Tafsir Surah al-Fajr Ayat 15 – 30 (Jiwa yang tenang)

Ayat 15: Allah menceritakan kenapa manusia rosak dalam hal agama.

فَأَمَّا الإِنسانُ إِذا مَا ابتَلاهُ رَبُّهُ فَأَكرَمَهُ وَنَعَّمَهُ فَيَقولُ رَبّي أَكرَمَنِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And as for man, when his Lord tries him and [thus] is generous to him and favors him, he says, “My Lord has honored me.”¹

  • He is proud rather than grateful, attributing the favor to his own merit.

(MALAY)

Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia akan berkata: “Tuhanku telah memuliakanku”.

 

Apabila ada huruf ف dalam kalimah فَأَمَّا ini, maksudnya ada kaitan dengan ayat sebelum ini. Sebelum ini telah disebut tentang mereka yang melampau dan memberontak dalam agama. Allah hendak memberitahu dalam ayat ini, sebelum masyarakat itu jadi rosak, yang rosak dahulu adalah individu dalam masyarakat itu. Kerana masyarakat tidak terus rosak sekali harung tapi sedikit demi sedikit bermula dari individu di dalamnya. Sekarang Allah hendak menceritakan permulaan kejadian itu. Kenapakah agaknya mereka boleh jadi begitu?

Kalimah ابتَلا bermaksud pengujian dengan ujian yang paling teruk sekali. Kalimah yang sama digunakan untuk ujian yang diberikan kepada Nabi Ibrahim (2:124) kerana Nabi Ibrahim telah dikenakan dengan ujian-ujian yang amat berat. Sekarang Allah gunakan kalimah yang sama juga dalam ayat ini. Kalimah مَا dalam مَا ابتَلاهُ pula ditambah dalam ayat ini sebagai ta’jub.

Allah hendak menceritakan beberapa jenis manusia, apabila Allah menduganya dengan dugaan yang hebat, iaitu apabila Allah memuliakannya dan memberinya nikmat yg banyak, dia akan berkata: “Allah memuliakan aku”. أَكرَمَ adalah apabila seseorang itu diberikan kedudukan dalam masyarakat. Kenapakah Allah kata ini sebagai ujian yang hebat pula? Kenapa lain dari ujian yang lain (malapetaka, kemiskinan dan sebagainya)?

Sudahlah diberikan dengan أَكرَمَ – kedudukan yang tinggi, kemudian ditambah dengan نَعَّمَ yang bermaksud kesenangan yang besar pula. Kalau begini, sudah nampak macam rahmat yang banyak diberikan kepada orang itu. Tentu kehidupannya sedang amat bagus sekali. Akan tetapi Allah kata ini adalah ujian yang berat. Kita mungkin rasa kalau sakit, hilang pekerjaan dan sebagainya, barulah dikira sebagai ujian. Lalu bagaimana ini boleh dikira sebagai ujian yang berat?

Semua itu dikira sebagai ujian yang berat, kerana kalau manusia dikenakan dengan ujian yang sebegini, dia tak sangka dia sekarang sedang diduga. Dia sangka dia sedang mendapat nikmat. Dan beginilah banyak orang-orang dahulu yang diberikan nikmat dan akhirnya mereka melampau. Ini adalah kerana mereka sangka Tuhan telah memilih mereka untuk diberikan segala kemewahan dan posisi yang ada. Dan mereka sangka, Tuhan memang patut beri kepada mereka. Dan mereka sangka kerana mereka mendapat kedudukan di sisi Allah, mereka sangka Allah sudah sayang mereka dan mereka orang yang terpilih. Lihatlah bagaimana Musyrikin Mekah telah diberikan kedudukan dan kesenangan dalam hidup mereka. Oleh kerana itulah mereka rasa mereka ada kedudukan. Tambahan pula, mereka itu penjaga Kaabah, lagilah mereka rasa mereka itu orang terpilih oleh Tuhan. Dan mereka tidak sangka ini adalah ujian sebenarnya, sebab mereka tidak rasa diuji langsung. Ianya memang adalah ujian sebagaimana yang disebutkan di dalam firman-Nya:

أَيَحْسَبُونَ أَنَّما نُمِدُّهُمْ بِهِ مِنْ مالٍ وَبَنِينَ نُسارِعُ لَهُمْ فِي الْخَيْراتِ بَلْ لَا يَشْعُرُونَ

Apakah mereka mengira bahwa harta dan anak-anak yang Kami berikan kepada mereka itu (berarti bahwa) Kami bersegera memberikan kebaikan-kebaikan kepada mereka? Tidak, sebenarnya mereka tidak sadar. (Al-Mu’minun: 55-56)

Lalu apa yang mereka kata? رَبّي أَكرَمَنِ “Tuhanku telah memuliakanku”. Bukannya mereka cakap ni mereka dalam sifat bersyukur, tidak sangat. Mereka sebenarnya rasa bangga, bukan rasa bersyukur. Memang ada sebut رَبّي (Tuhanku) dalam kata-kata mereka, tapi bukan dengan rasa rendah diri.

