Tafsir Surah al-Asr Ayat 1 – 2 (Masa sudah suntuk!)

Pengenalan:

Surah ini adalah Surah Makkiyah dan ianya hanya tiga ayat sahaja. Ianya salah satu dari surah yang terpendek dalam Qur’an, tapi walaupun ia pendek, ia mengandungi banyak sekali pengajaran di dalamnya, sampaikan kita akan mengambil masa juga untuk menafsir surah ini.

Dalam Takathur yang kita baru belajar sebelum surah ini, Allah telah memberitahu yang manusia akan ditanya dengan segala nikmat yang mereka telah rasai semasa mereka di dunia; dan surah ini bermula dengan nikmat yang amat besar – masa. Seperti yang kita semua tahu, semua orang dapat masa yang sama, tidak lebih dan tidak kurang semua akan akan dapat 24 jam sahaja sehari semalam. Dan masa inilah yang akan ditanya di akhirat kelak – “bagaimana kita habiskan masa kita?”. Ianya amat penting sampaikan ia akan ditanya nanti, tapi kebanyakan dari kita kita tidak hargai pun masa ini. Kita buang begitu sahaja, bukan?

Dan memang dalam Surah Takathur, Allah telah menyebut tentang manusia yang leka dengan dunia. Mereka hanya sibuk dengan benda yang tidak penting sampaikan mereka tidak mengambil peluang kehidupan mereka di dunia ini untuk mengisi dengan pahala dan membuat persediaan untuk menghadapi akhirat nanti. Akan tetapi dalam surah itu tidak disebut apakah yang menyebabkan kita leka itu. Dan tidak disebut kita dilekakan dari apa? Itu semua tidak disebut tapi kita telah tafsirkan juga apakah yang melekakan kita dan kita dilekakan dari apa. Dan walaupun tidak disebut dalam surah sebelum ini, dalam surah al-Asr ini akan disebut yang kita dilekakan dari memberi peringatan kepada manusia. Itu adalah salah satu dari perkara yang kita leka dan lalai untuk lakukan.

Di dalam Surah Takathur, Allah telah sebut bagaimana kita nak banyak dan banyak lagi, tidak cukup dan puas-puas dengan apa yang ada. Dan dalam surah ini, Allah akan bercakap tentang khusr – rugi. Ianya adalah kerugian yang amat berat, bukan sahaja tidak untung, malah modal perniagaan pun habis. Itulah jenis kerugian yang dinamakan ‘khusur’. Dalam Surah Takathur sebelum ini tentang disebut bagaimana manusia yang mahu dapat banyak dan banyak lagi tapi dalam surah ini Allah beritahu yang sebenarnya mereka bukan dapat banyak, malah mereka akan rugi lagi. Begitulah, mereka sangka mereka untung, tapi mereka rugi sebenarnya.

Kita telah sebutkan bagaimana kaitan antara empat surah sebelum ini dan sekarang dalam Surah al-Asr ini, ianya seolah-olah sebagai konklusi dari surah-surah itu.

Kita telah belajar Surah Teen dan ada persamaan ayat Surah Asr ini dengan Surah Teen – إِلَّا الَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ فَلَهُم أَجرٌ غَيرُ مَمنونٍ. Cuma Surah Teen lebih berbunyi positif dan ada tabshir di dalamnya. Sedangkan dalam Surah Asr ini tidak disebut tentang balasan baik pun. Ada empat perkara yang akan disebut dalam surah ini dan semua itu perlu dilakukan – dan itu bukanlah pencapaian yang cemerlang, cuma setakat ‘cukup makan’ sahaja, maka memang kena dilakukan oleh semua orang kalau mahu selamat. Kalau mahu selamat di akhirat, maka kena lakukan keempat-empat perkara itu. Sebab itu tidak disebut balasan baik kalau melakukan keempat perkara ini – kerana ianya adalah perbuatan minimal yang perlu dilakukan.

Dalam surah ini nanti kita akan belajar bagaimana Allah sebut dua amalan yang manusia selalu tertinggal untuk lakukan: iaitu mengajak orang ke arah kebaikan. Ini amat penting untuk kita lakukan malangnya ramai orang terlupa atau tidak sanggup untuk melakukannya; sedangkan kalau ibadat lain seperti solat dan puasa, ramai dah buat dah. Ramai juga yang tidak tahu pun yang mereka kena ajak dan dakwah orang lain. Mereka sangka itu adalah kerja orang lain, bukan kerja mereka. Maka amat malangnya mereka. Perkara ini amat penting untuk diketahui dan dilakukan kerana agama ini bukan hanya diri sendiri sahaja. Kita kena ajak orang lain juga untuk bersama-sama dengan kita dalam agama tauhid ini. Oleh itu dakwah adalah perkara yang kena dilakukan dan surah ini adalah dalilnya.

Dalam surah ini, disebut bagaimana semua manusia dalam kerugian, ‘kecuali’ kalau mereka melakukan empat perkara. Apabila Allah gunakan ‘pengecualian’, itu maknanya, yang majoriti dari manusia adalah dalam kerugian. Ini amat menakutkan sekali kerana maknanya kebanyakan dari manusia tidak selamat dan takut kalau-kalau kita termasuk dalam golongan mereka. Jadi kita kena terima kenyataan berdasarkan ayat ini yang kebanyakan manusia adalah dalam kerugian.

