Tafsir Surah al-Masad Ayat 3 – 5 (Isteri yang paling teruk)

Ayat 3:

سَيَصلىٰ نارًا ذاتَ لَهَبٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He will [enter to] burn in a Fire of [blazing] flame

(MALAY)

Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak.

Ayat sudah berubah sekarang kerana ia akan memperkatakan tentang masa hadapan. Kita tahu kerana ada huruf س dalam kalimah سَيَصلىٰ (dia akan masuk) itu. Selalunya apabila perkara masa hadapan disebut, ianya tentang perkara yang akan berlaku tidak lama lagi (samada di dunia atau di akhirat). Ayat ini tentang kejadian di neraka. Bagaimana pula neraka itu tidak lama lagi? Ini adalah kerana pada Allah ianya dekat sahaja. Kita sahaja yang sangka ianya lambat lagi. Lihat ayat Ma’arij:7 وَنَراهُ قَريبًا (Sedangkan Kami memandangnya dekat).

Abu Lahab akan dimasukkan ke dalam نارًا ذاتَ لَهَبٍ (api yang ada bara merah). Bukankah لَهَبٍ itu nama gelarannya? Ini adalah serangan dan ejekan kepada Abu Lahab – kamu suka digelar Abu Lahab, bukan? Nah, sekarang diberitahu yang kamu akan dimasukkan ke dalam لَهَبٍ!


 

Ayat 4: Sekarang masuk kepada kutukan kepada isteri Abu Lahab pula – Umm Jamil.

وَامرَأَتُهُ حَمّالَةَ الحَطَبِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And his wife [as well] – the carrier of firewood.¹

  • She used to put thorns in the Prophet’s path and slander him (). The word “firewood” was used by the Arabs to allude to slander and backbiting.

(MALAY)

Dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu bakar.

 

Kalimah امرَأَتُهُ (isterinya) yang dimaksudkan adalah Umm Jamil. Siapakah dia?

  • Dia adalah cucu kepada Ummayyah, seorang yang terkenal di Mekah pada zaman dahulu. Dia juga adalah adik Abu Sufyan, salah seorang pemimpin Mekah waktu itu. Jadi dia adalah dari keturunan orang besar.
  • Dia amat berbangga dengan kedudukannya di dalam masyarakat. Jadi dia akan menunjuk-nunjuk kelebihannya itu. Tambahan pula dia berkahwin dengan Abu Lahab, juga seorang yang terkenal. Mereka ini adalah pasangan yang dipandang tinggi dalam masyarakat waktu itu.
  • Dikatakan bahawa dia memakai rantai yang mahal yang didedahkan di khalayak ramai. Kalau dia nampak Nabi Muhammad SAW lalu, dia akan pegang rantai itu dan dia bersumpah dengan nama berhala Lat dan Uzza yang dia sanggup untuk menggadai rantainya itu untuk menjatuhkan Nabi Muhammad. Begitu marah dia sampakan dia sanggup nak gadai rantai kesayangannya itu.
  • Umm Jamil ini pernah mengutuk Nabi Muhammad dengan menggelar baginda ‘Mudhamam’ (yang terkutuk). Nama Nabi kita adalah Muhammad, tapi dia nak ubah jadi Mudhamam pula. Dia siap buat syair tentang nama ini. Marah sungguh dia selepas turunnya surah ini. Bila ada orang beritahu kepada baginda tentang perkara ini, Nabi Muhammad jawap, tidak perlu kisah kerana yang dikutuk adalah Mudhamam, sedangkan nama baginda adalah Muhammad (jadi bukan sebut tentang baginda). Ini mengajar kita untuk bersabar dan belajar tengok mana nak layan dan mana tidak perlu dilayan. Kalau anjing menyalak kita, adakah bijak kalau kita menyalak balik kepada anjing itu? Oleh itu, kalau ada yang mengarut tentang kita, tidak perlu kita nak balas dengan mengarut balik, buang masa dan buat malu kita sahaja balik. Masalahnya sekarang ada blog, ada group whatsapp, dan selalu ada pertelingkahan antara penulis-penulis ‘sambilan’. Kadang-kadang ada yang menggunakan bahasa kesat dan kita rasa macam nak balas sahaja kata kesat mereka. Tapi ini buang masa sahaja. Mereka memang nak tengok macam mana kita melompat dan melatah. Maka orang Islam kena belajar tentang perkara ini. Kalau nak berbincang dengan baik, barulah kita layan mereka. Kalau nak berlawan dan menggunakan kata-kata kesat dan bodoh, tak payah lah nak layan.