Dan lihatlah bagaimana Allah beri kedudukan dan nikmat, tapi mereka sebut tentang ‘kedudukan’ sahaja. Mereka tidak cakap pun pasal nikmat yang mereka dapat. Inilah yang banyak terjadi dalam kaum-kaum terdahulu, mereka sangka bila mereka mendapat kuasa, mereka sangka mereka layak dan disayangi oleh Tuhan. Mereka sangka Tuhan di sebelah mereka. Firaun, Hindu, Kristian semua sangka mereka itu pilihan tuhan. Mereka sangka mereka lebih dari orang lain, dan kerana itu mereka sangka mereka layak untuk dapat kedudukan itu. Inilah penyakit yang teruk sekali. Dan penyakit ini pun sampai bila-bila akan ada sahaja.

Balaghah: hazf wa zikru – Allah gunakan kalimah أَكرَمَنِ. Allah hazafkan ya’ mutakallimin dalam ayat ini. Sepatutnya kalimah yang digunakan adalah أَكرَمَنِي. kenapa begitu? Akan diterangkan dalam ayat seterusnya kerana ada elemen hazf juga dalam ayat seterusnya nanti.


 

Ayat 16: Ini sambungan ayat sebelum ini.

وَأَمّا إِذا مَا ابتَلاهُ فَقَدَرَ عَلَيهِ رِزقَهُ فَيَقولُ رَبّي أَهانَنِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But when He tries him and restricts his provision, he says, “My Lord has humiliated me.”

(MALAY)

Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata: “Tuhanku menghinakanku”.

 

Dan apabila Allah menduganya dengan menyempitkan rezekinya, dia merepek dengan berkata bahawa Allah telah menghinanya. Apabila Allah memberinya apa yang telah ditetapkan di dalam Qadr Allah, maka dia rasa Allah tidak suka kepadanya dan telah menghinanya. Mereka kata begini kerana mereka merasakan bahawa kemuliaan hanyalah di dalam mempunyai harta benda. Kalau orang miskin, pada mereka itu adalah satu kehinaan. Itulah sebabnya mereka pandang hina orang-orang yang miskin, dan mereka tidak mahu jadi miskin. Padahal, tidak ada salahnya menjadi miskin. Mereka meletakkan kemulian dan kehinaan pada harta. Jadi apabila harta ada, jadi mulia dan apabila tidak ada, itu hina. Begitulah manusia dan sekarang pun, masyarakat kita dah rasa macam itu. termasuk anak kita pun. Mereka nak pakai pakaian yang baru dan ada jenama. Kalau ayah mereka pakai kereta buruk, mereka rasa malu dengan kawan-kawan mereka. Jangan kata orang kafir, orang Islam pun buat begitu juga. Ini adalah kerana orang kita sendiri tidak mengajar anak-anak kita bahaya hanya melihat nilai seseorang kepada harta dan status seseorang dalam masyarakat.

Apabila Allah gunakan lafaz قَدَرَ, itu bermaksud memang itu dalam perancangan Allah. Allah yang menentukan yang dia akan dapat banyak mana sepanjang hidupnya. Itu semua telah ditetapkan 50 ribu sebelum kita dilahirkan pun dalam Lauh Mahfuz. Kita hanya dapat apa yang kita telah ditetapkan akan dapat, bukan? Allah mempunyai segalanya dan tidaklah wajib bagi Dia untuk memberi kepada insan. Ikut Allah lah berapa yang Dia hendak bagi.

Tapi apabila mereka dapat kurang dari yang biasa mereka dapat, mereka kata Allah hina mereka kerana Allah benci kepada mereka, tidak suka kepada mereka. Mereka tidak tanya pun kenapa mereka dibenci tapi mereka kata mereka seolah-olah Allah telah buat onar kepada mereka.

Dan kalau insan tidak mendapat dari Allah, langkah seterusnya adalah mereka akan memberontak kepada Allah. Itulah sebabnya mereka memberontak. Sebagai contoh, mereka kata, kalau aku dapatkan harta cara halal, Allah tak beri aku, maka aku nak dapatkan harta cara haram lah pula.

Balaghah: hazf wa zikru – Allah gunakan kalimah أَهانَنِ dalam ayat ini. Allah hazafkan ya’ mutakallimin dalam ayat ini seperti dalam ayat sebelumnya. Selalunya kalimah yang digunakan adalah أَهانَنِي. Persoalannya, kenapa begitu? Inilah salah satu keindahan bahasa Arab dan bahasa Quran yang tidak akan dapat diketahui kalau tidak belajar balaghah. Kalau tahu bahasa Arab pun tidak nampak. Sebenarnya ya’ dihazafkan dalam ayat ini kerana hendak menceritakan apakah perasaan mereka. Mereka hendak kata sesuatu dan tidak mahu dengar apa hujah selain darinya. Mereka telah tetap dalam pendapat mereka dan mereka tidak terbuka lagi pendapat orang lain. Kalau ada orang lain beri pendapat apa-apa pun, mereka sudah tidak mahu dengar.

a. “Allah telah muliakan aku, cukup, aku tak mahu dengar lain.”
b. “Allah telah hinakan aku, cukup, aku tak mahu dengar hujah lain.”

Jadi kalau ada orang yang nak nasihat mereka, mereka tidak mahu dengar hujah-hujah itu. Mereka telah buat keputusan mereka.

Allah mengingatkan kita yang inilah sifat ‘insan’. Bukan orang kafir atau muslim sahaja. Kerana semuanya adalan ‘insan’, bersifat pelupa. Iaitu lupa asal mereka, lupa siapa Allah dan lupa tentang agama. Mereka lupa yang Allah itu rabb dan Allah itu berhak untuk beri berapa banyak kepada hambaNya. Syaitan yang bisikkan dalam telinga mereka yang Allah yang hinakan mereka. Dan kerana itu mereka rasa mereka sepatutnya dapatkan harta dengan haram kerana Allah tidak beri harta dari cara halal – dah mula memberontak.

