Tafsir Surah al-Feel Ayat 2 (Rancangan Abrahah Gagal)

Ayat 2: Rancangan Abrahah dan tenteranya itu gagal, sia-sia sahaja.

أَلَم يَجعَل كَيدَهُم في تَضليلٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Did He not make their plan into waste?

(MALAY)

Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Ka’bah) itu sia-sia?

 

Ini adalah kali kedua kalimah أَلَم (tidakkah?) digunakan dalam surah ini. Seperti kita telah sebut sebelum ini, kalimah أَلَم ini adalah dalam bentuk soalan retorik. Maknanya Allah hendak mengingatkan jasa yang telah dilakukanNya.

Kalimah يَجعَل dalam present tense. Sedangkan kisah yang sedang dibincangkan ini telah berlaku lama dahulu. Jadi kenapa Allah gunakan present tense dalam ayat ini? Apabila present tense digunakan untuk perkara yang telah berlaku, ini memberi isyarat yang perkara itu akan terus berlaku. Bukan Tentera Abrahah sahaja yang Allah sia-siakan usaha mereka, tapi Allah boleh buat lagi pada orang-orang lain selepasnya dan di masa hadapan. Kepada mereka yang hendak merosakkan syiar Allah SWT, Allah boleh sia-siakan usaha mereka. Walau bagaimana pun usaha mereka, tidak memberi kesan sama sekali kalau Allah tidak benarkan ia terjadi. Mereka akan buang masa sahaja.

Kalimah يَجعَل dari جعل (menjadikan). Ianya tidak sama dengan kalimah فَعَلَ yang digunakan dalam ayat 1. Apabila digunakan kalimah جعل, ia bermaksud mengambil sesuatu yang telah ada dan mengubahnya menjadi sesuatu yang lain. Maknanya Allah biarkan mereka buat rancangan, buat persediaan, mungkin berlatih, kemudian ambil masa untuk bergerak dari Yaman ke Mekah, dan mula untuk ambil tindakan, tapi Allah ubah (جعل) rancangan mereka itu jadi benda lain – jadi sesuatu yang sia-sia sahaja tidak menjadi. Allah tidak hancurkan rancangan mereka itu dari mula, tapi Allah biarkan mereka buang masa dalam usaha mereka. Allah main-mainkan mereka dan akhirnya malukan mereka di hujungnya.

Begitulah perumpamaan perbuatan Allah terhadap orang yang jahat. Allah biarkan sahaja mereka nak buat apa, seolah-olah mereka nampaknya boleh buat apa sahaja. Allah bagi mereka rasa macam mereka terbuka untuk buat apa yang mereka hendak buat.  Bayangkan seeokor anjing yang diikat dengan rantai. Pada mulanya tuannya ikat dengan rantai 1 meter sahaja. Tapi kalau ia adalah anjing yang ganas, asyik nak menarik rantai itu sahaja, maka tuannya akan ikat dengan rantai yang panjang sikit. Anjing itu pun sangka ia dah merdeka dan ia berlari dengan laju ke arah tempat lain – masa ia lari dengan laju itulah rantai itu akan menegang dan menarik tengkok anjing itu dengan kuat! Tentulah dia akan sakit, bukan? Begitulah perumpamaan Allah kenakan kepada tentera Abrahah itu. Ini seperti yang Allah telah sebut dalam Baqarah:15

اللَّهُ يَستَهزِئُ بِهِم وَيَمُدُّهُم في طُغيانِهِم يَعمَهونَ

Allah akan (membalas) olok-olokan mereka dan membiarkan mereka terombang-ambing dalam kesesatan mereka.

Allah biarkan sahaja tentera Abrahah itu datang ke Mekah dan sudah ada di depan Ka’bah dah, barulah mereka itu dimusnahkan. Bukanlah Allah tidak boleh musnahkan mereka dari mula lagi tapi Allah nak beri mereka buat perkara yang salah itu, dan nanti Allah akan seksa mereka dengan azab yang berat di akhirat kelak lagi.

Kalimah كَيدَ dalam كَيدَهُم (rancangan mereka) itu lebih kurang maknanya dengan kalimah مكر – (rancangan untuk mencederakan seseorang). Tapi bezanya, كَيدَ digunakan untuk rancangan yang rahsia, seperti rancangan perang yang tidak diberitahu kepada ramai orang dan dilakukan secara sembunyi supaya rahsia tidak pecah. Sedangkan kalau مكر digunakan, ia melibatkan penipuan dalam rancangan itu.

Akan tetapi, bagaimana pula كَيدَ dikatakan rancangan yang rahsia sedangkan apa yang tentera Abrahah itu lakukan jelas pada semua orang? Abrahah datang siang hari dan semua orang boleh tengok kedatangan mereka itu.

