Tafsir Surah al-A’la (Tak mati dan tak hidup)

Pengenalan:

Ini adalah salah satu dari surah kegemaran Nabi. Ini adalah antara surah-surah yang dimulai dengan tasbih kepada Allah. Dan ada beberapa surah sebegini dalam Quran. Surah-surah itu dinamakan Surah Musabbihat. Nabi suka baca surah ini dalam solat Jumaat dan Eid.

Di dalam ayat bahagian akhir Surah at-Tariq, Nabi disuruh beri peluang kepada orang kafir. Memang Nabi risau tentang apa yang mereka lakukan dan apa yang mereka rancangkan, tapi Allah suruh Nabi beri peluang juga kepada mereka. Jadi, kalau baginda tidak boleh mendoakan kehancuran mereka, apa yang Allah suruh Nabi buat sebaliknya? Dalam surah ini diberitahu apakah yang Nabi kena sibukkan diri baginda: bertasbih kepada Allah.


 

Ayat 1: 

سَبِّحِ اسمَ رَبِّكَ الأَعلَى

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-A‘lā: The Most High.

Exalt the name of your Lord, the Most High,

(MALAY)

Sucikanlah nama Tuhanmu Yang Maha Tingi,

 

Allah memberitahu kita semua hendaklah sentiasa bertasbih menyucikan nama Tuhan yang Maha Tinggi. Ayat ini adalah arahan kepada Nabi dan umat Islam untuk mensucikan nama Allah. Atau juga bermaksud meninggikan Allah sebagaimana yang sepatutnya.

Apabila ayat ini diwahyukan, maka Nabi mengarahkan untuk memasukkan kalimah tasbih di dalam sujud. Maka sahabat baca dan sebut macam dalam bacaan sujud yang kita baca sekarang.

إِيَاسُ بْنُ عَامِرٍ، سَمِعْتُ عُقْبَةَ بْنَ عَامِرٍ الْجُهَنِيَّ لَمَّا نَزَلَتْ: {فَسَبِّحْ بِاسْمِ رَبِّكَ الْعَظِيمِ} [الْوَاقِعَةِ:74، 96] قَالَ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “اجْعَلُوهَا فِي رُكُوعِكُمْ”. فَلَمَّا نَزَلَتْ: {سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأعْلَى} قَالَ: “اجْعَلُوهَا فِي سُجُودِكُمْ”

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Abdur Rahman, telah menceritakan kepada kami Musa ibnu Ayyub Al-Gafiqi, telah menceritakan kepada kami pamanku Iyas ibnu Amir; ia pernah mendengar Uqbah ibnu Amir Al-Juhani mengatakan bahawa ketika ayat ini diturunkan, yaitu firman-Nya:  Maka bertasbihlah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang Mahabesar. (Al-Haqqah: 52; Al-Waqiah 74, 96) Maka Rasulullah Saw. bersabda kepada kami: Jadikanlah bacaan ayat ini dalam rukuk kalian! Dan ketika turun firman-Nya: Sucikanlah nama Tuhanmu Yang Mahatinggi. (Al-A’la:1) Maka beliau Saw. bersabda kepada kami: Jadikanlah bacaan ayat ini dalam sujud kalian!

Allah memulakan surah ini dengan menyebut tentang namaNya kerana ada kalimah اسمَ. Padahal dalam surah sebelumnya, Allah banyak tak mentioned namaNya sebab murka dgn kaum kafir. Dalam surah Tariq, Allah banyak gunakan diriNya dalam kata ganti kedua atau ketiga. hanya sebut ‘dia’ sahaja – hu. Allah omitted His nama. tapi dalam ayat ini, Allah suruh tasbih namaNya.

sabbih dari sibah yang bermaksud berenang. berenang jenis yang tidak masuk dalam air, kepala atas air – floating. kerana apabila float, dia tidak tenggelam. isyarat yang Allah tidak ada sebarang kecacatan langsung. Allah sempurna. inilah konsep dalam tasbih. declare the perfection of Allah.

