Tafsir Surah al-Ikhlas Ayat 2 – 4 (Allah tiada bandingan)

Ayat 2:

اللَّهُ الصَّمَدُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh, the Eternal Refuge.¹

  • i.e., the one sought in times of difficulty and need, the one depended upon by all existence.

(MALAY)

Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu.

الصَّمَدُ bermakna:

  1. Sesuatu yang mencukupi, kepada mereka yang merujuk kepadaNya. Ini kerana Dialah yang memakbulkan segala permintaan dan harapan dan menjawap segala persoalan. Waktu kita memerlukan apa-apa, Dialah yang akan memberikannya. Maksudnya, cukuplah Allah sebagai tempat pengharapan kita.
  2. Maksud kedua, Allahlah tumpuan dan tujuan kita. Ini adalah kerana kalimah صمد juga bermaksud tempat tujuan. Inilah antara sebab kenapa surah ini dinamakan Surah al-Ikhlas, kerana Allah lah tempat tujuan kita, bukan yang lain dariNya. Kita melakukan apa-apa pun, kerana Allah taala.
  3. Kalimah الصَّمَدُ juga bermaksud Allah tidak memerlukan apa-apa dan sesiapa, kerana Dia berada di atas sekali. Tidak ada yang melebihiNya dari segi kedudukan dan sifat.
  4. Ia juga bermaksud, tidak ada kecacatan dan kekurangan langsung.
  5. Tidak boleh dikalahkan.
  6. Yang paling hebat dan utama, kekal sampai bila-bila. Menjadi tempat pengharapan semua. Kerana kalau tidak kekal, tidaklah boleh berharap padanya.
  7. Dari segi sifat, الصَّمَدُ bermaksud sesuatu yang padat, tidak ada lubang dan ruang di dalamnya. Allah memenuhi nama yang diberikan kepadaNya. Sebagai contoh, kalau manusia nama Rahman (pemurah), sebenarnya dia tidak rahman penuh pun. Berbeza dengan Allah, kerana Dia memenuhi dan memadatkan nama itu.

Ayat ini menambah maklumat tentang Allah yang telah disebut dalam ayat 1 sebelum ini. Allah memberitahu lagi tentang sifatNya kerana Musyrikin Mekah tidak kenal dengan Allah. Mereka memang menerima kedudukan Allah sebagai Pencipta, tapi mereka tidak menerimaNya sebagai أَحَدٌ dan juga sebagai الصَّمَدُ. Mereka tidak meletakkan ال pada الصَّمَدُ sebagai pernyataan bahawa Dialah tempat pengharapan yang utama. Kerana itu mereka minta juga kepada selain Allah.

Pemahaman الصَّمَدُ ini penting kerana apabila kita faham, kita lebih kenal Allah sebagai tempat pengharapan – semua makhluk memerlukanNya tapi Dia sendiri tidak memerlukan makhluk. Dalam Surah al-Masad sebelum ini telah disebut sifat Musyrikin Mekah seperti Abu Lahab yang rasa mereka kaya dan tidak memerlukan sesiapa; maka dalam ayat ini Allah hendak menegaskan yang tidak memerlukan sesiapa sahaja adalah Allah sahaja.

Oleh kerana itu, hendaklah kita memohon kepada Allah sahaja kerana Dialah الصَّمَدُ. Tidak perlu kita minta kepada selain Allah. Kerana selain Allah tidak ada sifat ini. Malangnya ramai orang Islam pun yang meminta kepada selain Allah. Yang paling teruk ada puak Syiah yang meminta terus kepada Hussein, Saidina Ali dan sebagainya. Itu adalah fahaman syirik dan perlu dijelaskan kepada masyarakat kita.


