Tafsir Surah al-Layl Ayat 1 – 7 (Mahu Allah mudahkan?)

Pengenalan:

Kaitan persamaan dan perbezaan dengan surah sebelum ini, Surah Syams:

  1. Dalam surah Syams, siang disebut dahulu, tapi dalam surah ini, malam disebut dahulu.
  2. Dalam surah Syams, disebut bahawa malam menutup’nya’ – dan kita tahu bahawa ‘nya’ dalam ayat itu adalah merujuk kepada cahaya matahari. Tapi dalam dalam surah ini, hanya dikatakan ‘malam dan yang ia tutupi’, tanpa disebut apakah yang ia tutupi. Dari surah Syams, kita dapat agak bahawa yang ditutupi itu juga adalah cahaya matahari. Maka, seperti Allah suruh kita merujuk kepada surah Syams juga dalam membaca surah ini. Maka kaitan yang amat kuat antara surah ini dan surah syams.
  3. Surah syams tentang perbezaan akidah antara manusia, sedangkan surah al-Layl pula tentang perbezaan amal. Kalau akidah berbeza, tentulah amalan pun berbeza juga.
  4. Apabila dikatakan malam menutup siang (وَاللَّيلِ إِذا يَغشىٰ), ianya disebut dalam fi’il mudhari’ (present tense) (يَغشىٰ dalam bentuk fi’il mudhari’). Tapi apabila disebut siang yang memperlihatkan matahari dengan jelas (وَالنَّهارِ إِذا تَجَلّىٰ), ianya disebut dalam bentuk fi’il madhi (past tense) kerana جَلّىٰ adalah dalam bentuk fi’il madhi. Dalam Quran, apabila digunakan fi’il madhi, ianya menunjukkan ‘ketentuan’, ‘kepastian’ atau ‘keseluruhan’. Tapi apabila digunakan fi’il mudhari’, ia menunjukkan sebahagian atau sesuatu yang tidak lengkap. Kenapa begini? Sebab kalau malam terjadi, dia tak tutup matahari atau siang terus, kerana ada sikit-sikit lagi cahaya dari matahari – iaitu dari bulan – maknanya tidak lengkap. Tapi apabila siang terjadi, tiada langsung kesan malam, semua akan jadi terang habis. Ini menjelaskan kenapa Quran menggunakan fi’il yang berlainan. Ini adalah perkara yang halus yang hendak disampaikan. Menunjukkan keindahan bahasa Quran yang tepat dengan apa yang berlaku. Ini sebahagian dari ilmu balaghah.
  5. Dalam surah Syams, disebut tentang langit dan bumi. Dalam surah Layl, disebut tentang lelaki dan perempuan pula. Langit dan bumi ada perbezaan sifat, seperti juga perbezaan sifat antara lelaki dan perempuan. Tapi dua-dua pasangan itu menghasilkan sesuatu apabila bersama. Langit dan bumi bergabung menghasilkan tanaman di mukabumi dan lelaki perempuan apabila bersama akan menghasilkan keturunan. Jadi walaupun ianya berbeza, tapi bila bergabung ia akan menjadikan sesuatu.
  6. Dalam surah Syams, Allah berkata-kata dalam kata ganti ketiga (ghaibah). Tapi dalam Surah Layl, Allah bercakap dalam kata ganti kedua (mukhatab) – Allah bercakap terus kepada kita. Apakah kepentingan perbezaan ini? Kalau dalam pihak ketiga, ianya dalam bentuk umum sahaja. Tetapi apabila dalam kataganti kedua, ia lebih berbentuk peribadi dan lebih rapat. Maknanya ada nasihat yang terus diberikan kepada penerima wahyu ini. Maknanya, pengajaran itu kena dilakukan oleh kita. Jangan kata untuk orang lain pula. Kerana kalau digunakan dalam kataganti ketiga, kita mungkin kata: ah, ini untuk orang lain, tidak kena mengena dengan aku.
  7. Dalam Syams, Allah berkata bahawa manusia telah diberikan dua jenis fitrah: kesedaran tentang kebaikan dan kesedaran tentang keburukan. Ini adalah naluri dalaman yang Allah telah berikan (fitrah). Dalam Layl, Allah berkata tentang orang yang walaupun ada yang tahu tentang keburukan, tapi masih lagi nak ikut keburukan itu. Begitulah manusia, walaupun mereka sudah tahu mana yang salah, tapi mereka masih buat juga lagi. Allah menegur mereka yang sebegitu dalam surah ini.
  8. Dalam Syams, Allah berkata tentang penyujian jiwa (nafs) tentang pembersihan dalaman. Dalam Layl pula Allah bercakap tentang usaha luaran. Jadi, Surah Syams tentang penyakit hati, dan Layl tentang penyakit amalan.
