Tafsir Surah al-Kaafiroon Ayat 1 (Deklarasi peperangan)

Pengenalan:

Surah ini susah untuk ditafsirkan kerana walaupun ianya pendek sahaja tapi ia mengandungi banyak pengajaran di dalamnya. Tidaklah nampak senang sahaja. Tapi kita cuba juga untuk mudahkan supaya kita dapat memahaminya sedikit sebanyak, in sha Allah.

Surah ini adalah untuk memutuskan hubungan dengan orang kafir Mekah. Mereka memang ada agama, tapi agama yang salah. Tak boleh nak ikut apa yang mereka lakukan. Kita boleh nak bersatu dengan budaya mereka. Jadi Allah ajar kita bagaimana berurusan dengan mereka – mereka kena ikut kita dan kita tidak boleh ikut mereka. Kalau setelah dakwah mereka masih tidak boleh nak ikut, maka kena tinggalkan mereka dengan apa yang mereka lakukan itu. Tidak ada jalan tengah, tidak ada kompromi dengan mereka.

Sebelum itu, mari kita lihat kaitan surah ini dengan Surah al-Kauthar:

Dalam Surah al-Kauthar, orang kafir the menghina Nabi Muhammad SAW kerana baginda telah kematian anak lelakinya – mereka mengatakan keturunan baginda terputus. Allah jawap dalam surah itu yang merekalah sebenarnya yang akan terputus, bukannya baginda. Perbuatan mereka membenci Nabi itu adalah amat buruk sekali dan sekarang Allah memberitahu kita yang mereka membenci Nabi Muhammad itu adalah kafir sebenarnya. Mereka kata Nabi Muhammad abtar, tapi Allah balas dengan kata mereka itu kafir. Ada beberapa perkara tentang panggilan ini yang kita perlu bincangkan.

1) Penghinaan mereka itu tidak ada nilai pun kerana itu adalah kata-kata mereka sahaja. Mereka kata ajaran baginda akan terputus kerana baginda tidak anak lelaki itu tidak terbukti pun – agama Islam terus berkembang. Sedangkan panggilan ‘kafir’ kepada mereka itu datangnya dari Allah dan itu adalah kebenaran.

2) Semasa mereka menghina baginda, ianya bukanlah atas akhlak buruk baginda kerana mereka memang tidak ada apa-apa hujah untuk mengutuk akhlak baginda kerana akhlak baginda adalah terbaik. Tapi apabila Allah kutuk mereka dengan gelaran ‘kafir’ itu, ianya adalah berkait dengan sifat mereka yang buruk. Itu memang kesalahan mereka yang mereka lakukan dan memang layak mereka dikenakan dengan gelaran itu. Sedangkan yang mereka kutuk Nabi Muhammad itu, itu bukanlah salah baginda.

Kaitan kedua dengan Surah Kawthar, kita telah belajar bagaimana mereka yang memusuhi Nabi Muhammad SAW itu dikira sebagai شانِئَ dan ianya adalah jenis musuh yang paling teruk sekali. Allah memberitahu perangai mereka. Mereka itulah yang kufur sebenarnya. Mereka telah didakwah bertahun-tahun dengan cara yang sebaik-baiknya, tapi mereka masih lagi tidak mahu beriman. Malah mereka menghina dan menyakitkan hati Nabi. Dalam Surah Kawthar mereka digelar sebagai شانِئَ dan dalam Surah Kaafiroon ini, mereka digelar sebagai ‘kafir’.

Tapi mereka memang kuat dan berkuasa waktu itu kerana mereka yang ramai. Mereka nak halang Nabi dan para sahabat dari berdakwah, nampaknya tidak berjaya. Maka mereka sangka dengan kedudukan mereka, mereka boleh buat kompromi dengan baginda. Mereka tawarkan kepada baginda untuk berkongsi – tahun ini kita amalkan tauhid, tahun depan kita buat syirik pula, tukar-tukar. Dan dalam masa yang sama, mereka tawarkan kekayaan dan kedudukan kepada baginda asalkan baginda memberhentikan dakwah baginda. Itulah tawaran mereka yang terakhir sekali.

