Tafsir Surah al-Bayyinah Ayat 1 – 3 (Bayyinah itu wahyu dan Rasululllah)

Muqaddimah:

Kita sudah belajar Surah Alaq – ia menceritakan bagaimana wahyu Qur’an itu diturunkan. Dan Surah al-Alaq itu adalah surah pertama yang diturunkan.

Kemudian kita juga sudah belajar Surah Qadr – ia menerangkan bilakah ianya mula diturunkan, iaitu pada Lailatul Qadr dalam Bulan Ramadhan.

Dalam dua surah itu, kita sudah diperkenalkan dengan Qur’an dan sejarah Qur’an. Sekarang kita akan belajar Surah Bayyinah – ia akan menerangkan apakah pati ajaran dalam Qur’an dan apakah kesannya kepada masyarakat waktu itu dan sepanjang zaman?

Ia juga mengandungi ajaran agama yang amat penting sekali dan diterangkan dengan ringkas sahaja dalam ayat ini. Walaupun ayat ini pendek, tetapi ia mempunyai nilai ajaran yang amat tinggi dan salah satu dari surah yang susah untuk ditafsirkan.

Surah ini juga akan menjelaskan kepada kita bagaimana orang yang degil tidak akan terima Qur’an walau bagaimana pun. Hati mereka telah tertutup.


 

Ayat 1:

لَم يَكُنِ الَّذينَ كَفَروا مِن أَهلِ الكِتابِ وَالمُشرِكينَ مُنفَكّينَ حَتّىٰ تَأتِيَهُمُ البَيِّنَةُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Bayyinah: Clear Evidence.

Those who disbelieved among the People of the Scripture and the polytheists were not to be parted [from misbelief]¹ until there came to them clear evidence –

  • i.e., from their erroneous beliefs and superstitions.

(MALAY)

Orang-orang kafir yakni ahli Kitab dan orang-orang musyrik tidak akan meninggalkan (agamanya) sebelum datang kepada mereka bukti yang nyata,

 

Ayat ini dengan jelas memberitahu kita bahawa Musyrikin Mekah dan Ahli Kitab (Yahudi dan Nasara) tidak akan meninggalkan amalan dan fahaman mereka, selagi tidak sampai kebenaran kepada mereka. Begitulah juga dengan orang kita sekarang, amat susah untuk meninggalkan amaran dan fahaman yang telah lama dipegang dari tok nenek lagi, melainkan mereka dapat bukti yang nyata.

Kalimah مُنفَكّينَ itu dari katadasar ف ك ك yang bermaksud mengasingkan, melepaskan, membebaskan, mematahkan, terkehel. Oleh itu, ada beberapa makna dari kalimah مُنفَكّينَ itu:

1 – Membebaskan diri dari sesuatu.

2 – Berhenti dari melakukan sesuatu yang biasa dilakukan.

Dua golongan itu dikatakan akan berhenti apabila mendapat bukti yang nyata. Tapi apakah  yang mereka akan berhenti dari lakukan?

Bilakah surah ini diturunkan?

Ulama khilaf tentang bilakah surah ini diturunkan. Yang peliknya, pendapat jumhur ianya diturunkan di Makkah  dan ada jumhur kata diturunkan di Madinah pula. Ada riwayat dari ibn Abbas pun ada yang kata ianya adalah Makkiyah dan ada pula riwayat yang kata ianya Madaniyyah. Akan tetapi ada riway dari Aisyah r.a yang mengatkaan ianya adalah Makkiyah. Ada pendapat yang berat mengatakan ianya adalah Madaniyyah kerana terdapat kisah tentang Ahli Kitab yang selalunya memberi isyarat yang ianya Madaniyyah. Tetapi kita boleh dikatakan ianya adalah diturunkan di hujung-hujung Makkiyah dimana telah ada interaksi dengan Ahli Kitab. Allahu a’lam.

Oleh kerana perbincangan yang banyak tentang surah inilah yang menyebabkan ini adalah surah yang dikatakan paling susah ditafsir. Agaknya kenapa susah sangat? Kerana kalau terjemah biasa sahaja tidak susah sangat, bukan? Ianya senang sahaja kalau diterjemah, tapi apabila hendak ditafsir dan dicari maknanya itu yang susah.