Begitulah pentingnya maklumat dan peringatan yang disampaikan dalam surah ini sampaikan para sahabat sebelum berpisah sesama mereka, mereka akan bacakan surah ini untuk mengingatkan yang lain. Dari amalan para sahabat itulah yang ramai dari kalangan orang Melayu yang membacakan surah ini apabila mereka selesai dari majlis perjumpamaan mereka.

Dari Abu Madinah Ad-Darimi, ia berkata,

كَانَ الرَّجُلانِ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا الْتَقَيَا لَمْ يَفْتَرِقَا حَتَّى يَقْرَأَ أَحَدُهُمَا عَلَى الآخَرِ : ” وَالْعَصْرِ إِنَّ الإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ ” ، ثُمَّ يُسَلِّمَ أَحَدُهُمَا عَلَى الآخَرِ

Jika dua orang sahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam itu bertemu, mereka tidaklah berpisah sampai salah satu di antara keduanya membaca ‘wal ‘ashr innal insana lafii khusr …’. Lalu salah satu dari keduanya mengucapkan salam untuk lainnya.” (HR. Abu Daud dalam Az-Zuhd, no. 417; Ath-Thabrani dalam Al-Mu’jam Al-Awsath, 5: 215; Al-Baihaqi dalam Syu’ab Al-Iman, 6: 501. Syaikh Al-Albani mengatakan bahwa hadits ini shahih. Lihat Silsilah Al-Ahadits Ash-Shahihah, no. 2648)

Allah sedang menyebutkan bahawa kejayaan dunia bukanlah tanda kejayaan. Kita sebagai manusia selalunya melihat kejayaan itu dengan kejayaan keduniaan (banyak duit, banyak harta, banyak tanah dan sebagainya), tapi Allah letakkan standard yang lain. Jadi kita kena betulkan semula fahaman kita tentang kejayaan yang telah banyak salah, kerana asyik kita lihat kejayaan di dunia sahaja. Antara punca masalah ini adalah kerana media massa sekarang cuba membasuh fikiran kita dengan memberitahu apakah yang dimaksudkan dengan ‘kejayaan’ yang bukannya kejayaan pun. Kita bukan nak kata dunia ini buruk, jahat, tidaklah begitu. Kita tidak boleh kata begitu kerana memang dunia ini dijadikan untuk kita. Oleh itu, kalau kita dapat menikmati dunia ini, ia tidaklah salah, tapi dalam masa yang sama, janganlah kata ianya adalah ‘kejayaan’. Kerana kejayaan dunia bukanlah boleh dikira sebagai kejayaan yang sebenar. Ianya sebagai ujian sahaja (kesusahan adalah ujian, dan kesenangan pun adalah ujian juga).

Jadi, surah ini kenalah selalu dibaca dan diingatkan kepada kita berkali-kali tentang apakah kejayaan yang sebenarnya. Dan kita kena bangkit dari fahaman yang salah selama hari ini. Sekarang bayangkan kita sedang lemas dan tidak sedarkan diri. Kalau kita terus tidak sedarkan diri, sudah tentu kita akan mati lemas. Dan keadaan amat bahaya kerana tentu tidak ada masa untuk menyelamatkan diri kita. Ini adalah antara masa kita tidak sedarkan diri itu dan terus lemas dalam air, tidak panjang. Tidak lama lagi, masa akan habis dan itulah maksud ‘al-asr’ – masa singkat yang sudah nak habis. Kalau dalam keadaan hampir lemas itu tentu untuk selamatkan diri, kena sedar dulu, bukan? Kerana kalau terus tidak sedar, tentu akan mati. Mungkin waktu itu mungkin orang yang sedang hampir lemas itu dia sedang mimpi indah, tapi bila dia disedarkan, secara tiba-tiba dia akan tahu apa yang dia sedang hadapi (yang dia hampir lemas) supaya dia terus dapat selamatkan dirinya dengan berenang atau pegang pada sesuatu yang kukuh – kalau dia tak mahu terima kenyataan, nak terus tidur menikmati mimpi indah, apa yang kita panggil tentang orang yang mcam itu? Tentu kita panggil orang itu orang gila. Kita sudah cuba sedarkan dia, dia marah pula dan nak terus tidur. Tentu kita tidak mahu jadi orang macam itu, bukan? Oleh itu sepatutnya kita kena sedar dari tidur kita dan cuba selamatkan diri kita. Kita kena berenang ke tepian atau berpegang kepada sesuatu yang kukuh.

Dan kalau kita sudah sedar itu, dalam kita nak berenang ke tepian, baru kita perasan yang ada ahli keluarga dan kawan-kawan kita yang sedang tidur lena dan hampir lemas juga, apa yang kita patut lakukan? Tentu kita akan gerakkan mereka dari tidur itu, bukan? Kerana kita kesian dan sayang kepada mereka dan kita tidak mahu mereka terus tertidur bukan? Maka begitu juga kita dengan orang yang berdekatan dengan kita, kita sedarkan mereka dari masalah mereka tidak sedar yang mereka di dalam kerugian itu. Itulah kita kena sampaikan ajaran agama ini kepada mereka.

Oleh itu, dari analogi yang kita baru sampaikan ini, pertama sekali yang kita disuruh faham adalah percaya bahawa kita sedang sedang tidak sedarkan diri dan kita hampir lemas dan kita akan terus lemas kalau kita tidak sedar dan lakukan sesuatu untuk menyelamatkan diri kita.

