Tafsir Surah al-Qaari’ah (Timbangan amal)

Pengenalan:

Surah ini adalah takhwif kepada golongan zalim.

Surah al Qari’ah ini adalah salah satu dari kumpulan empat surah yang sekawan: Zilzal, ‘Aadiyat, al Qari’ah, dan Takathur. Surah-surah ini adalah persamaan susunan dan topik: Akhirah, kehidupan dunia, Akhirah dan kembali mengisahkan kehidupan dunia:

Zalzalah – kisah tentang Hari Akhirat
Aadiyat – kisah tentang kehidupan di dunia
Qaari’ah – kisah tentang Hari Akhirat
Takathur – kisah tentang kehidupan di dunia

Allah menukarkan dan selang selikan antara topik surah-surah itu. Sekejap tentang Akhirat dan kembali kepada kisah amalan di dunia dan kembali pula kepada kisah Akhirat. Oleh itu, Surah Qaari’ah ini adalah Hari Akhirat. Kalau tidak ambil pengajaran dari Surah Aadiyat sebelum ini, maka akan mendapat nasib malang di akhirat dan Allah menceritakan tentang kesusahan yang akan dialami di akhirat nanti kepada mereka yang zalim dan berdosa. Dalam Surah Aadiyat sebelum ini, telah disebut tentang perangai manusia yang tidak  menghargai segala nikmat yang Allah telah berikan, dan mereka telah engkar dengan arahan Allah. Maka kalau mereka bijak dan pandai, sepatutnya mereka sudah tukar perangai mereka; tapi kalau tidak, mereka akan bertemu dengan al-Qaari’ah yang akan disebut sebentar sahaja lagi. Allah banyak beri amaran dalam surah ini.

Dan selepas Surah Qaari’ah ini, nanti dalam Surah al Takathur sekali lagi Allah menyebut tentang kehidupan dunia dan bagaimana manusia berkejaran untuk mendapatkan harga dan kemewahan sampai lupa untuk bersedia untuk akhirat.

Dalam Surah Aadiyat sebelum ini, Allah telah beritahu yang apa yang ada dalam hati mereka akan dikeluarkan – ini akan diterangkan dengan panjang lagi dalam surah ini. Di dalam surah Aadiyat sebelum ini tidak diterangkan.

Surah Zilzal and al Qaari’ah kedua-duanya ada menyebut tentang ثقل dan ini adalah sebagai satu petunjuk kepada kaitan antara kedua surah ini.

Dalam Surah Zalzalah ada disebut: يَوْمَئِذٍ يَصْدُرُ النّاسُ أَشْتَاتًا لّيُ َروْا أَعْمَالَهُمْ. Ianya tentang bagaimana manusia akan berpecah kepada golongan-golongan. Nanti akan disebut dalam Surah Qaari’ah nanti bagaimana mereka akan bercempiaran macam serangga berterbangan.

Ada 4 peringkat bagaimana amalan kita akan dinilai:

1 – Kita akan diberikan dengan buku amalan kita
2 – Akan ditunjukkan apakah amalan kita
3 – Amalan-amalan itu akan ditimbang dan dinilai
4 – Penghakiman Allah akan dijalankan.

Surah Zilzal telah menyebut tentang senarai amalan kita semasa di dunia, iaitu peringkat 2 (peringat 1 telah disebut dalam surah-surah sebelum ini). Tapi peringkat penilaian amalan itu tidak disebut lagi dan akan disebut dalam surah ini. Penilaian ini penting kerana kita mungkin lihat ada banyak sekali amalan kita semasa di dunia, tapi kadang-kadang ia tidak bernilai pun. Ia tidak bernilai kalau kita tidak melakukannya kerana Allah – maksudnya amalan itu tidak ikhlas. Jadi penilaian di akhirat itu akan menilai samada amalan itu bernilai atau tidak – samada jadi pahala atau jadi debu yang tidak berharga. Dan Allah memang akan menilainya dan Allah layak untuk menilainya kerana Allah tahu apa yang dalam hati kita – Allah tahu apa niat kita semasa melakukan amalan itu – seperti yang telah disebut dalam Surah Zalzalah – وَحُصِّلَ ما فِي الصُّدورِ. إِنَّ رَبَّهُم بِهِم يَومَئِذٍ لَخَبيرٌ.

Jadi, surah ini akan menggabungkan antara niat dan amalan.


 

Ayat 1, Ayat 2, Ayat 3: Oleh kerana kalimah yang digunakan ada persamaan, jadi kita gabungkan sekali penerangan tentangnya. Lihatlah persamaannya:

الْقَارِعَةُ
مَا الْقَارِعَةُ
وَمَا أدْرَاكَ مَا الْقَارِعَةُ

Kalimah القارِعَةُ diulang sebanyak tiga kali berturut-turut dalam surah ini. Ianya adalah dalam bentuk ism Fa’il/katanama yang membawa maksud pembuat, iaitu katanama yang melakukan sesuatu. Dari segi bahasa, ianya bermaksud sesuatu yang menggoncang, memukul, merosakkan.
Kalimah القارِعَةُ dari katadasar ق ر ع yang bermaksud apabila dua benda berlanggaran sesama sendiri dengan kuat dan menyebabkan bunyi yang kuat dan mengejutkan. Kalau bunyi itu tidak kuat dan tidak mengejut, ianya bukanlah القارِعَةُ. Oleh itu, kalau dua kereta berlanggar dalam kemalangan, ia juga boleh dipanggil القارِعَةُ kerana ia mengeluarkan bunyi yang kuat dan mengejutkan mereka yang mendengar dan melihatnya. Begitu juga, ayat قرع على الباب bermaksud mengetuk pintu di malam hari, kerana kalau ada orang ketuk pintu rumah kita pada malam hari, tentu akan menyebabkan kita terkejut, bukan?