 

Ayat 3:

لَم يَلِد وَلَم يولَد

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He neither begets nor is born,

(MALAY)

Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan,

Kalimah لَم bermaksud ‘tidak’, tapi ianya adalah penolakan untuk yang telah lepas (beza dengan لا). Ia mengubah kalimah selepasnya menjadi past tense – oleh itu, kalimat لَم يَلِد bermaksud ‘tidak pernah beranak’, dan bukannya ‘tidak beranak’. Ini kerana Allah tidak gunakan kalimah لا يَلِد. Kenapa Allah gunakan لَم untuk masa lepas pula?

Ini kerana kalau Allah guna لا sahaja, ia bermaksud ‘sekarang’ Allah tidak beranak. Dan ini tidak lengkap kerana mungkin kalau sekarang Dia tidak melahirkan, entah ada kemungkinan yang Dia pernah melahirkan – dan ini adalah salah. Maka Allah beritahu yang dari dulu lagi Dia tidak beranak untuk tutup segala lubang kemungkinan fahaman yang salah.

Dalam ayat pertama Allah sudah kata yang Dia adalah أَحَدٌ – dan kita telah jelaskan yang ia bermaksud Allah tidak sama dengan makhluk. Makhluk memang ada melahirkan anak dan keturunan, tapi Allah lain dengan makhluk.

Dan kalimah لَم menidakkan yang dulu Allah pernah ada melahirkan. Ini menolak fahaman Musyrikin Mekah yang kata malaikat adalah anak-anak perempuan Allah; menolak juga fahaman golongan Yahudi yang mengatakan Nabi Uzair a.s. adalah anak Allah; juga menidakkan fahaman Kristian yang mengatakan Nabi Isa a.s. itu adalah anak Allah. Ayat ini turun selepas fahaman-fahaman itu telah ada. Maka Allah tolak apa yang mereka katakan itu dengan menidakkan yang dulu Allah ada anak.

Tapi tidakkah dengan menidakkan perkara yang telah berlaku itu tidak lengkap? Kerana kalau dulu tidak beranak, entah sekarang ada beranak? Sebenarnya ini adalah satu perkara yang hebat juga – kerana agama yang kata Allah ada anak adalah agama-agama yang dulu. Agama baru tidak ada yang kata begitu – sebab itu tepat sekali apabila Allah menggunakan kalimah لَم dan bukan لا. Semua agama yang kata Allah ada anak itu adalah agama-agama yang datang sebelum Qur’an turun.

Dan tidak perlu untuk menolak perkara yang berlaku di masa hadapan pun kerana apabila Allah telah tolak yang Dia tidak pernah beranak dulu, samalah juga dengan masa hadapan pun. Jawapan telah diberikan dari dulu lagi. Bila ia tidak pernah berlaku, maka it tidak akan berlaku di masa hadapan.

Tidak mungkin Allah ada anak kerana itu bermakna ada yang setara dengan Allah dan ini tidak mungkin. Kalau seekor kucing melahirkan anak, anaknya itu juga adalah kucing bukan (dan setara dengannya). Maka kalau Allah melahirkan anak, tentulah anak itu ada sifat-sifat Dia juga, dan ini tidak mungkin. Allah berfirman dalam An’am:101

أَنّىٰ يَكونُ لَهُ وَلَدٌ وَلَم تَكُن لَهُ صاحِبَةٌ

Bagaimana Dia mempunyai anak padahal Dia tidak mempunyai isteri.

Kalau Dia nak beranak, kenalah ada pasangan, bukan? Macam manusia yang beranak, setelah ada perhubungan dengan manusia juga. Tapi Allah tidak ada pasangan, tidak ada yang setara dengannya, maka ini tidak mungkin sama sekali.

Kenapa penting sekali kita tolak fahaman yang Allah ada anak ini? Apa masalahnya kalau Dia ada anak? Ianya penting kerana fahaman sesat inilah yang menyebabkan manusia melakukan syirik. Fahaman sesat inilah yang menjadikan manusia mengubah agama Allah (Yahudi dan Kristian asalnya adalah agama Allah juga). Faham sesat inilah yang menjadikan manusia kufur.