Sekali lagi ini adalah satu lagi surah yang bermula dengan sumpah. Kita telah belajar banyak ayat-ayat tentang sumpah. Antara sebab sumpah digunakan dalam Qur’an adalah:

– Menunjukkan ketinggian sesuatu perkara itu. Allah memberi isyarat pentingnya perkara yang dijadikan sebagai objek sumpah itu. Dalam surah ini, ‘masa’ dijadikan sebagai sumpah.
– Mengaitkan antara objek sumpah dan subjek sumpah itu. Dalam surah ini, object sumpah adalah ‘masa’ dan subjek sumpah adalah ‘manusia dalam kerugian’. Manusia dalam kerugian kerana tidak menjaga masa.
– Objek sumpah dijadikan sebagai saksi kepada subjek. Masa berlalu sentiasa dan melihat sahaja bagaimana manusia merugikannya. Dan apabila masa itu berlalu, sudah tidak boleh diambil lagi. Begitulah ruginya kita kerana perkara itu tidak dapat diambil kembali apabila sudah tiada.
– Perkara yang dijadikan sumpah itu memang sesuatu yang amat penting. Tahukah kita hakikat ‘masa’? Mungkin susah untuk kita bayangkan dengan sepenuhnya. Tapi Nabi Muhammad SAW telah bersabda tentang masa:

Dalam shohih Muslim, dibawakan Bab dengan judul ’larangan mencela waktu (ad-dahr)’. Di antaranya terdapat hadits dari Abu Hurairah, Rasulullah shallallahu ’alaihi wa sallam bersabda,

قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ يُؤْذِينِى ابْنُ آدَمَ يَسُبُّ الدَّهْرَ وَأَنَا الدَّهْرُ أُقَلِّبُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ

Allah ’Azza wa Jalla berfirman,’Aku disakiti oleh anak Adam. Dia mencela waktu, padahal Aku adalah (pengatur) waktu, Akulah yang membolak-balikkan malam dan siang.” (HR. Muslim no. 6000)

Maksud hadis ini, Allah lah yang menguruskan masa. Dan kalau kita kutuk atau hina masa, maka kita mengutuk dan menghina Allah, nauzubillah! Jadi, jangan kita sambil lewa sahaja berkata: “Ini tahun yang teruk”, “ini zaman yang teruk”, “hari ini hari sial” dan sebagainya. Kita tidak boleh cakap macam itu dan dari hadis ini, kita tahu yang Nabi dah larang dah.


 

Ayat 1: Allah bersumpah dengan masa.

وَالعَصرِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-‘Aṣr: Time.

By time,¹

  • An oath in which Allāh swears by time throughout the ages.

(MALAY)

Demi masa.

 

Allah bersumpah dengan ‘masa’, yang ada kaitan dengan الدَّهْرَ yang disebut dalam hadis di atas. Dan kalimah الدَّهْرَ juga ada digunakan dalam Qur’an dalam Insaan:1

هَل أَتىٰ عَلَى الإِنسانِ حينٌ مِنَ الدَّهرِ لَم يَكُن شَيئًا مَذكورًا

Bukankah telah datang atas manusia satu waktu dari masa, sedang dia ketika itu belum merupakan sesuatu yang dapat disebut?

Apabila Allah bersumpah dengan masa, ini memberi isyarat:

1 – Allah menyuruh kita berfikir tentang masa yang sentiasa berlalu meninggalkan kita.

2 – Manusia di dalam kerugian (seperti yang disebut dalam ayat 2 nanti), dan dalilnya adalah ‘masa’, kerana masa itu sentiasa bergerak ke hadapan dan manusia tidak dapat mendapatkan kembali masa yang telah berlalu itu. Kalau terlepas, sudah rugi.

Kita ada banyak peluang untuk menggunakan masa untuk mendekatkan diri dengan Allah. Tapi malangnya ramai yang tidak mengambil kesempatan itu. Dan kalau kita sudah tahu yang kita telah rugi masa yang lepas, kita kena jadikan kesesalan itu sebagai pemangkin untuk kita mengambil kesempatan di masa hadapan pula. Jangan terus sesal, tapi ambil peluang di masa hadapan.

3 – العَصرِ boleh bermaksud kehidupan manusia zaman berzaman, dari satu period ke satu period. Ada kerajaan yang bangun dan ada kerajaan yang naik.

4 – Objek dijadikan sebagai saksi bagi subjek. Oleh itu, Allah mengambil masa sebagai saksi. Iaitu saksi bahawa betullah manusia itu dalam kerugian.

5 – Manusia tidak menghargai masa singkat mereka di dunia ini. Mereka banyak yang mengejar kepentingan keduniaan sampai mereka lupa untuk bersedia untuk akhirat. Ini kita boleh lihat dalam tafsir Surah at-Takathur. Dalam surah itu, kita telah sebut bagaimana manusia sepanjang zaman mengejar harta, kemewahan, kebendaaan, kekuasaan dan lain-lain lagi. Mereka mengejar semua itu kerana mereka sangka itu akan memberi kejayaan kepada mereka, dan akhirnya mereka mati dalam keadaan sentiasa mengejar dunia itu. Proses yang sama berulang-ulang dalam setiap zaman, generasi demi generasi, selama ribuan tahun; ada satu makhluk Allah yang sentiasa memerhati dan menyaksikan kejadian ini – العَصرِ (masa). 

