Tafsir Surah al-Ma’un (Beri bantuan walaupun sedikit)

Pengenalan:

Surah ini juga dikenali sebagai Surah al-Deen dan ada nama-nama lain lagi. Surah ini berkait rapat dengan surah sebelumnya, Surah Quraysh:

Dalam surah Quraish telah diberikan arahan kepada Musyrikin Mekah untuk menghambakan diri mereka kepada Tuhan Baitullah. Inilah yang sepatutnya dilakukan setelah Allah beri segala kelebihan kepada mereka. Dalam surah ini pula, Allah menceritakan apakah yang mereka sedang lakukan. Sepatutnya mereka menghambakan diri kepada Allah, tapi mereka sebaliknya meninggalkan iman. Ianya amat berlawanan dengan apa yang mereka sepatutnya lakukan.

Rasulullah telah menyampaikan kutukan Allah terhadap mereka dalam surah ini. Kita kena ingat yang baginda tidak ada kuasa dan seorang yang lemah kalau dibandingkan dengan mereka. Oleh itu, apabila baginda menyampaikan juga apa yang disebut dalam surah ini, ini menunjukkan yang baginda mempunyai kepercayaan yang penuh terhadap janji Allah. Kerana apa yang disampaikan dalam surah ini adalah amat berat sekali dan tentunya pemuka Mekah tidak suka.

Salah satu golongan yang ditindas di Mekah waktu itu adalah anak yatim. Mereka tidak ada kuasa, mereka tidak ada pembantu dan penolong mereka. Mereka berkeseorangan dan lemah sekali. Sampaikan orang yang jahat hatinya boleh sahaja suka-suka menindas, memukul, mengambil kesempatan atas mereka dan mereka tidak dapat mempertahankan diri mereka kerana mereka tidak ada penaung di dalam masyarakat. Pada masa itulah, Allah berikan surah ini.

Ada yang berpendapat yang surah ini memperkatakan tentang dua golongan yang berbeza. Akan tetapi, sebenarnya ianya merujuk kepada satu golongan sahaja. Kita akan bincangkan perkara ini nanti. Memang kalau dilihat sekali imbas, nampak macam surah ini terbahagi kepada dua bahagian, tapi tidak sebenarnya. Yang mengatakan surah ini terbahagi kepada dua bahagian, mereka mengatakan bahagian kedua surah ini dari ayat 4 itu memperkatakan tentang golongan munafik dan bahagian kedua ini diturunkan di Madinah sedangkan bahagian pertama diturunkan di Mekah. Tapi nanti kita akan jelaskan bagaimana ia masih memperkatakan tentang golongan yang satu juga.

Dalam surah-surah sebelum ini telah diberikan dengan banyak sekali hujah-hujah tentang kebenaran agama Islam. Tapi manusia masih ramai lagi yang menolaknya. Maka dalam ayat pertama surah ini Allah sudah merungut: أَرَأَيتَ الَّذي يُكَذِّبُ بِالدّينِ (Sudahkan kamu melihat (orang) yang mendustakan agama?) Allah sedang bercakap dengan Rasulullah kerana Allah gunakan ‘ت’ dalam kalimah أَرَأَيتَ. Seolah-olah Allah mengadu dengan Nabi Muhammad. Allah merungut tentang perangai mereka yang amat teruk sekali. Dan kerana perangai mereka dan ketiadaan iman mereka, mereka menjadi makhluk yang paling rendah sekali seperti yang disebut dalam Teen:5 ثُمَّ رَدَدناهُ أَسفَلَ سافِلينَ (Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya). Surah Ma’un ini akan menyebut beberapa sifat buruk mereka itu.

Surah at-Teen telah menyebut tentang ‘insan’ – iaitu manusia secara umum. Tapi surah Ma’un ini datang selepas sahaja Surah Quraysh, jadi kita boleh katakan yang ianya sedang memperkatakan tentang Musyrikin Quraysh. Pendapat ini dikuatkan kerana kalimah أَرَأَيتَ (adakah engkau melihat) yang merujuk kepada Nabi Muhammad – dan Nabi Muhammad sedang melihat apa yang dilakukan oleh puak Quraish itu di hadapan mata baginda. Baginda dapat melihat sendiri dengan mata baginda bagaimana mereka itu melakukan keburukan dalam hal agama dan hal kemanusiaan. Mereka menipu dalam agama dan mereka mengherdik anak yatim yang akan disebutkan dalam ayat-ayat selepas ini.


Ayat 1: Ini adalah ayat zajrun. Allah menegur perbuatan mereka yang mendustakan ajaran-ajaran agama. Ini berlaku apabila agama beritahu ada kebaikan, mereka tidak kejar kebaikan itu dan bila agama beritahu ada bahaha dalam sesuatu perkara itu, mereka langgar dan lakukannya juga.

أَرَأَيتَ الَّذي يُكَذِّبُ بِالدّينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Mā‘ūn: Assistance.

Have you seen the one who denies the Recompense?

(MALAY)

Adakah kamu lihat (orang) yang mendustakan agama?

Dari bahasa yang Allah gunakan, Allah sedang memuji Rasulullah dan akhlak baginda, dibandingkan dengan Musyrikin Mekah itu yang telah merendah diri mereka serendah-rendahnya. Allah mengutuk mereka sambil Allah memuliakan baginda. Bagaimana kita tahu? Kerana cara Allah tanya baginda itu adalah seumpama seorang guru yang berkata kepada anak muridnya yang terbaik: “lihatlah mereka itu semua yang telah gagal” – ini adalah cara guru itu mengutuk mereka yang gagal kerana tidak berusaha dan memuliakan anak muridnya yang terbaik itu.

Dalam Surah al-Feel sebelum ini, Allah menggunakan kalimah أَلَم تَرَ (tidakkah kamu lihat?) Kalimah ini Allah gunakan semasa Rasulullah berasa di dalam keadaan lemah kerana waktu itu baginda rasa baginda tidak mempunyai kuasa untuk bersuara, sedangkan musuh-musuh baginda dari kalangan musyirikin Mekah itu mempunyai kedudukan untuk mempengaruhi masyarakat. Maka Allah tanya: أَلَم تَرَ (tidakkah engkau lihat) bagaimana Dia telah memusahkan Tentera Abrahah, dengan kaum Aad, kaum Tsamud dan semua musuhNya yang lain? Allah boleh buat apa sahaja terhadap mereka maka janganlah baginda rasa lemah kerana Allah menyokong baginda.

Sedangkan kalimah أَرَأَيتَ (adakah engkah lihat?) dalam surah Ma’un ini digunakan oleh Allah untuk menetapkan keyakinan kepada baginda, memberi semangat kepada baginda, memuji usaha baginda dan akhlak baginda.

Allah selalu menggunakan soalan dalam Qur’an untuk mengulang-ulang soalan itu untuk melibatkan pendengar, supaya mereka berfikir – ini seperti seorang guru yang selalu bertanya kepada anak muridnya – walaupun guru itu tahu yang anak muridnya itu sudah tahu pun jawapannya. Ini adalah supaya pelajarnya itu terus mendengar, terus terjaga dan untuk menekankan pembelajaran kepada mereka. Guru itu hendak melibatkan anak muridnya itu dalam perbincangan dalam kelas. Oleh itu, ini selalu digunakan dalam pengajaran dan memang Allah sedang mengajar kita semua.

Allah sedang bertanya kepada mereka yang ada aqal: أَرَأَيتَ (adakah kamu lihat?). Maka kita kenalah berfikir sejenak, adalah kita pernah lihat orang yang mendustakan agama? Siapakah orang yang dimaksudkan? Ada dua pendapat tentang siapakah mereka:

1 – Ianya merujuk kepada seseorang yang spesifik, (mungkin ‘aas bin wa’il, akhnas bin shuraiq, ada juga yang mengatakan ia berkenaan Abu Lahab). Selepas ini pun akan disebut tentang Abu Lahab. Dan Abu Lahab juga adalah penjaga harta baitulmal dan sepatutnya dialah yang mengeluarkan wang untuk membantu orang yang lemah.