  9. Dalam Syams, Allah berkata tentang beruntunglah mereka yang membersihkan hatinya. Dalam Layl, Allah mengajar tentang bagaimanakah hendak membersihkan hati itu.
  10. Dalam Syams, disebut tentang mereka yang tidak melakukan yang sepatutnya iaitu mereka telah mengotorkan jiwa mereka. Dalam surah ini Allah menceritakan apakah yang mereka telah lakukan sampai telah mengotorkan diri nafs mereka. Jadi surah Layl ini menyambung apa yang telah disentuh dalam surah Syams.
  11. Dalam surah Shams, ianya tentang kaum Tsamud yang engkar kepada Nabi Saleh dan Allah. Dalam surah ini, ianya tentang orang yang merasa cukup: Istaghna. Mereka rasa cukup, sampai tidak perlukan kepada orang lain dan Allah lagi dah. Jadi ini adalah tentang harta kekayaan. Orang yang ada harta dan kaya, mereka rasa dah cukup dah, tidak perlu sesiapa dah kerana mereka rasa mereka semua sudah ada. Tapi harta itu tidak akan dapat menyelamatkan mereka. Tapi mereka yang infak harta mereka untuk membersihkan jiwa mereka, mereka akan selamat. Dalam surah ini, kepada mereka yang rasa dah cukup itu, Allah mengingatkan mereka bahawa وَإِنَّ لَنا لَلآخِرَةَ وَالأولىٰ “Sesungguhnya Kamilah yang menguasai hari akhirat dan dunia”
  12. Ada orang yang rasa mereka mendapat hidayah kerana usaha ibadat mereka. Dan kerana mereka banyak buat ibadah, mereka sangka mereka telah selamat. Allah mengingatkan mereka dalam surah ini, bahawa hidayah itu dari Allah, bukan hasil usaha kita, bila Allah berfirman: إِنَّ عَلَينا لَلهُدىٰ Sesungguhnya keatas Kamilah untuk memberi petunjuk”. Petunjuk itu kita kena minta berterusan. Sebab itu kita asyik minta petunjuk dalam surah Fatihah. Jangan kita rasa selamat dah.
  13. Dalam surah ini akan disebut tentang mereka yang berpaling dari ajaran Quran:  الَّذي كَذَّبَ وَتَوَلّىٰ “Yang telah mendustakan kebenaran dan berpaling ingkar”. Dalam surah Syams, telah tentang mereka yang membunuh unta mukjizat فَكَذَّبوهُ فَعَقَروها فَدَمدَمَ عَلَيهِم رَبُّهُم بِذَنبِهِم فَسَوّاها. Bagaimana pula dengan Musyrikin Mekah, apakah kesalahan mereka? Mereka juga telah melakukan kesalahan kepada mukjizat juga. Iaitu mukjizat dalam bentuk Quran kerana quran juga adalah mukjizat. Apa kesalahan yang mereka telah lakukan? – mereka berpaling darinya. Kaum Tsamud disuruh menjauhkan diri dari unta dan mereka kufur. Musyrikin Mekah sebaliknya disuruh mendekatkan diri dengan Quran, tapi menjauhkan diri pula. Unta itu kena tinggalkan, tapi dengan Quran, jangan tinggalkan tapi kena dekatkan diri dengan Quran sepatutnya.
  14. Dalam Syams, Nabi Saleh yang memberi peringatan kepada mereka jangan kacau unta itu. Kerana kalau kacau, akan menyebabkan mereka kena azab. Dalam surah Layl ini, Allah sendiri yang beri peringatan tentang azab api neraka. Amaran ini lebih kuat dari kata amaran dari seorang rasul. Jadi, kena sedarlah, walaupun ancaman dan peringatan itu diberikan melalui Nabi, tapi ianya datang dari Allah.
  15. Dalam surah Syams, disebutkan tentang ‘ashqa’ – orang yang paling buruk. Dalam Layl, disebutkan tentang apakah yang terjadi kepada ‘ashqa’ itu – mereka akan dimasukkan ke neraka.
  16. Kepada orang yang yang paling malang seperti disebut dalam Syams, Allah beritahu yang mereka dikenakan dengan hukuman dimasukkan ke dalam neraka. Tapi kepada orang yang baik, mereka akan dinaikkan darjat oleh Allah. Allah tidak sebut dengan jelas, maknanya banyak sangat yang mereka akan terima nanti sampaikan tidak dapat disebut.
  17. Dalam Surah Balad disebut bukit yang susah untuk didaki. Tapi dalam surah ini Allah akan kata yang perjalanan itu akan dimudahkan.
  18. Orang yang kaya sangka kedudukan mereka tinggi kerana kekayaan mereka, seperti disebut dalam Syams, tapi dalam Layl, Allah beritahu yang mereka yang infak hartalah yang berada di kedudukan yang tinggi.

