Tafsir Surah al-Kawthar Ayat 1 (Part 1) (Pemberian yang banyak)

Ayat 1: Allah telah memberikan kebaikan yang sangat-sangat banyak kepada Rasulullah SAW. Bukan sahaja Nabi dapat kebaikan, malah kita yang menjadi pengikut baginda pun dapat kebaikan – bayangkan kalau kita selawat sekali, Allah beri balas 10 kali selawat kepada kita. Dan syaitan tidak boleh ganggu dan khianat orang yang ikut sunnah Nabi dan ikut tauhid.

إِنّا أَعطَيناكَ الكَوثَرَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Kawthar: Literally, “the most abundant good.” Also, a river in Paradise.

Indeed, We have granted you, [O Muḥammad], al-Kawthar.

(MALAY)

Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak.

Apakah dia الكَوثَرَ itu?
1. Dari segi bahasa, ia bermaksud ‘kebaikan yang teramat banyak’.
2. Satu lagi pendapat mengatakan ianya adalah satu telaga di Syurga, dan juga satu tasik di Mahsyar di mana Nabi Muhammad akan beri minum kepada umat baginda yang mengamalkan sunnahnya, sebelum mereka masuk ke dalam syurga. Kenapa seperti ada dua telaga pula (di syurga dan di Mahsyar)? Pendapat mengatakan air di Mahsyar itu datang dari telaga yang di syurga. Allahu a’lam. Pendapat ini didapati dari golongan salaf yang sampai kepada kita dalam bentuk hadis dan atsar.

Mari kita sentuh perkara yang pertama dahulu. Seperti yang disebut, الكَوثَرَ bermaksud ‘kebaikan yang teramat banyak’. Dan ini kita boleh lihat dari surah-surah sebelum ini yang tidak belajar.

1 – Allah tidak meninggalkan Rasulullah SAW dan tidak marah kepada baginda. Ini seperti yang disebut dalam Dhuha:3

ما وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَما قَلىٰ

Tuhanmu tiada meninggalkan kamu dan tiada (pula) benci kepadamu.

2 – Allah beritahu Nabi yang hujung lebih baik dari asalnya. Ini disebut dalam ayat seterusnya Dhuha:4

وَلَلآخِرَةُ خَيرٌ لَكَ مِنَ الأولىٰ

Dan sesungguhnya hari kemudian itu lebih baik bagimu daripada yang sekarang (permulaan).

3 – Kemudian Allah beritahu yang Dia akan memberi dan memberi kepada baginda sampaikan baginda akan puas. Lihat Dhuha:5

وَلَسَوفَ يُعطيكَ رَبُّكَ فَتَرضىٰ

Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan karunia-Nya kepadamu, lalu (hati) kamu menjadi puas.

Allah tidak sebut apakah yang akan diberikan kepada baginda. Tapi Allah beritahu yang baginda akan pasti puas hati dengan pemberian itu. Terlalu banyak apa yang akan diberikan kepada baginda sampai tak boleh nak letak harga, tak boleh boleh nak sebut apakah ia. Cuma Allah sebut dalam Qur’an, sehingga kamu kata cukup.

4 – Allah berikan perlindungan kepada baginda apabila baginda menjadi anak yatim. Ini disebut dalam Dhuha:6

أَلَم يَجِدكَ يَتيمًا فَآوىٰ

Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu Dia melindungimu?

5 – Semasa Rasulullah mencari-cari kebenaran, Allah tunjukkan kebenaran itu kepada baginda. Lihat Dhuha:7

وَوَجَدَكَ ضالًّا فَهَدىٰ

Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung, lalu Dia memberikan petunjuk.

Kalimah ضالًّا bukan bermaksud ‘sesat’, tapi ‘dalam mencari’.

5 – Baginda juga dicukupkan oleh Allah dari segi keperluan keduniaan. Ini disebut dalam Dhuha:8

وَوَجَدَكَ عائِلًا فَأَغنىٰ

Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kecukupan.