Kita mesti meletakkan Allah di tempat yang tinggi. Iaitu kedudukan yang sesuai denganNya. Allah tidak mempunyai sebarang kekurangan dan kita tidak boleh mengatakan sesuatu yang boleh menjatuhkan martabat itu. Sekarang banyak kejadian manusia mempersendakan Tuhan. Banyak dalam filem dan media sosial yang bercakap tentang Tuhan seolah-olah Tuhan tidak ada, tidak ada kuasa, dan sebagainya.

Dalam ayat ini, penggunaan huruf ‘ba’ tiada seperti dalam surah-surah yang lain (contoh: Nasr:3 فَسَبِّح بِحَمدِ رَبِّكَ). Apabila ada huruf ba’ dalam ayat-ayat itu, kita kena menyebut nama Allah semasa mensucikan Allah. Kita boleh gunakan mana-mana nama Allah yang telah diajar. Tapi kerana tidak ada huruf ba’ dalam ayat ini, jadi kita bukan disuruh untuk berzikir dengan menyebut salah dari asmaNya seperti suruhan dalam ayat-ayat yang lain. Yang kita kena lakukan adalah menerima dalam hati, bukan dengan sebut pada lisan sahaja. Iaitu kita kena berfikir tentang Allah dengan cara yang meninggikanNya. Ini kerana dalam zaman sekarang, ada penghinaan kepada Allah seperti rancangan TV yang menggunakan lawak tentang Allah, tentang God dan sebagainya. Senang sahaja manusia melakukan perkara itu. Mereka gunakan kartun, filem dan macam-macam lagi. Ketahuilah yang semua itu derhaka dan kurang ajar terhadap Allah. Ini memang banyak terjadi kerana mereka macam tidak suka kepada Tuhan. Malah mereka mempersoalkan kewujudan Tuhan. Kerana mereka buat filem seolah-olah mereka boleh lawan taqdir Tuhan, macam filem yang manusia tahan meteor yang turun ke bumi. Ini memberi isyarat seolah-olah zaman sekarang kita boleh kawal taqdir yang dikenakan kepada kita.

Dalam ayat ini, perkataan ‘rabb’ digunakan. Allah tak gunakan namaNya seperti Allah, ar-Rahman dan lain-lain. Rabb ada adalah satu nama yang merangkumi semua nama-nama itu. Allahlah yang menjadikan kita dan menjaga kita. Dia adalah tuan dan kita adalah hambaNya. Mestilah kita ingat bahawa kita adalah hambaNya dan kita tidak terlepas dari penguasaanNya. Selepas Allah cipta kita, perhubungan kita tidak putus dengan Dia. Ini tidak sama dengan pembuat meja sebagai contoh. Kerana selepas dia buat meja itu, sudah tidak ada hubungan dengan meja itu lagi kerana mungkin telah diberi orang dan dia pun tidak tahu ke mana meja pergi. Tapi selepas Allah jadikan kita, kita selalu dibawah naunganNya.

Apabila kita terima Allah sebagai rabb, maka kangan kita persoal apakah yang Rabb lakukan terhadap kita. Oleh itu kita kena rendahkan diri kita apabila mana-mana nama Allah disebut. Kita kena terima sahaja apa yang Allah lakukan terhadap kita. Dan inilah yang tidak dapat diterima oleh mereka yang atheist iaitu mereka yang tidak percaya kepada kewujudan Tuhan.

Kalimah الأَعلَى. Allah tambah dengan maklumat yang Dia adalah Maha Tinggi. Surah sebelum ini tentang ketinggian bintang Tariq. Tapi Allah lebih tinggi lagi daripada bintang Tariq yang diceritakan sebelum ini.

