Tafsir Surah ash-Syams Ayat 9 – 15 (Pengotoran Jiwa)

Ayat 9: Ayat ini adalah jawabul qasam kepada beberapa banyak sumpah yang telah disebut sebelum ini. Dalam jawabul qasm inilah terkandung perkara yang amat penting yang Allah nak ingatkan.

قَد أَفلَحَ مَن زَكّاها

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He has succeeded who purifies it,

(MALAY)

sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu,

 

Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Takwil makna ayat dapat dikatakan bahawa sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan dirinya dengan taat kepada Allah dan membersihkannya dari akhlak-akhlak yang hina.

Iaitu orang yang mendidik hatinya. Mereka akan jadi lebih mulia apabila memilih jalan kebaikan. Antara cara nak mencapainya adalah dengan melakukan zikrullah. Dan dengan memperbanyakkan taubat. Kadang-kadang kita rasa banyak sangat dosa kita sebab kita dah boleh rasa kalau hati dah ada titik hitam. Itu kalau hati yang sifatnya bersih, tapi kalau hati yang dah lama hitam, dia dah tak rasa ada tambah titik hitam dah, sebab kegelapan hati itulah yang normal pada dia. Maka hendaklah kita banyak bertaubat dan menjaga perbuatan kita supaya kurang dosa kita.  Kita takut sangat kalau kita dah biasa sangat buat dosa, sampai kita tidak merasa kita sedang membuat dosa. Itulah yang amat bahaya sekali.

قَد – Digunakan apabila sesuatu itu sudah berlaku. Dan di dalam Quran, digunakan sebegini untuk menunjukkan kepastian sesuatu perkara itu. Kerana tentunya sesuatu perkara yang telah berlaku itu sudah pasti, bukan? Memang pasti mereka yang membersihkan hatinya akan berjaya.

أَفلَحَ – dia telah berjaya. Akan tetapi, ada banyak perkataan digunakan untuk makna ‘berjaya’. Jadi kenapa kita juga kalimah أَفلَحَ ini? Mari kita nak tengok dengan lebih mendalam lagi.

aflaha – digunakan juga untuk petani yang menuai hasil kerjanya setelah sekian lama.

falaah – digunakan untuk kejayaan yang bukan datang sendiri tetapi setelah ada usaha yang terlibat. Jadi ada usaha mereka yang mereka telah jalankan, apakah yang mereka telah lakukan?

مَن زَكّاها – sesiapa yang telah menyucikannya. زَكّاها dari masdar tazkiyyah yang merujuk kepada membersihkan ‘nafs’. Kerana kalau ada kekotoran pada nafs itu, kita kena cuba untuk membersihkan kekotoran itu dan mengembalikan keseimbangan seperti yang sepatutnya. Kita kena cuba sahaja dan kalau ada usaha sahaja pun dah ada kejayaan dah kerana itu bergantung kepada kehendak Allah. Jadi ini memang perkara yang kita kena lakukan sentiasa, seolah-olah ianya adalah kerja hakiki kita. Kalau kerja di pejabat, kita jaga sahaja, tapi bagaimana dengan ‘kerja’ membersihkan jiwa kita?

Banyak perkara yang perlu dilakukan, antaranya sentiasa menjaga diri dari melakukan dosa, perkara yang memalukan, zikrullah, baca Quran dan tadabbur Quran, jaga hati dan sebagainya. Kena rujuk bab tazkiyatun nafs untuk lebih mendalami perkara ini. Apabila kita cuba melakukan usaha pembersihan ini, maka Allah akan bantu kita dengan menyucikan diri kita. Tapi kena ada usaha dari kita dulu, tapi yang membersihkannya adalah Allah sendiri. Kena ada usaha yang mula dari kita kerana Allah nak tengok usaha kita dahulu.

Dari bahasa Arab, ada dua jenis kalimah fi’il (katakerja) yang kita perlu tahu:

jenis: mutaaddi – perbuatan yang melibatkan kena kepada orang lain – dinamakan juga jenis transitif

jenis: lazim – melibatkan kepada diri sendiri sahaja – juga dinamakan jenis intransitif.

Kalimah زَكّاها dalam bentuk transitif. Ini seolah-olah melihat nafs kita itu di luar dari kita. Maka beginilah yang kita kena fikirkan tentang nafs itu. Iaitu ianya adalah entiti yang di luar dari diri kita walaupun ia duduk di dalam diri kita. Kita kena lakukan sesuatu terhadapnya.