Pengajaran dari dua ayat ini: janganlah kita letakkan kemuliaan dan kekayaan itu sebagai tanda Allah sayang kita, dan jangan kita letakkan kemiskinan dan kesusahan itu sebagai tanda yang Allah benci kepada kita. Kesenangan dan kesusahan kedua-duanya adalah ujian semata. Allah kadang-kadang beri kesenangan sebagai ujian dan kadang-kadang Allah beri kesusahan sebagai ujian. Sebagai seorang mukmin, kalau dapat kesenangan, maka kita bersyukur dan tetap menjalankan ketaatan kepada Allah; dan kalau dapat kesusahan, kita bersabar dan tetap menjalankan ketaatan kepada Allah.


 

Ayat 17:

كَلّا ۖ بَل لا تُكرِمونَ اليَتيمَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

No!¹ But you do not honor the orphan

  • It is not like you imagine. Rather, Allāh tries people through prosperity and hardship and rewards both gratitude and patience with honor in the Hereafter.

(MALAY)

Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya kamu tidak memuliakan anak yatim,

 

كَلّا maksudnya: janganlah kamu berfikir begitu lagi. Ketahuilah yang kemuliaan dan kehinaan bukan kena mengena dengan pangkat dan harta.

Dalam ayat ini, Allah dah mula cakap dengan Musyrikin Mekah kerana sekarang digunakan kalimah تُكرِمونَ dalam bentuk pihak kedua – maknanya Allah sedang bercakap dengan mereka (dan mereka yang bersifat seperti Musyrikin Mekah itu dari mana-mana zaman pun). Allah beritahu kerana perangai mereka yang tidak memuliakan dan  menghormati orang yatim, maka Allah hinakan mereka.

Memang mereka tidak memuliakan anak yatim. Anak yatim adalah mereka yang tidak mempunyai pembantu di dunia ini. Jadi, ini bukan hanya anak yang tiada ibu bapa tapi juga boleh termasuk ibu tunggal dan anak-anak yang ditinggalkan sebab telah masuk Islam. Kerana ada individu yang dibuang oleh keluarga mereka setelah mereka masuk Islam, dan mereka tidak ada tempat untuk ke mana-mana lagi.

Musyrikin Mekah pandang hina anak yatim, tapi malangnya kita pun tidak kenal siapakah orang yatim dalam kalangan kita. Apabila kita tidak kenal, macam mana nak tolong mereka?

Mudah untuk kita memuliakan mereka yang mempunyai kedudukan, ada harta, tapi bagaimana pula dengan mereka yang tidak berada dan lemah? Allah menempelak mereka yang tidak memuliakan mereka ini. Kadang-kadang kita sendiri pun pandai sebelah mata kepada mereka yang lemah dalam masyarakat. Sebagai contoh, kita mungkin rasa orang-orang yang buat kerja kasar tidak patut dihormati. Kita layan mereka seolah-olah mereka itu satu kasta bawah kita. Ini merebak dalam masyarakat, sebab itu kita lihat budak-budak kita kurang ajar dengan pekerja kedai, pembantu rumah mereka, tukang sapu dan sebagainya. Kita pun kadang-kadang kalau orang-orang seperti ini lalu sebelah kita, kita buat tak kenal sahaja, sedangkan mereka itu juga manusia, bukan? Subhanallah!

Dalam ayat ini, yang disentuh adalah tentang perhubungan manusia dan manusia yang lain. Allah hendak ajar kita untuk menghormati orang lain dan juga kena jaga dan tolong menolong sesama kita. Islam waktu surah ini diturunkan masih baru lagi di Mekah, maka perkara ibadah belum lagi tertegak seperti zakat, haji dan sebagainya. Tapi Islam mengajar supaya berbuat baik dengan orang, jangan zalim, tolong menolong sesama manusia dan sebagainya. Kerana ini adalah perkara yang penting. Kerana tidak faham perkara inilah, maka ramai dari kalangan kita buat ibadah seperti solat dan puasa, tapi tidak menghormati orang lain, berlaku kurang ajar dengan orang lain.

Maka hendaklah kita mencari peluang untuk memuliakan dan membantu anak yatim. Kerana ada banyak sekali kelebihan di dalamnya dan ini adalah tuntutan agama yang amat besar. Seperti telah disebut di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah ibnul Mubarak, dari Sa’id ibnu Ayyub, dari Yahya ibnu Sulaiman, dari Yazid ibnu Abu Gayyas., dari Abu Hurairah, dari Nabi Saw. yang telah bersabda:

«خَيْرُ بَيْتٍ فِي الْمُسْلِمِينَ بَيْتٌ فِيهِ يَتِيمٌ يُحْسَنُ إِلَيْهِ، وَشَرُّ بَيْتٍ فِي الْمُسْلِمِينَ بَيْتٌ فِيهِ يَتِيمٌ يُسَاءُ إِلَيْهِ- ثُمَّ قَالَ بِأُصْبُعِهِ- أَنَا وَكَافِلُ الْيَتِيمِ فِي الْجَنَّةِ هَكَذَا»

Sebaik-baik rumah dikalangan kaum muslim adalah rumah yang di dalamnya terdapat anak yatim yang diperlakukan dengan baik, dan seburuk-buruk rumah di kalangan kaum muslim adalah rumah yang di dalamnya terdapat anak yatim yang di perlakukan dengan buruk. Kemudian Nabi Saw. berisyarat dengan kedua jari tangannya, lalu bersabda: Aku dan orang yang menjamin anak yatim berada di dalam syurga seperti ini.


