Tafsir Surah al-Masad Ayat 1 – 2 (Musnahnya musuh Nabi)

Pengenalan

Ini adalah salah satu dari surah yang paling pendek dalam Qur’an. Ramai yang hafal surah ini tentunya. Ianya ditujukan kepada Abu Lahab dan isterinya. Ini adalah perkara yang menghairankan kerana Allah tidak melakukannya terhadap musuh-musuh yang lain. Kalau musuh Nabi disebut dalam mana-mana ayat, nama tidak disebutkan selalunya. Sebagai contoh, Abu Jahal pun teruk juga, tapi namanya tidak pernah disebut dalam Qur’an. Tapi kali ini, sampai satu surah tentang Abu Lahab dan isterinya. Tentu ada sesuatu yang besar hendak disampaikan.

Jadi siapakah Abu Lahab itu?

  • dia adalah seorang yang terkenal dan antara yang terkaya di Mekah.
  • ada yang mengatakan dia adalah penjaga BaitulMaal waktu itu.
  • namanya yang sebenar adalah Abdul Uzzah (hamba berhala Uzzah)

Dan seperti yang kita tahu, nama gelarannya adalah Abu Lahab. Kalimah لهب bermaksud api merah yang menyala dengan terang, menerangi sekelilingnya. Ia digunakan pada nama Abu Lahab sebagai penghormatan kepadanya kerana dia seorang yang tampan. Ini adalah kerana kulitnya kemerah-merahan. Penggunaan ‘abu’ bukanlah semestinya bermaksud ‘bapa’. Ianya juga boleh digunakan kalau hendak mengaitkan seseorang dengan sesuatu. Sebagai contoh, pernah Nabi Muhammad memanggil Saidina Ali dengan gelaran ‘Abu Turab’ (bapa tanah) kerana beliau berbaring di tanah dan baginda menyapu-nyapu tanah itu dari belakangnya; kita pun kenal Abu Hurairah (bapa kucing) dan tidaklah dia melahirkan kucing-kucing itu pula, bukan? Begitu juga penggunaan nama Abu Lahab – tidaklah dia ada anak yang bernama Lahab. Dia dipanggil begitu kerana kulitnya kemerahan dan tampan. Jadi dia ini adalah seorang selebriti pada zamannya.

  • dia dari keturunan yang hebat. Dia adalah cucu kepada Hashim Abd Manaf yang juga moyang kepada Nabi Muhammad SAW. Hashim ini adalah orang besar Mekah dan dialah yang memulakan untuk memberi makan kepada orang yang mengerjakan Haji. Jadi keturunan Hashim adalah keturunan yang dihormati di Mekah, malah di Tanah Arab.
  • Abu Lahab ini juga adalah bapa saudara kepada Nabi Muhammad SAW.
  • dia juga adalah besan kepada baginda kerana dua anak baginda telah berkahwin dengan anak Abu Lahab.

Selain dari Abu Lahab, isterinya juga disebut dalam ayat ini. Isterinya bernama Urwah. Siapakah dia?

  • dia juga orang yang berketurunan hebat – cucu kepada Umayyah, satu lagi keturunan yang dihormati di Tanah Arab. Oleh itu, apabila dia berkahwin dengan Abu Lahab, mereka adalah pasangan yang terkenal kerana dua-dua dari keturunan yang hebat.
  • dia memang berbangga dengan keturunannya dan selalu mengingatkan orang tentangnya.
  • nama panggilannya adalah Umm Jamil (ibu kecantikan) kerana dia pun cantik juga; sudah Abu Lahab tampan, dia pula cantik. Oleh kerana itu, mereka memang pasangan yang selalu dipandang.

Kita sudah kenal serba sedikit dengan Abu Lahab ini. Maka kenapakah dia teruk sekali dikutuk oleh Allah?

