka itu lebih kuat dan mereka rasa berlagak dengan kumpulan sendiri. Mereka rasa mereka patut lebih disayangi oleh bapa mereka.

Pahahal Nabi Ya’kub lebih sayangkan dua adik beradik itu kerana memang bersifat dan berakhlak baik kalau dibandingkan dengan abang-abang mereka. Terutama sekali Nabi Yusuf bakal menjadi Nabi, maka tentu Nabi Ya’kub sayang dia lebih lagi kerana akan meneruskan perjuangannya nanti.

 

إِنَّ أَبانا لَفي ضَلٰلٍ مُّبينٍ

Sesungguhnya ayah kita adalah dalam kekeliruan yang nyata.

Sekarang mereka mengutuk bapa mereka pula. Mereka rasa ayahnya buat silap dengan lebih sayang kepada dua beradik itu. Begitulah sifat dengki manusia tidak ada batasan. Sudahlah mereka benci dua beradik itu, sekarang mereka salahkan ayah mereka pula.

Kalimah ضَلالٍ dalam ayat ini bukan bermaksud ‘sesat’, tapi ‘silap’. Jangan kita silap terjemah pula kerana dalam ayat Qur’an yang lain, ada digunakan kalimah ضَلالٍ untuk membawa maksud ‘sesat’. Jadi kita kena pandai lihat kepada konteks ayat.

Begitulah bahayanya perasaan dengki dalam hati. Ia sampai boleh membawa kepada pembunuhan. Dengki juga menghilangkan pahala amal kebaikan seperti api memakan kayu api seperti disebut dalam hadis.

Alamat dengki:

  1. Tidak boleh melihat orang lain mendapat kesenangan.
  2. Merasa suka apabila melihat orang lain mendapat kesusahan, dimana mereka yang dengki akan berkata: “padan muka dia”.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 012: Yusuf. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s