Tafsir Surah al-Kaafiroon Ayat 2 – 6 (meninggalkan Mekah)

Ayat 2:

لا أَعبُدُ ما تَعبُدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

I do not worship what you worship.

(MALAY)

Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.

 

Untuk memahami maksud تَعبُدونَ dalam ayat ini, kita kena faham apakah maksud ‘ibadah’. Kadang-kadang ramai yang tidak faham. Mereka sangka yang ianya bermaksud amalan ibadat seperti solat dan puasa sahaja. Tapi dari segi bahasa, تَعبُدونَ diambil dari kalimah عبد (hamba). Iaitu menghambakan diri kepada Allah SWT. Oleh kerana tidak faham, maka ramai manusia yang kuat melakukan ibadat, tapi tidak menghambakan diri kepada Allah. Mari kita lihat apakah yang dimaksudkan oleh ibadah seperti yang disebut oleh Imam Ibn Taymiyyah. Dia meletakkan ada 5 syarat untuk seseorang itu dikira sebagai ‘hamba Allah’:

1) Kena ada taat kepada Allah. Ketaatan kita kepada Allah kena lebih tinggi lagi dari taat kepada selain Allah. Kita boleh taat kepada pemimpin, ibu bapa, ketua kita dan ia tidak boleh melebihi taat kita kepada Allah. Kalau taat kepada selain Allah bermaksud kita meninggalkan taat kepada Allah, lawan hukum Allah, maka taat kepada mereka itu terlarang.

2) Kena ada cinta kepada Allah. Kita kena cinta (hubb) kepada Allah lebih lagi dari cinta kepada yang lain. Ini disebut dalam Baqarah:165 وَالَّذينَ آمَنوا أَشَدُّ حُبًّا لِلَّهِ ۗ (Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah). Memang kita ada cinta lain seperti cinta kepada pasangan kita, cinta kepada anak, cinta negara dan sebagainya, tapi semua cinta itu tidak boleh lebih lagi dari cinta kita kepada Allah.

3) Kena ada tawakal kepada Allah. Maksudnya percaya dan bergantung kepada Tuhan. Kita kena terima perkara ini kerana kita kena sedar yang kita adalah hamba sahaja dan kita telah menerimaNya sebagai Tuhan kita. Oleh itu, apa sahaja arahan yang Dia berikan kepada kita, kita kena percaya yang ianya adalah untuk kebaikan kita. Apa sahaja dugaan yang diberikanNya kepada kita, kita kena terima dan serahkan segalanya kepada Allah. Kita kena yakin yang Allah hendak meringankan kita dengan berikan hukum dan undang-undang kepada kita untuk kita ikuti. Ini kita boleh lihat dalam Nisa:28 يُريدُ اللَّهُ أَن يُخَفِّفَ عَنكُم (Allah hendak memberikan keringanan kepadamu). Oleh itu jangan kita sangka hukum yang Allah telah susun untuk kita itu adalah untuk menyusahkan kita. Jangan kita rasa terbeban dengan hukum-hukum itu.

4) Kena ada keikhlasan. Apabila kita melakukan sesuatu, terutama dalam hal ibadah, kita kena jaga hati kita supaya kita lakukannya ikhlas kerana Allah. Kalau kita sedekah harta, jangan kita mahu orang lain tahu supaya kita disanjung. Tentang ikhlas telah banyak disebut dalam surah-surah dan ayat-ayat yang lain termasuk dalam An’am:162 قُل إِنَّ صَلاتي وَنُسُكي وَمَحيايَ وَمَماتي لِلَّهِ رَبِّ العالَمينَ (Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam).