Begitu juga, dalam surah sebelum ini, disebut tentang rancangan puak kafir hendak menjatuhkan usaha Nabi Muhammad. Allah terus sebut yang Dia lebih tinggi dalam surah yang memberi isyarat bahawa Allah lebih tinggi lagi daripada rancangan puak kafir terhadap apa yang mereka ingin lakukan kepada Nabi. Mereka hanya boleh merancang sahaja, tapi mereka tidak boleh nak jalankan rancangan mereka itu kerana kalau Allah tidak benarkan, ia tidak ada terjadi. Allah lebih tinggi lagi dari usaha makhluk. Usaha makhluk langsung tidak memberi bekas kalau Allah tidak izinkan.

Oleh itu, ayat ini berkenaan dengan suruhan ‘Tanzih’. Iaitu bersihkan fikiran kita tentang Allah. Ini berbeza dengan tasbih kerana ‘tasbih’ itu adalah dengan lisan. Apakah maksud tanzih itu. Sebagai contoh, ada sifat-sifat Allah yang nampak macam sama dengan sifat kita. Ianya nampak lebih kurang sama kerana digunakan kalimah yang sama. Sebagai contoh, Allah melihat dan kita juga melihat, bukan? Tapi kita kena tahu yang penglihatan Allah tidak sama dengan penglihatan kita. Penglihatan kita adalah terhad sahaja tetap penglihatan Allah tidak terhad. Kebolehan kita melihat kita hanya atho’i (diberi) sahaja dan bukan dzaati (dari asal).

Oleh itu, semasa sebut nama Allah, kenalah dengan perasaan yang betul, jangan sebut biasa sahaja, tapi dengan rasa takut dan rasa ta’jub kepada Allah.


 

Ayat 2: Allah menyebut lagi SifatNya:

الَّذي خَلَقَ فَسَوّىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who created and proportioned

(MALAY)

yang menciptakan, dan menyempurnakan (penciptaan-Nya),

 

Yang telah menjadikan dan menyempurnakan. Segala yang ada dalam alam ini dijadikan oleh Allah. Kerana itu kita kata Allah itu adalah Khaaliq. Dan kemudian selepas dijadikan, Allah sempurnakan, seimbangkan, letakkan semua pada tempatnya. Kalau kita yang jadikan alam ini, tentu tidak akan jadi begitu. Sampaikan keindahan dan kompleksnya alam ini, sampai saintis tidak habis kaji lagi. Begitu hebat sekali ciptaan Allah ini.

Allah pertamanya menceritakan tentang DiriNya kemudian menceritakan bahawa Dia yang menjadikan segala sesuatu. Tidak ada yang lain yang dapat menjadikan melainkan Dia. Hanya sebut خَلَقَ tanpa sebut apa yang dijadikan. Ini adalah kerana semua yang ada, Allah yang jadikan, jadi tidak boleh nak sebut semua yang Allah jadi; jadi bahasa yang digunakan, kita sudah tahu yang Allah telah jadikan semuanya.

Dalam ayat sebelum ini telah diberitahu yang Allah itu rabb dan sekarang salah satu sifat rabb itu adalah mencipta. Ramai yang terima Allah sebagai pencipta, tapi ada yang tidak menerima yang kita kena taat kepada Allah. Ini adalah fahaman yang salah kerana Allah itu rabb. Rabb itu tuan kepada hamba, dan kita kena taat kepada Allah, Rabb kita semuanya.


 

Ayat 3: Sifat Allah lagi:

وَالَّذي قَدَّرَ فَهَدىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And who destined and [then] guided

(MALAY)

dan yang menentukan kadar (masing-masing) dan memberi petunjuk,

 