Dari segi bahasa (etymology), kalimah العَصرِ bermaksud ‘mata yang hampir habis’. Kalau kita lihat Solat Asar pun, bukankah ianya di hujung-hujung siang hari dan tidak lama lagi malam akan datang? Ia juga adalah solat yang terakhir pada siang hari itu. Ia juga dari segi penggunaan bahasa Arab, ianya adalah waktu dimana peniaga dan pengembara akan bergegas untuk menjual dan pengembara akan bergegas untuk sampai ke tujuan mereka bagi hari itu kerana masa siang sudah hampir tamat dan selepas itu adalah malam dan tidak ada orang datang membeli dan pengembara mesti mencari tempat berehat untuk hari itu kerana malam bahaya untuk bergerak.

Allah gunakan kalimah العَصرِ untuk memberi isyarat kepada waktu sedangkan ada kalimah-kalimah lain untuk ‘masa’ dan digunakan juga di dalam Qur’an:

Muddaththir:34 وَالصُّبحِ إِذا أَسفَرَ – dan subuh apabila mulai terang.

Fajr:1 وَالفَجرِ – Demi fajar

Dhuha:1 وَالضُّحىٰ – Demi waktu matahari sepenggalahan naik,

Layl:2 وَالنَّهارِ إِذا تَجَلّىٰ – dan siang apabila terang benderang,

Ada banyak pendapat mufassir tentang apakah yang dimaksudkan dengan العَصرِ itu. Ada yang kata ia merujuk kepada seluruh masa dan ada yang mengatakan ianya adalah waktu-waktu tertentu.

Kita boleh lihat bagaimana ada banyak lagi kalimat yang boleh digunakan untuk beri isyarat kepada ‘masa’ tapi Allah gunakan kalimah العَصرِ kerana ianya ada kaitan dengan masa yang hampir habis, jadi kena cepat lakukan sesuatu. Oleh itu, ianya memberi kesan kepada kita yang membaca surah ini. Kita tahu yang apa yang Allah hendak beritahu selepas ini adalah penting kerana sudah masuk ke dalam masa tambahan/masa kecederaan (analogi bolasepak) dah. Masa tidak ada banyak lagi untuk memperbetulkan diri kita. Masa sudah hampir senja jadi jangan lengahkan lagi. Bangunlah dari igauan kehidupan yang leka dari agama. Apa yang kita kena buat (akan diberitahu selepas ini), kena buat dengan cepat dan jangan lengah lagi.

Kalau kita berikan lagi perumpamaan, ianya seperti peniaga ais yang menjual aisnya. Dia kena cepat jual kerana barangnya itu tidak tahan lama. (waktu dulu, tidak ada peti air untuk simpan ais itu). Kalau dia lengah untuk jual, ianya akan jadi air dan dia tidak dapat jual langsung dah dan dia akan rugi masa sahaja menyediakan ais itu. Dia kena jual sebanyak mungkin sebelum semua aisnya itu jadi air.

Allah akan beritahu selepas ini, untuk selamat dari rugi yang telah disebut, ada empat perkara yang manusia kena jaga. Dan dari empat perkara itu, ianya bertitik tolak dari ‘iman’. Iman amat penting kerana kalau tiga perkara itu tidak dapat dilakukan, ianya adalah kerana tiada iman. Dan kalau ada iman, tiga perkara lagi itu akan senang untuk ada.

Dalam dunia ini, kalau ada masalah yang perlu diselesaikan, kita akan periksa dan cari apa punca masalah itu. Kita akan cari dan tanya sesiapa yang kita boleh tanya, untuk mendapat tahu apa yang terjadi. Akhirnya mungkin kita akan dapat tahu apakah puncanya bila dah tahu apakah fakta penyebab itu, maka barulah boleh buat keputusan berdasarkan maklumat yang kita dah dapat. Katakanlah kita dah tahu fakta dan tahu apa yang perlu dilakukan, adakah patut kalau kita tidak ambil tindakan? Kalau kita dah tahu fakta, tapi tidak buat keputusan dan tindakan berdasarkan fakta yang ada, itu adalah salah sama sekali. Ini adalah perkara asas dan orang bukan Islam pun tahu perkara ini. Jadi, selepas ini, kita akan sentuh apakah perkara yang perlu dilakukan oleh manusia untuk selamat di akhirat dan kalau tidak mahu ambil juga tindakan dan keputusan yang tepat berdasarkan ayat Qur’an, maka itu adalah orang yang amat bodoh sekali dan memang layak untuk dikenakan tindakan di akhirat kelak.

Salah satu perkara yang kita kena lakukan adalah menyampaikan ajaran agama ini kepada orang lain, tegur mereka kalau mereka buat salah dan beri nasihat kepada mereka. Ini amat susah untuk dilakukan oleh kebanyakan orang. Memang ramai yang ada pengetahuan agama tapi mereka akan berat mulut untuk tegur orang lain. Ini adalah kerana kita telah diajar dalam kes orang lain, kita tidak boleh jaga tepi kain orang lain. Kita diajar untuk biar sahaja apa orang lain nak buat dengan hidup mereka. Aku buat hal dan jaga hal aku dan orang lain jaga hal mereka sendiri. Ada yang lagi bodoh kata: “kubur masing-masing”. Ketahuilah yang ini bukan sunnah dalam agama. Bayangkan, kalaulah kita tidak boleh jaga tepi kain orang lain, tentu Nabi buat amal baginda sendiri sahaja. Lagi senang hidup baginda kalau begitu, buat amal sendiri sahaja dan jangan tegur langsung amalan Musyrikin Mekah. Akan tetapi kita pun tahu yang Nabi tidak begitu dan banyak ayat Qur’an yang suruh kita beri nasihat dan tegur orang lain kalau mereka buat kesilapan dan kesalahan. Begitulah, kalau orang buat salah, kita sekurang-kurangnya kena tegur. Inilah perkara yang kita kena lakukan kerana tidak cukup kalau kita sahaja yang baik, tapi buat tidak tahu kalau orang lain buat salah. Kita kena menegakkan agama ini di dalam masyarakat kita. Jangan buat tidak tahu sahaja.

