Tafsir Surah Zalzalah Ayat 3 – 8 (Kita akan ditunjukkan dengan amal kita)

Ayat 3: Apabila kejadian gempa bumi yang amat kuat itu, ini adalah kata-kata manusia yang terkejut sangat dengan kejadian itu:

وَقالَ الإِنسانُ ما لَها

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And man says,¹ “What is

with it?” –

  • In terror and amazement.

(MALAY)

dan manusia bertanya: “Mengapa bumi (menjadi begini)?”,

 

Waktu itu manusia yang ramai-ramai akan jadi terkejat sangat-sangat, sampaikan dia terlupa segala peringatan yang telah diberikan oleh pendakwah tentang hari yang sedang terjadi itu. Mereka akan tertanya-tanya apakah yang sedang terjadi kepada bumi itu, sedangkan mereka sudah sepatutnya tahu pun yang itu adalah Hari Kiamat yang telah dijanjikan dan diperingatkan kepada mereka.

Walaupun telah diingatkan berkali-kali, tapi manusia tetap akan terlupa dan itulah sifat الإِنسانُ. Kalimah manusia itu diambil dari kalimah nasiya yang bermaksud pelupa. Dan kalimah الإِنسانُ itu dari katadasar أ ن س yang berarti “jinak” artinya, manusia selalu menyesuaikan diri (adaptasi) dengan keadaan yang baru disekitarnya. Dia sudah biasa dengan keadaan di dunia ini, maka kalau ada perkara yang mengejutkan, mereka akan terkejut. Mereka terlupa langsung apa yang mereka telah diingatkan tentang Hari Kiamat dan bagaimana bumi akan hancur segalanya. Memang manusia sebenarnya sudah tahu pun kerana sudah diberitahu berkali-kali semasa di dunia, tapi memang manusia memang jenis pelupa. Mereka lupa kerana terkejut sangat. Kerana memang kalau kita terkejut sangat, kadang-kadang kita lupa juga.

Allah menggunakan kalimah الإِنسانُ dalam ayat ini. Kalimah الإِنسانُ berbeza dengan kalimah النّاسُ yang juga bermaksud manusia dan digunakan dalam ayat 6 nanti. Ini adalah kerana النّاسُ itu dalam format jamak dan الإِنسانُ dalam bentuk mufrad. Ini memberi isyarat yang mereka nanti akan berseorang, bersendirian walaupun ramai orang lain waktu itu. Waktu itu memang ramai sekali manusia kerana semua makhluk akan dibangkitkan sekali, tapi insan itu akan rasa seorang diri sahaja.

Dalam ayat yang lain, ada disebut lagi perkataan mereka selain dari dalam ayat ini. Sila lihat dalam Yaasin:52

قالوا يا وَيلَنا مَن بَعَثَنا مِن مَرقَدِنا

“Mereka berkata: “Aduhai celakalah kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari tempat-tidur kami (kubur)?”.

Ini adalah kerana mereka terkejut sangat dengan kekecohan yang terjadi pada hari itu dan mereka rasa mati mereka di dalam kubur lagi bagus dan selesa kalau dibandingkan dengan keadaan Hari Kiamat itu. Dan waktu itu orang yang beriman akan berkata:

ۜ ۗ هٰذا ما وَعَدَ الرَّحمٰنُ وَصَدَقَ المُرسَلونَ

Inilah yang dijanjikan (Tuhan) Yang Maha Pemurah dan benarlah Rasul-rasul(Nya).

Ini bermakna, ada dari kalangan manusia yang sedar dan ingat apakah hakikat hari itu. Maka dalam ayat 3 surah Zalzalah ini, yang kehairan dan berkata kenapa dengan dunia itu adalah orang-orang kafir. Kerana orang beriman tidak berkata begitu. Orang yang beriman sedar apa yang sedang berlaku.


 

Ayah 4: Dalil yang bumi akan jadi saksi di atas segala perbuatan manusia di dunia.

يَومَئِذٍ تُحَدِّثُ أَخبارَها

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That Day, it will report its news

(MALAY)

pada hari itu bumi menceritakan beritanya,

 

يَومَئِذٍ merujuk kepada hari kiamat itu.

تُحَدِّثُ dari kalimah ح د ث yang bermaksud memberitahu seseorang tentang sesuatu perkara. حدث bermaksud perkara baru yang terjadi yang tidak ada sebelum itu. Oleh itu, حَدَّث bermaksud memberitahu perkara baru yang orang yang diberitahu itu tidak tahu. Atau, ia juga boleh bermaksud memberitahu perkara yang orang yang diberitahu itu sudah lupa. Jadi bila dia dengar, macam dia pertama kali dengar.
Atau, ia juga boleh bermaksud, memberitahu sesuatu maklumat itu dengan penuh kepada pendengar kerana pendengar itu tidak ada maklumat penuh sebelum itu.

Nanti akan ada maklumat yang akan diberitahu oleh bumi nanti. Yang lupa akan diberitahu dan yang tidak ada maklumat penuh akan tahu dengan penuh waktu itu. Bumi akan beritahu segala apa yang telah dilakukan oleh manusia. Dan maklumat itu amat mengejutkan manusia, kerana mereka seolah-olah baru pertama kali dengar perkara itu.

Bumi akan memberitahu أَخبارَها – (beritanya). Kalimah أَخبارَ dari katadasar  خ ب ر (berita). Tapi ada kata lain yang juga digunakan untuk ‘berita’, iaitu نَّبَإِ seperti yang digunakan dalam Surah an-Naba’. Kenapa ada perbezaan penggunaan kalimah?