Sebenarnya, kita semua ada masalah dengan perkara ini dan kita berusaha untuk menanganinya sepanjang masa. Tidak ada orang yang suci. Tapi malangnya, dalam kalangan masyarakat, malah di dunia luar sana, kita ada yang rasa ada individu yang sudah bersih dan suci dah. Ini masalah kerana mereka sampaikan dipuja, orang minta doa kepada dia, orang beri duit kepada mereka dan sebagainya. Samada mereka diangkat sampai ke tahap itu atau memang ada orang yang macam itu. Allah tegur mereka yang berperangai macam ini – فَلَا تُزَكُّوا أَنفُسَكُمْ (Najm:32) “Jangan kamu sangka yang diri kamu suci). Allah ingatkan kita semua supaya jangan perasanlah. Oleh itu hati-hati, jangan kita rasa kita lebih tinggi dari orang lain, lebih beriman dan lebih bersih. Ini selalu terjadi dalam pergerakan tarekat dan sufi kerana mereka itu jauh dari ajaran agama yang benar dan mereka jauh dari ilmu wahyu, cuma banyak berdasarkan dari ilmu khayalan guru mereka yang datangnya dari syaitan sahaja. Kerana mereka tidak berilmu, mereka senang kena tipu dan begitulah keadaan mereka.

Dalam ayat-ayat awal surah ini, Allah telah menceritakan tentang cahaya matahari (وَالشَّمسِ وَضُحاها). Cara matahari yang menyinari bumi itu memberi manfaat kepada manusia dan segala kehidupan di dunia. Senang nak cari makan, senang nak kerja, senang untuk tumbuh-tumbuhan hidup subur. Begitu jugalah hati yang bersih suci, akan memberi manfaat kepada manusia dan alam.

Bagaimana pun, dalam keadaan lemah, nafs kita berada dalam keadaan gelap; sebagaimana juga kegelapan malam menutup cahaya (وَاللَّيلِ إِذا يَغشاها). Tetapi, Allah tetap membenarkan cahaya matahari datang kembali (وَالنَّهارِ إِذا جَلّاها). Dan ingatlah, walaupun malam menutupi cahaya matahari, tapi masih ada lagi imbasan cahaya matahari yang dibawa oleh bulan (وَالقَمَرِ إِذا تَلاها) yang masih tetap lagi memberi panduan kepada mereka yang bergerak di malam hari. Oleh itu, masih ada harapan lagi buat kita walapun sedang di dalam ujian.


 

Ayat 10: Beruntunglah mereka yang menyucikan nafsnya, sedangkan di sebaliknya pula, bagaimana?

وَقَد خابَ مَن دَسّاها

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he has failed who instills it [with corruption].

(MALAY)

dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.

 

Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). Itu akan terjadi hasil dari perbuatan maksiat yang kita lakukan. Sampai akhirnya hati terus gelap ditutupi oleh titik-titik dosa yang banyak sangat. Yakni membenamkannya, menguburnya, dan menghinakannya dengan tidak mengikuti jalan petunjuk, hingga terjerumuslah dia ke dalam perbuatan-perbuatan maksiat dan meninggalkan ketaatan kepada Allah

خابَ – bermaksud lari untuk mendapatkan sesuatu tapi tidak mendapatkannya; oleh itu, terasa amat kecewa; kegagalan kerana telah berusaha susah payah tapi tidak berjaya. Yang dikejar tidak dapat.

دَسَّىٰ – perbuatan meninggalkan, tidak menghiraukan langsung akan sesuatu. ها dalam ayat ini adalah dhomir kepada nafs. Maka yang dimaksudkan adalah perbuatan tidak menghiraukan apa yang diperlukan oleh nafs, apa yang diminta oleh naluri hatinya. Mereka itu seolah-olah membuang nafsnya itu entah ke mana, buat tidak kisah sahaja. Perbuatan mereka itu akan menyebabkan mereka kesusahan, menyesal dan gagal segagal-gagalnya. Mereka tidak hiraulah nafs mereka kerana mereka rasa ia tidak bermakna. Mereka dah tidak dengar dah katahati mereka.