Dari apa yang kita terjemah sebentar tadi, mereka (Musyrikin dan Ahli Kitab) tidak akan meninggalkan kekafiran sehinggalah sampai wahyu yang benar kepada mereka. Akan tetapi, kalimah حَتَّىٰ (sehingga) itu agak keliru sedikit. Kerana kalau kita cuba fahamkan ayat itu, bila mereka dah dapat wahyu yang jelas, mereka sepatutnya berhentilah dari syirik dan kekufuran mereka, bukan? Akan tetapi, dari sejarah, kita boleh lihat bagaimana golongan Ahli Kitab dan Musyrikin itu tetap juga dalam kekafiran mereka, walaupun telah sampai dalil yang benar, bukan? Inilah yang menyebabkan para mufassir keliru. Seolah-olah ayat ini tidak kena dengan kenyataan. Oleh itu, kenapa ayat ini disusun sebegini? Inilah yang kita perlu perhalusi.

A. Satu pendapat yang diberikan, sebenarnya Allah hendak menceritakan hujah mereka (Musyrikin dan Ahli Kitab) itu tentang Islam. Mereka kononnya kata, mereka tidak akan meninggalkan amalan dan fahaman mereka, selagi mereka tidak mendapat hujah bukti yang jelas nyata.

Dalil tentang pendapat ini ada dalam ayat-ayat lain:

Sebagai contoh, dalam Ali Imraan:183 (peristiwa puak Yahudi meminta mukjizat);

الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ عَهِدَ إِلَيْنَا أَلَّا نُؤْمِنَ لِرَسُولٍ حَتَّىٰ يَأْتِيَنَا بِقُرْبَانٍ تَأْكُلُهُ النَّارُ ۗ قُلْ قَدْ جَاءَكُمْ رُسُلٌ مِّن قَبْلِي بِالْبَيِّنَاتِ وَبِالَّذِي قُلْتُمْ فَلِمَ قَتَلْتُمُوهُمْ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ

(Yaitu) orang-orang (Yahudi) yang mengatakan: “Sesungguhnya Allah telah memerintahkan kepada kami, supaya kami jangan beriman kepada seseorang rasul, sebelum dia mendatangkan kepada kami korban yang dimakan api”. Katakanlah: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu beberapa orang rasul sebelumku membawa keterangan-keterangan yang nyata dan membawa apa yang kamu sebutkan, maka mengapa kamu membunuh mereka jika kamu adalah orang-orang yang benar”.

Dari ayat ini, mereka memberi alasan kenapa mereka tidak beriman – kerana kononnya mereka tidak mendapat dalil/hujah yang nyata. Mereka mahukan sesuatu yang mereka boleh nampak dengan mata kepala mereka sendiri, baru mereka nak percaya kepada Rasulullah. Tapi seperti yang kita telah belajar dalam ayat itu, itu hanyalah alasan mereka sahaja.

Musyrikin Mekah juga telah memberitahu alasan mereka pula dalam Isra’:90-93

وَقَالُوا لَن نُّؤْمِنَ لَكَ حَتَّىٰ تَفْجُرَ لَنَا مِنَ الْأَرْضِ يَنبُوعًا.  أَوْ تَكُونَ لَكَ جَنَّةٌ مِّن نَّخِيلٍ وَعِنَبٍ فَتُفَجِّرَ الْأَنْهَارَ خِلَالَهَا تَفْجِيرًا.  أَوْ تُسْقِطَ السَّمَاءَ كَمَا زَعَمْتَ عَلَيْنَا كِسَفًا أَوْ تَأْتِيَ بِاللَّهِ وَالْمَلَائِكَةِ قَبِيلًا.

