Tafsir Surah an-Nasr Ayat 1 (Kemenangan Pembukaan Mekah)

Pengenalan:

Dalam surah al-Kaafiroon sebelum ini, Musyrikin Mekah digelar dengan ‘kafir’. Itu sudah menjadi perisytiharan permusuhan dengan mereka, dan surah ini menjanjikan kejayaan bagi pihak Islam.

Surah ini adalah tasliah kepada Nabi dan Allah hendak memberitahu: umat Islam akan mendapat kemenangan apabila putus hubungan dengan orang kafir. Iaitu apabila mereka tidak mahu ikut kita, kita tinggalkan mereka. Begitulah yang terjadi pada umat Islam pada zaman Rasulullah. Kena tegas dengan akidah kita.

Allah telah janjikan nikmat yang Nabi akan redha dengannya. Dan salah satu dari nikmat itu adalah menghilangkan kesedihan baginda. Salah satu kesedihan baginda adalah umat tidak terima dakwah baginda walaupun baginda telah berhempas pulas berdakwah. Baginda amat sayangkan dan risaukan umat baginda dan kerana itu baginda bersedih kalau mereka tidak menerima dakwah baginda kerana baginda tahu apakah nasib mereka kalau mereka tidak beriman. Lagi satu, baginda ditugaskan untuk menyampaikan dakwah kepada seluruh manusia, maka tentu baginda lebih risau lagi. Ini berbeza dengan Rasul lain yang hanya ditugaskan untuk menyampaikan dakwah kepada umat mereka sahaja. Maka tanggungjawab ini menakutkan baginda sampai baginda rasa nak mati. Untuk menghilangkan kerisauan baginda adalah dengan baginda dapat lihat ramai manusia masuk Islam semasa hayat baginda lagi. Nabi Muhammad akan lihat dengan ‘mata’ baginda sendiri bagaimana ramai yang akan masuk Islam secara berbondong-bondong. Oleh itu, baginda akan mati dengan puas hati. Nabi lain tidak dapat nikmat ini. Lihatlah bagaimana Nabi Ya’kub risaukan anak-anak baginda dan Nabi ibrahim pun risau. Tapi Nabi muhammad diberi nikmat melihat kejayaan dakwah baginda.

Ada sebuah riwayat dari Ibnu ‘Abbas, ia berkata,

“Umar Pernah mengajakku dalam sebuah majlis orang dewasa, sehingga sebahagian sahabat bertanya “Mengapa si anak kecil ini kau ikut sertakan, kami juga punya anak-anak kecil seperti dia?” Umar menjawab, “Seperti itulah yang kalian tahu.”

Suatu hari Umar mengundang mereka dan mengajakku bersama mereka. Seingatku, Umar tidak mengajakku saat itu selain untuk mempertontonkan kepada mereka kualitas keilmuanku. Lantas Umar bertanya, “Bagaimana komentar kalian tentang ayat (yang artinya), “Seandainya pertolongan Allah dan kemenangan datang (1) dan kau lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong (2) –hingga ahkir surat. (QS. An Nashr: 1-3). Sebahagian sahabat berkomentar (menafsirkan ayat tersebut), “Tentang ayat ini, setahu kami, kita diperintahkan agar memuji Allah dan meminta ampunan kepada-Nya, ketika kita diberi pertolongan dan diberi kemenangan.” Sebahagian lagi berkomentar, “Kalau kami tidak tahu.” Atau bahkan tidak ada yang berkomentar sama sekali. Lantas Umar bertanya kepadaku, “Wahai Ibnu Abbas, beginikah kamu menafsirkan ayat tadi? “Tidak”, jawabku. “Lalu bagaimana tafsiranmu?”, tanya Umar. Ibnu Abbas menjawab, “Surah tersebut adalah pertanda wafatnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sudah dekat. Allah memberitahunya dengan ayatNya: “Jika telah datang pertolongan Allah dan kemenangan’, itu bererti penaklukan Makkah dan itulah tanda ajalmu (Muhammad), kerananya “Bertasbihlah dengan memuji Rabbmu dan mohonlah ampunan, sesungguhnya Dia Maha Menerima taubat.” Kata Umar, “Aku tidak tahu penafsiran ayat tersebut selain seperti yang kamu (Ibnu Abbas) ketahui.”” (HR. Bukhari no. 4294)

Jadi surah an-Nasr ini adalah tanda yang tugas Nabi Muhammad sudah hampir tamat dan kerana itu tidak lama lagi hayat baginda akan berakhir. Maka kerana itulah bila surah ini diturunkan, Abu Bakr menangis kerana dia faham apakah maksud surah ini. Aisyah r.a. juga memberitahu bahawa selepas baginda dapat surah ini baginda banyak istighfar. Dan memang surah ini suruh baginda istighfar.

