Tafsir Surah al-Asr Ayat 3 (empat perkara yang amat penting)

Ayat 3: Ini adalah sambungan ayat seterusnya dalam Surah al-Asr ini. Tapi tahukah anda yang tiga ayat ini sebenarnya adalah satu ayat yang panjang sahaja dari segi bahasa? Memang dalam Qur’an disusun dalam tiga ayat, tapi sebenarnya dari sudut bahasa, ianya adalah satu ayat sahaja.

إِلَّا الَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ وَتَواصَوا بِالحَقِّ وَتَواصَوا بِالصَّبرِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Except for those who have believed and done righteous deeds and advised each other to truth and advised each other to patience.

(MALAY)

kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati kepada kebenaran dan nasihat menasihati kepada kesabaran.

Kita telah sebut dalam penulisan yang lepas, bagaimana Ibn Taimiyyah mengatakan bahawa dua perkara yang menghalang manusia beriman sempurna ada dua:

1 – Shubuhaat (Keraguan) 

2 – Shahawaat (Godaan Nafsu) 

Oleh itu, تَواصَوا بِالحَقِّ – nasihat menasihati kepada kebenaran. Ini dapat memusnahkan penghalang keraguan itu. Kerana apabila mereka tahu apakah yang haq, mereka tidak ragu lagi untuk memeluk kebenaran dengan penuh yakin.

Dan تَواصَوا بِالصَّبرِ – nasihat menasihati kepada kesabaran. Ini dapat membunuh penghalang dalam bentuk shahawaat itu. Apabila mereka dapat sabar, mereka akan dapat mengawal nafsu syahwat mereka. Mereka akan sedar bahawa kalau mereka tahan nafsu mereka di dunia, mereka akan selamat di akhirat dan mereka akan dibalas dengan kehidupan di syurga yang nikmatnya lebih besar dari dunia ini yang mereka susah nak tinggalkan dulu. Tahan sekejap sahaja di dunia dengan sabar dan mereka akan dapat memenuhi nafsu syahwat mereka di syurga nanti, selama-lamanya.

Dalam dua ayat sebelum ini, kita telah bincangkan bagaimana masa sudah suntuk dan bagaimana kebanyakan manusia berada dalam kerugian yang besar kerana mereka leka dengan kehidupan mereka. Dalam ayat ini, jalan penyelesaian untuk menyelamatkan diri dari kerugian yang besar itu diberikan. Maka kena ambil perhatian. Semua manusia rugi, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. Mereka yang ada empat kualiti ini sahajalah yang akan selamat.

Apabila Allah gunakan kalimah إِلَّا, ini bermakna ini adalah pengecualian kepada sifat-sifat yang disebut dalam ayat sebelum ini. Mereka ini sahajalah yang selamat. Dan apabila ada pengecualian sebegini, ini bermaksud, majoriti dari manusia akan berada dalam kerugian dan sedikit sahaja yang tidak rugi. Maka, kalau kita nak selamat, kita jangan tengok kepada majoriti, tapi kena tengok kepada kebenaran. Jangan kita tengok ramai orang buat sesuatu perkara, kita sudah sangka yang mereka itu sudah selamat.

Memang hakikatnya majoriti manusia adalah dalam kerugian, walaupun kita tidak nampak mereka macam rugi. Nampak macam mereka pula yang seolah-olah bernasib baik, bukan? Kerana sekarang dalam dunia, majoriti yang menang dan buat keputusan, bukan? Sampaikan kita sampai kadang-kadang terpaksa ikut apa yang orang lain buat dan kita kena ikut kerana kita tidak mahu nampak pelik. Begitulah orang Islam rasa semasa dalam dunia ini. Kerana kita tidak boleh buat ikut suka kita, sampaikan kita kelihatan pelik pada orang lain – kita tidak minum arak, tidak berzina, tidak berparti di disco dan sebagainya. Dan kadang-kadang ada yang malu dan tak mahu nampak pelik, maka mereka ikut sahaja apa yang orang lain buat. Ini adalah mereka malu kalau mereka dilihat lain dari orang lain dan ini juga kerana iman mereka memang lemah. Tapi kita semua kena tahu yang orang ramai kebanyakannya adalah dalam kerugian. Dan ini memberi motivasi kepada kita untuk tidak ikut majoriti – kerana kalau mereka rugi, buat apa kita nak ikut mereka? Kenapa kita perlu malu untuk jadi asing/pelik, sedangkan begitulah permulaan Islam pun? Ini seperti disebut dalam satu hadis yang popular:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَال َ: قَالَ رَسُولُ اللّهِ قال : بَدَأَ الإِسْلاَمُ غَرِيبا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيباً فَطُوبىَ لِلْغُرَبَاءِ

Dari Abu Hurairah, ia berkata; Rasulullah bersabda, “Islam bermula dalam keadaan asing, dan akan kembali terasing seperti semula, maka beruntunglah orang-orang yang terasing” Riwayat Muslim.

Islam datang waktu manusia dalam kesesatan. Waktu itu apa yang Nabi bawa dan apa yang sahabat amalkan memang amat asing dari kebanyakan manusia waktu itu. Lama kelamaan Islam menjadi satu norma dalam kehidupan manusia. Tapi ianya akan kembali jadi asing. Mereka yang mahu kepada agama pula yang nampak asing. Sebagai contoh, kalau ada yang tidak solat berjemaah, itu tidak nampak asing; tapi mereka yang jaga solat berjemaah pula yang nampak asing; kalau tidak belajar agama nampak normal sekarang, dan kalau belajar agama yang nampak pelik pula pada masyarakat. Begitulah keadaan dunia sekarang.

Kita telah lihat bagaimana dalam ayat 2, Allah menggunakan kalimah الإِنسانَ untuk merujuk kepada manusia. Kerana kalimah itu merujuk kepada setiap individu dan bukan kepada manusia secara kolektif. Supaya mesej yang hendak disampaikan tepat kepada setiap orang (kerana kalau nasihat diberi secara umum, manusia akan rasa itu bukan nasihat untuk diri dia tapi kepada orang lain). Jadi amat sesuai kalimah yang digunakan adalah الإِنسانَ.

Akan tetapi, apabila Allah menyebut tentang pengecualian dalam ayat ini, kalimah yang digunakan tidaklah dalam bentuk individu tapi dalam bentuk kolektif pula – الّذِينَ آمَنُوا. Kenapa begitu pula? Ini adalah kerana, orang-orang yang mengamalkan kebenaran, mereka memerlukan sokongan dari orang lain juga. Kena ada ummah kerana dengan ada ummah, akan menguatkan lagi semangat dan iman bersama-sama. Kerana itulah Allah menggunakan kalimah dalam bentuk jamak dalam ayat ini sebagai isyarat kepada ummah.