Oleh kerana perbuatan mereka itu, tidak ada keseimbangan dalam nafs mereka antara keduniaan dan spiritual. Mereka akan jadi extreme terhadap salah satu darinya – samada mereka melakukan perkara haram (kerana ikutkan kehendak dunia) atau mereka mengharamkan sesuatu yang halal terhadap diri mereka (kerana hendak mengisi spiritual sahaja dan menolak dunia). Kedua-dua perbuatan ini adalah extreme yang melampau dan tidak dibenarkan dalam Islam. Perkara inilah yang terjadi kepada agama lain yang mengharamkan apa yang Allah telah halalkan – sebagai contoh, paderi Kristian yang tidak berkahwin. Itu adalah satu kesalahan. Sebagaimana yang dilakukan oleh puak tarekat yang mengharamkan sesetengah makanan terhadap diri mereka, terutama semasa mereka dalam suluk atau semasa hendak mendapatkan wirid khas. Ini semua mengarut sungguh.

Kita kena sentiasa menjaga keseimbangan sebagaimana juga matahari dan bulan juga dalam keadaan seimbang. Apabila manusia melawan fitrah manusia yang mahukan keseimbangan, sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah, mereka telah melawan sesuatu yang semulajadi dan mereka akan menyebabkan kerosakan kepada diri mereka.


 

Ayat 11:  Allah beri contoh masyarakat yang terdiri dari individu yang telah rosak. Allah beri contoh supaya kita senang faham.

كَذَّبَت ثَمودُ بِطَغواها

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Thamūd denied [their prophet] by reason of their transgression,

(MALAY)

(Kaum) Tsamud telah mendustakan (rasulnya) karena mereka melampaui batas,

 

Dalam ayat ini, siapakah dhomir yang dimaksudkan dengan ها? Tidak disebutkan dengan jelas jadi siapa yang mereka dustakan? Memang tidak disebut dalam ayat ini tapi kita tahu yang mereka mendustakan Rasul mereka iaitu Nabi Saleh a.s. Ia tidak disebut kerana boleh difahami sendiri kerana telah banyak kisah mereka dalam ayat-ayat Quran sebelum ini. Ditekankan tentang kaum yang mendustakan Rasul mereka kerana ayat ini diturunkan kepada Musyrikin Mekah juga yang menolak Rasul mereka, Nabi Muhammad; begitu jugalah yang telah dilakukan oleh Kaum Tsamud kepada Nabi mereka, Nabi Saleh.

Kenapa disebut tentang Kaum Tsamud? Sebab bangsa Arab amat tahu tentang apa yang terjadi kepada bangsa itu. Mereka tahu bahawa bangsa itu telah dihapuskan kerana kesalahan dosa mereka. Mereka sampai ada sajak atau syair tentang kaum itu dan bagaimana kisah bagaimana mereka dihancurkan Allah. Maknanya, mereka amal kenal tentang Thamud. Maka, Allah ingatkan sahaja tentang itu kepada mereka.

Dalam ayat ini, disebut tentang keseluruhan bangsa itu. Ini adalah kerana kalau masyarakat dah rosak, kena baiki individu dalam masyarakat itu. Kena mulakan dengan diri sendiri, dengan ahli keluarga kita. Kerana asal masalah adalah dari individu-individu yang terdiri dari masyarakat itu. Bukannya masyarakat itu terus rosak tapi ianya bermula sedikit demi sedikit, seorang demi seorang. Begitulah, kalau kita lihat kepada kejayaan yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad, baginda bukannya terus ubah masyarakat itu tapi mula dengan mengubah individu. Baginda mengubah sahabat-sahabat baginda dari mereka yang telah rosak sifat, kepada mereka yang jadi baik. Itulah kejayaan baginda yang paling besar sekali. Mereka asalnya lemah tapi telah menjadi kuat dan berkhidmat untuk agama.

Ayat ini juga adalah tasliah (pujukan) kepada Nabi Muhammad. Allah hendak memberitahu baginda, kalau umat baginda menolak baginda, itu bukan kali pertama; Nabi Saleh pun pernah ditolak dan didustai oleh kaum baginda.

Kenapa mereka mendustakan? Kerana mereka melampau batas. Dan kenapa mereka melampau batas? Kerana nafs yang telah rosak, tidak seimbang. Mereka itu bukannya tidak ada ilmu – mereka telah lihat bagaimana Nabi Saleh telah mengeluarkan unta dari batu setelah mereka sendiri pinta. Maka mereka telah nampak mukjizat dengan mata kepala mereka sendiri. Tapi mereka tetap juga tolak ajakan tauhid dari baginda kerana jiwa mereka telah rosak. Mereka dah nampak mukjizat dah, jadi mereka sudah tahu, tapi mereka melawan hati mereka.