Dan memang kita tidak nafikan, ramai yang takut nak cakap sebab nak jaga diri mereka. Tapi kena tahu yang itu adalah orang yang pengecut dan tidak kuat agama mereka. Mereka juga tidak berapa yakin dengan agama mereka kerana kalau orang yang yakin, mereka akan lakukan apa yang mereka percaya. Kita lihatlah bagaimana orang-orang yang kuat dalam ‘human rights movement’ – mereka berani bercakap tentang apa yang mereka percaya dan mereka sanggup susah kerananya. Kadang-kadang mereka kena pukul, kena tangkap oleh pihak berkuasa, tapi mereka tetap lakukan kerana dalam hati mereka, mereka percaya sungguh-sungguh yang mereka itu benar dan mereka menegakkan kebenaran. Itu semua asalnya adalah dari kepercayaan yang yakin dan sampai mereka sanggup mati kerananya. Dan walaupun mereka ditangkap atau dicederai, mereka dipanggil hero oleh masyarakat kerana mereka telah mempertahankan kepercayaan mereka itu dan apa yang mereka lakukan adalah kebaikan dan kebenaran. Ini perkara logik dan memang boleh dan selalu terjadi. Dan sekarang ini kita nak kaitkan dengan agama Islam ini pula. Kalau orang bukan Islam pun sanggup mempertahankan apa yang mereka percayai, apa lagi kita yang orang Islam dalam mepertahankan Islam, dalam menyampaikan fahaman agama yang benar ini? Tentunya kita kena semangatlah sikit, malah kena lebih kuat lagi dari mereka.

Dan kita kena lakukan dengan segera kerana kita kena prihatin dengan masa. Seperti yang kita telah sebut, masa sudah suntuk dan tidak boleh rugi dalam melihat masa berlalu begitu sahaja tanpa kita melakukan sesuatu yang kita patut lakukan.

Akhir sekali, dari segi bahasa, العَصرِ adalah satu masa yang kita tidak melakukan sesuatu yang kita patut lakukan dalam waktu itu. Ini memang sesuai digunakan dalam surah ini kerana kebanyakan manusia tidak melakukan perkara yang sepatutnya mereka lakukan dan kerana itu mereka akan kerugian yang besar.

Kita akan belajar bagaimana dalam masa yang terhad semasa kita hidup di dunia ini, kita ada empat perkara yang perlu dilakukan sekurang-kurangnya. Itu semua adalah tanggungjawab kita yang perlu kita penuhi. Kerana ianya adalah arahan dari Allah. Katakanlah di tempat kerja kita, bos kita suruh kita buat empat perkara. Dalam empat perkara itu, ada dua perkara yang kita suka dan pandai buat, tapi lagi dua kita tidak pandai buat dan kerana itu kita suka lakukannya. Arahan telah diberikan oleh bos kita untuk lakukan empat perkara, tapi bolehlah kita buat dua sahaja dan tidak buat lagi dua itu? Katakanlah kita pandai-pandai buat dua perkara sahaja dan apabila kita hanya buat dua sahaja, kita rasa kita telah buat yang terbaik? Tentu bos kita marah dan bolehkah kita bagi alasan: “walaupun kita tidak buat semua empat perkara itu, tapi kita telah lakukan dua perkara itu dengan terbaik sekali?” Agaknya adakah bos kita suka? Tentu tidak suka tentu tak lama lagi kita kena buang kerja, bukan? Begitulah kita dengan Allah – Allah suruh kita buat empat perkara, dan tidak bolehlah kita nak buat dua sahaja dan rasa sudah cukup kita buat dua perkara itu sahaja.


 

Ayat 2: Duduk dunia ini kita duduk dalam kerugian yang amat besar, kalau kita tidak bersedia untuk akhirat.

إِنَّ الإِنسانَ لَفي خُسرٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, mankind is in loss,

(MALAY)

Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian,

 

إِنَّ – Sesungguhnya, tidak syak lagi. Kalimah penekanan ini digunakan apabila bercakap dengan orang yang mungkin tidak percaya dengan apa yang kita akan katakan, maka kita tambah dengan kalimah إِنَّ untuk beri penekanan lagi supaya mereka beri perhatian. Ayat ini mulanya disampaikan kepada Musyrikin Mekah dan kerana mereka tidak yakin dengan apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW, maka Allah berikan penekanan dalam ayatNya ini. Dan memang ramai manusia yang apabila baca atau dengar ayat ini, mereka tidak percaya sangat pun.