 

Ayat 18: Selepas memuliakan atau menghormati orang lain, baru Allah sebut tentang menolong mereka. Sebelum tolong, kenalah hormat dahulu kepada mereka.

وَلا تَحاضّونَ عَلىٰ طَعامِ المِسكينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you do not encourage one another to feed the poor.

(MALAY)

dan kamu tidak saling mengajak memberi makan orang miskin,

 

Allah menegur mereka yang tidak menggalakkan sesama mereka untuk memberi makan kepada fakir miskin. Oleh kerana itu, maka kenapa mereka patut dimuliakan? Sedangkan mereka itu ada harta dan boleh tolong mereka yang miskin, tapi mereka tak tolong pun. Bukan sahaja mereka tidak menolong orang lain, mereka juga tidak mengajak orang untuk tolong orang lain.

Kerana disebut mengajak orang lain menolong? Kerana kadang-kadang seseorang itu tidak ada benda nak beri, tapi dia ada jiwa untuk memberi, maka dia boleh ajak orang lain untuk beri. Dia boleh beri motivasi orang lain untuk menolong. Sebab itulah mulianya hati mereka yang mempromosikan berita-berita kesusahan orang lain ke dalam media dan sebagainya, supaya orang lain boleh tolong sekali. Kerana kita mungkin boleh tolong sedikit sahaja, tapi kalau kita ajak orang lain, tentulah pertolongan yang diberikan lebih banyak lagi.


 

Ayat 19: Apalagi sifat Musyrikin Mekah yang ditegur oleh Allah?

وَتَأكُلونَ التُّراثَ أَكلًا لَمًّا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you consume inheritance, devouring [it] altogether,¹

  • Not caring whether it is lawful or unlawful.

(MALAY)

dan kamu memakan harta pusaka dengan cara rakus

 

Dan mereka sentiasa makan harta pusaka secara rakus. التُّراثَ boleh bermaksud harta pusaka atau harta yang tidak berusaha kepadanya. Iaitu harta yang didapati dengan senang.

Allah tegur mereka yang sudah kaya, tapi masih lagi mahukan duit lagi dan lagi. Asal nampak peluang untuk dapat duit percuma sahaja, mereka akan terus mengejarnya.

Kalimat أَكلًا لَمًّا maksudnya memakan sambil mengaut, tahan dengan tangan supaya orang lain tidak boleh makan sekali. Maksudnya seseorang itu nak makan dengan banyak dan dalam masa yang sama, tak mahu orang lain makan sekali. Dia nak makan habis licin seorang diri dan tidak mahu kongsi dengan orang lain. Begitulah tamaknya orang itu.

Memang ayat ini disebut tentang Kafir Mekah, tapi dalam zaman sekarang ada mereka yang tidak memberikan hak harta pusaka kepada mereka yang sepatutnya. Mereka akan buat macam-macam untuk menidakkah harta pusaka kepada adik beradik dan keluarga sendiri. Sampai sanggup naik mahkamah, burukkan orang itu dan ini kerana nak bolot harta itu sendiri. Begitulah manusia ini, kalau tentang harta, orang kita sanggup berkelahi, turun naik mahkamah, sampai sanggup membuang keluarga. Mereka hanya nampak kekayaan di dunia sahaja.


 

Ayat 20: Apa lagi perangai mereka?

وَتُحِبّونَ المالَ حُبًّا جَمًّا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you love wealth with immense love.

(MALAY)

dan kamu mencintai harta benda dengan kecintaan yang berlebihan.

 

Dan kamu pula terlalu sayangkan harta. Iaitu kasih yang berlebihan. Kalau setakat suka sahaja tidak mengapa lagi tapi yang merosakkan adalah kalau cinta berlebihan sampai merosakkan diri dan agama. Iaitu sibuk mengumpul ngumpul harta dan suka melihat hartanya bertambah, dikira-kira setiap hari. Mereka sibuk mengumpul harta itu sampai tidak bersedia untuk menghadapi akhirat. Dan mereka sayangkan harta sampai mereka tidak menjalankan perintah agama. Sebagai contoh, dalam Tawbah:24 telah disebut tentang mereka yang terlaku cintakan lapan perkara sampai ianya menghalang mereka dari menjalankan jihad.

‎قُل إِن كانَ آباؤُكُم وَأَبناؤُكُم وَإِخوانُكُم وَأَزواجُكُم وَعَشيرَتُكُم وَأَموالٌ اقتَرَفتُموها وَتِجارَةٌ تَخشَونَ كَسادَها وَمَساكِنُ تَرضَونَها أَحَبَّ إِلَيكُم مِنَ اللَّهِ وَرَسولِهِ وَجِهادٍ في سَبيلِهِ فَتَرَبَّصوا حَتّىٰ يَأتِيَ اللَّهُ بِأَمرِهِ ۗ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفاسِقينَ

Katakanlah: “jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu dapati, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya”. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.