  • dia adalah musuh Nabi yang paling kuat. Memang ada orang lain yang memusuhi baginda tapi Abu Lahab ini lebih teruk dari orang lain.
  • dia juga jiran kepada Nabi Muhammad SAW; mereka berkongsi dinding. Kerana benci sangat kepada baginda, dia dan isterinya telah membuang kotoran, sampah, dan benda-benda yang teruk apabila baginda baca Qur’an. Kerana mereka dibalik dinding sahaja dan rumah dulu tidak ada penghadang, maka senang sahajalah dia nak lemparkan sahaja kekotoran itu ke dalam rumah baginda. Ini adalah perbuatan yang amat teruk sekali dan ini juga sebenarnya melanggar adat orang Arab. Dia sanggup langgar kerana benci sangat kepada Rasulullah.
  • dua anaknya telah berkahwin dengan dua anak Rasulullah (ini terjadi sebelum Islam). Apabila Rasulullah mula berdakwah secara terbuka, dia telah mengarahkan dua anaknya itu untuk menceraikan anak-anak Rasulullah. Salah seorang menantu Rasulullah itu telah datang dan meludah depan baginda. Kiranya dia ludah depan bapa mertua dia – sudahlah ceraikan anak baginda, ludah lagi pula. Kerana perbuatannya bekas menantu yang teruk itu, Rasulullah mendoakan keburukan untuknya. Bila Abu Lahab dengar doa baginda, dia jadi takut (maknanya jauh di sudut hati dia, dia percaya juga yang baginda adalah Rasul dan doa baginda makbul). Maka dia menjaga anaknya betul-betul – dia letak pengawal. Tapi dalam perjalanan musafir, anaknya itu mati juga dibaham singa.
  • apabila anak lelaki Rasullah mati kecil, dialah orang pertama yang tahu dan dialah orang pertama yang meraikannya. Ini adalah teruk sekali kerana kalau musuh macam mana pun, kalau ada musuh yang kematian anak, tidaklah sanggup musuhnya bergembira dan mengutuk. Tapi Abu Lahab memang tidak ada perasaan dan dia memang seorang musuh yang paling teruk sekali. Perkara ini disebut dalam Surah Kawthar.

Jadi, ini adalah antara perkara yang menyebabkan Abu Lahab dikutuk dengan teruk sekali oleh Allah. Kerana memang perkara yang dilakukannya itu adalah amat-amat teruk sekali, tidak dapat dimaafkan. Bayangkan, cucu saudaranya sendiri mati pun dia boleh bersorak lagi? Musuh Nabi yang lain pun tidak buat macam mana yang dia buat ini.

Dialah juga yang pertama sekali menolak dakwah tauhid dari baginda. Apabila Rasulullah diarahkan untuk berdakwah kepada keluarga baginda, baginda telah mengadakan jamuan makanan kerana baginda hendak mula bercakap tentang Islam kepada keluarganya. Maka Abu Lahab dan yang lain-lain juga dijemput. Apabila Nabi Muhammad hendak bercakap sahaja tentang Islam, dialah yang pertama buat bising dan menolak. Dia kata: تباً لهذا الدين (musnahlah agama ini!)

Dan apabila Nabi Muhammad SAW naik ke atas bukit dan bercakap dengan Arab Mekah, dan memperkenalkan mereka dengan ajaran tauhid, Abu Lahab lah menghina baginda dan mengatakan baginda menipu. Dia menjerit: تباً لّك (musnahlah kamu!) Baginda naik ke atas bukit dan selalunya itu dilakukan kalau ada seseorang yang hendak memberitahu berita gempar – mungkin ada orang nak serang dan sebagainya. Marah dia kerana apa yang Nabi lakukan adalah kalau ada kecemasan. Lihat bagaimana dia menggunakan kalimah تب dalam kedua-dua situasi. Dan nanti Allah akan gunakan kalimah yang sama juga.


Ayat 1: 

تَبَّت يَدا أَبي لَهَبٍ وَتَبَّ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Masad: Fiber. This sūrah is also known as al-Lahab (Flame).

May the hands of Abū Lahab be ruined, and ruined is he.¹

  • Abū Lahab (the Prophet’s uncle), who was an enemy of Islām.

(MALAY)

Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa.

 

Oleh kerana Abu Lahab menggunakan kalimah تب dua kali (sekali semasa jamuan dan sekali lagi semasa baginda di atas bukit) maka dalam ayat ini, kalimah تب digunakan dua kali juga.

Allah mengatakan yang kedua tangan Abu Lahab akan musnah. Apabila ayat ini turun, Abu Lahab menghina ayat itu. Dia akan pergi ke khalayak ramai dan dia akan tunjuk tangan dia – dan dia kata tangan dia tidak jadi apa-apa pun.