Apabila ada kawan-kawan yang lain, maka ini akan lebih memberi semangat. Kita tidak kisah apakah asal mereka, asalkan mereka mahu menegakkan kalimah syahadah bersama-sama kita. Sebab itulah kita boleh lihat, bila kita buat ibadat bersendirian akan berasa lain, bila buat berramai-ramai pula, rasa lain. Ini sama juga kalau kita belajar. Bila belajar ramai-ramai lagi bagus dan lagi semangat. Oleh itu, jangan rendahkan kepentingan beramai-ramai dalam menegakkan iman.

Ada empat perkara yang akan dibincangkan dan yang pertama sekali adalah sifat mereka yang beriman – الَّذينَ آمَنوا. Apakah kesan yang kita akan dapat kalau kita beriman?

  1. Kita akan rasa tenang. Kita tidak kelam kabut, walaupun kalau kita kehilangan barang. Kerana kita yakin yang ada perkara yang lebih baik yang menunggu kita di akhirat. Dalam setiap perkara yang berlaku, mereka melebihkan akhirat dari dunia. Kerana mereka sedar yang dunia ini tidak dapat dibandingkan dengan akhirat yang lebih tinggi lagi. Ini seperti disebut dalam Tawbah:38

فَما مَتاعُ الحَياةِ الدُّنيا فِي الآخِرَةِ إِلّا قَليلٌ

Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) diakhirat hanyalah sedikit.

Kita kalau beriman akan rasa tenang dengan kehidupan kita kerana kita yakin yang segala yang kita ada, termasuk diri kita sendiri adalah hak Allah. Oleh itu, apa sahaja yang kita dapat atau kita hilang, kita bersyukur dan terima apa yang terjadi kerana benda yang hilang itu pun bukan kita pun dari mulanya. Dan bila beriman, kita yakin dengan Allah, yakin yang apa sahaja yang Dia lakukan untuk kita adalah untuk kebaikan diri kita. Sebab itu kita dianjurkan untuk mengucapkan kalimah istirja’ dalam banyak hal seperti dalam Baqarah:156 

الَّذينَ إِذا أَصابَتهُم مُصيبَةٌ قالوا إِنّا لِلَّهِ وَإِنّا إِلَيهِ راجِعونَ

orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun”.

Hati mereka yang beriman akan tenang dengan mengingati Allah seperti yang disebut dalam Ra’d:28

الَّذينَ آمَنوا وَتَطمَئِنُّ قُلوبُهُم بِذِكرِ اللَّهِ ۗ أَلا بِذِكرِ اللَّهِ تَطمَئِنُّ القُلوبُ

orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.

Orang-orang yang sebegitu tidaklah asyik mengejar dunia sahaja. Kita selalu membaca kisah bagaimana ada sahaja orang yang kalau dikira dari keduniaan, mereka amat dhaif, tapi hati mereka tenang sahaja; juga kita selalu membaca bagaimana ada manusia yang timpa malang sampai ahli keluarga dia mati, harta semua hilang, tapi mereka masih beriman, masih serahkan diri mereka kepada Allah.

Sekian perkara pertama yang kita kena lakukan.

Perkara kedua yang kita kena jaga untuk selamat adalah عَمِلُوا الصّالِحاتِ – mereka mengerjakan amal soleh.

Kalimah عمل bermaksud melalukan sesuatu dengan niat. Ini berbeza dengan فعل iaitu perbuatan tanpa niat seperti bernafas, kelip mata dan lain-lain. Apabila dikatakan عمل, ianya adalah perbuatan kita yang boleh dipertanggungjawabkan seperti bercakap, memandu kereta, membeli barang. Semua perbuatan itu kita kena bertanggungjawab jika kita melakukannya. Kalau kita tidak sengaja, kita tidak bersalah, tapi kalau sengaja, kita kena tanggung apa yang kita lakukan. Sebab itulah kalau kita hilang akal, tidak sedar diri, kita tidak bersalah kalau kita ada melakukan kesilapan (sebagai contoh, membunuh orang lain).

Amal yang dilakukan itu mestilah الصّالِحاتِ. Ia berasal dari kalimah ص ل ح yang bermaksud memperbetulkan, memperbaiki, baik. Kalimah الصّالِحاتِ dalam ayat ini adalah dalam bentuk adjektif. Iaitu menerangkan yang amal itu mestilah amal yang baik.

Dari segi bahasa, kalimah الصّالِحاتِ adalah dalam bentuk jam’u qilla – jamak tapi tidak begitu banyak. Ianya bermaksud amal-amal yang minimum sahaja. Jadi, Allah meletakkan syarat, sekurang-kurangnya kena buat amal yang wajib. Itu sekurang-kurangnya kena buat dan kalau jaga perkara-perkara itu (seperti solat, zakat dan sebagainya) sudah cukup untuk memasukkan ke dalam syurga. Perkara-perkara sunat adalah sebagai tambahan, untuk memperbaiki amalan wajib yang ada kekurangan. Perkara yang perlu dibuat yang wajib itu, semua muslim tahu dan tak boleh kata tidak tahu kerana ianya maklumat umum. Teruk macam mana pun seorang muslim itu, dia tetap tahu yang dia kena lakukan solat.

Allah memberitahu kita, kalau kita hendak menjadi orang yang baik, maka kita kena lakukan amalan yang baik. Ianya seperti ubat yang baik, perlu dimakan untuk membaiki keadaan kesihatan diri kita. Jenis ubat yang kalau tidak makan, akan menyebabkan kita sakit semula.

Sekian perkara kedua yang kita kena lakukan.

Perkara ketiga yang kita kena lakukan adalah تَواصَوا بِالحَقِّ – berpesan-pesan dengan kebenaran. Kalimah تواص dari و ص ي yang bermaksud meninggalkan wasiat kepada orang yang kita sayang. Bukankah kita tinggalkan wasiat untuk orang yang kita sayang dengan barang yang bermanfaat untuk mereka? Apabila digunakan dalam bentuk تواص, ia bermaksud memberi arahan atau menggalakkan seseorang untuk melakukan sesuatu.

Kalau dalam wasiat, kita beri arahan wasiat itu kerana ianya penting dan selalunya dilakukan apabila kita rasa umur kita tidak lama lagi. Kerana kita rasa masa kita sudah suntuh maka kita akan lakukan wasiat itu dengan segera kerana kita takut kita tak sempat nak menyampaikannya. Dan kita akan lakukannya kerana kita tahu yang apa yang kita nak sampaikan itu adalah penting – tidak boleh tidak disampaikan. Dan memang kita tidak boleh tangguhkan – kadang-kadang kita segan atau takut nak beri nasihat kerana takut orang itu tidak dapat terima dan tidak jadi baik dengan kita dah. Jadi kita tunda-tunda untuk beritahu, sampai kadang-kadang tidak beritahu langsung. Ini tidak bagus. Memang kita kena cari masa yang sesuai untuk beri nasihat, tapi jangan tangguh lama sampai tidak beritahu.

