Tafsir Surah at-Teen (Manusia asalnya dijadikan mulia)

Pengenalan:

Seperti selalu, kita menyebut tentang hubungan antara surah ini dengan surah yang sebelumnya. Kerana tentu ada kaitan yang amat rapat sampaikan Allah menyusun susunan surah-surah sebegitu rupa dalam Quran.

1 – Dalam Surah Inshirah, Allah menjanjikan kemudahan kepada Nabi Muhammad. Tetapi janji itu bukan hanya untuk Nabi Muhammad sahaja tapi untuk Nabi-nabi yang lain. Dalam Surah at-Teen ini akan diberitahu bagaimana semua Nabi sebelum Nabi Muhammad mengalami cabaran yang sama juga. Kerana memang menyampaikan dakwah tauhid adalah sesuatu yang amat berat kerana perlu mengubah akal dan hati manusia. Tapi Allah menjadikan kepada pembawa ajaran tauhid itu bahawa kerja itu akan menjadi semakin mudah. Akan ada manusia yang akan menerima ajakan tauhid itu kerana Allah dah jadikan manusia dalam keadaan terbaik, dan ini disebut dalam surah ini.

2 – Memang manusia telah dicipta dalam keadaan yang terbaik. Kita boleh lihat peringkat-peringkat yang telah disebut dalam surah-surah sebelum ini. Dalam Surah asy-Syams, telah disebut bagaimana manusia itu dijadikan dalam dua bahagian – fizikal dan spiritual. Kemudian dalam Surah al-Layl, diberikan contoh mereka yang baik, iaitu mereka yang memberi infak dan bertaqwa. Dan kemudian dalam Surah Dhuha disebut tentang kedudukan Nabi Muhammad, sebagai contoh seorang manusia yang mempunyai kedudukan dan sifat yang tinggi. Dan disambung kisah itu dalam Surah Insyirah. Jadi ada peningkatan sifat manusia yang telah disebut dalam surah-surah itu dari Surah Syams sampai ke Surah Insyirah. Dalam Surah at-Teen ini, disebut yang manusia boleh mencapai kedudukan yang tinggi kerana memang manusia telah dijadikan dalam keadaan yang terbaik. Ini dapat dicapai dengan mengikut contoh Nabi Muhammad.

3 – Akan tetapi, kalau manusia tidak menghiraukan diri mereka dari segi spiritual, mereka akan dijatuhkan ke tempat yang rendah.

Surah ini dimulai dengan tiga sumpah. Ini adalah satu kebiasaan dalam Juzuk 30 ini. Dan sumpah-sumpah ini adalah perkara yang penting yang perlu diambil perhatian. Kalau kita tidak melihat sumpah-sumpah ini, kita tidak boleh memahami surah ini.

Mungkin ramai yang sangka Quran ini memperkatakan tentang perkara yang rendah-rendah dan mudah sahaja kerana ianya diberikan kepada orang Mekah yang hidup pada zaman dahulukala sahaja yang kurang ilmunya. Tetapi tidak begitu kerana Quran ini memperkatakan perkara yang tinggi-tinggi. Nanti kita akan lihat bagaimana Quran sebenarnya memperkatakan tentang perkara perkara yang tinggi-tinggi dan kompleks.

Allah hendak memberitahu bahawa Allah telah beri akal kepada manusia dan kalau manusia menggunakan akal itu, manusia akan menjadi makhluk yang baik; tapi kalau mereka tidak menggunakan akal mereka, maka mereka itu lebih teruk dari binatang.


 

Ayat 1: Sumpah pertama.

وَالتّينِ وَالزَّيتونِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

At-Teen: The Fig.

By the fig and the olive¹

  • Referring to the places known for their production, i.e., Damascus and Jerusalem, respectively. It could also refer to the fig and olive trees or to the fruits themselves.

(MALAY)

Demi (buah) Tin dan (buah) Zaitun,

 

Buah Tin adalah buah yang diberkati. Memang ada kelebihan kepada buah Tin sepertimana yang telah pernah disebut oleh Nabi:

Riwayat dari Abu Zar r.a. bahawa Nabi SAW dihadiahkan satu bekas buah tin.Lalu Nabi SAW mengajak sahabat-sahabatnya makan.Nabi pun turut sama makan. Kemudian baginda SAW bersabda:”Kalau aku perkatakan tentang buah yang diturunkan dari syurga, nescaya aku katakan inilah dia. Kerana buah-buahan syurga tidak berbiji. Oleh itu makanlah buah ini. Sesungguhnya dia  menghentikan penyakit buasir, serta bermanfaat untuk sakit-sakit badan.”

Dari itu kita boleh faham bahawa memang buah Tin ini memang ada khasiat dan Allah memberi isyarat tentangnya dalam Quran.

Tetai dalam ayat ini, adakah Allah hendak bercakap tentang buah atau tempat? Dalam bahasa Arab klasik, masyarakat Arab menggelar sesuatu tempat dengan isyarat kepada apa yang terkenal di tempat itu. Oleh itu, ulama berpendapat bahawa kalimat وَالتّينِ وَالزَّيتونِ mungkin bermaksud tempat atau kawasan tertentu. Iaitu tempat dimana buah tin dan buah zaitun banyak. Ada beberapa tempat yang disenaraikan dalam kitab tafsir:

  1. Mungkin merujuk kepada Palestin, tempat yang banyak buah Tin dan Zaitun.
  2. Syria,Damascus
  3. Selatan Iraq
  4. Bukit Judi dimana bahtera Nabi Nuh telah mendarat.