Yang selalu diulang-ulang dalam surah ini adalah tentang kekayaan harta. Kita akan belajar kenapakah perkara ini penting dan bahaya kepada manusia. Kita kena bersihkan diri kita dengan memperbetulkan pandangan kita terhadap harta dan kekayaan. Memang tidak ada salah memiliki harta, tapi bahaya kalau harta itu sudah masuk ke dalam hati sampaikan kita cinta (hubb) kepada dunia. Dalam ayat-ayat Quran, Allah tidak marah memiliki harta, tapi Allah tegur kerana manusia ‘cinta’ hubb kepada harta itu. Itu kalau sampaikan mereka melupakan langsung untuk melakukan persediaan kepada akhirat. Itulah masalah yang banyak dihadapi oleh manusia. Jadi kerana itu diulang-ulang banyak kali dalam surah ini.


 

Ayat 1: Sumpah Allah yang pertama dalam surah ini.

وَاللَّيلِ إِذا يَغشىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Layl: The Night.

By the night when it covers¹

  • With darkness.

(MALAY)

Demi malam apabila menutupi (cahaya siang),

 

Tidak disebut dalam ayat ini apakah yang diselubungi oleh malam itu, tapi kalau mengikut surah sebelum ini, ianya bermaksud menyelubungi cahaya matahari. Allah menyuruh kita merujuk kepada surah yang lain. Ini mengajar kita yang Allah menyuruh kita menggunakan akal dan pengetahuan kita. Allah tidak beritahu semua perkara, maka kena pakai akal dan kajian untuk mendapatkan maklumat dan melakukan kajian. Inilah salah satu keindahan Quran, supaya kita jadi orang yang berfikir.

يَغشىٰ: bermaksud menyelubungi seperti yang telah disebut. Tapi ia juga memberi isyarat kegelapan kufur. Oleh itu, apabila Allah menyebut tentang cahaya siang, Dia memberi isyarat kepada cahaya wahyu yang menghilangkan kegelapan kufur yang menyelubungi manusia sebelum itu.

It also refers to the darkness of Kufr (disbelief).

And when Allah mentions the Day – He is implying the Light of the Day (Revelation) which brightens the darkness (of disbelief) which covered everything before.


 

Ayat 2: Sumpah kedua.

وَالنَّهارِ إِذا تَجَلّىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [by] the day when it appears

(MALAY)

dan siang apabila terang benderang,

 

Juga tidak disebut apakah yang ditunjukkan dengan jelas. Kita kena tengok surah sebelum surah ini, iaitu cahaya matahari. Cahaya siang itu juga isyarat merujuk kepada cahaya dakwah.

Allah menarik perhatian kita kepada perbezaan antara malam dan siang. Malam mengambil masa untuk menjadi – dari waktu asar membawa ke senja, maghrib dan kegelapan pun sikit-sikit, tidak terus gelap terus, bukan? Tapi siang, terus terjadi dengan cepat. Apabila cahaya matahari keluar sikit sahaja, terus dah nampak cahaya dah. Terus hilang malam itu.