Oleh itu, kalimah القارِعَةُ digunakan untuk menyebut Hari Kiamat kerana pada hari itu, hati manusia akan digoncang dengan teruk sekali kerana ketakutan. Ianya adalah salah satu dari nama Hari Kiamat. Dan Allah menyebutnya sebanyak 3 kali untuk lebih berat (takhfeem), lebih besar (ta’dheem) dan lebih menakutkan lagi. Al-Qari’ah adalah nama lain dari hari kiamat, seperti Al-Haqqah, At-Tammah, As-Sakhkhah, Al-Ghasyiyah, dan lain-lainnya.

Banyak sekali perkara besar-besar yang akan terjadi pada Hari Kiamat nanti dan Allah menggunakan kalimah القارِعَةُ sebagai satu penerangan tentang kejadian Hari Kiamat itu. Ini adalah kerana Allah hendak memberi kita sedikit penjelasan apakah yang akan terjadi nanti. Kenapa Allah gunakan kalimah القارِعَةُ ini?

Kelebihan menggunakan kalimah القارِعَةُ ini, seperti juga kalau kita dikejutkan dengan ketukan pintu rumah kita di malam hari, yang mengejutkan kita dari tidur nyenyak kita, begitulah juga dengan hari kiamat nanti, akan mengejutkan dan menakutkan kita. Kejadian yang terjadi pada Hari Kiamat akan menyebabkan kita terkejut sangat-sangat. Begitulah seperti yang telah disentuh dalam Surah Zilzal – apabila manusia melihat bumi tergoncang dengan kuat, mereka akan berkata:

 مَا لَهَا (Zalzalah:3)

Mari kita lihat tafsiran satu persatu ayat dari surah القارِعَةُ ini.


 

Ayat 1:

القارِعَةُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Qāri‘ah: That Which Strikes or The Sudden Calamity, another name for the Resurrection.

The Striking Calamity –

(MALAY)

Hari Kiamat,

Dalam ayat ini adalah satu kalimah sahaja – Al Qaari’ah. Ini bukan penggunaan biasa dalam bahasa Arab. Jadi apabila tidak disebut selain darinya, bermaksud ada kalimah yang dihazafkan (ditiadakan). Ini adalah konsep yang biasa digunakan dalam Qur’an. Apakah kalimah itu?

Pendapat 1:
Ada yang mengatakan yang dihazafkan adalah pemberitahuan bahawa القارِعَةُ sedang mendekat, sedang datang, ianya pasti datang.

Pendapat 2:
Sebagai penekanan kepada kehebatan dan kesusahan pada hari itu. Ianya pendek sahaja kerana situasi yang mengejukkan sekali sampai tidak sempat nak sebut dengan penuh. Sebagai contoh, kalau kita di dalam bangunan yang sedang terbakar, kalau kita nak beritahu orang lain untuk lari, kita tidak sempat nak sebut: “ada api dalam bangunan ini… mari kita keluar ramai-ramai…”, bukan? Tentu kita cuma menjerit: “Api!!, api!!” sahaja, bukan? Kita cakap begitu kerana keadaan menakutkan dan kita hanya sampaikan yang perlu sahaja. Begitulah pendapat yang digunakan untuk menafsirkan ayat ini. Cuma sebut perkara yang mengejutkan itu sahaja, tapi memberikan maklumat panjang.


 

Ayat 2:

مَا القارِعَةُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

What is the Striking Calamity?

(MALAY)

apakah hari Kiamat itu?

Ayat 1 itu telah membangkitkan satu persoalan kerana ianya satu ayat sahaja. Kalau dalam bahasa Arab, ini dipanggil mubtada’ dan selalunya mubtada’ akan diikuti dengan khabar yang akan menjelaskan apakah yang telah disebut. Tapi Allah tidak terus sebut apakah القارِعَةُ itu. Allah biarkan tergantung sahaja menyebabkan kita yang mendengarnya akan tertanya-tanya. Dan Allah menyebut apakah yang ada dalam fikiran manusia tentangnya: مَا القارِعَةُ (apakah القارِعَةُ ini?)

Apabila sudah ada pertanyaan, tentunya memerlukan jawapan, bukan? Sekarang sudah ada keinginan tahu tahap tinggi ini. Akan tetapi Allah tidak terus beritahu, sebaliknya Allah beritahu yang kita tidak akan dapat tahu, tanpa Allah yang beritahu.


 

Ayat 3: 

وَما أَدراكَ مَا القارِعَةُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And what can make you know what is the Striking Calamity?

(MALAY)

Apakah yang boleh menyebabkan kamu tahu apakah hari Kiamat itu?

 

Allah memberikan soalan retorik dalam ayat ini: apa yang boleh menyebabkan kamu tahu apa itu القارِعَةُ? Ada carakah kamu boleh tahu sendiri? Tentu tidak ada. Perkara-perkara ghaib memerlukan pemberitahuan dari Allah dengan cara wahyu. Kalau Allah tidak beritahu, kita pun tidak akan tahu. Kalau kita fikirkan macam mana pun, kita tidak akan tahu kerana ianya adalah perkara ghaib.