Tapi ayat ini bukanlah ditujukan kepada musyrikin Mekah sahaja, bukan kepada orang kafir sahaja, tapi ianya ditujukan kepada semua manusia. Jangan mengada-ngada sangka yang kamu untuk sudah beragama Islam, ayat ini tidak kena kepada kamu pula. Bagaimana kita tahu yang ayat ini bersifat universal (umum) dan dikenakan kepada semua orang? Kerana dalam ayat seterusnya, Allah letakkan pengecualian, bukan? Jadi ayat ini merujuk kepada semua manusia. Pengecualian hanya kepada mereka yang melakukan empat perkara yang akan disebut dalam ayat seterusnya nanti. Kamu yang sudah bernama muslim ini, adakah kamu sudah buat empat perkara itu?

Dalam ayat ini, kalimah yang digunakan untuk merujuk kepada manusia adalah الإِنسانَ – ianya adalah diambil dari kalimah Nisyaan – bermaksud pelupa. Ini kerana memang manusia itu bersifat pelupa. Sebab itu selalu manusia itu kena diingatkan yang mereka sedang menuju kepada kebinasaan, yang mereka sedang lalai, yang mereka sedang alpa dan macam-macam lagi peringatan yang perlu diberi ingat kepada manusia, kerana memang insan itu bersifat pelupa. Dan kalimah الإِنسانَ ini memang sesuai digunakan dalam ayat ini, walaupun ada lagi kalimah lain lagi yang boleh digunakan kalau hendak merujuk kepada manusia seperti:

al Fard الفرد
an-Nafs النفس
an-Naas الناس

Memang ada kalimah-kalimah lain tapi Allah pasti menggunakan kalimah yang sesuai digunakan pada tempatnya. Kalimah الإِنسانَ ini memang sesuai digunakan di sini kerana ia bukan sahaja merujuk kepada setiap manusia, tapi merujuk kepada mereka setiap seorang, bukannya secara umum. Apabila dikatakan الإِنسانَ, setiap seorang akan kena dan mereka kena ambil perhatian. Ini penting, kerana psikologi manusia, kalau diberi nasihat secara umum sahaja, mereka akan sangka yang orang yang dinasihati itu merujuk kepada orang lain, bukan diri dia. Mereka akan rasa: “ah, ini bukan nasihat untuk aku, tapi orang lain ni..”. Oleh itu, kalau kita sebut nama orang itu, atau kita tujukan kepada orang tertentu, baru dia terasa dan terkesan dengan kata-kata itu.

Oleh itu, kalau Allah gunakan kalimah الناس, ia merujuk kepada manusia secara keseluruhan. Tapi apabila Allah gunakan kalimah الإِنسانَ, ia merujuk kepada keseluruhan dan setiap manusia. Oleh itu, apabila manusia baca ayat ini, dia kena ingat yang ayat ini ditujukan khas kepada dia juga.

Dan manusia nanti memang akan kisahkan tentang hal dia sahaja, terutama di hari akhirat nanti. Kita boleh lihat dalam Ma’arij:11-14 bagaimana manusia tidak hiraukan orang lain pun.

يَوَدُّ المُجرِمُ لَو يَفتَدي مِن عَذابِ يَومِئِذٍ بِبَنيهِ. وَصاحِبَتِهِ وَأَخيهِ. وَفَصيلَتِهِ الَّتي تُؤويهِ. وَمَن فِي الأَرضِ جَميعًا ثُمَّ يُنجيهِ

Orang kafir ingin kalau sekiranya dia dapat menebus (dirinya) dari azab hari itu dengan anak-anaknya, dan isterinya dan saudaranya, dan kaum familinya yang melindunginya (di dunia). Dan orang-orang di atas bumi seluruhnya kemudian (mengharapkan) tebusan itu dapat menyelamatkannya.

Maknanya, manusia terutamanya mereka yang berdosa akan lari dari saudara mara dan kenalan mereka yang mereka sayang semasa di dunia dulu. Ini adalah kerana mereka takut dengan apa yang akan dikenakan kepada mereka. Jadi mereka tidak mahu menolong orang lain. Malah kalau boleh, mereka nak gunakan ahli keluarga dan kenalan mereka sebagai bayaran untuk melepaskan mereka dari hukuman hari akhirat. Padahal mereka itu rapat dengan mereka, malah berkasih sayang dengan mereka semasa di dunia. Tapi dek kerana teruknya azab di neraka itu dan mereka pun sudah tahu yang mereka akan dimasukkan ke dalam neraka, mereka sanggup lakukan apa sahaja untuk menyelamatkan diri mereka.

Oleh itu, Allah menyuruh kita menjaga diri kita semasa kita di dunia sekarang, kerana amat malang kalau mengharap orang lain membantu kita nanti di akhirat. Kerana tidak akan ada yang akan membantu – tidak kira betapa baik sekali pun dengan mereka – malah ibubapa atau anak sendiri pun tidak akan tolong! Kita waktu itu hanya mengharap amalan baik semasa di dunia sahaja untuk menyelamatkan kita. Tapi kita kenalah ingat yang masa kita tidak banyak. Kita pun tidak tahu berapa lama lagi masa kita di dunia ini untuk bersedia. Kerana masa sudah suntuk. Kita kena ambil peluang dan jangan lengahkan masa.

لَفي خُسرٍ – benar-benar dalam kerugian. Dalam bahasa Arab, sesuatu perkataan itu boleh diperkuatkan dengan menggunakan kaedah-kaedah bahasa Arab yang dipanggil Balagha. Ada banyak cara yang digunakan dalam Qur’an. Dan dari balagha ayat ini, ianya dalam bentuk yang paling kuat dalam Qur’an.