Begitulah juga dengan cahaya Islam. Cepat sungguh ia merebak. Kegelapan kemungkaran yang terjadi telah mengambil masa yang lama untuk menjadi, sikit-sikit manusia jadi kafir, bukannya terus jadi kafir. Beratus tahun masyarakat Arab berada dalam kegelapan mungkar tapi Islam hanya mengambil masa 23 tahun sahaja untuk menghilangkan kemungkaran itu.


 

Ayat 3: Gelap Allah yang buat dan cerah pun Allah yang buat juga. Apa lagi yang Allah cipta? Ini adalah sumpah ketiga.

وَما خَلَقَ الذَّكَرَ وَالأُنثىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [by] He who created the male and female,

(MALAY)

dan penciptaan laki-laki dan perempuan,

 

Dan demi apa yang menciptakan makhluk jantan dan betina. Iaitu Allah hendak memberitahu kita yang Dialah yang menciptakan segalanya termasuk jantina lelaki dan perempuan.

Kalimah ‘ما’ juga boleh bermaksud ketakjuban kejadian alam yang ada dua elemen itu – alangkah hebatnya Yang menjadi lelaki dan perempuan itu! Ini bermaksud kalimah ما itu adalah dalam bentuk ma mawsoolah – hebat sekali yang menjadikan lelaki dan wanita itu. alangkah hebatnya.

Kalimah ما itu juga boleh dalam bentuk ma masdariyah – merujuk kepada kejadian lelaki dan perempuan itu sendiri. Hendak menekankan betapa hebat sekali kejadian lelaki dan perempuan itu.

Sebenarnya, dari segi bahasa kalimah الذَّكَرَ وَالأُنثىٰ bukan hanya digunakan kepada lelaki dan perempuan (manusia) sahaja tapi semua jenis kehidupan. Semua yang ada jantan dan betina – seperti binatang, pokok dan lain-lain. Seperti yang kita tahu, Allah menjadikan semua makhluk dalam dunia ini berpasang-pasangan. Dan dunia ini sendiri ada pasangannya – pasangan kepada dunia ini adalah akhirat nanti.

Jadi kita kena hargai pasangan-pasangan yang ada itu. Kerana kehidupan dalam dunia memerlukan pasangan masing-masing. Seperti seorang lelaki memang perlu kepada wanita. Sebagai contoh, wanitalah yang menenangkan mereka, begitu juga wanita memerlukan lelaki dalam hidup mereka. Kalau tidak ada, maka mereka akan ada kekurangan sedikit sebanyak. Pasangan saling memerlukan antara satu sama lain dan bukan hanya terhad kepada jenis manusia sahaja. Segala perkara dalam kehidupan ini ada pasangan dan memerlukan pasangan masing-masing. Kalau tidak ada pasangannya, ia tidak dapat berfungsi dengan baik.

Sebagai contoh, bayangkan kalau malam sahaja yang ada, siang tiada – tentu susah untuk kita berehat, bukan? Bayangkan juga kalau perempuan tidak ada, lelaki sahaja yang ada, jawapnya tidak adalah zuriat dalam dunia ini. Kita memerlukan pasangan lawan kita. Seperti kita telah lihat dalam surah sebelum ini, perkara ini kena ada keseimbangan, barulah lengkap hidup ini.


 

Ayat 4: Inilah jawabul qasm surah ini, selepas diberikan sumpah-sumpah tadi.

إِنَّ سَعيَكُم لَشَتّىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, your efforts are diverse.

(MALAY)

sesungguhnya usaha kamu memang berbeza-beza.

 

Sesungguhnya amal usaha manusia ada berbagai-bagai. Ada yang baik dan ada yang tidak. Dan apabila berbeza, balasan di akhirat juga berbeza-bezalah. Kalau baik dibalas baik, kalau tidak baik, dibalas dengan azab di neraka.

Ayat 1 – 3 adalah sumpah dari Allah. Selepas sumpah, ada jawap kepada sumpah itu. Iaitu apakah yang hendak ditekankan oleh Allah. Inilah ayat selepas sumpah itu. Inilah perkara penting dalam surah ini. Dan selepas ini ayat 5 – 11 akan menceritakan dengan lebih panjang lagi apakah usaha manusia itu.