Mereka buat tawaran itu kerana mereka sudah agak yang baginda tidak akan meninggalkan dakwah baginda. Dan begitu juga dengan para sahabat yang lain. Jadi mereka fikir dan fikir maka itulah jalan penyelesaian yang mereka rasa boleh mereka ambil. Dalam Qalam:9 ada difirman:

وَدّوا لَو تُدهِنُ فَيُدهِنونَ

Maka mereka menginginkan supaya kamu bersikap lunak lalu mereka bersikap lunak (pula kepadamu).

Dan ini jugalah taktik syaitan. Kalau syaitan tidak dapat mengkufurkan kita sepenuhnya, mereka akan cuba ubah kita supaya ambil sedikit perkara yang salah supaya tidak sepenuhnya Islam. Sedang Allah telah berfirman dalam Baqarah:208

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنُوا ادخُلوا فِي السِّلمِ كافَّةً وَلا تَتَّبِعوا خُطُواتِ الشَّيطانِ

Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan.

Kita kena ambil dan amalkan Islam 100%. Jangan termakan dengan bisikan syaitan – maka jangan ada kompromi. Kalau kita dah kompromi sikit, maka nanti syaitan akan bisikkan lagi untuk ambil lagi perkara lain – akhirnya boleh jadi kafir terus. Oleh itu, ambil sebahagian sahaja hukum Islam adalah mengikut jejak langkah syaitan sebenarnya. Salah satu cara syaitan adalah supaya kita menolak sebahagian sahaja dari ajaran Islam – tidak perlu sepenuhnya pun. Inilah bahayanya kompromi yang kita kena jaga dan berhati-hati. Nak kompromi boleh, tapi tengok dalam hal apa.

Ini seumpama empangan yang ada retak. Retak itu kecil sahaja, tapi lama-lama ia akan membesar dan menyebabkan keseluruhan empangan itu pecah. Adakah kita mahu macam itu?

Nabi Muhammad SAW tidak melayan langsung kompromi mereka itu. Dalam Surah Kawthar sebelum ini, telah disebut dengan nikmat-nikmat yang diberikan dan dijanjikan kepada baginda. Maka dengan janji itu, tidak ada apa lagi yang musyrikin Mekah itu boleh tawarkan kepada baginda. Baginda ada yang lebih-lebih baik lagi dari apa yang mereka dapat tawarkan. Jadi baginda tidak layan tawaran mereka itu. Baginda tidak boleh dirasuah langsung.

Tambahan pula, baginda telah dijanjikan dengan kejayaan. Allah beritahu dalam Surah Kawthar itu juga yang orang musyrikin itulah nanti yang akan terputus. Jadi baginda tidak dapat diancam dengan apa-apa pun. Baginda sudah tahu yang baginda akan menang. Maka baginda tidak ada masalah untuk memanggil mereka dengan gelaran al-kaafiroon walaupun panggilan itu mengundang marah mereka. Baginda tidak perlu takut dengan reaksi mereka. Mereka mungkin mahu menyerang baginda selepas itu, tapi mereka tidak akan menang.


Ayat 1: Ini yang Allah ajar bagaimana nak cakap dengan orang kafir Mekah itu.

قُل يا أَيُّهَا الكافِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Kāfirūn: The Disbelievers. The Prophet () mentioned that this sūrah is disassociation from shirk(worship of anything other than Allāh) for him who recites it. (Narrated by Aḥmad, Abū Dāwūd and at-Tirmidhī – ḥasan.)

Say, “O disbelievers,

(MALAY)

Katakanlah: “Hai orang-orang kafir,

Allah suruh Nabi Muhammad panggil mereka dengan gelaran الكافِرونَ. Walaupun Musyrikin Mekah itu sanggup untuk kompromi (satu tahun amal tauhid dan satu tahun lagi amal syirik), tapi Allah tetap menggelar mereka الكافِرونَ. Panggilan yang Allah gunakan itu penting untuk kita ketahui. Ia menunjukkan kepada kita yang mereka yang menolak Qur’an itu adalah الكافِرونَ dan Allah tidak mahu bercakap terus dengan mereka. Ini adalah kerana Allah murka kepada mereka. Mereka tidak layak ditegur oleh Allah dan dalam ayat surah ini pun, Allah tidak bercakap terus dengan mereka, tapi Allah suruh Nabi Muhammad yang cakap dengan mereka.