  1. Selalunya, ayat dalam bahasa Arab menggunakan kaedah fi’il yang dinamakan jumlah fi’liah – apabila ayat itu dimulai dengan katakerja (fi’il). Tapi ada juga ayat-ayat yang dimulai dengan isim dan ayat jenis ini dikenali sebagai Jumlah ismiyyah seperti yang digunakan dala ayat ini. Apabila jumlah ismiyyah digunakan, ia memberi lebih penekanan lagi kerana ia memberi isyarat sesuatu itu sudah tetap.
  2. Apabila digunakan kalimah إِنَّ seperti yang kita telah beritahu, ini sendiri sudah satu kalimah penekanan.
  3. Kita juga telah sebutkan tentang kalimah الإِنسانَ, ianya lebih kuat kalau digunakan kalimah النّاس yang bersifat umum. Kalimah الإِنسانَ itu merujuk kepada setiap satu manusia, maka ini lebih kuat lagi.
  4. Huruf ل yang digunakan dalam kalimah juga adalah kalimah penekanan juga. Ianya digunakan untuk menguatkan sumpah.
  5. Kalimat في خُسرٍ juga adalah satu penekanan juga. Kerana dari segi bahasa Arab, boleh sahaja digunakan لخاسر atau لقد خسر yang juga sudah kuat. Tapi digunakan في خُسرٍ memberi isyarat bahawa mereka itu ‘tenggelam’ dalam kerugian itu. Kalau sudah tenggelam, itu sudah teruk.
  6. Kalimah خُسرٍ juga di dalam bentuk isim dan bukan dalam bentuk fa’il. Kalau digunakan bentuk isim, ianya lebih kuat lagi dari fi’il.
  7. Dan apabila ada tanwin dalam kalimah خُسرٍ, ianya adalah dalam bentuk kuat kerana tambahan bunyi ن (dipanggil nun tanwin) adalah untuk menguatkan lagi kalimah itu.
  8. Akhir sekali, surah ini telah dimulai dengan sumpah وَالعَصرِ, yang memberi isyarat bahawa sesuatu yang berat akan disebutkan.

Ada 3 cara penggunaan khusr (rugi) dalam Qur’an: Khusr / Khassaara / Khusraan.

Khusraan خسران – adalah kerugian yang paling teruk sekali kerana ada penambahan ن di hujung kalimah. Ini seperti yang digunakan dalam Hajj:11

وَمِنَ النّاسِ مَن يَعبُدُ اللَّهَ عَلىٰ حَرفٍ ۖ فَإِن أَصابَهُ خَيرٌ اطمَأَنَّ بِهِ ۖ وَإِن أَصابَتهُ فِتنَةٌ انقَلَبَ عَلىٰ وَجهِهِ خَسِرَ الدُّنيا وَالآخِرَةَ ۚ ذٰلِكَ هُوَ الخُسرانُ المُبينُ

Dan di antara manusia ada orang yang menyembah Allah dengan berada di tepi; maka jika ia memperoleh kebajikan, tetaplah ia dalam keadaan itu, dan jika ia ditimpa oleh suatu bencana, berbaliklah ia ke belakang. Rugilah ia di dunia dan di akhirat. Yang demikian itu adalah kerugian yang nyata.

Khassaar خسار – digunakan apabila seseorang itu sudah dalam masalah dan dia tambah lagi masalah dia. Ini seperti yang Allah gunakan dalam Nuh:21

قالَ نوحٌ رَبِّ إِنَّهُم عَصَوني وَاتَّبَعوا مَن لَم يَزِدهُ مالُهُ وَوَلَدُهُ إِلّا خَسارًا

Nuh berkata: “Ya Tuhanku, sesungguhnya mereka telah mendurhakaiku dan telah mengikuti orang-orang yang harta dan anak-anaknya tidak menambah kepadanya melainkan kerugian belaka,

Lihatlah bagaimana mereka sudah dalam masalah, dan mereka tambah lagi masalah mereka, bagi lagi teruk lagi.

Tetapi dalam surah ini, digunakan kalimah Khusr خسر – ianya dalam bentuk yang umum – menunjukkan bahawa secara umum, manusia itu semuanya dalam keadaan yang rugi.

Kalimah خسر bukan sahaja bermakna orang itu rugi tidak untung, tapi lebih lagi dari itu – dengan modal pun habis sekali. Jadi ini adalah malang sekali.

Ia juga bermaksud ‘ditipu’ – yang menyebabkan orang itu rugi. Oleh itu ada elemen penipuan dalam kalimah خسر – dan memang manusia menipu diri mereka sendiri yang menyebabkan mereka kerugian yang besar. Mereka juga ditipu oleh syaitan yang menyebabkan mereka kerugian di dunia dan akhirat. Mereka juga ditipu oleh dunia seperti yang kita telah belajar dalam Surah Takathur. Mereka sibuk kejar dunia sahaja, melupakan persediaan untuk akhirat.

Walaupun kita telah sebut yang kalimah الإِنسانَ merujuk kepada setiap manusia, tapi ada juga pendapat mufassir yang mengatakan ianya merujuk khusus kepada orang kafir.