Kalimah تواص mempunyai isyarat nasihat yang ikhlas, urgensi, kebenaran. Ini tidak sama dengan ‘beri arahan’ kerana tona yang lain yang digunakan. Ia lebih lagi dari arahan yang biasa. Kerana kalau kita beri wasiat, kita selalunya berikan kepada orang yang rapat dengan kita, yang kita sayang, bukan? Kita tahu yang kita berikan sesuatu yang bernilai untuk mereka. Samada benda itu adalah harta, atau nasihat yang berguna. Jadi ini memberi isyarat bahawa nasihat yang kita berikan kepada orang lain itu adalah benda yang berharga, bukan benda murah. Dan ia memberi kebaikan kepada mereka.

Satu lagi implikasi dari kalimah تواص ialah: ianya sama-sama dilakukan – dua hala, bukan satu hala. Kalau kita beri nasihat kepada seseorang, kadang-kadang orang yang dinasihati itu pun boleh nasihat kita juga. Dan kadang-kadang mereka cakap pun dengan cara kasar juga (Kau pun tak buat… ada hati nak nasihat aku….). Dalam keadaan begitu, kita terima sahaja walaupun cara dia macam tidak baik. Kerana kita kena sedar yang nasihat ini adalah dua hala. Kalau kita boleh nasihat orang, orang pun boleh nasihat kita juga. Sebab itulah dalam kebanyakan terjemahan ayat ini, yang digunakan adalah ‘berpesan-pesan’ – kerana ia bermaksud aku pesan kepada kau, kau pun berpesan kepada aku juga. Jadi kita buka diri kita untuk menerima nasihat dari orang lain juga. Bila beri nasihat, tunggu orang itu pula beri nasihat kepada kita.

Inilah sebahagian dari Tawwaasiy. Oleh itu kita kena pandai terima nasihat dari orang juga, bukan nak bagi nasihat kita sahaja. Kita kena sedar, sudah baik sangatlah kalau ada orang yang nasihat kita. Oleh itu, kita kena terima nasihat orang kepada kita. Tetapi kadang kalau ada orang nasihat kita, oleh kerana ego, susah nak terima. Kadang-kadang itu kita marah pula orang yang beri nasihat kepada kita. Padahal kita kena berterima kasih kepada dia kerana nasihat kita. Malangnya, orang kita susah nak terima nasihat orang lain.

Jadi, dalam surah ini, akan disentuh empat perkara. Apabila ada keempat-empatnya, maka kita akan ada iman yang lebih kuat. Ini adalah kerana amal yang baik asalnya dari iman yang baik. Dan amal baik akan meningkatkan iman. Jadi ada kaitan rapat antara kedua-duanya, menguatkan antara satu sama lain. Tapi asalnya bermula dari iman. Kalau kita tidak lakukan amal soleh dan tawwaasiy, itu bermaksud kita tidak ada iman lah sebenarnya. Tapi ada yang tidak melakukan amal soleh dan tawwassiy, tapi mereka mengaku beriman dah. Ini tidak betul. Kerana kalau sebut ada iman sahaja, tidak cukup lagi, kerana ada yang buat dosa, tapi mereka kata hati mereka beriman. Dan ada yang sangka mereka beriman, tapi mereka sebenarnya tidak ada iman. Ini seperti dalam ayat Hujurat:14:

قالَتِ الأَعرابُ آمَنّا ۖ قُل لَم تُؤمِنوا وَلٰكِن قولوا أَسلَمنا وَلَمّا يَدخُلِ الإيمانُ في قُلوبِكُم ۖ وَإِن تُطيعُوا اللَّهَ وَرَسولَهُ لا يَلِتكُم مِن أَعمالِكُم شَيئًا ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَحيمٌ

Orang-orang Arab Badui itu berkata: “Kami telah beriman”. Katakanlah: “Kamu belum beriman, tapi katakanlah ‘kami telah tunduk’, kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu; dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun pahala amalanmu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

Mereka dikatakan tidak ada iman lagi (baru Islam sahaja) kerana mereka baru masuk Islam dan tidak buat amal lagi. Oleh itu, kena buat amal dulu baru boleh dikatakan ‘beriman’.

تَواصَوا بِالحَقِّ banyak definisi yang diberikan oleh ulama. Kita cuba senaraikan di sini:

  1. dikatakan adalah ajakan kepada tauhid, taat kepada Allah dan Rasul, jauh dari hubb dunya dan condong kepada akhirat.
  2. mengajak manusia kepada melakukan perkara yang memang telah jelas kebenarannya. Dan kebenaran itu memang layak untuk ditegakkan dan diberitahu kepada manusia.
  3. Mengingatkan manusia dengan Qur’an kerana al-haq yang dimaksudkan adalah Qur’an. Maka kena beri pesan dan beri nasihat menggunakan ayat-ayat Qur’an. Inilah yang penting sekali.
  4. al-Haq dengan maksud ‘tauhid’. Jadi kena ingatkan manusia dengan ilmu tauhid.
  5. al-haq dengan maksud melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang.

Sekarang kita masuk kepada perkara keempat dan terakhir iaitu تَواصَوا بِالصَّبرِ – berpesan-pesan dengan kesabaran.

Kita ingatkan sesama manusia supaya sabar dalam taat. Sabar dengan ujian yang Allah berikan kepada kita semasa kita hidup di dunia ini kerana ujian memang banyak. Kena sabar semasa diuji dengan perkara-perkara shahawaat yang boleh menjerumuskan kita masuk ke dalam dosa. Kena pujuk diri supaya jangan buat dosa itu dan jangan dengar kehendak syahwat.

Allah mulakan dengan تَواصَ بِالحَقِّ dahulu kerana itu lebih penting dari تَواصَ بِالصَّبرِ. Jadi kena tahu kedudukan mana yang lebih penting. Kena mulakan dengan sebut tentang kebenaran dahulu.

Dan memang bukan senang nak suruh orang sabar. Kerana manusia memang tahu mereka kena sabar – kecuali waktu mereka dalam emosi. Kalau seseorang sedang marah dan kita nasihat dia untuk sabar, dia mungkin kata: “memang aku tahu sabar itu betul, tapi waktu ini bukan waktu untuk sabar….” Ini adalah salah kerana sabar itu kena ada dalam setiap keadaan. Bukannya kita yang pilih waktu bila boleh sabar dan waktu bila boleh marah, bukan? Semoga kita termasuk di dalam golongan orang yang sabar, ameen.

Oleh itu, ada 4 benda yang kita kena buat dan ini selalunya tidaklah dilihat sebagai satu kejayaan oleh kebanyakan manusia, bukan? Ianya tidak nampak penting kepada manusia biasa kerana manusia selalu tengok benda keduniaan sahaja. Oleh itu, surah ini sebenarnya menyuruh kita ubah persektif kita tentang apakah yang dimaksudkan dengan kejayaan. Kejayaan bukanlah kekayaan, kekuatan, kekuasaan tapi mereka yang dapat menerapkan keempat-empat perkara ini dalam kehidupan.

Akan tetapi malangnya, manusia yang mengaku Islam pun, telah sebut syahadah, tapi mereka tidak faham pun apa yang mereka lafazkan dalam syahadah itu. Mereka sebut sahaja, tapi mereka tidak tahu apakah yang mereka kena buat kalau sudah mengaku yang mereka beriman. Mereka rasa kalau sudah lafazkan syahadah sahaja sudah cukup beriman dah. Ini macam orang bagi salam kepada kita, kita terus rasa dia orang Islam, bukan? Oleh itu, ada yang rasa kalau dah sebut syahadah dah cukup dah. Ini adalah pandangan yang salah.

Dan salah faham kedua, mereka rasa iman sudah cukup, tidak ada kena mengena dengan apa yang kena dilakukan. Lihatlah bagaimana orang badwi tidak dikatakan beriman lagi kerana mereka memang belum beriman lagi. Mereka sangka mereka sudah beriman, tapi mereka baru ‘muslim’ sahaja. Ini adalah kerana iman itu bukan pada lafaz sahaja, tapi kena diikuti dengan amalan yang kena dilakukan. Jadi kita tahu yang kita kena lakukan sesuatu, tapi apakah yang kita kena lakukan? Dan ini adalah perkara yang kompleks, jadi kita nak kena mudahkan supaya senang nak faham sebagai pemahaman asas. Secara ringkasnya, ada tiga perkara yang kena:

  1. iman kena ada dalam hati.
  2. wahyu pun kena ada wahyu dalam hati juga.
  3. zikir.

Dan ketiga-tiga perkara ini saling kait mengait. Sebagai contoh, kalau wahyu ada dalam hati, itu akan meningkatkan iman. Dan zikir yang terbaik sekali adalah Qur’an. Dan ini dikuatkan lagi dengan ayat dalam Anfal:2 إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ (Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka) – lihat bagaimana ‘hati’ dan ‘zikir’ disebut dalam ayat ini. Ayat itu disambung: وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَاناً (dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka) Oleh itu, kita boleh lihat bagaiman ketiga-tiga perkara (Qur’an, iman dan zikir) ini disebut dalam satu ayat, memberi isyarat yang mereka memang ada kaitan.

Dari apa yang kita baru lihat ini, kalau nak tahu samada ada iman atau tidak, kena tengok samada tiga perkara yang disebutkan itu ada pada kita atau tidak. Iman, wahyu dan zikir kena ada sekali. Dan zikir yang terbaik sekali adalah solat kerana dalam solat juga ada bacaan Qur’an, bukan? Solat memang berkait rapat dengan iman dan kerana itulah apabila qiblah ditukar, ayat Qur’an berkenaan perkara itu mengaitkan iman dan solah. Ini disebut dalam Baqarah:143 وَما كانَ اللَّهُ لِيُضيعَ إيمانَكُم (dan Allah tidak akan menyia-nyiakan imanmu). Ulama menafsirkan maksud ‘إيمانَكُم’ dalam ayat ini sebagai ‘iman kamu’. Ini adalah kerana ayat ini tentang solat dan qiblah (maksudnya solat mereka tidak sia-sia walaupun dulu mereka solat tidak mengadap Kaabah). Allah sendiri kaitkan iman dan solat dalam ayat ini. Oleh itu, tanda seseorang itu ada iman adalah dia mengerjaka solat. Dan kita pun tahu bahawa dalam solat, ada iman, ada zikir dan ada dibacakan wahyu. Jadi memang hebat sekali solat itu. Maka kenalah kita jaga solat kita. Ramai dari kalangan kita, amat susah untuk menjaga solat fardhu lima waktu, apatah lagi kalau solat-solat sunat.

Salah faham kedua adalah, ada yang rasa kalau dah ada iman, sudah cukup tidak perlukan buat amalan lagi. Ini adalah fahaman murjiah. Fahaman ini amat jauh tersasar sekali, kerana dalam ayat-ayat Qur’an, dua perkara ini tidak boleh dipisahkan. Kalau kita ada iman, sudah tentu kita akan melakukan seperti apa yang disuruh, bukan? Contohnya, kalau kita percaya api membakar, tentu kita tidak sentuh api itu bukan? Kerana itulah kalau kita sudah percaya benar, tentu kita akan ambil tindakan untuk membuktikan kepercayaan kita itu. Dan kita kena jelas bahawa perbuatan kita bergantung kepada kepercayaan kita. Kita tidak akan buat sesuatu kalau kita tidak percaya. Jadi jangan katalah diri itu ada iman, tapi tidak solat. Sesiapa yang mengaku begitu adalah bodoh sama sekali.

Allah tegur mereka yang sebegitu dalam Saf:2 –

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا لِمَ تَقولونَ ما لا تَفعَلونَ

Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?

Seolah-olah Allah menegur mereka, iman jenis apa ni, tak buat apa yang dicakapkan? Kata beriman, tapi tidak melaksanakan apa yang diimani. Jadi kita kena tengok amalan kita, adakah kita ikut suruhan Allah? Dan seeloknya sebelum kita tegur dan beri nasihat pada orang lain, kenalah kita tengok pada amalan kita sendiri. Kita tengok dulu, adakah amalan perbuatan kita menunjukkan iman dalam hati kita?

Walaupun begitu, kita tahu yang iman itu turun dan naik. Kita kena berusaha untuk meningkatkan iman kita dan tetapkan iman kita supaya tidak turun lagi. Dalam Qur’an pun ada memberi isyarat bahawa ada dua jenis orang beriman. Kalau kita perasan, apabila Allah memperkatakan tentang orang beriman, kadang-kadang Allah gunakan kalimah الَّذينَ يُؤمِنونَ dan kadangkala Allah gunakan kalimah الْمُؤْمِنُونَ sahaja. Apakah bezanya?

Kalau Allah gunakan الَّذينَ يُؤمِنونَ, ia adalah dalam bentuk katakerja. Dalam bahasa Arab, kalau ianya dalam bentuk katakerja, ia masih berbentuk sementara, tidak tetap lagi. Sedangkan kalau dalam bentuk isim iaitu الْمُؤْمِنُونَ, ia bermaksud yang sudah tetap. Sebab itu kalau Allah sebut الْمُؤْمِنُونَ sahaja, itu adalah orang yang telah tetap iman mereka. Kerana itu, kita akan lihat beza kalau penggunaan ayat dalam Qur’an tentang dua golongan ini. Kalau Allah gunakan الْمُؤْمِنُونَ sahaja, tidak ada teguran tentang mereka dan kalau Allah gunakan dalam bentuk الَّذينَ يُؤمِنونَ, ada banyak teguran kepada mereka untuk mereka memperbaiki diri mereka.

Dan kalau Allah sebut tentang الْمُؤْمِنُونَ dan sifat mereka, Allah akan sebut tentang amalan-amalan mereka. Ini maknanya, Allah hendak memberitahu yang kalau beriman itu kenalah ada perbuatan dan amalan yang baik, bukan setakat hati sahaja kononnya beriman. Ini ramai dari kalangan orang kita – ada yang kata: “walaupun aku nampak jahat, tapi hati aku baik”, “walaupun aku tak pakai tudung, tapi hati aku beriman”, dan sebagainya. Ini amat memusykilkan sekali dan kita tidak boleh dipersalahkan kalau meragui keimanan mereka kerana memang tidak nampak beriman pun.

Lalu apakah iman itu? Ini adalah perkara yang amat panjang dan perlu kepada pembelajaran yang khusus dan berterusan. Tapi untuk memulakan fahaman dan memudahkan kita faham, iman dalam bentuk yang senang difahami, ada tiga perkara yang penting yang kena ada:

  1. iman kepada Allah. Ini dinamakan ‘tauhid’.
  2. iman kepada mesej yang Allah sampaikan (wahyu). Ini dinamakan ‘risalah’. Apabila dikatakan ‘risalah’, ini termasuk kitab dan juga Rasul yang menyampaikan. Untuk lebih faham, sila rujuk Surah Bayyinah dimana sudah diterangkan bahawa maksud  ‘bayyinah’ itu terdiri dari dua perkara – Wahyu dan Rasul.
  3. iman kepada akhirat.

Itulah tiga perkara yang penting; memang ada iman-iman yang lain, tapi yang tiga ini adalah yang utama sekali. Ketiga-tiga amat penting dan menjadi perdu kepada iman, sampaikan tidak boleh buang salah satu darinya. Kalau ada kekurangan dari salah satu, tidak dikatakan muslim dah; kerana ada orang yang percaya kepada wujudnya Tuhan, tapi mereka tidak terima adanya hari akhirat; atau ada manusia yang tidak percaya Tuhan bercakap-bercakap atau menyampaikan wahyu kepada Rasul. Oleh kerana ada kekurangan dalam salah satu perkara utama itu, maka orang itu tidak dikira sebagai ada iman, malah tidak boleh dikira sebagai muslim pun. Ada yang kononnya tidak percaya kepada Hadis seperti golongan Anti-Hadis yang ada di negara ini pun. Fahaman mereka itu tidak lengkap langsung kerana kalau percaya ada Tuhan, bagaimana nak tahu apa yang Tuhan nak kita buat kalau kita tidak percaya ada Rasul yang Allah sampaikan wahyu kepada mereka? Ini penting sebab kita tidak akan dapat maklumat itu terus dari Allah. Macam golongan Anti-Hadis, agaknya macam mana lah mereka nak solat kalau mereka tidak terima Hadis? Adakah mereka akan reka cara nak solat, sedangkan ayat suruhan solat ada dalam Qur’an. Mungkin ‘ulama’ mereka akan reka cara solat. Mereka tidak mahu terima hadis dari Nabi, tapi mereka sanggup terima hujah dari ‘ulama’ mereka? Ini amat sesat. Maka, nampak tak bagaimana pentingnya ketiga-tiga perkara itu kena ada?

Dan ketiga-tiga perkara tersebut banyak terdapat dalam ayat-ayat Surah Makkiyah. Hanya apabila ketiga-tiga perkara ini sudah kuat, barulah dikira ada iman. Surah-surah Makkiyah adalah tentang pemantapan iman kerana Allah nak pastikan pemantapan iman di awal Islam. Tentang hukum dan amalan itu datangnya kemudian, terutama dalam Surah-surah Madaniyyah. Malangnya, orang kita tidak faham tentang perkara ini, maka mereka ramai yang sibuk tentang amalan ibadat tapi tidak mantap iman mereka kerana mereka sangka mereka telah beriman, tanpa faham apakah iman itu sendiri.

Bahaya kalau tidak faham kerana ramai juga yang apabila disebut tentang ‘akidah’, mereka sangka akidah itu hanya tentang Allah sahaja. Ini bahaya kerana kadang-kadang iman kita tidak lengkap kerana kita katakan sesuatu yang tidak patut tentang Rasulullah. Memang kalau kita cakap sesuatu yang syirik tentang Allah, itu sudah rosakkan iman dan tauhid, tapi ada juga yang menyebabkan rosak iman mereka kerana tidak percaya kepada rasul atau memperkatakan perkara yang tidak patut tentang Rasul. Begitulah kadang-kadang ada manusia jahil yang kononnya terlalu sayang sangat kepada Nabi sampai mereka tidak sedar yang melawan kata-kata Nabi sendiri. Nabi kata jangan puja baginda, tapi mereka puja baginda; begitulah ada yang extreme samada terlalu meninggikan atau merendahkan Rasulullah. Sebagai contoh, mereka tidak kisah dengan amalan sunnah yang Nabi buat, sampai ada yang kata simpan janggut ianya hanya sunat sahaja (sebagai contoh). Ini adalah satu contoh bagaimana merendahkan suruhan Nabi Muhammad, padahal kita kena pandang tinggi dan amalkan apa yang baginda cakap.

Kita kena faham dan jaga betul-betul iman kita, kerana kalau tiada iman, amal baik pun tidak dikira. Bagaimana kita boleh periksa samada kita ada iman atau tidak?

Kita boleh tahu samada kita ada iman atau tidak, dengan melihat samada kita ada ketenangan atau tidak. Kerana kalau tidak ada ketenangan, maknanya kita ada masalah dengan iman. Iaitu kita tidak yakin dengan janji Allah kepada kita. Begitulah kalau kita ada masalah, ketahuilah yang itu semua adalah ujian dan tentunya ada kebaikan untuk kita. Dan kalau orang yang tidak ada iman, mereka akan gelisah, tidak puas hati, kelam kabut sahaja. Sedangkan kalau orang itu benar-benar beriman, dia akan tenang sahaja walau apa pun yang terjadi. Sebagai contoh, kalau mereka ada kehilangan barang pun mereka tidak kisah kerana mereka yakin yang semua benda adalah hak Allah, mereka hanya pinjam pakai sekejap sahaja dan Allah boleh tarik bila-bila masa sahaja.

Kita kena sedar yang iman itu adalah harta yang paling berharga sekali. Kita kena bersyukur kalau kita hidup dalam iman, tapi bagaimana kalau kita sahaja yang beriman tapi orang lain yang rapat dengan kita tidak? Maka kita kenalah sampaikan juga kepada orang lain, ajak mereka, ajar mereka, beri nasihat kepada mereka. Bandingkan, kalau kita ada harta, dan kita bagi harta itu kepada orang lain, tentu akan berkuranglah harta itu, bukan? Tapi bagaimana kalau kita ajar orang lain supaya mereka pun beriman juga, adakah berkurang iman kita itu? Oleh itu, ingatlah yang kalau kita beri nasihat kepada orang lain, tidak berkurang iman kita, malah akan bertambah pula.

Kalau kita teruskan perumpamaan iman itu dengan harta yang amat berharga, dan anda rasa iman ini berharga sangat, tidakkah kita mahu ahli keluarga dan orang yang rapat dengan kita pun dapat juga? Maka teruskan memberi nasihat kepada mereka, supaya mereka pun ada iman juga.

Dari segi bahasa, Allah boleh sahaja gunakan kalimah وَتَواصَوا بِالحَقِّ والصَّبرِ, (berpesan-pesan dengan haq dan kesabaran) dan ini benar dari sudut bahasa. Tapi Allah menggunakan kalimah وَتَواصَوا sekali lagi kerana Allah hendak memberi kedudukan yang tinggi terhadap kedua-dua perkara itu (haq dan kesabaran). Ini adalah kerana kedua-duanya penting. Kalau Allah tidak letak kalimah وَتَواصَوا pada الصَّبرِ, dari segi balaghah, ianya kurang penting dari الحَقِّ.

Apabila Allah suruh kita beramal yang baik (وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ), berpesan-pesan dengan al-haq dan berpesan-pesan dengan kesabaran juga sudah termasuk dalam amal yang soleh juga. Maksudnya, kalau tak disebut pun, ia sudah termasuk, tapi Allah sebut satu persatu kerana amat pentingnya dua perkara itu.

Beberapa perkara yang kita boleh ringkaskan setakat ini:

  1. Apabila Allah gunakan kalimah تَواصَ yang dari katadasar yang sama digunakan untuk wassiyyah, ia menunjukkan kita prihatin kepada orang yang diberikan dengan wasiat itu dan kerana itu kita berikan nasihat itu kepada mereka.
  2. Dan kita telah sebutkan bahawa dengan menggunakan kalimah العَصرِ, menunjukkan ada elemen kesuntukan masa, maka kena dilakukan dengan segera, tanpa lengah lagi.
  3. Dan apabila digunakan kalimah yang berkenaan dengan wasiat, ini menunjukkan apa yang diberikan itu ada nilai, sebab itu kita wasiatkan. Ini seperti kita mewasiatkan sesuatu harta, mestilah yang ada nilai, bukan? Kerana takut tak sempat nak beritahu kalau lambat.
  4. Dan apabila ianya berkenaan dengan wasiat, ini menunjukkan yang ia lain dari ikhbar (memberi khabar), i’lam (menyampaikan ilmu) sahaja. Kerana kalau wasiat, ada terdapat di dalamnya elemen sayang, kasih, prihatin kepada orang yang disampaikan wasiat itu.

Dari segi balaghah, ada kepentingan apabila digunakan huruf ب dalam kalimah بِالحَقِّ itu. Antaranya:

  1. Ianya boleh jadi adverb (kata keterangan). Ia bermaksud, apabila kita memberi nasihat itu, kita beri nasihat itu ‘dengan haq’. Maksudnya, bercakap dengan benar, tidak berbahasa iaitu tidak tinggalkan apa yang sepatutnya diberikan. Ini kerana kadang-kadang semasa beri nasihat, kita tak bagitahu habis kerana takut orang itu tidak dapat terima. Tetapi kalau kita jujur dan ikhlas, kita akan beritahu semua sekali. Jadi kena ingat perkara ini semasa kita memberi nasihat itu.
  2. Ia boleh bermaksud memberitahu yang ‘haq’. Dan yang haq itu ditafsirkan sebagai  Qur’an, tauhid, sunnah. Inilah yang kena diberitahu kepada orang. Maknanya, apa yang kita sampaikan kepada mereka itu bukan datang dari kita, tapi dari wahyu ilahi.
  3. Menasihat ke arah ‘haq’. Kita tahu bagaimana ada orang yang lemah semangat dalam agama. Sebenarnya mereka sudah ada iman dan sudah mula buat amal, tapi mereka kena diingatkan dan diberi semangat dari masa ke semasa kerana mereka kadang-kadang lemah semangat. Ingatkan mereka kepentingan untuk meneruskan buat baik, kepentingan iman, kepentingan amal dan ingatkan mereka apakah tujuan mereka, iaitu menuju al-haq – kebenaran.

Dan apakah al-haq itu? Ulama juga membincangkan perkara ini. Antaranya:

  1. Perkara yang kita sudah tahu dalam hati kita yang ianya adalah benar. Oleh itu, apabila kita mengajak manusia, kita sebenarnya mengajak mereka kepada perkara yang mereka sendiri sudah terima sebagai benar.
  2. Perkara yang boleh dibuktikan dengan dalil. Oleh itu, kalau ada orang tidak percaya, kita boleh beri hujah dan dalil yang sahih, kerana ianya datang dari wahyu.
  3. الحَقِّ juga digunakan dalam bahasa Arab untuk membawa maksud kewajipan dan tanggungjawab yang perlu dijalankan. Sebagai contoh ada disebut dalam Baqarah:241 tentang kewajipan memberi mahr kepada bakal isteri (وَلِلْمُطَلَّقَاتِ مَتَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ حَقًّا عَلَى الْمُتَّقِينَ) Maksudnya, apabila kita memberi nasihat kepada orang, kita ingatkan mereka kepada tanggungjawab mereka. Sebagai contoh kita beri nasihat kepada suami yang tidak jalankan tugasnya sebagai suami; seorang pemimpin yang tidak jalankan tugas mereka sebagai pemimpin; sebagai anak; sebagai seorang muslim dan sebagainya.

Sekarang mari kita bincangkan apakah kaitan وَتَواصَوا بِالحَقِّ وَتَواصَوا بِالصَّبرِ dengan آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ sebelum ini? Kalau kita perhatikan آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ adalah dua perkara yang kita boleh buat bersendirian sahaja. Tetapi kalau kita lihat pula وَتَواصَوا بِالحَقِّ وَتَواصَوا بِالصَّبرِ, ianya adalah perkara yang bukan bersendirian tapi melibatkan orang lain juga. Seperti yang kita sendiri tahu, ada amal yang memberi kesan kepada diri kita sahaja dan ada yang memberi kesan kepada orang lain. Sebagai contoh, kalau kita mendirikan solat, ianya memberi kesan kepada diri kita sendiri; tapi kalau kita memberi sedekah, ianya memberi kesan kepada diri kita DAN juga memberi kesan kepada orang lain juga, bukan?; begitu juga kalau perbuatan buruk seperti menipu, ia memberi kesan kepada diri kita dan juga kepada orang lain;

Oleh itu, kalau kita hanya prihatin kepada diri kita sahaja, ini adalah tidak bagus. Kerana kalau seseeorang tidak menjalankan tanggungjawab, ia akan melibatkan orang lain juga, bukan diri dia sahaja. Oleh itu, kita kena berdiri dan cakap yang benar. Sebagai contoh, kalau ada orang yang dizalimi, kita tidak boleh berdiam diri sahaja dan buat bodoh buat tak tahu. Sebagai contoh, katakanlah kita nampak kanak-kanak bermain bola di kawasan yang boleh rosakkan harta orang lain, maka kita kena nasihat mereka supaya jangan main di kawasan itu kerana bola mereka boleh kena kereta orang, rumah orang dan sebagainya. Sebagai seorang muslim, kita tidak boleh tengok sahaja tanpa melakukan apa-apa atau bercakap apa-apa. Akan tetapi, kita sedar yang memang benda-benda macam ini memerlukan keberanian. Kadang-kadang memang bahaya kalau kita bercakap dan orang yang diberitahu itu tidak suka. Tambah pula kalau orang yang buat zalim itu memang seorang yang zalim dan ada kuasa (menegur kanak-kanak bermain bola tentulah tidak sama dengan menegur pemimpin yang zalim). Tentu kadang-kadang kita memang sedar yang kita rasa kita kena beritahu sesuatu, tapi selalu kita fikirkan kesan kepada diri kita. Kerana itulah, selalu orang buat senyap sahaja untuk menjaga kepentingan dan keselamatan diri mereka. Kerana itulah Allah dah sebut di awal lagi – ini kena mula dengan ada iman dahulu. Kerana orang yang ada iman, dia akan sanggup buat kerja ini. Dan kalau sudah takut nak ingatkan, nasihat, tegur orang lain yang berbuat kesalahan, maka itu tanda iman tidak kuat.

Untuk lebih memahami perkara ini, lihatlah satu hadis yang popular ini:

عَنْ أَبِي سَعِيْد الْخُدْرِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُوْلُ : مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَراً فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ اْلإِيْمَانِ. رواه مسلم

Dari Abu Sa’id Al Khudri radiallahuanhu berkata: Saya mendengar Rasulullah shallallahu`alaihi wa sallam  bersabda: “Siapa yang melihat kemungkaran maka rubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka rubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka (tolaklah) dengan hatinya dan hal tersebut adalah selemah-lemahnya iman.” (Riwayat Muslim)

Lihatlah bagaimana Rasulullah memberitahu kita, mulanya kita kena cuba mengubah kemungkaran itu dengan tangan kita. Kalau tidak mampu, maka berilah teguran dan nasihat dengan lidah. Akhir sekali, kalau itu pun tidak mampu, maka kita tolaklah dengan hati kita, iaitu kita ada rasa tidak redha dengan kemungkaran yang dilakukan. Dan ini yang tidak menariknya – Rasulullah kata itu adalah iman yang paling lemah. Lihatlah bagaimana Nabi tidak kata itu paling lemah dari segi perbuatan, tapi Nabi kaitkan dengan ‘iman’. Ini adalah orang yang iman kuat, dia akan buat dengan tangan dia dan dengan lidah dia. Ini adalah kerana mereka yakin dengan Allah dan mereka tidak takut kesan dari perbuatan mereka itu. Mereka tahu apa yang mereka lakukan, dan mereka tidak boleh melihat kemungkaran berlaku di depan mata mereka dan mereka melihat sahaja.

Kalimah تَواصَ adalah dalam  wazan تفاعل – yang bermaksud ada elemen kerjasama. Dan memang perbuatan تَواصَ ini kena dilakukan dalam masyarakat kerana kena ada kerjasama dalam masyarakat, bukan? Oleh itu, تَواصَ itu kena bermula dengan orang yang rapat dengan kita. Ianya bermula dari lingkaran yang kecil dan membesar ke luar lagi. Dan selalu kita rasa itu lebih sukar sebenarnya, kerana kadangkala dengan keluarga kitalah yang berat nak beri nasihat. Ini adalah kerana manusia selalunya sukar nak terima nasihat dari ahli keluarga sendiri. Kerana itulah ramai orang berilmu boleh mengajar orang lain, tapi anak sendiri dan keluarga sendiri mereka sukar nak nasihati. Oleh kerana itu, memberi nasihat kepada orang yang rapat dengan kita amat memerlukan kesabaran. Dan ini bukan memerlukan kesabaran yang biasa tapi kesabaran yang amat tinggi. Kerana itu Allah tekankan selepas itu dengan nasihat untuk bersabar.

الصَّبرِ bukan sahaja menerima apa sahaja yang terkena kepada kita, tapi ia juga bermaksud  ‘ketabahan’ atau istiqamah. Iaitu apabila susah dalam melakukan sesuatu, kita tetap tabah dan terus melakukannya. Ia juga termasuk komitmen. Iaitu kena kuat semangat untuk meneruskan. Memang susah untuk beri nasihat, tapi kita terus sabar dan tabah untuk terus melakukannya. Juga kena ada ketetapan, tidak turun naik, tapi terus berjalan sahaja.  Walaupun susah, kena beri komitmen yang sama. Dalam ertikata lain, jangan ‘putus angin’.