Dan kita kena jaga niat kita. Kadang-kadang kita mula untuk berkhidmat dalam memperkembangkan agama – dalam dakwah, dengan berceramah, dengan menulis, mengajar dan sebagainya. Mulanya kita memang ikhlas. Tapi lama kelamaan, kalau kita tidak jaga, maka kita sudah terlari sedikit niat kita – kita mula berharap orang kenal kita, sanjung dan puji kita; dan kalau orang tidak hargai usaha kita, kita mula terasa hati dan mula meninggalkan usaha kita. Dalam keadaan macam itu, kita kena tanya balik diri kita – aku buat usaha agama ini kerana nak dapatkan pujian orang kah? Tidak, bukan? Kita buat usaha agama ini adalah kerana Allah, mengharapkan balasan dari Allah, bukannya dari manusia. Kadang-kadang kita tidak perasan perkara ini maka kena jaga sungguh-sungguh dan jaga sentiasa.

5) Sedar status hamba. Apabila kita dapat kerja, kita ada kontrak pekerjaan, bukan? Dalam kontrak itu menyenaraikan apa tugas kita dan apa tugas syarikat. Ianya adalah satu kefahaman yang dua-dua pihak bersetuju. Begitu juga dalam perkahwinan, antara anak dan ibubapa, antara kerajaan dan rakyatnya – semua ada perjanjian samada tertulis atau tidak. Selalunya perjanjian itu adalah hasil dari kompromi, hasil perbincangan antara kedua pihak yang menyenaraikan hak-hak masing-masing. Tapi dengan Allah, terma perjanjian itu adalah satu hala sahaja – kita tidak ada kuasa untuk kompromi dengan Allah. Ianya datang dari Allah dan kita kena terima sahaja, tidak boleh nak berbincang lagi dah. Kita tidak layan untuk berbincangan apakah kewajiban kita dan samada kita mahu buat atau tidak. Kita kena sedar yang kita adalah hamba dan tidak ada hak itu.

Kafir Mekah memang mereka ada tawaf Ka’bah, solat dan sujud dan sebagainya; tapi amalan ibadah mereka tidak ikut ketetapan dari Allah – mereka reka sendiri sahaja. Itu tidak diterima. Kalau ianya ikut apa yang Allah suruh, barulah boleh diterima. Dan untuk diterima, ianya mestilah datang dari Rasul kerana Rasul yang menyampaikan kehendak Allah kepada umat. Jangan memandai buat ibadah dan cara sendiri.

Oleh itu, apabila melihat syarat-syarat di atas, kita dapat tahu yang ubudiyyah (penghambaan) bukan sahaja mengerjakan ibadah, ada banyak perkara yang kita kena jaga. Kedua-dua perkara ini termaktub dalam maksud عبد. Oleh itu, apabila Rasulullah disuruh beritahu mereka لا أَعبُدُ ما تَعبُدونَ, ia bukan sahaja bermaksud: “aku tidak akan sembah apa yang kamu sembah”, tapi ia juga bermaksud: “aku tidak akan memperhambakan diri kepada apa yang kamu hambakan diri itu”. Tapi susahlah untuk diterjemahkan, maka itulah sebabnya kena belajar tafsir dan tahu bahasa Arab juga.

Oleh itu, kita tahu yang ‘ibadah’ adalah perbuatan-perbuatan tertentu, dalam waktu-waktu tertentu, tapi dalam masa yang sama, kita sentiasa menjadi hamba kepada Allah, dalam setiap ketika. Ini adalah amat penting sekali untuk difahami – kita bukan sahaja kena melakukan ibadah kepada Allah tapi di antara waktu-waktu ibadah itu, tapi diantara waktu-waktu ibadah itu, kita kena hambakan diri kepada Allah. Kena ikut dan taat apa yang Allah suruh kita buat. Ramai orang yang menyembah Allah, tapi mereka tidak berperangai seperti seorang hamba Allah. Menjadi hamba adalah pekerjaan sepenuh masa – samada dalam ibadah atau tidak. Kerana tidak faham perkara inilah yang menyebabkan ada yang solat tapi jual arak di kedai mereka. Itu adalah kerana mereka rasa dah cukup dengan buat ibadat sahaja.