6 – Allah mengembangkan dada Rasulullah dan supaya baginda rasa lega walaupun dalam menghadapi masalah dalam dakwah baginda. Ini disebut dalam Inshirah:1

أَلَم نَشرَح لَكَ صَدرَكَ

Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu?,

Dan maksud Allah lapangkan dada baginda juga bermakna dilapangkan supaya baginda dapat menerima Qur’an ke dalam hati baginda. Ini penting kerana kalau tidak, tubuh baginda akan pecah kerana Qur’an itu adalah sesuatu yang amat berat. Ini disebut dalam Hashr:21

لَو أَنزَلنا هٰذَا القُرآنَ عَلىٰ جَبَلٍ لَرَأَيتَهُ خاشِعًا مُتَصَدِّعًا مِن خَشيَةِ اللَّهِ ۚ

Kalau sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan ketakutannya kepada Allah.

Bayangkan, kalau gunung pun boleh pecah kalau Qur’an diturunkan kepadanya, bayangkan kalau ianya diturunkan kepada manusia biasa? Pernah satu ketika Nabi di atas unta baginda dan waktu itu baginda menerima wahyu. Unta baginda terduduk kerana beratnya menanggung beban Rasulullah waktu itu; Ini tidak mustahil kerana memang Allah telah pernah memberitahu yang Qur’an itu adalah sesuatu yang ‘berat. Ini disebut dalam Muzzammil:5

إِنّا سَنُلقي عَلَيكَ قَولًا ثَقيلًا

Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat.

Walaupun ianya sesuatu yang berat, tapi Rasulullah SAW dapat menanggungnya kerana dada baginda telah dilapangkan. Jadi ini adalah salah satu dari nikmat yang diberikan kepada baginda.

7 – Dan Allah telah menghilangkan beban yang berat dari baginda. Lihat Inshirah:2

وَوَضَعنا عَنكَ وِزرَكَ

dan Kami telah menghilangkan daripadamu bebanmu,

Beban yang baginda tanggung dalam menyampaikan dakwah amatlah berat, tapi Allah telah angkat beban itu dari baginda.

8 – Dan Allah telah mengangkatkan peringatan atas baginda. Ini disebut dalam Inshirah:4

وَرَفَعنا لَكَ ذِكرَكَ

Dan Kami tinggikan bagimu sebutan (nama)mu,

Dan ini terbukti kerana nama baginda disebut sentiasa dengan harumnya. Setiap kali azan dilaungkan, nama baginda akan disebut juga. Dan azan dikumandangkan setiap ketika di bumi Allah ini kerana azan sentiasa sahaja dilaungkan.

9 – Mengingati baginda juga adalah satu ibadat dalam agama kita. Kerana Allah menjanjikan pahala kepada mereka yang selawat kepada baginda dan ramailah yang akan cuba ambil peluang ini. Dengan itu, nama baginda akan terus diingati sampailah ke kiamat nanti. Lihat Ahzab:56

إِنَّ اللَّهَ وَمَلائِكَتَهُ يُصَلّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا صَلّوا عَلَيهِ وَسَلِّموا تَسليمًا

Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya bershalawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, bershalawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.

Bukan sahaja Allah suruh kita berselawat kepada baginda, tapi Allah mulakan ayat ini dengan memberitahu bahawa Dia sendiri berselawat kepada baginda dan juga para malaikat juga berselawat. Ini adalah satu penghormatan yang amat-amat tinggi yang diberikan kepada baginda. Kerana tidak ada lagi ibadat yang lain yang sebegini hebat.

10 – Allah pernah menggunakan baginda sebagai lafaz sumpah seperti dalam Hijr:72

لَعَمرُكَ إِنَّهُم لَفي سَكرَتِهِم يَعمَهونَ

“Demi umurmu (Muhammad), sesungguhnya mereka terombang-ambing di dalam kemabukan (kesesatan)”.

Tidak ada manusia lain yang digunakan sebagai lafaz sumpah oleh Allah. Ini adalah penghormatan yang amat tinggi.

11 – Allah memuliakan baginda dengan memberikan pahala yang tidak putus-putus kepada baginda seperti yang disebut dalam Qalam:3

وَإِنَّ لَكَ لَأَجرًا غَيرَ مَمنونٍ

Dan sesungguhnya bagi kamu benar-benar pahala yang besar yang tidak putus-putusnya.

