Tafsir Surah al-Ikhlas Ayat 1 (Surah Tauhid)

Pengenalan:

Apakah kaitan surah Ikhlas ini dengan surah Masad sebelum ini:

1 – Menggunakan stail (sajak) yang sama. Lihatlah bagaimana hujung setiap ayat diakhiri dengan qalqalah.

2 – Mengubah perhatian kepada perkara yang lebih penting. Sebelum ini Surah Masad memperkatakan tentang Abu Lahab yang mengganggu dakwah Nabi Muhammad. Abu Lahab mengganggu perhatian Nabi kerana Abu Lahab sentiasa mengganggunya. Nabi asyik fikir tentang Abu Lahab sahaja. Tambahan pula dia adalah bapa saudara Nabi dan duduk pun di sebelah rumah baginda sahaja. Jadi selalulah mereka berjumpa.

Oleh itu, dalam surah sebelum ini Allah berjanji kepada baginda untuk memusnahkan Abu Lahab sedikit demi sedikit. Dan Allah beritahu yang usaha Abu Lahab itu tidak akan berjaya untuk mengganggu dakwah baginda. Dia tidak akan berhasil untuk memusnahkan agama Islam. Ini menghilangkan kerisauan satu dari kerisauan baginda yang besar supaya baginda boleh tumpukan perhatian kepada perkara yang lebih penting lagi. Kalau dalam surah al-Kaafiroon, Allah suruh Nabi Muhammad yang beritahu kepada orang kafir (dengan kalimah قل), tapi dengan Abu Lahab, Allah sendiri yang cakap. Ini memberi erti, Allah sendiri yang akan berurusan dengan Abu Lahab itu – Nabi tidak perlu bimbang, semuanya akan beres. Cuma fokus pada dakwah sahaja sekarang.

Surah ini juga ada kaitan dengan surah terawal sekali, iaitu Surah Fatihah. Ada kaitan yang menarik juga. Kalau kita lihat ada perkara yang disentuh dalam Surah Fatihah dan disambung dalam surah-surah terakhir ini:

  1. Dalam al-Fatihah, kita sebut الحَمدُ لِلَّهِ (Segala pujian untuk Allah) dan dalam Surah al-Ikhlas ini Allah sambung memberitahu kita siapakah Allah itu.
  2. Dalam al-Fatihah, kita baca رَبِّ العالَمينَ (Tuhan sekelian alam) dan kalimah disentuh sekali lagi dalam Surah al-Falaq dan an-Nas.

Oleh itu, sesuatu yang dimulakan dalam awal Qur’an dilengkapkan di hujung Qur’an.

Kita telah sentuh tentang sifat 10 surah-surah terakhir dalam Qur’an dan kita telah lihat bagaimana 7 surah sebelum ini adalah tentang sirah Nabi yang dihabiskan dengan surah al-Masad. Sekarang surah Qur’an ini kembali kepada agenda yang utama iaitu tentang tauhid. Allah ingatkan balik tentang apakah yang utama kita kena ingat. Kadang-kadang kalau kita sudah berperang sekian lama, kita sampai lupa kenapa kita berperang pada awalnya. Jadi Allah ingatkan kembali apakah punca utama kenapa umat Islam dan orang kafir bertegang urat dan tidak dapat bersama – ini adalah kerana perbezaan fahaman dan pegangan tengan tentang tauhid.

Dari hadis, kita dapat tahu yang Nabi Muhammad selalu membaca Surah al-Ikhlas ini bersama dengan Surah al-Kaafiroon. Ini memerlukan perhatian kita, kerana dua surah ini tidak berturutan pun, jadi kenapa baginda membacanya dalam rakaat pertama dan rakaat kedua? Tentu ada kaitan antara dua surah ini, tapi apakah ia?

1 – Dalam Surah al-Kaafiroon, sudah jelas yang Islam dan kufur bukanlah agama yang sama. Mereka ada agama mereka dan kita ada agama kita. Tidak ada kompromi langsung antara keduanya. Walaupun sekali tengok macam ada persamaan. Musyrikin Mekah juga beribadat di Ka’bah seperti juga umat Islam; mereka juga kenal Allah sebagai Tuhan yang satu.

Oleh itu, memang ada persamaan, tapi tidaklah itu sebagai dalil yang Islam dan kufur itu sama. Ini jelas di hujung surah itu: لَكُم دينُكُم وَلِيَ دينِ. [begitulah juga dengan agama Syiah – mereka itu bukan Islam dan bukan salah satu mazhab dari agama Islam walaupun ada persamaan. Apabila dikatakan yang mereka itu satu ‘mazhab’, maka banyak masalah akan timbul kerana manusia tidak nampak kesesatan mereka].