Manusia memang kebanyakannya jauh dari kebenaran. Ibn Taymiyyah mengatakan yang manusia menjauhkan diri mereka dari kebenaran kerana dua perkara:

1 – Shubuhaat (Keraguan) 

2 – Shahawaat (Godaan Nafsu) 

Salah satu atau kedua-dua perkara inilah yang menjauhkan manusia dari kebenaran dan membawa mereka kepada kesesatan. Kita telah sebut bagaimana manusia kena ada ‘iman’ dan ‘amal’. Tapi dua perkara yang disebut oleh Ibn Taymiyyah adalah dua perkara yang berlawanan dengan ‘iman’ dan ‘amal’ itu. Apabila kita ajak seseorang kepada Islam, mereka kena tinggalkan banyak perkara yang mereka suka buat. Jadi bukan senang nak tinggalkan perkara yang mereka suka dan biasa buat. Dan Shubuhaat dan Shahawaat itu akan sentiasa menghalang mereka.

Bagaimana Shubuhaat boleh menghalang? Kita selalu lihat bagaimana ada yang sudah hampir percaya Islam itu benar, tapi masih ada keraguan lagi dalam hati mereka, jadi mereka tidak terima Islam sepenuhnya. Dalam hati mereka, mereka rasa: “bagaimana kalau aku terima Islam ini sepenuhnya, tapi sebenarnya ada fahaman lain yang benar?”; atau kalau mereka sudah muslim tapi susah nak tinggalkan amalan bidaah mereka – dalam hati mereka: “bagaimana aku nak tinggalkan amalan yang sudah lama aku amalkan kerana diajar oleh guru-guru aku dulu… takkan salah amalan itu? Takkan mereka tidak tahu yang amalan mereka salah? Takkan mereka nak masuk neraka pula?”

Bagaimana pula Shahawaat menghalang? Ada antara manusia yang sudah yakin yang Islam itu benar, tapi mereka ada keinginan nafsu yang kuat lagi, maka mereka tidak mahu nak amalkan Islam dengan sempurna. Sebagai contoh, ada yang masih tidak dapat nak tinggalkan minum arak atau berzina.

Oleh itu, kita boleh nampak bagaimana salah satu dari dua perkara itu boleh menyebabkan manusia rosak. Ini adalah kerana mereka jahil dan tidak mahu mendalami agama. Kalau mereka dapat mendalami agama, dekatkan diri dengan Qur’an, mereka akan dapat keyakinan yang tinggi dan dengan keyakinan  yang tinggi, mereka dapat tinggalkan shahawaat mereka itu.

Oleh kerana jauh dari fahaman agama yang sebenar, manusia sibuk dengan masalah peribadi mereka. Mereka rasa masalah peribadi mereka tidak habis-habis. Dan bila mereka tenggelam dan nampak masalah peribadi mereka sahaja, mereka akan rasa besar sangat masalah mereka itu. Mereka hanya nampak masalah mereka di dunia sahaja. Mereka tidak mahu rugi di dunia. Tapi kalau mereka faham surah ini, mereka akan sedar bahawa masalah dunia mereka itu tidak ada apa-apa kalau dibandingkan dengan masalah mereka dengan Tuhan. Kalau faham surah ini, mereka akan sedar bahawa kalau mereka tidak memperbaiki diri dan iman dan amal mereka, mereka akan ada masalah yang lebih besar lagi, dimana mereka bukan sahaja rugi di dunia, tapi mereka akan rugi di akhirat. Cuma masalah dengan manusia, apabila mereka asyik fikir masalah sendiri, mereka rasa masalah mereka dah besar sangat dah. Tapi kalaulah mereka buka telinga dan mata mereka untuk lihat dan dengar masalah orang lain, ada sahaja yang lebih besar masalah mereka.

Oleh itu, kita kena buka mata dan buka hati kita, kita kena tengok masalah kita dalam dunia ini dan bandingkan dengan Qur’an; sebagai contoh, kalau masalah kerja, masalah duit, masalah sakit, masalah sosial, semua itu tidak sama dengan masalah iman. Kerana kalau iman tidak ada, tauhid tidak ada, maka semua masalah yang ada itu tidak penting kerana mereka sebenarnya sudah rugi sangat dah. Mereka tidak sedar bahawa peluang untuk beriman semasa hidup sahaja dan berapa banyak kaum terdahulu yang telah hilang peluang mereka untuk beriman. Orang yang telah mati itu, masa mereka tidak ada lagi dah, tertinggal terus. Oleh itu, kita kena kenang orang-orang yang telah tiada – bacalah kisah-kisah tentang kaum yang telah dihancurkan kerana mereka meninggalkan agama dan menolak kebenaran – seperti Kaum Aad, Tsamud, Firaun dan sebagainya.

Dan apabila kita sibuk dengan hal dunia, kita terlupa nak tengok Qur’an untuk tengok apa yang Qur’an kata, apa hadis beritahu. Kerana jauh dari ilmu, mereka asyik sibuk dengan kerja, dengan keluarga. Mereka tidak pandang pun Qur’an ini sedangkan Qur’an ini memberikan jalan solusi untuk masalah kita semasa di dunia lagi. Dan yang hebatnya, ia bukan sahaja untuk menyelesaikan masalah kita di akhirat kelak, tapi di dunia juga pun ada diberikan jalan penyelesaian juga.

Setelah memberitahu tentang masalah manusia, Allah akan memberikan jalan penyelesaian dan arahan untuk dilakukan oleh manusia dalam satu ayat selepas ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 103: al-Asr. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s