Allah bercakap terus dalam ayat ini kepada puak Quraish. Tapi ada juga yang mengatakan كم dalam ayat ini kepada merujuk kepada semua manusia. Maka, kita pun kena ambil perhatian dari pendapat ini. Ayat ini ditujukan juga kepada kita.

سَعى – bermaksud bergerak deras untuk melakukan sesuatu dalam usaha kita. Maknanya, usaha yang bersungguh-sungguh. Seperti kita sai’e di Mekah, ada berlari-lari sikit, bukan? Begitulah apabila kita sedang melakukan sesuatu yang penting, kita akan bergerak dengan cepat. Tidak sampai tahap berlari tapi bergerak dengan agak laju.

سَعى itu boleh juga untuk keduniaan dan untuk akhirat juga. Dua-dua boleh digunakan kalimah ini. Ada yang berusaha keras untuk dunia dan ada yang berusaha keras untuk akhirat. Kalau dalam dunia, ramai yang mahu jadi kaya maka mereka berusaha keras. Tapi sebenarnya kita juga boleh jadi kaya di akhirat kelak. Kalau ikhlas kepada Allah, maka seseorang itu akan berusaha keras untuk menghantar pahala ke akhirat dan nanti, dia akan menjadi ‘kaya’ di akhirat. Bagaimana dengan dunia? Tidak salah untuk kita ada harta di dunia, cuma jangan cinta sangat dalam hati kita kepada harta sampai menghalang kita dari berbuat kebaikan. Kita kena lebih berusaha untuk akhirat dari untuk dunia. Kerana akhirat itu akan kekal dan dunia ini sementara sahaja.

شَتّىٰ: merata-rata tempat, tidak di satu sahaja. Asalnya ia adalah satu tapi sudah terpecah merata-rata. Sudah terbahagi ke beberapa bahagian. Ini merujuk kepada manusia seluruhnya. Dulu kita semua adalah di bawah satu agama tapi sekarang dah berpecah kepada bermacam-macam agama dah. Allah mengatakan kita berpecah dari segi agama. Dulu asalnya, semua orang adalah Islam. Ingat kembali apakah agama Nabi Adam dan anak beranaknya? Tapi lama kelamaan agama manusia sudah berubah. Orang Islam menjalankan usaha untuk mengikut suruhan Allah. Tapi disebaliknya, orang kafir menentang suruhan Allah, mereka berusaha untuk melemahkan agama Islam.

Ia juga bermaksud manusia semuanya mempunyai kerja dan pegangan dan usaha masing-masing. Semua dengan usaha dan pekerjaan masing-masing. Tidak sama semuanya.

Ayat sebelum ini pula tentang jantan dan betina. Itupun perpecahan dan perbezaan juga. Allah hendak menerangkan kepada kita bahawa kita hidup dalam dunia tidak sama pegangan. Janganlah kita hairan kalau ada orang yang berlainan fahaman dan amalan dengan kita kerana memang itu lah lumrah manusia. Yang penting kita kena lihat di pihak manakah kita. Adakah kita di pihak yang benar dan melakukan amalan yang benar atau tidak?

Ini juga adalah peringatan kepada Nabi dan para pendakwah, bahawa manusia itu macam-macam jenis dan fahaman.


 

Ayat 5: Daripada berbagai-bagai jenis amalan itu, apakah yang baik?

فَأَمّا مَن أَعطىٰ وَاتَّقىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

As for he who gives and fears Allāh

(MALAY)

Adapun orang yang memberikan (hartanya di jalan Allah) dan bertakwa,

 

Yang pertama disentuh adalah mereka yang sanggup memberikan harta mereka ke jalan Allah. Dan dalam masa yang sama, mereka bertaqwa iaitu mereka dapat jaga hati dari syirik dan riak.