Baik, kembali kepada perbincangan tentang Surah Kaafiroon dan Ikhlas. Dalam Surah Kaafiroon telah diberikan pembeza antara dua agama yang amat berlainan ini – agama Islam dan agama kufur. Dan diterangkan dalam Surah al-Ikhlas bahawa agama Islam itu bezanya dengan agama lain adalah tauhid.

Maka Surah Ikhlas adalah tentang tauhid dan serangan kepada tauhid adalah dari dalam dan luar. Serangan dari luar disentuh dalam Surah al-Falaq dan serangan dari dalam disentuh dalam Surah an-Nas yang kita akan belajar nanti. Oleh itu, ketiga-tiga surah ini ada kaitan (sebab itu dikenal sebagai tiga qul).

2. Di dalam Surah al-Kaafiroon, nama Allah tidak disebut pun. Cuma disebut yang mereka tidak sembah apa yang kita sembah – tapi apakah yang kita sembah? Maka dalam Surah Ikhlas ini diterangkan dengan jelas yang kita hanya menyembah Allah sahaja dan diterangkan pula sifat-sifat Allah di dalamnya.

3 – Surah Kafiroon dimulakan dengan kalimah قُل dan begitu juga dengan Surah Ikhlas ini. Sedangkan Surah al-Masad di tengahnya tidak ada kalimah قُل. Jadi ini pun kaitan yang rapat juga.

4. – Surah al-Kaafiroon dan Surah al-Ikhlas mempunyai nama lain yang sama. Para sahabat memang memberi nama timangan yang banyak untuk surah-surah yang mereka suka dan mereka banyak baca. Sebagai contoh, nama Surah al-Ikhlas ada lebih dari 20 nama yang lain.

Salah satu nama yang diberikan kepada Surah al-Ikhlas adalah al Mukashkish – yang menghilangkan penyakit. Dan nama ini juga sebenarnya digunakan juga untuk Surah al-Kaafiroon. Ini adalah kerana kedua-duanya menyembuhkan manusia dari penyakit syirik. Surah al-Kaafiroon menyembuhkan dari ‘syirik amalan’ dan Surah al-Ikhlas menyembuhkan dari ‘syirik hati’.

Berikut adalah nama-nama lain bagi Surah al Ikhlas:

2 – Surah at-Tafreed – yang bermaksud ‘tunggal’ kerana surah ini memperkatakan sifat Allah yang tunggal – tidak ada yang sama denganNya.

3 – surah at-Tajreed – surah yang membuang segala salah faham terhadap Allah.

4 – surah at-TaWheed – surah tentang tauhid kerana ia memperkatakan sifat Allah yang tauhid.

5 – surah al Ma’rifah – yang bermaksud ‘pengenalan’. Ianya memperkenalkan Allah dan kalau tidak faham surah ini, bermakna seseorang itu tidak kenal siapakah Allah.

6 – surah as-Samad – Kalimah ini kita akan belajar nanti. Dalam Qur’an, dalam surah ini sahaja digunakan kalimah ini. Dan kerana itulah Surah al-Ikhlas juga dikenali sebagai Surah as-Samad.

7 – surah al Assaas – yang bermaksud ‘pati’. Ini adalah kerana di dalam surah ini disebut tentang asas atau pati dakwah Rasulullah iaitu mentauhidkan Allah.

Dan tauhid ini adalah perkara yang amat penting sekali perlu ditekankan dan difahami oleh semua manusia. Begitu pentingnya tauhid ini dan buruknya syirik, sampaikan Allah amat murka apabila ada yang mengatakan Allah ada mempunyai anak. Ini disebut dalam Maryam: 90.

تَكادُ السَّماواتُ يَتَفَطَّرنَ مِنهُ وَتَنشَقُّ الأَرضُ وَتَخِرُّ الجِبالُ هَدًّا

hampir-hampir langit pecah kerana ucapan itu, dan bumi belah, dan gunung-gunung runtuh,

Begitu murka sekali Allah kalau ada manusia yang melakukan kesyirikan sampaikan hampir-hampir alam ini pecah dan hancur berderai. Maka kenalah kita faham benar-benar tentang tauhid dan tentang syirik supaya kita boleh amalkan tauhid dan tinggalkan syirik. Tidak mungkin ada ilah lain selain Allah kerana kalau begitu, akan kacau bilaulah alam ini seperti yang disebut dalam Anbiya 21:22

لَو كانَ فيهِما آلِهَةٌ إِلَّا اللَّهُ لَفَسَدَتا

Sekiranya ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan selain Allah, tentulah keduanya (langit dan bumi) itu telah rosak binasa.