Kita kena ingat kembali siapakah musyrikin Mekah ini. Mereka kenal Allah dan mereka terima Allah itu sebagai Tuhan. Kalau ditanya siapakah yang mencipta langit dan bumi dan semua yang ada dalam alam ini, mereka tetap akan kata: Allah. Tapi mereka tetap digelar الكافِرونَ juga dalam ayat ini. Selalunya mereka digelar ‘musyrikin’, tapi kali ini mereka digelar الكافِرونَ. Kalau pemahaman kita yang biasa, الكافِرونَ itu adalah mereka yang menolak kewujudan Allah, bukan? Sedangkan musyrik itu adalah mereka yang terima Allah sebagai Tuhan tapi dalam masa yang sama mereka menyembah juga kepada selain Allah. Selalunya kita panggil Quraish itu sebagai ‘musyrikin’ tapi kenapa kali ini mereka dipanggil الكافِرونَ pula?

Dalam sejarah disebut yang tawaran kompromi itu datang dari  Aswad b. Abdil Muttalib, Umayyah b. Khalf, Waleed b. Mughirah and para pemimpin Quraish yang lain. Kadangkala kita boleh lihat persamaan antara dakwah dan menjual barangan. Kalau dalam jualan, penjual mengharapkan pembeli akan membeli dan  kerana itu penjual kena memujuk dan kadangkala kena kurangkan harga barang, beri barangan tambahan dan sebagainya, hanya untuk membuat jualan. Keputusan ada di tangan pembeli dan kalau mereka nampak penjual begitu mengharap untuk menjual, mereka akan buat macam-macam permintaan kerana mereka tahu keputusan di tangan mereka, bukan? Dan kita tahu bagaimana Nabi Muhammad bersungguh-sungguh berdakwah dan berharap supaya mereka masuk ke dalam agama Islam. Oleh kerana itu, mereka sangka yang mereka berada di kedudukan di atas dan mereka boleh buat permintaan kerana mereka nampak Nabi Muhammad beriya-iya sangat. Oleh kerana itu mereka telah menawarkan kompromi kepada baginda supaya mereka bertukar-tukar menyembah Allah dan menyembah juga sembahan lain di tahun seterusnya. Mereka sangka itu sudah menjadi satu tawaran yang bagus untuk baginda. Tapi Allah suruh Nabi tolak tawaran mereka itu dan bukan itu sahaja, Allah terus suruh panggilan panggil mereka dengan gelaran الكافِرونَ. Tak payah jawap pun apa yang mereka tawarkan itu, terus panggil sahaja mereka sebagai الكافِرونَ. Jadi kenapa mereka digelar dengan gelaran yang keras itu?

Kalimah الكافِرونَ digunakan dalam bentuk isim iaitu isim fa’il. Dari segi balaghah, ini lebih kuat lagi dari fi’il. Apabila digunakan dalam bentuk isim, ia memberi isyarat bahawa mereka itu sudah tenggelam dalam kekafiran mereka, dulu, sekarang dan akan datang. Mereka itu tidak akan berubah sampai bila-bila. Dan Allah tahu tentang perkara ini dan kerana itulah Allah suruh Nabi Muhammad panggil mereka dengan gelaran الكافِرونَ itu kerana Allah sudah pasti – maknanya bukan Nabi Muhammad yang reka gelaran ini kerana Nabi tidak tahu hati mereka. Oleh itu, penggunaan الكافِرونَ itu lain kalau Allah gunakan kalimat الذين كفروا (fi’il). Kerana kalau dalam bentuk fi’il sahaja, itu menunjukkan ada kemungkinan mereka akan berubah dari kekafiran itu. Tapi apabila digunakan dalam bentuk isim, tidak ada lagi harapan itu. Nasib mereka telah diikat, hati mereka telah ditutup dari menerima hidayah (khatmul qalbi).