أَعطىٰ bermaksud memberi dengan banyak. Perkataan yang sama telah digunakan dalam surah Kautsar. Ini berbeza kalau perkataan yang digunakan: أتى. Kalau perkataan ini digunakan, ianya hanya memberi biasa sahaja. Ada banyak lagi kalimah ‘memberi’ dalam bahasa Arab. أَعطىٰ adalah memberi kerana sesuatu tapi beri lebih banyak dari apa yang sepatutnya. Tapi beri kepada siapa, dan beri apa? Tidak disebut dalam ayat ini. Memang ada banyak ayat dalam quran yang tidak disebut dengan jelas apakah yang dimaksudkan dengan jelas. Jadi kita kena menggunakan akal kita dan berusaha untuk mencari maksud yang hendak disampaikan.

Allah tidak perlu sebut dalam ayat ini kerana dalam ayat-ayat yang lepas sudah disebut tentang memberi seperti dalam surah Balad. Lihatlah dari ayat فَكُّ رَقَبَةٍ sehingga ayat seterusnya.

تَّقىٰ bermaksud menyelamatkan diri dari bahaya dan dari kesan bahaya itu. Iaitu menyelamatkan diri dari melakukan dosa kerana dosa itu akan memasukkan diri ke dalam api neraka, jahannam. Kerana takut masuk dalam api neraka, maka kita menjaga diri kita dari melakukan dosa. Dalam segala perbuatan kita, kita amat berhati-hati. Kita akan sedar tentang hukum sesuatu perkara itu (ini boleh buat ke tidak?) dan kita sedang yang segala gerak geri kita dan perbuatan kita sedang diperhatikan dan diambil kira oleh malaikat dan juga Allah.

Taqwa selalu diterjemahkan sebagai ‘takut’ tapi taqwa sebenarnya tidak sama dengan perkataan khawf – takut. Takut memang sebahagian dari taqwa itu tapi taqwa bukan ‘takut’ sahaja. Maksud taqwa itu lebih luas lagi. Memang dalam Quran banyak digunakan kalimah-kalimah tentang takut. Sebagai contoh, kalau kita duduk di rumah seorang diri dan kita dengar suara hentakan yang kuat – ini adalah ‘takut’. Tapi apabila kita mengambil pendekatan untuk mempertahankan diri – ini adalah ‘taqwa’. Maknanya, bukan takut sahaja, tapi kena ambil tindakan seterusnya. Kerana kita takut dengan neraka, takut murka Allah, maka kita tidak melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan Allah murka. Itulah taqwa.

Selalunya, mereka yang memberi infak, derma, sedekah tentulah merasa telah selamat. Tapi dalam ayat ini, selepas Allah sebut mereka telah memberi, mereka ‘taqwa’ pula lagi. Maknanya, orang yang memberi itu pun kena rasa risau juga dan berhati-hati walaupun setelah memberi kerana entah-entah dia ada buat silap walaupun dalam memberi. Mungkin kerana dia beri benda yang tidak patut, tidak ikhlas dan apa-apa yang boleh merosakkan infaknya itu.

Dia juga kena ingat yang harta yang dia berikan itu adalah dari Allah juga. Alangkah malunya kalau kita rasa yang harta yang kita ada sekarang ini adalah haq kita. Ini bahaya kerana apabila dah rasa harta itu diri sendiri punya, mulalah kedekut tidak mahu infak kepada orang lain. Ramai yang kedekut tidak mahu memberi kerana mereka rasa mereka telah mendapat harta itu dari hasil usaha mereka, padahal Allah yang berikan kepada kita. Kalau Allah tidak berikan, segala usaha mereka itu tidak akan membuahkan hasil pun.

Ada satu perkara yang kita hendak sentuh dalam tulisan ini. Ada satu trend di kalangan masyarakat termasuk dalam kalangan orang Islam juga tentang infak ini. Ramai yang mendapat harta mereka dengan cara yang haram dan tidak benar. Oleh kerana mereka memang ada fitrah mengenali perkara yang salah, maka mereka rasa tidak sedap hati kerana mereka sendiri rasa mereka telah buat satu kesalahan dalam mendapatkan harta itu. Jadi untuk menyedapkan hati mereka, mereka telah menderma dengan banyak kepada orang yang memerlukan. Mereka sangka, kalau mereka beri derma dengan banyak, dosa-dosa mereka itu akan dibersihkan. Ini bukanlah cara yang benar. Pemberian infak dan derma itu tidaklah menyebabkan segala kesalahan mereka dimaafkan. Sebagai contoh, ada yang buka kedai jual arak yang jelas-jelas adalah perbuatan haram. Tapi mereka mahu menyedapkan hati mereka dengan beri sedekah kepada masjid. Begitu juga macam artis kita, kalau terasa banyak dosa, maka nak ‘cuci’ dosa, mereka pergi buat umrah. selepas itu sambung balik menyanyi dan berlakon. Ini adalah kefahaman yang salah. Kalau beginilah, mereka mungkin memberi, tapi mereka tidak ada ‘taqwa’. Sedangkan kedua-duanya kena ada. 