Kalimah أَعبُدُ ini dinisbahkan kepada Nabi Muhammad. Baginda tidak pernah melakukan amalan syirik, walaupun sebelum baginda menjadi Nabi. Cuma, hanya apabila baginda diberikan dengan wahyu barulah baginda benar-benar menghambakan diri kepada Allah kerana sebelum itu baginda tidak ada maklumat. Sebelum itu baginda mencari-cari kebenaran dan Allah telah beri kebenaran itu seperti yang difirmankan dalam Dhuha:7 وَوَجَدَكَ ضالًّا فَهَدىٰ (Dan Dia mendapatimu mencari-cari, lalu Dia memberikan petunjuk.)

Jadi Musyrikin Mekah itu ada dua masalah: satu, dalam ibadah mereka – kerana mereka tidak buat ibadah kepada Allah sahaja; dan kedua, mereka menghambakan diri kepada hawa nafsu mereka dan kerana itu mereka telah melakukan kezaliman.

Kalimah لا dalam ayat ini bukan sahaja bermaksud masa sekarang, tapi juga masa hadapan. Jadi jangan harap yang kita akan ikut perangai orang kafir itu.


 

Ayat 3:

وَلا أَنتُم عابِدونَ ما أَعبُدُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Nor are you worshippers of what I worship.

(MALAY)

Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah.

 

Dan sekarang Rasulullah disuruh untuk memberitahu di depan muka Musyrikin Mekah itu yang mereka tidak pernah dan tidak akan menyembah Tuhan yang orang Islam sembah. Kalimah عابِدونَ adalah dalam bentuk isim fa’il, maka ia membawa maksud dulu, sekarang dan akan datang. Maknanya, Allah beritahu yang mereka itu telah termaktub dah apa yang mereka akan buat – mereka tidak akan berubah.

Kenapa Allah boleh berfirman begini? Kerana begitulah hati mereka. Allah telah sebut dalam Zukhruf:79 

أَم أَبرَموا أَمرًا فَإِنّا مُبرِمونَ

Atau adakah mereka itu telah mengambil keputusan? Maka Kami juga merancang.

Kalimah yang digunakan adalah إبرم. Ia bermaksud mengikat untuk buat rumah. Zaman dulu mereka tidak ada simen, maka untuk buat rumah mereka guna tali yang diikat bersama. Tali itu kenalah jenis yang kuat dan diikat dililit dengan kemas supaya ianya tidak terungkai. Allah gunakan kalimah إبرم itu untuk membayangkan hati mereka yang telah terikat dalam kekufuran. Macam tali rumah yang tidak akan terungkai kerana diikat kuat, begitu jugalah hati mereka yang telah terikat dengan kekufuran. Kalimah إبرم dalam ayat Zukhruf itu ada dua, tapi berlainan formatnya. Kalimah yang dikaitkan dengan mereka adalah أَبرَموا iaitu dalam format katakerja (fi’il). Ini bermaksud ianya tidak kekal. Kerana nanti di akhirat nanti, bila mereka dah nampak kesalahan mereka, barulah mereka nak buka kembali tali fahaman yang mereka telah ikat kuat itu. Tapi kalimah مُبرِمونَ yang Allah nisbahkan kepada DiriNya itu adalah dalam format katanama (isim) bermaksud kekal. Maksudnya Allah tidak akan lepaskan keputusanNya untuk memasukkan mereka ke dalam neraka.

Jadi Allah suruh Nabi beritahu mereka, mereka tidak pernah sembah Allah dengan cara yang benar, dan mereka tidak pernah pun menghambakan diri kepada Allah dengan sepenuhnya.

Dua ayat pertama dari Surah Kaafiroon ini tentang masa hadapan, bukan masa yang telah lalu sahaja. Oleh kerana Allah beritahu yang mereka tidak akan berubah, maka tidak mungkin ada kompromi dengan mereka. Kerana sampai bila-bila pun mereka tidak akan berubah dari fahaman dan amalan syirik mereka itu.


 

Ayat 4: Kalau dua ayat sebelum ini tentang masa hadapan, sekarang tentang masa yang lepas pula. Jadi dua ayat untuk masa hadapan dan dua ayat untuk masa lepas.