جَمًّا bermaksud ‘isi sampai penuh’, bukan nak sikit-sikit, tapi nak membondong banyaknya. Begitulah sifat manusia yang malang yang terlalu sayangkan harta dan dunia. Mereka terkejar-kejar dunia itu, padahal harta semua akan dimusnahkan nanti akhirnya.


 

Ayat 21: Sekarang baru nak masuk kepada kisah kiamat. Kalau surah-surah sebelum ini dalam Juz Amma, disebut tentang neraka dahulu, tapi terbalik di dalam surah ini.

كَلّا إِذا دُكَّتِ الأَرضُ دَكًّا دَكًّا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

No! When the earth has been leveled – pounded and crushed –

(MALAY)

Jangan (berbuat demikian). Apabila bumi digoncangkan berturut-turut,

 

كَلّا: Janganlah kamu berbuat seperti sifat-sifat yang disebut sebelum ini.

Cuba bayangkan keadaannya apabila bumi dipukul dengan kuat sehingga jadi rata serata ratanya atau jadi habuk kerana hancur segalanya. Apa saja yang ada di dunia akan hancur belaka sehingga tidak tinggal apa-apa pun. Termasuklah harta yang kamu sayang sangat tadi. Kamu sibuk simpan dan kumpul, tapi segala itu akan hancur sahaja.


 

Ayat 22:

وَجاءَ رَبُّكَ وَالمَلَكُ صَفًّا صَفًّا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And your Lord has come¹ and the angels, rank upon rank,

  • To pass judgement. See footnote to 2:19.

(MALAY)

dan datanglah Tuhanmu; sedang malaikat berbaris-baris.

 

وَجاءَ رَبُّكَ

dan datanglah Tuhanmu; 

Dan Allah akan datang. Datang ke mana?

Allah akan datang ke Mahsyar yang akan mengadili semua makhluk yang patut diadili. Ini adalah sebagai dalil yang Allah bertempat. Kerana bukankah Mahsyar itu adalah tempat? Jadi, ramai yang mengatakan Allah wujud tidak bertempat, kerana Allah tidak memerlukan tempat. Allah tidak memerlukan tempat, tapi Allah ada datang ke tempat-tempat seperti Mahsyar dan di Syurga. Maka Allah ada menempati ruang dengan cara yang layak bagiNya. Kita tidak tahu bagaimana keadaanNya waktu itu.

 

وَالمَلَكُ صَفًّا صَفًّا

dan malaikat berbaris-baris.

Dan malaikat sudah siap menunggu di Mahsyar. Malaikat itu akan berbaris-baris seperti tentera sejauh mata memandang. Para malaikat itu berbaris menunggu keputusan Tuhan.

Ada manusia yang banggakan barisan tentera mereka semasa di dunia. Tapi nanti Allah akan tunjukkan pula barisan malaikatNya nanti. Mereka telah tunjuk kuasa mereka dan telah menyalahgunakan kekuatan tentera mereka untuk menzalimi rakyat mereka, negara lain dan sebagainya, maka nanti Allah akan tunjuk kekuatan tenteraNya pula di Mahsyar.


 

Ayat 23:

وَجِيءَ يَومَئِذٍ بِجَهَنَّمَ ۚ يَومَئِذٍ يَتَذَكَّرُ الإِنسانُ وَأَنّىٰ لَهُ الذِّكرىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And brought [within view], that Day, is Hell – that Day, man will remember, but how [i.e., what good] to him will be the remembrance?

(MALAY)

Dan pada hari itu diperlihatkan neraka Jahannam; dan pada hari itu ingatlah manusia, akan tetapi tidak berguna lagi mengingat itu baginya.

 

وَجِيءَ يَومَئِذٍ بِجَهَنَّمَ

Dan pada hari itu diperlihatkan neraka Jahannam; 

Dan ditunjukkan kepada mereka neraka jahanam. Neraka akan ditarik dan di pertunjukkan kepada mereka di Mahsyar. Neraka yang amat berat itu akan ditarik dengan beribu-ribu malaikat dan ditarik dengan menggunakan rantai.

Imam Muslim ibnul Hajjaj telah mengatakan di dalam kitab sahihnya, bahawa:

حَدَّثَنَا عُمَرُ بْنُ حَفْصِ بْنِ غِيَاثٍ، حَدَّثَنَا أَبِي، عَنِ الْعَلَاءِ بْنِ خَالِدٍ الْكَاهِلِيِّ، عَنْ شَقِيقٍ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ -هُوَ ابْنُ مَسْعُودٍ-قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “يُؤْتَى بِجَهَنَّمَ يَوْمَئِذٍ لَهَا سَبْعُونَ أَلْفَ زِمَامٍ، مَعَ كُلِّ زِمَامٍ سَبْعُونَ أَلْفَ مَلَك يَجُرُّونَهَا”.

telah menceritakan kepada kami Amr ibnu Hafs ibnu Gayyas., telah menceritakan kepada kami ayahku, dari Abul Ala ibnu Khalid Al-Kahili, dari Syaqiq, dari Abdullah Ibnu Mas’ud yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Neraka Jahanam pada hari itu didatangkan dengan tujuh puluh ribu kendali yang masing-masing kendali dipegang oleh tujuh puluh ribu malaikat yang menariknya.