Sedangkan buah Zaitun pula ada disebut dalam surah Nur:35

الزُّجاجَةُ كَأَنَّها كَوكَبٌ دُرِّيٌّ يوقَدُ مِن شَجَرَةٍ مُبارَكَةٍ زَيتونَةٍ لا شَرقِيَّةٍ وَلا غَربِيَّةٍ يَكادُ زَيتُها يُضيءُ وَلَو لَم تَمسَسهُ نارٌ

Pelita itu di dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang berkahnya, (yaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak pula di sebelah barat(nya), yang minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api.

Kalimat yang digunakan dalam ayat ini adalah شَجَرَةٍ مُبارَكَةٍ زَيتونَةٍ: yang memberi isyarat bahawa pokok zaitun itu ada berkat. Dan ia sebagai simbol kesucian.

Seperti juga dengan buah Tin tadi, ada yang mengatakan ayat dalam Surah al-Alaq ini bukan hendak menceritakan tentang buah Zaitun tapi hendak menceritakan tempat. Oleh itu ada yang mengatakan:

  1. Ia merujuk kepada Bukit Zaitun yang berada di Jurusalem.
  2. Ibn Abbas mengatakan ia merujuk kepada Masjid al Aqsa in Palestin.

Oleh itu, ia bukan sahaja merujuk kepada buah itu sendiri, tapi merujuk kepada tempat. Dan ada juga yang memanjangkan lagi dengan mengatakan, bukanlah yang hendak disebut tentang tempat itu tapi merujuk kepada Nabi-nabi yang datang dari situ, iaitu:

  1. at-teen merujuk kepada Nabi Ibrahim.
  2. Mungkin juga Nabi Nuh kerana tempat bahteranya mendarat
  3. az-zaitoon pula mungkin merujuk kepada Nabi Isa yang lahir di Palestin yang ada banyak buah zaitun.

 

Ayat 2: Sumpah kedua

وَطورِ سينينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [by] Mount Sinai

(MALAY)

dan demi bukit Sinai,

 

Ini adalah nama tempat Nabi Musa bercakap-cakap dengan Allah. Bukit ini terletak di Mesir. Sekali lagi Allah hendak memperkarakan tentang tempat. Cuma kali ini lebih jelas yang dimaksudkan adalah tempat kalau dibandingkan dengan ayat pertama tadi. Dan bukan sahaja tempat, tapi merujuk kepada Nabi yang terkait dengannya, iaitu Nabi Musa a.s.

Perkataan طورِ dan سينينَ adalah asing bagi bangsa Arab. Jadi ini menunjukkan memang Nabi dapat maklumat tidak lain dan tidak bukan adalah dari Allah. Ada yang mengatakan kalimah طورِ ini bukanlah dari bahasa Arab tapi dimasukkan ke dalam bahasa Arab. Ianya adalah gunung/bukit yang subur, dipenuhi dengan tanaman hijau. Dan kalimah ini juga ada disebut dalam Mu’minun:20:

وَشَجَرَةً تَخرُجُ مِن طورِ سَيناءَ تَنبُتُ بِالدُّهنِ وَصِبغٍ لِلآكِلينَ

dan pohon kayu keluar dari Thursina, yang menghasilkan minyak, dan pemakan makanan bagi orang-orang yang makan.

Gunung ini tidak dikenali oleh masyarakat Arab tapi amat dikenali oleh Bani Israil. Dan Allah menggunakan nama yang mereka memang kenali. Ini menjadi satu hujah bahawa tidak mungkin Nabi Muhammad tahu sendiri tentang perkara ini, melainkan mendapat dari wahyu Allah. Tambahan pula semasa ayat ini diturunkan, belum ada lagi pertalian rapat dengan Bani Israil. Hanya di Madinah baru ada perhubungan rapat dengan mereka. Memang Allah memberikan maklumat-maklumat yang tidak mungkin Nabi mendapatkannya sendiri. Seperti yang disebut dalam Nisa:113

وَأَنزَلَ اللَّهُ عَلَيكَ الكِتابَ وَالحِكمَةَ وَعَلَّمَكَ ما لَم تَكُن تَعلَمُ

Dan Allah telah menurunkan Kitab dan hikmah kepadamu, dan telah mengajarkan kepadamu apa yang belum kamu ketahui.

Mereka yang menentang Nabi Muhammad tentunya menuduh baginda dapat maklumat ini dari Ahli Kitab. Tapi, mereka sentiasa memerhatikan segala pergerakan Nabi, lalu bagaimana mereka nak kata yang Nabi ada mengadakan perjumpaan rahsia dengan Ahli Kitab sedangkan memang tidak ada perjumpaan sebegitu? Oleh itu, kalau mereka mahu membuka hati mereka, tidak lain dan tidak bukan, maklumat yang Nabi sebutkan ini datangnya dari Allah SWT.


 

Ayat 3: Sumpah ketiga

وَهٰذَا البَلَدِ الأَمينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [by] this secure city [i.e., Makkah],

(MALAY)

dan demi kota (Mekah) ini yang aman,

 

Dan ini pula adalah negeri dari mana datangnya Nabi Muhammad SAW, iaitu Kota Mekah. Walaupun tidak disebut dalam lafaz ayat ini, tapi ulama sepakat yang ianya merujuk kepada Kota Mekah. Ini sama seperti yang disebut dalam Surah Balad.