Kalimah تَبَّت adalah fi’il madhi untuk kalimah تبب ataupun diringkaskan menjadi تبّ. Ianya dalam bentuk muannast (feminine) kerana pada Arab, tubuh badan berpasang seperti tangan dan kaki adalah ‘perempuan’. Kerana itulah kalimah تَبَّت ada huruf ت yang menunjukkan ianya muannast. Dan Allah menggunakan fi’il madhi (past tense) kerana dalam bahasa Arab, ia menunjukkan kepastian – pasti tangan Abu Lahab akan dimusnahkan. Ini adalah kerana sesuatu yang dikatakan akan berlaku esok belum tentu lagi, tapi apa yang telah berlaku semalam sudah pasti, bukan?

Ayat ini mengandungi dua kalimah تبّ:
a. تَبَّت يَدا أَبي لَهَبٍ (semoga musnah kedua tangan Abu Lahab)
b. وَتَبَّ yang kedua ini adalah sebagai ketetapan – pasti tangannya itu musnah!

Kalimah تَبَّ bermaksud sesuatu yang musnah sedikit demi sedikit. Ianya sesuatu yang semakin teruk dan teruk sampai akhirnya musnah terus. Ia tidaklah musnah terus. Kalau kereta terlibat dalam kemalangan, kereta itu terus musnah, bukan? Jadi itu bukan تبّ. Oleh itu, Allah maksudkan bahawa Abu Lahab tidaklah musnah terus tapi dia akan musnah sedikit demi sedikit. Kalau dia dimusnahkan terus, kalimah yang digunakan adalah هلك.

Kalimah تبّ ini ada juga digunakan dalam Hud:101

وَما ظَلَمناهُم وَلٰكِن ظَلَموا أَنفُسَهُم ۖ فَما أَغنَت عَنهُم آلِهَتُهُمُ الَّتي يَدعونَ مِن دونِ اللَّهِ مِن شَيءٍ لَمّا جاءَ أَمرُ رَبِّكَ ۖ وَما زادوهُم غَيرَ تَتبيبٍ

Dan Kami tidaklah menganiaya mereka tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri, karena itu tiadalah bermanfaat sedikitpun kepada mereka sembahan-sembahan yang mereka seru selain Allah, di waktu azab Tuhanmu datang. Dan sembahan-sembahan itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali kebinasaan belaka.

Kalimah yang digunakan dalam ayat ini adalah تَتبيبٍ (tadbeeb) yang diambil dari katadasar تبّ juga, cuma dalam wazan yang berlainan. Ayat ini memberitahu ilah puak musyrik itu tidak akan memanfaatkan mereka sedikit pun. Yang menariknya, dalam Hud:101 juga ada kalimah أَغنَت dimana dalam Surah Masad juga ada kalimah أَغنىٰ; kalimah أَغنىٰ dan أَغنَت dari katadasar غني yang bermaksud ‘tidak memerlukan’ – kerana itu Allah adalah al-Ghaniy kerana Allah tidak memerlukan apa-apa dari makhluk. Oleh itu orang yang kaya juga dikatakan ghaniy kerana mereka banyak harta dan tidak memerlukan bantuan kewangan dari orang lain. Orang-orang yang kaya selalunya ada harta dan ada antara mereka yang rasa mereka tidak memerlukan bantuan lagi. Tapi Allah sebut yang harta mereka tidak dapat menyelamatkan mereka langsung dari tidak berharap pertolongan. Walaupun mereka kaya harta tapi di akhirat kelak, mereka tetap memerlukan pertolongan dari Allah. Walaupun mereka kaya, tapi mereka ‘tidak cukup’ lagi.