Yang telah mengatur segalanya dan memberi petunjuk. Maksudnya, Allah adalah arkitek kepada segalanya. Dialah yang merancang segala sesuatu dengan tepat. Perancangan Allah itu bukan secara agak-agak sahaja. Begitu jugalah macam arkitek, dia tidak boleh agak-agak kalau nak bina sesuatu, kena lihat segala sesuatu dengan teliti. Dan Allah lebih hebat lagi kerana semua qadr, iaitu segala sesuatu yang akan berlaku, telah dirancang 50 ribu tahun sesuatu itu terjadi. Semuanya telah diqadrkan dengan sempurna oleh Allah. Macam mana kejadiannya, apakah akan terjadi selepas itu, apakah kesannya dan sebagainya. Sebagaimana pula yang disebutkan di dalam kitab Sahih Muslim dari Abdullah ibnu Amr, bahwa Rasulullah Saw. pernah bersabda:

“إِنَّ اللَّهَ قَدَّر مَقَادِيرَ الْخَلَائِقِ قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ بِخَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ، وَكَانَ عَرْشُهُ عَلَى الْمَاءِ”

Sesungguhnya Allah telah menentukan kadar-kadar bagi semua makhluk-Nya sebelum Dia menciptakan langit dan bumi dalam jangka waktu lima puluh ribu tahun, dan adalah ‘Arasy-Nya masih berada di atas air.

Dan bukan sahaja Allah rancang sahaja, Allah juga memberi petunjuk kepada makhluk itu. Inilah perlaksanaan kepada yang telah dirancang. Iaitu Allah beri arahan tentanga apa nak buat. Allah juga sahaja rancangkan, tapi Allah jalankan juga. Kerana kalau kita rancang, tidak semestinya kita dapat jalankan rancangan kita, bukan? Tapi Allah rancang dan Allah laksanakan sekali.

Hidayah apakah yang dimaksudkan? Sebenarnya ada dua jenis hidayah: Pertama, hidayah kauniah dimana segala kejadian telah diberikan petunjuk oleh Allah bagaimana mereka berfungsi dan yang kedua, hidayah shar’iyyah dimana makhluk diberi petunjuk untuk mengikut pedoman shariat. Hidayah kauniah itu semua makhluk dapat seperti langit, lembu, serangga dan segalanya. Ini adalah perlaksanaan semua perkara sebagai contoh, macam anak baru lahir, macam mana dia boleh tahu nak menyusu sedangkan tak sempat belajar lagi? Allah lah yang beritahu dan ajar. Ini adalah hidayah kauniah. Semua dalam perancangan Allah, Allah sediakan segalanya. Maka, hidayah yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Hidayah Kauniah ini.


 

Ayat 4: Sifat Allah lagi:

وَالَّذي أَخرَجَ المَرعىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And who brings out the pasture

(MALAY)

dan yang menumbuhkan rumput-rumputan,

 

المَرعىٰ adalah dzarf makan (tempat dan masa). Kalimah المَرعىٰ datang dari رعي yang bermaksud tumbuh-tumbuhan seperti rumput. المَرعىٰ adalah tempat untuk binatang mengambil makanan. Allah hendak memberitahu yang Dia juga yang mengeluarkan tumbuh-tumbuhan yang menjadi makanan ternakan. Kita tidak makan rumput itu, tapi ternakan kita memakan rumput itu dan kita pula makan ternakan itu. Ini adalah isyarat bahawa Allahlah yang memberi makan kepada semua sekali. Allah suruh kita lihat makanan bintang ternakan itu dan beritahu kita, “Akulah yang menjadikan makanan binatang itu”.

Lihat dalam surah sebelum ini, telah disebut bagaimana Allah ‘keluarkan’ air mani. sekarang Allah kata Dia keluarkan tanaman pula. Jadi, dua-dua surah ada elemen ‘mengeluarkan’.

Maka beginilah Allah mengatur kehidupan. Allah tidaklah menjadikan sesuatu tapi lepas itu meninggalkan manusia atau hidupan lain tanpa makanan untuk menlangsungkan hidup mereka. Allah beri makanan yang sesuai – ada untuk manusia, ada untuk binatang. Dan kita pun tahu yang binatang ada banyak jenis. Sudah beribu-ribu tahun dah Allah beri mereka dan kita makan dan Allah terus memberikan makanan kepada makhlukNya. Semua jenis ada makanan masing-masing. Itu semua dalam perancangan dan pengurusan Allah taala. Bayangkan kalau kita yang nak kena beri makanan binatang-binatang itu, tentulah sudah lama mereka mati.