البَلَدِ adalah satu kota yang ada sempadan yang tetap. Oleh itu, Mekah adalah satu kota yang tetap. Allah menjadikan Kota Mekah sebagai البَلَدِ kerana menghormati doa Nabi Ibrahim yang berdoa supaya Mekah itu dijadikan sebagai البَلَدِ seperti yang disebut dalam Ibraheem:35

وَإِذ قالَ إِبراهيمُ رَبِّ اجعَل هٰذَا البَلَدَ آمِنًا

Dan (ingatlah), ketika Ibrahim berkata: “Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini (Mekah), negeri yang aman

Kemudian Allah menyebut sifat Mekah itu sebagai الأَمينِ kerana sesiapa yang pergi ke Mekah akan rasa aman. Sesiapa yang tinggal di situ tidak sanggup membunuh dan perompak pun tak berani nak kacau Makkah. Tapi dalam surah al-Balad, perkataan الأَمينِ tidak digunakan kerana keamanan Makkah waktu itu telah hilang sekejap kerana mereka nak membunuh Nabi.

الأَمينِ dikaitkan dengan Mekah kerana ia juga boleh bermaksud ‘amanah’. Allah mengamanahkan Mekah itu sebagai tempat untuk dikerjakan Umran/Haji. Juga, Allah telah mengamanahkan Mekah itu menjadi tempat lahir RasulNya yang terakhir. Ia juga boleh bermaksud penduduk di Mekah itu diamanahkan untuk menjaga keamanan tempat itu. Kerana itulah dari turun temurun, Mekah tidak menjadi tempat pertumpahan darah.

Jadi, tiga tempat telah disebut atau diisyaratkan:

  1. Palestin
  2. Bukit Sinai
  3. Makkah

Kenapa agaknya susunan ayat dan tempat itu sebegitu? Ulama ada memberi pendapat:

  1. Kelebihan buah Tin seperti yang telah disebut dalam hadis.
  2. Kelebihan buat Zaitun juga ada disebut dimana ianya mempunyai keberkatan seperti yang telah disebut dalam Surah an-Nur.
  3. Bukti Thursina juga ada keberkatan kerana itulah tempat Nabi Musa bercakap dengan Allah.
  4. Akhir sekali adalah Mekah yang Aman. Di sinilah terletaknya Ka’ba yang dibina oleh Nabi Ibrahim, juga tempat kelahiran Rasul yang paling mulia iaitu Nabi Muhammad. Di sinilah juga diturunkan wahyu terakhir dari Allah.

Kalau kita lihat susunan itu ianya menaik dari berkat kepada paling berkat. Allahu a’lam.

Jadi, Allah mengisyaratkan kepada tempat dan datangnya Nabi-nabi yang mulia. Dan Nabi-nabi yang diisyaratkan itu adalah Rasul-rasul Ulul Azmi (Nuh, Ibrahim, Musa, Isa dan Nabi Muhammad). Allah hendak mengatakan bahawa kelima-lima Rasul itu dari susur galur yang sama sahaja. Mereka semuanya membawa mesej yang sama (mesej tauhid). Maka, tidak ada alasan kepada penganut-penganut agama sebelum Islam hendak membezakan Nabi-nabi itu.


 

Ayat 4: Ini adalah ayat terpenting surah ini kerana ianya adalah jawabul qasm kepada sumpah-sumpah sebelum ini.

لَقَد خَلَقنَا الإِنسانَ في أَحسَنِ تَقويمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We have certainly created man in the best of stature;¹

  • i.e., upright, symmetrical, and balanced in form and nature.

(MALAY)

sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.

 

Allah menggunakan perkataan ‘Kami’ untuk menunjukkan rapatnya Allah dengan manusia. Dan hendak menunjukkan kehebatanNya. Kerana Dialah yang menjadikan kita, maka kenalah sembah dan doa kepada Allah sahaja.

تَقويمٍ bermakna ‘berdiri tegak’. Maknanya Allah telah menjadikan manusia dengan lengkap. Ini adalah kerana manusia sahaja yang berdiri tegak. Tidak macam binatang yang kebanyakannya melata atau berjalan atas empat kaki. Ini hendak memberitahu kita bahawa kejadian manusia amat molek sekali. Malah kita lebih mulia dari golongan jin.

Kita kena yakin yang dengan Quran ini dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh manusia. Oleh itu kita kena kenali apa masalah yang dihadapi oleh manusia sekarang ini. Selepas kita tahu apakah penyakit (diagnosis), baru boleh nak gunakan penyelesaian yang sesuai. Jadi apakah masalah manusia? Kalau kita kaji masalah manusia, ada masalah yang berbentuk dalaman dan ada masalah yang berbentuk luaran. Tidak dinafikan ada sahaja manusia yang teruk perangainya, mereka ada sahaja masalah, berlaku kejam, berperangai keji, mengikut nafsu dan sebagainya. Kadang-kadang ada manusia yang macam binatang pun ada. Dan kerana itulah kena ada undang-undang untuk mengurus manusia yang sebegitu kerana kalau tanpa undang-undang mereka akan jadi lagi teruk (kalau ada undang-undang pun mereka akan cuba langgar atau lari, apatah lagi kalau tidak ada). sampaikan kadang-kadang susah kita nak percaya kepada manusia.