Alam akan hancur binasa kalau ada tuhan yang lain kerana seorang tuhan nak begini dan seorang lagi tuhan hendak begitu – maka kacau bilau jadinya. Sebab itu kita lihat agama yang ada lebih dari satu tuhan mempunyai kekarutan yang amat sangat – seperti agama Hindu, agama Greek dan lain-lain lagi. Selalu kita baca tentang kisah tuhan-tuhan mereka berkelahi dan berlawanan sesama mereka. Memang mengarut sungguh. Kalau dah ada banyak yang ada kuasa, memanglah ada perlawanan antara merek. Maka ini adalah sebagai hujah juga untuk mengatakan yang tidak mungkin ada lebih dari satu tuhan. Hanya ada satu Tuhan sahaja iaitu Allah.

Sebelum ini telah disebut tentang kemenangan umat Islam dalam Surah an-Nasr. Kemenangan umat Islam itu adalah kerana mereka mentauhidkan Allah. Apabila mentauhidkan Allah, Allah akan beri bantuan. Zaman sekarang kita rasa amat lemah sekali kalau dibandingkan dengan kuasa orang kafir. Kalau mahu kembali kepada kemenangan zaman dahulu, maka kita hendaklah kembali kepada tauhid. Dan ini dimulai dengan belajar tafsir Qur’an.

Terdapat khilaf samada surah ini adalah Makkiyyah atau Madaniyyah. Ada juga yang mengatakan ianya diturunkan dua kali – sekali di Mekah dan sekali lagi di Madinah. Ini mungkin timbul kerana ada yang baru mendengar surah ini dibacakan di Madinah maka mereka sangka ianya diturunkan di Madinah, padahal ianya telah diturunkan di Mekah.

Seperti yang kita tahu, Musyrikin Mekah juga kenal Allah dan mereka juga menggunakan nama ‘Allah’ juga dalam agama mereka. Masalah dengan mereka adalah mereka mengadakan ilah lain selain Allah. Oleh itu, apabila Nabi Muhammad mengajar mereka tentang tauhid dan memberitahu mereka tentang Tuhan dan ilah itu hanya Allah sahaja, mereka hairan. Mereka keliru, adakah Allah yang dimaksudkan oleh Rasulullah itu sama dengan Allah yang mereka kenal? Terdapat di dalam beberapa riwayat yang dibawakan oleh ahli tafsir bahawa asal mula surah ini diturunkan adalah kerana pernah orang musyrikin meminta kepada Rasulullah SAW: صف لنا ربك – Shif lanaa rabbaka’ (Cuba jelaskan kepada kami apa macamnya Tuhanmu itu, emaskah dia atau tembaga atau loyangkah?).

Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Termidzi daripada Ubay bin Ka’ab, memang ada orang musyrikin meminta kepada Nabi SAW supaya dihuraikannya nasab (keturunan atau sejarah) Tuhannya itu. (Kerana dia kata semua dijadikan oleh Allah, tapi siapakah yang menjadikan Allah?) Maka datanglah surah yang tegas ini tentang Tuhan. Persoalan mereka itu telah menyebabkan Rasulullah murka dan Allah menurunkan Surah al-Ikhlas ini untuk menjawap persoalan mereka itu.

 

Kelebihan surah ini: 

Hadits A’isyah Radhiyallahu ‘anha, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ بَعَثَ رَجُلاً عَلَى سَرِيَّةٍ، وَكَانَ يَقْرَأُ لأَصْحَابِهِ فِي صَلاَتِهِ، فَيَخْتِمُ بِـ قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ، فَلَمَّا رَجَعُوا، ذَكَرُوا ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ ، فَقَالَ: ((سَلُوْهُ، لأَيِّ شَيْءٍ يَصْنَعُ ذَلِكَ؟))، فَسَأَلُوْهُ، فَقَالَ: لأَنَّهَا صِفَةُ الرَّحْمَنِ، وَأَنَا أُحِبُّ أَنْ أَقْرَأَ بِهَا، فَقَالَ النَّبِيُّ : ((أَخْبِرُوْهُ أَنَّ اللهَ يُحِبُّهُ)).

“Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam mengutus seseorang kepada sekelompok pasukan, dan ketika orang itu mengimami yang lainnya di dalam solatnya, ia membaca, dan mengakhiri (bacaannya) dengan قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ, maka tatkala mereka kembali pulang, mereka menceritakan hal itu kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam, lalu beliau pun bersabda: “Tanyalah ia, mengapa ia berbuat demikian?” Lalu mereka bertanya kepadanya. Ia pun menjawab: “Kerana surath ini (mengandung) sifat ar Rahman, dan aku mencintai untuk membaca surat ini,” lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Beritahu dia, sesungguhnya Allah pun mencintainya”. Riwayat Bukhari dan Muslim.