 

Ayat 12: Apakah yang telah berlaku? Allah sambung kisah Tsamud itu.

إِذِ انبَعَثَ أَشقاها

(SAHEEH INTERNATIONAL)

When the most wretched of them was sent forth.¹

  • To hamstring the she-camel which had been sent by Allāh as a sign to them.

(MALAY)

ketika bangkit orang yang paling celaka di antara mereka,

 

Ketika orang yang ‘paling jahat’ di antara mereka setelah menerima perintah dari mereka (supaya membunuh unta yang menjadi mukjizat), untuk membunuh unta betina yang Allah telah jadikan daripada batu. Mereka tahu bahawa itu adalah mukjizat Nabi Saleh dan unta itu memberi susu kepada mereka semua. Tapi begitu teruk sekali perangai dan kedangkalan jiwa lelaki yang paling celaka itu, sampai dia sanggup bunuh unta betina itu.

Apabila digunakan kalimah بَعَثَ dalam ayat ini, yang bermaksud ‘bangkit dengan sendiri’, ia bermakna lelaki itu sendiri yang bangun menawarkan diri. Bukannya ada orang yang paksa dia, ugut untuk bunuh dia kalau tidak melakukannya, tidak. Dia sendiri memang seorang yang amat jahat, dan amat celaka.

أَشقاها bermaksud seorang yang paling teruk, paling celaka, paling malang; dan kalimah ها itu merujuk kepada ‘Kaum Tsamud’. Jadi lelaki itu adalah lelaki yang paling teruk, paling celaka dari kalangan mereka. Mereka itu memang dah teruk dah, tapi dia adalah yang paling teruk.

Latarbelakang kisah ini: Kaum Tsamud telah meminta Nabi Saleh mengeluarkan unta dari batu sebagai tanda mukjizat baginda. Maka baginda telah berdoa kepada Allah dan permintaan itu telah dipenuhi. Unta betina itu diberi dengan syarat mereka kena berkongsi air telaga mereka dengan unta itu. Satu hari untuk unta dan satu hari untuk mereka. Pada hari unta itu meminum air dari telaga, mereka tidak boleh menggunakan telaga itu. Sebagai balasan, unta itu mengeluarkan susu yang cukup untuk semua orang. Tapi lama kelamaan, mereka tidak tahan untuk berkongsi air dengan unta itu. Mereka telah meminta pemimpin mereka untuk menghalang unta itu dari meminum air telaga itu. Kerana bila dia minum, akan habis terus air telaga itu pada hari itu. Para pemimpin pun tidak suka dengan unta itu, tapi mereka tidak berani untuk melakukan apa-apa kerana mereka telah berjanji kepada Nabi Saleh dan mereka telah melihat kemukjizatan unta itu dan mereka takut juga kepada kesan yang boleh dikenakan kepada mereka.

Akan tetapi, ada seorang lelaki dari kalangan mereka yang pergi juga bangkit dan membunuh unta itu. Dialah lelaki yang paling celaka. Dia tidak takut dengan balasan yang diancamkan kepadanya. Dia seolah-olah berkata: “ha, aku dah buat ni, siapa nak tahan aku? Siapa nak hukum aku?”. Perangai dia seperti yang telah disebut dalam surah sebelum ini: أَيَحسَبُ أَن لَن يَقدِرَ عَلَيهِ أَحَدٌ (Balad:5). Nama dia juga pernah disebut tapi tidak patut untuk diulang kerana tidak layak namanya diulang. Lelaki itu adalah seorang yang perkasa lagi dimuliakan di kalangan kaumnya, mempunyai kedudukan nasab yang terhormat, dan pemimpin yang ditaati.

Dan cara dia bunuh unta itu pun amat jahat sekali kerana dia tidak terus bunuh. Dia tikam dan biarkan unta itu mati dalam masa yang lama. Memang dia sengaja buat macam itu kerana memang dia adalah orang yang paling teruk sekali.


 

Ayat 13: Apabila Nabi Saleh perasan apa yang mereka hendak lakukan terhadap unta itu, ini pesan dari baginda.

فَقالَ لَهُم رَسولُ اللَّهِ ناقَةَ اللَّهِ وَسُقياها

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the messenger of Allāh [i.e., Ṣāliḥ] said to them, “[Do not harm] the she-camel of Allāh or [prevent her from] her drink.”