Ini adalah kerana manusia yang tidak beriman melakukan perkara kerana beberapa sebab sahaja:

1 – Untuk mengisi perut mereka. Hidup mereka untuk makan sahaja.

2 – Untuk menjaga diri mereka sahaja. Mereka mementingkan keselamatan dan keselesaan diri mereka. Kerana itu rumah mereka mahal, baju dan pakaian mereka dan mahal dan sebagainyanya lagi.

3 – Sebab seksual. Ini seperti yang dikatakan oleh Freud (bapa psikologi moden). Kalau mengikut Freud, apa-apa sahaja yang dilakukan oleh manusia adalah dari keinginan memuaskan keinginan seksual sahaja. Dan kalau tidak dihalang oleh undang-undang dan juga oleh takut apa yang dikatakan oleh masyarakat, mereka akan memuaskan segala keinginan nafsu seksual itu.

Jadi, itulah satu pandangan tentang manusia yang bertitik tolak dari kajian dan pemikiran psikologi. Kalau kita lihat, pandangan ini begitu memandang rendah manusia itu. Macam manusia ini tidak boleh diharap langsung kalau begitu.

Tapi itu adalah pandangan yang difkirkan oleh manusia sahaja. Walaupun mereka itu dipandang tinggi, tapi tidaklah semestinya apa yang mereka katakan itu benar belaka. Mereka tidak dapat mengkaji apa yang ada di dalam diri manusia itu sendiri – roh, qalb, nafs. Mereka juga tidak mengkaji bagaimana pemikiran manusia yang beriman kepada Allah. Kerana kalau mereka kaji, tentu mereka akan mendapat satu lagi sifat manusia – hendak taat dan mencari redha Allah sahaja.

Dan manusia tidaklah hanya mementingkan perut, keselamatan dan nafsu seksual mereka sahaja. Kalau dikaji apa yang berlaku sebelum zaman moden, manusia zaman dahulu pun ada memikirkan tentang:

  • Tuhan dan konsep ketuhanan.
  • Kehidupan selepas kematian
  • Roh manusia dan apakah yang dimaksudkan tentangnya.

Kalau dilihat penulisan-penulisan kuno tamadun-tamadun di sekeliling dunia, tidak kira samada di Jepun, China, Eropah dan India atau di mana-mana sahaja, perkara-perkara ini dbincangkan dengan panjang lebar. Cuma di dalam zaman moden, terdapat gerakan untuk memisahkan diri dari agama dan spiritual. Manusia masih lagi percaya kepada konsep ketuhanan, tapi agama sudah menjadi perkara kedua sahaja. Manusia lebih mementingkan sains dan keperluan fizikal sahaja dan tidak memikirkan tentang keperluan roh lagi. Manusia sudah tak kisah dengan apa yang akan terjadi selepas mati nanti, mereka hanya nak fikirkan bagaimana nak memperbaiki kehidupan yang mereka nikmati sekarang.

Jadi, manusia asalnya bukanlah teruk sangat dan dalam ayat ini, Allah menarik perhatian manusia kepada kepada rohnya. Allah mengingatkan kita bahawa manusia itu bukan ada jasad sahaja, tapi ada roh juga. Dalam ayat lain, Allah sebut di dalam Hijr 15:29:

فَإِذا سَوَّيتُهُ وَنَفَختُ فيهِ مِن روحي فَقَعوا لَهُ ساجِدينَ

Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya, dan telah meniupkan ke dalamnya ruh (ciptaan)-Ku, maka tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud.

Kehebatan manusia itu adalah pada roh dan pada akal yang Allah telah berikan. Tapi manusia semakin tidak memikirkan tentang perkara ini. Kita banyak kaji tentang fizikal sahaja sekarang, sampaikan kita banyak tahu tentang perkara di luar dari kita, tapi kita tidak faham lagi diri kita sendiri. Oleh kerana itu manusia sudah tidak memikirkan kepentingan menjaga moral. Kita memang dah tak kenal diri kita dah. Dan Allah mengingatkan tentang bahaya ini seperti yang disebut oleh Allah dalam Hashr:19

وَلا تَكونوا كَالَّذينَ نَسُوا اللَّهَ فَأَنساهُم أَنفُسَهُم ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الفاسِقونَ

Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik.

Maknanya, manusia lupa kepada diri mereka kerana asalnya mereka lupa kepada Allah. Mereka tidak hiraukan apa yang akan terjadi selepas kematian mereka, mereka hanya memikirkan tentang kehidupan semasa sahaja. Mereka sudah tidak tahu tujuan hidup mereka – menghambakan diri kepada Allah.

Mereka sudah tidak tahu tentang roh mereka sendiri, sampaikan ramai yang berpegang dengan teori Darwin yang mengatakan kita ini tidak lebih dari binatang yang telah maju. Kalau pegangan itu yang dipegang, maka tidak hairanlah kalau ramai yang mahu memuaskan nafsu mereka sahaja; dan ada yang kata, manusia tertakluk kepada binaan DNA yang ada dalam diri sahaja. Oleh itu, mereka kata, kalau seseorang itu menjadi penjenayah itu, itu tidak menghairankan kerana memang otak mereka memang akan menyebabkan mereka jadi penjenayah pun. Tapi adakah manusia begitu punya teruk?