Allah menggunakan kalimah القارِعَةُ dalam ayat ini untuk menerangkan kejadian Hari Kiamat – perkataan ini adalah perkataan yang biasa dalam bahasa Arab dan mempunyai makna yang mereka faham dan gunakan dalam bahasa harian mereka. Tapi kenapa Allah menyentuh ayat ini dan memberi isyarat yang mereka tidak tahu? Lihat bagaiman Allah gunakan ayat وَما أَدراكَ مَا القارِعَةُ – padahal orang Arab boleh sahaja kata – “eh, kami tahu maksud القارِعَةُ ini”. Tapi Allah tetap kata yang mereka tidak akan tahu tanpa Allah yang beritahu. Tentu ini bukanlah القارِعَةُ yang mereka faham.

Jadi, maknanya, Allah mengambil kalimah yang biasa digunakan dalam masyarakat Arab dan menjadikan ianya sebagai membawa maksud yang baru. Dalam ertikata lain, Allah menjadikan satu terma baru bagi orang Arab. Allah boleh buat perkara ini kerana Allah menguasai bahasa mana-mana pun. Oleh itu, Allah boleh ambil satu kalimah yang membawa satu maksud, dan kemudian Allah boleh berikan maksud yang lebih mendalam kepada kalimah itu melalui Qur’an. Oleh itu, boleh jadi sebelum Qur’an, satu kalimah membawa maksud lain, tapi selepas digunakan oleh Qur’an, ia ada maksud lain. Allah telah mengambil alih perkataan itu.

Sebagai contoh, kalimah ‘solah’ biasa digunakan dalam masyarakat Arab untuk membawa maksud ‘doa’, ‘ibadat’ dalam bentuk yang umum. Tapi melalui Qur’an, Allah telah memberikan satu makna yang spesifik kepada kalimah ‘solah’ itu, yang mengandungi cara ibadat tertentu (qiyam, rukuk, sujud dan seterusnya).

Begitu juga dengan ibadat Haji – asalnya dalam bahasa Arab adalah untuk ziarah kepada tempat yang penting, tidak semestinya untuk Kaabah sahaja. Tapi melalui Qur’an, Allah telah menjadikan kalimah ‘Hajj’ untuk membawa maksud melakukan lawatan khusus ke Mekah untuk melakukan manasik haji.

Oleh itu, Allah boleh mengambil mana-mana kalimah dalam bahasa dan mengubah makna asalnya untuk selama-lamanya. Dan perkara ini biasa sahaja dalam dunia sekarang pun. Melalui penggunaan masyarakat, ada perkataan yang dahulu bermaksud lain, tapi kerana digunakan dalam maksud yang lain pada zaman sekarang, ianya sudah tidak sama lagi dengan maknanya yang asal dahulu. Sebagai contoh, kalimah ‘khalwat’ dalam bahasa dulu bermaksud mendekatkan diri dengan Allah, tapi sekarang, apabila disebut ‘khalwat’, orang kita memahaminya sebagai berdua-duanya lelaki dan wanita.

Oleh itu, kita dapat faham bagaimana kalimah القارِعَةُ yang asalnya bermaksud sesuatu yang menyebabkan bunyi yang kuat dan mengejutkan – menjadi satu kalimah yang merujuk kepada Hari Kiamat. Allah telah mengambil alih kalimah ini dan ianya tidak akan menjadi kalimah seperti yang difahami oleh masyarakat Arab sebelum disebut dalam Qur’an ini.

Dan kalimah القارِعَةُ memang sesuai digunakan dalam Qur’an untuk merujuk kepada Hari Kiamat kerana memang pada Hari Kiamat itu nanti, banyak benda akan berlanggaran sesama sendiri – bulan akan berlanggar dengan matahari, ia juga akan berlanggar dengan bumi, dan akan mengeluarkan bunyi amat kuat. Dan kita telah belajar dalam surah Zalzalah bagaimana bumi ini akan bergegar dengan kuat sekali.

Oleh itu, susunan tiga ayat pertama surah ini:

Ayat 1: Ketukan yang kuat yang mengejutkan hati manusia.
Ayat 2: Manusia akan tertanya-tanya apakah yang terjadi?
Ayat 3: Apakah yang boleh memberitahu kita apakah kejadian itu?

Tiga ayat pertama ini telah menyebabkan orang tertanya-tanya apakah القارِعَةُ itu. Barulah Allah akan menjawapnya dalam ayat seterusnya nanti. Kalau kita lihat penggunaan kalimah dalam Qur’an, kalau Allah gunakan kalimat وَما أَدراكَ, Allah akan beri maklumat selepasnya. Tapi kalau Allah gunakan kalimat وَما يُدريكَ seperti dalam surah Abasa, Allah tidak akan memberikan maklumat selepas itu dan membiarkan sahaja ianya tergantung. Allahu a’lam kenapa Allah lakukan begitu.


 

Ayat 4:

يَومَ يَكونُ النّاسُ كَالفَراشِ المَبثوثِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is the Day when people will be like moths, dispersed,¹

  • The people will be as such after having been expelled from their graves.