(MALAY)

lalu Rasul Allah (Saleh) berkata kepada mereka: (“Biarkanlah) unta betina Allah dan minumannya”.

 

Kalimah ناقَةَ digunakan dalam bentuk mansub sebagai penekanan kepada mereka supaya berhati-hati! jangan apa-apakah unta itu! Kalau dalam bentuk normal, ia sepatutnya dalam bentuk majrur. Maknanya, Nabi Saleh nak tegur mereka dengan keras. Beginilah penggunaan bahasa dalam Quran kerana tidak ada tanda seruan dalam Quran.

وَسُقياها – dalam isim dzarf – bermaksud tempat dan masa unta itu minum air itu. Jangan merosakkan tempat dan masa unta itu sepatutnya dibenarkan minum.

Nabi Saleh berpesan kepada mereka: jangan ganggu unta itu dan jangan ganggu giliran minuman dia. Satu hari unta minum air, dan satu hari lagi bergilir dengan manusia. Tapi mereka lama-lama tak sabar. Nabi Saleh berkata secara khusus kepada mereka kerana kalimah لَهُم diletak di awal (takdim). Selalunya kalimah itu diletakkan kemudian, jadi ini bermaksud takhsis. Kerana waktu itu baginda dah tahu yang mereka akan melakukan sesuatu yang tidak elok kepada unta itu.

Allah gunakan kalimah رَسولُ اللَّهِ dan bukan diletakkan nama Nabi Saleh. Ini adalah kerana hendak mengingatkan tentang pangkat Rasul itu kepada Quraish. Mereka sekarang sedang berhadapan dengan Rasulullah juga, iaitu Nabi Muhammad. Jangan mereka jadi seperti puak Tsamud itu yang menentang kata dan perintah Rasulullah mereka.

Kaum Nabi Saleh yang suruh dia keluarkan unta dari bukit. Sebab kerja mereka memang kerja memecah bukit dan mengukir bukit. Mereka membuat binaan bukit yang cantik. Dan Allah keluarkan dari seperti hasil seni mereka, satu jenis mukjizat. Nabi Saleh pahat batu dan keluarlah unta dari dalamnya.


 

Ayat 14: Tapi adakah mereka mendengar amaran dari Nabi Saleh itu?

فَكَذَّبوهُ فَعَقَروها فَدَمدَمَ عَلَيهِم رَبُّهُم بِذَنبِهِم فَسَوّاها

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But they denied him and hamstrung¹ her. So their Lord brought down upon them destruction for their sin and made it equal [upon all of them].

  • And then killed.

(MALAY)

Lalu mereka mendustakannya dan menyembelih unta itu, maka Tuhan mereka membinasakan mereka disebabkan dosa mereka, lalu Allah menyama-ratakan mereka (dengan tanah),

 

Oleh kerana mereka tidak beriman dengan Nabi Saleh, maka mereka telah menyembeliah unta itu.

Dari ayat ini, kita dapat tahu yang Kaum Tsamud telah melakukan dua kesalahan:

فَكَذَّبوهُ – mereka mendustakan baginda – tidak percaya kepada baginda.

فَعَقَروها – bermaksud mereka menikam unta itu berkali-kali atau boleh bermaksud mereka memotong bahagian kaki unta itu sampaikan unta itu tidak dapat berjalan dan akhirnya mati kerana kehilangan darah. Bayangkan seksanya unta itu mereka lakukan.

Surah ini sebagai peringatan kepada Quraish. Kerana dikatakan surah ini diturunkan apabila mereka telah ada keputusan untuk menyerang dan membunuh Nabi Muhammad. Mereka memang telah tidak percaya kepada Nabi Muhammad, dan sekarang apa lagi yang mereka hendak lakukan? Seolah-olah Allah berkata kepada mereka: “wahai puak Quraish, kamu telah mendustakan Rasul kamu, sekarang kamu hendak membunuh baginda? Kalau begitu, kamu lebih teruk lagi dari Kaum Tsamud itu. Mereka bunuh unta itu, tapi kamu nak bunuh Rasul kamu sendiri? Lihatlah apa yang telah terjadi kepada kaum Tsamud itu kerana kesalahan mereka, kamu hendak dapat lagi teruk lagi dari itu?”. Mari kita lihat apa yang telah dikenakan kepada Kaum Tsamud.