Dan bukan sahaja baginda mendapat pahala sebegitu, tapi untuk mereka yang mengikut baginda juga. Ini semua adalah kerana cinta kasih Allah terhadap Rasulullah SAW. Ini disebut dalam Fussilat:8

إِنَّ الَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ لَهُم أَجرٌ غَيرُ مَمنونٍ

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal saleh, mereka mendapat pahala yang tiada putus-putusnya”.

12 – Allah memberi perlindungan kepada baginda dari ancaman musuh baginda. Sedangkan ada Nabi-nabi lain yang dibunuh. Lihat janji Allah dalam Alaq:18

سَنَدعُ الزَّبانِيَةَ

Kami akan memanggil malaikat Zabaniyah,

Maknanya, kalau ada yang hendak mencederakan baginda, Allah akan hantar malaikat untuk menjaga baginda.

13 – Allah mendekatkan Rasullah denganNya. Lihat Alaq:19

وَاسجُد وَاقتَرِب

dan sujudlah dan dekatkanlah

Allah memberi segala nikmat kepada baginda supaya baginda mendekatkan dirinya kepada Allah.

14 – Allah mengaitkan NamaNya dengan nama Rasulullah SAW.

قَالَ ابْنُ جَرِيرٍ: حَدَّثَنِي يُونُسُ، أَخْبَرَنَا ابْنُ وَهْبٍ، أَخْبَرَنَا عَمْرُو بْنُ الْحَارِثِ، عَنْ دَراج، عَنْ أَبِي الْهَيْثَمِ، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: “أَتَانِي جِبْرِيلُ فَقَالَ: إِنَّ رَبِّي وَرَبَّكَ يَقُولُ: كَيْفَ رَفَعْتُ ذِكْرَكَ؟ قَالَ: اللَّهُ أَعْلَمُ. قَالَ: إِذَا ذُكِرتُ ذُكِرتَ مَعِي”

Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepadaku Yunus, telah menceritakan kepada kami Ibnu Wahb, telah menceritakan kepada kami Amr ibnul Haris, dari Darij, dari Abul Haisam, dari Abu Sa’id, dari Rasulullah Saw., bahawa beliau Saw. pernah bersabda: Jibril datang kepadaku dan berkata, ” Sesungguhnya Tuhanku dan Tuhanmu pernah berfirman, ‘Tahukah kamu bagaimana Aku meninggikan sebutan (nama)mu?’ Jibril menjawab, ‘Allah lebih mengetahui.’ Allah berfirman, Apabila nama-Ku disebut, maka disebut pula namamu bersama-Ku’.”

Kita boleh lihat sendiri bagaimana ini terjadi. Sentiasa sahaja nama Rasulullah disebut bersama dengan nama Allah – dalam Syahadah, dalam Azan, tasyahud dan sebagainya. Ini adalah penghormatan yang amat besar kepada baginda.

Jadi kita telah senaraikan banyak sekali nikmat-nikmat yang disusun oleh para ulama. Tentunya ada lagi yang tidak mampu kita masukkan.

Kembali kepada penelitian tentang lughah yang digunakan dalam ayat 1 ini. Kita lihat Allah berfirman menggunakan kalimah أَعطَيناكَ (Kami telah memberikan). Ada beberapa kalimah lain yang boleh digunakan untuk bermaksud ‘memberi’ seperti,

اتي (beri) seperti yang digunakan dalam Ali Imran:26

قُلِ اللَّهُمَّ مالِكَ المُلكِ تُؤتِي المُلكَ مَن تَشاءُ

Katakanlah: “Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki

Kalimah اتي digunakan dalam ayat Ali Imran ini, tapi kalimah اتي bukanlah pemberian yang ‘sempurna’. Maksudnya, Allah boleh beri, tapi Allah juga boleh tarik balik. Sebagai contoh dalam ayat Ali Imran di atas, Allah sebut bagaimana Allah boleh beri kerajaan kepada sesiapa dan Allah boleh tarik balik kerajaan itu dari mereka.

Begitu juga, kalimah اتي adalah pemberian yang datang bersamanya dengannya, tanggungjawab. Sebagai contoh, kerajaan yang diberikan kepada manusia dalam ayat Ali Imran di atas datang dengan tanggungjawab untuk memerintah dengan adil dan saksama. Maknanya, bukannya pemberian begitu sahaja. Satu lagi contoh adalah dalam Baqarah:146

الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ

Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami beri Al Kitab (Taurat dan Injil)

Allah telah beri kepada Ahli Kitab itu dengan kitab wahyu. Dan mereka kena terima dan amalkan dan sampaikan kepada manusia lain. Bukan terima begitu sahaja.

Selain dari اتي, kalimah lain bermaksud ‘memberi’ adalah هب iaitu memberi hadiah kepada seseorang. Ini seperti yang digunakan dalam Furqan:74

رَبَّنا هَب لَنا مِن أَزواجِنا وَذُرِّيّاتِنا قُرَّةَ أَعيُنٍ

Ya Tuhan kami, anugrahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami),

Pasangan hidup dan anak-anak adalah hadiah besar dari Allah – kerana tidak semua manusia dapat kelebihan ini.

Jadi, ada kalimah lain yang boleh digunakan untuk membawa maksud ‘beri’, tapi Allah tidak gunakan dalam ayat 1 Surah Kawthar ini. Allah gunakan kalimah أَعطَي dari katadasar عطو yang juga bermaksud ‘beri’. Tapi tentunya lain dari kalimah اتي dan هب itu. Dalam Arab klasik, ianya adalah pemberian yang tidak dijangka-jangka. Berlainan dengan kalimah عجرٌ (upah). Kerana kalau upah, kita tahu yang kita akan dapat pemberian, bukan? Tapi kalau kalimah أَعطَي digunakan, ia bermaksud orang yang menerima pemberian itu tidak sangka yang dia akan dapat pemberian itu. Ini yang pertama.

Yang keduanya, kalimah أَعطَي digunakan untuk pemberian yang besar, bukan yang kecil-kecil.

Yang ketiga, kalimah أَعطَي digunakan untuk pemberian yang tidak ada tanggungjawab bersamanya. Kita telah gunakan contoh dalam Ali Imran:26 dan Baqarah:146 di atas bagaimana kalimah اتي digunakan dalam ayat itu kepada pemberian yang ada tanggungjawab bersamanya. Oleh itu, kalau pemberian أَعطَي digunakan, ianya adalah pemberian yang kita terima begitu sahaja – ianya hak kita dan tidak perlu beri balik dan tidak perlu buat apa dengannya (boleh terus guna sahaja). Ianya untuk kita nikmat. Dan begitulah pemberian yang Allah berikan kepada baginda – ianya untuk kenikmatan baginda dan tidak ada tanggungjawab bersamanya yang perlu Nabi penuhi (lain dengan pemberian yang lain seperti Qur’an – ini Nabi kenalah sampaikan). Dan pemberian الكَوثَرَ yang Allah berikan kepada baginda ini, tidak akan ditarik balik dari baginda.

Kalimah أَعطَيناكَ adalah dalam bentuk past tense (fi’il mudhari’). Maksudnya, Allah ‘telah’ memberi kepada baginda. Bukan ‘akan’ beri, tapi ‘telah’ diberi kepada baginda. Tapi baginda tidak dapat melihat pun keseluruhan nikmat itu semasa hayat baginda, bukan? Jadi kenapa digunakan past tense dalam ayat ini? Oleh itu, kita kena faham penggunaan past tense dalam Qur’an. Ini adalah dari pembelajaran balaghah yang membawa maksud tertentu yang tidak difahami kalau tidak belajar balaghah (kalau belajar bahasa Arab sahaja tidak cukup). Oleh itu, kalau digunakan past tense dalam bahasa Arab, ia hendak membawa maksud tertentu:

1 – Perkara yang telah berlaku telah pasti, bukan? Kalau esok belum tentu lagi berlaku, tapi kalau yang semalam sudah pasti telah berlaku. Oleh itu, apabila Allah gunakan kalimah dalam bentuk past tense untuk perkara yang belum berlaku lagi, ini hendak menunjukkan ‘kepastian’ – ianya pasti akan Allah jalankan, akan buat. Sebagai contoh, kalau Hari Kiamat Allah gunakan dalam bentuk past tense juga kerana ianya pasti akan berlaku. Oleh itu, apabila Allah gunakan kalimah أَعطَيناكَ dalam Surah Kawthar ini walaupun Allah belum beri lagi kesemua nikmat itu kepada baginda, tapi Allah hendak memberitahu kita dengan cara ‘balaghah’, yang ianya pasti akan diberikan kepada baginda, tidak syak lagi. Kerana yang berjanji ini adalah Allah – kalau kita berjanji nak buat, belum tentu kita boleh buat lagi, tapi kalau Allah yang berjanji, sudah pasti ia akan berlaku. 

2 – Past tense juga memberitahu kita yang perkara itu sudah lengkap terjadi. “Saya sudah makan” tentu lain maksudnya dengan “saya akan makan”, bukan? Oleh itu, kalau kita ambil makna ini pun boleh – maksudnya Allah hendak memberitahu kita yang Allah sudah pun memberi nikmat yang banyak sekali kepada baginda, walaupun mungkin baginda tidak nampak dengan mata zahir. Dan pemberian itu akan berterusan lagi walaupun baginda sudah wafat.

Mari kita kembali lihat kepada kalimah الكَوثَرَ itu dan kita bincangkan dari segi bahasa pula. Kalimah الكَوثَرَ adalah dalam bentuk mubalaghah مبالغة (bersangatan, extreme). Mubalaghah bukanlah bermaksud berlebih-lebih. Ianya hendak menguatkan sesuatu perkara, tapi ia tetap benar. Kalau berlebih-lebih, itu sudah cakap benda yang tidak betul pula. Orang kita kata: ‘tambah gula’. Qur’an banyak menggunakan konsep mubalaghah tapi tidak ada berlebih-lebih dalam. Kita kena faham perkara ini kerana ramai yang salah sangka, mereka tidak faham penggunaan mubalaghah.

Oleh itu, الكَوثَرَ bermaksud nikmat yang banyak dan banyak dan banyak sangat. Ini adalah kerana dalam kalimah الكَوثَرَ itu, ada ditambah dengan huruf و yang memberi isyarat yang ianya dalam bentuk mubalaghah. Kalau kalimah كثير (dengan ditambah ي padanya) sudah bermaksud sangat banyak, tapi kalau ditambah dengan huruf و ianya lebih kuat lagi dari huruf ي.

Oleh itu, secara ringkasnya:
1 – Kathra كثر bermaksud ‘banyak’
2 – Katheer كثير menambah lagi makna ‘banyak’ itu. Jadi ia lebih banyak dari كثر.
3 – KaWthar كوثر pula lebih banyak lagi dari كثير, oleh itu ia bermaksud banyak dan banyak dan banyak lagi.

Begitulah penggunaan bahasa dalam bahasa Arab. Dan memang kerana inilah bahasa Arab ini adalah satu bahasa yang amat indah dan perlu dipelajari.

Dalam penggunaan orang Arab, apabila digunakan kalimah كوثر, ia bermaksud sesuatu yang berharga dan banyak dan mereka akan jaga sungguh supaya tidak dicuri. Oleh itu, kalimah كوثر pasti merujuk kepada sesuatu yang bernilai dan berharga. Kalau كثير sahaja, ia bermaksud ‘banyak’, tapi boleh baik ataupun tidak. Ini menekankan bahawa apa-apa yang Allah beri kepada Nabi Muhammad itu adalah baik-baik sahaja dan bernilai tinggi.

Ada juga perbincangan tentang ال dalam kalimah الكَوثَرَ itu. Seperti kita tahu, apabila ada ال, ia merujuk kepada sesuatu yang pasti (sebagai contoh, tidak sama antara ‘a car’ dan ‘the car’. Kalau ‘the car’ digunakan, ia merujuk kepada kereta yang spesifik). Oleh kerana itu, ada yang mengatakan الكَوثَرَ merujuk kepada sesuatu yang spesifik (dalam bahasa Arab dipanggil makrifah – yang dikenali). Dan kalau tidak ada ال, ia boleh merujuk kepada banyak benda. Oleh itu, pendapat ini mengatakan, kalau yang digunakan adalah كَوْثَراً, bolehlah dikatakan ianya merujuk kepada banyak jenis nikmat, tapi yang digunakan adalah الكَوثَرَ dengan tambahan ال. Oleh kerana itu, pendapat ini mengatakan, الكَوثَرَ merujuk kepada Telaga Kawthar yang berada di syurga dan di Mahsyar itu. Dan ini ada sandarannya dalam satu hadis:

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Fudail, dari Al-Mukhtar ibnu Fulful, dari Anas ibnu Malik yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. menundukkan kepalanya sejenak, lalu beliau mengangkat kepalanya seraya tersenyum. Beliau bersabda kepada mereka, atau mereka bertanya kepada beliau Saw., “Mengapa engkau tersenyum?” Maka Rasulullah Saw. menjawab, “Sesungguhnya telah diturunkan kepadaku suatu surat.” Lalu beliau membaca firman-Nya: Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu Al-Kautsar. (Al-Kautsar: l), hingga akhir surat. Lalu Rasulullah Saw. bersabda, “Tahukan kalian, apakah Al-Kautsar itu?” Mereka menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Rasulullah bersabda:

«هُوَ نَهْرٌ أَعْطَانِيهِ رَبِّي عَزَّ وَجَلَّ فِي الْجَنَّةِ عَلَيْهِ خَيْرٌ كَثِيرٌ، تَرِدُ عَلَيْهِ أُمَّتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ آنِيَتُهُ عَدَدَ الْكَوَاكِبِ يُخْتَلَجُ الْعَبْدُ مِنْهُمْ، فَأَقُولُ يَا رَبِّ إِنَّهُ مِنْ أُمَّتِي، فَيُقَالُ إِنَّكَ لَا تَدْرِي مَا أَحْدَثُوا بَعْدَكَ»

Al-Kautsar adalah sebuah sungai (telaga) yang diberikan kepadaku oleh Tuhanku di dalam syurga, padanya terdapat kebaikan yang banyak, umatku kelak akan mendatanginya di hari kiamat; jumlah wadah-wadah (bejana-bejana)nya sama dengan bilangan bintang-bintang. Diusir darinya seseorang hamba, maka aku berkata, “Ya Tuhanku, sesungguhnya dia dari umatku.” Maka dikatakan, “Sesungguhnya kamu tidak mengetahui apa yang telah dibuat-buatnya sesudahmu.”

Memang salah satu pendapat tentang maksud الكَوثَرَ itu adalah ‘haudh’ (telaga) di Mahsyar itu seperti yang disebut di atas. Tapi, dari segi bahasa, apabila adjektif (‘banyak’ adalah satu adjektif) digunakan, tanpa disebut isim (katanama)nya, maka ia boleh merujuk kepada benda yang banyak, walaupun ال diletakkan dengannya. Dan dalam surah ini pun, Allah tidak sebut apakah ‘isim’ yang dimaksudkan. Jadi tidak salah kalau kita ambil pendapat yang mengatakan ia bukan sahaja bermaksud Telaga Kawthar itu, tapi ia termasuk juga perkara-perkara yang lain.

Kalimah إِنّا (Sesungguhnya Kami) digunakan sebagai penekanan. Dari segi nahu bahasa Arab, kalau tidak diletakkan إِنّا pun, terjemahan adalah sama sahaja. Ini adalah kerana maksud ‘Kami’ sudah ada dalam أَعطَيناكَ (Kami memberikan kepada engkau). Tapi sebagai penekanan, Allah tambah juga kalimah إِنّا itu dan dari segi balaghah, ada maksud yang tinggi. Jadi bila kita terjemah penuh Ayat 1 ini begini: “Sesungguhnya Kami, Kami telah memberimu kebaikan yang amat banyak” (perhatikan pengulangan kalimah ‘Kami’ itu – ini menguatkan lagi ayat ini).

