Tafsir Surah al-Feel Ayat 3 – 5 (Hujan Batu)

Ayat 3: Bukan sahaja usaha Tentera Abrahah itu sia-sia, malah mereka sendiri dihancurkan.

وَأَرسَلَ عَلَيهِم طَيرًا أَبابيلَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And He sent against them birds in flocks,

(MALAY)

dan Dia mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong,

 

Selepas Abdul Muthalib (datuk Rasulullah) berdoa kepada Allah untuk menyelamatkan Ka’bah, dia nampak burung yang berbondong-bondong datang dari arah Yaman (yang menariknya, tentera Abrahah itu dari Yaman dan Allah hantar burung dari sana juga). Abdul Muthalib kata dia tidak pernah lihat burung jenis itu. Setiap burung bawa tiga batu, setiap satu pada kakinya dan satu lagi pada paruhnya.

Batu-batu pada burung-burung itu dilepaskan kepada tentera Abrahah itu dan apabila ia mengenai kepada mangsanya, ia menembusi kepada orang itu dan keluar dari sebelah lain. Begitulah hebatnya balingan batu itu.

Burung-burung itu dikatakan bukan satu jenis sahaja tapi campuran berjenis-jenis spesis. Ada juga yang mengatakan burung-burung itu bukan datang dari satu arah sahaja tapi dari banyak arah dan bergabung di Mekah itu. Mereka datang dengan banyak sekali. Banyaknya mereka itu sampaikan mereka menutupi cahaya matahari dan bumi Mekah waktu itu jadi gelap. Kisah yang sampai kepada keturunan zaman berzaman adalah banyak kerana orang Arab tidak ada TV, jadi pengisi masa lapang mereka adalah kisah-kisah sebegini, maka tentulah ada banyak kisah tentang kejadian ini yang disampaikan dari zaman berzaman.

Allah sampaikan kisah ini kepada kita kerana Allah mahu kita bayangkan bagaimana (كَيفَ) Allah lakukan terhadap mereka. Allah suruh kita fikirkan dan bayangkan bagaimana boleh terjadi perkara begitu kalau bukan kerana qudrat Allah? Ianya bukanlah perkara biasa kalau burung yang kecil itu dapat memusnahkan tentera bergajah yang besar itu. Bukankah gajah-gajah itu besar dan kuat dan besar? Tapi untuk hancurkan mereka, Allah أَرسَلَ (hantar) burung-burung sahaja. Ini yang Allah suruh kita fikirkan. Iaitu Allah boleh buat apa sahaja yang dikehendakinya walaupun ianya berlawanan dengan logik akal kita.

Kenapa Allah gunakan kalimah عَلَيهِم (ke atas mereka) dan bukan إليهم (kepada mereka)?  Ini adalah salah satu dari ilmu balaghah yang sepatutnya kita ketahui. Kalau Allah gunakan kalimah على, Allah hendak menunjukkan kekuasaan Allah atas makhluk dan Allah boleh buat apa sahaja ke atas mereka. Kerana itulah kalau dalam ayat yang menyebut tentang musibah dan azab, Allah akan gunakan على dan bukan إلى. Memang على dan إلى tidak sama dan kalau dalam bahasa Melayu, tak akan nampak perkara itu. Tetapi penggunaan yang berbeza ini banyak digunakan dalam Qur’an dan ini adalah sebahagian dari balaghah. Oleh itu kena belajar baru tahu. Sebagaimana yang Allah gunakan dalam Mu’minoon:77

حَتّىٰ إِذا فَتَحنا عَلَيهِم بابًا ذا عَذابٍ شَديدٍ

Hingga apabila Kami bukakan atas mereka suatu pintu tempat azab yang amat sangat

Tambahan pula, Allah hendak memberi isyarat yang Allah berada di atas langit dan azab itu dariNya.

Akan tetapi, apabila perkara yang diberi itu adalah nikmat, Allah akan gunakan kalimah إلى sebagai contoh apabila Allah berikan Rasul kepada sesuatu kaum. Seperti yang Allah gunakan dalam Ghafir:24

إِلَى فِرْعَوْنَ وَهَامَانَ وَقَارُونَ فَقَالُوا سَاحِرٌ كَذَّابٌ

kepada Fir’aun, Haman dan Qarun; maka mereka berkata: “(Ia) adalah seorang ahli sihir yang pendusta”.