 

يَومَئِذٍ يَتَذَكَّرُ الإِنسانُ

dan pada hari itu ingatlah manusia, 

Dan pada hari itu mereka akan ingat segala apa yang telah mereka lakukan semasa mereka di dunia. Selama ini apa yang mereka diingatkan mereka tak mahu terima tapi nanti apabila di Mahsyar nanti, mereka akan ingat semuanya. Kalimah يَتَذَكَّرُ adalah dalam bentuk wazan yang penuh, maksudnya manusia akan ingat seluruhnya, dengan terperinci. Ini semua akan terjadi selepas mereka dah nampak neraka. Waktu itu baru nak insaf.

 

وَأَنّىٰ لَهُ الذِّكرىٰ

akan tetapi tidak berguna lagi mengingat itu baginya.

Tapi sekarang tidak berguna lagi peringatan itu. Sudah terlambat sangat nak buat apa-apa lagi. Kalau hanya beriman waktu itu, tidak dapat menyelamatkan mereka.


 

Ayat 24: Apabila mereka sudah teringat, apa yang mereka akan cakap?

يَقولُ يا لَيتَني قَدَّمتُ لِحَياتي

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He will say, “Oh, I wish I had sent ahead [some good] for my life.”¹

  • The everlasting life of the Hereafter.

(MALAY)

Dia mengatakan: “Alangkah baiknya kiranya aku dahulu mengerjakan (amal saleh) untuk hidupku ini”.

 

يَقولُ يا لَيتَني

Dia mengatakan: “Celakalah aku

Orang itu pasti akan berkata: malangnya aku, apa yang aku dah buat ni? aku dah rosakkan diriku.

Dia akan berkata begitu kerana dia akan menyesal sesangatnya. Kerana dia sudah tahu yang dia akan mengalami masalah yang berat nanti. Dia tahu yang dia sudah celaka nasibnya. Tidak ada harapan untuk balik ke dunia untuk memperbaiki amalannya.

 

قَدَّمتُ لِحَياتي

Alangkah baiknya kiranya aku dahulu mengerjakan (amal saleh) untuk hidupku ini”

Dia juga alangkah baiknya kalau قَدَّمتُ (aku menyimpan dengan menghantar amal) untuk hidupku yang sebenarnya di akhirat. Ini adalah kerana hidup yang kekal adalah di akhirat nanti, bukannya di dunia ini. Mereka amat menyesal kerana dulu mereka sibuk kumpul untuk dunia tapi sekarang mereka dah tahu yang kehidupan dunia tidak ada apa pun, tidak ada nilai langsung. Begitulah sepatutnya kita menabung untuk kehidupan yang sebenarnya, iaitu di akhirat kelak. Malangnya manusia sibuk mengumpul untuk dunia mereka sahaja.

Kalimah قَدَّمتُ bermaksud ‘menghantar ke hadapan’ kerana ianya seperti menghantar amal kita supaya menunggu kita di akhirat kelak. Mereka menyesal tapi tiada gunanya.


 

Ayat 25: Takhwif Ukhrawi

فَيَومَئِذٍ لا يُعَذِّبُ عَذابَهُ أَحَدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So on that Day, none will punish [as severely] as His punishment,

(MALAY)

Maka pada hari itu tiada seorangpun yang menyiksa seperti siksa-Nya.

 

Mereka akan tetap dikenakan dengan azab. Dan azab itu amat pedih sekali. Pada hari itu, tiada yang mengazab seperti azabNya. Tidak terbayang oleh manusia akan azab yang akan dikenakan oleh Allah kepada mereka yang ingkar kepadaNya. Manusia ada seksa orang lain juga, tapi tidak akan sama dengan apa yang Allah akan lakukan. Seksaan yang Allah berikan itu tidak ada bandingan dengan seksaan yang pernah mana-mana manusia lakukan.


 

Ayat 26: Dan mereka tidak akan dapat lari ke mana-mana lagi.

وَلا يوثِقُ وَثاقَهُ أَحَدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And none will bind [as severely] as His binding [of the evildoers].

(MALAY)

dan tiada seorangpun yang mengikat seperti ikatan-Nya.

 

Allah akan kepung dan tangkap mereka tidak boleh ke mana-mana lagi. Kalau di dunia seseorang manusia itu kena penjara atau kena seksa, masih ada lagi yang boleh lari menyelamatkan diri. Tapi ini tidak akan berlaku di akhirat kelak. Maka tiada sesiapapun yang dapat mengikat seperti ikatanNya. وثِقُ bermaksud mengikat dengan ketat. Ikatan Allah itu tidak ada bandingan dengan ikatan mana-mana manusia pun.


 

Ayat 27: Ada iltifad dalam ayat ini. Kalau sebelum ini telah disebut tentang orang berdosa. Sekarang akan disebut tentang mereka yang baik, yang taat kepada Allah. Ini adalah Tabshir Ukhrawi.

يا أَيَّتُهَا النَّفسُ المُطمَئِنَّةُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[To the righteous it will be said], “O reassured soul,

(MALAY)

Hai jiwa yang tenang.

 

Dalam ayat-ayat sebelum ini, Allah bercakap tentang mereka yang berdosa dalam pihak yang ketiga, kerana Allah murka kepada mereka, dan mereka seperti tidak ada harapan lagi untuk berubah. Tapi dalam ayat ini, Allah bercakap terus kepada ahli syurga.