 

Ayat 5: Selepas dikeluarkan tanaman itu, apa yang Allah buat kepada tanaman itu?

فَجَعَلَهُ غُثاءً أَحوىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [then] makes it black stubble.

(MALAY)

lalu dijadikan-Nya rumput-rumput itu kering kehitam-hitaman.

 

Dan kemudian Dia menjadikannya tumbuh-tumbuhan itu kering kehitaman. Ini isyarat kepada perjalanan hidup dari segar menjadi layu. Sebagaimana tanaman mengalami nasib yang sama, kita pun begitu juga.

Kalimah غُثاءً juga digunakan untuk ‘muntah’ dan juga untuk keadaan apabila tumbuhan terlalu banyak dan menumpuk atas satu sama lain.

Dan kalimah أَحوىٰ adalah apabila warna menjadi merah kehitaman. Ini adalah keadaan apabila tumbuhan telah lama dan masak sepenuhnya. Atau keadaan apabila tanaman sudah menjadi kehitaman dan hampir nak rosak.

Jumhur mufassir mengatakan ayat ini hendak menceritakan keadaan tanaman yang hidup subur dan kemudian menjadi kehitaman kerana sudah tua. Begitu perjalanan hidup tanaman. Memberi isyarat kepada terhadnya hidup di dunia ini yang tidak kekal.

Akan tetapi ada juga yang kata ayat ini tentang percambahan tumbuhan itu yang menjadi baik, jadi subur. Ini adalah sebagai persediaan kepada janji Allah nak beritahu yang Nabi tidak perlu risau yang dia akan lupa ayat-ayat Quran dalam ayat seterusnya.


 

Ayat 6: Sekarang iltifad kepada Nabi Muhammad pula.

سَنُقرِئُكَ فَلا تَنسىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We will make you recite, [O Muḥammad], and you will not forget,

(MALAY)

Kami akan membacakan (Al Quran) kepadamu (Muhammad) maka kamu tidak akan lupa,

 

Allah berfirman yang Dia akan menjadikan Nabi Muhammad boleh membaca Quran itu dan baginda tidak akan lupa ayat-ayatnya. Ini merujuk kepada keadaan apabila Nabi mula menerima wahyu, dan ketika itu baginda kata yang baginda tidak boleh membaca. Maka, Allah kata Dia akan jadikan Nabi boleh membaca.

Dan keduanya, Allah janji yang baginda tidak akan lupa ayat-ayat yang telah diberikan kepada baginda itu. Ini merujuk kepada keadaan apabila Nabi menerima wahyu, baginda risau yang baginda akan lupa ayat-ayat yang telah disampaikan. Sampaikan ada disebut dalam ayat-ayat yang lain, baginda mula membaca dan cuba mengingat ayat-ayat itu walaupun Jibrail belum sempat membacakan untuk baginda. Ini disebut dalam Qiyamah:16

لا تُحَرِّك بِهِ لِسانَكَ لِتَعجَلَ بِهِ
Janganlah kamu gerakkan lidahmu untuk (membaca) Al Quran karena hendak cepat-cepat (menguasai)nya.

Baginda memandang berat wahyu yang disampaikan kepada baginda, kerana baginda sedar yang ianya adalah peringatan kepada seluruh manusia dan baginda takut terlupa. Tambahan pula Nabi tidak boleh membaca waktu itu maka baginda cuba untuk menghafalnya. Oleh itu, dalam ayat ini Allah memberi jaminan kepada Nabi Muhammad yang bahawa Allah akan menjadikan baginda boleh membaca dan baginda akan ingat, tidak akan lupa. dalam taha dan qamar ada lagi disebut tentang kerisauan baginda tentang Quran. Allah tidak mahu baginda risau sangat kalau ada yang baginda tidak sampaikan. Ini kerana kadang-kadang kalau kita risau sangat, kita tidak dapat fokus kepada perkara yang penting.

