Tafsir Surah al-Bayyinah Ayat 4 – 8 (Takut kepada Allah)

Ayat 4: Dalam ayat sebelum telah diberitahu bagaimana Musyrikin dan Ahli Kitab tidak akan meninggalkan fahaman agama mereka yang salah, sehinggalah sampai kepada mereka bukti yang nyata dalam bentuk Qur’an dan Rasulullah. Akan tetapi setelah sampai juga bayyinah itu, masih ada juga yang tidak terima. Ini adalah kerana ada yang degil menolak kebenaran yang telah nyata itu. Memang kedegilan tidak ada batasan.

وَما تَفَرَّقَ الَّذينَ أوتُوا الكِتابَ إِلّا مِن بَعدِ ما جاءَتهُمُ البَيِّنَةُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Nor did those who were given the Scripture become divided¹ until after there had come to them clear evidence.

  • Into sects and denominations.

(MALAY)

Dan tidaklah berpecah belah orang-orang yang didatangkan Al Kitab (kepada mereka) melainkan sesudah datang kepada mereka bukti yang nyata.

 

Kalau diperhatikan, hanya Ahli Kitab sahaja yang disebut dalam ayat ini, sedangkan dalam Ayat 1 sebelum ini, golongan Musyrikin pun disebut juga. Tapi kenapa hanya disebut Ahli Kitab sahaja dalam ayat ini? Tentu ada sebabnya dan kita akan cuba untuk menjelaskan.

Jadi ayat ini khusus memperkatakan tentang kesalahan yang dilakukan oleh Ahli Kitab berkenaan bayyinah itu. Kita kena ingat kembali bahawa mereka itu telah ada kitab sebelum Qur’an sampai pun. Mereka telah berpecah jauh dari ajaran kitab dan Rasul mereka setelah Rasul mereka tiada. Maka, sepatutnya apabila datang Nabi Akhir Zaman, sepatutnya Nabi itu menjadi Rasul mereka dan mendekatkan kembali mereka kepada kebenaran. Mereka itu waktu itu telah berpecah kerana perbezaan pendapat antara mereka dalam agama. Sepatutnya dengan datangnya Nabi Muhammad membawakan wahyu Qur’an, sepatutnya itu adalah peluang untuk mereka kembali bersatu.

Tapi apa yang mereka buat? Mereka berpecah setelah Rasulullah sampai kepada mereka. Mereka tidak terima baginda hanya kerana degil sahaja. Dalam ramai-ramai antara mereka, sedikit sahaja yang beriman. Kebanyakan dari mereka tidak menerima ajaran tauhid yang benar itu.

Jadi, ayat 4 ini tidak sama seperti dalam ayat 1; ayat 1 sebelum ini tentang mereka yang berpindah dari dalam kegelapan dan pergi ke cahaya iman. Tetapi dalam ayat ini, ia menyentuh mereka yang telah berada dalam kecerahan agama kerana mereka itu Ahli Kitab dan Ahli Kitab sudah ada kitab panduan sepatutnya, tapi mereka pergi kepada kegelapan pula dengan menolak Rasul Akhir Zaman. Oleh itu, ada perbezaan ayat ini dengan ayat 1 sebelum ini. Ayat 1 itu adalah sifat-sifat orang kafir termasuk Ahli Kitab dan Musyrikin yang sedang berada dalam kegelapan syirik. Ayat ini pula tentang Ahli Kitab yang sepatutnya sudah ada ilmu wahyu, tapi mereka tetap juga tidak mahu beriman.

Ada perbincangan balaghah sedikit dalam ayat ini. Kalau kita perasan, kalimat yang digunakan dalam ayat ini adalah  أُوتُوا الْكِتَابَ – (yang telah diberikan dengan kitab wahyu) Ianya dalam bentuk mabni alal majhul (bentuk pasif, kerana tidak diberitahu siapakah yang telah memberi Kitab kepada mereka). Kalimat ini selalu kita baca dalam Qur’an. Ia merujuk kepada Ahli Kitab (Yahudi dan Nasara) kerana mereka telah diberikan dengan Kitab Wahyu (Taurat dan Injil). Akan tetapi, ada lagi kalimat yang lebih kurang sama juga digunakan untuk merujuk kepada mereka – آتَيْنَاهُمَا الْكِتَابَ (mereka yang Kami telah berikan Kitab). Ini juga merujuk kepada Ahli Kitab. Tapi kenapa penggunaan yang berbeza?

Dari segi balaghah, apabila Allah gunakan kalimat أُوتُوا الْكِتَابَ, ia selalunya bermakna mereka sedang disebut dalam konteks yang negatif – ada perkara yang tidak baik yang mereka lakukan dan Allah sedang murka dengan mereka, seperti yang digunakan dalam ayat ini. Allah memberi isyarat kemurkaan kepada mereka, sampaikan Allah tidak beritahu yang Dialah yang memberikan Kitab Wahyu kepada mereka, walaupun pada hakikatnya, memang Allah lah yang memberikan kepada mereka.

Dan apabila Allah menggunakan kalimat آتَيْنَاهُمَا الْكِتَابَ, selalunya ia digunakan dalam bentuk positif, ada perbuatan mereka yang baik dan ada perkara baik yang akan disebut tentang mereka. Oleh kerana dalam konteks positif, maka Allah mengingatkan yang Dialah yang memberikan Kitab kepada mereka. Allah meletakkan NamaNya kalau dalam bentuk positif dan menjauhkan DiriNya kalau ianya dalam bentuk negatif. Ini adalah salah satu dari ketepatan penggunaan istilah dan bahasa dalam Qur’an, menunjukkan kehebatan Qur’an itu. Tidak mungkin ianya dari Nabi Muhammad, seorang manusia. Tentu ianya dari Allah taala, Tuhan sekelian alam.