Dua perkara yang kena ada adalah ‘bertaqwa’ dan ‘memberi sedekah’. Ayat ini terbalik sebab sepatutnya bila dah ada ‘Taqwa’ baru hati mahu bersedekah, bukan? Tapi ini salah satu dari cara bahasa Quran dalam surah ini. Allah sebutkan konklusi dulu, kemudian baru disebut kerja yang dilakukan dahulu. Jadi, taqwa > infak.


 

Ayat 6: Sebelum dapat taqwa, apa yang kena ada dulu? Kerana taqwa tidak terjadi dengan sendiri, kena ada sesuatu yang berlaku dahulu.

وَصَدَّقَ بِالحُسنىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And believes in the best [reward],

(MALAY)

dan membenarkan adanya pahala yang terbaik,

 

Dan dia membenarkan perkara-perkara yang baik. Iaitu membenarkan dengan kalimah iman.

Kalimah الحُسنىٰ ini adalah dimana Allah memberi khulasah tentang agama: kebaikan yang paling baik. Kalimah الحُسنىٰ dalam dalam bentuk isim mubalaghah. Asal makna الحُسنىٰ adalah kebaikan. Tapi ada tambahan ‘ال’, maka ianya bermaksud kebaikan tertentu yang telah ditetapkan – menjadi isim makrifah. Oleh itu, ia bukan maksud kebaikan yang umum – isim nakirah. Jadi apakah yang dimaksudkan? Kerana tidak disebutkan apakah ianya. Ini adalah kerana amat banyak sekali perkara baik. Allah tidak tetapkan apakah perkara yang baik itu kerana banyak sekali perkara baik yang boleh dilakukan dan Allah tidak menghadkan kepada sesuatu perkara sahaja.

Ada yang mengatakan yang dimaksudkan adalah beriman dengan adanya syurga Allah. Iaitu menerima bahawa orang yang berbuat amal kebaikan, amalan itu akan menyampaikan dia ke syurga.

Ada juga yang kata ia bermaksud, Kalimah Tayyibah (La illaha illAllah Muhammadun Rasool Allah – tidak ada ilah selain Allah dan Nabi Muhammad itu adalah Rasulullah). Oleh itu, ada banyak pendapat tentang perkara ini dan kita menerima semuanya.

Apakah perkara penting yang ditekankan dalam surah ini? Yang ditekankan adalah tindakan – amalan. Ini telah disebut dalam ayat ke-4 (سَعى). Kalau percaya sahaja, tapi tidak buat apa-apa, tidak beramal, pun tidak berguna sahaja. Oleh itu, iman itu bukan hanya cakap sahaja tapi kena dibenarkan dengan tindakan kita. Ini penting untuk disebut kerana ramai yang tahu tentang apa yang patut dilakukan, tapi mereka tak buat pun. Oleh itu, apabila dikatakan seseorang itu تصَدَّقَ (membenarkan), itu bermaksud dia bersetuju yang itu adalah perkara yang baik, dan dia melakukannya. Kerana kalau dia setuju yang ianya adalah perkara baik, kenalah dia pun buat juga, barulah dikira sebagai تصَدَّقَ. Sebagai contoh, kalau kita kata api itu panas, tapi kita pegang juga, maka itu bermaksud samada orang itu tidak percaya sebenarnya, atau dia gila atau bodoh.