Kalimah yang digunakan dalam ayat ini adalah امرَأَة (isteri). Selain dari امرَأَة, ada satu lagi kalimah yang digunakan untuk bermaksud isteri iaitu زوجة. Kedua-duanya digunakan dalam Qur’an dan bertukar-tukar, sekejap guna زوجة dan sekejap guna امرَأَة. Sebagai contoh, untuk isteri Firaun, isteri Nabi Zakariya digunakan kalimah امرَأَة seperti yang digunakan untuk Umm Jamil. Apakah beza antara keduanya?

Pertamanya, kita kena tahu yang kalau digunakan kalimah امرَأَة, tidak semestinya untuk mereka yang buruk kerana isteri Firaun dan isteri Nabi Zakariya pun digunakan kalimah itu juga. Kedua-dua mereka adalah orang yang baik. Jadi ada sebab tertentu kenapa ianya digunakan dan tidak digunakan kalimah زوجة. Bahasa Qur’an adalah tepat dan tentu ada sebab yang hendak disampaikan dengan cara tersirat. Perkara ini tidak diketahui kalau setakat baca terjemahan sahaja.

Objektif perkahwinan yang utama ada dua: untuk meninggikan kebaikan dalam masyarakat dan untuk mendapatkan anak. Ini kerana cara untuk mendapatkan anak dengan sah adalah dengan pernikahan. Kalau salah satu dari dua perkara ini hilang atau tiada, maka Allah menggunakan kalimah امرَأَة. Dan apabila kedua-duanya ada, maka Allah menggunakan kalimah زوجة. Sebagai contoh, isteri Nabi Zakariya adalah seorang yang baik, tapi dia tidak ada anak maka digunakan kalimah امرَأَة untuk menyebut tentang dirinya. Tidaklah berkurang kemuliaannya kerana tidak ada anak. Kita kena ingat yang ketiadaan anak tidak semestinya ketiadaan kemuliaan. Berapa ramai dari kalangan orang kita yang tidak ada anak tapi mereka itu orang yang baik? Itu semua adalah dugaan untuk mereka. Berbalik kepada isteri Nabi Zakariya, apabila isterinya itu sudah dapat anak, barulah digunakan gelaran زوجة untuk dirinya. Lihatlah bagaimana tepatnya penggunaan kalimah dalam Qur’an.

Dan kerana itu, digunakan kalimah امرَأَة untuk Umm Jamil – dia ada anak tapi tidak ada kebaikan padanya. Dia melakukan sesuatu yang buruk. Anak yang dia ada itu pun tidak menyebabkan kebaikan baginya.

Kalimah وَامرَأَتُهُ adalah sambungan dari ayat sebelumnya. Ia adalah khabar kedua selepas khabar pertama dalam ayat sebelum itu – kerana ada dhommah padanya (baris hadapan). Apakah maksudnya? Kalau diambil dari ayat sebelum: “Abu Lahab akan dimasukkan ke dalam api neraka yang ada bara dan begitu juga dengan isterinya.” Mereka bergabung semasa di dunia untuk menyakiti hati Nabi dan cuba untuk menjatuhkan dakwah baginda, maka Allah akan masukkan kedua-duanya bergabung dalam neraka.

Kalimah حَمّالَةَ dalam bentuk mansoob kerana ada fatha (baris atas) padanya. Ini juga penting kerana mengandungi balaghah di dalamnya. Dalam bahasa Arab, ada 16 sebab kenapa fathah digunakan. Dan salah satunya adalah kerana hendak menunjukkan kemarahan. Jadi kalimah ini menunjukkan kemurkaan dan kebencian Allah kepada Umm Jamil, isteri Abu Lahab itu.

Kalimah حَمّالَةَ juga adalah dalam bentuk mubalaghah (bersangatan) kerana ada syaddah pada huruf م itu. Ini menunjukkan yang Umm Jamil tetap terus melakukannya, bukan sekali sahaja.