Kembali kepada ayat ini, Allah menegur perbuatan salah mereka yang berpecah belah ke dalam perbezaan antara mereka. Mereka sudah berada dalam cahaya keimanan tapi mereka telah masuk ke dalam kegelapan dosa. Sepatutnya wahyu menyatukan mereka, tapi apabila mereka tolak, mereka telah masuk ke dalam kegelapan. Dan ini amat bahaya. Ianya sebagai pengajaran buat kita, setelah kita menerima wahyu Qur’an ini, maka kenalah kita berpegang dengannya dan jangan berpecah belah. Malangnya, itulah yang terjadi dalam kalangan kita kerana kejahilan tentang wahyu. Allah tentang beri peringatan tentang bahaya ini dalam Baqarah:213

كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ ۚ وَمَا اخْتَلَفَ فِيهِ إِلَّا الَّذِينَ أُوتُوهُ مِن بَعْدِ مَا جَاءَتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ ۖ فَهَدَى اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا لِمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِهِ ۗ وَاللَّهُ يَهْدِي مَن يَشَاءُ إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ

Manusia itu adalah umat yang satu. (setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi, sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, yaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, karena dengki antara mereka sendiri. Maka Allah memberi petunjuk orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkann itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu memberi petunjuk orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus.

Malangnya, inilah keadaan sekarang dalam masyarakat kita. Manusia berilmu agama telah mempergunakan agama itu untuk kepentingan mereka. Kerana mereka tahu bahawa ianya ada kuasa dalam masyarakat, boleh memberi kedudukan kepada mereka, boleh buat duit dan harta, dapat penghormatan dari orang kebanyakan dan macam-macam lagi. Mereka orang-orang yang ada ilmu agama, tapi mereka telah mengambil kesempatan atas ilmu mereka itu. Oleh itu, ketahuilah bahawa kalau ada ilmu agama, tidak semestinya selamat lagi. Kalau orang biasa buat kesalahan begitu pun kita akan marah, tapi kalau orang agama sendiri yang buat begitu, ianya amat huduh sekali. Kerana mahukan kedudukan itulah yang menyebabkan kedengkian sesama ahli agama. Kalau ada orang yang beri pendapat yang lain sikit dari mereka, mereka akan menentang atau memperlekeh orang itu. Kerana mereka tidak mahu merendahkan diri mereka, mereka akan rendahkan orang lain. Jangan kita sangka ini tidak berlaku kerana orang itu bawa perawakan ‘agama’, nama ustaz ataupun ulama, tuan syeikh itu dan ini, tapi ada kemungkinan, mereka kalau kita lihat dari segi luaran nampak baik, tapi kita tidak tahu apa yang dalam hati mereka. Sebab itu bila ada orang yang nampak lagi pandai dari mereka, mereka mula marah dan mereka akan cari kesalahan dan burukkan orang itu. Mereka sanggup buat begitu kerana mereka nampak orang lain sebagai saingan mereka. Amat buruk dan hina sekali perbuatan mereka itu.

Ini sama sahaja dengan perbuatan Rabbi Yahudi semasa zaman Nabi Isa a.s. Mereka rasa terancam dengan kedatangan Nabi Isa yang tentulah lebih pandai dari mereka. Mereka sudah nampak yang pengaruh mereka akan hilang, tambahan pula mereka selama ini telah menyalahgunakan agama untuk meninggikan kedudukan mereka. Sebelum itu mereka yang di kedudukan tinggi dan mereka tidak dapat terima apabila Nabi Isa a.s. memperbetulkan kesalahan mereka, maka mereka burukkan baginda. Malah mereka telah buat perancangan untuk bunuh baginda. Ini semua kerana mereka nak jaga ego dan status mereka sahaja.

Oleh itu, ayat ini tentang mereka yang ada ilmu agama. Kerana itulah yang disebut dalam ayat ini adalah ‘mereka yang telah diberikan Kitab’, kerana mereka adalah orang yang sepatutnya ada ilmu pengetahuan agama. Mereka sudah ada kitab tapi mereka tidak mengikuti ajaran di dalamnya, dan ini adalah lebih teruk lagi dari golongan Musyrikin yang tidak ada ilmu langsung. Malangnya, elemen ini sudah lama ada dalam agama Islam pun. Ramai dari kalangan orang agama yang kerja mereka asyik nak menyalahkan orang lain sahaja. Mereka bukannya nak cari kebenaran, tapi nak busukkan nama orang sahaja. Allah tahu apa yang ada dalam hati mereka, dan perkara ini disebut dalam banyak ayat termasuk dalam Shura:14

وَما تَفَرَّقوا إِلّا مِن بَعدِ ما جاءَهُمُ العِلمُ بَغيًا بَينَهُم

Dan mereka (ahli kitab) tidak berpecah belah, kecuali setelah datang pada mereka ilmu pengetahuan, karena kedengkian di antara mereka.

Allah beritahu yang perpecahan yang berlaku itu adalah kerana mereka dengki sesama sendiri. Kedengkian itu telah terus menyesatkan mereka, kerana mereka tidak ikhlas dalam mengamalkan agama – ada benda yang mereka mahu capai dalam mengekalkan kedudukan mereka itu. Semoga kita yang sudah ada sedikit sebanyak ilmu ini tidak jadi begitu. Semoga Allah selamatkan hati kita dari terjerumus ke lembah kehinaan itu.