Hadits Anas bin Malik Radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata :

كَانَ رَجُلٌ مِنَ الأَنْصَارِ يَؤُمُّهُمْ فِي مَسْجِدِ قُبَاءٍ، وَكَانَ كُلَّمَا اِفْتَتَحَ سُوْرَةً يَقْرَأُ بِهَا لَهُمْ فِي الصَّلاَةِ مِمَّا يَقْرَأُ بِهِ، اِفْتَتَحَ قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ، حَتَّى يَفْرَغَ مِنْهَا. ثُمَّ يَقْرَأُ سُوْرَةً أُخْرَى مَعَهَا، وَكَانَ يَصْنَعُ ذَلِكَ فِي كُلِّ رَكْعَةٍ. فَكَلَّمَهُ أَصْحَابُهُ، فَقَالُوا: إِنَّكَ تَفْتَتِحُ بِهَذِهِ السُّوْرَةِ، ثُمَّ لاَ تَرَى أَنَّهَا تُجْزِئُكَ حَتَّى تَقْرَأَ بِأُخْرَى، فَإِمَّا تَقْرَأُ بِهَا، وَإِمَّا أَنْ تَدَعَهَا وَتَقْرَأَ بِأُخْرَى. فَقَالَ: مَا أَنَا بِتَارِكِهَا، إِنْ أَحْبَبْتُمْ أَنْ أَؤُمَّكُمْ بِذَلِكَ فَعَلْتُ، وَإِنْ كَرِهْتُمْ تَرَكْتُكُمْ. وَكَانُوا يَرَوْنَ أَنَّهُ مِنْ أَفْضَلِهِمْ، وَكَرِهُوا أَنْ يَؤُمَّهُمْ غَيْرُهُ. فَلَمَّا أَتَاهُمْ النَّبِيُّ n أَخْبَرُوْهُ الخَبَرَ، فَقَالَ: ((يَا فُلاَنُ، مَا يَمْنَعُكَ أَنْ تَفْعَلَ مَا يَأْمُرُكَ بِهِ أَصْحَابُكَ؟ وَمَا يَحْمِلُكَ عَلَى لُزُوْمِ هَذِهِ السُّوْرَةِ فِي كُلِّ رَكْعَةٍ؟)) فَقَالَ: إِنِّي أُحِبُّهَا، فَقَالَ: ((حُبُّكَ إِيَّاهَا أَدْخَلَكَ الْجَـنَّةَ)).

“Seseorang (sahabat) dari al Anshar mengimami (salat) mereka (para sahabat lainnya) di Masjid Quba. Setiap ia membuka bacaan (di dalam salatnya), ia membaca sebuah surah dari surah-surah (lainnya) yang ia (selalu) membacanya. Ia membuka bacaan surah di dalam salatnya dengan قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ, sampai ia selesai membacanya, kemudian ia lanjutkan dengan membaca surat lainnya bersamanya. Ia pun melakukan hal demikan itu di setiap raka’at (salat)nya. (Akhirnya) para sahabat lainnya berbicara kepadanya, mereka berkata: “Sesungguhnya engkau membuka bacaanmu dengan surat ini, kemudian engkau tidak menganggap hal itu telah cukup bagimu sampai (engkau pun) membaca surat lainnya. Maka, (jika engkau ingin membacanya) bacalah surat itu (saja), atau engkau tidak membacanya dan engkau (hanya boleh) membaca surah lainnya”. Ia berkata: “Aku tidak akan meninggalkannya. Jika kalian suka untuk aku imami kalian dengannya, maka aku lakukan. Namun, jika kalian tidak suka, aku tinggalkan kalian,” dan mereka telah menganggapnya orang yang paling utama di antara mereka, sehingga mereka pun tidak suka jika yang mengimami (salat) mereka adalah orang selainnya. Sehingga tatkala Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam mendatangi mereka, maka mereka pun menceritakan khabar (tentang itu), lalu ia (Nabi) bersabda: “Wahai fulan, apa yang menghalangimu untuk melakukan sesuatu yang telah diperintahkan para sahabatmu? Dan apa pula yang membuatmu selalu membaca surah ini di setiap raka’at (salat)?” Dia menjawab,”Sesungguhnya aku mencintai surat ini,” lalu Rasulullah bersabda: “Cintamu kepadanya memasukkanmu ke dalam syurga”. Riwayat Bukhari, Tirmizi dan Ahmad.

Jadi kita boleh lihat bagaimana cintanya sahabat kepada surah ini dan bagaimana Nabi membenarkan apa yang mereka lakukan.

 

Nilai Surah ini sama dengan sepertiga Qur’an:

Hadits Abu Sa’id al Khudri Radhiyallahu ‘anhu, ia berkata:

أَنَّ رَجُلاً سَمِعَ رَجُلاً يَقْرَأُ: قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ يُرَدِّدُهَا، فَلَمَّا أَصْبَحَ جَاءَ إِلَى رَسُوْلِ اللهِ ، فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ، وَكَأَنَّ الرَّجُلَ يَتَقَالُّهَا، فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ : ((وَالَّذِيْ نَفْسِيْ بِيَدِهِ، إِنَّهَا لَتَعْدِلُ ثُلُثَ القُرْآنِ.