Kalimah الحَطَبِ bermakna kayu kering yang digunakan untuk pembakaran (memasak, panaskan rumah dan sebagainya). Begitulah cara mereka dapat kepanasan dalam rumah. Selalunya kayu kering itu dibawa oleh hamba. Dan sekarang Allah panggil dia sebagai pembawa kayu bakar itu pula. Sedangkan dia seorang yang bangga dengan kedudukannya dalam masyarakat dan dia tidak akan melakukannya kerana pada dia, itu adalah kerja yang hina. Tapi Allah nak kata yang Dia tidak hormat status dia dalam masyarakat. Kalau seseorang itu menghina Nabi Muhammad dan agama Islam, maka orang itu hina sehina-hinanya pada Allah.

Kenapa dikatakan Umm Jamil itu bawa ‘kayu bakar’? Kerana dia suka mengapi-apikan antara manusia. Dia suka reka kisah buruk tentang Nabi Muhammad supaya orang tidak suka kepada baginda.

Umm Jamil juga akan dimasukkan ke dalam neraka bersama suaminya Abu Lahab, dan dia sendiri akan bawa kayu kering untuk membakar dirinya dan suaminya itu. Ini adalah sebahagian dari azab seksa yang akan dikenakan kepada mereka.


 

Ayat 5: 

في جيدِها حَبلٌ مِن مَسَدٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Around her neck is a rope of [twisted] fiber.

(MALAY)

Yang di lehernya ada tali dari sabut.

 

Ini adalah azab yang disebut dikenakan kepada Umm Jamil – ditambat pada leher dia tali yang diikat seperti anjing. Dia mulia masa di dunia, tapi dia akan dihinakan di akhirat kelak.

Kita sekarang sudah sampai ke ayat yang penghujung surah ini. Ada dua tema dalam surah ini yang kita telah belajar:

  • Satu tema tentang Abu Lahab
  • Satu lagi tentang isterinya, Umm Jamil

Mereka berdua ini adalah jenis manusia yang paling teruk sekali. Kerana kita pun tahu yang manusia ini ada banyak jenis. Dari sirah Nabi, mereka ini terbahagi kepada empat jenis:

  1. Bukan Islam yang baik. Contohnya seorang lelaki yang bernama Mu’tem bin Adiyy. Dia tidak masuk Islam di zaman Nabi, tapi dia mempertahankan baginda apabila baginda masuk ke Mekah. Begitu juga kita kenal bapa saudara Nabi, Abu Thalib yang tetap mempertahankan Rasulullah walaupun dia sendiri tidak masuk Islam.
  2. Ada musuh yang mulia. Mereka tetap tidak masuk Islam, tapi mereka itu sebenarnya hebat. Diri mereka memang hebat, tapi mereka tetap mahu mempertahankan kepercayaan mereka, cuma kepercayaan itu salah. Kalaulah mereka masuk Islam, mereka akan menjadi orang yang mulia. Contohnya Abu Jahal, dia memang ada kelebihan sampaikan Nabi pernah berdoa semoga dibukakan hati samada Abu Jahal atau Umar kerana mereka berdua ini ada potensi dan kalau mereka masuk Islam, akan memudahkan dan memberi kebaikan kepada agama Islam. Ini kita sudah bincangkan dalam tafsir ayat Alaq:11.
  3. Ada yang menentang Islam dan menjadi musuh Islam, tapi mereka tidak benci kepada personaliti yang bernama Muhammad itu. Sebagai contoh, Utbah ibn Rabiah. Dia tidak benci Nabi Muhammad tapi dia ada reputasi yang hendak dijaga sebagai orang besar di Mekah. Begitu juga dengan Walid ibn Mughirah – dia rasa tercabar dengan Qur’an kerana dia seorang penyair yang terkenal. Dia tidak dapat jelaskan apakah Qur’an itu, tapi akhirnya dia kata Qur’an itu adalah sihir. Individu-individu ini boleh dipelajari tentang mereka di dalam sirah.
  4. Akhir sekali adalah jenis yang paling teruk – benci agama Islam dan benci Nabi Muhammad SAW juga – Inilah perangai Abu Lahab. Dialah manusia yang paling teruk sekali, sampaikan Allah buatkan satu surah tentang dia. Sudahlah dia itu adalah ahli keluarga Nabi dan dia juga jiran; dan bukan seorang sahaja benci, suami isteri sama-sama benci kepada baginda; mereka bukan sahaja membenci, tapi berusaha untuk menyerang Nabi; dan merekalah yang paling awal menyerang baginda secara umum; bayangkan teruknya mereka itu, sampai meraikan kematian anak Nabi. Ini adalah kemuncak permusuhan terhadap baginda. Kalau musuh baginda yang lain pun tidak buat perkara seteruk ini.