تَواصَ بِالصَّبرِ bukan sahaja orang ke arah haq dengan sabar, tapi juga mengajak orang lain jadi sabar juga. Kita sebagai manusia memang memerlukan nasihat untuk sabar. Maksudnya, kita memang susah nak sabar dan kita sendiri memerlukan orang lain nasihat kita jadi sabar. Kalau kita bersendirian sahaja, memang susah nak jaga sabar. Tidak dinafikan, memang ramai orang yang baik hati, mahu melakukan kebaikan, tapi sekali sekala kena nasihat kepada mereka supaya kena sabar. Bukannya mereka tidak tahu tentang sabar, tapi mereka dan kita akan dapat manfaat kalau diberi nasihat untuk jadi sabar. Ini adalah kerana syaitan pasti akan kacau mereka yang melakukan kerja atas agama, maka kita kena nasihat mereka yang buat kerja-kerja ini. Kita kena beritahu mereka yang mereka kena sabar dan mereka kena ingat dengan tujuan asal mereka.

Dalam buat ibadat kepada Allah juga memerlukan kesabaran. Kadang-kadang kita bersemangat untuk baca Qur’an, solat sunat dan sebagainya, tapi kadang-kadang akan datang malas itu. Terutama dalam kelas pengajian. Selalu kita perasan, kalau mula kelas pengajian, akan ramai orang yang datang. Tapi lama kelamaan, komposisi kelas akan berkurangan dan yang tinggal adalah beberapa kerat sahaja. Entah datang kerana malu atau terpaksa, atau memang mereka sudah lemah semangat nak datang kelas. Syaitan tidak suka kalau kita jadi orang berilmu, maka syaitan akan bisikkan kemalasan kepada mereka.

Dari segi nahu, semua empat perkara yang perlu dilakukan ini dalam past tense. Kenapa begitu? Ini adalah kerana kita hendak melihat yang orang itu telah melakukan semua perkara itu selama dia hidup, bukan sekerat jalan sahaja. Maknanya, orang itu sudah tiada lagi, tapi kita boleh kata yang semasa di hidup dulu, dia telah beriman, beramal soleh, berpesan kepada haq dan berpesan kepada kesabaran. Ini tidak sama kalau kita kata seseorang itu ‘sedang’ beriman, beramal soleh, berpesan kepada kebenaran dan kesabaran. Kerana kalau dia ‘sedang’ melakukannya, belum tentu lagi dia akan meneruskan kerana boleh sahaja terjadi ada kemungkinan yang dia tidak meneruskan. Ini memberi isyarat kepada kita yang keempat-empat perkara yang telah disebut itu kena buat sampai mati. Maknanya, tidak boleh berhenti pada mana-mana peringkat kehidupan pun, tapi kena teruskan sampailah mati.

Dan keempat-empat perkara ini berkaitan dan kalau ada yang tidak ada, akan menyebabkan kehancuran kepada seseorang muslim itu. Sebagai contoh, kalau dia tidak ada sabar, dia tidak boleh nak nasihat orang kepada kebenaran. Kerana bukan senang nak nasihat orang dan kalau tidak ada kesabaran.

Bagaimana kita tahu yang apa yang kita nasihatkan itu adalah ‘kebenaran’? Salah satunya adlaah kalau kita ajak itu, ada yang marah. Kerana kalau tidak ada orang yang marah, mungkin apa yang kita ajak itu bukanlah تَواصَ بِالحَقِّ. Kerana jarang sekali orang yang terima sahaja kebenaran yang disampaikan kepada mereka. Kerana kebanyakan manusia adalah dalam keadaan alpa dan jahil dari agama dan mereka akan marah kalau kita tegur mereka. Ia seolah-olah, kena marah dengan orang yang dinasihat itu memang datang dengan kerja nasihat ini. Bagaimana kita tahu? Lihatlah kepada para Nabi dan para ulama. Sudah tentu mereka itu baik, pandai cara dakwah, tapi apa yang mereka dakwah itu menyebabkan mereka kena serang, kena caci, kena sakiti dan macam-macam lagi. Dan memang mereka kena sabar sangat dengan layanan dari umat-umat mereka. Tapi begitulah sunnatullah kerja dakwah – memang akan berlawan dan menentang arus masyarakat semasa. Kerana itu janganlah hairan sangat kalau ditentang dan tidak diterima oleh kebanyakan dari orang. Itu semua adalah dugaan dari Allah supaya kita dapat bersabar dan dapat pulangan pahala dari kesabaran itu. Kerana kalau semua orang terima sahaja, maka tidaklah ada pahala sabar, bukan?

Kalau tidak menjalankan تَواصَ kepada orang lain – itu menunjukkan sebenarnya tidak ada iman dalam diri kita dan kita pun sebenarnya tidak melakukan amal soleh dengan sebenarnya. Kerana kalau kita buat amal soleh, baru kita nampak amal yang tidak soleh. Baru nampak banyak amal-amal yang bidaah yang dilakukan oleh masyarakat; dan bila kita sudah biasa buat amal soleh, kita tidak akan senang kalau lihat orang tidak buat amal soleh. Geram sahaja hati kita apabila melihat amalan bidaah yang diamalkan oleh masyarakat sekarang. Dan kerana itulah orang yang sudah kenal Sunnah, akan tegur amalan bidaah masyarakat (dan tentunya menyebabkan mereka marah kepada kita, bukan?). Tapi itulah hakikatnya, dan kalau kita tidak kisah dengan amalan salah dan bidaah orang lain, maka itu tandanya kita pun tidak buat amal soleh itu sendiri.

Kita hampir ke penamat tafsir surah ini. Surah ini pendek sahaja, tapi rasanya sekarang anda boleh nampak bagaimana walaupun surah ini pendek sahaja tapi ianya amat susah untuk diamalkan. Usaha untuk memahaminya pun sudah satu kesukaran, apatah lagi untuk mengamalkannya. Tapi kalau kita usaha untuk menerapkan dalam kehidupan seharian kita, kita akan dapat melihat bagaimana ianya mengubah pandangan kita terhadap hidup kita secara keseluruhan.

Surah ini dimulai dengan menyebut masa yang suntuk (العَصرِ – waktu asar memberi isyarat masa yang suntuh), dan diakhiri dengan empat perkara yang perlu dilakukan. Oleh itu, apakah kaitan antara awal surah ini dan akhirnya? Ketahuilah bahawa masa untuk kita buat empat perkara ini tidak lama, sekarang sudah masa emergency dah. Jangan lengah lagi, maka kita kena buat keempat-empat perkara itu dengan segera.

Sangat hebat sekali surah ini, sampaikan pernah Imam syafie berkata, kalaulah Allah turunkan Surah al-Asr ini sahaja, sudah memadai untuk kita jadikan panduan hidup. Dan kerana hebatnya surah inilah yang menyebabkan pada sahabat dan tabein akan bacakan surah ini sesama mereka selepas selesai perjumpamaan mereka untuk ingatkan sesama mereka tentang perkara yang amat-amat penting ini.

Sekian. Allahu a’lam. Sambung ke surah seterusnya, Surah Humazah.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 103: al-Asr. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s