وَلا أَنا عابِدٌ ما عَبَدتُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Nor have I been a worshipper of what you worship.

(MALAY)

Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah,

Allah suruh Nabi beritahu yang baginda tidak pernah sembah tuhan yang mereka sembah itu. Jangan mereka sangka yang tuhan mereka dan Tuhan Nabi Muhammad itu tuhan yang sama. Nabi Muhammad dan mereka tidak pernah seangkatan. Kalau mereka dulu tidak pernah seangkatan, takkan sekarang mereka sangka yang mereka boleh berkompromi bersama-sama pula? Itu tidak mungkin terjadi.


 

Ayat 5:

وَلا أَنتُم عابِدونَ ما أَعبُدُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Nor you never worshipped what I worship.

(MALAY)

dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah.

 

Ayat ini sama sahaja dengan ayat ke 3, bukan? Tapi pengulangan dalam ayat ke 5 ini adalah tentang masa lepas sedangkan ayat ke 3 adalah telah masa hadapan.

Pengulangan ini juga boleh ditafsir sebagai penegasan. Kadang-kadang apabila kita hendak menekankan sesuatu perkara itu, kita ulang, bukan? Contohnya kalau benda sangat kepada seseorang kita kata: “aku benci engkau, aku benci engkau!”

Oleh itu, pengulangan kali kedua ini adalah hendak menekankan kemarahan Allah kepada mereka. Kalau kali pertama (dalam surah 3) itu mereka tidak faham, maka ini sekali lagi disebut dalam ayat ke 5.

Kenapa Allah gunakan kalimah ما (apa) dalam ayat ini dan tidak من (siapa)? Allah tidak berfirman: وَلا أَنتُم عابِدونَ من أَعبُدُ. Kalimah ما selalunya digunakan untuk benda yang tidak bernyawa, bukan? Salah satu cara untuk memahaminya adalah, ia merujuk kepada ‘perbuatan’ menyembah itu. Maknanya, Allah nak tekankan yang mereka tidak melakukan perbuatan sembahan yang sama dengan Nabi lakukan. Cara amalan mereka itu adalah amalan yang salah dan bukan cara dalam agama.

Tafsiran kedua: apabila ما digunakan, ianya untuk merendahkan tuhan yang mereka sembah. Alangkah rendahnya tuhan yang mereka sembah kalau dibandingkan dengan Tuhan (Allah) yang Nabi Muhammad sembah.

Ini adalah kerana ما dan من tidak sama. Kalau من ia melibatkan identiti (siapa yang dimaksudkan) dan kalau ما ia melibatkan kualiti atau sifat (dia peguam, peniaga…). Oleh itu, sifat Allah yang hebat dibandingkan apabila digunakan kalimah ما dalam ayat 3 dan 5 ini. Sifat Tuhan yang Nabi Muhammad SAW sembah itu adalah amat hebat dan sifat tuhan yang mereka sembah itu adalah lemah sekali. Seolah-olah Nabi Muhammad mengejak mereka: “kamu sangka tuhan yang kamu sembah itu sama hebat dengan Tuhan yang aku sembah? Tidak sama sekali. Adakah kau sangka ibadah aku kepada Tuhan aku sama dengan ibadah kamu terhadap tuhan kamu itu? Tidak sama sekali!).


 

Ayat 6:  Ayat terakhir surah ini. Tapi ia mungkin ayat yang paling disalahfahami oleh masyarakat kita. Mari kita lihat apakah sebenarnya tafsir ayat ini.

لَكُم دينُكُم وَلِيَ دينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For you is your religion, and for me is my religion.”

(MALAY)

Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku”.

 

Selalunya ayat ini diterjemahkan begini: “Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku”. Kita akan bincangkan kenapa terjemahan ini tidak berapa tepat dan perlu penjelasan lagi.