Tidak syak lagi yang surah ini ada memberi kesan kepada kehidupan Rasulullah SAW. Bahagian pertama surah ini tentang perkara luar (kejayaan memenangi Mekah); dan bahagian akhir pula berkenaan dengan amalan Nabi (kesan dalaman). Kenapa pula kejayaan yang di luar menyebabkan perubahan dalam amalan Nabi? Nanti kita akan terangkan.

Ada yang kata ini surah Madaniyyah tapi ada juga yang kata ianya adalah surah Makkiah. Kalau ianya diturunkan di Mekah, bagaimana pula dengan jawapan ibn Abbas yang telah disebut sebelum ini? Bukankah ianya sebagai pertanda yang mereka akan dapat menakluk Mekah (oleh itu sepatutnya diturunkan di Madinah). Kepada mereka yang melihat ia diturunkan di Makkah, ia bermaksud bila perkara itu dah terjadi (ramai dah masuk Islam) maka itu adalah tanda yang tugas baginda dah selesai. Dan pendapat yang menguatkan bahawa ianya diturunkan di Mekah adalah kerana ada kalimah إِذا di ayat 1 surah ini. Kalimah إِذا dan إِذ kedua-duanya bermaksud ‘apabila’. Tapi kalimah إِذ digunakan untuk masa yang telah lepas, sedangkan kalimah إِذا adalah untuk sesuatu yang akan berlaku di masa hadapan. Iaitu pemberitahuan Allah yang ia pasti akan berlaku. Dan kerana itu ada pendapat yang mengatakan ayat ini adalah Makkiah kerana Allah memberi janji yang Islam akan mendapat kejayaan.

Kalimah الفَتحُ dalam ayat ini merujuk kepada kejayaan Pembukaan Mekah. Ianya adalah tahun kejayaan kepada Islam kerana ramai wakil dari kawasan luar yang datang berjumpa Nabi Muhammad dan mereka bawa agama Islam kepada masyarakat mereka. Sejak itu ramai yang masuk Islam secara berbondong-bondong. Bandingkan keadaan ini dengan baginda 10 tahun lepas yang cuba bawa agama Islam kepada orang luar tapi mereka tidak terima. Tapi sekarang, ramai yang datang berjumpa baginda pula – amat berbeza sekali.


Ayat 1:

إِذا جاءَ نَصرُ اللَّهِ وَالفَتحُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

An-Naṣr: Victory.

When the victory of Allāh has come and the conquest,¹

  • The conquest of Makkah.

(MALAY)

Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan,

Seperti yang kita telah sebut di atas, kalimah إِذا bermaksud ‘apabila’ dan ia merujuk kepada perkara yang akan berlaku di masa hadapan.

Kalimah جاءَ bermaksud ‘datang’. Selain dari جاءَ, ada lagi kalimah lain yang membawa maksud ‘datang’ juga seperti اتي tapi tidak digunakan dalam ayat ini. Kenapa? Ini adalah kerana kalimah جاءَ lebih kuat dan lebih berat dari kalimah اتي. Sebagai contoh, digunakan dalam Abasa:33

فَإِذَا جَاءتِ الصَّاخَّةُ

Dan apabila datang suara yang memekakkan (tiupan sangkakala yang kedua),

Kalimah جاءَ dalam ayat ini digunakan untuk merujuk kepada kedatangan suara sangkakala. Jadi ini bukanlah perkara yang kecil, bukan? Lihat juga ayat Naaziat:34

فَإِذَا جَاءتِ الطَّامَّةُ الْكُبْرَى

Maka apabila malapetaka yang sangat besar (hari kiamat) telah datang.