“Sesungguhnya seseorang mendengar orang lain membaca قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ dengan mengulang-ulangnya, maka tatkala pagi harinya, ia mendatangi Rasulullah dan menceritakan hal itu kepadanya, dan seolah-olah orang itu menganggap remeh surah itu, maka bersabdalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam: “Demi Dzat yang jiwaku berada di tanganNya, sesungguhnya surah itu sebanding dengan sepertiga al Qur`an”. Riwayat Bukhari, Abu Dawud, Nasaie.

Hadits Abu Sa’id al Khudri Radhiyallahu ‘anhu pula, ia berkata:

قَالَ النَّبِيُّ لأَصْحَابِهِ: ((أَيُـعْجِزُ أَحَدُكُمْ أَنْ يَقْرَأَ ثُلُثَ القُرْآنِ فِي لَيْلَةٍ))، فَـشَقَّ ذَلِكَ عَلَيْهِمْ، وَقَالُوا: أَيُّـنَا يُطِيْقُ ذَلِكَ يَا رَسُوْلَ اللهِ؟ فَقَالَ: ((اللهُ الوَاحِدُ الصَّمَدُ، ثُلُثُ القُرْآنِ)).

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam berkata kepada para sahabatnya: “Apakah seseorang dari kalian tidak mampu membaca sepertiga al Qur`an dalam satu malam (saja)?” Hal itu membuat mereka keberatan, (sehingga) mereka pun berkata: “Siapa di antara kami yang mampu melalukan hal itu, wahai Rasulullah?” Lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Allahul Wahidush Shamad (surat al Ikhlash), (adalah) sepertiga al Qur`an”. Riwayat Bukhari.

Nota: maksudnya, kandungan surah ini adalah khulasah kepada 1/3 dari kandungan Qur’an. Kerana ia memperkatakan tentang tauhid dan ia adalah perkara yang utama dalam Qur’an. Bukanlah bermaksud sekali baca Surah Ikhlas ini, bermaksud ‘dah baca’ 1/3 dari Qur’an, dah bila baca tiga kali, dah khatam satu Qur’an pula! Janganlah fikir cetek sangat.

 

Membaca Surah al-Ikhlas menjadi penyebab untuk masuk syurga: 

Hadits Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, ia berkata:

أَقْبَلْتُ مَعَ رَسُوْلِ اللهِ ، فَسَمِعَ رَجُلاً يَقْرَأُ قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ. اللهُ الصَّمَدُ، فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ : ((وَجَبَتْ))، قُلْتُ: وَمَا وَجَبَتْ؟ قَالَ: ((الجَـنَّةُ)).

“Aku datang bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam, lalu baginda mendengar seseorang membaca:

قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ. اللهُ الصَّمَدُ

Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Telah wajib,” aku bertanya: “Apa yang wajib?” Beliau bersabda, “(Telah wajib baginya) syurga.” Riwayat Tirmizi dan Nasaie – disahihkan oleh Albani.

 

Surah ini menjadi pelindung kalau dibaca bersama dengan Surah al-Falaq dan an-Nas

Hadits Uqbah bin ‘Amir al Juhani Radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

بَيْنَا أَنَا أَقُوْدُ بِرَسُوْلِ اللهِ رَاحِلَتَهُ فِي غَزْوَةٍ، إِذْ قَالَ: ((يَا عُقْبَةُ، قُلْ!))، فَاسْتَمَعْتُ، ثُمَّ قَالَ: ((يَا عُقْبَةُ، قُلْ!))، فَاسْتَمَعْتُ، فَقَالَهَا الثَّالِثَةَ، فَقُلْتُ: مَا أَقُوْلُ؟ فَقَالَ: قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ فَقَرَأَ السُّوْرَةَ حَتَّى خَتَمَهَا، ثُمَّ قَرَأَ قُلْ أَعُوْذُ بِرَبِّ الفَلَقِ، وَقَرَأْتُ مَعَهُ حَتَّى خَتَمَهَا، ثُمَّ قَرَأَ قُلْ أَعُوْذُ بِرَبِّ النَّاسِ، فَقَرَأْتُ مَعَهُ حَتَّى خَتَمَهَا، ثُمَّ قَالَ: ((مَا تَعَوَّذَ بِمِثْلِهِنَّ أَحَدٌ)).

“Tatkala aku menuntun kenderaan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam dalam sebuah peperangan, tiba-tiba baginda bersabda: “Wahai Uqbah, katakan,” aku pun mendengarkan, kemudian beliau berkata (lagi): “Wahai Uqbah, katakan,” aku pun mendengarkan. Dan beliau mengatakannya sampai tiga kali, lalu aku bertanya: “Apa yang aku katakan?” Beliau pun bersabda: “Katakan قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ”, lalu baginda membacanya sampai selesai. Kemudian baginda membaca قُلْ أَعُوْذُ بِرَبِّالفَلَقِ, aku pun membacanya bersamanya hingga selesai. Kemudian baginda membaca قُلْ أَعُوْذُ بِرَبِّ النَّاسِ, aku pun membacanya bersamanya hingga selesai. Kemudian baginda bersabda: “Tidak ada seorang pun yang berlindung (dari segala keburukan) seperti orang orang yang berlindung dengannya (tiga surah) tersebut”. Riwayat Nasaei – disahihkan oleh Albani

 

Perbincangan tentang kalimah: Allah: 

Ada perbincangan panjang di antara ulama tentang kalimah ‘Allah’. Tujuan kita bukan untuk mengatakan mana yang salah, tapi kita lihat hujah yang diberikan dan kita buat pilihan.

A – Ada ulama yang mengatakan kalimah Allah itu adalah Isim Mushtaq – maksudnya asal kalimah Allah adalah dari kalimah yang lain yang telah ditukar bentuk.
B – Ada juga ulama yang mengatakan kalimah Allah itu adalah Isim Jamid – maksudnya ia tidak berasal dari mana-mana kalimah; ia unik dan berdiri sendiri.

A – Pendapat yang mengatakan kalimah الله itu adalah isim musytaq, mereka mengatakan ianya kata terbitan dari ءله (ilah). Maknanya ال ditambah kepada ءله menjadi kalimah الله (kerana percampuran itu, huruf ء dihilangkan).

Kalimah ءله bermaksud sesuatu yang dipuja; ia juga digunakan untuk menerangkan keadaan seorang bayi yang dahaga dan mencari-cari ibunya untuk mendapatkan susu. Oleh itu, ءله adalah sesuatu yang dipuja, ditaati dan didambai oleh manusia.

B – Pendapat yang mengatakan kalimah الله itu adalah isim jamid, mereka mengatakan kalimah الله itu adalah kalimah asal dan tidak ada katadasar. Pendapat ini mempunyai beberapa hujah padanya yang kuat:

1 – Ia adalah nama Tuhan dan sebenarnya ia digunakan dalam mana-mana bahasa pun. Oleh itu, setiap Nabi tidak kira dari mana, mereka mengenali Tuhan dengan nama الله, tidak kira apakah bahasa yang mereka gunakan. Kerana itu, walaupun dalam bahasa Aramaic dan Hebrew, mereka menggunakan nama Tuhan sebagai Eloah אלוה [dalam Hebrew] and Ellah [dalam Aramaic].

2 – Dari segi bahasa pun, tidak betul kalau kita menggunakan kalimat: يا الله kerana ianya tidak benar dari segi bahasa Arab. Ini adalah kerana, apabila kita menggunakan ‘kata panggilan, seruan’ يا, kita kena buang ال pada kalimah itu. Sebagai contoh, untuk nama Allah الرَّحمٰنِ, kalau kita campur dengan يا, ia menjadi يا رّحمٰنِ, bukan يا الرحمن. Jadi, kalau kita mengatakan kalimah الله adalah isim musytaq, kita kenalah panggil Allah begini: يا ءله, tapi kita tidak panggil Allah begitu, bukan?

3 – Dalam mana-mana ayat Qur’an pun, ia digunakan sebagai kata-nama yang lengkap. Sebagai contoh, dalam Fatihah: الحَمدُ لِلَّهِ (segala puji bagi Allah) dan kalimat الرَّحمٰنِ dan الرَّحيمِ adalah sifat bagi الله.

4 – Begitu juga, penggunaan ‘allahumma’ adalah unik dimana ia bermaksud ‘wahai Allah’ dan tidak digunakan dalam bentuk yang lain.

5 – Cara penyebutan nama Allah juga lain dari yang lain. Selalunya apabila ditambah ال pada sesuatu kalimah, ada cara sebut yang biasa. Jadi kalau kita kata ianya adalah musytaq, jadi kita sebut kalimah الله sebagai al-lah (bayangkan seorang Cina yang pelat sebut nama Allah). Tapi tidak begitu bukan? Kita sebut nama lain dengan cara yang lain sikit – iaitu kita beratkan pada huruf ل itu. Ini adalah kerana memang الله adalah nama khas.

Kesimpulan: pendapat yang lebih kuat adalah nama الله adalah isim jamid, dan bukan isim musytaq.


 

Ayat 1:

قُل هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Ikhlāṣ: Purification, i.e., the purification of faith – the sūrah’s theme. In narrations by al-Bukhārī and Aḥmad, the Prophet () described this sūrah as being equivalent to one third of the Qur’ān.

Say, “He is Allāh, [who is] One,¹

  • i.e., single, unique and indivisible.

(MALAY)

Katakanlah: “Dialah Allah, Yang Maha Esa.