Kalimah لَكُم adalah taqdim (diawalkan). Kalau dalam bahasa Arab, penggunaan yang biasa adalah دينُكُم لَكُم. Apabila kalimah لَكُم ditaqdimkan (diawalkan), ia bermaksud takhassus – eksklusif – membawa maksud ‘hanya’. Oleh itu, yang dimaksudkan dalam ayat ini cara hidup kamu itu (دينُكُم), HANYA untuk kamu sahaja. Ia tidak akan pernah jadi untuk aku (Nabi Muhammad).

Dan sekali lagi kalimah لِيَ itu juga adalah dalam bentuk taqdim – membawa maksud takhassus juga – cara hidup (deen) aku ini adalah UNTUK aku sahaja – ianya tidak akan bertemu.

Dalam erti kata lain, Nabi Muhammad sedang memberi isyarat bahawa baginda akan meninggalkan Mekah. Jadi ayat ini adalah bibit-bibit awal kepada penghijrahan baginda ke Madinah. Ini kerana usaha dakwah kepada puak Musyrikin Mekah itu sudah habis dan sudah tiba masa untuk baginda meninggalkan mereka. Tujuan baginda di Mekah adalah untuk berdakwah kepada mereka dan kerana pintu dakwah telah ditutup, maka baginda tidak perlu lagi berada di situ.

Mari kita lihat kalimah دينِ sekali lagi. Perkara ini telah banyak disebut dalam penulisan tafsir ini dan kita cuma ulang sahaja. Ianya dari katadasar د ي ن yang bermaksud ‘hutang’. Kalau kita berhutang RM100 dengan seseorang, maka kita kena pulangkan RM100 semula, bukan? Dalam syarak, ianya juga digunakan untuk membawa maksud يَومِ الدّينِ Hari Pembalasan kerana kita akan dapat apa yang sepatutnya dapat.

Oleh itu, dari maksud ini, salah satu maksud kalimat لَكُم دينُكُم adalah: kamu akan dapat apa yang kamu patut dapat. Apa yang akan dibalas di Hari Pembalasan nanti adalah khusus untuk kamu disebabkan oleh amalan kamu semasa di dunia dulu. Oleh kerana kamu kufur semasa di dunia, kamu akan mendapat balasan buruk di akhirat kelak. Dan maksud وَلِيَ دينِ adalah: aku akan mendapat balasan yang khusus untuk aku dari amalan aku semasa di dunia.

Jadi ini bukanlah bermaksud: untuk kamu agama kamu dan untuk aku agama aku. Itu seolah-olah membolehkan orang lain buat apa sahaja yang mereka suka, bukan? Seolah-olah kita berkata: aku tak campur urusan kamu dan kamu jangan campur urusan aku. Ini adalah kefahaman yang silap. Kerana ia tidak kena dengan konteks ayat. Kita kena lihat balik siapakah Musyrikin Mekah itu – mereka telah menerima dakwah Nabi sudah 10 tahun tapi mereka masih juga hendak mengamalkan amalan kufur. Dan amalan mereka itu salah dan tidak patut kita membenarkan amalan mereka itu.

Dan ini juga bermaksud yang Nabi tidak akan membiarkan mereka berterusan begitu. Oleh kerana musyrikin itu tetap akan meletakkan berhala mereka di Ka’bah, dan tugas baginda adalah untuk membersihkan Ka’bah itu dari syirik seperti yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s., maka ini bermakna akan ada konflik di antara Nabi Muhammad SAW dan Musyrikin Mekah itu nanti. Kerana untuk menegakkan agama Islam yang sebenar, agama amalan mereka tidak boleh ada lagi. Agama mereka mesti dimusnahkan. Ini memberi isyarat yang akan perperangan antara mereka kerana kalau mereka tetap berdegil, maka tindakan keras akan diambil. Kerana tugas baginda disebut dalam Saff:9

هُوَ الَّذي أَرسَلَ رَسولَهُ بِالهُدىٰ وَدينِ الحَقِّ لِيُظهِرَهُ عَلَى الدّينِ كُلِّهِ وَلَو كَرِهَ المُشرِكونَ

Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya di atas segala agama-agama meskipun orang musyrik membenci.