Lihatlah bagaimana kalimah جاءَ digunakan pula untuk kedatangan Hari Kiamat. Maknanya itu adalah perkara yang amat besar. Oleh itu, kalimat إِذا جاءَ نَصرُ اللَّهِ وَالفَتحُ bukanlah kedatangan perkara yang kecil, tapi ianya adalah perkara yang amat besar. Ianya adalah peristiwa amat bersejarah dan ianya tidak datang dengan mudah, bukan? Ianya berlaku selepas banyak usaha, masa yang lama untuk berdakwah, peperangan demi peperangan, penat jerih, tangisan dan darah yang melimpah. Selepas itu, barulah Allah berikan kejayaan yang besar ini.

Perkataan نَصرُ اللَّهِ (pertolongan Allah) juga menunjukkan kehebatan peristiwa ini. Kalimah نصرُ bermaksud ‘pertolongan’/’bantuan’. Dari segi bahasa, ia bermaksud pertolongan yang banyak. Ini kerana ada lagi perkataan lain yang boleh digunakan untuk ‘pertolongan’ seperti ista’ana, ayyada, az’ara, madda, azazza, rafadda, dhaahara, ista’in. Tapi semua perkataan itu tidak digunakan tapi yang digunakan adalah نصرُ. Semua kalimat yang telah disebut itu bermaksud ‘pertolongan’ tapi jenis dan tingkatan yang berbeza-beza. Jadi apakah kelebihan نصرُ?

Apabila kita diserang oleh musuh, kita memerlukan نصرُ. Ia juga bermakna pertolongan yang diperlukan dari penindas. Ia bermaksud pertolongan yang diperlukan untuk kita mengalahkan orang lain, menguasai orang lain. Jadi ini adalah pertolongan yang besar, bukan?

Sudahlah kalimah نصرُ itu sudah besar, ditambah lagi kebesarannya kerana ia dinisbahkan kepada Allah – نَصرُ اللَّهِ (Pertolongan Allah), bukan pertolongan makhluk, tapi pertolongan dari Allah.

Oleh itu, ianya adalah pertolongan yang amat hebat. Ini seperti Allah sebut dalam Hud:64 tentang unta sebagai mukjizat Nabi Saleh:

وَيَا قَوْمِ هَـذِهِ نَاقَةُ اللّهِ لَكُمْ آيَةً 

Hai kaumku, inilah unta betina dari Allah, sebagai mukjizat (yang menunjukkan kebenaran) untukmu,

Oleh itu, unta itu bukanlah unta biasa, tapi unta mukjizat. Oleh itu, apabila digunakan kalimah  نَصرُ اللَّهِ, ianya bukanlah pertolongan yang biasa. Ianya tidak dapat dibandingkan dengan pertolongan makhluk.

Dalam Surah al-Kaafiroon sebelum ini, telah disebut bagaimana puak musyrikin telah menawarkan kompromi kepada baginda untuk mereka bertukar-tukar agama – setahun amal tauhid dan setahun amal syirik. Mereka sangka baginda tentu akan terima kerana nampak baginda dalam kedudukan lemah dan baginda amat berharap supaya mereka beriman dengan baginda. Tapi Allah arahkan baginda untuk tidak berkompromi langsung dalam perkara agama. Dan baginda tidak perlu takut menolak cadangan Musyrikin itu kerana Allah akan bantu baginda dengan   نَصرُ اللَّهِ. Kalau Allah dah tolong baginda, siapa lagi yang boleh mencederakan baginda lagi? Tentu tidak ada. Ini penting kerana apabila baginda menolak cadangan mereka dan panggil pula mereka ‘kafir’, tentu ini akan menyebabkan mereka marah kepada baginda dan perhubungan yang tidak baik dulu pun akan bertukar menjadi lebih buruk lagi. Tapi Allah berikan ketenangan kepada baginda – jangan takut kerana Allah akan memberi bantuanNya.

‘Pembantu’ dalam Qur’an selalu disebut sebagai ‘wali’ dan ‘mawlaa’. Allah sebut dalam Baqarah:257 bahawa orang beriman ada wali dan orang kafir pun ada wali juga.