Oleh itu, dalam ayat ini, Allah beri ketenangan kepada baginda. Allah tak mahu Nabi sibuk dengan usaha menghafal sampai tidak fokus kepada ayat yang sedang disampaikan. Allah nak beritahu, tentang hafalan, baginda jangan risau, Allah akan uruskan. Sebelum itu Allah telah suruh lihatlah bagaimana Dia menguruskan alam ini dengan beri makanan kepada segala tanaman dan bagaimana Allah menghidupkan dan menyuburkan tanaman sebagai makanan kepada semua kehidupan. Kalau Allah boleh buat itu semua, maka Allah boleh jadikan Nabi ingat dan hafal keseluruhan ayat Quran itu. Kerana bukanlah Nabi yang menguruskan, tapi Allah. Sebagaimana bukan kita yang uruskan makanan binatang-binatang, tapi Allah yang menguruskannya. Lihatlah alam ini bagaimana semuanya telah ditentukan oleh Allah sendiri. Maka Allah yang akan memastikan Nabi Muhammad boleh membaca Quran dan tidak akan lupa.

Dari sudut grammar, kalimah فَلا تَنسىٰ bukan bermaksud ‘jangan lupa’ tapi ‘tidak akan lupa’. Maka jangan kita silap terjemah pula. Ini tidak sama dengan ayat ‘jangan lupa tentang dunia’ seperti dalam ayat Qasas :77 di mana Allah berfirman:

وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا
“dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia’

Dalam ayat Qasas itu, itu adalah larangan, dan tidak sama dengan ayat dari al-A’la ini. Kerana kalau Nabi disuruh jangan lupa, tentu Nabi lagi teruk rasa, lagilah Nabi rasa tertekan pula.


 

Ayat 7: Walaupun Allah berjanji yang Nabi tidak akan lupa, tapi ada ayat yang Nabi akan lupa juga, dan ini telah ditakdirkan oleh Allah. Memang ada perkara yang Allah hendak Nabi lupa.

إِلّا ما شاءَ اللَّهُ ۚ إِنَّهُ يَعلَمُ الجَهرَ وَما يَخفىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Except what Allāh should will. Indeed, He knows what is declared and what is hidden.

(MALAY)

kecuali kalau Allah menghendaki. Sesungguhnya Dia mengetahui yang terang dan yang tersembunyi.

 

Kecuali apa yang memang Allah mahu manusia melupakannya. Ini bermakna ada ayat atau hukum yang digunakan pada zaman itu sahaja dan apabila tidak sesuai lagi atau telah dicapai maksudnya, Allah akan menyebabkannya dilupai, walaupun oleh Nabi Muhammad sendiri. Ini adalah tentang ‘nasikh dan mansukh’. Kalau Allah sudah tidak mahu menjalankan hukum itu lagi, ianya akan dilupa oleh semua orang, bukan Nabi sahaja yang lupa. Dan Allah memang boleh buat perkara ini.

Bukanlah sebab Allah tukar fikiran tetapi memang itulah kehendakNya. Kerana dari kalimah ما شاءَ اللَّهُ, kita tahu memang Allah hendak begitu, bukan tidak sengaja, bukan kerana Allah tersilap, bukan Nabi yang terlupa dan sebagainya. Allah telah rancang yang perkara itu pasti akan dilupakan. Maka janganlah kita meragui tentang nasakh dan mansukh kerana ianya memang ada dalam agama. Allah akan berikan apa yang kita perlukan pada waktunya dan apabila tidak perlu lagi, ianya ditarik semula. Ini adalah tafsir yang pertama.