2 – Ianya disebut secara umum, bukan orang yang tertentu. Sesiapa sahaja yang kena dengan sifat itu, merekalah yang dimaksudkan. Apabila Allah sebut secara umum dan pukal sahaja, sesiapa sahaja boleh kena dengan kecaman Allah itu. Maka sesiapa sahaja yang ada sifat itu, mereka sendiri akan terasa. Mereka akan terasa yang Allah sedang memperkatakan tentang mereka. Apabila disebut sifat-sifat buruk mereka, mereka akan terasa yang merekalah yang dimaksudkan. Allah mahu mereka sendiri berfikir.

Oleh itu, ini menyebabkan ada orang yang marah kerana sifat mereka disentuh (tentu ada yang marah dan tidak suka). Mereka marah kerana mereka sedang dihina oleh Qur’an. Ini macam kalau dalam majlis kita kata: “ada orang yang menyusahkan keluarga dia”. Kita cakap itu sahaja, tapi orang yang benar-benar melakukan perkara itu akan terasa. Inilah realiti yang berlaku dan Allah tegur mereka dengan cara begini. Kalau mereka terasa, nasib merekalah.

Dalam ayat ini, Allah berfirman: الَّذي يُكَذِّبُ بِالدّينِ (mereka yang ‘mendustakan’ agama). Ini tidak sama kalau Allah sebut: الّذي يَكفُر بِالدّينِ (mereka yang ‘kufur’ dengan agama). Apakah beza antara dua jenis kalimat itu?

– kalau Allah gunakan الّذي يَكفُر بِالدّينِ, ia bermaksud mereka menolak agama itu dengan terus, dengan terang.

– tapi bila Allah gunakan الَّذي يُكَذِّبُ بِالدّينِ, ia bermaksud mereka mengatakan yang agama itu satu satu pembohongan, mereka kata Nabi menipu, Qur’an menipu. Tapi mereka yang melakukannya, tahu yang semua itu benar, tapi mereka tetap menolaknya dan mengatakan ianya adalah penipuan. Kerana itulah mereka dikatakan: menipu tentang agama (dan bukan kufur dengan agama). Mereka menolak apa kata hati mereka dan tetap juga menolak kebenaran. Ini amat teruk sekali. Kerana kalau mereka tidak tahu pun salah, dan kalau mereka tahu, tapi mereka kata juga yang semua itu satu penipuan, mereka sebenarnya lebih teruk lagi.

Kenapa mereka kata agama itu satu penipuan? Kerana mereka nak tolak dan mereka kena kata agama itu tidak benar, kerana itu mereka tidak terima. Maknanya, dia tahu yang dia sedang menipu kerana dia tahu yang agama itu benar. Oleh itu, Allah sekarang sedang membuka pekung mereka. Mereka cuba sorok apa yang ada dalam hati mereka, tapi Allah beritahu kepada semua orang dalam Qur’an tentang sifat mereka itu.

Dan kalimah يُكَذِّبُ adalah dalam fi’il mudhari’ (present tense). Dari segi balaghah, ini bermaksud orang itu sentiasa sahaja menipu tentang agama, kerana apabila dalam bentuk fi’il mudhari’, ia memberi isyarat ‘berterusan’. Maknanya setiap hari mereka akan tolak agama itu. Ini berbeza kalau kalimah َكَذَّب yang digunakan, yang bermakna dia menipu sekali. Mereka akan menipu setiap kali – maknanya mereka ada juga mendengar ayat Qur’an yang mereka percaya sebagai benar, tapi mereka tetap juga tolak supaya mereka tidak perlu nak amalkan agama.

Kalimah الدّينِ pun boleh jadi dalam dua makna: samada dalam bentuk umum atau dalam bentuk spesifik.

– Kalau dalam bentuk spesifik, ia sebenarnya sudah menjadi satu istilah. Istilah membawa maksud yang khusus. Sebagai contoh, kalau kita gunakan maksud ‘journal’ dalam bentuk umum, ia bermaksud diari. Tapi kalau digunakan oleh mereka yang bekerja dalam bidang akauntan, ia membawa maksud istilah tertentu – iaitu membawa maksud satu bahagian dalam bidang akauntan yang bermaksud ‘untung dan rugi’. Ini para akauntan akan faham.

Begitu juga dalam Islam. Ada perkataan yang asalnya berbentuk umum tapi telah menjadi istilah tertentu. Sebagai contoh, kalimah solat bermaksud sembahyang/doa/permintaan. Akan tetapi kita pun tahu yang ianya adalah satu istilah khusus dalam agama kita – perbuatan yang ada rukun dan syarat dan dilakukan sekurang-kurangnya 5 kali sehari semalam. Dan cara mengerjakannya ada tertib-tertib tertentu.

Jadi, mari kita lihat kalimah الدّينِ itu. Kalau kita menafsirnya dalam bentuk khusus, ia bermaksud ‘agama Islam’. Memang asalnya ia ada maksud lain dalam bahasa Arab, tapi selepas Islam, kalau kita sebut الدّينِ sekarang, ia bermaksud ‘agama Islam’. Oleh itu, kalau kita tafsirkan ayat الَّذي يُكَذِّبُ بِالدّينِ, ia bermaksud ‘orang yang mendustakan agama Islam’. Dan agama Islam itu adalah perkara yang khusus, seperti Tauhid, Risalah, Hari akhirat dan macam-macam lagi.

– Akan tetapi, ada juga yang mengatakan yang الدّينِ itu merujuk kepada sesuatu yang umum. Dari segi bahasa, maksud دين adalah ‘memberi pinjaman’. Apabila kita beri pinjaman, kita mahukan pinjaman itu dipulangkan balik, bukan? Dan pulangan balik itu adalah الدّينِ adalah ‘pulangan balik’. Dan pulangan balik yang dimaksudkan adalah di akhirat kelak. Iaitu apa sahaja yang kita lakukan di dunia ini, akan mendapat balasannya di akhirat kelak. Kita kena bertanggungjawab atas perbuatan kita, sama juga macam kita bertanggungjawab atas pinjaman kita – apabila sudah pinjam, kenalah bayar balik. Oleh itu, kalau kita pakai pendapat ini, ayat 1 ini berbunyi: adakah kamu lihat mereka yang mendustakan hari pembalasan?

Surah ini tentang kesalahan dan kezaliman yang dilakukan oleh Quraish. Dan sekarang Allah hendak memberitahu kita, apakah punca dari masalah mereka itu. Mereka jadi teruk itu kerana mereka tidak percaya kepada Hari Pembalasan di akhirat kelak. Mereka tidak percaya yang segala perbuatan mereka di dunia ini akan dibalas di akhirat kelak. Oleh itu mereka tidak takut melakukan kekejaman dan dosa mereka kerana mereka tidak rasa yang ianya akan dibalas di akhirat kelak.

Maka bebaslah mereka nak buat apa pun. Orang jahat cuma takut dengan balasan sahaja. Sebagai contoh, penjenayah tidak akan lakukan jenayah kalau mereka tahu yang polis sedang melihat mereka. Kalau orang yang bawa kereta dengan bahaya pun, kalau polis trafik ada, mereka akan bawa kereta dengan berhemah sangat. Kerana mereka takut mereka akan ditangkap dan dibalas dengan dimasukkan ke dalam penjara atau kena saman. Jadi, perasaan takut itu akan menghalang mereka dari melakukan kesalahan.

Oleh itu, orang mukmin adalah mereka yang percaya dengan perkara ghaib seperti Allah dan akhirat. Ini disebut dalam Baqarah:3

الَّذينَ يُؤمِنونَ بِالغَيبِ 

mereka yang beriman kepada yang ghaib,

Kalau mereka takut dengan Allah yang mereka tidak nampak, mereka tidak akan melakukan dosa. Tapi mereka yang jahat itu mendustakan perasaan ini. Mereka tolak jauh-jauh. Walaupun jauh di sudut hati mereka, mereka percaya yang akhirat itu ada, tapi mereka buat tak tahu sahaja. Inilah sifat mereka yang disebut dalam Surah ini – mereka itu jenis tidak kisah.

Ulama tafsir ada mengatakan yang ada sambungan dari ayat ini yang dihazafkan (ditiadakan). Ayat penuhnya adalah: Adakah engkau melihat orang yang mendustakan agama/hari pembalasan? Adakah orang itu benar atau tidak?

Siapakah mereka itu dan bagaimanakah sifat mereka? Allah beritahu dalam ayat seterusnya.


Ayat 2: Sepatutnya mereka tolong anak yatim, tapi sebaliknya mereka halau.

فَذٰلِكَ الَّذي يَدُعُّ اليَتيمَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For that is the one who drives away the orphan

(MALAY)

Itulah orang yang menghardik anak yatim,

فَذٰلِكَ – maka tanda kekufuran mereka itu adalah.. Allah akan terangkan selepas ini. Iaitu mereka menghalau, mengherdik anak yatim.

اليَتيمَ – seseorang yang kehilangan ibubapa mereka. Mereka itu dalam kesedihan, harapan mereka nampak gelap, mereka rasa mereka sudah tidak ada tempat bergantung lagi dah. Kalau orang dah dewasa pun kehilangan ibubapa mereka, mereka pun dah rasa payah, tambahan pula kalau dia seorang anak yang masih memerlukan belaian kasih sayang dan sokongan? ma sha Allah….Anak yatim memerlukan kasihan dan layanan baik, tapi manusia jenis apa yang sanggup mengherdik dan menghalau mereka?

Dalam Ayat 1 telah disebut bagaimana mereka itu mendustakan hari pembalasan. Apabila seseorang itu tidak mahu mengakui Hari Kiamat dan pembalasan yang datang dengannya, mereka telah menolak fitrah yang sudah sedia ada dalam dirinya. Dan apabila menolak fitrah, maka hati akan jadi keras dan tertutup. Apabila hati sudah keras, maka sudah tidak ada belas kasihan lagi. Bila tidak ada belas kasihan, itulah yang sampai boleh menindas orang yang lemah.  Kerana orang yang beriman, pasti ada rahmah dalam dirinya. Dan orang yang menolak fitrah akan hilang sifat rahmahnya seperti yang disebut dalam Balad:17

ثُمَّ كانَ مِنَ الَّذينَ آمَنوا وَتَواصَوا بِالصَّبرِ وَتَواصَوا بِالمَرحَمَةِ

Dan dia (tidak pula) termasuk orang-orang yang beriman dan saling berpesan untuk bersabar dan saling berpesan untuk berkasih sayang.

Kalimah يَدُعُّ dari د ع ع yang bermaksud menolak jauh seseorang, dengan tidak takut orang itu boleh tolak balik. Oleh kerana itu mereka ambil kesempatan kerana mereka tidak takut kepada balasan balas. Mereka buli orang lain dengan tidak rasa takut pun. Mereka herdik dan halau orang lain dan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah anak yatim. Alangkah teruk sekali apa yang mereka lakukan terhadap anak yatim.

Mereka itu sanggup lakukan begitu sedangkan Allah amat menekankan tentang anak yatim dalam Qur’an. Berkali-kali Allah suruh kita menghargai dan bertindak baik dengan mereka.

1 – Surah an-Nisa – surah ini maksudnya ‘perempuan’ dan tentu kita sangka Allah akan bercakap tentang mereka; tapi sebaliknya yang dibincangkan dahulu adalah anak-anak yatim dan bagaimana kita kena menjaga mereka dan berurusan dengan mereka dan menjaga hak-hak mereka. Hanya selepas itu baru disebut tentang wanita.

2 – Dalam Surah Dhuha, Allah berfirman فَأَمَّا اليَتيمَ فَلا تَقهَر [Sebab itu, terhadap anak yatim janganlah kamu berlaku sewenang-wenang] melarang kita berlaku tidak patut kepada mereka. Selepas itu baru Allah sebut tentang para peminta.

3 – Dalam Fajr:17 Allah berfirman كَلّا ۖ بَل لا تُكرِمونَ اليَتيمَ [Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya kamu tidak memuliakan anak yatim], Allah menegur manusia yang tidak memuliakan anak-anak yatim.

4 – Dalam ayat-ayat di atas, kita disuruh untuk bermuamalah dengan baik dengan anak yatim. Tapi perbuatan buruk yang disebut dalam surah ini lebih keras lagi. Mereka bukan sahaja tidak melayan anak yatim dengan baik, malah mereka menyakiti anak-anak yatim itu! Mereka herdik, tolak dan halau anak-anak yatim itu!

Dan Nabi Muhammad SAW itu sendiri adalah anak yatim dan Allah telah menjaga baginda, beri kemuliaan kepada baginda. Maka tentu kalau ada yang menindas anak yatim, Allah amat murka sekali.

Allah amat murka kepada mereka dan kerana itulah Allah gunakan kalimah فَذٰلِكَ kerana kalimah ذٰلِكَ bermaksud ‘itu’ kerana Allah hendak menjauhkan DiriNya dari mereka kerana Allah amat murka kepada mereka. Kerana kalau normal sahaja, Allah boleh sahaja guna kalimah هذا (ini).

Ulama juga membincangkan tentang huruf ف pada kalimah فَذٰلِكَ ini. Ia menghubungkan antara ayat 1 dan 2 ini. Maknanya, sifat orang itu berkait. Kerana dia mendustakan agama (atau mendustakan hari pembalasan), maka dia akan menolak anak yatim. Maknanya, pertama sekali dia telah buat dosa kepada Allah dan itu membawa kepada buat dosa berkenaan manusia pula. Apabila berdosa kepada Khaaliq, maka akan buat dosa berkenaan makhluk pula. Inilah bahayanya kalau melakukan dosa. Kerana ia menyebabkan dosa di dalam perkara lain pula. Kerana dia tidak kisah tentang hubungannya dengan Allah, maka dia pun tentu tidak kisah tentang hubungannya dengan makhluk. Cuma dalam ayat ini disebut tentang perbuatan buruk mereka terhadap anak yatim, tapi bukanlah itu sahaja dosa mereka. Ada banyak lagi dosa lain yang mereka lakukan.

Kalimah يَدُعُّ itu juga bermaksud menolak seseorang dengan ganas dengan perasaan marah dan menekan. Mereka bukan sahaja menghina anak yatim itu, tapi mereka menolak anak-anak yatim itu dari hak mereka. Sebagai contoh, ada anak yatim yang ditinggalkan harta oleh ibubapa mereka. Tapi orang-orang yang jahat itu mengambil harta-harta itu. Ini amat buruk sekali. Kerana itu adalah hak anak yatim itu! Begitu teruk sekali apa yang dilakukan oleh puak Quraish itu. Mereka tidak memberi harta pusaka kepada perempuan dan anak-anak yatim. Dan kalau perempuan dan anak yatim itu meminta, mereka akan tolak! Mereka berhujah, kenapa harta itu perlu diberi kepada perempuan dan anak yatim, sedangkan mereka itu tidak memerlukan? (mereka kata lelaki memerlukan harta untuk perang, perempuan dan budak-budak tidak perlukan).

Untuk menjaga hak perempuan dan anak yatim, Allah telah meletakkan hukum harta pusaka kepada mereka. Sebelum Islam, mereka tidak ada hak, tapi dengan Islam, hak mereka dijaga.


Ayat 3:  Apa lagi sifat mereka?

وَلا يَحُضُّ عَلىٰ طَعامِ المِسكينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And does not encourage the feeding of the poor.

(MALAY)

dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin.

Dalam ayat sebelum ini disebut perbuatan buruk mereka dengan anak yatim. Sepatutnya mereka kena bantu anak-anak yatim itu. Dan kalau mereka sendiri tidak ada harta, sekurang-kurangnya mereka kena minta orang lain tolong. Minta orang lain bantu anak-anak yatim itu dan orang yang susah. Kerana kita kenalah ada sifat kasihan belas. Memang ada orang yang tidak ada apa, tapi mereka ada kasihan belas dalam hati mereka.

Ada yang mengatakan ayat sebelum ini adalah tentang perbuatan sebagai seorang individu dan ayat ini dalam konteks mereka sebagai pemimpin masyarakat yang ada kedudukan untuk membantu orang dan ada kedudukan untuk mempengaruhi orang lain. Oleh itu, dikatakan yang ditegur dalam ayat ini adalah pemimpin Quraish (sebagai contoh, Abu Lahab yang pangkatnya menjaga Baitulmal). Mereka sepatutnya berada dalam kedudukan yang amat sesuai untuk membantu dan memberi makan kepada orang yang lemah. Tetapi mereka tidak jalankan tanggungjawab itu. Ini mengajar kita bahawa pemimpin sepatutnya duduk di depan, menganjurkan untuk memberi makan kepada orang miskin dan orang susah. Tapi sebaliknya, ada pemimpin yang membazirkan wang untuk diberi kepada orang yang kaya pula, sedangkan wang itu sepatutnya untuk masyarakat. Mereka jenis ini memang tidak patut jadi pemimpin. Mereka layan orang kaya sahaja. Kalau pemimpin lagi besar datang, lihatlah bagaimana layanan mereka terhadap orang itu. Ini kerana mereka jaga orang agenda orang kaya sahaja kerana mereka sangka orang yang lebih tinggi itu boleh jaga kedudukan mereka untuk lebih naik lagi. Mereka rasa, kalau tolong orang miskin, bukan dapat apa pun.

Jadi mereka tidak tolong pun orang susah, malah mereka tidak menggalakkan pun orang lain untuk tolong orang susah. Tapi kalau mereka sendiri tidak tolong, kenapa mereka tidak galakkan orang lain pula untuk tolong?

Mereka tidak galakkan kerana kalau mereka suruh orang lain bantu, mereka takut orang lain akan tanya balik kepada mereka: “kau suruh kami tolong ni, engkau pula macam mana? Kenapa kamu sendiri tak tolong?” Begitulah Allah buka akal dan buka rahsia dalam hati mereka – mereka tidak galakkan orang lain menolong kerana mereka sendiri tidak mahu menolong kerana mereka nak gunakan duit itu untuk kepentingan diri sendiri. Dan perkara ini bukan terjadi di dalam kalangan pemimpin Quraish sahaja, tapi di  mana-mana dalam dunia.

Kalimah يَحُضُّ dari katadasar حضض yang bermaksud ‘menggalakkan’. Macam kalau kita naik kuda, dah kita kata “hiyah, hiyah”, itu adalah يَحُضُّ. Kalau dengan manusia, bermaksud kita menggalakkan mereka untuk melakukan sesuatu.

Oleh itu, apabila dikatakan لا يَحُضُّ, ia bermaksud mereka itu tidak menggalakkan orang lain. Dan dalam ayat ini, mereka tidak menggalakkan orang lain untuk memberi makan kepada fakir miskin. Kalau mereka tidak menggalakkan orang lain beri makan, ia bermaksud mereka pun tentu tidak beri orang miskin makan (tidak perlu sebut).

Allah gunakan kalimah المِسكينِ (orang miskin) dalam bentuk mufrad (satu). Ianya adalah orang-orang yang tidak dapat membantu diri mereka untuk keluar dari kesusahan mereka. Dari kalimah سكن (tidak bergerak) kerana mereka tidak dapat nak keluar dari tempat itu, tidak dapat tolong diri mereka sendiri – memerlukan orang untuk bantu mereka. Kalau ramai, kalimah المساكين yang digunakan. Kenapa digunakan seorang miskin sahaja? Ia boleh bermaksud, jangan kata ramai orang miskin, seorang miskin pun mereka tidak bantu dan beri makan.

Atau satu lagi maksud, kerana ada ال dalam kalimah المِسكينِ itu, ia boleh bermaksud mengingatkan mereka kepada seorang individu tertentu yang mereka tidak beri makan dan tidak layan dengan baik. Ini untuk menekan perasaan mereka. Allah hendak memberitahu mereka bahawa Allah tahu perbuatan mereka terhadap individu itu. Allah hendak mereka teringat kepada seorang miskin yang baru mereka tidak bantu, bukan kepada orang miskin secara umum. Ini lebih memberi kesan kepada mereka. Kerana mereka terus teringat orang tertentu yang baru mereka tolak dari dibantu.

Seperti yang kita telah sebut, yang disentuh dalam ayat ini adalah para pemimpin masyarakat yang sepatutnya berada pada kedudukan untuk membantu mereka yang susah, tapi mereka tidak lakukannya. Bukan sahaja mereka tidak bantu, mereka tidak galakkan pun orang lain untuk bantu. Mereka tidak galakkan orang lain kerana kalau mereka suruh orang lain bantu, orang lain akan kata: “kenapa suruh kami pula, kamu bagaimana? Kenapa kamu sendiri tidak bantu?”. Kerana mereka takut mereka akan ditegur begitu, maka mereka senyapkan sahaja tentang orang lain.

Kalimah yang digunakan dalam ayat ini adalah طَعامِ المِسكينِ – ‘makanan orang miskin’. Ia dalam bentuk mudhaf dan mudhaff ilaih – ini bermaksud makanan itu adalah hak mereka mereka, kepunyaan mereka. Maksudnya, dari segi bahasa, Allah tidak kata beri makanan kepada orang miskin (طَعامِ لالمِسكينِ), tapi Allah kata: beri makanan orang miskin itu. Ini adalah hebat kerana Allah hendak memberi isyarat bahawa memang makanan itu hak orang-orang miskin itu. Makanan yang dihalang untuk disampaikan itu sepatutnya hak mereka dan kena diberikan kepada mereka.

Allah gunakan kalimat طَعامِ المِسكينِ (makanan orang miskin), bukan dalam bentuk fi’il amar (kata arahan) اِطْعَم المِسكينِ (berilah makan kepada orang miskin). Ini menguatkan lagi isyarat bahawa makanan itu adalah hak orang-orang miskin itu. Orang yang sepatutnya membahagi-bahagikan hak-hak orang miskin itu, mereka pula sebaliknya yang mengambil untuk diri mereka. Ini banyak terjadi dalam hak pengagihan sumbangan masyarakat. Ada yang tolong kutip, tapi mereka pula yang makan sendiri.

Jadi, ini adalah peringatan yang teramat penting untuk ahli politik – berkecimpung dalam politik adalah untuk mendapat kedudukan dalam masyarakat supaya boleh memberi sumbangan kepada masyarakat – bukannya untuk menambah harta sendiri dan mendapat sanjungan dari orang lain. Dan bila dah jadi pemimpin, kenalah cari jalan untuk tolong orang – bukannya makan hasil sumbangan orang!


Ayat 4: Ayat-ayat sebelum ini adalah tentang sifat buruk manusia dengan manusia yang lain. Sekarang Allah sebut tentang sifat mereka dengan Allah pula, iaitu dalam solat.

فَوَيلٌ لِلمُصَلّينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So woe to those who pray

(MALAY)

Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat,

Ramai yang hafal ayat ini rasanya. Kerana selalu digunakan sebagai hujah. Mari kita lihat apakah maksudnya. Apabila Allah gunakan huruf ف dalam ayat ini, ianya adalah kesinambungan dari ayat yang sebelumnya. Allah sedang mencelakakan mereka yang solat. Ini agak pelik, maka kita kena berhati-hati dengan ayat ini. Kena faham dengan kemas, kalau tidak, boleh salah faham dan jadi sesat.

Banyak ayat-ayat dalam Qur’an dimana Allah menyebut tentang kecelakaan. Sebagai contoh, dalam Tur:11

فَوَيلٌ يَومَئِذٍ لِلمُكَذِّبينَ

Maka kecelakaan yang besarlah di hari itu bagi orang-orang yang mendustakan,

Apabila Allah sudah kata ‘celaka’, maka malanglah nasib mereka yang dicelakakan itu. Tapi dalam ayat ini, Allah sebut يَومَئِذٍ (hari itu) yang bermaksud hari akhirat. Tapi kecelakaan yang disebut dalam Surah Ma’un ini tidak disebut يَومَئِذٍ, tapi dalam bentuk umum sahaja. Maknanya, yang dimaksudkan bukanlah di akhirat sahaja, tapi sekarang juga! Mereka akan musnah dan tidak perlu tunggu akhirat pun.

Tapi kecelakaan yang dimaksudkan adalah untuk ‘mereka yang solat’. Kenapa Allah marah kepada mereka yang solat? Bukankah solat itu perbuatan yang baik?

Jadi, ayat ini menarik perhatian dan menyebabkan orang-orang yang solat terkejut. Tapi ini akan dijelaskan dalam ayat seterusnya. Allah boleh sahaja nak sambung dengan ayat selepas ini, tapi Allah tidak buat begitu. Ini kerana Allah hendak menarik perhatian semua orang. Begitulah, Allah pecahkan ayatNya satu persatu supaya kita tadabbur setiap satu ayat.

Kalimah ‘solah’ sudah digunakan sebelum Qur’an diturunkan pun. Kepada masyarakat Arab waktu itu, ia sudah bermaksud ‘sembahyang’ dan ‘doa’. Jadi ayat ini menarik perhatian musyrikin Mekah dan juga orang Islam sendiri. Kedua-duanya terkesan dengan ayat ini. Dan kita pun terkesan juga dengan ayat ini, kerana kita pun solat juga, bukan? Maka berikan perhatian sekarang. Kerana yang datang selepas ini amat penting untuk diberi perhatian.

Kalimah مُصَلّينَ bukan sahaja bermaksud ‘orang yang solat’, tapi ia bermaksud ‘orang yang selalu solat’. Kerana ianya dalam isim fa’il (pembuat). Jadi, ini menyebabkan semua mereka yang solat akan takut dan tertanya-tanya: “aku pun solat juga, adakah aku termasuk dalam ayat ini? Apa Allah nak cakap selepas ini?” Ayat ini memang tidak boleh dibaca setakat ini sahaja – kalau kita baca dalam solat, jangan baca setakat ayat ini sahaja. Takkan orang yang selalu solat pula dicelakakan dalam ayat ini? Oleh itu, memang kita kena baca dengan ayat seterusnya juga.

Allah boleh sahaja kata Dia mengutuk orang ‘munafik’, (kerana orang munafik pun ada masalah dengan solat mereka) tapi tidak begitu, Allah beritahu kita yang Dia sedang mengutuk orang yang solat. Jadi kita kena takut yang kita termasuk dalam golongan orang yang munafik juga kerana sifat orang munafik itu mereka tidak menjaga solat. Allah Swt. telah berfirman:

إِنَّ الْمُنافِقِينَ يُخادِعُونَ اللَّهَ وَهُوَ خادِعُهُمْ وَإِذا قامُوا إِلَى الصَّلاةِ قامُوا كُسالى يُراؤُنَ النَّاسَ وَلا يَذْكُرُونَ اللَّهَ إِلَّا قَلِيلًا

Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk salat, mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riya (dengan salat) di Hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali. (An-Nisa: 142)

Apa kaitan ayat ini dengan ayat sebelum ini? Kita dapat tahu, kalau sudah ada masalah dengan menzalimi manusia, selalunya orang itu juga akan ada masalah dengan kewajipan dengan Allah. Itulah yang diisyaratkan dalam ayat ini. Jadi ianya tentang orang yang sama sahaja. Mereka itu solat pun tidak bagus, sampaikan solat mereka itu tidak pun mengubah dirinya. Kita pun tahu yang sepatutnya solat mengubah diri kita menjadi baik. tapi tidak pada orang itu. Kerana mereka tidak menjaga solat mereka seperti yang sepatutnya mereka lakukan.


Ayat 5: Solat itu adalah waktu khusus untuk ingat kepada Allah. Tapi ramai yang tidak jaga solat mereka. Dan memang syaitan akan serang hamba untuk menghalang mereka dari mengerjakan solat dengan benar. Kita sebagai seorang muslim kenalah jaga supaya dalam solat ini kita tawajuh (fokus) hanya kepada Allah. Memang akan celakalah kalau dalam solat yang sepatutnya kita ingat kepada Allah, tapi lalai tidak ingat kepada Allah. Bayangkan, kalau orang duduk depan kita, takkan kita nak main telefon sambil bercakap dengan dia? Apa perasaan kita kalau kita jumpa orang, tapi orang itu tengok telefon dia sahaja dan tidak dengar apa yang kita kata. Tentu kita pun marah kalau begitu, bukan?  Allah nak kita hadap Dia dan tumpu perhatian kepada Dia. Sudahlah waktu lain kita tidak ingat kepada Allah, takkan dalam solat pun kita tidak ingat kepada Allah?

الَّذينَ هُم عَن صَلاتِهِم ساهونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[But] who are heedless of their prayer¹ –

  • i.e., the hypocrites who are unconcerned if they miss prayers when no one sees them.

(MALAY)

(iaitu) orang-orang yang lalai tentang solatnya,

Ayat ini adalah sambungan kepada ayat sebelumnya. Seperti kita telah sebutkan, Allah boleh sahaja sambung terus ayat ini dengan ayat sebelumnya. Tapi Allah tidak lakukan begitu. Ini adalah supaya kita beri perhatian kepada setiap ayat. Kesannya adalah, kalimah ‘solat’ disebut dua kali dalam kedua-dua ayat ini – ini memberi kesan penekanan kerana dua kali ianya disebut.

Mereka yang lalai di dalam solat, tidak mendapat kebaikan dari solat itu. Allah telah sebut dalam Ankabut:45

إِنَّ الصَّلاةَ تَنهىٰ عَنِ الفَحشاءِ وَالمُنكَرِ

Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar.

Kalau solat itu sudah mencegah orang yang mengerjakannya dari perbuatan keji, kenapa pula mereka itu sanggup menindas dan menidakkan hak orang lain? Ini yang kita nak jelaskan.

Dalam ayat 1, disebut أَرَأَيتَ الَّذي يُكَذِّبُ بِالدّينِ, menyebut tentang ‘seorang’ yang menipu tentang agama. Begitu juga, dalam ayat 2 dan 3, memperkatakan tentang orang yang sama. Tapi dalam ayat 4 dan ayat 5 ini, digunakan kalimah لِلمُصَلّينَ dan الَّذينَ yang jelas dalam bentuk jamak pula. Kenapa pula ada perubahan dalam bentuk bilangan? Ini adalah kerana mereka ini bukan solat bersendirian, tapi mereka solat di tempat awam dan berjemaah. Kenapa mereka buat begitu? Akan dijelaskan dalam ayat 6 nanti.

Tuan-tuan, Allah telah menyumpah ramai golongan dalam Qur’an. Antaranya dalam Humazah:1

وَيلٌ لِكُلِّ هُمَزَةٍ لُمَزَةٍ

Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela,

Dalam ayat ini, Allah menyumpah mereka yang mencela dan mengumpat orang lain. Ini adalah jenayah terhadap manusia. (Celaka dalam surah Ma’un ini adalah tentang solat – jenayah terhadap Allah). Allah juga ada menyumpah dalam Mutaffifin:1

وَيلٌ لِلمُطَفِّفينَ

Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan)

Ayat ini juga tentang jenayah dengan manusia – menipu dalam timbangan dan perniagaan. Allah juga ada menyumpah mereka yang melakukan jenayah yang amat berat, iaitu mengubah kitab Allah dan ini disebut dalam Baqarah:79 

فَوَيلٌ لِلَّذينَ يَكتُبونَ الكِتابَ بِأَيديهِم ثُمَّ يَقولونَ هٰذا مِن عِندِ اللَّهِ

Maka kecelakaan yAng besarlah bagi orang-orang yang menulis Al Kitab dengan tangan mereka sendiri, lalu dikatakannya; “Ini dari Allah”,

Jadi, kita boleh lihat bagaimana kesalahan-kesalahan yang telah disebut sampai Allah mencelakakan mereka itu adalah kesalahan-kesalahan yang besar. Dan sekarang Allah memasukkan sumpahNya kepada mereka yang lalai dari solat mereka. Jadi bayangkan beratnya kesalahan yang disebut dalam ayat ini. Allah samakan dengan mereka yang tipu orang lain, tulis kitab tiruan dan sebagainya.

Apakah maksud ‘solat’ dalam ayat ini? Ada dua pendapat yang diberikan oleh ulama:

1 – Ada yang mengatakan yang dimaksudkan adalah solat orang munafik. Mereka itu solat kerana hendak menunjuk sahaja kepada orang lain. Mereka solat berjemaah bersama dengan para sahabat yang lain kerana mereka mahu dilihat sebagai orang Islam juga.

2 – Ada juga yang mengatakan ayat ini tentang solat pemimpin Quraish. Mereka juga ada mengamalkan solat. Kita jangan lupa bahawa mereka adalah keturunan Nabi Ibrahim a.s. yang mula-mula membuka Mekah semula. Dan Nabi Ibrahim juga mengamalkan solat seperti yang disebut dalam Ibrahim:37

رَبَّنا إِنّي أَسكَنتُ مِن ذُرِّيَّتي بِوادٍ غَيرِ ذي زَرعٍ عِندَ بَيتِكَ المُحَرَّمِ رَبَّنا لِيُقيمُوا الصَّلاةَ

Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat,

Jadi kita tahu yang Nabi Ibrahim mengerjakan solat dan Nabi Ismail juga mengerjakan solat. Ini disebut dalam Maryam:55

وَكانَ يَأمُرُ أَهلَهُ بِالصَّلاةِ

Dan ia menyuruh ahlinya untuk bersembahyang

Jadi keturunan awal Quraish Mekah itu memang mengerjakan solat. Dan amalan solat itu diturunkan turun temurun kepada keturunan mereka. Jadi tentu Quraish Mekah itu tahu tentang amalan solat kerana mereka juga dari keturunan Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. Tapi Allah menegur amalan solat mereka – solat Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail itu adalah solat yang ikhlas, tapi mereka telah mengubah cara solat itu dengan menambah perkara-perkara yang baru (bidaah) dan mereka tidak mengerjakannya dengan ikhlas. Mereka solat hanya untuk menunjuk kepada orang ramai sahaja. Walaupun solat mereka dah lain, tapi mereka masih lagi panggil ianya ‘solat’.

Mereka ساهونَ berkenaan solat mereka. Maksud ساهونَ diambil dari katadasar س ه و yang bermaksud terlupa sesuatu kerana lalai disebabkan ada benda yang lebih penting dalam fikiran kita. Kalimah ساهونَ pula adalah dalam format fa’il (pembuat), iaitu mereka yang melakukan kelalaian dan kelupaan itu. Kalimah س ه و ini sebenarnya kita semua sudah tahu kerana kita selalu juga buat ‘Sujud Sahwi’, bukan? Iaitu apabila kita terlupa rakaat, terlupa nak buat Tahiyat Awal dalam solat, maka kita disyariatkan untuk melakukan Sujud Sahwi sebelum atau selepas salam. Kenapa kita terlupa rakaat dalam solat? Kerana kita waktu itu sedang terfikirkan perkara lain, sampai terlupa rakaat berapa dah solat.

Kalimah س ه و juga boleh bermaksud, kita tidak kisah kalau kita solat atau tidak. Kadang-kadang kita pandang ringan sahaja solat itu, sampaikan kalau kita terlepas, kita tidaklah kisah sangat. Ramai orang begini. Kalau mereka dalam keadaan senang untuk melakukan solat, mereka akan kerjakan; tapi kalau mereka di luar, susah nak cari masjid/surau, mereka tidak kisah pun kalau mereka tidak solat. Atau kalau mereka terlupa nak solat, mereka tidaklah kelam kabut (beza dengan kalau lupa makan). Begitulah kadang-kadang kita sibuk kerja, sibuk tengok pertandingan bolasepak dan sebagainya, kita tidak kisah kalau terlepas solat. Jadi mereka-mereka yang sebegini, dikira sebagai ساهونَ.

Kebanyakan dari kita rasa solat itu macam ringan sahaja, tapi lihatlah bagaimana Allah sumpah dan mencelakan (وَيلٌ) mereka yang bersifat seperti ini. Ianya adalah kebinasaan yang amat teruk. Kenapa sampai begitu sekali? Ini adalah kerana solat itu adalah amat penting sekali. Banyak sekali dalil-dalil tentang perkara ini:

1 – Lihatlah bagaimana pertama kali Allah memperkenalkan DiriNya kepada Nabi Musa a.s. dalam Taha:14

إِنَّني أَنَا اللَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا أَنا فَاعبُدني وَأَقِمِ الصَّلاةَ لِذِكري

Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tidak ada ilah selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingat Aku.

Lihatlah, pertama kali Allah berkata-kata dengan Nabi Musa a.s., Allah menyebut tentang solat. Ini menunjukkan begitu penting sekali solat itu. Dan Allah beritahu dalam ayat ini, salah satu tujuan solat adalah untuk mengingatiNya. Allah beritahu perkara ini kepada Nabi Musa sedangkan waktu itu Nabi Musa dah bercakap dengan Allah dah, dan pastinya baginda tidak akan lupa dengan Allah dah lagi, bukan? Akan tetapi Allah beritahu juga kerana percakapan itu tidak cukup lagi, baginda kena solat juga lagi.

-2 Solat lebih penting dari kehidupan dan kematian. Allah berfirman dalam An’am:162

قُل إِنَّ صَلاتي وَنُسُكي وَمَحيايَ وَمَماتي لِلَّهِ رَبِّ العالَمينَ

Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.

Lihatlah bagaimana solat disebut dahulu sebelum kehidupan dan kematian. Memang hidup dan mati itu sudah besar dah, tapi Allah sebut solat juga dulu. Ini menunjukkan kepentingannya.

-3 Solat disamakan dengan ‘iman’. Lihat firman Allah dalam Baqarah:143

وَما جَعَلنَا القِبلَةَ الَّتي كُنتَ عَلَيها إِلّا لِنَعلَمَ مَن يَتَّبِعُ الرَّسولَ مِمَّن يَنقَلِبُ عَلىٰ عَقِبَيهِ ۚ وَإِن كانَت لَكَبيرَةً إِلّا عَلَى الَّذينَ هَدَى اللَّهُ ۗ وَما كانَ اللَّهُ لِيُضيعَ إيمانَكُم

Dan Kami tidak menetapkan kiblat yang menjadi kiblatmu (sekarang) melainkan agar Kami mengetahui (supaya nyata) siapa yang mengikuti Rasul dan siapa yang membelot. Dan sungguh (pemindahan kiblat) itu terasa amat berat, kecuali bagi orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah; dan Allah tidak akan menyia-nyiakan imanmu.

Ayat ini adalah berkenaan penukaran kiblat dari mengadap ke BaitulMaqdis ke Ka’bah. Waktu itu puak Yahudi mengejek mengatakan yang solat-solat orang Islam sebelum ditukar ke Ka’bah itu sia-sia sahaja, kerana kononnya itu bukan kiblat yang sebenar. Allah menolak kata-kata mereka itu dengan mengatakan solat orang Islam ke BaitulMaqdis itu tidak sia-sia. Kerana mereka melakukannya atas arahan Allah juga pada waktu itu. Yang menariknya, kita lihat bagaimana dalam ayat ini, Allah tidak sebut ‘solat’ tapi Allah sebut ‘iman’ mereka. Ini menunjukkan bahawa Allah menggunakan kalimah ‘iman’ untuk ‘solat’.

Ini mengajar kita kepentingan solat itu sampai disamakan dengan iman. Iman itu duduknya di dalam hati dan begitu juga solat itu sendiri. Ianya bukan amalan badan sahaja, tapi kena ada amalan hati juga. Ada orang yang solat secara fizikal, tapi mereka tidak ada ruh solat dalam hati mereka. Mereka tidak kisah pun tentang solat pun sebenarnya tapi hendak menunjuk-nunjuk sahaja.

Ini juga menunjukkan kepada kita yang iman itu bukan di hati dan akal sahaja, tapi kena ditunjukkan dengan perbuatan solat. Oleh itu, kalau orang yang tidak solat, maknanya ada masalah dengan hati dan iman mereka. Janganlah mengaku beriman dan hati itu baik kalau solat pun tidak dikerjakan dan diambil perhatian.

Imam ash-Shawkani mengatakan Allah menegur mereka yang tidak menjaga solat mereka:
– Ada yang kadang solat dan kadang tidak. Ikut suka mereka sahaja. 
– Ada yang tidak menjaga syarat-syarat dan kewajiban dalam mengerjakan solat.
– Ada pula yang solat seperti ayam mematuk makanan di tanah. Mereka solat tapi solat dengan laju dan tidak menjaga tumakninah.
– Ada yang melengahkan solat dan hanya melakukannya di hujung-hujung waktu. Ini adalah kerana mereka tidak mementingkan solat sangat. Mereka solat itu seolah-olah mereka terpaksa melakukannya. Mereka tidak merasa kemanisan solat itu.

Begitu banyak sekali kesalahan-kesalahan yang disebut dalam pendapat ini. Kalau melakukan salah satu darinya, sudah dikira sebagai ساهونَ.

Ini amat menakutkan sekali. Kerana kita pun melakukan solat juga, bukan? Tapi bagaimana sikap kita terhadap solat? Kita selalunya tidak menjaga waktu solat kita. Sedangkan Allah telah berfirman dalam Nisa’:103

إِنَّ الصَّلاةَ كانَت عَلَى المُؤمِنينَ كِتابًا مَوقوتًا

Sesungguhnya solat itu adalah fardhu yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman.

Jadi kita sepatutnya jaga waktu solat. Kena solat dalam waktunya dan kena cari waktu yang afdhal. Kalau kita buat di akhir waktu, ditakuti kita akan tergesa-gesa dalam solat itu sampaikan tidak sempurna solat kita. Ini selalu terjadi kerana kita lebih mementingkan perkara lain dari solat kita. Kita sanggup buat kerja lain dulu, sampai waktu solat pula yang tergadai. Sepatutnya sebagai seorang muslim, kenalah jaga waktu solat kita. Perkara-perkara lain yang kena diubah supaya bersesuaian dengan waktu solat. Bukannya solat yang kena ubah kerana nak sesuaikan dengan perkara-perkara keduniaan yang lain.

Dalam ayat ini, Allah menggunakan kalimah عَن صَلاتِهِم (berkenaan/tentang solat mereka). Maknanya yang dikutuk adalah lalai berkenaan solat. Alhamdulillah, Allah tidak sebut في صَلاتِهِم (‘dalam’ solat). Ini adalah rahmat dari Allah. Kerana kalau yang dikutuk adalah mereka yang lalai ‘dalam’ solat, kita semua akan ada masalah! Kerana kita semua tentunya kadang-kadang ada masalah dengan solat kita – selalunya kita tidak khusyuk. Kadang-kadang kita terlupa berapa rakaat, berapa sajdah kita dah buat, kita terfikir tentang kerja, tentang makan dan macam-macam lagi.

Alhamdulillah, yang Allah kutuk adalah mereka yang lalai عَن صَلاتِهِم berkenaan solat mereka. Iaitu perkara-perkara yang di luar solat. Antaranya seperti yang kita sebut, tidak menjaga kepentingan solat. Ada yang tidak kisah samada mereka solat atau tidak – orang jenis begini yang dikutuk. Mereka lebih pentingkan perkara lain seperti yang Allah sebut dalam Jumu’a:11

وَإِذا رَأَوا تِجارَةً أَو لَهوًا انفَضّوا إِلَيها وَتَرَكوكَ قائِمًا

Dan apabila mereka melihat perniagaan atau permainan, mereka bubar untuk menuju kepadanya dan mereka tinggalkan kamu sedang berdiri

Inilah dua perkara yang selalu menyebabkan kita lalai dari solat kita: perniagaan dan permainan (hiburan). Maka kita kena berhati-hati dengan keduanya. Jangan sampai kerja kita di pejabat, hiburan di TV dan permainan dengan anak-anak melalaikan kita dalam mengerjakan solat.

Jadi kita sudah faham apakah yang dimaksudkan dengan ‘lalai’ tentang solat itu – bukanlah kerana tidak khusyuk. Tapi ini tidaklah mengatakan tidak penting khusyuk itu. Kita tetap kena jaga khusyuk dalam solat kerana ini adalah tuntutan. Kita kena cuba untuk mendapatkan khusyuk, tapi kita pun tahu yang kita tidak dapat menjaganya sentiasa. Oleh itu, kalau tidak khusyuk, tidaklah sampai Allah mencelakakan kita.


Ayat 6: Mereka melakukan ibadat itu bukan kerana nak ingat sebenar kepada Allah, tapi kerana hendak menunjuk-nunjuk sahaja.

الَّذينَ هُم يُراءونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those who make show [of their deeds]

(MALAY)

orang-orang yang berbuat riya,

Mereka melakukan amal ibadat itu kerana hendak beri orang nampak sahaja.

Allah amat marah kepada mereka sampaikan ada tiga penekanan dalam ayat ini. Dimanakah penekanan itu?
1. الَّذينَ (mereka yang) – ini sudah dalam bentuk jamak
2. هُم (mereka) – ini ditambah sebagai penekanan. Kalau nak dikira, kalimah الَّذينَ sudah membawa maksud ‘mereka’ dah.
3. يُراءونَ (mereka hendak menunjuk-nunjuk) – sebenarnya kalau digunakan kalimah ini pun sudah cukup sebenarnya, kerana ia sudah membawa maksud mereka dah, tapi Allah tetap tambah dengan kalimah الَّذينَ dan هُم. Dari segi balaghah, Allah memberi penekanan itu kerana hendak menunjukkan murkaNya. Kerana banyak sekali kesalahan dan dosa mereka.

Solat mereka itu untuk ditunjukkan kepada orang sahaja. Mereka tidak ikhlas dalam solat mereka. Kalau orang lain nampak mereka solat, solat mereka molek waktu itu – kemas sahaja, baca surah pun khusyuk sahaja, sujud dan rukuk pun lama sahaja. Kalau tidak ada orang, mereka akan solat dengan cincai sahaja. Begitulah kalau kita nak tahu kalau kita ini ikhlas dalam solat atau tidak – tengok cara kita solat depan orang dan kalau orang tidak lihat kita solat – kalau ada beza, maka ada masalah dengan keikhlasan kita.

Semua ini kerana mereka tidak kisah dengan solat mereka – mereka lalai, tidak kisah kalau mereka solat atau tidak, selalu melewat-lewatkan solat. Kerana hati mereka begitu, maka mereka hanya solat, atau solat dengan baik hanya kalau orang nampak mereka sedang solat.

Orang yang tidak jaga solat mereka akan susah untuk solat, terutama sekali Solat Subuh. Kerana susah untuk bangun dari tidur yang memang sedap. Dan untuk bangun solat waktu itu memerlukan kekuatan dan kekuatan itu hanya ada kalau dia sedar kepentingan solat. Setiap kali kita nak bangun, kita akan timbang, mana yang lebih kita hargai: solat kita atau tidur kita? Kalau kita tidak pandang tinggi solat itu, maka tidurlah yang akan menang (dan syaitan juga yang menang). Oleh itu, kena sedar kepentingan solat. Dan kedua, jangan tidur lewat. Jangan buang masa waktu malam dengan main game, membaca, tengok filem tengok tv dan bersembang tidak tentu pasal. Kalau tidak ada hal penting, selepas isyak dalam pukul 10 sahaja, teruslah tidur. Dan ketahuilah kepentingan Solat Subuh itu. Allah telah berfirman dalam Isra’:78

إِنَّ قُرآنَ الفَجرِ كانَ مَشهودًا

Sesungguhnya solat subuh itu disaksikan

Allah beritahu yang Solat Subuh itu disaksikan. Maksudnya disaksikan oleh malaikat dan juga Allah. Maka ada nilai tambahan pada Solat Subuh itu, maka janganlah kita ambil ringan tentangnya. Semoga Allah menyelamatkan kita dari jadi orang yang ساهونَ dalam solat, ameen.

Kalimah يُراءونَ dari katadasar ر ء و yang bermaksud ‘melihat’. Kalau يُراءونَ pula di dalam wazan مفاعل iaitu menunjukkan ada usaha di dalamnya. Maka, kalimah يُراءونَ bermaksud mereka itu berusaha supaya orang melihat solat mereka. Mereka hendak menunjuk kononnya mereka itu orang yang beriman dan kuat beramal, sedangkan mereka itu tidak. Allah sedang membuka pekung Quraish Mekah itu. Mereka solat itu hanya untuk dilihat oleh puak Arab yang lain supaya mereka dihormati sebagai penjaga Ka’bah. Kerana mereka itu penjaga Ka’bah, takkan tak solat pula? Begitulah dalam hati mereka dan Allah buka apa yang ada dalam hati mereka dalam ayat ini.

Tapi bukan sahaja Quraish Mekah yang dikutuk dalam ayat ini, tapi termasuk juga sesiapa yang menunjuk-nunjuk dalam solat mereka. Antara yang termasuk adalah golongan munafik, dari dulu sampailah sekarang. Ini disebut dalam Nisa:142

إِنَّ المُنافِقينَ يُخادِعونَ اللَّهَ وَهُوَ خادِعُهُم وَإِذا قاموا إِلَى الصَّلاةِ قاموا كُسالىٰ يُراءونَ النّاسَ وَلا يَذكُرونَ اللَّهَ إِلّا قَليلًا

Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk solat mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riya’ (dengan solat) di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali.

Maka kita kena jaga hati kita dari ada perasaan riak menunjuk-nunjuk amalan ibadat kita kepada orang lain. Sebagai nasihat, kalau kita solat, janganlah menunjuk kecuali kalau terpaksa kerana solat jemaah. Jadi solat sunat kita buatlah supaya orang lain tidak nampak. Kerana itulah sunnah solat sunat selepas solat fardhu itu sebenarnya dilakukan di rumah sahaja, bukan di masjid.

Perasaan riak adalah amat bahaya sekali. Ini adalah salah satu dari penyakit hati (sifat mazmumah). Ini termasuk dalam shirk khafi (syirik tersembunyi) kerana kita mengharapkan orang nampak amalan ibadat kita. Sepatutnya kita mahu Allah sahaja nampak amalan kita, bukan nak menunjuk depan orang.


Ayat 7: Akhir sekali disebut satu lagi sifat buruk mereka: mereka menegah benda yang tidak patut ditegah. Ini adalah kerana mereka kedekut sangat.

وَيَمنَعونَ الماعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And withhold [simple] assistance.

(MALAY)

dan enggan (menolong dengan) barang berguna.

Ayat ini berkait dengan ayat 3 dari segi konteksnya. Asal surah ini berkenaan kesalahan terhadap manusia, kemudian disebut tentang kesalahan dengan Allah (tentang solat) dan sekarang kembali kepada kesalahan terhadap manusia pula. Begitulah terkaitnya antara kesalahan terhadap manusia dan terhadap Allah. Manusia ada yang membezakan antara dua perkara ini tapi ingatlah yang ianya berkait rapat. Itulah sebabnya Allah susun begitu dalam surah ini sebagai isyarat yang ianya rapat antara satu sama lain. Kerana keliru perkara ini, ada orang kata mereka baik, suka memberi dan menolong kepada orang lain, tapi mereka tidak solat dan jaga ibadat lain; ada pula yang jaga solat, tapi tidak baik kepada orang lain, menindas, menzalimi dan sebagainya; ini adalah pembahagian yang salah, maka Allah ingatkan dengan kaitkan kedua-dua perkara ini dalam surah ini.

Ingatlah yang kita kena berbuat baik kepada manusia dan juga kepada Allah – tidak boleh tinggalkan salah satu darinya. Kena ada keseimbangan antara hubungan dengan manusia dan hubungan dengan Allah.

Jadi, mereka menghalang الماعونَ. Apakah ia? Ia adalah sesuatu yang kecil tidak bernilai besar, yang kalau hilang atau diberikan pun, ia tidak akan menyusahkan kita. Kerana itu ada para sahabat dan ulama yang mengatakan yang ianya merujuk kepada Zakat (kerana ia hanya 2.5% dari harta kita pada tahun itu). Ianya tidak banyak kalau dibandingkan dengan harta kita yang lain.

Ianya juga boleh merujuk kepada benda yang kecil seperti timba, pen dan sebagainya yang kalau kita hilang benda itu pun tidaklah kita susah hati sangat. Ia adalah perkara yang kita tidak patut kedekut pun – contohnya air, kalau ada orang minta, kita patutnya senang sahaja untuk beri. Kerana ianya sangat murah dan tidak menyusahkan kita. Takkan dengan air pun kita kedekut, bukan?

Tapi mereka yang berperangai buruk itu amat kedekut sampaikan benda macam itu pun mereka nak kedekut. Mereka tidak menghargai senyuman mereka yang dapat benda-benda itu kalau diberikan kepada mereka. Otak mereka yang teruk itu fikir, “kenapa aku perlu bagi kepada orang itu, itu barang aku!”. Ini adalah sifat dari hati yang buruk dan keras sekali. Fikiran mereka amat rendah. Janganlah kita jadi begini. Hendaklah kita bermurah hati dan menolong orang lain dan cari peluang untuk membantu orang lain dengan apa cara yang kita boleh berikan, tidak kira berapa kecil pun pemberian itu.

Orang yang teruk adalah mereka yang keras hati mereka dari menolong orang lain. Tapi bagaimana hendak mendapat hati yang lembut? Kita kena biasakan untuk:

  • solat (menjaga hubungan dengan Allah)
  • biasakan memberi kepada orang lain (menjaga hubungan dengan manusia)

Kita kena timbangkan iman kita dengan dua perkara ini. Kalau ada kekurangan di dalam salah satunya (terutama sekali solat), maka kita kena ubah diri kita. Contohnya kalau kita ada masalah dengan solat, kita kena usaha untuk memperbaiki solat kita. Kalau kita ada masalah dengan hubungan kita dengan anak  yatim, kita juga kena perbaiki diri kita dalam hal itu. Kita kena cari anak yatim untuk membantu mereka.

Banyak lagi perkara dalam agama yang kita kena buat. tapi yang disebut dalam surah ini adalah perkara-perkara kecil sahaja dulu. Kena usaha supaya kita selesai perkara itu kerana amat besar masalah kalau benda kecil macam ini pun tidak boleh buat.

Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke surah seterusnya, Surah al-Kawthar.


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 107: al-Ma'un. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s