اللَّهُ وَلِيُّ الَّذينَ آمَنوا يُخرِجُهُم مِنَ الظُّلُماتِ إِلَى النّورِ ۖ وَالَّذينَ كَفَروا أَولِياؤُهُمُ الطّاغوتُ يُخرِجونَهُم مِنَ النّورِ إِلَى الظُّلُماتِ ۗ

Allah Pelindung orang-orang yang beriman; Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindungnya ialah syaitan, yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan (kekafiran).

‘Wali’ adalah kawan baik dengan kita yang mahu membantu kita. Ianya adalah tempat kita meminta pertolongan dan perlindungan. Kerana itulah wali bagi perempuan yang hendak berkahwin adalah bapa, datuk atau abang dia, iaitu seseorang yang rapat dengannya dan mahu membantu dan menjaganya. Dan wali itu adalah lebih kuat dari kita yang berharap pertolongan mereka.

Dari ayat 2:257 itu, ada dua jenis golongan yang disebut:
1. Orang mukmin dan wali mereka adalah Allah. اللَّهُ وَلِيُّ الَّذينَ آمَنوا.
2. Orang kafir dan awaliya’ (jamak bagi wali) adalah taghut. وَالَّذينَ كَفَروا أَولِياؤُهُمُ الطّاغوتُ.

Dari segi susunan pun ada makna: untuk orang beriman, nama Allah disebut dahulu (takdim) dan dalam ayat tentang taghut, taghut disebut ‘selepas’ orang kafir itu (ta’khir) – ini adalah tanda pertama yang mereka dihinakan. Kerana takkan sama perwalian Allah dan perwalian dari taghut itu.

Keduanya, walaupun kita baca yang orang mukmin ada wali dan orang kafir pun ada wali, tapi tidaklah sama. Lihat Muhammad:11

ذٰلِكَ بِأَنَّ اللَّهَ مَولَى الَّذينَ آمَنوا وَأَنَّ الكافِرينَ لا مَولىٰ لَهُم

Yang demikian itu kerana sesungguhnya Allah adalah mawla orang-orang yang beriman dan sesungguhnya orang-orang kafir itu tidak mempunyai mawla.

Untuk faham ayat ini, kita kena tahu apakah beza antara ‘wali’ dan ‘mawla’. Mawla itu lebih tinggi lagi dari wali. Mawla adalah seseorang yang ‘boleh’ memberi perlindungan dan pertolongan dan mereka memang memberi pertolongan dan perlindungan itu; sedangkan wali adalah seseorang yang mahu memberi pertolongan tapi belum tentu dia akan tolong atau dia mampu untuk tolong. Oleh itu, kita telah beritahu, orang mukmin dan orang kafir kedua-duanya ada wali, tapi mawla hanya ada pada orang mukmin sahaja dan orang kafir tidak ada mawla sebagaimana yang disebut dalam Muhammad:11. Oleh itu, apabila Allah gunakan kalimah نَصرُ اللَّهِ, ianya juga adalah dalam bentuk مَولَى juga.

Tapi adakah pertolongan itu didapati dengan mudah sahaja? Lihatlah bagaimana Allah memberi janji pertolongan kepada Nabi Musa a.s. dalam ash-Shu’ara:15

قالَ كَلّا ۖ فَاذهَبا بِآياتِنا ۖ إِنّا مَعَكُم مُستَمِعونَ

Allah berfirman: “Jangan takut, maka pergilah kamu berdua dengan membawa ayat-ayat Kami (mukjizat-mukjizat); sesungguhnya Kami bersamamu mendengarkan (apa-apa yang mereka katakan),

Dalam ayat ini, Allah memberi janji yang Dia akan memberi perlindungan kepada Nabi Musa. Dan baginda memang memerlukan kata-kata ini dari Allah kerana baginda disuruh untuk berdakwah kepada Firaun. Baginda sendiri sudah pernah lari dari Mesir telah telah terbunuh lelaki bangsa Qibti dan kemudian baginda disuruh untuk berdakwah kepada Firaun – Firaun yang sama yang mengaku tuhan dan sekarang baginda kena beritahu Firaun yang akidah Firaun itu salah. Memang amat menakutkan tapi, Allah menjadikan perlindunganNya; tapi, perlindungan itu tidak datang dengan mudah. Kejayaan hanya didapati oleh Nabi Musa setelah baginda melalui segala dugaan dan halangan.