Jadi, amalan apa yang telah disebutkan sebelum ini? Dalam ayat ke 5, telah disebut tentang أَعطىٰ [memberi]. Iaitu infak harta. Kemudian disebut tentang تَّقىٰ [menjaga diri]. Walaupun تَّقىٰ adalah elemen iman, tapi ia juga ada elemen amal, kerana apabila kita menjaga diri, kita kena lakukan sesuatu juga. Dan akhir sekali telah disebut تصَدَّقَ (membenarkan) dan ini mungkin jauh sikit dari amal kerana ianya adalah perbuatan hati.


 

Ayat 7: Apakah balasan yang akan diberikan kepada mereka yang telah memberi dengan ikhlas, dan akidah mereka pun baik? Allah akan mudahkan dia ke syurga. Allah mudahkan dengan Allah beri taufik kepadanya.

فَسَنُيَسِّرُهُ لِليُسرىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We will ease him toward ease.

(MALAY)

maka Kami kelak akan menyiapkan baginya jalan yang mudah.

 

Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kebaikan. Apabila Allah beri taufik, akan senang seseorang itu untuk buat kebaikan yang akhirnya akan membawanya ke syurga.

Kalimah يُسرىٰ adalah dalam bentuk mubalaghah. Maksudnya Allah akan beri jalan yang paling mudah. Orang itu akan mendapati dia senang sahaja untuk buat kebaikan. Dan nak buat dosa, susah pula. Bayangkan hebatkan pemberian Allah ini, bukan? Kerana kita selalunya buat baik yang susah dan buat jahat yang senang. يُسرىٰ dari kalimah يسر yang bermaksud sesuatu yang senang dibuat. Maksudnya, Allah memudahkan kepadanya jalan menuju syurga. Ibn Abbas kata: dimudahkan jalan kepadanya untuk buat kebaikan. Allah yang akan memudahkan dengan dilapangkan dada, diberikan ilmu, diberikan taufik dan apa-apa yang diperlukan.

Sebagai contoh, kita tengok sesetengah orang susah nak solat. Tetapi bagi orang seperti Nabi, itulah yang senang dilakukan baginda kerana itulah yang baginda suka sekali nak buat kerana baginda dapat bermunajat kepada Allah. Perkara yang sama, tapi lain orang, lain semangatnya. Begitulah kalau Allah mudahkan untuk seseorang beribadat dan sebagainya, senanglah untuk dia masuk syurga nanti. Dan susah untuk dia buat kesalahan dalam kehidupan dia. Tapi kita sekarang? Senang nak buat dosa, susah nak buat baik. Ma sha Allah! Semoga kita pun mendapat kesenangan ini juga. Tapi kenalah mulakan dengan proses yang telah disebut: memberi – taqwa – membenarkan.

Allah berfirman yang Dia akan memudahkan. Maknanya, selagi bukan Allah yang mudahkan, ia masih susah. Teringat doa memudahkan perkara.

الَّلهُمَّ لَا سَهْلَ إِلَّا مَا جَعَلْتَهُ سَهْلًا. وَأَنْتَ تَجْعَلُ الْحُزْنَ إِذَا شِئْتَ سَهْلًا

“Ya Allah, tidak ada kemudahan kecuali yang Engkau buat mudah. Dan engkau menjadikan kesedihan (kesulitan), jika Engkau kehendaki, pasti akan menjadi mudah”

Dalam perbuatan manusia pun, kalau sesuatu perkara yang kita sudah biasa lakukan, ia akan menjadi senang juga, bukan? Jadi senang sebab dah biasa buat – alah bisa tegal biasa. Jadi, kita kena mulakan dan biasakan dahulu. Sebagai contoh, mungkin mula-mula nak amalkan istiqamah Solat Tahajjud itu amat susah, tapi kalau dah diselalunya, ianya akan menjadi biasa sahaja. Jadi kita kena mulakan dengan buat ibadat sahaja. Begitu juga bangun subuh pada waktunya. Memang mulanya susah, tapi kalau dah lama, jadi senang sahaja. Niat yang baik dan terus lakukan. Allah akan mudahkan.

Fikiran kita pun kena jaga juga. Kalau dalam fikiran kita kata sesuatu perkara itu ‘susah’, memanglah ia akan terus menjadi susah. Tapi kalau kita sudah didik fikiran kita yang kita kena buat perkara itu, dan ianya mudah, lama-lama ia akan jadi senang.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 092: al-Layl. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s