Allah jawap persoalan itu dalam ayat ini: لَقَد خَلَقنَا الإِنسانَ في أَحسَنِ تَقويمٍ

Mari kita tadabbur ayat ini:

Huruf ل adalah sebagai penekanan. Diletakkan di sini supaya manusia beri perhatian kepada apa yang hendak disampaikan.

قَد – dari segi bahasa, ia bermaksud sesuatu yang sudah berlalu, sudah terjadi. Maknanya, memang Allah sudah memuliakan keturunan Adam semasa mereka dalam rahim lagi. Allah sebut perkara ini dalam ayat Isra’:70 وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ (Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam).

خَلَقنَا – Kami ciptakan. Allah yang tentukan manusia itu bagaimana, bukannya DNA. Bukan alam yang jadikan manusia, tapi Allah. Dan tidaklah Allah menjadikan sesuatu yang rosak.
Allah menggunakan kalimah ‘Kami menjadikan’ kerana hendak mendekatkan DiriNya. Kerana kalimah ‘Kami menjadikan’ adalah lebih rapat lagi dari ‘Dia menjadikan’. Apa yang dilakukan ini dinamakan ‘taqreeb’ – mendekatkan.
Allah juga gunakan kalimah ‘Kami’ sebagai isyarat kepada kebesaran dan kekuasaanNya. Ini dinamakan ‘Royal We’.
Allah letakkan DiriNya dalam ayat yang menunjukkan kekuatan. Oleh itu, apabila ayat yang menceritakan bagaimana manusia itu dijadikan lemah: وَخُلِقَ الإِنسَانُ ضَعِيفاً (“Kerana manusia diciptakan (bersifat) lemah. (An-Nisa’:28), Allah tidak mengatakan Dia yang menjadikan manusia yang lemah itu. Padahal, pada hakikatnya, Dia juga yang menjadikan manusia dalam keadaan lemah.

الإِنسانَ – digunakan kalimah insan dalam ayat ini sebagai mengingatkan sifat manusia yang نسي (pelupa). Manusia memang mudah lupa.

أَحسَنِ – sesuatu yang cantik di luar dan di dalam.

تَقويمٍ – dari kalimah ق و م yang bermaksud berdiri. Oleh itu, تَقويمٍ bermaksud membuat sesuatu yang tegak. Mengambil beberapa bahagian dan menjadikan satu bentuk yang tegak dan lurus. Ia juga bermaksud menjadikan sesuatu yang sempurna seperti yang dikehendaki.

Oleh itu, Allah telah menjadikan kita dalam bentuk yang sempurna, seimbang antara fizikal dan spiritual. Kita pun sudah dimasukkan dengan fitrah dari Allah yang kenal baik dan buruk. Ini disebut dalam ayat 7-8 Surah Syams:

وَنَفسٍ وَما سَوّاها

فَأَلهَمَها فُجورَها وَتَقواها

Oleh itu, diri kita perlukan keseimbangan antara keperluan keduniaan dan spiritual. Kita telah diberikan dengan sesuatu yang tidak diberikan kepada makhluk-makhluk yang lain. Kita adalah makhluk yang dijadikan bersifat mulia asalnya. Ini menolak pendapat yang mengatakan manusia ini fitrahnya teruk, tidak ada moral, tertakluk dengan DNA kejadian mereka dan sebagainya.

Tapi manusia sendiri yang menjatuhkan kedudukan mereka itu apabila mereka lupa kepada Allah. Melupakan Allah akan menjatuhkan manusia dan ingatkan Allah akan meninggikan kedudukan manusia dan kemuliannya. Ramai yang lupa kepada Allah, tapi mereka menggunakan akal fikiran mereka. Mereka sangka mereka menggunakan intelek mereka tapi sebenarnya mereka hanya menjadi hamba kepada nafsu mereka sahaja. Mereka terpaksa mengikut apa sahaja yang digerakkan oleh nafsu mereka sampaikan mereka tidak dapat menghalangnya lagi. Kerana itulah, kita boleh lihat bagaimana kadar bunuh diri semakin meninggi dalam dunia sekarang. Jenayah-jenayah juga semakin meninggi. Dan kadar itu semakin meningkat dari masa ke semasa. Memang jenayah dari dulu juga sudah ada, tapi tidaklah seteruk sekarang ini. Ini semua kerana manusia sudah lupa kepada Allah.

Lalu bagaimana kita kaitkan ayat ini dengan tiga ayat sumpah di permulaan surah? Tentu ada kaitannya, bukan? Seperti yang kita telah bincangkan, sumpah-sumpah itu berkenaan dengan para Nabi yang tinggal di kawasan yang disebutkan itu. Allah hendak memberitahu kita yang Rasul-rasul Ulul Azmi itu (Nabi Nuh, Ibrahim, Isa, Musa dan Nabi Muhammad) adalah contoh-contoh ikutan. Mereka itu adalah في أَحسَنِ تَقويمٍ. Mereka juga makhluk Allah tapi sifat mereka amat mulia sekali. Maka kita kena pelajari apakah personaliti mereka untuk menjadi ikutan kita.