Begitulah juga kejayaan yang dijanjikan kepada Rasulullah SAW dalam Surah Nasr ini – ia pasti datang, tapi selepas melalui berbagai-bagai peringkat usaha dan cabaran yang tidak kecil. Walaupun gerenti kejayaaan telah diberi, tapi baginda kena banyak bersabar dan banyak berusaha. Dan dugaan ini disebut dalam Baqarah:214

أَم حَسِبتُم أَن تَدخُلُوا الجَنَّةَ وَلَمّا يَأتِكُم مَثَلُ الَّذينَ خَلَوا مِن قَبلِكُم ۖ مَسَّتهُمُ البَأساءُ وَالضَّرّاءُ وَزُلزِلوا حَتّىٰ يَقولَ الرَّسولُ وَالَّذينَ آمَنوا مَعَهُ مَتىٰ نَصرُ اللَّهِ ۗ أَلا إِنَّ نَصرَ اللَّهِ قَريبٌ

Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (dugaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.

Ayat Baqarah:214 mengandungi kalimah نَصرُ اللَّهِ, apabila mereka bertanya bilakah datangnya نَصرُ اللَّهِ itu? Maka, jawapannya ada dalam an-Nasr ini إِذا جاءَ نَصرُ اللَّهِ وَالفَتحُ. Ianya pasti datang.

Kalimah نصر ini boleh digunakan dalam bentuk katakerja dan juga katanama. Ini juga ada bezanya dari segi balaghah dalam Qur’an. Contoh نصر dalam bentuk katakerja adalah dalam ayat Ali Imran:123

وَلَقَد نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدرٍ وَأَنتُم أَذِلَّةٌ

Sungguh Allah telah menolong kamu dalam peperangan Badar, padahal kamu adalah (ketika itu) orang-orang yang lemah.

Dalam ayat ini, kalimah نصر adalah dalam bentuk katakerja (verb). Dan bentuk katakerja adalah kurang, lemah dan tidak kekal kalau dibandingkan dengan katanama. Oleh itu, walaupun Allah telah memberi pertolongan kepada tentera mukmin semasa di Badr, kemenangan itu tidak kekal. Memang mereka mengalahkan Quraish waktu itu, tapi masih ada lagi peperangan selepas itu dengan Quraish.

Sedangkan penggunaan kalimah نصر dalam Surah Nasr adalah dalam bentuk katanama – jadi ianya adalah kemenangan yang sempurna. Ia merujuk kepada Pembukaan Mekah dan selepas kemenangan itu, tidak ada lagi peperangan dengan Quraish. Ia juga bermakna, pertolongan Allah dalam Pembukaan Mekah itu lebih hebat lagi.

Apabila Allah sebut tentang pertolongan dariNya itu, Allah tidak puji pun Rasulullah dan para sahabat. Ini hendak menekankan bahawa pertolongan itu datang DARI DIA (Allah). Jadi kalau kita berjaya dalam sesuatu apa pun, ingatlah yang kejayaan itu dari Allah. Dan oleh kerana kejayaan itu dari Dia, maka kesyukuran pun untuk Dia jugalah. Kerana itulah, di hujung surah ini nanti, Allah suruh Nabi Muhammad (dan kita juga) untuk tasbih, tahmid dan istighfar kepadaNya.

Bagaimanakah cara untuk mendapatkan نَصرُ اللَّهِ وَالفَتحُ? Allah sebut dalam Saff:10-13

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا هَل أَدُلُّكُم عَلىٰ تِجارَةٍ تُنجيكُم مِن عَذابٍ أَليمٍ

تُؤمِنونَ بِاللَّهِ وَرَسولِهِ وَتُجاهِدونَ في سَبيلِ اللَّهِ بِأَموالِكُم وَأَنفُسِكُم ۚ ذٰلِكُم خَيرٌ لَكُم إِن كُنتُم تَعلَمونَ

يَغفِر لَكُم ذُنوبَكُم وَيُدخِلكُم جَنّاتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهارُ وَمَساكِنَ طَيِّبَةً في جَنّاتِ عَدنٍ ۚ ذٰلِكَ الفَوزُ العَظيمُ

وَأُخرىٰ تُحِبّونَها ۖ نَصرٌ مِنَ اللَّهِ وَفَتحٌ قَريبٌ ۗ وَبَشِّرِ المُؤمِنينَ

Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih?

(iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.

Niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam jannah ‘Adn. Itulah keberuntungan yang besar.

Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai (iaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.

Inilah perniagaan yang amat menguntungkan – beriman dan berjihad dan Allah akan berikan syurga dan pengampunanNya. Dan bukan itu sahaja, Allah akan berikan pertolongan dan kejayaan yang dekat! Maknanya, Allah bukan sahaja beri kejayaan di akhirat kelak, tapi Allah boleh juga beri kejayaan di dunia ini lagi. Lihatlah bagaimana Allah gunakan kalimah نَصرُ اللَّهِ dan وَالفَتحُ sama seperti yang digunakan dalam Surah an-Nasr ini. Tidakkah kita mahu melihat sendiri kejayaan itu semasa kita hidup lagi?

Akan tetapi, kalau dilihat dalam Surah Saff itu, kalimat yang digunakan adalah نَصرٌ مِنَ اللَّهِ (pertolongan ‘dari’ Allah) sedangkan kalimat yang digunakan dalam an-Nasr adalah  نَصرُ اللَّهِ (Pertolongan Allah). Ini berbeza sedikit kerana apabila ada kalimah مِنَ, ia memberi erti ‘sebahagian’ dan kalau terus نَصرُ اللَّهِ, ia bermaksud lebih sempurna lagi.

Sekarang kita lihat maksud kalimah الفَتحُ pula. Ia berasal dari katadasar ف ت ح yang bermaksud ‘pembukaan’. Apabila umat Islam telah menguasai Mekah, maka ia telah menjadi Negara Islam. Kerana sesuatu tempat itu ikut penduduknya, kalau penduduknya Muslim dan mengamalkan cara Islam, maka tempat itu adalah tempat Islam. Maksud الفَتحُ juga adalah kemenangan yang jelas, dimana kita tahu siapakah yang menang dan siapakah yang kalah. Kemenangan boleh juga menggunakan kalimah lain seperti ظفر seperti yang digunakan dalam Fath:24

وَهُوَ الَّذي كَفَّ أَيدِيَهُم عَنكُم وَأَيدِيَكُم عَنهُم بِبَطنِ مَكَّةَ مِن بَعدِ أَن أَظفَرَكُم عَلَيهِم

Dan Dialah yang menahan tangan mereka dari (membinasakan) kamu dan (menahan) tangan kamu dari (membinasakan) mereka di tengah kota Mekah sesudah Allah memenangkan kamu atas mereka

Kalimah ظفر walaupun bermaksud ‘kemenangan’ tapi ianya bukanlah kemenangan yang jelas. Kadang-kadang tidak jelas siapa menang dan kalah kan? Lihatlah pertandingan dalam pilihanraya, tak jelas siapa menang kerana ada pengiraan semula dan sebagainya (ada yang mendapat undi lebih banyak secara keseluruhan tapi kerana kalah dari segi kiraan tempat undian, mereka dikira kalah juga). Ini tidak terjadi kalau kalimah فتح yang digunakan. Lihat penggunaan kalimah ini dalam Fath:1

إِنّا فَتَحنا لَكَ فَتحًا مُبينًا

Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata,

Ayat ini adalah tentang Perjanjian Hudaybiah. Kita pun tahu kisah sedikit sebanyak tentang perjanjian ini, bukan? Allah mengatakan bahawa kemenangan itu jelas. Tapi ada banyak perkara yang menyebabkan ada yang musykil apabila perjanjian ini diadakan dahulu, kerana ia nampak macam berat sebelah:

– Muslim tidak dibenarkan untuk mengerjakan Haji pada tahun itu. Mereka ditolak apabila mereka telah sampai ke Mekah. Bayangkan, mereka tidak dapat mengerjakan Haji walaupun mereka telah jauh perjalanan untuk sampai (bukan naik kapalterbang).

– Jikalau ada yang masuk Islam semasa dia di Mekah dan berhijrah ke Madinah, dia kena dipulangkan ke Mekah. Sedangkan kalau orang Madinah yang murtad dan lari ke Mekah, mereka tidak akan dikembalikan.