Kenapa gunakan kalimah إِنّا dan tidak terus menggunakan kalimah نحن? Kenapa tidak ُنَحن أَعطَيناكَ الكَوثَرَ? Ini adalah kerana إن (digabungkan dengan نحن menjadi إِنّا) adalah kalimah tauqid (penekanan). Ianya digunakan untuk menghilangkan keraguan. Kerana ada yang tidak sangka Allah memberikan kebaikan yang banyak kepada Rasulullah. Kerana yang mendengar ayat ini adalah musyrikin Mekah yang menolak pemberian nikmat kepada Nabi Muhammad itu – mereka menolak kenabian Rasulullah, mereka tidak percaya yang Rasulullah itu seorang Nabi dan Allah telah memilih baginda. Oleh kerana penolakan dan ketidakpercayaan mereka itu, maka Allah gunakan kalimah إِنّا.

Dan kalimah إِنّا ini memberikan keyakinan kepada baginda yang pasti baginda akan diberi dengan segala nikmat yang baginda akan redha. Baginda memerlukan penegasan kerana baginda waktu itu memang terganggu jiwanya kerana baginda baru kehilangan anak dan Musyrikin Mekah menggunakan peluang itu untuk menjatuhkan jiwa baginda. Maka Allah angkat balik semangat baginda dengan diberikan ayat ini dalam bentuk penegasan.

Rasulullah ada dua anak lelaki dari Khadijah r.a. Seorang bernama Qasim yang telah meninggal dan seorang lagi bernama Abdullah. Abdullah juga meninggal waktu kecil. Waktu dia meninggal, yang pertama kali tahu tentang perkara ini adalah Abu Lahab (kerana rumah mereka berdekatan). Kita kena ingat yang Abu Lahab ini adalah bapa saudara baginda sendiri. Tapi dialah penentang kuat kepada dakwah Rasulullah. Apabila dia tahu yang Rasulullah baru kehilangan anak lelaki, dia telah suka dan meraikan kejadian itu. Bayangkan jahatnya Abu Lahab itu – anak saudaranya sendiri kehilangan anak yang kecil dan dia boleh meraikan? Dia jadi suka kerana Nabi Muhammad tidak ada anak lelaki. Mereka memang selalu mencari peluang untuk menjatuhkan nama dan semangat baginda dan ini adalah peluang baru untuk mereka. Maka Allah berikan ayat ini dengan penekanan dengan إِنّا. Kerana Allah tahu bagaimana hati baginda dan ini disebut dalam Hijr:97

وَلَقَد نَعلَمُ أَنَّكَ يَضيقُ صَدرُكَ بِما يَقولونَ

Dan Kami sungguh-sungguh mengetahui, bahwa dadamu menjadi sempit disebabkan apa yang mereka ucapkan,

Bayangkan waktu itu baginda kena beri dakwah kepada mereka, tapi orang yang sama juga menghina dan menjatuhkan semangat kita. Tapi Allah tetap suruh baginda bersabar dengan mereka. Baginda tidak boleh lawan mereka malah kena terus beri dakwah kepada mereka dan baginda lakukan perkara itu selama 10 tahun baginda di Mekah! Tidak dapat dibayangkanlah bagaimana perasaan baginda waktu itu. Waktu orang lain menyerang kita dan menjatuhkan semangat dan nama kita, kalau waktu itu ada orang yang datang menasihati kita dan mengatakan benda-benda baik tentang diri kita, tentu kita akan sedikit lega, bukan? Begitulah Allah hendak menenangkan hati Nabi dan memberi berita gembira kepada baginda. Kalau mereka kata Nabi tidak ada apa-apa (tidak ada harta, kedudukan dan anak lelaki), Allah memberitahu baginda yang baginda akan dapat banyak lagi kebaikan, malah lebih banyak dari mereka, lebih dari yang dapat dibayangkan oleh akal.

Dan apa yang Allah beri, tidak ada sesiapa boleh tarik balik melainkan Allah sahaja. Dan kita telah bincangkan bagaimana kalau digunakan kalimah أعطى, ianya adalah pemberian yang tidak ditarik balik. Ini adalah kelebihan yang diberikan kepada baginda dan tidak diberikan kepada orang lain. Lihatlah bagaimana penggunaan kalimah yang Allah gunakan adalah tepat dan ada makna-makna tersirat yang tidak dapat diketahui kalau tidak belajar bahasa Arab dan belajar tafsir. Maka teruskanlah pembelajaran ini.

Kita berhenti dulu di sini dan akan sambung kemudian di bahagian ke-2. Allahu a’lam.


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 108: al-Kawthar. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s