Bagaimana kita boleh harmonikan ayat ini dengan ayat-ayat lain dalam Qurna yang mengatakan manusia itu dijadikan lemah (وَخُلِقَ الإِنسَانُ ضَعِيفاً), cepat melatah (وَكَانَ الإِنسَانُ عَجُولاً) dan sebagainya? Ayat-ayat itu semua menceritakan tentang kelemahan manusia. Tapi ayat Surat Tin ini menceritakan bagaimana manusia dijadikan dalam keadaan terbaik pula?

Jawapannya, Allah telah menjadikan manusia dalam keadaan yang seimbang antara fizikal dan spiritual. Apabila ada ketidakseimbangan: terlalu ikut kehendak fizikal dan tidak menghiraukan keperluan roh, dan menjauhkan diri dari Allah, maka manusia akan jadi lemah/cepat melatah/tidak bersyukur dan lain-lain sifat kelemahan lagi. Tapi apabila ada keseimbangan antara keperluan roh dan memenuhi kehendak fizikal (yang sah), maka manusia menjadi seimbang dan sempurna dan seperti kehendak Allah. Maka kena jaga keperluan luaran dan dalaman diri kita. Seperti juga kita kena menjaga keperluan luaran dan dalam kereta kita. Kalau tidak, kereta itu jadi kotok dan tidak berfungsi dengan baik.


 

Ayat 5: Dalam ayat ke 4 sebelum ini, Allah beritahu yang manusia itu dicipta dalam sebaik-baik kejadian. Tapi nanti ada yang akan dijatuhkan.

ثُمَّ رَدَدناهُ أَسفَلَ سافِلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then We return him to the lowest of the low,¹

  • This can refer to the depths of Hell, to decrepit old age or to immorality.

(MALAY)

Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka),

 

Ayat ini adalah ayat terpenting surah ini. Kenapa agaknya Allah memperkatakan tentang perkara ini? Dan kenapa Allah kata Dia yang merendahkan orang itu? Bukankah selalunya Allah tidak meletakkan DiriNya kalau perkara itu dalam bentuk yang negatif? Tapi kali ini nampak lain pula dari kebiasaan.

Sebelum ini Allah telah memberitahu yang Dia telah mencipta manusia dalam sebaik-baik kejadian. Akan tetapi, kerana kejahatan dan kesalahan orang itu sendiri, Allah lah yang telah merendahkan orang itu. Walaupun ayat ini dalam bentuk negatif, tapi masih lagi memperkatakan tentang Qudrat Allah yang boleh buat apa sahaja. Oleh itu, ayat ini tidaklah memperkatakan tentang kesilapan Allah dalam mencipta (kerana Allah dah cipta manusia dalam sebaik kejadian dah), tapi mereka yang direndahkan itu adalah kerana mereka yang menjauhkan diri dari Allah. Kesalahan itu di pihak manusia itu.

Apakah maksud أَسفَلَ سافِلينَ? Ada beberapa pendapat yang telah dikeluarkan oleh ulama:

1 – Ada juga yang mengatakan, ayat ini hendak memberitahu, apabila manusia sudah tua, dia sudah tidak boleh buat macam apa yang dia boleh buat semasa dia muda. Dulu  kuat, tapi bila sudah tua bangka, sudah lemah tidak boleh buat apa dah. Termasuk dalam melakukan perkara ibadat. Waktu dah tua nak solat banyak dah tak larat dah, nak baca Quran, mata dah tak berapa nampak dah. Waktu itu, manusia memerlukan orang lain untuk menjaganya. Kadang-kadang, ada yang rasa mereka menyusahkan orang lain pula kerana kena menjaga mereka. Nak kencing dan berak pun ada orang tolong. Sudah jadi macam bayi pula.

2 – Tapi pendapat pertama di atas tidaklah berapa tepat kerana kerendahan yang dimaksudkan bukanlah kerendahan dari segi fizikal, tapi dari segi moral. Oleh kerana kerendahan moral mereka itu, mereka telah menjatuhkan diri mereka. Sedangkan Allah sudah mencipta manusia dalam penciptaan yang mulia dan sebaik-baik kejadian dah. Sampaikan malaikat pun disuruh untuk sujud hormat kepada Nabi Adam a.s. Allah telah muliakan manusia sampaikan segala makhluk di mukabumi ini dijadikan untuk kegunaan manusia (binatang, tumbuhan, tanah dan sebagainya). Ini disebut dalam Baqarah:29.

هُوَ الَّذي خَلَقَ لَكُم ما فِي الأَرضِ جَميعًا

Dialah Allah, yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu

Manusia yang mulia adalah manusia yang tunduk kepada Allah. Walaupun manusia sudah dijadikan dalam sebaik kejadian, tapi manusia yang tidak menyembah Allah dan kemudian mereka merendahkan dirinya dihadapan perkara yang rendah macam binatang, berhala atau perkara-perkara lain, mereka akan direndahkan serendah-rendahnya. Mereka yang melakukan perkara itu telah menjadi lebih rendah dari binatang – bayangkan, binatang hanya menyerang binatang lain kalau mereka lapar atau mereka diserang – tapi manusia sanggup berlaku zalim kepada manusia lain tanpa sebab yang munasabah. Walaupun mereka serba cukup dari segi kehidupan, masih ada lagi yang menyerang pihak lain untuk meluaskan pengaruh mereka dan mendapatkan harta dan tanah orang lain. Binatang juga tidak rosakkan alam ini, tapi manusia banyak yang rosakkan alam. Itulah sebabnya Allah kata manusia itu boleh jadi lebih teruk dari binatang dalam A’raf:179.

أُولٰئِكَ كَالأَنعامِ بَل هُم أَضَلُّ

Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi.

3 – Ada juga yang kata ini hendak menceritakan tentang mereka yang tidak taat yang akan dimasukkan ke dalam neraka. Dan digunakan perkataan ثُمَّ yang menunjukkan masa yang lama. Maknanya ada jarak antara manusia yang merendahkan dirinya dan keputusan memasukkan ke neraka. Tidaklah Allah terus memasukkan manusia yang telah merosakkan dirinya itu ke dalam neraka. Jarak masa yang lama itu kerana Allah berikan peluang kepada manusia untuk bertaubat.


 

Ayat 6: Siapakah yang selamat?

إِلَّا الَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ فَلَهُم أَجرٌ غَيرُ مَمنونٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Except for those who believe and do righteous deeds, for they will have a reward uninterrupted.

(MALAY)

kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh; maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putusnya.

 

Mereka yang selamat adalah mereka yang beriman dan beramal soleh. Beriman adalah amal dalaman dan amal soleh adalah amal luaran. Jadi kena ada amalan dalaman dan amalan luaran.

Sebelum ini kita telah menyebut bagaimana pandangan psikologis terhadap manusia. Mereka kata manusia menjadi jahat apabila mereka tidak menghiraukan undang-undang. Memang tidak ada kebaikan pada orang yang sebegitu. Apabila dia tidak takut kepada undang-undang, perbuatan dia pun akan jadi zalim. Mereka yang sebegitu akan jadi lebih teruk dari binatang seperti yang telah disebut.

Jadi apakah solusi kepada mereka yang sebegitu? Kita kena lihat solusi dalam dua bahagian kerana ada dua masalah: masalah dalaman dan masalah luaran. Mereka kena perbaiki iman mereka untuk mengubat penyakit dalaman. Dan kena ikuti dengan amalan luaran untuk penyakit luaran.

Iman kena diperbaiki kerana ia akan memberi kesan kepada luaran kita. Manusia melakukan sesuatu perkara kerana mahukan pulangan atau takutkan sesuatu. Perasaan itu datangnya dari dalam kita, bukan? Jadi kita melakukan sesuatu kerana ada dorongan dari dalaman. Oleh itu, kalau kita bersihkan dalaman kita, perbetulkan niat kita, perbuatan kita pun akan jadi baik juga. Jadi ubat untuk penyakit telah diberikan dalam ayat ini. Apabila iman baik, maka amalan pun akan jadi baik juga, in sha Allah.

أَجرٌ – bayaran upah yang diberikan kepada seseorang selepas dia buat kerja. Mereka yang telah melakukan amal kebaikan, Allah akan beri upah kepada mereka. Dan seperti yang kita telah sebut sebelum ini, amal itu ada yang dalaman dan ada yang luaran. Maknanya, kita bukan sahaja dibalas dengan amal ibadat kita, tapi kita juga akan dibalas atas ketinggian iman kita. Dan iman manusia tidak sama, ada yang tinggi dan ada yang rendah. Tentunya mereka yang imannya tinggi akan dibalas lebih lagi dari mereka yang imannya rendah, bukan?

غَيرُ مَمنونٍ – tanpa diputuskan. Pahala yang diberikan kepada mereka tidak akan diputuskan. Kerana itulah, ada orang yang buat amal sedikit sahaja, tapi balasan kepada mereka adalah banyak. Mereka yang dimasukkan ke dalam syurga, akan terus tinggal di dalam syurga itu dan nikmat kepada mereka tidak akan diputuskan.
Kalimah منن juga bermaksud ‘balasan’. Ini bermaksud, pahala yang Allah berikan nanti, Allah tidak akan meminta balasan dari kita.

Amalan yang dilakukan tentunya adalah sesuatu yang sukar juga untuk dilakukan – ia memerlukan usaha. Ini telah disebut dalam Balad:11

فَلَا اقتَحَمَ العَقَبَةَ

Tetapi dia tiada menempuh jalan yang mendaki lagi sukar

Dari ayat dari Surah Balad itu, kita dapat tahu bahawa memang jalan yang perlu ditempuhi adalah jalan yang sukar. Memang agak sukar untuk taat kepada agama. Tapi, kalau kita tidak menempuh jalan yang sukar dalam dunia ini, kita akan menghadapi jalan yang lebih sukar di akhirat kelak. Kalau begitu, pilihlah mana kesusahan yang kita hendak daki – kesusahan di dunia ini yang sementara sahaja atau kesusahan di akhirat yang lebih menyakitkan dan lebih lama lagi.


 

Ayat 7: Allah menegur mereka yang menolak kebenaran dan tidak menggunakan akal mereka.

فَما يُكَذِّبُكَ بَعدُ بِالدّينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So what yet causes you to deny the Recompense?¹

  • More literally, “What makes you lie concerning it?”

(MALAY)

Maka apakah yang menyebabkan kamu mendustakan (hari) pembalasan sesudah (adanya keterangan-keterangan) itu?