Oleh kerana dari zahirnya nampak berat sebelah, maka ramai para sahabat (termasuklah Saidina Umar) terkejut dan menjadi marah waktu itu. Dia tidak boleh terima kerana padanya, kenapa mereka kena tunduk kepada Musyrikin Mekah sedangkan mereka di pihak yang benar. Rasulullah cuba menenangkan mereka sehinggalah Allah menurunkan ayat Fath:4

هُوَ الَّذي أَنزَلَ السَّكينَةَ في قُلوبِ المُؤمِنينَ لِيَزدادوا إيمانًا مَعَ إيمانِهِم

Dialah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka

Hanya selepas Allah berikan ‘sakinah’ ke dalam hati mereka, barulah mereka boleh menerima keputusan tentang Perjanjian Hudaybiah itu.

Tapi lihatlah bagaimana Allah menggunakan kalimah فتح untuk menerangkan tentang Perjanjian Hudaybiah itu. Ianya bukan sahaja kemenangan kecil tapi ianya adalah فَتحًا مُبينًا  kemenangan yang jelas nyata. Walaupun para sahabat tidak nampak lagi waktu itu, tapi mereka akan menyaksikan bagaimana memang ianya adalah kemenangan yang jelas.

Mari kita kaji lagi: ada dua jenis فتح yang kita telah tahu:
– Fat-h Hudaybia [Perjanjian Hudaybiah]
– Fat-h al Makkah. [Pembukaan Mekah]

Untuk memahami dua kemenangan ini, kita kena selusuri perjalanan kenabian dan usaha Nabi Muhammad SAW:

1 – Rasulullah mengajak Arab Mekah untuk beriman tauhid kepada Allah. Hanya segelintir sahaja dari kalangan mereka yang beriman dan tidak lama kemudian mereka dilihat sebagai ‘orang pelik’ kerana mengamalkan perkara yang berlainan dengan kebiasaan waktu itu (amalan syirik). Masyarakat Arab Jahiliah waktu itu melihat muslim waktu itu sebagai ajaran sesat yang menyebabkan perpecahan di kalangan keluarga dan umat manusia. Mereka bukan sahaja melihat para sahabat sebagai pelik, tapi mereka juga menindas, menghina dan menyakiti para sahabat.

Tapi para sahabat terus berdakwah dan lama kelamaan kumpulan muslim membesar. Musyrikin Mekah terus memikirkan cara bagaimana untuk menghalang penyebaran tauhid ini berterusan. Kalau dulu mereka sikit, sekarang sudah semakin banyak sampai menyebabkan kerisauan di kalangan pemimpin masyarakat Arab Jahiliyah. Mereka mula bertindak semakin kasar dan ganas terhadap puak muslim. Mereka akan menangkap, mencederakan, menuduh kumpulan muslim itu sebagai terroris dan sebagainya. Tujuannya supaya orang luar tidak mendekati Islam dan jadi benci dan was-was terhadap agama tauhid itu. Kumpulan muslim itu dilihat sebagai pemberontak dan anasir yang perlu dihapuskan.

Maka sudah tentulah tidak ada perhubungan diplomasi antara pemimpin Arab Jahiliyah dan umat Islam waktu itu. Kerana mereka adalah kerajaan waktu itu dan umat Islam adalah ‘terroris’. Arab Jahiliyah tidak mengiktiraf kumpulan Islam itu.

Tapi itu berubah semasa Perjanjian Hudaybiah. Bayangkan waktu itu terjadinya ‘perjanjian rasmi’ antara dua golongan ini. Setelah sekian lama (13 tahun di Mekah dan 6 tahun di Madinah), pihak Quraish tidak ada pilihan lain lagi selain dari mengiktiraf kumpulan umat Islam itu. Ini terjadi apabila ada perjanjian antara mereka. Dan bayangkan, kumpulan umat Islam waktu itu bukannya datang dengan bersenjata dan perisai, tapi mereka telah mendapat kedudukan yang cukup membuatkan pihak Quraish terpaksa mengadakan perjanjian dengan mereka. Quraish sudah habis ikhtiar untuk memusnahkan terus agama Islam setelah sekian lama mereka mencuba.