Ayat ini juga hendak memberitahu bagaimana Ahli Kitab itu telah berpecah belah setelah mereka dapat wahyu sebagaimana yang disebut di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan melalui berbagai jalur:

“أَنَّ الْيَهُودَ اخْتَلَفُوا عَلَى إِحْدَى وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، وَأَنَّ النَّصَارَى اخْتَلَفُوا عَلَى اثْنَتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً وَسَتَفْتَرِقُ هَذِهِ الْأُمَّةُ عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، كُلُّهَا فِي النَّارِ إِلَّا وَاحِدَةً”. قَالُوا: مَنْ هُمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: “مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي”

Sesungguhnya orang-orang Yahudi berpecah belah menjadi tujuh puluh satu golongan, dan orang-orang Nasrani berpecah belah menjadi tujuh puluh dua golongan. Dan umat ini akan berpecah belah menjadi tujuh puluh tiga golongan, semuanya di dalam neraka kecuali satu golongan. Para sahabat bertanya, “Siapakah mereka yang satu golongan yang selamat itu, wahai Rasulullah?” Rasulullah Saw. bersabda: Yaitu golongan yang mengikuti apa yang dikerjakan olehku dan para sahabatku.

Jadi ayat ini memberitahu kita, Ahli Kitab itu jatuh selepas ilmu sampai kepada mereka. Mereka jadi begitu kerana motif mereka bukan untuk mendapatkan ilmu, dan kerana mereka tidak ikhlas dalam hati mereka. Maka kita juga telah mendapat wahyu dari Allah juga dalam bentuk Qur’an, adakah kita juga mahu jadi seperti mereka? Tentu kita tidak mahu. Maka kita kena jaga ikhlas hati kita. Keikhlasan itu penting sekali, dan kerana itulah dalam ayat seterusnya Allah sebut tentang ikhlas.


 

Ayat 5: Sebelum ini telah disebut tentang apa yang telah dilakukan oleh Ahli Kitab itu. Mereka telah berpecah belah kerana kedengkian yang ada dalam diri mereka. Walaupun mereka ada ilmu agama. Tapi sebenarnya apa yang mereka disuruh? Allah beritahu dalam ayat ini yang dalam kitab mereka pun suruh mereka buat baik juga, sama seperti yang disuruh dalam Qur’an.

وَما أُمِروا إِلّا لِيَعبُدُوا اللَّهَ مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ حُنَفاءَ وَيُقيمُوا الصَّلاةَ وَيُؤتُوا الزَّكاةَ ۚ وَذٰلِكَ دينُ القَيِّمَةِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they were not commanded except to worship Allāh, [being] sincere to Him in religion, inclining to truth, and to establish prayer and to give zakāh. And that is the correct religion.

(MALAY)

Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus, dan supaya mereka mendirikan salat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus.

 

Yang pertama sekali, mereka disuruh untuk beribadat kepada Allah. Jangan sembah dan beribadat kepada selain dari Allah. Inilah tauhid yang dtekankan banyak sekali dalam ayat-ayat Qur’an. Ini sama seperti disebut dalam firmanNya Al-Anbiya: 25:

وَما أَرْسَلْنا مِنْ قَبْلِكَ مِنْ رَسُولٍ إِلَّا نُوحِي إِلَيْهِ أَنَّهُ لَا إِلهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدُونِ

Dan Kami tidak mengutus seorang rasul pun sebelum kamu, melainkan Kami wahyukan kepadanya, “Bahwasanya tidak ada Tuhan (yang hak) melainkan Aku, maka sembahlah olehmu sekalian akan Aku.”

Dalam ayat ini kita diberitahu yang mereka disuruh untuk menjadi مُخلِصينَ – orang-orang yang ikhlas. Maknanya, dalam kita beribadat, hendaklah dalam ikhlas. Keikhlasan adalah perkara yang penting dalam agama, kerana hanya dengan ikhlas sahaja dapat menyatukan manusia yang berbagai jenis. Ini yang perlu dicapai tapi  inilah masalah yang besar dalam masyarakat kita. Kerana tidak ikhlas dan kerana ada tujuan lain, itulah yang menyebabkan perpecahan dalam umat.

Seperti yang telah disebut sebelum ini, bayyinah itu adalah terdiri dari Rasulullah dan juga wahyu dari Allah. Maknanya, perlu taat kepada arahan Rasul dan juga arahan Allah dalam wahyu. Kalau tidak ikhlas, akan susah untuk taat kepada arahan Rasulullah dalam Sunnah. Ini adalah kerana orang yang sombong susah untuk merendahkan diri mereka di hadapan Rasulullah kerana mereka kena turunkan ego mereka yang tinggi. Setengah orang tidak boleh buat. Kerana mereka rasa mereka lebih pandai lagi. Orang yang ikhlas sahaja yang boleh lakukan perkara ini dan kebanyakan manusia tidak boleh. Kerana itu ramai yang tidak suka ada orang di atas mereka, mereka memberontak secara luaran atau dalaman. Kerana itulah ada orang yang tidak suka suka bos mereka, tidak suka polis, kerajaan, ulama dan ketua masyarakat mereka. Mereka ini jenis susah nak terima ada orang yang di atas mereka yang memberi arahan kepada mereka. Jangan kita jadi begitu. Kena rendahkan diri kita kerana kita kena ingat, kita bukannya bagus sangat.

Jadi mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah mereka yang menolak apa yang disampaikan oleh Rasulullah walaupun mereka mengaku yang mereka ikut wahyu. Kita pun selalu dengar tentang golongan Anti-Hadis, bukan? Mereka ini bukanlah orang yang ikut bayyinah, kerana bayyinah itu adalah Rasul dan wahyu. Kalau golongan Anti-Hadis itu, mereka telah menolak salah satu dari elemen bayyinah itu. Mereka ini orang yang amat teruk sekali kerana bila tolak hadis, senanglah mereka nak rosakkan wahyu, dan mereka pandai reka maksud wahyu. Kerana itulah bila kita lihat tafsiran ayat Qur’an oleh pihak mereka, ianya amat mengarut sekali.

Ayat ini memberitahu kita apa yang kita perlu ada dalam hati kita dan amalan kita. Ianya adalah ubat untuk kesalahan yang ada dalam ayat 4 sebelum ini. Ayat ini adalah khulasah kepada keseluruhan agama. Apa yang disampaikan dalam ayat ini adalah jelas.

Pertama yang disebut adalah لِيَعْبُدُوا اللَّهَ – (supaya mereka menyembah Allah), (beribadah kepada Allah). Tapi apakah maksudnya? Kita kena faham betul-betul. Apakah sebenarnya maksud ‘ibadah’?

– Ibadah bermaksud perbuatan ibadah yang dilakukan oleh manusia dalam hal agama: sebagai contoh, sujud, rukuk dan sebagainya, iaitu perbuatan khusus dalam masa yang khusus. Rasanya semua boleh faham, tapi kita nak tengok dari segi bahasa pula untuk lebih memahaminya.

Dari segi bahasa – kalimah لِيَعْبُدُوا dari عبد yang bermaksud ‘hamba’. Lawan kepada عبد adalah ّرب (Tuan). Seperti tuan kepada seorang hamba. Dan dalam kes Allah, Allah adalah Tuhan kepada semua hamba. Orang yang melakukan ibadah kepada Allah adalah seorang aabid. Tapi apakah perbezaan antara seorang hamba dan seorang yang melakukan ibadah?

– Status hamba adalah status sepanjang masa, sedangkan orang yang melakukan ibadah, hanya pada waktu tertentu dan sahaja. Jadi itu sahaja sudah tidak sama. Kita bukannya hanya disuruh melakukan ibadah sahaja, tapi kita disuruh untuk menjadi hamba kepada Allah. Tapi masalahnya, ramai tak faham maksud ‘hamba’. Status seorang hamba adalah setiap masa, tidak tertakluk kepada masa tertentu sahaja. Kita tidak boleh jadi hamba sekejap dan kemudian tidak mahu jadi hamba pula.

Dalam perhambaan kita kepada Allah, Allah adalah Tuan yang sebenar tuan. Kerana Dia bukan seperti tuan yang lain kepada hamba mereka. Allah amat adil walaupun Dia memiliki segalanya. Dia penyabar and kita memujiNya dan mengenali kehebatanNya. Kerana itu kita rela dan redha menjadi hamba Allah. Sedangkan kalau hamba kepada selain Allah, siapa yang sanggup? Siapa yang sengaja nak jadi hamba kepada orang lain? Tentu tidak ada bukan? Tapi lain kalau penghambaan kepada Allah.  Kita sanggup dan rela menjadi hamba kepada Allah, tapi tidak kepada manusia lain. Oleh itu, beza Allah sebagai Tuan dan tuan lain, kita sayang kepada Allah dan tidak membenci Allah. Kerana itu kita puji Allah dalam ayat pertama surah Fatihah berkali-kali setiap hari. Dan kerana kita redha kepada Allah, kita buat ibadat dengan rela.

Ibn Taymiyyah mengatakan ada lima ciri seorang hamba kepada Allah:

1- Kena ada cinta. Kalau ada cinta kepada selain Allah pun, cinta itu kena kurang dari cinta kepada Allah. Maknanya, cinta kita kepada Allah melebihi segalanya.

2- Ketaatan sebagai hamba. Tidak ada ketaatan kalau ketaatan itu bermaksud tidak taat kepada Allah. Dalam apa-apa perkara pun, kita tidak boleh tidak taat kepada Allah.

3- Keikhlasan. Kita kena jadikan semua yang dibuat adalah kerana untuk Allah. Tidak kira apa aspek dalam hidup kita, semuanya untuk Allah. Jadi, kita bukan taat kepada Allah pada waktu solat sahaja. Seluruh kehidupan kita, kita kena serahkan kepada Allah seperti firmanNya dalam Al-An’am 162.

قُل إِنَّ صَلاتي وَنُسُكي وَمَحيايَ وَمَماتي لِلَّهِ رَبِّ العالَمينَ

Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.

Maknanya, segala genap kehidupan kita, kita kena serahkan kepada Allah. Oleh itu dalam rangka kita lakukan segalanya dalam servis kepada Allah, kita kena pastikan apa-apa keputusan yang kita pun adalah untuk jadi hamba Allah. Kita kena fikirkan, “kalau aku buat macam ini, adakah Allah redha?”.

4- Kepercayaan sepenuhnya kepada Allah (tawakal). Kita kena yakin yang apa sahaja yang Allah buat dan beri kepada kita adalah untuk kebaikan kita, walaupun kadang-kadang kita tidak nampak kebaikan itu. Kerana itulah, kalau ada kesusahan pun, yakinlah yang ada kebaikan dalam perkara itu. Sebagai seorang hamba, kita terima sahaja apa yang berlaku terhadap kita dan redha. Kerana kita percaya Allah, bukan kepada makhluk; kalau kita percaya kepada makhluk, kita akan hampa kerana makhluk tetap akan menghampakan kita.

5- Peraturan ditetapkan oleh Allah. Dalam apa-apa perhubungan pun, kena ada peraturannya. Begitu juga dengan perhubungan kita dengan Allah – ada peraturannya, tapi peraturan itu ditetapkan oleh Allah. Kalau perhubungan lain, sebagai contoh perhubungan suami isteri, suami isteri boleh duduk berbincang dan buat peraturan masing-masing dan boleh berbincang tentangnya. Tapi tidak dengan Allah – Allah sahaja yang layak buat peraturan itu. Dan kita tidak ada pilihan lain selain menerima peraturan itu dan kena taat dengan peraturan itu. Jangan kita reka sendiri peraturan itu dan sangka  yang kita hamba yang baik, sedangkan kita tidak tengok pun peraturan yang Allah telah letakkan. Dalam perkara ini, banyak yang ada masalah salah faham. Mereka sendiri sahaja sangka mereka telah jadi hamba yang baik, tapi tak rujuk pun wahyu bagaimana menjadi hamba yang baik. Jadi, ada banyak perkara yang kita lihat dalam perhambaan kepada Allah.

Kalimat لَهُ الدّينَ adalah dalam bentuk muqaddam (diletakkan di awal dari yang sepatutnya) – memberi isyarat eksklusif – bahawa agama itu hanya untuk Allah sahaja dan hanya Allah.  Maksudnya, kita ikut peraturan agama kerana Dia, bukan untuk orang lain, bukan kerana hendak mendapat kedudukan dalam masyarakat, bukan kerana hendak mendapat kuasa, atau lain-lain sebab. Segala apa yang kita lakukan adalah kerana hendak mendapatkan redhaNya. Ini penting untuk kita jaga kerana ada manusia yang ambil peluang menjadi ahli agama untuk kepentingan diri mereka. Kalau begitu, tentunya mereka sudah tidak ikhlas. Dan kita kena tahu yang syaitan akan kacau hati kita supaya kita tidak jadi ikhlas. Syaitan akan bisikkan perkara-perkara yang buruk dalam hati kita sampaikan nanti ada yang akan berkelahi sesama sendiri. Itu kerana semua ego telah jadi tinggi dan hendak dipenuhkan. Waktu itu kita bukan kerja untuk Allah lagi, tapi atas sebab-sebab yang lain.

Sebagai contoh, kadang-kadang kita telah banyak berjasa untuk agama, infak sana sini, mengajar sana sini, tulis sana dan sini tentang agama Islam. Tapi kadang-kadang ada orang yang puji, ada yang buat tidak kisah sahaja, malah ada kutuk pun ada. Kita kena tanya diri kita, kalau tiada orang yang menghargai kita, puji apa yang kita lakukan, adakah kita terasa hati? Adakah kita marah kalau orang lain buat tidak kisah sahaja dengan segala jasa kita itu? Adakah kita akan putus ada atau sudah tidak mahu tolong agama lagi? Kalau kita ada rasa begitu, maka ketahuilah yang kita buat segala kerja dakwah dan membangungkan Islam dalam masyarakat itu bukanlah kerana Allah, tapi kerana hendak mendapat pujian dan sanjungan dari manusia. Maknanya kita mengharap balasan dari manusia, bukan dari Allah. Kerana itu kita kena jaga niat kita dalam kerja-kerja kita dalam agama. Jangan langsung harapkan pujian atau sanjungan dari manusia. Dan ini adalah masalah yang dihadapi oleh mereka yang mengajar dan berdakwah. Kerana ada sahaja yang tidak menghargai dan mengutuk apa yang kita lakukan. Dan kalau jadi begitu, apa nak buat? Adakah kita nak berhenti dari meneruskan kerja agama kita itu?

Kalau kita senang terasa dengan kutukan manusia, bayangkanlah bagaimana Rasulullah sendiri dikutuk dan dikeji sekian lama oleh mereka yang tidak mahu menerima dakwah baginda.  Bagaimana anda teruk kena tuduh dan ditohmah, baginda lagi teruk kena. Sebagaimana kita sendiri tahu, pada peringkat awal dakwah baginda, lagi banyak baginda kena tolak dan kena keji dari mereka yang ikut baginda. Tapi baginda tidak berhenti dari berdakwah kerana baginda mahukan balasan dan redha dari Allah. Baginda tidak mengharap kedudukan dan pujian manusia. Bandingkan tindakan baginda dan tindakan Iblis – memang Iblis telah beribadat sekian lama, tapi dia mahukan kedudukan yang tinggi dalam agama. Dan apabila Allah muliakan Nabi Adam, menjadikan keturunan Nabi Adam sebagai khalifah di bumi, dia marah. Ini adalah kerana dia tidak ikhlas dalam ibadatnya. Ada benda yang dia hendak dari Allah. Maka kita kena kenali sifat ini dan jauhkan dari diri kita.

حُنَفاءَ – ini adalah adjektif – ianya adalah jamak bagi kalimah حنيف;  ianya dari katadar ح ن ف; ia bermaksud menjauh dari dosa, menjauh dari kesalahan, menjadi seorang yang tegak dan tetap fokus pada jalan yang lurus itu (istiqamah). Perkataan حنيف banyak digunakan dalam Qur’an dan Hadis. Ianya dikaitkan dengan agama tauhid, kerana itu Nabi Ibrahim selalu disebut sebagai seorang yang حنيف.

Selepas itu, Allah terus menyenaraikan dua ibadat utama yang selalu diulang-ulang dalam Qur’an: وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ (mendirikan solat dan mengeluarkan zakat). Dua ibadat ini selalu disebut sebagai contoh ibadah utama yang perlu dilakukan oleh manusia. Ianya sebagai merangkumi ibadah-ibadah yang lain. Maknanya bukanlah kena buat dua ibadat ini sahaja, ibadat yang lain pun kena buat juga. Tapi dua ibadat ini selalu disebut kerana:

S0lah  – mewakili ibadah yang melibatkan perhubungan dengan Allah. Apabila kita melakukan ibadah ini, kita berkait dengan Allah.

Zakah – mewakili ibadah perhubungan dengan manusia yang lain. Ini adalah kerana kita disuruh untuk mengeluarkan zakat dan memberikannya kepada mereka yang memerlukannya. Bukan sahaja kita melakukannya sebagai ibadah ketaatan kepada Allah, tapi ia juga dapat mendekatkan hubungan dengan manusia yang lain.

Kedua-dua ibadat ini kena dijaga dengan baik sekali. Dan selepas itu Allah sebut semua itu adalah وَذَٰلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ. Itulah agama yang tegak, yang lurus. Inilah agama yang benar yang perlu kita anuti dan amalkan. Kita selalu berdoa supaya kita ditempatkan di atas ‘jalan yang lurus’ dan sekarang Allah beritahu apakah jalan yang lurus itu.

Jadi, ayat ini adalah khulasah (summary) agama Islam ini. Ia bermula dengan ikhlas dalam hati dan mengerjakan suruhan dalam agama (iqamah). Kena mulakan dengan bersihkan  diri dari dalam dan yang diluar akan jadi baik juga. Kedua-dua kena berjalan seiringan – janganlah nak mengaku hati itu bersih kalau amalan agama yang Allah arahkan untuk kita lakukan, tidak kita jalankan.


 

Ayat 6: Ayat takhwif ukhrawi

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا مِن أَهلِ الكِتابِ وَالمُشرِكينَ في نارِ جَهَنَّمَ خالِدينَ فيها ۚ أُولٰئِكَ هُم شَرُّ البَرِيَّةِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, they who disbelieved among the People of the Scripture and the polytheists will be in the fire of Hell, abiding eternally therein. Those are the worst of creatures.

(MALAY)

Sesungguhnya orang-orang yang kafir yakni ahli Kitab dan orang-orang yang musyrik (akan masuk) ke neraka Jahannam; mereka kekal di dalamnya. Mereka itu adalah seburuk-buruk makhluk.

 

Sekarang ayat ini balik semula kepada subjek asal yang disebut di permulaan surah ini iaitu Ahli Kitab dan Musyrikin. Allah memberitahu dalam ayat ini, mereka yang tetap tidak mahu meninggalkan fahaman sesat mereka, tidak mahu menerima bayyinah yang sampai kepada mereka, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka, dan mereka akan kekal di dalamnya.

Kalimat جَهَنَّمَ berasal dari Parsi dan ia asalnya adalah jahnaam = ruang seksaan (tempat manusia diseksa). Memang dalam Qur’an ada kalimah-kalimah yang bukan berasal dari Bahasa Arab, tapi dari bahasa lain.

Allah menekankan yang mereka akan خالِدينَ فيها (kekal di dalamnya) dimana mereka akan berterusan berada di dalam Neraka Jahannam. Tidak ada peluang untuk keluar. Dan mereka tidak akan mati-mati, maka memang akan kekal terus di sana. Kalau kena duduk di penjara dunia pun, akhir sekali bolehlah mati dan keluar juga dari penjara itu akhirnya, tapi di neraka nanti, kalau mereka yang kekal di sana, memang kekal yang sebenar-benar kekal.

Mereka itu bersifat شَرُّ البَرِيَّةِ. Kalimah البَرِيَّةِ dari katadasar ب ر أ yang bermaksud sesuatu yang dibawa dari tiada kepada ada, termasuk kita sebagai manusia. Kalimah شَرُّ pula bermaksud yang paling teruk. Oleh itu, mereka yang berperangai menolak bayyinah setelah sampai kepada mereka adalah makhluk yang paling teruk! Telah sampai bayyinah kepada mereka, tapi mereka tolak! Oleh kerana itu, mereka layak masuk dalam neraka.


 

Ayat 7: Ayat tabshir. Lawan kepada mereka yang paling teruk seperti yang disebut dalam ayat sebelum ini.

إِنَّ الَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ أُولٰئِكَ هُم خَيرُ البَرِيَّةِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, they who have believed and done righteous deeds – those are the best of creatures.

(MALAY)

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk.

 

Kalimah إِنَّ bermaksud ‘sesungguhnya, tidak syak lagi’. Ianya adalah kalimah penekanan untuk menyatakan sesuatu yang penting. Allah hendak menghilangkan apa-apa keraguan manusia tentang perkara yang hendak disebut itu. Kadang-kadang kita boleh lihat Allah guna dan kadangkala tidak pula. Ini kerana ianya bergantung kepada pendengar waktu itu. Kalau mereka tidak yakin, maka akan digunakan penekanan إِنَّ ini. Jadi kita tahu yang ayat ini ditujukan kepada mereka yang tidak yakin. Kita boleh tahu siapa yang ditujukan ayat itu kalau kita tahu balaghah. Oleh itu, Allah hendak menekankan yang apa yang akan disebut ini pasti berlaku, jangan kamu teragak-agak lagi.

آمَنوا bermaksud mereka beriman sempurna. Beriman sempurna maksudnya mereka beriman dengan akidah tauhid dan tidak melakukan syirik. Bukan sahaja mereka percaya dengan apa yang perlu dipercayai (dalam Rukun Iman), tapi dia juga tidak melakukan syirik atau ada fahaman syirik. Tapi kena belajarlah apa yang dimaksudkan dengan tauhid dan syirik, takut-takut ada amalan yang syirik kita lakukan.

وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ (dan mereka melakukan amal yang soleh). Kalau iman itu adalah amalan dalaman, ia kena ditunjukkan dengan amalan luaran sekali. Itulah amal-amal yang soleh. Jangan setakat kata beriman sahaja, tapi amal soleh tak buat; dan kena tahu juga apakah yang dimaksudkan dengan ‘amalan soleh’ itu – ianya adalah amalan yang sunnah, yang ada contoh dengan dalil yang sahih dari amalan Nabi dan para sahabat. Amalan yang bukan amalan yang soleh adalah amalan bida’ah dan banyak masyarakat kita melakukannya kerana tidak faham apakah yang dimaksudkan dengan ‘bida’ah’ itu.

Mereka yang dapat mengamalkan semua ini Allah kata mereka itu adalah خَيرُ البَرِيَّةِ iaitu sebaik-baik kejadian, sebaik-baik makhluk. Maka kita kenalah berusaha untuk menjadi خَيرُ البَرِيَّةِ ini. Jangan kita jadi شَرُّ البَرِيَّةِ seperti yang disebut dalam ayat sebelum ni.

Abu Hurairah dan segolongan ulama menyimpulkan dari ayat ini bahawa orang-orang yang beriman dari kalangan manusia lebih utama daripada para malaikat, kerana firman-Nya yang mengatakan: {أُولَئِكَ هُمْ خَيْرُ الْبَرِيَّةِ}


 

Ayat 8: Apakah yang akan didapati oleh خَيرُ البَرِيَّةِ itu?

جَزاؤُهُم عِندَ رَبِّهِم جَنّاتُ عَدنٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهارُ خالِدينَ فيها أَبَدًا ۖ رَضِيَ اللَّهُ عَنهُم وَرَضوا عَنهُ ۚ ذٰلِكَ لِمَن خَشِيَ رَبَّهُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Their reward with Allāh will be gardens of perpetual residence beneath which rivers flow, wherein they will abide forever, Allāh being pleased with them and they with Him. That is for whoever has feared his Lord.

(MALAY)

Balasan mereka di sisi Tuhan mereka ialah syurga ‘Adn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah redha terhadap mereka dan merekapun redha kepada-Nya. Yang demikian itu adalah (balasan) bagi orang yang takut kepada Tuhannya.

 

جَزاؤُهُم عِندَ رَبِّهِم – balasan bagi mereka ada di sisi Tuhan mereka. Allah akan tetap balas dan yang pasti, Allah akan balas di akhirat kelak. Allah mungkin balas semasa mereka di dunia, tapi itu tidak dengan sempurna. Pembalasan yang sempurna adalah di akhirat kelak.

Apabila dikatakan balasan itu dari Allah, ini bermakna mereka yang beriman, tidak berharap upah di dunia, tapi mereka mengharap bayaran di akhirat kelak. Mereka tidak berharap balasan dari manusia samada dalam bentuk upah atau pujian, tapi mereka hanya berharap balasan dari Allah sahaja. Mereka bukan nak bahagian dari dunia, tapi di akhirat. Dan mereka percaya yang balasan akan diberikan di akhirat, walaupun mereka tidak nampak lagi balasan itu – inilah tawakal yang dimaksudkan. Iaitu percaya sungguh-sungguh dan serahkan kepada Allah untuk balas kepada kita macam mana Dia nak balas.

Mereka akan mendapat جَنّاتُ عَدنٍ (Taman Adnin) sebagai balasan di atas semasa perbuatan dan amalan mereka. Dan kemudian Allah jelaskan sedikit tentang جَنّاتُ عَدنٍ itu. Allah berikan sedikit gambaran bagaimana keadaan di syurga itu – تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهارُ – di bawah mengalir sungai-sungai. Kenapa agaknya selalu kita dengar penerangan sifat syurga begini? Ini adalah kerana kalau kita pergi ke mana-mana negara pun, kita akan lihat tempat yang mahal, tempat yang manusia suka duduk adalah di tempat yang ada air, samada mataair, air pancut, tasik, laut, sungai dan sebagainya. Kerana manusia memang suka dengan air dan taman. Kerana itulah manusia pergi ke taman permainan, air terjun. Dan kalau orang kaya, mereka akan ada taman di rumah mereka dan ada air di rumah mereka, samada kolam, air pancut dan sebagainya. Memang dah sifat manusia begitu.

Tambahan pula kalau manusia itu sudah semakin tua, mereka akan suka duduk di tempat yang tenang, di dalam taman, dengan permandangan yang cantik. Ini adalah benda biasa dan semua manusia ada perasaan begini tidak kira mereka itu bangsa apa, kedudukan mereka dalam dunia dan sebagainya. Kalau mereka muda, mungkin mereka tidak terasa lagi kerana orang muda suka benda lain – tapi bila dah tua nanti, baru mereka akan terasa. Jadi, Allah menyebut tentang sifat taman dan sifat air ini sebagai menarik minat manusia dan sebagai motivasi untuk mereka kejar.

خالِدينَ فيها أَبَدًا – mereka akan kekal di dalamnya. Mereka akan kekal di dalam sy urga itu sampai bila-bila.

Tapi, kalau kita perhatikan dalam ayat 6 sebelum ini, apabila dikatakan tentang mereka yang dimasukkan ke dalam syurga, kalimah أَبَدًا tidak ada pula. Ini menyebabkan perbincangan yang panjang di kalangan ulama. Ada ulama yang mengatakan dari ayat ini, menunjukkan yang kehidupan di syurga itu kekal abadi, tapi tidak tertakluk kepada kehidupan di neraka. Antara yang berpendapat begini adalah Ibn Taymiyyah dan ini adalah pendapat yang lain dari jumhur. Jumhur (majoriti) ulama berpendapat mereka yang dimasukkan ke dalam neraka, ada yang akan kekal di dalamnya kerana ada disebut dalam ayat-ayat yang lain seperti Ahzab:65

خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۖ لَّا يَجِدُونَ وَلِيًّا وَلَا نَصِيرًا

mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; mereka tidak memperoleh seorang pelindungpun dan tidak (pula) seorang penolong.

Kenapa ada perbezaan kalimah yang digunakan kalau begitu? Ulama berhujah yang ianya bergantung kepada surah itu. Kalau surah itu lebih banyak disebut tentang syurga, maka syurga akan dilebihkan dan ditambah dengan kalimah أَبَدًا. Dan kalau ianya sama banyak disebut dalam surah itu, kedua-dua syurga dan neraka akan ada kalimah أَبَدًا. Oleh itu, dalam surah ini, kerana lebih banyak penerangan diberikan tentang ahli syurga, maka kalimah أَبَدًا diletakkan pada ayat yang menceritakan tentang syurga. Allahu a’lam.

Oleh itu, ahli syurga akan kekal abadi di dalam syurga itu. Dan ini juga adalah satu lagi kelebihan yang diberikan kepada mereka. Kerana kita sebagai manusia pun, amat suka kalau ada tempat tinggal yang tetap. Kita kalau boleh nak ada rumah sendiri, bukan nak menumpang rumah orang, bukan nak menyewa sampai mati. Cita-cita kebanyakan manusia adalah untuk ada rumah sendiri – mereka akan rasa senang hati kalau dapat duduk di rumah sendiri. Kerana kalau kita duduk di tempat yang mewah pun, tapi kalau kita rasa yang kita tidak kekal di situ, akan kurang rasa hebatnya tempat itu. Begitulah kalau kita duduk di hotel paling mahal sekali pun – dalam hati kita, kita tahu yang kita kena tinggalkan hotel itu akhirnya. Kerana itulah Allah berikan motivasi tambahan kepada kita, Dia akan berikan ahli syurga itu kehidupan yang kekal di syurga. Bayangkan, tidak bil letrik atau air yang kena dibayar, rumah tidak perlu diperbaiki, rumah pun cantik dan indah, besar sebesar-besarnya, siap ada dengan pembantu lagi dan macam-macam lagi nikmat di dalamnya. Inilah cita-cita kita yang paling penting sekali!

Ini memang tidak sama dengan rumah kita semasa di dunia. Kalau ada rumah besar pun, lagi pening kepala nak jaga. Apa sahaja kesenangan dan kekayaan yang kita dapat di dunia ini, ada sahaja masalah di dalamnya, ada sahaja kekurangan. Kalau banyak duit pun kena jaga, bukan? Kalau rumah besar pun, susah nak jaga bukan? Masalah ini tidak ada di syurga nanti dan ini semua adalah motivasi untuk kita. Maka kena kejarlah, jangan baca sahaja.

Kemudian Allah sambung dengan nikmat tambahan pula. Nikmat ini adalah lebih besar kalau dibandingkan dengan nikmat syurga yang disebut sebelum ini: رَضِيَ اللَّهُ عَنهُم – Allah redha dengan mereka. Kalimah ارضي – maksud puas dengan sempurna, tidak ada komen. Ini adalah satu nikmat yang amat besar dan ianya termasuk nikmat rohani. Nikmat jasmani adalah duduk di syurga dengan segala kenikmatan badaniah, tapi nikmat rohani yang nikmat yang dirasa oleh hati kita. Dan yang paling hebat adalah Allah redha dengan kita. Selalunya kita buat kerja dengan susah payah dan kalau majikan kita redha dan suka dengan kerja kita, bukankah kita suka? Bagaimana pula kalau ibubapa kita redha kita sebagai anak mereka? Kita pun amat suka kerana ibubapa kita puashati dengan kita; sekarang, bayangkan kalau Allah, yang menjadikan kita, yang telah memberi segalanya kepada kita, yang kita paling cintai, dan Dia pula redha dengan kita, tidakkah itu amat besar sekali?

وَرَضوا عَنهُ – dan pula pun redha denganNya. Mereka redha dengan apa yang Allah telah berikan kepada mereka. Bayangkan anak-anak kita pun tak redha sepenuhnya dengan kita, kerana akan ada sahaja kekurangan kalau dinamakan manusia. Tapi nanti kita akan redha sepenuhnya dengan Allah.

Siapa yang akan mendapat semua ini? ذٰلِكَ لِمَن خَشِيَ رَبَّهُ – itu semua untuk dia yang takut kepada Tuhannya. خ ش ى adalah takut kepada sesuatu yang lebih besar, lebih kuat dari kita. Iaitu takut kepada Allah. Syurga dan segala nikmat yang telah disebut di atas adalah untuk mereka yang takut kepada Allah, lebih dari dia takut kepada selainNya. Kita memang kadang-kadang ada juga takut kepada makhluk, tapi tidak boleh takut lebih dari kita takut kepada Allah. Kena ada sifat takut kepada Allah dan kerana mereka itu mereka akan cari kebenaran. Kerana kalau takut dengan orang lain, kita akan lari dari mereka; tapi bila takut dengan Allah, akan mendekatkan diri lagi kepada Allah, bukan menjauhkan. Itulah beza takut kepada makhluk dengan takut kepada Allah.

 

Penutup:

Surah ini bermula dengan menyentuh tentang manusia yang berbeza-beza dalam hati mereka dan perbezaan itu akan lebih ketara dengan adanya bayyinah. Bayyinah adalah pembahagi manusia kepada dua puak: yang beriman dan tidak beriman. Maknanya, dengan wahyu itu membahagikan manusia kepada dua bahagian.

Apabila menerima dan percaya kepada bayyinah itu, manusia sanggup berpisah dari fahaman dan amalan tok nenek yang mereka telah lama pegang, sampai mereka sanggup masuk ke dalam agama Islam dengan sepenuhnya. Ini adalah kerana mereka tidak takut kepada manusia, tapi mereka lebih takut kepada Allah. Memang bukan senang nak tinggalkan fahaman lama dan fahaman turun temurun kerana kadang-kadang amalan dan fahaman itu telah dipegang turun temurun. Akan tetapi mereka tetap juga kena tinggalkan kerana fahaman dan amalan-amalan itu salah. Maka masyarakat kita kalau dapat terima wahyu ini, belajar dengan baik, tentu mereka akan dapat meninggalkan fahaman dan amalan syirik dan bidaah yang masih lagi menebal di kalangan masyarakat kita.

Maulana Hadi: al-Bayyinah

Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah Zalzalah.


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 098: al-Bayyinah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s