Dalam Hud:101 disebut bagaimana musyrikin itu bergantung dengan ilah palsu mereka dan dalam Surah al-Masad ini, Abu Lahab bergantung kepada hartanya. Oleh itu, satu ilah palsu dan satu lagi harta. Antara kedua ini, mana lagi komprehensif? Tentulah ilah palsu kerana harta pun boleh jadi sebahagian dari ilah palsu (subset kepada ilah palsu sahaja). Oleh kerana ilah palsu itu lebih komprehensif, maka kalimah yang digunakan dalam Hud:101 adalah تَتبيبٍ dan lebih kuat lagi dari kalimah تَبَّت yang digunakan dalam Surah Masad. Ini kerana, dalam Surah Masad, yang disentuh adalah satu ilah sahaja, jadi tidak digunakan تبّ dalam bentuk yang kuat. Ini menunjukkan ketepatan penggunaan bahasa Qur’an – ini dinamakan pembelajaran balaghah.

Satu lagi kalimah تبّ digunakan dalam Ghafir:37 yang menceritakan rancangan Firaun yang menjadikan dia semakin musnah. Dia memang ada buat banyak rancangan tapi semua itu tidak menjadi: mulanya dia nak bunuh anak-anak lelaki Bani Israil kerana dia tidak mahu ada dari kalangan mereka yang menjatuhkan tahtanya. Rancangan itu memang dijalankan tapi dia sebaliknya membesarkan pembunuhnya di dalam istananya; apabila Nabi Musa datang memperkenalkan diri baginda sebagai Rasul dan membawa ajaran tauhid, dia cabar Nabi Musa tapi Musa memalukannya dengan berhujah dan menunjukkan dua mukjizat – tongkat menjadi ular dan tangan bercahaya; kemudian untuk menjatuhkan kredibiliti Nabi Musa a.s., Firaun telah menganjurkan perlawanan dengan ahli sihir yang dia kumpul – kali ini di khalayak ramai pula. Dia sangka dia akan memalukan Nabi Musa, tapi sebaliknya pula yang berlaku – semua dah nampak bagaimana ahli sihir itu kalah teruk dan mereka pula yang masuk Islam kerana jelas yang Nabi Musa itu adalah seorang Rasul. Bayangkan Firaun yang beri ruang untuk Musa berdakwah di khalayak ramai! Rancangannya itu semua adalah ke arah kehancuran akhirnya nanti. Dan dia tidak langsung beriman sampai ke akhirnya kerana dia ditahan dari jalan yang lurus. Maknanya Firaun ditahan dari masuk Islam ini nanti akan disebut berkenaannya.

Makna lain bagi kalimah تبّ

  • Mati dengan cara teruk
  • Mengalami kerugian besar
  • Menjadi teruk seperti buah yang membusuk lama kelamaan
  • Jadi tidak berguna dan dibuang begitu sahaja
  • Tidak ada langsung kebaikan sedikit pun

تَبَّت يَدا – musnahlah dua tangan. Kenapa kedua-dua tangan yang disebut dimusnahkan?

  • Ini adalah kerana kita selalunya buat perkara dengan menggunakan dua tangan, bukan satu sahaja, bukan? Ia merujuk kepada usaha seseorang itu, bukannya tangan yang fizikal sahaja. Oleh itu ia bermaksud – biarkan dia dan segala usaha yang dilakukan oleh tangannya itu musnah. Bukankah dia cuba memusnahkan dakwah Nabi? Tapi segala usaha dia itu tidak berjaya, bukan?
  • Oleh itu, tangannya itu akan musnah, sekali dengan agamanya, dunianya dan segala apa yang dia telah lakukan dan harapkan.
  • Dua tangan Abu Lahab itu jugalah yang pernah cuba untuk membaling Nabi Muhammad dengan batu.
  • Orang Arab mengatakan, tangan kanan digunakan untuk menyerang dan tangan kiri digunakan untuk mempertahankan diri. Apabila Allah kata kedua-dua tangannya itu akan dimusnahkan, ia bermaksud dia sudah tidak boleh menyerang sesiapa lagi dan dia tidak dapat mempertahankan dirinya. Jadi tidak ada harapan langsung.