Apabila berita perjanjian itu tersebar ke tempat-tempat lain, puak Arab yang lain telah membuka mata mereka terhadap Islam. Mereka sedar, apabila Quraish terpaksa mengadakan perjanjian damai dengan pihak Islam, ini bermakna pihak Islam sudah mencapai status yang tinggi yang mungkin hampir sama dengan Quraish. Ini terjadi setelah Perjanjian Hudaybiah itu ditandatangai – ini adalah titik tolak kepada kejayaan penuh nanti di masa hadapan. Mulanya ia telah membuka mata masyarakat Arab yang lain. Waktu itulah juga Rasulullah telah mengadakan perjanjian persefahaman dengan puak-puak Arab yang lain. Ada yang berpihak kepada pasukan Islam dan ada yang duduk di atas pagar (sekurangnya mereka berjanji tidak menyerang umat Islam). Pengaruh Rasulullah semakin kuat dan dalam masa yang sama, pengaruh Quraish semakin berkurang. Dan ini dicapai tanpa pertumpahan darah pun. Tanpa Quraish sedari, mereka telah memulakan kejatuhan mereka secara total. Tahun selepas Perjanjian Hudaybiah itu, umat Islam dapat masuk dengan aman untuk mengerjakan Haji dan Quraish tidak dapat melakukan apa-apa. Kerana itulah Allah mengatakan yang Perjanjian Hudaybiah itu sebagai فَتحًا مُبينًا Kemenangan yang jelas nyata.

Tapi Perjanjian Hudaybiah itu pun tidak sehebat Pembukaan Mekah. Kerana kalimah yang digunakan adalah فَتحًا (dengan tanwin) sedangkan Surah an-Nasr kalimah yang digunakan adalah الفَتحُ (dengan ال) yang lebih kuat lagi. Kalimah الفَتحُ bermaksud kemenangan yang mutlaq.

Allah berfirman dalam surah ini: نَصرُ اللَّهِ وَالفَتحُ. Huruf و yang digunakan dalam وَالفَتحُ itu tidak semestinya bermaksud ‘dan’. Ia juga boleh bermaksud ‘yakni’. Iaitu pertolongan Allah itu dalam bentuk kemenangan.

Sedikit sejarah tentang Pembukaan Mekah:

1 – Kehebatan Pembukaan Mekah: ianya adalah satu-satunya penaklukan yang tidak melibatkan pertumpahan darah. Dalam mana-mana sejarah penaklukan lain, apabila satu kuasa mengambil kuasa atau tempat lain, mesti akan ada pertumpahan darah. Tapi secara umumnya, penaklukan Mekah adalah aman. Memang ada sedikit pertelingkahan tapi tidak ada pertumpahan darah.

2 – Ianya adalah satu-satunya penaklukan dimana tentera yang menang tidak mengambil peluang terhadap penduduk yang ditakluk. Mereka dilayan dengan baik. Tidak ada pembunuhan, tidak ada perogolan, tidak ada pengambilan harta langsung. Bandingkan dengan penaklukan mana-mana tentera lain. Dari dulu sampai sekarang, kalau ada yang menakluk, mereka akan rampok, rampas dan rogol. Tapi apabila Nabi Muhammad SAW dan para sahabat mengambilalih Mekah, ianya aman sekali. Yang ada hanyalah لا تَثريبَ عَلَيكُمُ اليَومَ (Dia (Yusuf) berkata: “Pada hari ini tak ada cercaan terhadap kamu) seperti yang difirman dalam Yusuf:92.

3 – Tidak ada perarakan, tarian atau penaikan bendera seperti yang selalu terjadi dalam penaklukan lain. Yang ada adalah penyembahan kepada Allah. Nabi Muhammad SAW sendiri masuk ke Kota Mekah dengan menundukkan diri baginda. Baginda waktu itu sedang menaiki kuda dan kepala baginda rapat dengan tengkuk kuda itu sebagai isyarat kepada sujud. Baginda meraikan kemenangan itu dengan sujud kepada Allah. Subhanallah! Kerana baginda tahu yang kemenangan bermaksud kena bersyukur kepada Allah.

Setelah itu baginda membersihkan Ka’bah dari berhala dan gambar-gambar yang ada dalam Ka’bah. Jadi ini adalah satu kemenangan yang unik yang tidak berlaku dalam sejarah manusia, dulu dan sekarang.

Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 110: an-Nasr. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s