Allah panggil ahli-ahli syurga ini dengan gelaran ‘jiwa yang tenang’. Kerana mereka akan masuk ke syurga yang penuh ketenangan. Sudah tidak ada apa lagi yang mereka perlu risaukan. Mereka tidak ada kerja yang perlu dibuat lagi, ahli keluarga yang perlu dijaga, tidak ada kerisauan atas mereka walau apa pun. Kerana di syurga nanti mereka akan hanya perlu menikmati segala kelazatan nikmat sahaja.

Ketahuilah bahawa ayat ini tentang kalimah Allah yang hanya berlaku di akhirat kelak untuk memasukkan orang beriman ke dalam syurga. Di dunia memang tidak akan dapat ketenangan ini kerana akan ada sahaja perkara yang menyebabkan kita resah gelisah. Nikmat tenang yang sepenuhnya hanya di syurga sahaja. Kerana ada sahaja benda dalam fikiran kita yang mengganggu ketenangan kita. Kalau sedang buat kerja, teringat kerja yang tak buat lagi, teringat perkara lain dan sebagainya. Kalau sedang rehat pun, teringat kerja yang tak siap lagi, teringat tentang ahli keluarga, teringat tentang masalah-masalah lain.

Ayat ini ada kaitan dengan sumpah dalam empat ayat yang pertama, iaitu mereka yang menjaga keempat-empat perkara itu:

  • Fajr: merujuk kepada solat subuh. Iaitu mereka yang menjaga solat subuh kerana ramai yang gagal, bukan?
  • 10 hari: merujuk kepada 10 Dzulhijjah yang awal dan 10 Ramadhan yang akhir. Iaitu mereka yang mengambil peluang untuk beribadat pada hari-hari ini.
  • Genap dan ganjil: merujuk kepada solat yang ganjil rakaatnya dan yang genap rakaatnya.
  • Malam yang berlalu: merujuk kepada waktu akhir dari malam iaitu waktu sahur – untuk mengerjakan Qiyamullail dan waktu suhur itu juga adalah waktu untuk bersedia kalau berpuasa sunat.

Jadi semua ini adalah perkara-perkara utama dalam ibadah. Dan mereka yang dapat melakukan semuanya adalah mereka yang termasuk dalam mereka akan dapat kedudukan yang mulia di akhirat kelak – mereka akan mendapat ketenangan hati dan dimasukkan ke dalam syurga. Semoga kita tergolong ke dalam golongan itu.

Surah ini bermula dengan menceritakan tentang mereka yang berbuat jahat dan sekarang bertukar menceritakan tentang mereka yang tenang dan dapat masuk syurga.


 

Ayat 28: Apakah yang akan menyebabkan hati mereka puas dan tenang?

ارجِعي إِلىٰ رَبِّكِ راضِيَةً مَرضِيَّةً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Return to your Lord, well-pleased and pleasing [to Him],

(MALAY)

Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhai-Nya.

 

Hati mereka menjadi tenang kerana mereka kembali kepada Tuhan dengan keadaan mereka redha (berpuas hati) dengan Allah dan Allah meredhai mereka. Iaitu kembali ke sisi-Nya, ke pahala-Nya, dan kepada apa yang telah disediakan oleh-Nya bagi hamba-hamba-Nya di dalam syurga-Nya.

Semasa di dunia, mereka sudah kembali kepada Allah. Iaitu dalam kehidupan mereka, mereka rujuk kepada kehendak Allah. Dan kerana itu mereka jaga agama, jaga iman, jaga ibadah. Tentunya ada banyak dugaan kalau kita hendak menjaga agama kita – tidak boleh buat perkara haram, kena jaga nafsu, kena makan dari harta yang halal, ada dugaan yang berbagai-bagai – dari keluarga, kawan, musuh, masyarakat; tapi mereka jaga kerana kembali rujuk kepada Allah dalam setiap hal dan kerana itu, mereka kembali kepada Allah di akhirat kelak dalam Allah redha kepada mereka.

Di dunia lagi mereka sudah redha dengan Allah dan dengan agama Islam. Dan kerana itu, mereka menjalani kehidupan mereka untuk mencari keredhaan Allah. Mereka tidak mencari redha manusia, tapi mencari redha Allah sahaja. Kalau kita dapat capai tahap mencari keredhaan Allah sahaja, itu adalah kemanisan iman yang amat tinggi. Mereka tidak perlu susah payah memuaskan hati manusia kerana hati manusia tidak akan puas dengan apa yang kita lakukan. Jadi hidup mereka nak memenuhi kehendak Allah sahaja. Sudah terdapat banyak kisah manusia yang dulunya berdosa, menentang agama, hanya ikut hawa nafsu sahaja, mabuk sana dan sini tapi apabila mereka jumpa agama, jumpa cara hidup yang islamik, mereka kata mereka telah jumpa satu perasaan yang mereka tidak pernah rasa. Mereka rasa puas dengan agama Islam dan mereka tenang selesa dengan Islam kerana Allah telah buka hati mereka. Dan ketenangan yang paling tinggi  dan sempurna adalah apabila kita akhirnya dapat bertemu dengan Allah.

راضِيَةً maksudnya mereka berpuas hati dengan apa yang Allah telah lakukan kepada mereka. Bandingkan dengan orang-orang berdosa sebelum ini yang tidak puas hati dengan Allah – mereka kata Allah telah menghina mereka kerana telah mengurangkan rezeki mereka. Dan kerana tidak puas hati, mereka memberontak menentang agama. Begitulah hati mereka yang tidak redha dengan Allah, tapi mereka yang redha dengan Allah, terima sahaja apa yang Allah kenakan kepada mereka. Mereka sedar yang mereka itu hamba dan Allah itu Tuhan, maka mereka redha kerana hamba tidak boleh mempersoalkan apa yang dilakukan oleh Tuhannya.