نَّبَإِ = berita tentang sesuatu perkara yang kalau tidak diberitahu, orang yang diberitahu itu tidak akan dapat tahu. Ianya adalah berita baru dan tidak dapat diketahui melainkan diberitahu. Ianya adalah perkara yang tidak dapat dijangka langsung secara normal. Kerana itulah kalimah ‘nabi’ diambil dari نَّبَإِ kerana mereka menyampaikan maklumat perkara ghaib yang manusia memang tidak akan dapat ketahui dengan cara sendiri. Antaranya, berita tentang Hari Kiamat dan tentang kejadian di akhirat. Manusia biasa memang tidak akan dapat ketahui perkara ini kerana ianya adalah perkara ghaib.
نَّبَإِ juga boleh jadi maklumat tentang perkara yang sudah lepas, perkara yang sedang terjadi dan perkara yang akan berlaku di masa hadapan.

Sedangkan, خبر = berita atau maklumat yang boleh didapati sendiri. Atau sesuatu yang boleh dijangkakan kerana tidaklah pelik sangat. Sebagai manusia biasa, ada maklumat-maklumat yang kalau kita tahu, tidaklah hairan sangat kerana ianya adalah normal sahaja. Sebagai contoh, gempa bumi seperti yang disebut dalam ayat ini, kita pun boleh bayangkan, kerana ianya biasa terjadi, kita biasa dengar atau baca, sebab itu tidak digunakan kalimah نَّبَإِ dalam ayat ini.
Lagi satu, خبر hanya boleh digunakan untuk maklumat atau berita yang lepas dan masa sekarang – tidak ada berita atau maklumat tentang perkara yang akan terjadi di masa hadapan. Kalau berita yang diberitahu itu adalah tentang masa hadapan, maka ianya adalah salah satu dari نَّبَإِ.
Oleh kerana itulah, kalimah خبر amat sesuai digunakan dalam ayat ini. Begitulah tepatnya penggunaan kalimah di dalam Qur’an. Kita boleh kaji dan apabila kita kaji, kita akan nampak bagaimana tepat penggunaannya.

Oleh itu, kalimat تُحَدِّثُ أَخبارَها adalah berita tentang apa yang telah berlaku di masa lepas dan digunakan kalimah تُحَدِّثُ kerana walaupun ianya adalah berita lepas, tapi kerana ianya tidak disangka, maka mereka yang mendengarnya seperti terkejut kerana mereka tidak sangka. Juga kerana mereka memang telah terlupa apa yang mereka telah lakukan dulu.

Ulama membincangkan bagaimanakah pula bumi boleh memberitahu tentang sejarah lepas? Ibn Mas’ud mengatakan yang memang bumi akan bercakap kerana ia akan mendapat suara. Sekarang memanglah bumi tidak berkata, tapi ia akan diberikan kebolehan berkata-kata waktu itu. Bumi akan berkata sendiri kepada manusia dan/atau kepada Allah. Bumi akan mengadu kepada Allah tentang apa yang dilakukan oleh manusia dan jin dari mula mereka duduk di bumi sampailah ke hari itu. Ini adalah pendapat Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Dan ini tidak mustahil kerana Allah boleh sahaja menjadikan bumi boleh bercakap sepertimana Allah juga yang memberikan kebolehan manusia untuk berkata-kata. Kita pun sudah belajar bagaimana ada benda yang kita tidak sangka akan berkata-kata, tapi bercakap juga seperti tangan, kaki dan kulit.

Nabi pernah bersabda:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا إِبْرَاهِيمُ، حَدَّثَنَا ابْنُ الْمُبَارَكِ -وَقَالَ التِّرْمِذِيُّ وَأَبُو عَبْدِ الرَّحْمَنِ النَّسَائِيُّ، وَاللَّفْظُ لَهُ: حَدَّثَنَا سُوَيد بْنُ نَصْرٍ، أَخْبَرَنَا عَبْدُ اللَّهِ -هُوَ ابْنُ الْمُبَارَكِ-عَنْ سَعِيدِ بْنِ أَبِي أَيُّوبَ، عَنْ يَحْيَى بْنِ أَبِي سُلَيْمَانَ، عَنْ سَعِيدٍ المقْبُرِي، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَرَأَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هَذِهِ الْآيَةَ: {يَوْمَئِذٍ تُحَدِّثُ أَخْبَارَهَا} قَالَ: “أَتَدْرُونَ مَا أَخْبَارُهَا؟ “. قَالُوا: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ. قَالَ: “فَإِنَّ أَخْبَارَهَا أَنَّ تَشْهَدَ عَلَى كُلِّ عَبْدٍ وَأَمَةٍ بِمَا عَمِل عَلَى ظَهْرِهَا، أَنْ تَقُولَ: عَمِلَ كَذَا وَكَذَا، يَوْمَ كَذَا وَكَذَا، فَهَذِهِ أَخْبَارُهَا”

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ibrahim, telah menceritakan kepada kami Ibnul Mubarak; dan Imam Turmuzi mengatakan juga Abdur Rahman An-Nasai, sedangkan lafaz hadis berikut menurut apa yang ada padanya, bahawa telah menceritakan kepada kami Suwaid ibnu Nasi”, telah menceritakan kepada kami Abdullah ibnul Mubarak, dari Sa’id ibnu Abu Ayyub, dari Yahya ibnu Abu Sulaiman, dari Sa’id Al-Maqbari, dari Abu Hurairah yang menceritakan bahawa Rasulullah Saw. membaca firman-Nya: pada hari itu bumi menceritakan beritanya. (Az-Zalzalah: 4) Lalu Rasulullah Saw. bersabda, “Tahukah kamu apakah yang dimaksud dengan beritanya?” Mereka menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Rasulullah Saw. bersabda: Sesungguhnya berita bumi ialah bila ia mengemukakan persaksian terhadap setiap hamba laki-laki dan perempuan tentang apa yang telah dikerjakannya di atas permukaannya. Bumi mengatakan bahawa Fulan telah mengerjakan anu dan anu di hari anu. Demikianlah yang dimaksud dengan beritanya. Imam Turmuzi mengatakan bahawa hadis ini hasan, sahih, garib.