Ada satu lagi tafsir, iaitu Allah jadikan Nabi Muhammad lupa bacaan ayat Quran dalam solat dan sahabat akan betulkan bacaan baginda. Atau selepas solat, sahabat akan tanya Nabi adakah ayat itu telah dimansukhkan kerana Nabi silap baca ayat. Ayat ini hendak menunjukkan bahawa Nabi itu seorang manusia dan baginda tidak sempurna dan memang sekali sekala terlupa. Bukanlah seorang manusia itu tidak mempunyai kesalahan hatta kalau dia seorang Nabi pun. Yang maha sempurna adalah hanya Allah sahaja. Ini adalah perkara yang penting kerana Nabi Muhammad memang lebih tinggi kedudukan dari kita, tapi tidaklah sampai ke tahap Tuhan pula. Dan ini menolak pendapat yang terlalu meninggikan kedudukan baginda melebihi kedudukan seorang Nabi dan manusia. Nabi tidak sempurna kerana Nabi ada juga buat kesilapan dan ada beberapa ayat yang Allah menegur kesilapan Nabi. Tapi segala kesilapan itu sikit sahaja dan kita kena yakin yang tidaklah Nabi buat kesilapan tentang ayat Quran sampaikan baginda ada tersilap baca ayat atau tersilap susun ayat. Dalam berpuluh ribu ayat Quran, hanya beberapa kali sahaja baginda terlupa ayat Quran dan itu pun termasuk dalam perancangan Allah juga.

Allah tahu perkara yang terang dan tersembunyi. Kalimah إِنَّهُ penting dalam ayat ini sebagai penekanan. Ini hendak menekankan dan menunjukkan bahawa hanya Allah sahaja yang ada ilmu pengetahuan yang sempurna. الجَهرَ adalah perbuatan yang semua orang boleh nampak dan lawannya adalah سرر (rahsia). Akan tetapi Allah tidak gunakan kalimah سرر dalam ayat ini sebagai lawan الجَهرَ tapi Allah gunakan kalimah يَخفىٰ dari خفي yang bermaksud suatu rahsia yang sangat rahsia sampaikan orang pun tak tahu kewujudan rahsia itu. سرر adalah rahsia, tapi sekurangnya kita tahu yang ada rahsia, cuma kita tidak sahaja tak tahu kandungan rahsia itu. Dan dalam ayat ini, memang sesuai digunakan kalimah يَخفىٰ itu kerana apabila Allah menyebabkan Nabi terlupa, tidak ada sesiapa yang tahu ada benda yang Nabi terlupa, kerana Allah hilangkan terus dari ingatan manusia.

Dan kalimah يَخفىٰ juga dalam bentuk katakerja kalau dibandingkan dengan الجَهرَ, yang dalam bentuk katanama, kerana tidak banyak yang dilupakan. Jadi, tidak banyak perkara yang termasuk dalam perkara yang dilupakan kepada Nabi dan manusia.

Ayat ini juga hendak mengingatkan kita yang Allah mengetahui apa yang dilakukan oleh hamba-hamba-Nya secara terang-terangan dan juga apa yang mereka sembunyikan dari ucapan dan perbuatan mereka. Tiada sesuatu pun yang tersembunyi bagi-Nya.


 

Ayat 8: 

وَنُيَسِّرُكَ لِليُسرىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We will ease you toward ease.¹

  • To the path of Allāh’s religion, which is easy and natural, or toward Paradise, by giving opportunities for righteous deeds.

(MALAY)

dan Kami akan memberi kamu taufik ke jalan yang mudah,

 

Allah akan memudahkan kefahaman dan amalan.