 

قُل – Katakanlah. Ini adalah arahan kepada Rasulullah SAW untuk:

1 – Belajar dan memahami untuk diri baginda sendiri.
2 – Mengajarnya kepada orang lain, kerana baginda memang tidak boleh simpan sendiri. Ini adalah kerana ianya adalah mesej tauhid dan terkait rapat dengan tugas baginda untuk menyampaikan (dakwah).

هُوَ – Dia. Kalimah ini dari segi bahasa, tidak diperlukan dalam ayat ini kerana Allah boleh sahaja gunakan ayat begini: قُل اللَّهُ أَحَدٌ (Katakanlah: Allah itu Satu). Akan tetapi, kataganti nama (dhomir) digunakan apabila yang disebut itu dikenali. Contohnya, kita sedang bercakap dengan seorang kenalan kita dan kita cakap: “dia telah habis belajar dari universiti”. Kalimah ‘dia’ dalam ayat ini datang tiba-tiba tapi kita gunakan kerana kita tahu dan orang yang mendengar itu juga tahu siapakah yang kita maksudkan. Begitulah Allah gunakan dhomir هُوَ dalam ayat ini kerana Allah itu memang telah dikenali oleh manusia, kerana dialah pencipta, Tuhan semesta alam.

Jadi, apabila digunakan kalimah هُوَ dalam ayat ini, Allah hendak memberitahu kita, yang Dia itu sebenarnya Tuhan yang telah dikenali pun, bukannya Tuhan yang baru pun. Terutama kepada Ahli Kitab yang telah kenal pun Allah itu. Jadi ini untuk mengingatkan mereka sahaja. Sebab itulah dalam ayat ini tidak ada kalimah tahkik إنّ pun kerana memang mereka sudah tahu.

2 – Kalimah هُوَ ini juga adalah jawapan kepada mereka yang bertanya siapakah Tuhan itu? Kerana ada Musyrikin Mekah yang tanya: من هو؟ Siapa Dia? ما هو؟ Apakah ia? Jadi apabila dijawap, digunakan kalimah هُوَ sebagai jawapan terus kepada soalan itu. Allah jawap, Dia itu adalah bernama Allah, dan Dia itu tunggal.

3 – Ayat ini adalah dua ayat yang digabungkan bersama. Ada kalimat yang dihazafkan. Kalau ayat penuh: قُل هُوَ اللَّهُ, قُل هُوَ أَحَدٌ Katakanlah Dia adalah Allah, katakanlah Dia itu tunggal.

Maksudnya, ayat ini nampak sahaja satu tapi ada dua khabar.

Perbincangan kalimah أَحَدٌ pula. Dari segi bahasa, ia bermaksud satu, tunggal, esa. Tapi kalau nak kata maksud satu, kalimah واحد juga boleh digunakan. Jadi apa beza antara أَحَدٌ dan واحد? Kenapa Allah tidak gunakan ayat ini: ٌقُل هُوَ اللَّهُ وَاحِد?

1 – Kalimah أَحَدٌ sebenarnya digunakan dalam kalimat negatif/penolakan sahaja; sedangkan وَاحِد digunakan dalam kalimat positif sahaja. Apakah maksudnya? Kita beri contoh ayat dan lihat perbezaan antara keduanya:

a. ليس أحد موجود في المسجد (tidak ada seorang pun yang ada di masjid). Maksudnya masjid itu kosong, seorang pun tidak ada. Ini adalah dalam bentuk negatif – menidakkan.

b. ليس واحد موجود في المسجد (bukan seorang yang ada di masjid). Maksudnya ada lebih dari seorang. Ini dalam bentuk positif.

Akan tetapi kita lihat Allah menggunakan kalimah أَحَدٌ di dalam Surah Ikhlas ini untuk menceritakan tentang DiriNya. Ini adalah berlainan dengan penggunaan bahasa Arab kerana selalunya ianya digunakan dalam bentuk negatif (contoh a di atas). Dan ini adalah satu kehebatan bahasa Qur’an kerana Allah menggunakan kalimah ini untuk menggambarkan uniknya DiriNya. Oleh itu Allah menggunakan kalimah yang selalunya digunakan dalam bentuk negatif tapi kali ini digunakan dalam bentuk positif pula. Dengan menggunakan kalimah أَحَدٌ ini dalam bentuk ini, Allah menekankan Sifat TunggalNya, Sifat EsaNya dan tidak ada yang sama denganNya. Maknanya, dengan bahasa pun Allah dah tekankan. Penggunaan kalimah أَحَدٌ dengan cara begini ada dalam Qur’an sahaja.

Kalimah أَحَدٌ datang dari katadasar و ح د yang bermaksud seorang yang tunggal, bersedirian, tidak dikenali. Jadi Allah tidak gunakan katadasar asal  واحد itu kerana ia juga digunakan untuk makhluk. Jadi, Allah tidak dapat dibandingkan dengan makhluk langsung.