(MALAY)

Pada hari itu manusia adalah seperti anai-anai yang bertebaran,

 

Allah menggunakan kalimah النّاسُ dalam ayat ini kerana ia merujuk kepada seluruh manusia. Dalam ayat-ayat yang lain, ada kalanya Allah menggunakan kalimah الإِنسانَ seperti di dalam surah al-Aadiyat sebelum ini. Ini adalah kerana kalau digunakan الإِنسانَ, ianya hendak merujuk kepada individu manusia secara mufrad – berseorangan. Kali ini, lebih sesuai digunakan kalimah النّاسُ kerana Allah hendak merujuk kepada manusia secara keseluruhan. Kadang-kadang Allah guna الإِنسانَ dan kadang guna النّاسُ, bergantung kepada keadaan.

Kalimah الفَراشِ boleh bermaksud anai-anai, pepijat atau kelkatu yang akan melanggar lampu kalau kita pasang lampu. Allah hendak memberitahu yang manusia akan menjadi kelkatu-kelkatu itu yang akan bertempiaran bergerak ke sana dan ke sini, dalam semua arah. Iaitu mereka akan مَبْثُوث – berpecah, ke sana dan ke sini, tidak ada arah tujuan. Tidak sama macam burung yang berterbangan kerana kalau burung terbang, selalunya terarah penerbangan burung-burung itu. Kalau kita lihat serangga-serangga itu, ada banyak sekali dan semua bergerak bertempiaran, berlanggar sesama sendiri. Beginilah yang manusia akan alami, jadi kelam kabut dan ke sana ke sini apabila mendengar bumi kuat yang menakutkan pada Hari Kiamat nanti. Kerana ramai, manusia akan berlanggar sesama sendiri pada waktu itu. Imaginasi perlanggaran itu sesuai dengan surah القارِعَةُ ini kerana salah satu maknanya adalah ‘perlanggaran’ seperti yang kita sudah sebut di pengenalan tadi.

Keadaan ini terjadi apabila semuanya nanti keluar dari kubur masing-masing. Mereka akan bergerak ke sana dan ke sini, tapi akhirnya semua akan berhenti di salah satu tujuan – samada akan mendapat kebahagian sejati atau kesusahan yang berterusan dan kemusnahan.

Kalimah مَبْثُوث juga membayangkan kepada kita, bagaimana manusia waktu itu walaupun berada di datu tempat, tapi semua akan sibuk dengan diri sendiri sahaja. Ini seperti yang Allah sebut dalam ayat dalam surah yang lain tentang keadaan manusia pada hari itu:  

يَوَدُّ المُجرِمُ لَو يَفتَدي مِن عَذابِ يَومِئِذٍ بِبَنيهِ
َوَصاحِبَتِهِ وَأَخيهِ
وَفَصيلَتِهِ الَّتي تُؤويهِ
وَمَن فِي الأَرضِ جَميعًا ثُمَّ يُنجيهِ

Orang berdosa ingin kalau sekiranya dia dapat menebus (dirinya) dari azab hari itu dengan anak-anaknya,
dan isterinya dan saudaranya,
dan kaum familinya yang melindunginya (di dunia).
Dan orang-orang di atas bumi seluruhnya kemudian (mengharapkan) tebusan itu dapat menyelamatkannya. Ma’arij:11-14

Waktu itu manusia sudah tidak menghiraukan siapa pun lagi. Mereka hanya memikirkan bagaimana agaknya untuk menyelamatkan diri mereka. Mereka sampai sanggup untuk menebus diri mereka dengan keluarga mereka sendiri! Semoga kita terselamat dari termasuk ke dalam golongan mereka.


 

Ayat 5: Dan gunung ganang akan menjadi seperti bulu benang biri-biri yang diputar untuk dibuat kain. Kerana kalau lihat pada mesin itu yang memintal bulu-bulu kapas itu, kita akan nampak bagaimana bulu-bulu akan berterbangan.

وَتَكونُ الجِبالُ كَالعِهنِ المَنفوشِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the mountains will be like wool, fluffed up.¹

  • i.e., beginning to disintegrate.

(MALAY)

dan gunung-gunung adalah seperti bulu yang dihambur-hamburkan.

العِهنِ – benang bulu kambing biri-biri yang berbagai warna. Dalam masyarakat Arab, benang bulu kambing biri-biri yang banyak digunakan kerana kapas susah untuk diperolehi.

المَنفوشِ – perbuatan memproseskan bulu biri-biri itu untuk menjadikan ianya sebagai lain. Ianya akan dipukul-pukul. Apabila ini dilakukan, maka akan berterbangan bulu-bulu halus.

المَنفوشِ

المَنفوشِ

Bayangkan Allah sekarang menyebut tentang gunung ganang yang kukuh dan teguh sekarang ini akan menjadi seperti bulu biri-biri yang akan berterbangan. Ini adalah kerana gunung ganang dari segala tempat yang berbagai warna itu akan berlanggaran sesama sendiri dan akan menjadi seperti debu yang berwarna warni seperti العِهنِ itu. Ayat yang hampir sama ada disebut dalam Ma’arij:9

وَتَكونُ الجِبالُ كَالعِهنِ

dan gunung-gunung menjadi seperti bulu

Ayat dari Surah Ma’arij ini hampir sama tapi tidak ada kalimah المَنفوشِ dalam ayat ini. Dalam Surah Qaari’ah ini adalah kalimah المَنفوشِ kerana ianya sesuai dengan tema surah ini – tentang sesuatu yang berlanggaran sesama sendiri. Allah gunakan kalimah yang sesuai dengan surah. Lagi satu المَنفوشِ sesuai dalam tema surah ini adalah kerana untuk bulu biri-biri, manusia akan pukul bulu-bulu itu untuk memprosesnya dijadikan kain. Dan bukankah surah ada berkenaan dengan pukulan (sebahagian dari makna القارِعَةُ) bukan? Begitu indah dan tepat sekali penggunaan kalimah-kalimah dalam Qur’an.


 

Ayat 6: Allah sekarang akan menyebut tentang amalan manusia. Kalau timbangan amalan manusia itu berat sebab iman dan ikhlas, maka mereka akan selamat. Amalan mungkin sama, sebagai contoh solat empat rakaat, tapi keikhlasan tidak sama. Kalau solat itu khusyuk, timbangannya akan lebih berat. Kalau amalannya tidak khusyuk atau ada kurang di mana-mana, pahala yang akan dapat itu akan berkurang lagi.

فَأَمّا مَن ثَقُلَت مَوازينُهُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then as for one whose scales are heavy [with good deeds],

(MALAY)

Dan adapun orang-orang yang berat timbangannya,

 

Dalam ayat sebelum ini, disebut bagaimana gunung ganang akan menjadi ringan. Sekarang disebut bagaimana amalan pula akan menjadi berat. Kalau sekarang di dunia, tidak nampak bagaimana beratnya sesuatu amalan itu, tapi nanti di akhirat baru akan jelas kelihatan. Barulah menyesal mereka yang tidak memperbaiki amalan mereka.

Kalimah ثَقُلَت bermaksud ‘berat’. Satu persoalan yang dibincangkan tentang timbangan ini adalah – apa yang ditimbang? Adakah Allah akan timbang amalan itu atau timbang orang itu sendiri? Itulah dua kemungkinan perkara yang akan ditimbang nanti:
– amalan kita, atau
– diri manusia itu sendiri yang akan ditimbang.

Pendapat yang mengatakan amalan yang akan ditimbang disokong oleh banyak hadis, antaranya, hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah shallallahu ’alaihi wa sallam bersabda:

كَلِمَتَانِ خَفِيْفَتَانِ عَلَى اللِّسَانِ، ثَقِيْلَتَانِ فِي الْمِيْزَانِ، حَبِيْبَتَانِ إِلَى الرَّحْمَنِ: سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ سُبْحَانَ اللهِ الْعَظِيْمِ

“Ada dua kalimat yang ringan diucapkan oleh lisan, tetapi berat dalam timbangan (pada hari Kiamat), dan dicintai oleh ar-Rahman (Allah Yang Maha Pengasih): Subhaanallohi wa bihamdihi dan Subhanallohil ‘Azhim.” (Hadits shohih. Diriwayatkan oleh al-Bukhari, no. 6406, 6682, dan Muslim, 2694).

Akan tetapi dalam Sahih Bukhari ada disebut satu hadis yang memberi isyarat bahawa diri manusia itu sendiri yang akan ditimbang:

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ، حَدَّثَنَا سَعِيدُ بْنُ أَبِي مَرْيَمَ، أَخْبَرَنَا الْمُغِيرَةُ، قَالَ حَدَّثَنِي أَبُو الزِّنَادِ، عَنِ الأَعْرَجِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏”‏ إِنَّهُ لَيَأْتِي الرَّجُلُ الْعَظِيمُ السَّمِينُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لاَ يَزِنُ عِنْدَ اللَّهِ جَنَاحَ بَعُوضَةٍ وَقَالَ اقْرَءُوا ‏{‏فَلاَ نُقِيمُ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَزْنًا‏}‏ ‏”‏‏.‏ وَعَنْ يَحْيَى بْنِ بُكَيْرٍ عَنِ الْمُغِيرَةِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ أَبِي الزِّنَادِ مِثْلَهُ‏.‏

Sesungguhnya pada hari Kiamat nanti ada seorang laki-laki yang besar dan gemuk, tetapi ketika ditimbang di sisi Allah, tidak sampai seberat sayap nyamuk.”  Lalu Nabi shallallahu ’alaihi wa sallam bersabda: ”Bacalah..

فَلاَ نُقِيْمُ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَزْنًا

“Dan Kami tidak mengadakan suatu penilaian bagi (amalan) mereka pada hari Kiamat.” (QS. Al-Kahfi: 105). (Hadits shohih. Diriwayatkan oleh al-Bukhari, no. 4729 dan Muslim, no. 2785)

Begitu juga, ada satu lagi hadis sebagai dalil bagi pendapat ini:

‘Abdullah ibnu Mas’ud radhiyallahu ‘anhu adalah seorang yang betisnya kecil. Tatkala ia mengambil ranting pohon untuk siwak, tiba-tiba angin berhembus dengan sangat kencang dan menyingkap pakaiannya, sehingga terlihatlah kedua telapak kaki dan betisnya yang kecil. Para sahabat yang melihatnya pun tertawa. Maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bertanya: “Apa yang sedang kalian tertawakan?” Para sahabat menjawab, “Kedua betisnya yang kecil, wahai Nabiyullah.” Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَهُمَا أَثْقَلُ فِي الْمِيْزَانِ مِنْ أُحُدٍ

“Demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sungguh kedua betisnya itu di mizan nanti lebih berat dari pada gunung Uhud.” (Diriwayatkan oleh Ahmad dalam Musnad-nya, I/420-421 dan ath-Thabrani dalam al-Kabiir, IX/75. Hadits ini dinilai shohih oleh al-Albani dalam As-Silsilah Ash-Shohihah, no. 3192).

Oleh itu, kita tidak pasti apakah yang akan ditimbang, tapi kita amat berharap dan berdoa semoga apa yang ditimbang itu berat pada diri kita.

Kalimah مَوازينُهُ dari segi bahasa bermaksud ‘timbangan-timbangannya’. Kalimah مَوازينُ adalah jamak untuk ميزان. Kenapa pula perlu timbangan itu banyak pula? Ini adalah satu persoalan yang menjadi perbincangan juga di kalangan ulama tafsir. Jadi, kalimah مَوازينُ itu dikatakan boleh menjadi jamak kepada salah satu dari dua maksud di bawah ini:
– ميزان yang membawa maksud penimbang itu dan barang yang dijadikan sebagai penilai berat. Macam kita pakai dacing, kita kena ada ada pemberat yang membandingkan dengan apa yang kita hendak timbang itu.
– موزون (ism maf’ool) – benda yang ditimbang. Jadi jamak itu merujuk kepada pahala yang ditimbang. Kebanyakan ulama mengatakan inilah maksudnya dalam ayat ini.

Sekarang timbul satu lagi persoalan: apakah yang ditimbang oleh ميزان itu? Selalunya dalam fikiran kita, kita bayangkan ada amalan baik dan amalan jahat; kemudian kedua-dua amalan itu akan ditimbang dan tengok mana satu yang lebih berat. Kalau amalan baik lebih berat, maka akan dimasukkan ke dalam syurga dan kalau amalan buruk yang lebih berat, maka orang itu akan masuk ke dalam neraka. Inilah pemahaman biasa kita, tapi kalau kita lihat ayat-ayat dalam Qur’an, nampaknya tidaklah begitu. Cuma ayatnya tidak berapa jelas dan memerlukan penjelasan sedikit.

Dari pemahaman yang kita boleh lihat, amalan buruk sebenarnya tidak ada berat dan yang dikira hanyalah amal kebaikan. Ini sama seperti penimbang kita sekarang – ia hanya menimbang berat sesuatu barang. Ini seperti kita boleh lihat dalam Anbiya:47

وَنَضَعُ المَوازينَ القِسطَ لِيَومِ القِيامَةِ فَلا تُظلَمُ نَفسٌ شَيئًا ۖ وَإِن كانَ مِثقالَ حَبَّةٍ مِن خَردَلٍ أَتَينا بِها ۗ وَكَفىٰ بِنا حاسِبينَ

Kami akan memasang timbangan yang tepat pada hari kiamat, maka tiadalah dirugikan seseorang barang sedikitpun. Dan jika (amalan itu) hanya seberat biji sawipun pasti Kami mendatangkan (pahala)nya. Dan cukuplah Kami sebagai pembuat perhitungan.

Lihatlah dalam ayat ini, yang ditimbang adalah amal kebaikan. Tidak disebut timbangan amal keburukan. Lihat pula dalam A’raf:8

وَالوَزنُ يَومَئِذٍ الحَقُّ ۚ فَمَن ثَقُلَت مَوازينُهُ فَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

Timbangan pada hari itu ialah kebenaran (keadilan), maka barangsiapa berat timbangannya, maka mereka itulah orang-orang yang beruntung.

Hanya disebut berat timbangannya, tidak disebut samada ianya adalah berat timbangan kebaikan atau keburukan. Menunjukkan yang ditimbang adalah amalan kebaikan sahaja.

Dan lihat juga dalam Kahf:105

أُولٰئِكَ الَّذينَ كَفَروا بِآياتِ رَبِّهِم وَلِقائِهِ فَحَبِطَت أَعمالُهُم فَلا نُقيمُ لَهُم يَومَ القِيامَةِ وَزنًا

Mereka itu orang-orang yang telah kufur terhadap ayat-ayat Tuhan mereka dan (kufur terhadap) perjumpaan dengan Dia, maka hapuslah amalan-amalan mereka, dan Kami tidak mengadakan suatu penilaian bagi (amalan) mereka pada hari kiamat.

Ayat ini memberitahu, Allah mengira hanya amal kebaikan sahaja. Oleh itu, kesimpulan dari ayat-ayat ini, amal kebaikan ada berat yang boleh ditimbang sedangkan amal keburukan tidak ada nilai.

Memang dalam Surah Zilzal: 7-8, Allah memberitahu kita yang amalan baik dan amalan buruk akan ditunjukkan فَمَن يَعمَل مِثقالَ ذَرَّةٍ خَيرًا يَرَهُ. وَمَن يَعمَل مِثقالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ – tapi selepas itu amalan buruk itu tidak ditimbang, tidak ada nilai untuk ditimbang. Ada juga amalan yang memang baik tapi tidak ditimbang juga – kerana tidak dilakukan ikhlas kerana Allah; waktu tunjuk itu memang nampak, tapi tidak ditimbang pun kerana tidak ada nilai. Amalan itu jadi habuk sahaja seperti yang disebut dalam Furqan:23

وَقَدِمنا إِلىٰ ما عَمِلوا مِن عَمَلٍ فَجَعَلناهُ هَباءً مَنثورًا

Dan Kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan.

Jadi yang penting kita kena pastikan adalah amalan kita ada nilai untuk ditimbang oleh Allah. Dan untuk mengharap pahala kita ditimbang, kita kena pastikan yang

  1. amalan yang kita lakukan itu adalah ikhlas kerana Allah.
  2. amalan itu ikut sunnah Rasulullah dan para sahabat, bukannya amalan yang bidaah.

Semakin ikhlas amalan kita dan semakin rapat ianya dengan Sunnah, maka semakin beratlah timbangan kita. Walaupun amalan itu mungkin sedikit sahaja, tapi nilainya banyak. Jangan amal banyak tapi ringan sahaja atau tidak ada timbangan langsung kerana tidak ikhlas atau tidak menepati sunnah.


 

Ayat 7: Ayat tabshir ukhrawi. Kalau timbangan amal kita berat, akan mendapat kehidupan yang amat memuaskan; ianya amat memuaskan, kerana ianya kehidupan di syurga.

فَهُوَ في عيشَةٍ راضِيَةٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He will be in a pleasant life.

(MALAY)

maka dia berada dalam kehidupan yang memuaskan.

 

Mereka yang berat timbangannya seperti yang disebut dalam ayat sebelum ini, mereka akan berada dalam عيشَةٍ. Selalu diterjemahkan sebagai ‘kehidupan’, tapi ianya tidak sama dengan hayat yang biasa. Ini adalah kerana عيشَةٍ adalah kehidupan yang tidak ada kerisauan tentang makanan dan teduhan. Iaitu kehidupan tanpa masalah. Kerana ramai orang yang ada hayat, tapi kehidupan mereka tidaklah senang, susah sahaja. Kehidupan dalam عيشَةٍ adalah dimana sudah ada semua keperluan hidup, tidak ada kerisauan langsung lagi dah.

راضِيَةٍ – seseorang yang suka dan senang dengan apa yang dia ada. Orang itu akan mengalami kehidupan yang langsung tidak ada saat yang tidak baik.


 

Ayat 8:  Ayat takhwif. Ini kepada mereka yang timbangan amal mereka samada tiada langsung, atau ringan.

َوَأَمّا مَن خَفَّت مَوازينُهُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But as for one whose scales are light,

(MALAY)

Dan adapun orang-orang yang ringan timbangan (kebaikan)nya,

Semasa di akhirat, kita mahukan berat timbangan amal kita, sedangkan semasa di dunia, Allah berfirman, amalan itu semua adalah untuk ‘meringankan’ kita. Ini disebut dalam Nisa:28

يُريدُ اللَّهُ أَن يُخَفِّفَ عَنكُم ۚ وَخُلِقَ الإِنسانُ ضَعيفًا

Allah wishes to lighten (the burden) for you; and man was created weak. [Nisa 4:28]

Jadi kalau kita hendak berat timbangan kita di akhirat kelak, maka kenalah kita melakukan amal kebaikan di dunia ini yang Allah telah berikan arahan dan hukum kepada kita – dengan tujuan untuk meringankan beban kita. Dengan melakukan amalan itu, maka kita tidak diberatkan dengan keburukan. Kita akan senang di dunia dan senang juga di akhirat.

Ayat ini boleh sahaja disambungkan terus, tapi Allah tidak sambung terus dengan ayat seterusnya, kerana Allah nak kita berfikir, apakah kesannya. Dengan cara begini, Allah nak suruh kita fikir setiap ayat, satu persatu.


 

Ayat 9:

فَأُمُّهُ هاوِيَةٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

His refuge¹ will be an abyss.²

  • Literally, “mother” (a man’s original refuge), which will envelop him as in an embrace.
  • i.e., the pit of Hellfire.

(MALAY)

maka tempat kembalinya adalah neraka Hawiyah.

 

Mereka yang ringan timbangan amal kebaikannya akan dimasukkan ke dalam neraka.

هاوِيَةٌ – dari kalimah ه و ي yang bermaksud burung helang yang terbang laju ke lembah yang dalam semasa burung untuk mengejar dan hendak menangkap mangsanya. Kalau jatuh sahaja, tidaklah selaju burung yang terbang menjunam kerana kalau jatuh, kelajuan itu berdasarkan kepada graviti yang menarik – junaman burung itu lagi laju. Itulah gambaran yang disampaikan dalam ayat ini. Menunjukkan betapa lajunya mereka menjunam ke dalam lembah yang dalam itu. Dan lembah yang di neraka itu tidak tahu berapa dalamnya lagi kerana dalam sangat. Dan ada dikatakan seumpaman tidak ada dasarnya kerana dalam sangat.

Kenapa pula diletakkan kalimah أُمُّهُ (ibunya) dalam ayat ini? Ini adalah kerana ada peparah Bahasa Arab tentang mereka yang mengalami masalah yang sangat besar, mereka akan kata: هوت أُمُّهُ (ibunya jatuh ke dalam lembah dan mati!). Ini menunjukkan betapa teruknya nasib orang itu. Allah ambil pepatah ini dan berikan makna yang lebih berat lagi dari apa yang mereka gunakan itu – ‘ibunya di dalam lembah dalam neraka’.

Atau, ia boleh juga bermaksud ‘ibunya adalah neraka’. Kebiasaan kita, kalau kita dalam ketakutan, kita akan lari ke arah ibu kita, bukan? Tapi sekarang Allah kata kita berlari ke arah neraka pula, seperti kita lari ke arah ibu kita! Tapi kalau ikut logik, tidak ada sesiapa yang akan berlari ke arah Neraka, tapi mereka tidak dapat mengawal diri mereka lagi dah. Tubuh mereka yang akan bawa mereka berlari ke arah neraka itu.

Penggunaan ‘ibu’ dalam ayat ini juga merujuk kepada sifat ibu yang memeluk anaknya untuk melindungi anaknya itu dan ibu tidak lepaskan anaknya itu. Ibu itu melindungi anak itu dari semasa anak itu di dalam rahimnya lagi dan terus membawa apabila telah lahir; apa kaitannya dengan neraka itu? Neraka tidak ‘memeluk’ ahli neraka itu dan tidak akan lepaskan orang itu keluar lagi!


 

Ayah 10:

وَما أَدراكَ ما هِيَه

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And what can make you know what that is?

(MALAY)

Tahukah kamu apakah neraka Hawiyah itu?

 

Allah nak beritahu yang mereka tidak akan tahu apakah هاوِيَةٌ itu kalau Allah tidak beritahu. Mereka mungkin rasa mereka boleh faham (kerana mereka biasa dengan kalimah itu), tapi Allah hendak menidakkan perasaan mereka. Apa yang mereka tahu dan perkara yang sebenarnya, tidak sama. 

Kenapa Allah gunakan dhomir (kataganti) هِيَه dalam ayat ini kerana tidak terus sebut هاوِيَةٌ terus? Kalimah هِيَه itu adalah dhomir – seperti هي dan هو. Tapi kenapa guna dhomir dalam ayat ini?

  1. Digunakan dhomir untuk meringkaskan. Dalam penulisan pun selalu kita gunakan kataganti juga. Kita tidak ulang nama berkali-kali.
  2. Nanti jawapan kepada ayat ini selepas ini pun adalah ringkas sahaja, jadi sekarang ayat ini pun ringkas sahaja.
  3. Digunakan هِيَه (sepatutnya هي sahaja tetapi ditambah dengan ه di hujungnya sebagai penambahan untuk menakutkan lagi pendengar Qur’an. Dari segi bacaan, ia memberi efek menghela nafas dari dada yang menambah kesan beratnya. Ini juga digunakan dalam Haaqqah:19

فَأَمّا مَن أوتِيَ كِتابَهُ بِيَمينِهِ فَيَقولُ هاؤُمُ اقرَءوا كِتابِيَه

Adapun orang-orang yang diberikan kepadanya kitabnya dari sebelah kanannya, maka dia berkata: “Ambillah, bacalah kitabku (ini)”.

Dalam ayat ini, penambahan ه di dalam kalimah كِتابِيَه itu adalah untuk menunjukkan kekuatan. Kerana kegembiraan yang tinggi. Dan penambahan ه di dalam kalimah هِيَه adalah untuk menguatkan lagi kebesaran kesusahan di dalam neraka. Konsep yang sama juga digunakan pada kalimah هِيَه.


 

Ayat 11: Allah tanya dan Allah sendiri yang jawap. Kita telah sebutkan sebelum ini, kalau Allah gunakan soalan dalam bentuk وَما أَدراكَ, Dia akan jawap soalan yang Dia sendiri tanya itu. Ini jawapan Allah:

نارٌ حامِيَةٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is a Fire, intensely hot.

(MALAY)

(Yaitu) api yang sangat panas.

 

حامِيَةٌ bermaksud api yang sangat, sangat panas dan membara. Tidak dapat dibayangkan kepanasannya, tapi Nabi Muhammad pernah bersabda tentang kepanasan api neraka:

Sebagaimana hadis nabi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, nabi Muhammad s.a.w telah bersabda: “Kepanasan api kamu yang digunakan oleh anak adam di dunia ini hanyalah 1/70 kepanasan api Neraka Jahannam”. Sahabat bertanya: “Demi Allah! Sesungguhnya sekadar itu pun cukuplah untuk menyiksa”. Baginda s.a.w bersabda: ” Meskipun demikian, kepanasan Neraka Jahannam ditambah melebihi kepanasan api dunia sebanyak 69 bahagian yang tiap-tiap satunya seperti kepanasan api dunia ini” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmizi)

Alangkah menakutkan sekali penerangan ini! Maka kita kena berjaga-jagalah dengan kehidupan kita di dunia ini sekarang. Surah ini diantara dua surah tentang kesalahan yang dilakukan oleh manusia. Surah sebelum ini Zalzalah tentang manusia yang tidak taat dan tidak menghargai Tuhan. Dan surah selepas ini adalah Surah Takathur tentang manusia yang telah menyebabkan dunia melupakan mereka tentang akhirat. Kepada mereka itu, Allah beri peringatan dengan Surah Qaari’ah ini. Kalau mereka tidak perbaiki keadaan mereka, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka حامِيَةٌ ini.

 

Penutup:

Allah telah menakutkan kita dengan penerangan dengan maksud Qari’ah di awal surah. Dan sekarang di hujung surah, kita ditakutlah dengan lebih kuat lagi dengan penerangan dengan حامِيَةٌ.

Surah ini menariknya dimulai dengan soalan dan jawapan dan ditutupi dengan soalan (ayat 3-4) dan jawapan juga (ayat 10-11).

Maulana Hadi – Al Qariah

Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah at-Takathur.


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 101: al-Qaari'ah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s