Jadi kita kena berhati-hati – surah ini bukan tentang semua orang kafir – bukan semua Ah Chong and Muniandy. Tapi ianya tentang sekumpulan golongan yang telah diberi dengan segala dakwah dan peluang untuk beriman dan menerima agama Islam. Bayangkan Musyrikin Mekah itu telah menerima dakwah yang terbaik dari pendakwah yang terbaik dengan akhlak yang paling baik (Rasulullah). Tidak ada lagi yang lebih baik dari baginda. Baginda telah mengeluarkan segenap tenaga dan usaha untuk memperkenalkan Islam kepada mereka dan selama 10 tahun, tapi mereka tetap menolak. Oleh itu, tiada gelaran yang lebih sesuai lagi untuk mereka, iaitu الكافِرونَ. Maka, janganlah kita panggil jiran-jiran kita dengan gelaran الكافِرونَ kalau kita pun tidak pernah lagi dakwah kepada mereka.

Ini penting untuk kita faham kerana kadang-kadang ada orang yang cuai dalam memahami Qur’an dan cuai dalam cara berkomunikasi dengan orang lain. Ramai yang menggunakan kalimah ‘kafir’ ini kepada semua orang bukan Islam (malah ada yang menggunakannya untuk orang Islam pun). Kita kena tahu yang ianya tidak semudah itu. Jangan kita samakan semua orang bukan Islam sebagai ‘kafir’ seperti dalam ayat ini.

Tapi kenapa Musyrikin Mekah itu digelar الكافِرونَ dan bukan musyrikin? Kerana setelah sekian lama mereka tetap tidak mahu meninggalkan fahaman dan amalan syirik mereka itu, maka itu sendiri adalah perbuatan kufur.

Selalunya apabila Allah gunakan kalimah كفر, selalunya Allah akan sebut kufur dengan apa – kufur dengan Allah, dengan hari akhirat, kufur dengan nikmat dan sebagainya. Tapi dalam ayat ini, Allah tidak beritahu mereka kufur dengan apa – maksudnya mereka kufur dengan semua sekali. Mereka sangka mereka percaya dengan Allah dan menjadi penjaga Ka’bah, mereka sudah bagus, tapi tidak tidak. Mereka sebenarnya kufur dengan Rasulullah dan menolak wahyuNya. Mereka juga telah menolak fitrah dalam diri mereka, iaitu fitrah keimanan seperti yang disebut dalam A’raf:172.

وَإِذ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَني آدَمَ مِن ظُهورِهِم ذُرِّيَّتَهُم وَأَشهَدَهُم عَلىٰ أَنفُسِهِم أَلَستُ بِرَبِّكُم ۖ قالوا بَلىٰ ۛ شَهِدنا ۛ أَن تَقولوا يَومَ القِيامَةِ إِنّا كُنّا عَن هٰذا غافِلينَ

Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka: “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab: “Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi”. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: “Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)”,

Mereka menolak dalam hati mereka dan luaran mereka, maka mereka itu memang layan digelar sebagai الكافِرونَ.

Salah satu dari makna kufur adalah ‘kufur nikmat’. Iaitu mereka yang telah mendapat nikmat tapi tidak menghargai nikmat itu. Mereka telah mendapat banyak nikmat dari kerana doa Nabi Ibrahim a.s. yang mendoakan supaya Mekah itu negeri yang aman dan banyak makanan. Kita pun sudah baca banyak kelebihan yang mereka dapat dalam Surah Quraish. Dan dalam Surah al-Feel, telah disebut bagaimana mereka telah diselamatkan dari serangan Tentera Abrahah. Tapi dengan segala nikmat yang Allah berikan itu, mereka tetap tidak menyembah Allah sahaja, sebaliknya mereka sembah juga benda lain seperti berhala.

Seperti yang kita tahu, Nabi Muhammad adalah seorang yang lembut dalam perawakan baginda. Ini disebut dalam banyak ayat dalam Qur’an selain dari hadis yang sahih. Sebagai contoh, dalam Ali Imran:159 فَبِما رَحمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُم (Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka) dan baginda pun disuruh untuk berdakwah dengan lembut seperti yang disebut dalam Nahl:125 ادعُ إِلىٰ سَبيلِ رَبِّكَ بِالحِكمَةِ وَالمَوعِظَةِ الحَسَنَةِ ۖ وَجادِلهُم بِالَّتي هِيَ أَحسَنُ (Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik). Jadi kalau dari baginda sendiri, baginda tidak akan panggil mereka dengan gelaran yang kasar, oleh itu Allah yang suruh baginda panggil mereka dengan gelaran الكافِرونَ dengan arahan قُل (katakanlah). Maka Nabi kena cakap begitu juga. Baginda kena cakap kerana Allah suruh baginda cakap macam itu.