أَبي لَهَبٍ – kenapa Allah beri kun’yah (gelaran) kepada dia? Dalam penggunaan bangsa Arab, selalunya kalau ada kun’yah itu adalah sebagai penghormatan. Dan memang gelaran Abu lahab asalnya sebagai pujian baginya kerana dia adalah seorang yang tampan dan kemerahan kulitnya. Maknanya memang gelaran itu diberi oleh masyarakat Arab waktu itu sebagai penghormatan dan pujian untuknya. (ini tidak sama dengan nama Abu Jahal yang digunakan sebagai gelaran menghina). Tapi mari kita lihat lagi siapakah Abu Lahab ini:

  • Namanya yang sebenar adalah Abdul Uzzah (hamba Uzzah), dan Uzzah itu adalah salah satu dari berhala Musyrikin Mekah. Jadi Allah tidak mahu menggunakan nama berhala dalam merujuk kepadanya. Takkan nak pakai pula kerana tidak ada sesiapa pun yang jadi hamba kepada Uzzah kerana Uzzah itu adalah rekaan manusia jahil sahaja. Jadi kalau pakai namanya Abdul Uzzah, ia adalah satu penipuan.
  • Dan kun’yah Abu Lahab ini adalah sesuai dengan dia kerana dia akan menjadi penghuni api yang membakar. Allah akan memasukkan dia ke dalam neraka yang apinya membara dan itulah maksud ‘lahab’ pun. Jadi bila pakai nama ini amat sesuai. Memang masyarakat beri gelaran itu sebagai penghormatan tapi Allah telah menjadikan makna baru bagi nama itu. Sekarang dia bukan dipanggil kerana dia seorang yang tampan tapi kerana dia ahli neraka yang membara.
  • Abu Lahab seorang yang takut nak berperang. Ini berlainan dengan Abu Jahal yang berani. Oleh kerana Abu Lahab in penakuat, maka dia akan suruh orang lain yang berperang bagi pihak dia. Ada orang yang berhutang dengan dia, maka dia kata untuk selesai hutang, kena berperang bagi pihak dia.

Penggunaan kalimat وَتَبَّ: bahagian pertama ayat ini iaitu تَبَّت يَدا أَبي لَهَبٍ adalah dalam bentuk doa. Kalau doa, belum tentu lagi, bukan? Tapi dengan tambahan kalimat وَتَبَّ ini, ia bermaksud tangannya itu pasti akan musnah kerana ia adalah dalam bentuk ‘khabr’ (berita, pemberitahuan). Oleh itu, Allah hendak memberitahu yang pasti kedua-dua tangan Abu Lahab itu pasti musnah.

Maksud kedua: تَبَّت يَدا yang pertama adalah tentang usahanya dan dirinya yang musnah di dunia, dan وَتَبَّ yang kedua itu adalah kemusnahannya di akhirat kelak. Oleh itu, kalau ada riwayat yang kata dia dapat minum air kerana pernah meraikan kelahiran Nabi Muhammad itu adalah bohong belaka. Kerana Abu Lahab tidak akan dapat kebaikan langsung.

Dan penghujung hidup Abu Lahab amat mengerikan. Dia telah dijangkiti penyakit yang teruk sampaikan badannya membengkak seluruhnya. Anak-anaknya, pembantunya, keluarga dan kawannya yang lain tidak berani mendekatinya kerana takut mereka pun kena penyakit yang sama juga. Akhirnya dia mati secara perlahan dan tidak ada orang yang dekat dengannya.

Mayatnya terbiar sahaja di rumah yang jauh kerana tidak ada sesiapa yang berani mendekatinya dan menyentuhnya. Akhirnya keluarganya telah mengupah orang lain untuk mengangkat manyatnya dan memasukkannya ke dalam lubang dan mereka memenuhkan lubang itu dengan batu. Janji Allah telah ditetapi – dia mati secara perlahan dan di dunia lagi dia telah dikenakan dengan azab.

Oleh itu, ini adalah janji Allah kepada Nabi Muhammad yang Dia akan musnahkan musuh baginda yang paling teruk sekali. Kerana Abu Lahab ini adalah teruk sekali perangai dan permusuhannya dengan baginda. Menyebabkan baginda susah hati dan tidak dapat nak tumpu habis kepada dakwah. Bayangkan, dia siap upah orang untuk susahkan kehidupan baginda. Dia gunakan kekayaan dan harta yang dia ada untuk menyusahkan dakwah baginda. Oleh itu, Allah musnah dia supaya Nabi dapat lebih mudah berdakwah.


 

Ayat 2:

ما أَغنىٰ عَنهُ مالُهُ وَما كَسَبَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

His wealth will not avail him or that which he gained.