دَمدَمَ bermaksud untuk memukul sesuatu ke tanah sampaikan ia menjadi sama paras dengan tanah itu kerana ia telah jadi leper dan jadi satu lapis dengan bumi. Maknanya, mereka telah dipukul ke tanah sampaikan mereka jadi penyet dan bersatu dengan tanah. Kita tidak pernah lihat perkara ini melainkan kalau dalam kartun sahaja. Teruk sekali apa yang Allah telah lakukan terhadap mereka. Allah gunakan kalimah رَبُّهُم dalam ayat ini sebagai peringatan yang Allah itu adalah Rabb dan Dia boleh buat apa sahaja.

Mereka dikenakan dengan azab yang teruk itu kerana dosa mereka. Tapi dalam Quran ada 10 jenis kalimah yang digunakan untuk ‘dosa’. Kalimah ذَنبِ adalah diambil dari ekor binatang. Ia digunakan untuk dosa secara umum – kecil atau besar. Ia juga adalah dosa yang memalukan kerana ekor adalah sesuatu yang memalukan kerana ia terletak di belakang. Ianya adalah dosa yang telah diketahui – sepatutnya hati mereka dah tahu yang apa yang mereka lakukan itu adalah berdosa – tak perlu fatwa untuk kata yang apa yang mereka lakukan itu adalah dosa.

سَوّاها – Perkataan ini telah digunakan sebelum ini untuk membawa maksud keseimbangan – وَنَفسٍ وَما سَوّاها (ayat 7). Maksudnya dalam ayat ini, Allah seimbangkan mereka dengan tanah dan bumi. Mereka terpenyet ke dalam bumi dah kerana Allah dah pukul mereka ke dalam tanah.

Ia juga boleh bermaksud, Allah telah seimbangkan semula bumi dengan mematikan mereka – membuang punca kejahatan dari dalam dunia, iaitu mereka.

Satu persoalan mungkin timbul. Kerana Allah gunakan kalimah ‘mereka’, sedangkan yang membunuh unta itu adalah seorang sahaja? Memang yang membunuh seorang sahaja, tapi kerana yang lain semua setuju, maka semua sekali dikenakan dengan azab itu.


 

Ayat 15:

 وَلا يَخافُ عُقباها

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And He does not fear the consequence thereof.¹

  • Allāh is not asked about what He does, but His servants will be asked. See 21:23.

(MALAY)

dan Allah tidak takut terhadap akibat tindakan-Nya itu.

 

Allah boleh nak buat apa-apa sahaja. Dia tidak takut apakah balasan kepada perbuatanNya yang memusnahkan mereka. Allah tidak hiraukan mereka langsung, kerana mereka tidak penting pun.

Mereka yang merosakkan jiwa mereka, mereka tidak takut dengan kesan kerosakan itu pada diri mereka. Mereka juga tidak takut dengan kesan dari perbuatan dosa mereka. Sebagaimana contoh Kaum Tsamud yang mendustakan Rasul mereka dan membunuh unta mukjizat itu. Memang mereka tidak takut, tapi Allah nak beritahu, bukan mereka yang patut tidak takut, tapi Allah. Mereka sepatutnya takut dengan kesan dari perbuatan mereka itu. Allah sahaja yang patut tidak takut dengan kesan dari perbuatanNya kerana Dia Rabb. Allah tidak takut dengan apa-apa kesan pun. Sebagai contoh, Allah tidak takut ada orang yang cakap: Tuhan jenis apa yang memusnahkan makhluk? Allah juga tidak takut dengan orang Kristian yang kata Jesus god of mercy kalau dibandingkan dengan Allah yang hanya memusnahkan sahaja; Allah tidak takut dengan tuduhan-tuduhan itu. Ini adalah kerana Allah tidak boleh dipersoalkan segala tindakanNya dan memang tidak ada sesiapa pun yang boleh ambil tindakan terhadap Allah.

Oleh itu, hanya Allah sahaja yang patut tidak takut, sedangkan semua selain Allah patut takut terhadap Allah atas kesalahan yang mereka lakukan. Jangan buat dosa dan rasa senang hati boleh terselamat sahaja.

عُقبى adalah dalam bentuk isim mubalaghah form (perkataan yang biasa: aaqibah) – maknanya, kesan yang paling besar mana pun Allah tak takut. Bayangkanlah kesan apa pun, Allah tidak takut dengan kesan itu. Kita sebagai makhluk, ada banyak takut – takut hilang rezeki tak makan, takut mati, takut sakit dan macam-macam lagi. Tapi Allah tidak ada masalah itu.

Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Layl


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 091: ash-Syams and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s