 

Ayat 5:

بِأَنَّ رَبَّكَ أَوحىٰ لَها

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Because your Lord has inspired [i.e., commanded] it.

(MALAY)

kerana sesungguhnya Tuhanmu telah memerintahkan (yang sedemikian itu) kepadanya.

 

Kalimah أَوحىٰ selalunya diterjemahkan sebagai ‘wahyu’. Dari segi bahasa, ia dari katadasar و ح  ي yang bermaksud memberi isyarat kepada seseorang secara rahsia, supaya orang lain tidak tahu. Oleh itu, dari segi bahasa, ia boleh digunakan dalam Qur’an bukan untuk wahyu sahaja. Sebagai contoh, lihat dalam Maryam:11

فَخَرَجَ عَلىٰ قَومِهِ مِنَ المِحرابِ فَأَوحىٰ إِلَيهِم أَن سَبِّحوا بُكرَةً وَعَشِيًّا

Maka ia (Nabi Zakariya) keluar dari mihrab menuju kaumnya, lalu ia memberi isyarat kepada mereka; hendaklah kamu bertasbih di waktu pagi dan petang.

Ayat ini memberitahu bagaimana Nabi Zakariya keluar dari tempat sembahyangnya dan menyuruh pengikut bagind untuk bertasbih pagi dan petang. Tapi kalau kita lihat dari kisah sebelum ayat ini, baginda tidak boleh berkata-kata selama tiga hari tiga malam; oleh itu, bagaimanakah baginda menyampaikan arahan itu kepada mereka? Dalam ayat ini, digunakan kalimah فَأَوحىٰ yang seperti juga digunakan dalam ayat 5 Zalzalah ini. Dalam kisah Nabi Zakariya itu, baginda memberi isyarat tangan kepada mereka. Dengan isyarat itu, mereka tahu apa yang mereka kena lakukan.

Sekarang lihat contoh lagi di dalam Qasas:7

أَوحَينا إِلىٰ أُمِّ موسىٰ أَن أَرضِعيهِ ۖ فَإِذا خِفتِ عَلَيهِ فَأَلقيهِ فِي اليَمِّ وَلا تَخافي وَلا تَحزَني ۖ إِنّا رادّوهُ إِلَيكِ وَجاعِلوهُ مِنَ المُرسَلينَ

Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa; “Susuilah dia, dan apabila kamu khuatir terhadapnya, maka jatuhkanlah dia ke sungai (Nil). Dan janganlah kamu khawatir dan janganlah (pula) bersedih hati, karena sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan menjadikannya (salah seorang) dari para rasul.

Dalam ayat ini, Allah telah ‘mewahyukan’ kepada ibu Nabi Musa a.s. Tapi ibu baginda bukanlah seorang Nabi, jadi tidaklah seperti yang Allah wahyukan kepada para Nabi. Jadi, maksud أَوحَينا di dalam ayat ini adalah: ‘Kami ilhamkan’ – maksudnya, Allah beri ilham kepada ibu Nabi Musa.

Bukan sahaja Allah menggunakan أَوحىٰ, tapi syaitan pun menggunakan kaedah yang sama: Sila lihat dalam Al-An’am:121

وَإِنَّ الشَّياطينَ لَيوحونَ إِلىٰ أَولِيائِهِم لِيُجادِلوكُم

Sesungguhnya syaitan itu membisikkan kepada kawan-kawannya agar mereka membantah kamu;

Maksud لَيوحونَ adalah syaitan itu akan membisikkan, memberi isyarat dan memberi maklumat kepada kawan-kawan mereka dari kalangan manusia. Sama-sama tahu apa yang hendak dilakukan.

Baik, setelah membincangkan dengan panjang lebar tentang maksud ‘wahi’ dalam ayat Zalzalah ini, kita cuma hendak memberitahu bahawa telah memberi isyarat kepada bumi untuk keluarkan khabar seperti yang telah disebut.

Kalau kita lihat kepada kalimat رَبَّكَ أَوحىٰ لَها (Tuhanmu memberi ilham kepada bumi). Allah tidak kata “Aku beri ilham kepada bumi” kerana Allah menjauhkan DiriNya dari arahan itu kerana hendak menunjukkan kemurkaan Allah kepada apa yang telah dilakukan oleh kebanyakan dari manusia.

Satu lagi dari dari segi bahasa: lihat pada kalimah أَوحىٰ لَها (diilhamkan untuknya). Dari segi bahasa, yang sepatutnya digunakan adalah أَوحىٰ إليها (diilhamkan kepadanya). Hurf jar إلى adalah hurf jar yang selalu digunakan kalau berkenaan dengan wahi, seperti digunakan dalam أَوحَينا إِلىٰ أُمِّ موسىٰ (Kami ilhamkan kepada ibu Musa). Ini adalah kerana ilham itu adalah satu arahan selalunya. Oleh itu, kalimat أَوحىٰ لَها sebenarnya agak pelik dan kita perlu kaji dan lihat keindahan dan kehebatan kenapa digunakan kalimat itu dalam bentuk itu.

Hurf jar ل selalunya digunakan apabila Allah memberi keizinan. Oleh itu, Allah gabungkan dua perkara dalam ayat أَوحىٰ لَها. Allah beri ‘arahan’ dan dalam masa yang sama, Allah beri ‘keizinan’. Allah gunakan konsep hazf (menghilangkan) dalam ayat ini. Memang sesuatu yang menarik yang digunakan dalam Qur’an. Kalau arahan dari Allah kita faham, tapi kenapa Allah beri keizinan pula? Ini adalah kerana bumi itu memang hendak meluahkan apa yang ada dalam hatinya tentang entah berapa lama manusia telah berbuat kerosakan di atas muka bumi ini. Maka Allah berikan keizinan kepada bumi untuk meluahkan perasaannya yang telah dipendam sekian lama. Sekarang bumi hanya dapat tengok sahaja apa yang sedang dilakukan manusia dan tidak dapat berkata apa-apa kerana Allah tidak beri kebolehan bercakap lagi kepada bumi. Tapi nanti akan sampai masa apabila bumi adalah kebolehan itu.


 

Ayat 6:

يَومَئِذٍ يَصدُرُ النّاسُ أَشتاتًا لِيُرَوا أَعمالَهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That Day, the people will depart¹separated [into categories] to be shown [the result of] their deeds.

  • From the place of Judgement to their final abode. Another interpretation is “emerge separately” (from the graves).

(MALAY)

Pada hari itu manusia keluar dari kuburnya dalam keadaan bermacam-macam, supaya diperlihatkan kepada mereka (balasan) pekerjaan mereka,

 

يَومَئِذٍ – Hari Akhirat. Apa yang terjadi pada hari itu?

يَصدُرُ النّاسُ selalunya diterjemahkan sebagai ‘manusia keluar dari kuburnya’ tapi kita cuba lihat dari perspektif lain pula. Kalimah يَصدُرُ dari kalimah ص د ر yang bermaksud ‘dada’. Dalam peribahasa Arab, صادر adalah seorang yang pergi – sebagai contoh, keluar dari rumah untuk mendapatkan air dan kembali terus ke rumah. Maknanya dia pergi untuk satu perkara sahaja – pergi dan balik. Penggunaan seperti ini dalalm Qur’an iaitu dalam ayat Qasas:23 iaitu kisah Nabi Musa a.s. bertemu dua orang wanita yang sedang menunggu untuk mengambil air. Apabila ditanya kepada mereka, kenapa mereka tidak terus mengambil air di telaga, mereka jawap:

قالَتا لا نَسقي حَتّىٰ يُصدِرَ الرِّعاءُ

Kedua wanita itu menjawab: “Kami tidak dapat meminumkan (ternak kami), sebelum pengembala-pengembala itu memulangkan (ternaknya),

Maksudnya, dua wanita itu menunggu pengembala lain untuk memulangkan ternakan mereka ke kandang (mereka telah keluar dari rumah untuk beri minum ternakan mereka dan mereka akan pulang). Oleh itu, mereka akan pulang, seperti juga yang digunakan dalam ayat ini – hendak menceritakan bagaimana manusia itu juga adalah seorang صادر – mereka akan keluar dari bumi setelah Kiamat dan mereka akan dikembalikan ke bumi untuk menerima timbangan amal mereka.

Manusia dihidupkan di dunia, menjalani kehidupan sehingga sampak ajal mereka, dimana mereka akan mati dan dikebumikan di bumi ini juga. Apabila bumi dihancurkan, mereka akan dikeluarkan dan kemudian akan dikembalikan ke bumi juga untuk menerima timbangan amal kerana mereka kena menghadapi mahkamah pengadilan Allah. Akan tetapi dunia dah jadi tempat yang lain dah waktu itu, tidak sama dengan waktu kita hidup dulu. Kerana bumi yang asal telah dihancurkan dan Allah akan buat bumi yang baru. Oleh itu, waktu kita semua dibangkitkan nanti, kita tidak boleh buat apa yang kita mahu kerana keadaan dah lain. Dalam ayat-ayat lain telah diberikan penerangan sedikit tentang hari itu – bayangkan nak bergerak dan bercakap pun takut.

Semasa kita hidup di dunia, kita duduk dengan keluarga dan kawan-kawan kita, tapi tidak di akhirat nanti. Ini kerana kita akan dipecahkan kepada beberapa kumpulan. Kalimah أَشتاتًا dari katadasar ش ت ت  yang bermaksud sesuatu yang pecah kepada beberapa bahagian.

Dalam Surah Bayyinah telah disebut tentang manusia itu terbahagian kepada dua kumpulan Sharr ul bariyyah [makhluk yang paling teruk], and Khayrul bariyyah َ[makhluk yang paling baik]). Dalam surah Zalzalah ini pula, Allah memberitahu kita yang pada hari akhirat nanti, manusia akan dipecahkan (أَشتاتًا) kepada beberapa kumpulan. Ini adalah kerana semasa hidup di dunia pun, manusia sudah terbahagi kepada beberapa jenis, bergantung kepada kepercayaan dan amalan mereka. Allah telah sebut bagaimana manusia itu usaha mereka tidak sama seperti yang telah disebut dalam al-Layl:4

إِنَّ سَعيَكُم لَشَتّىٰ

sesungguhnya usaha kamu memang berbeza-beza.

Asalnya manusia bermula dengan satu fahaman akidah dan agama seperti yang disebut dalam Baqarah:213

كانَ النّاسُ أُمَّةً واحِدَةً

Manusia itu asalnya adalah umat yang satu.

Kemudian manusia lama kelamaan bertukar fahaman, menjauh dari agama yang benar, dan berpecah kepada beberapa jenis golongan. Mereka mungkin duduk dalam keluarga yang sama, tapi mereka berfahaman berlainan. Oleh itu dalam satu keluarga yang besar, ada yang beriman, ada yang mengamalkan tauhid, ada yang mengamalkan bidaah dan ada yang mengamalkan sunnah. Ini adalah kerana manusia tidak boleh pilih dengan keluarga mana mereka akan dihidupkan, dalam negara dan masyarakat mana mereka akan akan hidup. Jadi walaupun seorang yang beriman, kadang-kadang kena duduk dengan golongan yang tidak beriman. Tapi apabila masuk ke hari akhirat, Allah akan gabungkan manusia dan jin kepada golongan mereka dari segi fahaman agama dan amalan. Orang beriman akan duduk dengan orang beriman dan orang kafir akan duduk dalam kalangan orang kafir. Dan setiap kumpulan akan dibahagikan lagi untuk tingkatan mereka lagi. Kerana ada orang beriman yang tingkatan tinggi dan ada yang beriman tapi tingkatan rendah dan sebagainya. Semua manusia akan dimasukkan dan dikumpulkan dalam kumpulan masing-masing. Yang paling tinggi adalah Al Sabiqoon [yang paling hampir dengan Allah], kemudian As-hab al Yameen [Golongan Kanan – yang mendapata buku amalan dari tangan kanan], dan akhir sekali adalah as-hab al Shimal [Golongan Kiri – yang mendapat buku amalan dari tangan kiri]. Tiga golongan utama ini telah disebut dalam Surah al Waqi’ah.

Pendapat di atas mengatakan yang manusia akan bertemu dengan orang lain yang sama taraf dengan mereka. Tapi ada juga yang kata, setiap manusia akan duduk bersendirian. Pendapat ini pula mengatakan apabila manusia dibangkitkan dari kubur, mereka akan duduk di tempat mereka, tempat berhenti dan tidak boleh bergerak dah, dimana mereka tidak akan dapat bergerak sampailah penghakiman habis. Ini amat menakutkan sekali. Waktu itu mereka sudah tahu dah apa nasib mereka. Ini disebut dalam Abasa 80: 38-41

وُجوهٌ يَومَئِذٍ مُسفِرَةٌ. ضاحِكَةٌ مُستَبشِرَةٌ. وَوُجوهٌ يَومَئِذٍ عَلَيها غَبَرَةٌ. تَرهَقُها قَتَرَةٌ.

Banyak muka pada hari itu berseri-seri, tertawa dan bergembira ria, dan banyak (pula) muka pada hari itu tertutup debu,dan ditutup lagi oleh kegelapan.

Jadi, waktu menunggu dalam keseorang itu pun mereka dah tahu dah ke mana mereka akan pergi. Sebab itu ada yang sudah suka dan ada yang sudah ketakutan dan kesedihan yang sangat. Kerana mereka sudah nampak jalan ke neraka dan ada yang sudah nampak jalan ke syurga.

Kita telah sebut tentang 3 kekeliruan manusia dan telah dijawap 2 dari kekeliruan itu. Sekarang kita akan  menyentuh kekeliruan ke 3. Kekeliruan itu mengatakan, kalau pun ada Hari Keadilan, Hari Penghakiman, mereka rasa mereka tetap selamat kerana mereka ada pemberi syafaat yang akan menyelamatkan mereka. Itu boleh jadi dalam bentuk Nabi, wali atau malaikat. Benarkah begitu? Mari kita lihat sambungan ayat 6 Surah Zalzalah ini:

لِيُرَوا أَعمالَهُم – Supaya mereka melihat amal-amal mereka.

Harf ل dalam ayat ini memberitahu tentang ‘tujuan’, iaitu tujuan apa yang mereka dibahagikan kepada kumpulan masing-masing. Tujuannya adalah supaya mereka dipertunjukkan dengan amalan-amalan mereka semasa di dunia dulu.

Ada dua kalimah yang digunakan dalam Qur’an untuk ‘perbuatan’. Samada digunakan kalimah فعل atau عمل. Apakah beza antara keduanya?

فعل = perbuatan yang dilakukan tanpa berfikir pun, ia terjadi sendiri. Sebagai contoh, bernafas, melihat, mendengar, kelip mata dan sebagainya. Semua itu kita tidak fikirkan pun, ia akan terjadi.

عمل = perbuatan yang dilakukan dengan sengaja, dengan niat. Sebagai contoh: makan, melihat dengan sengaja, mendengar dengan segaja, membaca dan sebagainya.

Dalam ayat ini, kalimah yang digunakan adalah عمل – kalimah yang digunakan adalah أَعمالَهُم (amal-amal mereka). Iaitu mereka akan ditunjukkan dengan perbuatan mereka yang mereka sengaja buat. Yang mereka buat dengan niat memang untuk melakukannya. Bukanlah perbuatan yang mereka tidak sengaja. Semua sekali akan disenaraikan dan akan ditunjukkan. Mana amal yang baik akan ditunjuk dan mana amalan yang salah pun akan ditunjuk juga. Sebab itulah kita kena berhati-hati dengan amalan kita. Jangan terus buat sahaja amalan yang dikatakan islamik, padahal tidak pun kerana ianya adalah bidaah sahaja.


 

Ayah 7:

فَمَن يَعمَل مِثقالَ ذَرَّةٍ خَيرًا يَرَهُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So whoever does an atom’s weight¹ of good will see it,

  • Or “the weight of a small ant.”

(MALAY)

Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat dzarrah pun, nescaya dia akan melihatnya.

 

Ini adalah pengajaran yang penting yang hendak disampaikan. Kita boleh tahu yang ini adalah konklusi dari pengajaran kerana ada hurf ف dalam فَمَن itu. Kena beri perhatian dalam perkara yang hendak disampaikan ini. Segala apa yang telah disampaikan sebelum ini membawa kepada apa yang hendak disampaikan dalam ayat ini. Allah hendak memberitahu apakah tujuan segala yang telah disebut sebelum ini.

يَعمَل Ya’mal: sesiapa yang melakukan amalan. Dari segi nahu Arab, sepatutnya ُيَعمَل Ya’malu (dalam format marfoo’). Ini adalah kerana يَعمَل dalam bentuk مجزوم majzoom, kerana ianya adalah dalam bentuk ‘kondisi’. (Kalau buat begini, akan jadi begitu…. ) Oleh itu, maksudnya, siapa yang buat amal baik, dia akan lihat amalnya itu nanti di akhirat.

مِثقالَ dari kalimah ث ق ل yang sama dengan kalimah dalam ayat 2. Kalimah ثِقِل bermaksud ‘beban’, tapi apakah pula maksud مِثقالَ? Ianya adalah sesuatu yang digunakan untuk membandingkan berat antara dua perkara. Sebagai contoh, kalau zaman dulu timbangan jenis ini yang banyak digunakan:

Pemberat yang digunakan dinamakan مِثقالَ.

Pemberat yang digunakan dinamakan مِثقالَ.

Oleh itu, kalimah مِثقالَ bermaksud alat yang digunakan untuk membandingkan berat. Dalam bahasa Arab, apabila wazan yang digunakan bermula dengan م dan ada ada huruf ا, selalunya ianya adalah alat yang digunakan. Sebagai contoh, مفتاح adalah kunci dan الميزان adalah penimbang.

Kenapa digunakan kalimah مِثقالَ yang bermaksud alat yang digunakan sebagai pemberat dalam ayat ini? Kerana hendak membandingkan berat seringan ذَرَّةٍ dharra – yang bermaksud benda paling kecil yang dapat dibayangkan. Kepada orang Arab dulu, perkara paling kecil yang mereka tahu adalah telur semut, dan kerana itu mereka panggil telur semut itu sebagai ذَرَّةٍ. Tapi kita dalam zaman moden sekarang, kita boleh tahu bahawa ada lagi benda paling kecil – sebagai contoh, kita tahu atom adalah perkara paling kecil (yang kita tahu setakat ini). ذَرَّةٍ juga boleh juga digunakan untuk debu-debu yang kita lihat berterbangan di ruang bilik kita.

Debu-debu yang beterbangan yang juga boleh dipanggil ذَرَّةٍ.

Debu-debu yang beterbangan yang juga boleh dipanggil ذَرَّةٍ.

Setiap satu dari debu itu boleh dipanggil ذَرَّةٍ. Oleh itu, ia bermaksud sesuatu yang sikit sangat, kecil sangat dan kalau kita nak nilai pun, tidak boleh nak nilaikan harganya. Allah nak beritahu, amalan kebaikan yang sekecil ذَرَّةٍ itu pun Allah akan beri nilai kepadanya, dan mereka yang melakukan amal kebaikan itu akan dinampakkan kembali dengan perbuatannya itu. Memang pada kita, kita rasa ianya kecil sahaja, tapi pada Allah, ia ada nilai. Maka ini memberi semangat untuk kita melakukan apa sahaja kebaikan yang kita boleh lakukan – jangan kita tahan diri kita dari tidak melakukannya kerana kita sangka ianya tidak bernilai langsung.

خَيرًا – baik. Ini adalah kalimah dalam bentuk تمييز tamyeez (amal dalam bentuk apa? – bentuk kebaikan). خَيرًا adalah perkara baik yang semua orang tahu, tak perlu jelaskan pun kenapa ianya baik. Contohnya, kita sendiri tahu menyelamatkan nyawa orang lain adalah perkara yang baik dilakukan. Tak payan nak jelaskan kepada orang kenapa menyelamatkan nyawa itu satu perkara yang dianggap baik. Memang semua orang anggap ianya perkara baik dah pun.

Mereka yang telah melakukan amal kebaikan semasa di dunia, tidak kira sekecil mana pun, dia akan يَرَهُ – melihatnya (melihat amal kebaikan itu). Apabila digunakan kalimah يَرَهُ dari katadasar ر أ ي, ia bermaksud benar-benar melihat dengan mata sendiri. Digunakan kalimah ini kerana hendak menekankan bagaimana mereka yang telah buat amal itu akan benar-benar melihat amalnya kembali. Dia akan dapat melihat bagaimana kesan amal baiknya nanti yang telah bertukar menjadi pahala. Baru dia faham kenapa amalnya itu walaupun kecil atau besar, ada nilai sebenarnya. Dan dia akan faham dengan senang. Bandingkan kalau kita ikuti perbicaraan di mahkamah, kadang-kadang tidak tahu pun apa yang berlaku di mahkamah itu. Allah gunakan kalimah يَرَهُ sebagai isyarat yang mereka akan faham sangat kesan perbuatan mereka.

Manusia akan lihat segala amalnya nanti. Pada peringkat ini, dia akan lihat amalnya itu dari bentuk asal. Kerana amal kebaikan itu nanti Allah akan gandakan sebannyak yang Allah kehendaki. Ada amal yang digandakan sepuluh kali ganda, 700 kali ganda atau lebih lagi, bergantung kepada kehendak Allah. Maka, kita akan lebih menghargai apa yang Allah lakukan. Kerana kita akan lihat bagaimana amal kita itu pada asalnya, tidaklah sebesar mana, tapi bila Allah dah gandakan, jadi banyak. Maka kita lebih menghargai apa yang Allah telah lakukan. Kita tentu akan lebih bersyukur. Kerana kita sendiri pun kena sedar, amal kebaikan yang kita telah lakukan itu, bukannya baik sangat pun – kalau kita solat pun, tidaklah kita khusyuk pun.


 

Ayah 8: Bagaimana pula kalau dia buat amal keburukan?

وَمَن يَعمَل مِثقالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whoever does an atom’s weight of evil will see it.

(MALAY)

Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar dzarrahpun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya pula.

 

شَرًّا – kejahatan. Kalimah ذَرَّةٍ berasal dari katadasar ش ر ر yang bermaksud percikan api. Jenis kejahatan yang manusia tahu ianya buruk, tidak kira dia orang Islam atau tidak, asalkan dia berakal normal. Tak perlu jelaskan pun kenapa ianya buruk. Kalau penjenayah pun, dia tahu yang apa yang dia sedang lakukan itu adalah salah, tak payah jelaskan pun dia sudah tahu.

Dalam ayat sebelum ini, telah diberitahu bagaimana kalau seseorang yang buat amal kebaikan sebesar ذَرَّةٍ pun, dia akan ditunjukkan dengan amalnya itu. Dan sekarang kita dapat tahu pula, kalau buat amal yang buruk pun, walau sebesar ذَرَّةٍ pun, akan dinampakkan juga kepada orang itu.

Jadi, kita akan ditunjukkan dengan amal kita, samada baik atau tidak, semuanya sekali. Seperti kita telah sebut, kebaikan yang kita lakukan akan digandakan dan kita akan lebih menghargai kemurahan Allah. Dan bagaimana pula dengan amal keburukan kita? Ianya akan ditunjukkan semuanya juga – walaupun ada yang Allah telah ampunkan. Allah akan tunjukkan dulu supaya kita tahu apa yang kita telah lakukan dan bagaimana Allah dengan Sifat Maha PengampunNya akan mengampunkan kesalahan itu dan menghilangkan terus mana-mana kesalahan yang Dia mahu ampunkan – bergantung kepada Allah. Bila kita lihat bagaimana kesalahan yang kita lakukan telah diampunkan, tentulah kita akan lebih menghargai Sifat Ghafoor dan Raheem Allah.

Sesungguhnya, kita tidak tahu apakah amalan kita yang akan dapat pahala dan akan dapat dosa. Ini adalah kerana banyak perkara yang terjadi dalam segenap kehidupan kita. Semuanya bergantung kepada niat. Seperti sabda Rasulullah:

قَالَ الْبُخَارِيُّ: حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ، حَدَّثَنِي مَالِكٌ عَنْ زَيْدِ بْنِ أَسْلَمَ، عَنْ أَبِي صَالِحٍ السَّمان عَنْ أَبِي هُرَيرة: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “الْخَيْلُ لِثَلَاثَةٍ: لِرَجُلٍ أَجْرٌ، وَلِرَجُلٍ سِتْرٌ، وَعَلَى رَجُلٍ وِزْرٌ؛ فَأَمَّا الَّذِي لَهُ أَجْرٌ، فَرَجُلٌ رَبَطَهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَأَطَالَ طَيلها فِي مَرْجٍ أَوْ رَوْضَةٍ، فَمَا أَصَابَتْ فِي طِيَلِهَا ذَلِكَ فِي الْمَرْجِ وَالرَّوْضَةِ كَانَ لَهُ حَسَنَاتٌ، وَلَوْ أَنَّهَا قَطَعَتْ طِيَلَهَا فاستنَّت شَرَفا أو شَرَفَيْنِ، كَانَتْ آثَارُهَا وَأَرْوَاثُهَا حَسَنَاتٍ لَهُ، وَلَوْ أَنَّهَا مَرَّتْ بِنَهَرٍ فَشَرِبَتْ مِنْهُ وَلَمْ يُرِدْ أَنْ يَسقَى بِهِ كَانَ ذَلِكَ حَسَنَاتٍ لَهُ، وَهِيَ لِذَلِكَ الرَّجُلِ أَجْرٌ. وَرَجُلٌ رَبَطَهَا تَغَنيا وَتَعَفُّفًا، وَلَمْ يَنْسَ حَقَّ اللَّهِ فِي رِقَابِهَا وَلَا ظُهُورِهَا، فَهِيَ لَهُ سِتْرٌ. وَرَجُلٌ رَبَطَهَا فَخْرًا وَرِئَاءً وَنِوَاءً، فَهِيَ عَلَى ذَلِكَ وِزْرٌ”. فسُئل رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الحُمُر، فَقَالَ: “مَا أَنْزَلَ اللَّهُ فِيهَا شَيْئًا إِلَّا هَذِهِ الْآيَةَ الْفَاذَّةَ الْجَامِعَةَ: {فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ وَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ}

Imam Bukhari mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ismail ibnu Abdullah, telah menceritakan kepadaku Malik, dari Zaid ibnu Aslam, dari Abu Saleh As-Samman, dari Abu Hurairah, bahwa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Kuda itu bagi tiga macam orang lelaki; yaitu bagi seseorang menghasilkan pahala, dan bagi seseorang yang lain menjadi penutup; dan bagi seorang yang lainnya lagi menghasilkan dosa. Adapun orang yang mendapatkan pahala dari kudanya ialah seorang lelaki yang menambatkan kudanya dijalan Allah, lalu kuda itu diikat di padang rumput atau di taman. Maka apa yang dimakannya sepanjang tali penambatnya di padang rumput atau taman itu akan menjadi pahala kebaikan bagi pemiliknya. Dan sekiranya kudanya itu memutuskan tali penambatnya, lalu berlari sejauh satu syaraf atau dua syaraf, maka semua jejaknya dan tahi kotoran yang dikeluarkannya menjadi pahala kebaikan bagi pemiliknya. Dan sekiranya kudanya itu melalui sebuah sungai (mata air), lalu minum air darinya, padahal pemiliknya tidak menginginkan kudanya itu minum, maka hal itu akan menjadi pahala baginya. Dan semuanya itu akan membawa pahala bagi lelaki yang memilikinya. Dan seorang lelaki yang menambatkannya dengan niat untuk mencukupi kebutuhannya sendiri dan menjaga kehormatannya (agar tidak minta tumpangan dari orang lain), sedangkan ia tidak melupakan hak Allah yang ada pada leher kudanya dan tidak pula pada punggungnya, maka kudanya itu menjadi penutup baginya. Dan seorang lelaki yang menambatkannya karena berbangga diri, pamer, dan ingin terkenal, maka kudanya itu akan membawa dosa baginya. Lalu Rasulullah Saw. Ditanya tentang keledai, maka beliau Saw. menjawab bahwa Allah Swt. tidak menurunkan sesuatu pun mengenainya kecuali hanya ayat yang tegas lagi mencakup ini, yaitu firman-Nya: Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarrah pun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarrah pun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya pula. (Az-Zalzalah: 7-8)

Di dalam kitab Sahih Bukhari disebutkan bahawa telah diriwayatkan dari Adiy secara marfu’:

“اتَّقُوا النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ، وَلَوْ بِكَلِمَةٍ طَيِّبَةٍ”

Hindarilah neraka, sekalipun dengan (menyedekahkan) separo buah kurma, dan sekalipun dengan kalimat yang baik.

Juga dari Adiy disebutkan di dalam kitab sahih:

«لَا تَحْقِرَنَّ مِنَ الْمَعْرُوفِ شَيْئًا وَلَوْ أَنْ تُفْرِغَ مِنْ دَلْوِكَ فِي إِنَاءِ الْمُسْتَسْقِي وَلَوْ أَنْ تَلْقَى أَخَاكَ وَوَجْهُكَ إِلَيْهِ مُنْبَسِطٌ»

Jangan sekali-kali kamu meremehkan sesuatu pun dari kebajikan, sekalipun dalam bentuk engkau menuangkan sebagian air dari timbamu ke wadah orang yang meminta minum, dan sekalipun dalam rupa engkau sambut saudaramu dengan wajah yang berseri-seri.

قَالَ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا أَبُو عَامِرٍ، حَدَّثَنَا سَعِيدُ بْنُ مُسْلِمٍ، سَمِعْتُ عَامِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ الزُّبَيْرِ: حَدَّثَنِي عَوْفُ بْنُ الْحَارِثِ بْنِ الطُّفَيْلِ: أَنَّ عَائِشَةَ أَخْبَرَتْهُ: أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ: “يَا عَائِشَةُ، إِيَّاكِ وَمُحَقِّرَاتِ الذُّنُوبِ، فَإِنَّ لَهَا مِنَ اللَّهِ طَالِبًا”.

Dan Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Amir, telah menceritakan kepada kami Sa’id ibnu Muslim, bahwa ia pernah mendengar Amir ibnu Abdullah ibnuz Zubair mengatakan bahwa telah menceritakan kepadaku Auf ibnul Haris ibnut Tufail, bahwa Aisyah pernah menceritakan kepadanya bahwa “Nabi Saw. telah bersabda kepadanya: Hai Aisyah, jauhilah dosa-dosa kecil yang remeh, karena sesungguhnya kelak Allah akan menuntutnya.

Oleh itu, ini semua adalah sebagai motivasi kepada kita untuk memperbanyakkan amal kebaikan dan meninggalkan amal keburukan.

 

Penutup:

Allah mulakan surah ini dengan sesuatu yang amat besar – kejadian gempa dan goncangan bumi yang amat mengejutkan sekali. Tapi di hujung surah, Allah menyebut tentang perkara yang kecil – amal kebaikan yang sekecil ذَرَّةٍ atau amal keburukan yang sekecil ذَرَّةٍ pun – semuanya akan ditunjukkan.

Maulana Hadi – Al Zalzalah

Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Aadiyat.


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibnu Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 099: az-Zalzalah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s