Kita buat perumpamaan supaya senang faham: bayangkan kalau kita kerja di satu syarikat. Syarikat itu ada tuannya dan sepupu dia yang rapat dengannya pun ada kerja juga dalam syarikat itu. Kita tahu yang tuan syarikat itu dengar cakap sepupunya maka apa yang ramai orang akan buat? Tentu mereka akan cuba berkawan rapat dengan sepupu tuan syarikat itu, bukan? Mereka akan layan dia dengan baik supaya dia boleh tolong kalau ada masalah. Maka macam-macam orang akan buat untuk sepupu itu – puji, belanja makan, tolong itu dan ini dan sebagainya. Sedangkan dengan tuan punya syarikat itu sendiri sudah tidak buat apa dah.

Begitulah yang terjadi dalam agama yang sesat. Mereka akan puja dan beribadat kepada yang dikatakan ‘anak Tuhan’ itu – seperti Nabi Isa, Uzair, malaikat. Dengan Allah sendiri mereka sudah tidak buat apa dah. Tanyalah kepada orang Kristian sekarang, ada mereka berdoa dan sembah God the Father? Tentu tidak, sebaliknya yang mereka sembah dan puja, minta doa dan minta ampun hanya kepada Jesus sahaja, bukan? Begitulah mereka telah disesatkan dengan fahaman sesat ini. Kerana itulah kena tolak sungguh-sungguh fahaman yang mengatakan Allah ada anak ini. Kerana itulah fahaman syirik.

Ini adalah kerana manusia mengharapkan ada ‘orang tengah’ antara mereka dan Allah. Mereka mengharap orang tengah itu yang akan menjadi peguam dan penyelamat mereka di akhirat kelak. Ini adalah salah faham tentang syafaat yang banyak terjadi dalam masyarakat kita pun. Memang kita tidak kata Allah ada anak, tapi kita salah faham tentang syafaat sampaikan kita sangka kita boleh pula minta syafaat kepada Nabi, wali dan malaikat. Kerana itulah Puak Habib itu memuja-muja Nabi Muhammad dan minta terus syafaat dari baginda – ini kerana salah faham tentang konsep syafaat. Orang kita yang jahil pula, terpesona dengan nyanyian merdu dan perawakan mereka, terkinja-kinja menari-nari memuja Nabi. Buang duit dan buang masa. Itulah masalahnya kalau capal yang patutnya letak di kaki diletakkan di kepala…

Maka, janganlah kita buat begitu. Allah telah sebut yang Dia adalah الصَّمَدُ – satu-satunya tempat pengharapan. Janganlah berharap kepada selain dariNya. Dia tidak perlukan ‘anak’, ‘orang tengah’, ‘wasilah’ dan apa sahaja pemberi syafaat selain dariNya, kerana Dialah pemberi syafaat yang sebenar.

Allah juga memberitahu kita yang Dia وَلَم يولَد (tidak diperanakkan). Tidak ada yang melahirkan Allah. Allah tidak sama dengan makhluk. Makhluk memang dijadikan dari tidak ada kepada ada. Dan kalaulah Allah dilahirkan, ini bermaksud Allah ada ‘permulaan’. Dan yang ada ‘permulaan’, tentu ada ‘akhirnya’ dan ini bukan sifat Allah. Kerana Allah kekal sampai bila-bila. Kalau tidak kekal, bukan Tuhanlah maknanya.


 

Ayat 4: Ayat terakhir surah ini. Dan kalau kita lihat, setiap ayat adalah tafsir kepada ‘أَحَدٌ’. Iaitu menidakkan fahaman yang Allah sama dengan makhluk. Maka sekarang dijelaskan lagi fahaman ini.

وَلَم يَكُن لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Nor is there to Him any equivalent.”

(MALAY)

dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia”.