أَوْ يَكُونَ لَكَ بَيْتٌ مِّن زُخْرُفٍ أَوْ تَرْقَىٰ فِي السَّمَاءِ وَلَن نُّؤْمِنَ لِرُقِيِّكَ حَتَّىٰ تُنَزِّلَ عَلَيْنَا كِتَابًا نَّقْرَؤُهُ ۗ قُلْ سُبْحَانَ رَبِّي هَلْ كُنتُ إِلَّا بَشَرًا رَّسُولًا

Dan mereka berkata: “Kami sekali-kali tidak percaya kepadamu hingga kamu memancarkan mata air dan bumi untuk kami,

atau kamu mempunyai sebuah kebun korma dan anggur, lalu kamu alirkan sungai-sungai di celah kebun yang deras alirannya,

atau kamu jatuhkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana kamu katakan atau kamu datangkan Allah dan malaikat-malaikat berhadapan muka dengan kami.

Begitulah antara alasan-alasan mereka hendak menolak dakwah tauhid dari Nabi Muhammad. Dan ada lagi bukti-bukti lain yang mereka minta dari Nabi Muhammad. Tapi semua itu hanyalah alasan sahaja.

Jadi, mengikut pendapat ini, ayat pertama dari Surah Bayyinah ini bukanlah hendak menceritakan apa yang berlaku, tapi hendak menceritakan alasan orang-orang kafir itu.

B. Pendapat kedua pula mengatakan ayat pertama ini merujuk kepada orang-orang kafir (Musyrikin dan Ahli Kitab) yang tetap tidak akan beriman WALAUPUN SAMPAI dalil yang jelas nyata kepada mereka.

Hujah ini merujuk kepada kalimah مِنْ dalam ayat ini. Ia bermaksud ‘sebahagian’ dari mereka, yang tidak akan beriman langsung. Maknanya, ada yang beriman dan ada yang tidak mahu beriman. Oleh itu, ayat ini bukan bercakap tentang semua orang kafir itu, tapi kebanyakan (من) dari mereka yang tetap memegang pegangan lama mereka, tidak juga mahu beriman. Ini adalah kerana mereka telah lama lakukan kekufuran dan kesyirikan mereka. Dan kalau manusia dah tetap dalam amalan mereka, memerlukan sesuatu yang kuat untuk mengubah pandangan mereka. Kadang-kadang hujah/dalil yang sampai kepada seorang tidak cukup untuk orang lain.

Dan ada yang menerima dalil-dalil yang telah disampaikan kepada mereka. Sebab itu kita lihat dalam sejarah bagaimana ada kalangan orang kafir yang sanggup mengubah pandangan dan pegangan mereka yang lama, setelah datangnya Nabi Muhammad yang membawa wahyu. Bukan sahaja dari kalangan orang Arab tapi di mana-mana negara sahaja. Apabila para sahabat dan pendakwah Muslim datang kepada mereka dengan bawa Qur’an ini kepada negara mereka, mereka sanggup tinggalkan agama mereka yang lama mereka pegang dan tidak pandang dah fahaman lama mereka itu. Sebab itu kita boleh lihat bagaimana banyak sekali negara yang telah meninggalkan agama lama mereka; sebagai contoh, negara kita sendiri, dulunya mengamalkan agama Hindu tapi tidak ada yang mengamalkan lagi agama Hindu, bukan?

Jadi, pendapat ini mengatakan tentang mereka yang tetap tidak mahu beriman walaupun telah sampai bayyinah kepada mereka.

C. Pendapat yang ketiga adalah berlawanan dengan pendapat kedua di atas. Pendapat ketiga ini mengatakan Musyrikin dan Ahli Kitab tidak akan meninggalkan amalan dan fahaman lama mereka yang kufur, sehinggalah sampai bayyinah kepada mereka.

Pendapat kedua mengatkaan ayat 1 menceritakan tentang mereka yang tetap tidak mahu beriman, tapi pendapat ketiga ini mengatakan ayat 1 menceritakan tentang mereka yang mahu mengubah pendapat mereka dan telah beriman. Mereka sanggup beriman setelah sampai bayyinah kepada mereka.

Memang susah untuk meninggalkan fahaman keagamaan yang telah sebati dalam diri melainkan ada bukti yang jelas nyata dan menusuk ke dalam hati. Dan ini kita telah lihat dalam sejarah. Kerana itu kita bleh lihat bagaimana ada dari kalangan Ahli Kitab yang telah meninggalkan agama lama mereka untuk masuk ke dalam Islam. Ini adalah kerana mereka telah nampak bagaimana Qur’an itu adalah wahyu yang benar dari Allah. Kita telah belajar dalam Surah Qadr sebelum ini tentang penurunan Qur’an. Dan sekarang kita belajar bagaimana hebatnya Qur’an itu – dapat mengubah fahaman manusia yang telah lama mereka pegang. Kerana ianya adalah bayyinah yang jelas nyata.

D. Sekarang kita lihat pula pendapat yang keempat. Pendapat yang keempat mengatakan bahawa Ahli Kitab tidak akan mengkhianati Kitab mereka sehinggalah datangnya bayyinah. Apakah maksudnya?

Sebelum datangnya Nabi Muhammad, Ahli Kitab telah berperang dengan puak Musyrikin. Dan mereka telah kalah kerana kekuatan pada pihak Musyrikin. Tapi mereka telah mengatakan bahawa dalam Kitab mereka, telah menceritakan tentang kedatangan Nabi Akhir Zaman dan bila Nabi itu datang, baginda akan membantu mereka mengalahkan puak Musyrikin itu. Maknanya, mereka memang telah menunggu-nunggu kedatangan Rasul Akhir Zaman itu kerana ianya telah ada pun dalam Kitab mereka.

Akan tetapi, apabila benar-benar Nabi Muhammad telah diangkat menjadi Rasul, mereka tidak menerima baginda sebagai Rasul. Maknanya, mereka telah mengkhianati Kitab mereka sendiri. Dan bilakah mereka mengkhianatinya? Apabila datang bayyinah itu. Ini kita boleh lihat sendiri dalam Baqarah:89

وَلَمَّا جَاءَهُمْ كِتَابٌ مِّنْ عِندِ اللَّهِ مُصَدِّقٌ لِّمَا مَعَهُمْ وَكَانُوا مِن قَبْلُ يَسْتَفْتِحُونَ عَلَى الَّذِينَ كَفَرُوا فَلَمَّا جَاءَهُم مَّا عَرَفُوا كَفَرُوا بِهِ ۚ فَلَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الْكَافِرِينَ

Dan setelah datang kepada mereka Al Quran dari Allah yang membenarkan apa yang ada pada mereka, padahal sebelumnya mereka biasa memohon (kedatangan Nabi) untuk mendapat kemenangan atas orang-orang kafir, maka setelah datang kepada mereka apa yang telah mereka ketahui, mereka lalu ingkar kepadanya. Maka laknat Allah-lah atas orang-orang yang ingkar itu.

Sekian pengenalan kepada empat pendapat tentang maksud ayat 1.

Sekarang kita kaji pula kalimah الَّذينَ كَفَروا (orang-orang yang kafir). Orang yang kafir adalah mereka yang menolak kebenaran. Selalunya adalah benda yang hendak ditolak, bukan? Tapi ayat ini mengatakan mereka sendiri telah kafir sebelum sampai kebenaran wahyu Qur’an pun lagi. Kenapa?

Ini adalah kerana manusia itu sebelum datangnya wahyu, memang berada dalam kegelapan kufur. Dan hanya apabila datangnya Rasul, barulah mengeluarkan mereka dari lembah kegelapan. Lihat Baqarah:257 –

اللَّهُ وَلِيُّ الَّذِينَ آمَنُوا يُخْرِجُهُم مِّنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ ۖ

Allah Pelindung orang-orang yang beriman; Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman).

Setiap tamadun ada kebaikan dan keburukan mereka. Macam Musyrikin Mekah pun ada juga kebaikan sifat mereka, bukanlah semuanya teruk. Kita boleh bahagikan manusia kepada 4 jenis sebelum wahyu datang kepada mereka:

1 – Ada manusia yang baik dalaman mereka dan baik juga luaran mereka; ada manusia seperti Abu Bakr as-Siddeeq yang mempunyai sifat ini sebelum wahyu turun pun.

2 – Ada manusia yang baik dalaman mereka tapi kerana mereka dipengaruhi oleh masyarakat yang teruk, maka yang nampak adalah keburukan mereka; contoh mereka yang sebegini adalah seperti Hamza bin Abdul Mu’tallib (bapa saudara Nabi). Beliau sebenarnya baik, tapi tak nampak baik kerana masyarakat waktu itu mengamalkan syirik dan beliau terikut-ikut dengan amalan dan fahaman mereka. Dan apabila datang Islam dan beliau pun sudah Muslim, baru jelas nampak kebaikan beliau.

3 – Ada manusia yang buruk dalaman mereka tapi masyarakat memandang mereka sebagai orang yang baik dan hebat; ini adalah orang seperti Abu Jahl. Masyarakat Arab Mekah memandang tinggi kepada beliau. Mereka sayang kepada Abu Jahal, sampai mereka gelar beliau dengan gelaran Abul Hakam (Bapa Bijaksana), sebab dia memang seorang yang pandai dan ditambah pula dengan sifat berani dan pemurah.

4 – Dan ada pula yang buruk dalaman dan buruk luaran mereka seperti Abu Lahab.

Mereka semua ini dalam satu masyarakat. Dan dari luaran, mereka nampak sama sahaja. Tapi apabila bayinah datang kepada mereka, ianya begitu kuat sampaikan boleh menjelaskan sifat dalaman mereka dan memecahkan mereka kepada kumpulan masing-masing. Waktu itu baru nampak siapa baik dan siapa yang tidak. Mereka yang nampak macam baik seperti Abu Jahal, baru terserlah keburukan dia. Itulah kehebatan wahyu yang dapat mengeluarkan sifat sebenar mereka. Ini kita boleh lihat dalam Anfal:8:

لِيُحِقَّ الْحَقَّ وَيُبْطِلَ الْبَاطِلَ

agar Allah menetapkan yang hak (Islam) dan membatalkan yang batil (syirik)

 

Juga disebut dalam Anfal:42

 لِّيَهْلِكَ مَنْ هَلَكَ عَن بَيِّنَةٍ وَيَحْيَىٰ مَنْ حَيَّ عَن بَيِّنَةٍ ۗ

agar orang yang binasa itu binasanya dengan keterangan yang nyata dan agar orang yang hidup itu hidupnya dengan keterangan yang nyata (pula).

Allah telah menurunkan wahyu dan memperjalankan proses-proses untuk membezakan manakah yang benar dan manakah yang batil.

Kenapa penting dibahagikan mereka itu, dijelaskan mereka duduk dalam golongan mana? Mungkin ada yang bertanya, kenapa tak boleh mereka duduk sekali, duduk dalam aman damai? Lihatlah bagaimana keadaan di Mekah waktu itu, semua sekali bercampur tidak ada perang, tidak ada caci maki. Memang mereka duduk dengan aman, semua boleh amalkan apa yang mereka hendak amalkan, tapi Allah tidak mahu begitu. Allah nak jelaskan mana yang benar. Allah tidak suka kalau amalan syirk berterusan. Sebab itu Allah buka kebenaran supaya nampak jelas mana yang benar dan tidak. Memang tauhid tidak boleh duduk sama dengan syirik. Allah nak musnahkan fahaman yang bathil. Allah berfirman dalam Anfal:37:

لِيَمِيزَ اللَّهُ الْخَبِيثَ مِنَ الطَّيِّبِ وَيَجْعَلَ الْخَبِيثَ بَعْضَهُ عَلَىٰ بَعْضٍ فَيَرْكُمَهُ جَمِيعًا فَيَجْعَلَهُ فِي جَهَنَّمَ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ

supaya Allah memisahkan (golongan) yang buruk dari yang baik dan menjadikan (golongan) yang buruk itu sebagiannya di atas sebagian yang lain, lalu kesemuanya ditumpukkan-Nya, dan dimasukkan-Nya ke dalam neraka Jahannam. Mereka itulah orang-orang yang merugi.

Allah akan kumpul mereka dalam satu kumpulan, walaupun mereka ada banyak jenis. Memang kalau kita perhatikan, jenis kekufuran itu banyak jenis, tapi Allah kata segala yang kufur itu satu jenis sahaja, iaitu mereka tidak beriman yang benar.

Begitulah yang akan terjadi apabila bayyinah itu datang – ia akan membahagikan manusia yang dulunya duduk dalam satu masyarakat kepada dua bahagian. Yang menerima bayyinah itu tidak redha lagi duduk dengan mereka yang buat syirik. Seperti yang disebut dalam Mumtahanah:4

قَدْ كَانَتْ لَكُمْ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ فِي إِبْرَاهِيمَ وَالَّذِينَ مَعَهُ إِذْ قَالُوا لِقَوْمِهِمْ إِنَّا بُرَآءُ مِنكُمْ وَمِمَّا تَعْبُدُونَ مِن دُونِ اللَّهِ كَفَرْنَا بِكُمْ وَبَدَا بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةُ وَالْبَغْضَاءُ أَبَدًا حَتَّىٰ تُؤْمِنُوا بِاللَّهِ وَحْدَهُ

Sesungguhnya telah ada suri tauladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengan dia; ketika mereka berkata kepada kaum mereka: “Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dari daripada apa yang kamu sembah selain Allah, kami ingkari (kekafiran)mu dan telah nyata antara kami dan kamu permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya sampai kamu beriman kepada Allah saja.

Mereka yang beriman akan memisahkan diri mereka dari mereka yang mengamalkan syirik. Ini telah berlaku zaman berzaman. Itulah yang dimaksudkan dengan kalimah مُنفَكّينَ dalam ayat 1 ini. Mereka yang beriman akan meninggalkan fahaman yang salah dan syirik.  Begitulah juga maksud dari kalimah البَيِّنَةُ ini yang datang dari katadasar ب ي ن yang bermaksud memisahkan, memutuskan, meninggalkan, menjelaskan. Apabila ia datang, maka manusia akan berpecah menjadi dua puak – puak yang benar dan puak yang bathil. Antara kufur dan iman.


 

Ayat 2: Kita telah banyak kali sebut tentang البَيِّنَةُ itu. Tapi apakah البَيِّنَةُ itu? Ayat ini menjelaskan bagi kita dan ada dua perkara yang disebutkan dalam ayat ini yang merangkumi البَيِّنَةُ itu.

رَسولٌ مِنَ اللَّهِ يَتلو صُحُفًا مُطَهَّرَةً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

A Messenger from Allāh, reciting purified¹ scriptures

  • i.e., containing no falsehood.

(MALAY)

(yaitu) seorang Rasul dari Allah (Muhammad) yang membacakan lembaran-lembaran yang disucikan (Al Quran),

Yang pertama disebut, البَيِّنَةُ itu adalah Nabi Muhammad SAW. Dan apa yang baginda akan lakukan? Baginda akan membacakan البَيِّنَةُ yang kedua, iaitu Kitab Suci Qur’an.

 

Oleh البَيِّنَةُ itu adalah dua perkara, dan dua-dua perkara ini kena ada untuk mencukupkan البَيِّنَةُ itu:

1 – Wahyu Qur’an; ia menceritakan agama dalam bentuk teori.

2 – Rasulullah SAW. Baginda mempraktikkan agama itu sebagai contoh untuk kita mengikuti teori yang telah disebut dalam wahyu. Kerana apa-apa yang disebut dalam Qur’an itu kalau tidak dijalankan, tidak diamalkan, ianya tidak bermakna. Dan kita tidak tahu untuk mengamalkannya kalau tidak ada contoh dari Rasulullah.

Jadi ini menyentuh tentang perkara yang amat penting sekali – kita kena amalkan apa yang disampaikan dalam Qur’an. Dan kena amalkan seperti yang dipraktikkan oleh Rasulullah. Dan untuk itu, kita kena belajar apakah yang disampaikan dalam Qur’an dan Sunnah Nabi. Kalau tidak tahu, bagaimana kita nak amalkan? Tapi inilah masalah muslim, mulut asyik mengatakan yang Islam itu baik, tapi kalau lihat perangai orang Islam sendiri, buat malu sahaja. Ini adalah kerana kebanyakan dari orang Islam sendiri tidak mengamalkan Islam itu sendiri. Mereka tidak tahu pun apa yang patut diamalkan kerana mereka tidak beramal.

Kalau begitu jadinya, bagaimana kita hendak dakwahkan agama Islam ini kepada orang lain? Memang susah sekali. Oleh itu, sebagai seorang pendakwah, kenalah kita ada ilmu yang cukup dan akhlak kena dijaga supaya mempunyai akhlak islamiah. Dan inilah kekurangan kita dan kerana itu susah nak dakwah kepada orang kalau perangai kita sendiri pun teruk juga. cakap berdegar-degar, tapi perangai teruk, orang bukan Islam nak masuk Islam pun tak mahu. Orang kita setakat cakap sahaja pandai, tapi tidak berguna. Ramai yang tidak mempelajari apa yang dikatakan oleh Rasulullah.

Sebab itu kita lihat digabungkan dua perkara ini dalam ayat ini. Bukan Qur’an sahaja yang kita kena pegang, tapi amalan dan akhlak Rasulullah juga. Dan memang Nabi muhammad itu akhlaqnya paling baik. Itulah yang sepatutnya yang kita kena pelajari dan cuba terapi dalam kehidupan kita.

Dan agama Islam ini bukan hanya boleh diambil terus dari Qur’an tapi kena lihat bagaimana Nabi Muhammad amalkan. Dan siapa yang tahu apa yang Nabi amalkan? Tentulah para sahabat baginda. Oleh itu, ambilan agama kita adalah dari mereka. Jangan jadi seperti golongan Anti-Hadis atau yang menggelar diri mereka Quranist, yang hanya mahu ambil agama dari Qur’an sahaja. Tapi tentu tidak boleh. Kerana ayat-ayat Qur’an itu bukannya boleh difahami dengan sempurna tanpa dipraktikkan oleh Rasulullah. Sebagai contoh, dalam Qur’an disebut tentang solat. Tapi kalau bukan Nabi yang tunjukkan cara solat, bagaimana kita boleh tahu bagaimana cara solat itu?

Kalimah يَتلو dari katadasar ت ل و yang bermaksud: ikut, berjalan di belakang, baca, membacakan. Selalunya digunakan dalam penggunaan maksud ‘membaca’ kerana kalau kita baca pun, mata kita akan ikut apa yang tertulis pada kertas, bukan?

Jadi, kalau kita lihat terjemahan ayat ini, kita boleh katakan yang Nabi Muhammad ‘membacakan’ ayat-ayat Qur’an kepada manusia. Tapi, kalau kita lihat sejarah, pendapat yang banyak mengatakan yang Nabi Muhammad tidak boleh membaca (walaupun ada pendapat yang mengatakan Nabi Muhammad boleh membaca selepas mendapat wahyu), oleh itu, bagaimana pula dikatakan yang baginda membacakan ayat-ayat Qur’an itu? Kenapa kalimah يَتلو yang digunakan?

Inilah yang hebatnya. Walaupun Nabi Muhammad tidak boleh membaca, tapi seperti yang kita telah pernah beritahu di tempat yang lain, Qur’an asalnya di Lauh Mahfuz. Kemudian dituliskan oleh para malaikat dan kemudian diturunkan ke Baitul Izzah. Dari situ, Jibrail bawa turun dengan izin Allah bacakan sedikit demi sedikit kepada Nabi selama lebih kurang 22 tahun. Jadi, walaupun ianya dibacakan kepada Nabi, tapi ia asalnya adalah dari sesuatu yang sudah siap tertulis. Dan walaupun ianya dibacakan kepada baginda, tapi apabila ianya disampaikan kepada baginda, baginda rasa macam ianya tertulis dalam hati baginda. Kalau kita ambil dari pemahaman ini, maka baginda membaca dari Qur’an yang tertulis hatinya. Ini adalah kerana Allah telah berjanji untuk memastikan baginda akan ingat apa yang telah disampaikan kepada baginda, seperti yang disebut dalam Qiyamah:16-19

لاَ تُحَرِّكْ بِهِ لِسَانَكَ لِتَعْجَلَ بِهِ – إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْءَانَهُ – فَإِذَا قَرَأْنَـهُ فَاتَّبِعْ قُرْءَانَهُ – ثُمَّ إِنَّ عَلَيْنَا بَيَانَهُ

Janganlah kamu gerakkan lidahmu untuk (membaca) Al Quran karena hendak cepat-cepat (menguasai)nya. Sesungguhnya atas tanggungan Kamilah mengumpulkannya (di dadamu) dan (membuatmu pandai) membacanya. Apabila Kami telah selesai membacakannya maka ikutilah bacaannya itu. Kemudian, sesungguhnya atas tanggungan Kamilah penjelasannya.

صُحُفًا مُطَهَّرَةً: Baginda membacakan suhuf-suhuf yang suci bersih dari kebathilan. Seperti firman-Nya dalam Abasa:13-16:

فِي صُحُفٍ مُكَرَّمَةٍ مَرْفُوعَةٍ مُطَهَّرَةٍ بِأَيْدِي سَفَرَةٍ كِرامٍ بَرَرَةٍ

di dalam kitab-kitab yang dimuliakan, yang ditinggikan lagi disucikan, di tangan para penulis (malaikat), yang mulia lagi berbakti. (‘Abasa: 13-16)

Ibnu Jarir mengatakan bahawa di dalam lembaran-lembaran yang disucikan itu terdapat kitab-kitab dari Allah yang berharga, adil, lagi lurus; tiada suatu kesalahan pun di dalamnya kerana ia dari sisi Allah Swt. Jadi sifat Qur’an itu memang suci dan hati baginda juga telah disucikan: pertama kali semasa baginda kanak-kanak dan sekali lagi sebelum perjalanan Isra’ Mi’raj baginda.


 

Ayat 3:

فيها كُتُبٌ قَيِّمَةٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Within which are correct writings [i.e., rulings and laws].

(MALAY)

di dalamnya terdapat (isi) Kitab-kitab yang lurus.

 

كُتُبٌ: boleh merujuk kepada penulisan pada kitab, kerana buku-buku dipanggil ‘kitab’ dalam Bahasa Arab. Ia juga boleh digunakan untuk bermaksud hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah kerana kalimah كُتُبٌ juga digunakan untuk merujuk kepada ‘undang-undang’ dalam Bahasa Arab, iaitu sesuatu yang wajib ditaati, diikuti. Seperti yang Allah telah firmankan dalam Baqarah:183

كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ

diwajibkan atas kamu berpuasa

Juga dalam Baqarah:216

كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ

Diwajibkan atas kamu berperang,

Juga dalam Baqarah:178

كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ

diwajibkan atas kamu qishaash

Dalam ketiga-tiga ayat ini, digunakan kalimah كُتِبَ yang memberi isyarat bahawa ada undang-undang yang telah ditetapkan kepada kita dalam ayat-ayat itu: tentang puasa, tentang perang dan tentang Qisas.

Memang dalam wahyu itu ada hukum, tapi apabila dikatakan فيها كُتُبٌ, maksudnya memang ‘di dalamnya’ ada hukum, tapi bukanlah semua wahyu Qur’an itu hanya mengandungi hukum sahaja, tapi ada benda lain lagi. Ini penting untuk difahami kerana orang Islam ramai yang sangka agama ini hanya tentang ‘boleh buat dan tidak boleh buat’ (do’s and don’ts) sahaja, tapi tidak begitu sebenarnya. Kerana ada banyak lagi perkara lain.

قَيِّمَةٌ: ia bermaksud tegak, teguh, berdiri lurus. Ia juga bermaksud, kalau ada sesuatu yang bengkok, ia dapat menegakkannya. Dan memang hukum dari Allah adalah tegak dan lurus, dan hebatnya lagi, ia juga membetulkan mana-mana yang rosak dalam masyarakat. Begitulah hebatnya ayat-ayat dalam Qur’an itu, mengandungi surah-surah yang tinggi nilainya, tidak kira berapa panjang atau pendek pun surah itu. Walaupun ada surah-surah yang pendek tapi ianya tinggi kerana ada kelebihannya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 098: al-Bayyinah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s