(MALAY)

Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang ia usahakan.

 

Kekayaan dan hartanya tidak dapat membantunya langsung untuk menyelamatkan dirinya. Dalam ayat ini digunakan kalimah ما (tidak). Dalam bahasa Arab, ada beberapa cara untuk menyatakan ‘tidak’. Salah satunya dengan menggunakan kalimah لم. Tapi kalimah ما lebih kuat lagi dari kalimah لم.

Kerana ia bermakna ‘tidak langsung sama sekali’. Dan ia digunakan untuk menolak fahaman seseorang. Maknanya ada yang sangka bahawa hartanya dapat menyelamatkan Abu Lahab – maka Allah menidakkan fahaman itu dengan mengatakan ‘tidak sama sekali, itu adalah pandangan salah’. Ini terkandung dalam apabila kalimah ما digunakan – walaupun pendek sahaja, tapi ada makna yang banyak yang disampaikan. Abu Lahab dan puak Quraish sangka hartanya yang banyak itu dapat memberi kebaikan kepadanya dan menyelamatkannya dalam apa hal pun, tapi tidaklah begitu.

Kalimah ما أَغنىٰ adalah dalam bentuk past tense kerana hendak membawa maksud ianya pasti berlaku. Dan ianya hendak memberi jaminan bahawa hartanya itu tidak akan dapat memberi kebaikan kepadanya di masa hadapan pun – ia tidak pernah memberi kebaikan kepadanya di masa lalu, begitu juga di masa hadapan pun.

وَما كَسَبَ. Kalimah كَسَبَ bermaksud sesuatu yang didapati dari usaha. Dan ia termasuk juga dengan anak-anak, kerana pada orang Arab, status dan kelebihan terdapat pada bilangan anak yang banyak juga. Jadi ayat ini hendak memberitahu bahawa tidak ada apa-apa pun yang akan memberi keselamatan kepada Abu Lahab, termasuklah harta dan anak pinaknya.

Segala amalannya semasa dia hidup dulu, walaupun baik tidak akan memberi kebaikannya kepadanya kerana dia mati syirik. Jadi, kalau ada orang yang kata, orang yang mati kafir itu akan dapat kebaikan di akhirat kalau dia ada buat benda baik semasa di dunia, itu adalah tidak benar. Kerana mereka yang mati kafir dan syirik, tidak akan dapat kebaikan apa-apa pun di akhirat kelak. Jadi jangan kita ada pemahaman yang sebegitu kerana ia berlawanan dengan dalil dari wahyu.

Lihatlah bagaimana Allah tidak bercakap terus dengan Abu Lahab dalam ayat ini tapi berfirman dalam bentuk pihak ketiga. Ini adalah kerana dia tidak akan dapat penghormatan itu – dia tidak layak langsung.

Kenapa disebut tentang kenapa disebut tentang مالُ dan كَسَبَ? Kerana مالُ adalah harta yang dia sudah ada, dan كَسَبَ adalah perkara yang dia sedang usahakan dan dia dapat di kemudian hari. Allah nak beritahu, kalau campur keduanya pun, tidak ada berguna untuknya. Tidak kira berapa banyak harta dan anak yang dia ada.

Antara perkara yang menyebabkan dia rasa selamat adalah kerana dia ada keluarkan sedekah tolong orang dan dia mungkin rasa dia dapat kebaikan, tapi Allah nak kata, itu pun dia tidak dapat. Ini macam orang yang ada derma dan rasa mereka sudah buat benda yang baik dah, padahal mereka tidak jaga agama mereka dan zalim kepada orang lain dan zalim kepada Allah. Orang-orang yang macam itu memang tidak ada gunanya.

Begitulah nasib Abu Lahab yang telah menentang dakwah Nabi Muhammad dan menyakiti baginda. Dia berbangga dengan dua perkara yang ada padanya: rupanya yang tampan dan kekayaannya. Kedua-dua perkara ini Allah musnahkan dalam dua ayat ini. Rupanya yang tampan itu Allah musnahkan dengan diberikan penyakit yang akhirnya mematikannya; dan kekayaannya Allah beritahu tidak berguna langsung untuk menyelamatkan dirinya.

Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 111: al-Masad. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s