Bahagian kedua surah ini menyentuh tentang isterinya, Umm Jamil. Dia ini adalah wanita yang paling teruk sekali. Kalau kita bahagian jenis-jenis wanita, kita boleh bahagikan kepada 4 jenis juga:

  1. Wanita yang baik dengan wali yang baik. Ini seperti Maryam yang dijaga oleh Nabi Zakariya a.s.
  2. Wanita yang baik dengan wali yang teruk. Ini seperti Asiyah, isteri kepada Firaun yang teruk. Walaupun dia seorang mukminah, tapi dia hidup dengan seorang yang teruk. Tapi dia tetap beriman.
  3. Wanita yang teruk tapi dengan wali yang baik. Ini seperti isteri kepada Nabi Nuh a.s. dan isteri kepada Nabi Luth a.s. Mereka ada suami yang berpangkat Nabi, tapi mereka tetap jadi teruk.
  4. Yang paling teruk adalah wanita yang teruk dan tinggal dengan wali yang juga teruk. Inilah peringkat Umm Jamil ini – dia sendiri sudah teruk, tinggal pula dengan wali yang teruk (Abu Lahab). Jadi surah ini menyebut tentang lelaki yang paling teruk dan wanita yang paling teruk.

Kedudukan surah ini diletakkan selepas Suran Nasr. Dalam surah itu, disebut perkara yang akan menyelamatkan kita di akhirat kelak – tasbih, tahmin dan istighfar. Dan dalam Surah Masad ini disebut pula apa yang tidak dapat menyelamatkan kita: harta dan apa yang kita dapat dari usaha kita.

Surah ini juga adalah sambungan dari nikmat yang Allah berikan kepada Nabi Muhammad SAW. Abu Lahab dan Umm Jamil adalah musuh baginda yang paling teruk sekali. Dan dalam surah ini Allah beritahu yang mereka akan dimusnahkan – bukan sahaja di akhirat, tapi di dunia ini lagi mereka akan dimusnahkan.

Sebelum ini kita telah sebut bagaimana Firaun ditahan dari beriman. Dan memang Firaun sampailah ke waktu dia hendak mati, dia tidak beriman (dia cuma mahu beriman apabila dia dalam sakaratul maut dan imannya tidak bernilai lagi waktu itu). Salah satu mukjizat Qur’an adalah ia memberitahu perkara yang akan terjadi. Dan tidak ada yang berlawanan dengan Qur’an. Oleh itu, apabila surah ini memberitahu yang Abu Lahab akan dimusnah, ia juga adalah satu sesuatu yang pasti berlaku. Kalau kita fikirkan, Abu Lahab ada satu peluang untuk mengatakan Qur’an itu menipu – dia boleh sahaja mengaku beriman (walaupun dia menipu) dan dengan itu mengatakan Qur’an tidak benar. Dia boleh sahaja kata dia beriman dan berhujah: “tengok, Qur’an kata aku tidak akan beriman, nah sekarang aku beriman.” Dia ada masa bertahun-tahun untuk melakukan perkara ini tapi tidak pernah dia lakukan. Ini adalah salah satu mukjizat Qur’an – mengatakan perkara yang benar, yang terbukti kebenarannya. Kalaulah Abu Lahab di hujung hayatnya beriman, tentu ini akan melemahkan kedudukan Qur’an, bukan? Tapi terbukti Qur’an itu benar. Allah buktikan kebenaran Qur’an itu apabila Abu Lahab langsung tidak beriman sampai ke hujung hayatnya.

Maulana Hadi – Kafiroon, Nasr, Masad

Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Ikhlas.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan.

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 111: al-Masad. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s