Tafsir Surah al-Feel Ayat 1 (Balasan dari Allah)

Ayat 1: 

أَلَم تَرَ كَيفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِأَصحابِ الفيلِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Fīl: The Elephant.

Have you not considered, [O Muḥammad], how your Lord dealt with the companions of the elephant?¹

  • i.e., the army under the command of Abrahah al-Ashram which was accompanied by a huge elephant and came with the intention of destroying the Ka‘bah at Makkah.

(MALAY)

Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentera bergajah?

 

أَلَم تَرَ – “Tidakkah kamu melihat/memperhatikan?” Kalimah ini ditujukan kepada seorang, bukan ramai orang. Oleh itu, ulama tafsir berbahas siapakah yang dimaksudkan oleh Allah dalam ayat ini? Adakah ianya ditujukan kepada Rasulullah atau kepada orang lain? Ada dalil untuk kedua-duanya sekali.

1 – Kalau dikatakan untuk orang lain, boleh lihat pada ayat al-Isra’:23 dimana Allah berfirman:

وَقَضَى رَبُّكَ أَلاَّ تَعْبُدُواْ إِلاَّ إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya.

Di dalam ayat ini, khitabnya juga kepada seorang lelaki, akan tetapi kita pun tahu yang ibubapa Rasulullah sudah tiada semasa baginda menerima wahyu ini. Jadi, walaupun ianya menggunakan kalimah رَبُّكَ (Tuhanmu), tapi ianya tidak ditujukan kepada Rasulullah secara khusus.

Dan kita pun tahu bahawa kejadian serangan Tentera Bergajah ini datang sebelum Nabi Muhammad lahir lagi, jadi baginda tentu tidak dapat melihat kejadian itu sendiri. Jadi, mungkin ayat ini diberikan kepada mereka yang memang pernah melihat kejadian itu dengan mata mereka sendiri kerana mereka sudah lahir waktu itu dan masih hidup semasa ayat ini diturunkan.

2 – Boleh juga dikatakan yang ayat ini ditujukan kepada Rasulullah. Memang baginda tidak melihat kejadian ini dengan mata baginda tapi Allah hanya memberi isyarat sahaja. Maksudnya: tidakkah kamu mendengar? tidakkah kamu memikirkan tentang kejadian itu? Ini adalah kerana kisah ini tentu telah sampai kepada baginda. Kisah ini adalah kisah yang masyhur di kalangan bangsa Arab sampaikan mereka mengabadikannya sebagai ‘Tahun Gajah’. Mereka tidak ada kalender seperti kita maka mereka akan menggunakan kejadian yang terkenal sebagai peringatan kepada sesuatu tahun itu. Jadi untuk mengingati kejadian tentera bergajah itu, tahun itu dikenali sebagai ‘Tahun Gajah’. Jadi, tentu Rasulullah sudah tahu tentang kejadian itu dan Allah mengingatkan baginda tentang kisah kejadian itu.

Boleh jadi juga, Allah hendak mengingatkan kepada Rasulullah – tidakkah kamu takjub dengan kejadian itu, bagaimana Allah telah bertindak kepada Tentera Bergajah itu? Ini adalah kerana apabila digunakan kalimah كَيفَ (bagaimana), ia adalah kalimah ta’jub. Peristiwa yang terjadi itu memang menakjubkan kerana bilangan tentera Abrahah itu amat besar malah lebih ramai lagi dari bilangan keseluruhan penduduk Mekah waktu itu. Malah mereka ada gajah-gajah yang besar – tapi mereka telah dimusnahkan. Mereka bukan dibunuh oleh penduduk Mekah pun – oleh itu penduduk Mekah itu boleh dikatakan menang tanpa angkat senjata pun. Ini menunjukkan yang Allah lah yang mempertahankan keamanan di Kota Mekah itu. Allah tidak perlukan sesiapa pun untuk membantuNya untuk menghancurkan tentera Abrahah itu. Itu semua adalah atas Qadr Allah taala.

Apabila digunakan kalimah كَيفَ (bagaimana), ianya lebih kuat lagi kalau digunakan kalimah ما (apa). Kerana kalau ditanya: apa yang Allah telah lakukan, maka jawapan kepada soalan itu pendek sahaja. Tapi apabila كَيفَ (bagaimana) digunakan, ada lebih banyak maklumat lagi yang akan dimasukkan untuk menjawapnya.

Surah ini adalah ancaman kepada mana-mana pemimpin kejam, penindas dan diktator yang hidup dalam mana-mana zaman pun. Kalau mereka mahu menindas orang dan merampas negara mereka atau menghancurkan negara orang lain, mereka kena ingat yang mereka tidak berkuasa penuh. Mungkin ada tentera yang ramai dan kekuatan teknologi ketenteraan yang tinggi, tapi tidak pasti lagi yang mereka akan menang. Dari zaman berzaman sudah begitu. Oleh itu, surah ini terpakai sepanjang masa, bukan untuk kita belajar sejarah yang telah lalu sahaja. Ini dikuatkan lagi dengan kalimah تَرَ (melihat) yang digunakan dalam ayat ini. Ianya adalah dalam bentuk present tense, dan apabila present yang digunakan, ia memberi isyarat bahawa ianya berterusan. Bukan hanya berlaku pada zaman dahulu sahaja, tapi ia boleh berlaku pada zaman sekarang dan masa hadapan. Ini adalah sebahagian dari ilmu balaghah.

Penggunaan kalimah تَرَ juga amat sesuai digunakan dalam ayat ini, kerana ia boleh digunakan untuk melihat sesuatu yang ada depan mata dan juga boleh digunakan untuk sesuatu yang kita ‘faham’. Sebagai contoh, ada orang yang jelaskan sesuatu perkara dan dengar sahaja, kita kata “baik, saya dah nampak dah sekarang”, walaupun kita tidak nampak dengan mata kita tapi dengan akal kita. Dan Rasulullah dan kita sendiri pun tidak dapat melihat peristiwa itu tapi kita dapat bayangkan dan kita dapat faham apakah yang terjadi. Dan kita boleh ambil pengajaran dari kisah itu.

Dan walaupun kalimah رَبُّكَ itu asalnya ditujukan kepada Rasulullah, tapi apabila Nabi Muhammad membacakan ayat ini kepada orang lain, ianya juga akan tertuju kepada mereka juga kerana kalimah رَبُّكَ (Tuhanmu) itu akan diulang-ulang kepada setiap pendengar.

Memang Ka’bah dihormati zaman berzaman sebelum kedatangan Tentera Abrahah pun. Tapi dengan kejadian yang menakjubkan ini, ianya telah menambah rasa hormat manusia kepada Ka’bah. Kerana apa yang terjadi itu menjadi tanda bahawa Allah sendiri menjaga kehormatan dan kesucian Ka’bah.

Oleh kerana itu, persoalan yang ditimbulkan kepada pendengar adalah: engkau sudah lihat bagaimana Allah bertindak terhadap mereka yang hendak merosakkan rumahNya, lalu kenapa kamu tidak mahu beriman dengan Allah? Orang kafir kena sedar yang kalau mereka menentang kehendak Allah, mereka akan dimusnahkan juga, sebagaimana Allah mampu untuk memusnahkan tentera bergajah itu, Allah tentu boleh memusnahkan mereka. Oleh itu, Musyrikin Mekah diingatkan dalam surah ini, kalau mereka berbangga Allah telah menjaga Ka’bah maka mereka kenalah beriman dengan Nabi Muhammad kerana baginda adalah RasulNya. Kalau Allah memelihara RumahNya, tidakkah kamu boleh agak yang Allah akan menjaga RasulNya?

Kalimah أَلَم (tidakkah?) adalah dalam bentuk soalan. Apakah kelebihan kalimah ini dalam bentuk soalan? Ianya memberi penekanan kepada sesuatu perkara. Kadang-kadang kita tanya, bukanlah hendak tahu, tapi kerana hendak menekankan. Sebagai contoh, kita tanya seseorang: “Bukan aku dah beritahu dulu?”. Kita bukan nak tanya tapi nak ingatkan dia balik bahawa kita dulu dah pernah tolong dia. Ianya mengingatkan kepada mereka tentang jasa kita kepada mereka. Jadi, bila Allah tanya dalam ayat ini, ianya kerana Allah hendak menekankan kejadian itu kepada pendengar Qur’an ini. Allah hendak mengingatkan kepada golongan musyrikin, mereka kenalah ingat kepada segala jasa yang Allah telah berikan mereka; dan kalau mereka degil dan tidak mahu juga untuk taat, mereka mungkin akan dikenakan dengan azab yang telah dikenakan kepada tentera Abrahah.

Kita kena ingat juga yang soalan ini untuk Nabi Muhammad juga. Kepada baginda, Allah hendak mengingatkan baginda bagaimana Allah telah menyelamatkan Ka’bah itu. Dan Allah hendak memberitahu baginda yang Allah juga akan memelihara baginda. Sebagaimana Allah telah menjaga Ka’bah, Allah juga akan menjaga baginda.

أَصحابِ الفيلِ – sahabat/tentera gajah.

الفيلِ bermaksud ‘gajah’ dan ianya dalam bentuk mufrad (satu). Kenapa Allah gunakan mufrad sedangkan telah disebut yang gajah di dalam tentera itu adalah antara 9 ke 13 ekor? Kenapa Allah tidak gunakan kalimah أفيال (jamak untuk gajah)?

1 – Kerana tentera itu dikenali dengan seekor gajah yang paling terkenal iaitu yang bernama Mahmood. Jadi apabila dikatakan الفيلِ itu, ia merujuk kepada Mahmood.

2 – الفيلِ walaupun dalam bentuk mufrad, tapi ia juga boleh merujuk kepada isim jama’ (satu perkataan merujuk kepada semua).

Oleh itu, أَصحابِ الفيلِ bermaksud mereka yang berkaitan dengan gajah. Kalimah أَصحابِ dari صحب yang bermaksud sahabat. Mereka tidak dikatakan sebagai ارباب الفيل (tuan gajah) atau املاك الفيل (pemilik gajah) sebaliknya Allah gelar mereka أَصحابِ الفيلِ (sahabat gajah). Kenapa begitu agaknya?

Kalimah أَصحابِ digunakan untuk mengaitkan seseorang dengan satu golongan. Apabila Allah mengaitkan mereka dengan gajah, itu adalah isyarat Allah menghina mereka kerana mengaitkan mereka dengan binatang. Binatang tidak mempunyai akal dan kefahaman. Selalunya kita dikatakan bersahabat dengan orang yang lebih tinggi dari kita. Sebab itu para sahabat Nabi digelar ‘sahabah’ kerana mereka dibawah Nabi dan dikaitkan dengan Nabi. Itu adalah satu penghormatan. Tapi bagaimana pula kalau dikaitkan dengan binatang seperti gajah, tidakkah itu menghinakan? Tentu sekali! Mereka ini seperti firman Allah dalam A’raf:179

لَهُم قُلوبٌ لا يَفقَهونَ بِها وَلَهُم أَعيُنٌ لا يُبصِرونَ بِها وَلَهُم آذانٌ لا يَسمَعونَ بِها ۚ أُولٰئِكَ كَالأَنعامِ بَل هُم أَضَلُّ

mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi.

Dan mereka memang lebih teruk dari gajah-gajah itu pun. Bukankah kita pernah dengar bagaimana gajah itu tidak mahu bergerak ke arah Ka’bah? Apabila dihadapkan wajahnya ke arah Mekah, dia tidak mahu bergerak kerana gajah itu sendiri taat kepada Allah tidak sanggup untuk memusnahkan Rumah Allah.

 

Sambungan Sejarah:

Apabila Abrahah sampai berdekatan Makkah, dia telah berjumpa dengan Abdul Mu’tallib (datuk Rasulullah), dan Abdul Mu’tallib telah cuba untuk berbincang dengan Abrahah. Beliau telah menawarkan tanah Tahamah, dan akan diberikan 1/3 dari pulangan hasil dari Tahamah itu. Tetapi Abrahah sombong tidak mahu menerima tawaran itu kerana sombong. Dia tidak mahu berdamai dan dia mahu menunjukkan kekuatan tenteranya.

Apabila tentera yang dihantar kalah di seberang, negara asalnya akan marah dan selalunya mereka akan menghantar tentera lagi untuk menyerang mereka yang membunuh tentera mereka, bukan? Akan tetapi, Abrahah tidak mati di Mekah. Beliau masih hidup lagi dan berjaya untuk pulang ke Yaman walaupun telah tercedera teruk. Mereka telah dihujani dengan Batu Sijjeel dan kulit Abrahah telah mengelupas dan kulitnya terbakar teruk dan dagingnya membusuk. Begitulah cara dia mati akhirnya. Jadi apabila dia pulang ke Yaman, rakyatnya melihat keadaannya dan tidak berani untuk balas dendam. Mereka takut kalau mereka sendiri jadi begitu. Begitu hebat sekali Allah rancang supaya mereka tidak datang lagi dah ke Mekah. Kalau Abrahah mati di Mekah, mungkin orang Yaman dan orang Habashah akan hantar lagi tentera untuk menyerang Mekah untuk balas dendam.

Kejadian ini juga adalah salah satu dari isyarat kemuliaan Nabi Muhammad SAW. Kerana ianya berlaku pada tahun kelahiran baginda. Kita pun tahu ada riwayat tentang irhas yang berlaku kepada Nabi. Irhas adalah perkara pelik yang berlaku kepada seorang Nabi sebelum baginda dilantik menjadi Nabi lagi. Sebagai contoh, ada riwayat bagaimana ada awan yang menaungi Nabi semasa baginda bermusafir dalam perniagaan.

Kalimah فَعَلَ bermaksud ‘telah melakukan’. Dalam bahasa Arab, ia mungkin membawa maksud:

1 – perbuatan.

2 – pergerakan

3 – sesuatu yang terjadi

Ia bermaksud sesuatu yang memang benar-benar terjadi. Kalimah عمل juga mungkin boleh digunakan tapi tidak digunakan dalam ayat ini. Kerana عمل adalah perbuatan yang dilakukan yang memerlukan usaha. Tapi apa sahaja perbuatan Allah amat mudah bagiNya dan tidak memerlukan usaha langsung.

Dalam ayat ini, Allah menggunakan kalimah رَبُّكَ (Tuhanmu). Dia tidak menggunakan NamaNya ‘Allah’. Nama Allah merujuk kepada Allah dengan segala Sifat-sifatNya. Tapi kalimah Rabb adalah salah satu dari Sifat Allah. Asal Rabb adalah ‘tuan’ dan apabila ada tuan, tentu ada hambanya. Allah gunakan kalimah Rabb dalam ayat ini untuk menekankan bahawa kita semua adalah hambaNya.

Dalam surah seterusnya nanti, Allah berfirman: فَليَعبُدوا رَبَّ هٰذَا البَيتِ (Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan Pemilik rumah ini (Ka’bah). Dalam ayat ini, Allah sekali lagi menggunakan kalimah ‘Rabb’. Allah mengatakan yang Dia adalah Tuhan kepada Ka’bah dan dalam Surah al-Feel ini Allah menggunakan kalimah رَبُّكَ dimana ك adalah dhomir kepada Nabi Muhammad SAW. Allah hendak memberi isyarat, kalau Dia Tuhan kepada Ka’bah, Dia telah menyelamatkan Ka’bah dan Dia juga Tuhan kepada Nabi Muhammad, maka pasti Dia akan menyelamatkan baginda juga. Allah memberitahu yang Dia berpihak kepada baginda dan Dia akan memusnahkan mereka yang menghalang baginda sebagaimana Dia telah memusnahkan Tentera Bergajah itu.

Ini menjadi isyarat yang bukti yang Nabi Muhammad SAW dan Islam akan berjaya dan baginda akan membersihkan Ka’bah dari berhala yang di sekelilingnya waktu itu.

Dengan menggunakan kalimah رَبُّكَ juga memberi isyarat yang Allah amat murka dengan mereka yang memuja dan bertawasul kepada selain dariNya. Allah mengingatkan mereka bahawa Dia adalah Tuhan dan alangkah teruknya Musyrikin Mekah itu kerana sanggup menyembah dan bertawasul kepada selainNya, dan berdekatan dengan rumahNya! Jadi kalimah Rabb ini digunakan untuk menyangkal fahaman syirik Musyrikin Mekah itu.

Kita pun sudah tahu bahawa Musyrikin Mekah itu telah mengamalkan syirik yang jauh dari Islam. Mereka itu dari segi akidah lebih teruk dari Abrahah yang datang menyerang mereka. Tapi Allah musnahkan tentera Abrahah dan menyelamatkan negeri mereka. Kenapa Allah tidak musnahkan juga Musyrikin Mekah itu? Ini adalah kerana Abrahah hendak memusnahkan Ka’bah maka Allah musnahkan mereka semasa dia dan tenteranya semasa di dunia lagi. Tapi Musyrikin Mekah yang tidak taat kepada Allah itu, Allah akan musnahkan mereka di akhirat kelak. Kerana Ka’bah itu adalah hak manusia – Allah bina Ka’bah itu sebagai syiar agama Islam dan Tauhid adalah hak Allah. Apabila mereka hendak memusnahkan hak manusia, Allah musnahkan mereka di dunia dan Musyrikin Mekah yang memusnahkan hak Allah itu, Allah akan musnahkan mereka di akhirat nanti.

Tentera Bergajah Abrahah itu telah dihancurkan di satu tempat yang bernama Wadi Muhassir. Ianya terletak di antara Mina dan Muzdalifah dan umat Islam yang mengerjakan Haji akan melalui kawasan ini dan disunatkan untuk mempercepatkan perjalanan supaya tidak berada lama di kawasan ini. Ini adalah kerana azab telah pernah turun di kawasan ini dan tidak digalakkan berada lama, kalau terpaksa lalu. Kalau boleh, jangan lalu pun.

Wadi Muhassir

Wadi Muhassir

wahi-muhassir

Peta kedudukan Wadi Muhassir

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 105: al-Feel. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s