مَرضِيَّةً maksudnya Allah redha dengan kita. Ini adalah pemberian yang amat besar sekali. Kerana kalau emak ayah kita redha kita menjadi anak mereka, puas hati dengan kita, pun kita sudah bangga dan senang hati, apatah lagi kalau Allah yang redha dan puas hati dengan pencapaian kita. Ini pun sudah nikmat yang besar, tapi ada lagi pemberian lain.


 

Ayat 29: Nikmat seterusnya

فَادخُلي في عِبادي

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And enter among My [righteous] servants

(MALAY)

Maka masuklah ke dalam jama’ah hamba-hamba-Ku,

 

Mereka masuk kepada golongan yang soleh yang selalu didengar dan baca tentang mereka. Selalu kita dengar kisah tentang Abu Bakr, tentang Umar dan Imam-imam yang telah menjalankan kerja dalam agama sampaikan agama ini berkembang biak sampai tiba kepada kita. Tentu kita teringin nak jumpa Nabi Muhammad, Nabi Ibrahim, Abu Bakr, Umar dan sebagainya. Dalam fikiran kita, bagaimana keadaan mereka itu, alangkah menariknya kalau dapat bertemu dengan mereka.

Balaghah: hazf wa zikru – Dalam ayat ini, Allah menggunakan kalimah عِبادي (hambaKu) sedangkan ada dalam beberapa tempat yang lain (Zumar: 10,16,17 & Zukhruf:68), digunakan kalimah عِباد yang juga bermaksud ‘hambaKu’. Apakah perbezaan antara عِبادي dan عِباد?

Apabila ada hazf pada ya mutakallim seperti yang digunakan dalam kalimah , ia membawa maksud dawam (دوام) yang bermaksud ‘tetap’ dan istimrar (terus menerus). Iaitu apabila hamba itu sudah istiqamah dalam ibadahnya.

Tapi apabila zikru ya mutakalim, ia memberi isyarat tahawul (berhenti). Kenapa pula kalimah balaghah yang bermaksud tahawul pula yang digunakan dalam ayat ini? Ini adalah kerana apabila seseorang itu telah masuk ke dalam syurga, tidak ada lagi ibadah yang perlu dilakukan. Kerana syurga adalah tempat untuk menikmati dan memuaskan nafsu sahaja. Jadi, tidak perlu lagi istiqamah dalam ibadah apabila sudah masuk ke dalam syurga kerana memang tidak ada ibadah lagi di syurga.

Ini juga mengajar kita bagaimana di dunia kita kena hambakan diri dan melakukan ibadah kepada Allah, selagi kita hidup. Ibadahlah dengan berterusan selagi hidup. Tapi bila dah mati, barulah ibadah terputus. Dalil yang kita kena mengerjakan amal ibadat selagi kita hidup adalah dalam Maryam:31 dimana Nabi Isa bersabda: وَأَوصاني بِالصَّلاةِ وَالزَّكاةِ ما دُمتُ حَيًّا (dan Dia memerintahkan kepadaku (mendirikan) solat dan (menunaikan) zakat selama aku hidup).

Maknanya taklif (tanggungjawab) yang Allah kenakan kepada kita tidaklah lama. Iaitu sementara hidup sahaja, bukan selama-lamanya. Begitulah Allah maha pengasih dan maha penyayang. Ingatlah bahawa dunia ini adalah darul taklif dan darul ibadah. Akhirat pula adalah darul jaza’ (negeri pembalasan). Jadi jangan berharap sangat untuk dapat balasan semasa di dunia. Kerana Allah mungkin balas di dunia atau tidak, tapi pasti balasan yang sepenuhnya akan diberikan di akhirat kelak, maka kena tunggu di akhirat.


 

Ayat 30: Dan mereka akan dimasuk ke dalam syurga.

وَادخُلي جَنَّتي

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And enter My Paradise.”

(MALAY)

masuklah ke dalam syurga-Ku.

 

Allah menjemput mereka untuk masuk ke dalam syurgaNya. Lihatlah, Allah tak kata: “masuklah ke dalam syurga”, tapi Allah cakap: “masuklah ke dalam syurgaKu”. Memang tidak sama. Ini bermakna Allah berkata sendiri dengan ahli ahli syurga itu dan menjemput sendiri ahli syurga itu untuk masuk ke dalam syurga. Dan ini memberi peringatan kepada kita, yang syurga ini Allah buat khas untuk ahli syurga itu. Maknanya, Allah yang sediakan apa yang ada di dalamnya, segala perhiasannya, segala nikmatnya dan tentulah itu hebat sekali kerana bukan makhluk lain yang buat, tapi Allah lah arkiteknya.

Alangkah mulianya dijemput begitu. Allah sebut dan kisahkan dalam ayat ini supaya kita terbayang-bayang dan mendapat motivasi untuk memperbaiki diri kita dan memperbanyakkan amalan kebaikan kita supaya kita pun mendapat kelebihan ini juga. Semoga kita termasuk golongan mereka yang dapat segala nikmat itu, ameen.

Allahu a’lam. Sambung ke surah seterusnya, Surah al-Balad


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 089: al-Fajr. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s