Kalimah طَيرًا adalah dalam bentuk isim jamak. Ianya merujuk kepada segala jenis burung. Kalau digunakan kalimah طيور, ia bermaksud jamak juga, tapi satu jenis burung sahaja. Apabila ada tanwin pada kalimah طَيرًا, ia menambah lagi maksud bahawa ada banyak jenis burung.

Apabila digunakan kalimah أَبابيلَ, ia bermaksud burung-burung itu di dalam gerombolan yang besar. Berbondong-bondong.

Oleh itu, kalimah طَيرًا أَبابيلَ bermaksud burung-burung yang sangat banyak, berbagai jenis.

Dari apa yang kita telah belajar ini, kita dapat rasakan bagaimana surah ini adalah hadiah kepada Rasulullah. Allah telah berikan hadiah kepada baginda sebelum baginda dilahirkan lagi (Nabi lahir pada tahun gajah ini juga, tapi sebelum kejadian). Allah telah mempertahankan Kota Mekah itu, dan Allah mempertahankan Ka’bah itu dari kemusnahan. Dan begitulah nanti Allah akan memenangkan baginda ke atas Mekah itu dimana baginda akan membersihkan Ka’bah dari berhala-berhala di sekelilingnya. Kita dapat tahu yang Allah lakukan perkara ini kerana Allah sebut dalam ayat pertama: كَيفَ فَعَلَ رَبُّكَ (bagaimana ‘Tuhanmu’ telah lakukan) dimana Allah kata Tuhan’mu’ merujuk kepada baginda.

Musyrikin Mekah itu mungkin sangka yang Allah selamatkan Ka’bah itu untuk mereka tapi tidaklah Allah buat begitu kerana mereka itu tidak layak untuk mendapat kehormatan itu kerana mereka mengamalkan syirik dan kezaliman. Allah sebenarnya menyelamatkan Mekah dan Ka’bah kerana Nabi Muhammad SAW.


 

Ayat 4:

تَرميهِم بِحِجارَةٍ مِن سِجّيلٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Striking them with stones of hard clay,

(MALAY)

yang melempari mereka dengan batu dari tanah yang terbakar,

 

Burung-burung itu melontarkan batu-batu kepada tentera Abraham bergajah itu. Ini adalah cara yang Allah pilih pada kali ini. Ada dalam waktu dan tempat lain, Allah gunakan cara yang lain, seperti dalam Ahzab:9, Allah hantar angin dan para malaikat untuk memusnahkan musuhNya.

جاءَتكُم جُنودٌ فَأَرسَلنا عَلَيهِم ريحًا وَجُنودًا لَم تَرَوها

ingatlah akan nikmat Allah (yang telah dikurniakan) kepadamu ketika datang kepadamu tentera-tentera, lalu Kami kirimkan kepada mereka angin taufan dan tentera yang tidak dapat kamu melihatnya.

Kalimah تَرمي dalam تَرميهِم itu asalnya adalah dari kalimah ر م ي yang bermaksud ‘membaling’. Dalam ayat ini, kalimah تَرميهِم itu dalam bentuk present tense. Kalau Allah menggunakan kalimah present tense untuk kisah yang telah berlaku, ini menunjukkan perkara itu berlaku berulang-ulang. Maksudnya, bukan sekali sahaja batu itu dibaling kepada mereka, tapi berkali-kali. Kalau kalimah past tense رمت yang digunakan, itu memberitahu kita yang burung itu balik sekali sahaja, tapi tidak dalam perkara ini. Mereka dihujani dengan batu-batu itu berkali-kali seperti hujan.

Kalimah تَرمي juga memberi makna yang batu itu dibaling kepada mereka dari jarang yang jauh, ini bukan baling yang biasa. Burung-burung itu melepaskan batu itu dari kedudukan yang tinggi jadi daya tarikan graviti telah meningkatkan kelajuan batu-batu itu. Batu-batu itu sampai menembusi tengkorak mereka dan keluar dari sebelah lain.

Juga ia bermaksud batu itu dibaling pada individu yang tertentu – tepat kena orang yang telah ditakdirkan akan kena dengan balingan batu itu. Ini dah macam peluru berpandu yang tepat kena pada sasaran.

Mereka dibaling بِحِجارَةٍ (dengan batu). Tapi Allah tidak sebut ‘batu’ sahaja. Allah tambah: مِن سِجّيلٍ (dari Sijjeel).

Kalimah سِجّيلٍ asalnya dari bahasa Parsi yang dimasukkan ke dalam bahasa Arab. Ianya merujuk kepada batu yang terjadi dari tanah yang terbentuk kerana basah, kemudian tanah itu dibakar dengan sinaran cahaya matahari. Asalnya dari tanah sahaja, tapi benda yang asalnya lemah tapi Allah jadikan boleh menghancurkan benda yang kuat dan besar.

Ada juga yang mengatakan سِجّيلٍ itu adalah batu dari neraka.

Ibn Abbas mengatakan, apabila batu itu kena pada badan tentera Abrahah itu, tubuh mereka akan membengkak terbakar dan membusuk. Ia menjadi wabak yang teruk dan inilah kali pertama wabak sampai ke Mekah. Mereka menjadi mayat yang reput dan busuk.

Dari kisah ini kita dapat bayangkan apa yang terjadi kepada mereka. Inilah yang Allah hendak beritahu kepada kita, kerana Allah telah sebut كَيفَ (bagaimana) dalam ayat 1 dan kerana itu Allah berikan penerangan yang agak panjang untuk menjelaskannya.


 

Ayat 5:

فَجَعَلَهُم كَعَصفٍ مَأكولٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And He made them like eaten straw.¹

  • i.e., husks which have been chewed by cattle. This event took place in the year of the Prophet’s birth.

(MALAY)

lalu Dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan

 

Kalimah جَعَلَ dalam فَجَعَلَهُم itu bermaksud mengubah sesuatu dari satu bentuk ke satu bentuk. Sebagai contoh, mengubah pokok kayu menjadi meja. Pokok kayu itu memang dah ada, cuma dijadikan dalam bentuk yang lain. Ini tidak sama dengan خلق yang bermaksud menjadikan sesuatu dari tidak ada ada kepada ada dan hanya Allah sahaja yang boleh melakukannya.

Oleh itu, dalam ayat ini, Allah memberitahu yang Dia telah menjadikan tentang yang susah ada itu, sepatutnya kuat, tapi Allah jadikan sebagai lemah dan tidak bernilai langsung, tidak ada kekuatan langsung. Seperti daun-duan kering sahaja.

Allah gunakan huruf ك sebagai bandingan. Allah bandingkan mereka dengan suatu benda untuk menjelaskan kepada kita. Allah sebut dengan begini supaya kita dapat bayangkan kerana kita tidak ada di sana waktu itu. Allah bandingkan tentera itu dengan عَصفٍ yang bermaksud angin bertiup yang menghancurkan daun kering. Atau ia boleh bermaksud bilah-bilah dauh yang beterbangan di udara.

Kalimah مَأكولٍ pula bermaksud sesuatu yang dimakan. Apabila binatang ternak memakan daun-duan hijau, ada cebisan-cebisan daun itu yang jatuh. Cebisan yang jatuh itu dipanggil عَصفٍ مَأكولٍ dalam bahasa Arab.

Begitulah Allah berikan perumpamaan untuk mereka setelah mereka dikenakan dengan hujanan batu Sijjeel itu.

Ia juga bermaksud makanan yang hampir hendak dimakan oleh pemburunya. Sebagai contoh, seekor arnab yang hampir diterkam harimau. Arnab itu tidak boleh buat apa dah waktu itu kerana ia telah terperangkap dan ia tidak dapat melawan harimau itu. Allah bandingkan lemahnya mereka itu seperti arnab yang hampir hendak dimakan oleh harimau. Allah hina mereka dengan kata-kata ini.

Kerana mereka sangka mereka itu kuat dan kerana itu mereka jadi sombong. Tapi kemudian Allah telah musnahkan mereka seperti daun yang dimakan binatang sahaja. Mereka tidak bernilai dan tidak ada kekuatan langsung. Dengan angin sahaja boleh meniup mereka ke sana dan ke mari. Padahal, asalnya mereka itu kononnya kuat.

Juga boleh bermaksud Allah beri perumpamaan mereka itu seperti daun yang dimakan oleh ulat.

Begitulah Allah jelaskan kepada kita apa yang terjadi kepada Tentera Bergajah itu.

Sudah ini begitu indah sekali dan kebanyakan orang Islam sudah hafal pun surah ini. Tambahan pula ianya senang dihafal kerana hujung ayat-ayatnya berbunyi sama sahaja – الفيلِ, تَضليلٍ, أَبابيلَ, سِجّيلٍ. Kecuali pada ayat yang ke 5 yang berakhir dengan kalimah مَأكولٍ. Ini adalah kerana kisah apa yang terjadi kepada mereka sudah berakhir dan Allah ubah ritma kepada kalimah yang lain.

Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah Quraish.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 105: al-Feel and tagged , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s