 

Setelah mereka tahu kebenaran Islam, mereka mendustakan agama. Allah tanya, kenapa boleh jadi begitu? Sedangkan telah disebut sebelum ini yang manusia itu dijadikan mulia dan lebih mulia dari makhluk yang lain di dunia ini. Manusia mempunyai potensi yang tinggi – boleh memikirkan perkara-perkara yang kompleks, boleh buat kajian tentang alam dan sains, hidup lebih teratur kalau dibandingkan dengan haiwan dan sebagainya, maka tidakkah itu semua menunjukkan yang manusia mempunyai potensi yang tinggi? Maknanya kita ini dijadikan untuk sesuatu yang penting, bukan?

Jadi kenapa ramai manusia tidak memikirkan tentang keperluan dan kehendak rohnya? Kenapa manusia hanya melihat kepada keperluan fizikal sahaja? Kalau mereka hanya memikirkan tentang fizikal sahaja, maknanya mereka telah tertipu. Apakah yang telah menipu mereka? Allah beri soalan retorik dalam ayat ini – apakah benda yang kuat sangat sampai boleh menyebabkan mereka tertipu dalam hal agama?

Dalam kalimah ini digunakan kalimah يُكَذِّبُ yang diambil dari kalimah ك ذ ب yang bermaksud dusta. Oleh itu, takzeeb yang bermaksud ‘mendustakan’ adalah mengatakan sesuatu itu dusta, padahal dia sendiri tahu yang itu adalah perkara yang benar. Maka, mereka yang mendustakan agama, mereka itu tahu yang agama itu benar, tapi mereka kata agama itu dusta. Ini adalah perbuatan yang amat teruk sekali.

Malangnya, ramai yang buat perkara ini. Ada manusia yang sedar bahawa agama Islam itu benar dan memang masuk akal segala arahannya, tapi mereka masih tetap tidak mahu taat kepada Allah. Mereka mengejek ayat-ayat Allah dan hadis Nabi, dalam usaha mereka untuk menyedapkan hati mereka bahawa apa yang diajar oleh agama Islam itu adalah salah, padahal dalam hati mereka, mereka tahu yang apa yang disampaikan itu adalah benar.

Ayat ini juga boleh bermaksud: siapakah yang sanggup untuk mendustakan engkau wahai Muhammad! Kerana huruf ك dalam يُكَذِّبُكَ boleh bermaksud Nabi Muhammad. Orang yang sanggup mendustakan baginda, mengatakan baginda berdusta, tentulah seorang teruk sekali. Ini adalah sebagai tamparan yang hebat terhadap Musyrikin Mekah yang sanggup mengatakan Nabi Muhammad berdusta dalam menyampaikan ajaran tauhid.

Nabi Muhammad telah membawa ajaran agama (الدّينِ), tapi ada manusia yang amat malang yang sanggup mengatakan baginda berdusta.


 

Ayat 8: 

أَلَيسَ اللَّهُ بِأَحكَمِ الحاكِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Is not Allāh the most just of judges?

(MALAY)

Bukankah Allah Hakim yang seadil-adilnya?

 

Soalan ini berbentuk retorik, sebagai penekanan kepada kebenaran perkara itu dan ini adalah salah satu dari keindahan bahasa Quran. Seperti yang kita pernah sebut sebelum ini, apabila digunakan dalam bentuk soalan retorik, ianya hendak mengatakan memang itu adalah perkara yang benar. Ianya juga hendak menyentuh mereka yang masih lagi menolak kebenaran agama. Kenapa nak tolak lagi sedangkan Allah itu yang Maha Bijaksana? Bukankah Dia telah menjadikan kamu dalam sebaik-baik kejadian?

حكَمِ bermaksud bijaksana. Jadi أَحكَمِ bermaksud yang paling bijaksana. Juga boleh bermaksud hakim yang paling layak membuat keputusan.
الحاكِمينَ pula bermaksud mereka yang bijaksana (dalam bentuk jamak)
Oleh itu, ayat ini bermaksud, tidakkah Allah itu yang paling bijaksana antara yang bijak? Tidakkah Allah yang paling adil untuk buat keputusan? Kalau tidak mahu beriman, tidak mahu beramal soleh dan tidak mahu menggunakan akal, adakah salah kalau Allah buat keputusan untuk memasukkan mereka ke dalam neraka? Tentulah tidak salah, kerana Allah yang Maha Adil dan Maha Bijaksana dalam buat keputusan.

Ada riwayat dari hadis Abu Hurairah secara marfu’ yang memberitahu kita bagaimana apabila sampai pada ayat ini, Nabi Muhammad akan menjawap soal dalam ayat ini:

«فَإِذَا قَرَأَ أَحَدُكُمْ وَالتِّينِ وَالزَّيْتُونِ فَأَتَى عَلَى آخِرِهَا أَلَيْسَ اللَّهُ بِأَحْكَمِ الْحاكِمِينَ فَلْيَقُلْ بَلَى وَأَنَا عَلَى ذَلِكَ من الشاهدين»

Apabila seseorang di antara kamu membaca Wat Tini Waz Zaituni (surat At-Tin), lalu sampai pada ayat terakhirnya, yaitu firman Allah Swt., “Bukankah Allah Hakim yang seadil-adilnya, ” maka hendaklah ia mengucapkan, “Benar, dan aku termasuk orang-orang yang menjadi saksi atas hal tersebut.”

Maulana Hadi – At Teen

Allahu a’lam. Sambung ke surah seterusnya, Surah al-Alaq.


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 095: at-Teen. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s