Dalam ayat ini diberi isyarat perperangan antara mereka dan dalam ayat seterusnya nanti (Nasr) akan diberi isyarat kemenangan pada pihak Islam.

Dan baginda akan tetap menjalankan tugas baginda walaupun baginda berseorang. Lihatlah surah ini ditujukan kepada baginda. Allah gunakan kalimah قل (katakanlah) yang dalam bentuk mufrad (satu) yang merujuk kepada baginda. Allah tidak kata: قولوا (katakanlah kamu semua). Allah beri arahan kepada Nabi seorang sahaja. Manusia menyangka yang Nabi memerlukan para sahabat untuk membantu baginda tapi tidak begitu sebenarnya. Tapi Allah telah beritahu kepada para sahabat, kalau mereka tidak bantu baginda, Allah tetap akan bantu baginda. Mereka diberi peluang sahaja untuk membantu, dan kalau tidak bantu pun, mereka yang rugi. Lihatlah bagaimana pada perang Hunayn, kerana tentera Islam diserang dengan tiba-tiba, mereka telah meninggalkan Rasulullah tapi baginda tidak lari pun, tetap di tempat baginda.

Balaghah: Kalimah دينِ (agamaku) sepatutnya dieja begini ديني (agamaku) kerana untuk menunjukkan kepunyaan (aku) mestilah ada huruf ي yang dinamakan ‘ya mutakallim’ (kepunyaan orang yang berkata). Ini bermakna, ada hazaf (dihilangkan) pada kalimah دينِ itu. Dalam ilmu balaghah apabila ada hazaf, ia membawa maksud berkekalan. Dan kalau ada diletakkan huruf ي itu, maknanya ia boleh berubah. Oleh itu, apabila digunakan دينِ dengan dihazafkan huruf ي itu, ia bermaksud agama Islam itu kekal, tidak berubah-ubah. Tidaklah agama Islam ini berubah-ubah – kejap begitu dan kejap begini macam agama orang kafir itu. Bayangkan musyrikin Mekah itu berubah-ubah cara penyembahan mereka, ikut suka mereka. Ilah mereka pun boleh berubah, sampaikan kadang-kadang makanan pun jadi berhala. Ada kisah bagaimana mereka bermusafir dan kerana nak buat berhala, mereka jadikan kurma disusun-susun sebagai berhala. Tapi apabila lapar, mereka makan pula ‘berhala’ mereka dari kurma itu!

Tapi agama Islam ada ketetapan. Allah yang disembah dari dulu sampai sekarang dan sampai bila-bila. Itulah Tuhan di masa senang dan di masa susah; itulah Tuhan di dalam rumah dan di luar rumah – di mana-mana sahaja. Dan cara penyembahan kita tidak bertukar-tukar seperti agama lain. Sebab itulah kita larang orang dari buat bidaah, kerana itu adalah pengubahan dalam cara ibadah yang dilarang dalam agama. Agama Islam kita telah tetap dari dulu sampai bila-bila dan tidak perlu diubah-ubah.

Ada juga yang mengatakan yang hazaf ي dalam kalimah دينِ itu adalah sebagai taukid – penekanan.

 

Penutup:

Kita telah pernah sebut bagaimana 10 surah terakhir ini banyak menceritakan tentang Rasulullah SAW. Termasuk dalam perkara ini adalah bagaimana baginda meneruskan perjuangan Nabi Ibrahim a.s. Dan salah satu sunnah Nabi Ibrahim adalah meninggalkan kaum baginda seperti yang disebut dalam Mumtahinah:4.

Begitulah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan sekarang dalam Surah al-Kaafiroon ini pula disebut tentang Nabi Muhammad SAW juga meninggalkan kaum baginda kerana mereka telah tidak ada peluang untuk berubah. Maknanya, apa yang baginda lakukan ini adalah sunnah Nabi Ibrahim juga lah, bukan baginda yang mula-mula buat.

Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah an-Nasr.


Rujukan: 

Nouman Ali Khan.

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 109: al-Kaafiroon. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s