Ianya adalah kata pemutus/penamat dari Allah dan Nabi. Maknanya, tidak ada dakwah lagi kepada mereka, kerana hati mereka telah tertutup. Mereka tidak akan beriman sampai bila-bila. Nabi pun tidak boleh tunjukkan kelembutan dan rahmah lagi kepada mereka. Kerana masa mereka telah habis.

Dari kalimah قُل itu sendiri ada banyak pengajaran. Ia menunjukkan yang bukan Nabi yang buat keputusan mereka itu kafir, tapi Allah sendiri. Allah yang suruh baginda sampaikan kepada mereka. Maksudnya juga, Nabi tidak ada hak untuk memutuskan untuk terima kompromi mereka. Keputusan bukan di tangan Nabi. Nabi hanya sampaikan dan itulah baginda pangkatnya Rasulullah – sebagai pembawa risalah sahaja.

Bagaimanakah Rasulullah menyampaikan surah ini kepada musyrikin Mekah? Baginda datang berjumpa mereka ketika mereka sedang bermesyuarat dan baginda terus berjalan berkata kepada mereka يا أَيُّهَا الكافِرونَ. Baginda tidak lagi panggil mereka dengan gelaran biasa: wahai orang Mekah, wahai Quraish dan sebagainya. Oleh kerana mereka telah menolak baginda, maka baginda sedang menolak mereka. Apabila baginda memanggil mereka dengan gelaran itu, itu adalah tandanya yang baginda sedang mengisytiharkan yang baginda sedang menanggalkan kerakyatan baginda dari Mekah. Ianya juga adalah satu perisytiharan perang. Dan kita kena ingat yang Allah yang suruh baginda cakap begitu.

Orang kafir Mekah itu tahu yang Nabi Muhammad tidak menipu (walaupun mereka tuduh baginda penipu di khalayak ramai). Mereka juga tahu bagaimana baginda menggunakan bahasa yang paling baik, paling lembut dengan sesiapa sahaja. Tapi tentu mereka terkejut dengan penggunaan bahasa baginda sekarang. Ini menambahkan kepedihan di dalam ayat ini. Maknanya, mereka itu teruk sangat sampai seorang yang lembut dan berhati mulia pun panggil mereka dengan gelaran yang teruk. Kalau orang yang biasa guna bahasa kesat yang cakap, kita tidak kisah sangat, bukan? Tapi kalau orang baik yang cakap, tentu menambahkan kesan.

Penggunaan kalimah يا أَيُّهَا juga perlu kita sentuh. Kalimah ini digunakan dalam suasana formal, bukan suasana biasa. Sebagai contoh, kita tidak gunakan untuk bercakap dengan budak-budak. Selalu kita lihat digunakan kepada Nabi Muhammad (Yaa ayyuha al- rasool atau yaa ayyuha an-nabi) sebagai penghormatan kepada baginda.

Keduanya, penggunaan يا أَيُّهَا memberi isyarat bahawa apa yang akan disebut selepas itu bukanlah cakap-cakap kosong tapi ianya adalah sesuatu yang penting, yang serius. Jadi ada elemen formal dan elemen serius – memberi isyarat yang ini bukanlah perbuatan yang mesra tapi ianya adalah perisytiharan dari baginda kepada musyrikin Mekah itu. Jadi dari ayat pertama ini lagi sudah ada elemen yang memutuskan hubungan dengan musyrikin Mekah itu. Orang selalu sangka ayat terakhir itu sahaja yang memutuskan hubungan – لَكُم دينُكُم وَلِيَ دينِ.

Oleh itu dalam ayat pertama ini sahaja sudah menunjukkan kemurkaan Allah kepada Musyrikin Mekah. Setelah mereka menawarkan kompromi kepada Rasulullah, jawapan dari baginda bukan setakat ‘tidak’ sahaja, tapi Allah suruh baginda panggil mereka يا أَيُّهَا الكافِرونَ. Ianya seperti menyumpah mereka kerana Allah amat murka kepada mereka. Dan kalau tahu tafsir ayat ini, barulah kita tahu yang ianya bukanlah ayat biasa sahaja.

Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 109: al-Kaafiroon. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s