Kalimah كُفُوًا adalah pasangan setanding, boleh juga jadi lawan yang sama kuat dalam peperangan. Iaitu seorang yang sama darjat dalam kedudukan, sama taraf. Kerana itu juga ia digunakan dalam istilah perkahwinan (perkahwinan sekufu adalah perkahwinan di mana suami dan isteri itu adalah sama taraf).

Dalam ayat ini, Allah memberitahu kita semua yang Dia tidak ada kufu – tidak ada yang setanding atau sama taraf denganNya.

Susunan ayat ini tidak menepati susunan normal bahasa Arab. Susunan yang normal begini: وَلَم يَكُن أَحَدٌ كُفُوًا لَهُ (dan tidak ada yang setanding untukNya). Tapi tidak begini yang Allah susun dalam Qur’an – Allah letak kalimah أَحَدٌ di hujung, kalimah لَهُ diawalkan dan kalimah كُفُوًا di tengah. Susunan yang normal akan meletakkan DiriNya (لَهُ) di hujung, tapi Allah ubah dan letakkan katagantinamaNya di awal.

Kaedah ini dinamakan taqdim – meletakkan sesuatu di awal (lain dari yang sepatutnya) dan ia mengandungi elemen balaghah yang tinggi. Ini adalah untuk menunjukkan eksklusif. Maknanya, memang tidak ada langsung yang sama denganNya – tidak ada langsung. Dan hanya Allah sahaja yang tidak ada kufu dan selain dari Allah ada sahaja kufu mereka. Contohnya, kalau raja, ada raja lain; kalau orang kaya, ada orang lain yang sama kaya dengan dia; dan kalau planet, ada lagi planet lain.

 

Khulasah surah ini: 

  1. Bahagian awal surah ini menceritakan tentang keunikan Allah.
  2. Bahagian kedua surah ini menceritakan tentang Rahmah Allah – kerana Dialah tempat kita bergantung dan berharap.
  3. Bahagian ketiga surah ini menekankan yang Allah tidak ada kelemahan langsung. Kerana keperluan kepada anak adalah satu kelemahan. Manusia memerlukan anak untuk menjaganya di hari tuanya. Tapi Allah tidak memerlukan semua itu kerana Dia kekal berkuasa. Kalau manusia tidak ada anak, dia dikira lemah; tapi bagi Tuhan, ketiadaan anak itu adalah tanda kekuatanNya.

 

Penutup:

Surah ini adalah surah yang amat penting. Setiap orang kena faham surah ini. Kena ajar maksud surah ini kepada anak-anak kita. Bukan setakat mereka baca dan hafal sahaja. Mereka kena kenal Allah melalui surah ini.

Dengan surah ini juga kita tahu bahawa Allah akan sentiasa membantu kita kerana Dia tidak ada sesiapa pun yang setara denganNya untuk menghalang pertolonganNya. Kerana kalau ada yang sama kuat dengan Allah, tentu boleh dihalang pertolongan Allah itu. Tapi tidak begitu – kalau seluruh dunia nak halang kita, nak bunuh kita tapi kalau Allah tidak benarkan, ia tidak akan terjadi.

Oleh itu, kita kena yakin dan serahkan diri kita kepada Allah seluruhnya. Sebab itulah salah satu lagi nama surah ini adalah Surah an-Najaat – Surah Penyelamat – kerana ia menyelamatkan kita dari kesedihan, kesusahan, dari neraka. Dan kerana para sahabat faham surah inilah yang menyebabkan mereka mencintainya dan suka membacanya. Oleh itu kalau kita ada masalah, kita rujuk dan serah diri kita kepada Allah. Dan malang kalau kita berharap dan minta tolong kepada selain Allah, kerana entah dapat ditolong atau tidak. Kerana mereka tidak dapat nak tolong pun kalau tidak ada pertolongan dari Allah.

Semoga kita dapat menerapkan pemahaman surah ini dalam diri kita. Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Falaq.


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Maulana Hadi

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 112: al-Ikhlas. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s