Dan memang penggunaan أَحَدٌ dalam bentuk ini amat mengejutkan. Ada juga agama lain yang mengatakan tuhan mereka satu واحد juga. Tapi mereka melakukan kesilapan kerana mereka mengatakan sifat tuhan mereka itu ada persamaan dengan sifat manusia. Dan ini adalah fahaman yang salah. Kita kena bezakan sifat Allah dari sifat manusia. Allah itu أَحَدٌ, bukan واحد. Kerana itu akan ditekankan dalam surah ini nanti bagaimana Allah unik dalam EsaNya. Sifat-sifat Allah yang ditekankan dalam surah ini adalah unik untuk Allah sahaja (kalimat اللَّهُ, أَحَدٌ, الصَّمَدُ, لَم يَلِد, لَم يولَد semuanya khusus untuk Allah sahaja, tidak dikongsi dengan makhluk).

2 –  Memang ada sifat-sifat Allah yang seolah ada persamaan dengan makhluk. Sebagai contoh, Aleem (mengetahui), Raheem (pemurah), Ra’oof (lembut), Baseer [melihat] dan sebagainya. Tapi Sifat Allah tidak sama dengan makhluk. Sebagai contoh, kita ambil sifat Aleem (mengetahui). Tidak sama pengetahuan makhluk dan pengetahuan Allah, bukan?

1 – Pengetahuan Allah inifinite, tidak ada mula dan tidak ada hujung; sedangkan pengetahuan makhluk, tidak begitu (ada mula dan hujungnya)

2 – Pengetahuan Allah tidak ada had; sedangkan pengetahuan makhluk ada had (tidak semua makhluk tahu).

3 – Pengetahuan kita diberi oleh Allah sedangkan pengetahuan Allah tidak ada sesiapa yang memberi kepadaNya, ianya adalah HaqNya.

Jadi, walaupun nampak dari segi penggunaan bahasa, kita ada sifat yang sama dengan Allah, tapi kita kena nilai sifat itu dengan 3 kriteria di atas. Kalau kita buat begitu, barulah kita terselamat dari syirik. Kita tidak meletakka Sifat Allah kepada sifat makhluk. Takkan sama sifat makhluk dengan sifat Allah. Allah berfirman dalam Shura:11

لَيسَ كَمِثلِهِ شَيءٌ

Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia

Kena faham betul-betul perkara ini, barulah dapat faham ilmu tauhid.

Masih lagi pada kalimah أَحَدٌ. Kalau kita lihat, kalimah ini tidak ada ال, sedangkan kalimah الصَّمَدُ ada pula ال. Oleh itu, أَحَدٌ adalah dalam bentuk nakirah. Tapi kalimah أَحَدٌ ada tanwin padanya sebagai penegasan untuk memberi penekanan bahawa Allah itu ESA! (bahasa Arab tidak ada tanda seruan, jadi tanda seruan digunakan dalam bentuk tanwin).

Tanwin pada أَحَدٌ itu juga sebagai jawapan kepada soalan yang diberikan oleh musyrikin Mekah yang bertanya: “siapa/apakah yang kamu sembah?” Maka jawapan yang diberikan itu dalam bentuk tanwin iaitu Allah itu أَحَدٌ.

Kalimah inilah yang menyebabkan Bilal bin Rabbah diseksa kerana masuk Islam. Dan apabila dia kena seksa dengan diletakkan batu besar atas tubuhnya, apakah kalimah yang disebut-sebut olehnya? Bukankah أَحَدٌ, أَحَدٌ, أَحَدٌ?

Bilal dan para sahabat yang lain faham apa maksud kalimah ini dan mereka mengamalkannya dalam kehidupan mereka. Tapi sekarang kita sudah jauh dari fahaman mereka. Kita tidak yakin yang Allah itulah yang Esa, tempat pengharapan kita. Sampaikan kita tidak berapa kisah dengan Allah. Ya, kita tahu Allah itu Tuhan kita, kita sebut NamaNya setiap hari, tapi adakah kita beramal dan percaya seperti para sahabat?

Tumpuan hidup mereka adalah menjadi hamba kepada Allah. Mereka taat kepada suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya. Dan ini yang kita perlu sematkan dalam diri kita. Kerana kalau kita tidak menjadi hambaNya, kita akan jadi hamba kepada yang lain – kepada badan kita, kepada kerja, kepada anak, kepada wang dan sebagainya; itu sahaja yang mereka fikirkan dan kehidupan mereka diisi dengan benda lain selain Allah.

Kita kena tanya diri kita: adakah kita benar-benar mentauhidkan Allah dalam kehidupan kita? Adakah Allah yang paling penting dalam kehidupan kita? Adakah Allah ‘أَحَدٌ’ dalam diri kita?

Semoga Allah menjadikan kita umat yang mengamalkan tauhid. Ameen.

Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Maulana Hadi

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 112: al-Ikhlas. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s