1 – Dikatakan rahsia itu adalah niat dalam hati mereka – mereka sebenarnya benci sangat kepada penduduk Mekah sampaikan hendak memusnahkan Ka’bah yang mereka muliakan. Beginilah juga perasaan orang kafir terhadap orang Islam dulu dan sekarang (bukan nak kata yang Musyrikin Mekah itu orang Islam, tapi sebagai perbandingan). Kadang-kadang orang kafir itu nampak baik sahaja di hadapan orang Islam tapi di belakang, mereka buat perancangan untuk memusnahkan kita. Sebab itulah Allah nasihatkan kita untuk berhati-hati seperti firmanNya dalam Ali Imran:118

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا لا تَتَّخِذوا بِطانَةً مِن دونِكُم لا يَألونَكُم خَبالًا وَدّوا ما عَنِتُّم قَد بَدَتِ البَغضاءُ مِن أَفواهِهِم وَما تُخفي صُدورُهُم أَكبَرُ

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaanmu orang-orang yang, di luar kalanganmu (kerana) mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudharatan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi.

2 – Abrahah menyembunyikan niatnya dalam menyerang Mekah itu. Dia menggunakan semangat keagamaan untuk membangkitkan semangat rakyat dan tenteranya untuk menyerang. Tapi sebenarnya, seperti kita telah jelaskan pengenalan surah ini, tujuan sebenar Abrahah adalah kerana ekonomi. Dia nak menaikkan kembali kekuatan ekonomi Yaman dan dia nampak caranya adalah dengan menjatuhkan kuasa ekonomi waktu itu, Mekah. Dia cuma gunakan agama sahaja. Memang dari dulu sampai sekarang manusia salahgunakan agama. Lihatlah apa yang telah dilakukan oleh kumpulan seperti ISIS yang menggunakan agama untuk membunuh orang lain.

Dan begitulah juga dengan tentangan Quraish terhadap dakwah tauhid Nabi Muhammad SAW. Mereka dengan kerasnya menolak dan mengutuk ajaran baginda yang dikatakan baru, sesat dan sebagainya. Tapi kenapa agaknya baginda tidak dapat diterima? Pemimpin Musyrikin Mekah bukan kisah dengan agama pun sebenarnya. Yang mereka kisah adalah harta dan pengaruh. Pada mereka, kalau ajaran tauhid ini dibenarkan, maka orang Arab sudah tidak datang lagi ke Ka’bah kerana semua berhala sudah tiada. Selama ini, ramai yang datang ke Mekah dan menguatkan ekonomi mereka adalah kerana mereka ada berhala masyarakat Arab dan mereka senang untuk berdagang ke tempat-tempat lain kerana kedudukan mereka sebagai penjaga Ka’bah itu. Maknanya, sebab asal Rasulullah ditolak oleh mereka adalah kerana ekonomi dan kedudukan yang dikejar-kejar oleh pemuka Quraish itu.

Oleh itu, sebab rahsia dalam hati Abrahah adalah untuk mendapatkan kuasa ekonomi dari Quraish Mekah dan beliau menggunakan agama Kristian sebagai pemangkin semangat rakyatnya. Dia kata orang Mekah itu adalah sesat dan mereka kena tawan mereka dan musnahkan tempat ibadat orang Mekah itu.

Kalimah تَضليلٍ dari ضلال yang bermaksud ‘musnah’, ‘sia-sia’. Ianya sesuatu yang rosak sampai tidak boleh dipakai lagi.

Kalimah تَضليلٍ ini adalah dalam wazan تَفْعِيْل yang memberi isyarat pengulangan di dalamnya. Maknanya, bukan sekali sahaja Allah menjadikan rancangan orang kafir itu sia-sia, tapi banyak kali. Rancangan Abrahah juga berulang-ulang kali gagal.
– Abrahah bina al-Qullays supaya ramai orang datang ziarah, tapi tidak menjadi.
– Qullays itu telah diberaki oleh orang Mekah kerana marah sangat.
– Mereka bergerak ke Mekah untuk memusnahkan Ka’bah tapi rancangan mereka digagalkan.

Allah gunakan kalimah في (di dalam) dalam ayat ini. Allah tidak kata jadikan rancangan mereka sia-sia, tapi Allah kata: ‘dalam’ kesiaan. Allah nak suruh kita bayangkan seolah-olah rancangan mereka itu macam sampah yang dibuang ke dalam tempat buang sampah. Allah gunakan kalimah في supaya kita dapat bayangkan dalam bentuk imageri.

Sekian. Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 105: al-Feel. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s