Allah memberi jaminan kepada Nabi dalam ayat ini, bahawa tugas dakwah baginda akan dipermudahkan oleh Allah. Ini sebagai pujukan kepada Nabi yang rasa berat dengan tugas yang diletakkan di atas bahunya. Allah kata semuanya akan dipermudahkan sebagaimana Allah telah mempermudahkan untuk Nabi membaca dan menghafal Quran. Kalimah نُيَسِّرُكَ bermaksud ‘Kami memudahkan kamu’, bukan ‘Kami memudahkan untuk kamu’. Kalimah yang normal adalah dengan ada tambahan ‘untuk’ tapi tidak digunakan dalam ayat ini. Dari segi bahasa, ini adalah sebagai taqrib (pendekatan) untuk memberi isyarat yang Allah mendekatkan DiriNya dengan Nabi. Ini adalah sebahagidan dari ilmu balaghah.

Selain dari memudahkan kerja dakwah baginda, Allah juga memberitahu bahawa syariah Allah juga adalah mudah untuk diikuti. Syariat agama Islam tidak macam agama lain yang susah dan tidak patut. Sebagai contoh, dalam syariat Kristian, paderi tidak boleh kahwin sampai bila-bila, sedangkan itu adalah perkara termasuk dalam fitrah manusia dan tidak mungkin boleh ditahan-tahan. Dan kerana ianya ditahan, banyak terjadi kes-kes liwat di kalangan paderi Kristian.

Selain dari itu, Allah juga hendak memberitahu, yang hidup juga akan menjadi mudah apabila kita mengikuti syariat. Segala hukum dan amalan yang Allah wajibkan kepada kita bukanlah untuk menyusahkan kita dan tidaklah susah untuk dilakukan. Mereka yang diberi rahmat oleh Allah akan merasa mudah untuk mengikuti syariat Allah. Akan tetapi, kepada mereka yang tidak ada iman, mereka akan rasa syariat itu susah – ini tak boleh, itu tak boleh, dan mereka rasa rimas. Ini kerana mereka tidak faham bahawa syariat itu Allah tetapkan untuk memudahkan kita sebenarnya. Mereka tidak mengkaji bagaimana hukum dari Allah untuk memudahkan kehidupan kita kerana kalau tidak ada syariat dari Allah, maka kehidupan kita akan jadi rosak. Allah dah susun siap-siap untuk kita supaya kita payah fikirkan kerana kalau kita fikirkan pun, kita tidak akan dapat capai keputusan dari syariat Allah. Kerana syariat Allah itu dibuat oleh Allah yang tahu luar dalam tentang manusia kerana Dialah yang menjadikan kita.


 

Ayat 9: Ini adalah ayat tasliah kepada Nabi.

فَذَكِّر إِن نَفَعَتِ الذِّكرىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So remind, if the reminder should benefit;¹

  • i.e., wherever it will be heard and understood.

(MALAY)

oleh sebab itu berikanlah peringatan kerana peringatan itu bermanfaat,

 

Huruf فَ dalam فَذَكِّر dinamakan ‘fa fasihah’. Ianya adalah kalimah konklusi, iaitu selepas kamu dah dengar beberapa ayat ini, maka berilah peringatan, ‘jikalau’ peringatan itu memberi manfaat. Jadi Nabi disuruh memberi peringatan kepada manusia dengan berdakwah kepada mereka. Jadi dalam surah ini ada dua arahan kepada Nabi. Pertama, membersihkan nama Allah dan kedua, memberi peringatan kepada manusia.

Kalau kita lihat dalam kalimah فَذَكِّر, tidak ada objek, maksudnya dalam setiap ketika kena ingatkan. Inilah khulasah (kesimpulan) kehidupan Nabi Muhammad. Samada baginda sedang bertasbih kepada Allah atau sedang memberi peringatan.

إِن نَفَعَتِ الذِّكرىٰ (jika peringatan itu memberi manfaat) adalah satu kenyataan bersyarat. Maksudnya, berilah peringatan kalau peringatan itu akan dapat memberi manfaat, samada yang diberi peringatan atau kepada yang diberi peringatan. Ini adalah tafsir pertama. Yang kedua, kalimat إِن نَفَعَتِ الذِّكرىٰ boleh diterjemahkan (sesungguhnya peringatan itu akan memberi manfaat). