Tafsir Surah Quraish (Nikmat kepada Puak Quraish)

Pengenalan:

Seperti yang kita sudah tahu, tanah Mekah itu dari segi tumbuhan tidak ada apa tapi Allah beri kelebihan kepada penduduk Mekah itu kerana mereka ada Ka’bah.

Ada beberapa kaitan antara surah ini dan surah sebelumnya, Surah Feel. Terutama sekali pada ayat terakhir surah ini: الَّذي أَطعَمَهُم مِن جوعٍ وَآمَنَهُم مِن خَوفٍ [Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan.] Ini adalah ayat utama surah ini. Allah telah memberi mereka: آمَنَهُم مِن خَوفٍ [keselamatan dari takut]. Keselamatan dari ketakutan ini telah disentuh dalam Surah Feel. Jadi ada perkaitan yang amat rapat antara dua surah ini. Sampaikan ada riwayat yang mengatakan bagaimana Saidina Umar membaca Surah Feel dan Quraish di dalam satu rakaat tanpa meletakkan bismillah antara keduanya. Ini adalah kerana walaupun dua surah itu memang surah yang berlainan, tapi ia amat rapat antara satu sama lain.

Pemberian dari Allah ada dua jenis utama:

  1. Menjauhkan dari bahaya, menyelesaikan masalah. Ini telah disentuh dalam Surah Feel.
  2. Memberi pemberian yang diperlukan oleh manusia. Dan inilah yang disentuh dalam Surah Quraish ini.

Apabila kita sedar dan menghargai pemberian-pemberian dari Allah dalam dua jenis di atas, kita akan jadi rela untuk menjadi hambaNya dan menunjukkan kesyukuran kita. Inilah juga yang kita lakukan dalam Surah Fatihah apabila kita sebut الحَمدُ لِلَّهِ رَبِّ العالَمينَ – dinama kita mengucap syukur kepada Allah dan kita mengaku yang Allah itu adalah Rabb kita. Ianya adalah tindakan yang natural sahaja, tidak perlu dipaksa sebenarnya. Tapi ada manusia yang ada masalah dengan perkara ini kerana mereka tidak dapat terima yang mereka itu hamba sahaja. Tapi Allah ingatkan kepada Quraish tentang nikmat-nikmat yang telah diberikan kepada mereka, maka Allah ingatkan mereka, kenalah menghambakan diri kepadaNya: فَليَعبُدوا رَبَّ هٰذَا البَيتِ [Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan Pemilik rumah ini (Ka’bah).]

Salah satu tempat yang Quraish pergi berniaga adalah di Yaman. Kalaulah Abrahah berjaya menghancurkan Ka’bah, tentulah Quraish sudah tidak dapat pergi ke sana lagi. Pertama kerana Ka’bah telah dimusnahkan dan kedua, tentu Abrahah tidak membenarkan mereka pergi ke sana lagi kerana dia tidak suka kepada Quraish Mekah.

Tetapi kerana Ka’bah masih tegak berdiri, Quraish bebas mengembara dalam rihlah perniagaan mereka kerana puak-puak Arab yang lain takut untuk menyerang mereka kerana mereka dihormati sebagai penjaga Ka’bah dan kerana mereka takut berhala-berhala mereka yang berada di Ka’bah itu akan diapa-apakan pula oleh Quraish. Kita telah bincangkan perkara ini di dalam Surah al-Feel.

Keselamatan dan nikmat yang diberikan oleh Allah kepada Quraish ini adalah kerana doa Nabi Ibrahim a.s. seperti yang disebut dalam Baqarah:126

وَإِذ قالَ إِبراهيمُ رَبِّ اجعَل هٰذا بَلَدًا آمِنًا وَارزُق أَهلَهُ مِنَ الثَّمَراتِ مَن آمَنَ مِنهُم بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ ۖ قالَ وَمَن كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُ قَليلًا ثُمَّ أَضطَرُّهُ إِلىٰ عَذابِ النّارِ ۖ وَبِئسَ المَصيرُ

Dan (ingatlah), ketika Ibrahim berdoa: “Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari buah-buahan kepada penduduknya yang beriman diantara mereka kepada Allah dan hari kemudian. Allah berfirman: “Dan kepada orang yang kafirpun Aku beri kesenangan sementara, kemudian Aku paksa ia menjalani siksa neraka dan itulah seburuk-buruk tempat kembali”.

Dalam ayat ini, kedua-dua perkara utama itu telah diminta oleh Nabi Ibrahim a.s.
1. بَلَدًا آمِنًا (negeri yang aman)
2. وَارزُق أَهلَهُ (berilah rezeki kepada ahlinya)

Seperti yang kita telah sebut sebelum ini dalam Surah Feel, dua-dua perkara ini diperlukan untuk satu-satu tamadun dan negara itu maju. Dan Allah telah sentuh tentang keselamatan dalam Surah Feel dan sekarang dalam Surah Quraish ini disentuh tentang rezeki.


 

Ayat 1:

لِإيلافِ قُرَيشٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Quraysh: (The tribe of) Quraysh.

For the accustomed security of the Quraysh¹ –

  • i.e., the honor and reputation Allāh had given them as guardians of the Holy Ka‘bah, which allowed them to travel without fear of being harmed.

(MALAY)

Kerana kebiasaan orang-orang Quraisy,

 

ل – untuk

إيلافِ – ambil dari kalimah asal أ ل ف yang bermaksud mempunyai hati yang lembut terhadap seseorang.  Dari katadasar yang sama, ada digunakan kalimah أَلَّفَ dalam Ali Imran:103

وَاذكُروا نِعمَتَ اللَّهِ عَلَيكُم إِذ كُنتُم أَعداءً فَأَلَّفَ بَينَ قُلوبِكُم فَأَصبَحتُم بِنِعمَتِهِ إِخوانًا

dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara;

Allah mempersatukan hati-hati mereka dengan memasukkan rasa kasih hati antara mereka. Ini adalah tentang Arab Madinah yang akhirnya digelar sebagai golongan Ansar. Asalnya mereka itu bermusuhan akan tetapi apabila Allah memberikan kasih antara mereka, maka tidaklah ada permusuhan lagi dan mereka telah bersatu hati menyokong Rasulullah dalam perjuangan baginda.

Dalam surah Ali Imran itu, digunakan kalimah أَلَّفَ sedangkan di dalam Surah Quraish digunakan kalimah إيلافِ. Kalimah إيلافِ tidak sama dengan أَلَّفَ kerana أَلَّفَ mengambil masa yang lama sedangkan kalau إيلافِ, ianya berlaku serta merta. Tidaklah suku Aus dan Khazraj itu terus menyayangi antara satu sama lain sebaik sahaja mereka mengucap syahadah kerana mereka telah lama bermusuhan dan berperang. Tentunya mengambil masa untuk mereka berbaik.

Akan tetapi, untuk Quraish, mereka tidak memerlukan masa yang lama untuk lembut hati mereka. Kerana apa yang Allah telah berikan kepada mereka itu amat banyak sekali. Antara yang sudah disebut dalam Surah Feel adalah mereka diselamatkan dari Tentera Abrahah. Itu adalah satu nikmat yang amat besar yang Allah berikan khusus kepada mereka. Tidak ada alasan untuk mereka tidak kembali kepada Allah. Bayangkan kalau kita dapat sesuatu nikmat yang kita amat suka, kita akan terus bersyukur. Sampaikan kalau orang tidak kuat agama pun secara otomatik akan berkata: “Thank God!”.

Sekarang kita kembali membincang tentang ل – untuk. Ulama bincang panjang tentang perkara ini. Ada perbezaan pendapat tentang apakah maksudnya kalimah ل ini.

  1. Pendapat pertama mengaitkan ل ini terus dengan kisah dari Surah Feel. Allah memusnahkan Tentera Abrahah itu itu sebagai nikmat untuk mereka yang tinggal berdekatan Ka’bah itu. Sepatutnya segala apa yang Allah sebut dalam Surah Feel itu menjadikan hati puak Quraish itu jadi lembut. Kejadian itu sepatutnya menyebabkan mereka berusaha untuk mencari kebenaran, supaya mereka kembali kepada ajaran Nabi Ibrahim a.s.
  2. Pendapat yang kedua mengatakan bahawa Allah hendak menakjubkan Rasulullah; jadi ل dalam ayat ini adalah ‘lam ta’jub‘:
    1. lihatlah bagaimana Allah masih lagi boleh melembutkan hati golongan Quraish itu walaupun mereka telah lama bergelumang dalam dosa syirik (dan dosa-dosa lain seperti bunuh anak perempuan dan banyak lagi). Allah masih lagi beri peluang kepada mereka. Bayangkan teruk sekali mereka itu sampaikan mereka sanggup meletak berhala di sekeliling Ka’bah itu. Ini adalah kerana Sifat Rahmat Allah yang amat besar. Menakjubkan sekali Rahmat Allah itu – walaupun mereka dah buat dosa-dosa yang teruk dan banyak, Allah masih lagi mahu melembutkan hati mereka.
    2. juga bermaksud, amat menakjubkan sekali Quraish itu. Walaupun Allah dah beri banyak nikmat kepada mereka, mereka masih lagi tidak kembali kepada agama tauhid yang benar.
  3. Ada pula yang mengatakan, ayat ini tidak ada kaitan dengan surah sebelum ini. Mereka mengatakan ل dalam ayat ini adalah hendak memberitahu tujuan Allah memberikan nikmat-nikmat yang disebut dalam ayat ini kepada mereka adalah supaya mereka bersyukur kepada Allah.

Dan hati Quraish itu memang telah patut lembut terhadap Ka’bah itu. Nabi Ibrahim sudah berdoa kepada Allah supaya Allah lembutkan hati manusia terhadap Ka’bah itu. Ini disebut dalam Ibrahim:37

رَبَّنا إِنّي أَسكَنتُ مِن ذُرِّيَّتي بِوادٍ غَيرِ ذي زَرعٍ عِندَ بَيتِكَ المُحَرَّمِ رَبَّنا لِيُقيمُوا الصَّلاةَ فَاجعَل أَفئِدَةً مِنَ النّاسِ تَهوي إِلَيهِم وَارزُقهُم مِنَ الثَّمَراتِ لَعَلَّهُم يَشكُرونَ

Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan beri rezekilah mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.

Nabi Ibrahim a.s. telah berdoa kepada Allah untuk menjadikan manusia lembut hati kepada Ka’bah dan mereka yang tinggal berdekatan dengannya. Dan kita pun tahu bagaimana orang Islam memang lembut hati mereka terhadap Ka’bah itu dan hormat kepada mereka yang tinggal di Mekah.

Kalau orang lain pun sudah lembut hati terhadap Ka’bah dan mereka yang tinggal berdekatannya dengannya, mereka yang menjaga Ka’bah itu sendiri sepatutnya lebih lagilah lembut terhadap Ka’bah itu. Mereka kenalah menjaganya dengan baik sekali. Dan kerana itulah Allah telah memudahkan hidup mereka, supaya mereka dapat beribadat kepada Allah dan menjaga Ka’bah dan tidak perlu risau sangat tentang mencari rezeki. Dan Allah telah memudahkan sangat hidup mereka, dalam penduduk di tempat lain hidup dalam kesusahan, penduduk Mekah hidup dalam kesenangan. In iadalah kerana Allah nak biarkan mereka hidup senang dan boleh tumpukan perhatian buat ibadat dan jaga Ka’bah sahaja.

Quraish itu walaupun tinggal di tempat yang tidak ada tumbuh-tumbuhan dan sumber ekonomi (minyak belum dijumpai lagi), tapi kehidupan mereka itu mewah sahaja. Kerana ramai yang datang berniaga ke Mekah kerana melawat Ka’bah. Dan mereka akan bawa berbagai jenis makanan dan buah-buahan. Sampaikan penduduk Mekah itu walaupun mereka tidak pergi ke mana-mana pun, mereka tidak akan kebuluran. Tapi Quraish masih juga lagi menyibukkan diri mereka dengan perniagaan. Ini kerana ada orang yang dah kaya pun masih lagi nak kaya lagi banyak dan mereka sibuk menggunakan harta mereka.

Begitulah manusia ini, ramai yang masih rasa tidak cukup dengan apa yang ada. Akan tetapi, ada juga orang yang dah rasa cukup, mereka akan gunakan masa untuk buat ibadat. Sebagai contoh, ada orang yang boleh buat duit banyak, tapi mereka tidak sibuk mencari harta kerana mereka rasa cukup dengan apa yang mereka ada. Mereka tahu kalau mereka sibuk kejar harta, mereka akan kurang masa untuk beribadat kepada Allah. Maka mereka kerja setakat cukup sahaja, dan masa luang mereka gunakan untuk belajar, untuk beribadat dan untuk bersama dengan keluarga mereka. Lihatlah, kalau seseorang itu banyak habiskan masa mencari duit, ketahuilah yang selalunya keluarga mereka yang jadi mangsa. Ini perkara yang kita biasa lihat. Mereka kata mereka nak luangkan masa dengan keluarga tapi mereka tak buat pun. Ini adalah kerana mereka sibuk nak cari duit. Anak-anak pun tidak rapat dengan mereka. Dan lihatlah nanti bila dah tua, anak-anak pun taknak bercakap dengan mereka dah. Waktu itulah mereka akan mengadu dengan orang lain (dengan ustaz) yang anak-anak mereka tidak hormatkan mereka. Padahal, masalah itu dimulai oleh mereka.

Oleh itu, Puak Quraish itu sebenarnya sudah cukup duit dah, segala keperluan mereka sudah ada. Mereka sepatutnya tidak menghabiskan masa mereka untuk menambah kekayaan dunia. Mereka sepatutnya meluangkan banyak masa mereka untuk melembutkan hati mereka dan mendekatkan diri mereka kepada Allah.

قُرَيشٍ – dari تقرّش yang bermaksud mengumpulkan orang dari banyak tempat. Ini berasal dari kisah seorang lelaki yang bernama al Muj’im yang mengumpulkan manusia yang duduk berpisah di padang pasir untuk tinggal di Mekah (ini disebut dalam Surah al Feel).

Pendapat yang kedua mengatakan قرش bermaksud binatang besar di laut seperti ikan paus  atau sotong besar yang boleh merosakkan kapal di lautan. Apabila digunakan kalimah قُرَيشٍ, ianya adalah versi kecil dari binatang yang dimaksudkan itu. Sebagai contoh, hasan yang kecil dipanggil husain. Kalimah ini dikatakan untuk memberi isyarat kepada kedudukan puak Quraish yang kuat.

Itu adalah sebahagian dari pendapat-pendapat yang mengkaji dari manakah datangnya perkataan قُرَيشٍ itu. Allahu a’lam.

Ada kebenarannya kerana selepas Tentera Abrahah dimusnahkan kerana hendak menyerang Ka’bah, ianya menguatkan lagi kedudukan Quraish di mata orang Arab. Ia meneruskan kedudukan Quraish sebagai kuasa ekonomi di Tanah Arab dan meneruskan kedudukan mereka yang tinggi di mata orang Arab. Orang Arab melihat peristiwa kebinasaan Abrahah dan tenteranya itu sebagai dalil bahawa Allah melindungi Quraish dan tempat mereka dari ancaman musuh. Kalau sebelum itu ada yang tidak berapa percaya dengan kedudukan Quraish, maka kejadian pada Tahun Gajah itu telah menjadi ‘dalil’ bagi mereka.

Dan sepatutnya dengan pertolongan Allah itu, sepatutnya menjadikan Quraish lembut hatinya terhadap Allah. Allah telah memuliakan mereka sebagai penjaga Ka’bah yang mulia itu. Mereka sepatutnya menjadi pemudah bagi manusia lain untuk menyembah Allah dengan cara yang betul. Tapi ini tidak mereka lakukan. Dan Allah murka kepada mereka. Lihatlah bagaimana dalam ayat ini, Allah menyebut tentang Quraish itu dalam kataganti ketiga (ghaibah). Ini memberi isyarat yang Allah murka dengan mereka. Ia adalah tindakan menjauhkan diri dari mereka (tab’eed) kerana mereka pun mendengar juga, tapi tak cakap terus dengan mereka. Bayangkan kalau kita bercakap tentang seseorang yang ada di situ, tapi kita bercakap dengan orang lain, tak cakap pun dengan orang itu. Tentu kita sendiri sudah dapat rasa yang orang yang bercakap itu tidak suka, bukan? Dalam ayat ini, Allah bercakap dengan Rasulullah, ‘tentang’ Quraish yang tentunya sedang mendengar, bukan?


 

Ayat 2: Inilah kebiasaan mereka. mereka tidak diganggu semasa perjalanan perniagaan mereka itu. kerana ka’bah.

إيلافِهِم رِحلَةَ الشِّتاءِ وَالصَّيفِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Their accustomed security [in] the caravan of winter and summer¹–

  • i.e., the trading caravans that traveled south in winter and north in summer.

(MALAY)

(yaitu) kebiasaan mereka bepergian pada musim dingin dan musim panas.

 

Ada pengulangan kalimah إيلافِ dalam ayat ini – kenapa? Kerana hendak menekankan (taukid) kalimah itu. Begitulah penggunaan ulangan dalam bahasa Arab klasik. Allah hendak menekankan perkara yang Allah telah lakukan untuk melembutkan hati mereka. Apa yang Allah telah lakukan? Antara yang kita tahu:

  • Allah memusnahkan Tentera Abrahah
  • Allah berikan mereka Ka’bah dan mereka diberi kelebihan sebagai penjaganya
  • Mereka keturunan Nabi Ibrahim a.s.
  • Allah bangkitkan Rasul terakhir Nabi Muhammad SAW dari kalangan mereka.

إيلافِ dalam ayat pertama adalah dalam bentuk umum, dan إيلافِ yang kedua dalam ayat ini adalah spesifik. Kalau إيلافِ yang dalam bentuk umum itu tidak melembutkan hati mereka lagi, maka Allah akan sebut إيلافِ yang seterusnya yang sepatutnya pasti melembutkan hati mereka. Jadi Allah sebut tentang kafilah mereka yang pergi berniaga ke luar kawasan mereka. Itulah رِحلَةَ dan ianya dalam bentuk mansub kerana ianya menjelaskan apakah yang diberikan kepada mereka.

Kenapa Allah gunakan kalimah رِحلَةَ untuk perjalanan mereka? Ada beberapa kalimah lagi yang boleh digunakan seperti: Why did Allah mention Rihla for travel?

Safar سفر – untuk perjalanan yang jauh.
Saaha ساحة (i.e. siyahah) – untuk perjalanan jalan-jalan seperti melancung.
Nafara نفر – perjalanan untuk berperang.

Allah menggunakan kalimah yang tepat dalam Qur’an. Kalimah رِحلَةَ bermaksud perjalanan yang membawa barang seperti beg. Oleh kerana mereka pergi untuk berniaga, maka mereka membawa banyak muatan untuk perdagangan mereka. Sebab itu رِحلَةَ amat sesuai digunakan dalam ayat ini kerana hendak memperkatakan perjalanan perdagangan mereka.

Tentunya mereka akan bergerak dengan unta mereka sebagai binatang tunggangan. Dan mereka akan letak barang dagangan mereka di atas unta mereka itu. Unta bukan ada bonet untuk sorok barang itu, maka orang lain boleh nampak dari jauh yang mereka sedang bawa barang. Akan tetapi, tidak ada yang berani merompak mereka. Kalau orang lain yang bawa begitu, tentu mereka tidak selamat. Tapi Allah hendak mengingatkan mereka, walaupun kamu bawa barang yang boleh dinampak oleh orang, kamu masih selamat lagi.

Dan dalam perjalanan mereka itu, mereka boleh berhenti di mana-mana sahaja mereka hendak. Mereka boleh berhenti ambil cuti dari berniaga. Orang lain kena terus berniaga kerana mereka akan susah kalau mereka tidak berniaga. Tapi Quraish sudah memang kaya dan tidak memerlukan pun perniagaan itu. Kalau mereka tidak berniaga pun, mereka sudah senang lenang duduk di Mekah, kerana makan dan pakai mereka sudah cukup.

Kebiasaan mereka adalah berdagang ke Syria dan Yaman. Mereka akan tukar pada satu ke Busra dan satu lagi ke Yaman. Mereka amat suka ke dua tempat itu sampaikan mereka buat puisi tentangnya. Dalam musim sejuk, mereka akan pergi ke Yaman kerana Yaman panas pada waktu itu dan pada musim panas, mereka akan ke Syria kerana Syria lebih sejuk waktu itu. Mereka siap boleh pilih-pilih mana tempat mereka hendak pergi – ini adalah satu nikmat yang amat besar sekali.

Kalimah رِحلَةَ dalam bentuk mufrad (satu) walaupun sebenarnya perjalanan Quraish itu ke dua tempat (satu pada musim sejuk dan satu lagi pada musim panas). Tapi disebut dalam bentuk mufrad sahaja kerana seolah-olah ianya satu perjalanan yang panjang. Mereka akan pergi ke Yaman, kemudian berhenti dan luangkan masa sekejap di Mekah dan kemudian sambung perjalanan ke Syria. Ianya seperti satu perjalanan yang panjang.

Allah sebut الشِّتاءِ (musim sejuk) sebelum sebut الصَّيفِ (musim panas) dan ini adalah penting. Ini adalah kerana musim sejuk dikaitkan dengan kekurangan makanan kerana waktu itu tumbuhan tidak berbuah dan masa menuai adalah pada musim panas. Allah sebut tentang musim sejuk yang dikaitkan dengan kekurangan makanan kerana mereka masih tetap dapat makanan pada musim sejuk dan ini adalah hebat dan ianya adalah kerana rahmat dari Allah.

Musim panas pula adalah waktu yang bahaya kerana pada waktu itu perompak jalanan akan menahan dan merompak kafilah yang sedang berdagang. Ini adalah kerana mereka akan tetap di tempat mereka pada musim sejuk dan hanya keluar pada musim panas.

Oleh itu, musim sejuk adalah masalah makanan/ekonomi dan musim panas adalah masalah keselamatan. Allah sebut tentang ekonomi/makanan sebelum masalah keselamatan kerana surah ini berkenaan dengan ekonomi yang mereka dapat.


 

Ayat 3: Maka kerana kelebihan yang Allah berikan itu, maka hendaklah mereka mentauhidkan Allah.

فَليَعبُدوا رَبَّ هٰذَا البَيتِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Let them worship the Lord of this House,¹

  • i.e., the Ka‘bah.

(MALAY)

Maka hendaklah mereka menghambakan diri kepada Tuhan Pemilik rumah ini (Ka’bah).

 

Nikmat yang Allah berikan tidak boleh dihitung sebenarnya. Kalau mereka tidak nampak kelebihan-kelebihan lain yang banyak Allah telah berikan, maka sekurang-kurangnya, mereka sembahlah Allah sahaja kerana nikmat yang amat jelas ini – nikmat mereka hidup dengan senang. Nikmat itu amat jelas sekali yang tidak diberikan pada orang lain sewaktu dengan mereka. Dan kalau kita nak tambah lagi seperti yang telah disebut dalam Surah Feel, mereka juga hidup dengan aman dan selamat di Mekah itu, dan ini telah dibuktikan dengan pemusnahan Tentera Abrahah.

Juga ayat ini boleh bermaksud: supaya hati mereka menjadi lembut, maka hendaklah mereka menghambakan diri kepada Tuan kepada rumah ini (Ka’bah).

Kenapa Allah sebut: هٰذَا البَيتِ (Rumah ini). Ini adalah kerana rumah ibadat itu dibina oleh Nabi Ibrahim a.s. dan kerana Ka’bah itulah yang menyebabkan kedudukan mereka tinggi di mata masyarakat Arab yang lain. Kerana itulah mereka tidak diserang dalam perjalanan perdagangan mereka. Ini kerana semua orang hormat mereka dan tidak berani serang mereka. Dan kerana itulah ekonomi mereka kuat; inilah juga rumah yang Allah selamatkan dari serangan Tentera Abrahah; dan rumah inilah yang Allah telah berjanji untuk menjadikannya selamat dan diberi dengan makanan. Jadi Baitullah/Ka’bah ini amat penting dan kerana itu Allah sebut dalam ayat ini.

Maksud رَبَّ هٰذَا البَيتِ adalah Allah kerana Allah adalah Tuan kepada Ka’bah itu.

Allah boleh sahaja sebut: “maka bersyukurlah kepada Tuan rumah ini.” Tapi Allah tidak kata begitu, kenapa? Sebaliknya Allah suruh mereka menghambakan diri kepadaNya. Ini memberi makna yang amat mendalam sekali – kalau hendak mensyukuri nikmat Allah yang banyak Allah telah berikan, caranya adalah dengan menghambakan diri kepadaNya – tidak ada cara lain lagi. Maka tidaklah boleh sebut ‘alhamdulillah’ sahaja, tapi kena tunjukkan dalam perbuatan kita.

Dan kita tafsirkan kalimah فَليَعبُدوا dengan bermaksud: maka hendaklah kamu semua ‘menghambakan’ diri – bukannya: maka hendaklah kamu ‘sembah’. Ini adalah kerana maksud ‘hamba’ itu lebih besar dari maksud ‘sembah’ sahaja. Kerana ada orang yang sembah Allah tapi tidak menghambakan diri kepada Allah. Mereka mungkin puja Allah sahaja, buat ibadat seperti solat dan puasa, tapi mereka tidak menghambakan diri sepenuhnya, kerana mereka tidak ikut arahan Allah yang lain. Maka lebih sesuai kalau kita kata, kena ‘hambakan’ diri kepada Allah dan ini termasuk juga menyembah dan melakukan ibadat kepada Allah sahaja.


 

Ayat 4:

الَّذي أَطعَمَهُم مِن جوعٍ وَآمَنَهُم مِن خَوفٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who has fed them, [saving them] from hunger and made them safe, [saving them] from fear.

(MALAY)

Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan.

 

Ayat ini merujuk kepada puak Quraish yang telah diberikan dengan nikmat makanan dan keamanan dari Allah seperti yang telah disebut oleh Nabi Ibrahim a.s. dalam doa baginda.

Dari segi bahasa, apabila Allah menggunakan tanwin pada kalimah جوعٍ (lapar), ia bermaksud lapar yang sangat dan kalimah خَوفٍ (takut) bermaksud takut yang sangat. Dan cara Allah jauhkan mereka dari lapar itu adalah Allah benarkan perjalanan perdagangan mereka berdagang – dengan itu mereka dapat cari rezeki dengan banyak dan Allah selamatkan perjalanan kafilah perdagangan mereka dengan tidak diserang oleh orang lain. Allah sebut juga dalam Ankabut:67 tentang perkara ini:

أَوَلَم يَرَوا أَنّا جَعَلنا حَرَمًا آمِنًا وَيُتَخَطَّفُ النّاسُ مِن حَولِهِم ۚ أَفَبِالباطِلِ يُؤمِنونَ وَبِنِعمَةِ اللَّهِ يَكفُرونَ

Dan apakah mereka tidak memperhatikan, bahawa sesungguhnya Kami telah menjadikan (negeri mereka) tanah suci yang aman, sedang manusia sekitarnya rampok-merampok. Maka mengapa (sesudah nyata kebenaran) mereka masih percaya kepada yang bathil dan ingkar kepada nikmat Allah?

Bukan sahaja kafilah mereka selamat, tapi Mekah itu juga selamat. Bukan sahaja dari Tentera Abrahah tapi memang Mekah adalah tempat yang sentiasa aman – tempat lain banyak kejadian tidak baik, ramai yang kena rompak, kena culik dan harta mereka dicuri, tapi tidak di Mekah. Waktu itu, memang itulah kebiasaan di tempat yang lain. Kalau bermusafir, ada kemungkinan besar akan dirompak (dan perompak akan beri mereka bekalan untuk pulang ke tempat asal mereka, supaya mereka boleh terus hidup dan bermusafir supaya mereka boleh rompak lagi). Puak Quraish tidak mengalami masalah ini sama sekali. Bayangkan Mekah itu di tengah-tengah padang pasir tanpa pengadang. Senang sahaja kalau orang nak serang. Tapi Allah tetap selamatkan mereka. Mereka sendiri tidak dapat mempertahankan diri mereka, sebagai contoh, tengoklah masa Abrahah serang mereka – ramai-ramai lari naik bukit. Ini kerana mereka memang tidak ada kekuatan ketenteraan untuk mempertahankan diri mereka.

Allah sentiasa menggunakan kalimah dan susunan yang tepat dalam Qur’an. Lihatlah dalam Baqarah:155

وَلَنَبلُوَنَّكُم بِشَيءٍ مِنَ الخَوفِ وَالجوعِ وَنَقصٍ مِنَ الأَموالِ وَالأَنفُسِ وَالثَّمَراتِ

Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan.

Dalam ayat ini, Allah menyebut tentang ‘ketakutan’ sebelum disebut dugaan dalam bentuk ‘kelaparan’. Tapi dalam Surah Quraish ini, Allah sebut tentang kelaparan dulu sebelum ketakutan. Ini adalah kerana ayat Baqarah:155 itu tentang Perang Badr. Dan apabila perang, tentulah yang lebih ditakuti waktu itu adalah ketakutan hilang jiwa, bukannya takut ekonomi musnah. Tapi dalam Surah Quraish, ianya bukan tentang perang tapi tentang ekonomi yang lebih ditekankan. Maka kerana itu Allah sebut tentang kelaparan dahulu sebelum tentang keselamatan. Begitu hebat sekali susunan ayat-ayat Qur’an yang bertepatan dengan topik yang disentuh.

Dan lihatlah bagaimana Allah sebut الشِّتاءِ (musim sejuk) dahulu kerana ianya dikaitkan dengan kelaparan dan kemudian baru disebut dengan الصَّيف (musim panas) yang berkaitan dengan keselamatan. Hebat!

Tapi kenapa Allah sebut tentang ‘lapar’, bukan tentang ‘miskin’? Kenapa Allah selamatkan mereka dari lapar, bukan dari miskin? Kerana kalau kita berkata tentang ekonomi, tentulah kalimah yang berkenaan adalah kaya dan miskin, bukan? Ini juga adalah tepat kerana ianya bertepatan dengan doa Nabi Ibrahim a.s. Lihat kembali doa Nabi Ibrahim: وَارزُقهُم مِنَ الثَّمَراتِ (dan berilah rezeki kepada mereka dari buah-buahan).

Baik, kita telah banyak sebutkan tentang kelebihan yang telah diberikan kepada Quraish. Sepatutnya dengan segala nikmat yang jelas nyata itu, sepatutnya mereka menjadi hamba yang baik, lembut hati terhadap Allah, buat kebaikan di atas muka bumi ini. Tapi adakah mereka begitu? Jawapannya ada dalam surah seterusnya, Surah Ma’un.

Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Ma’un.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 106: Quraish. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s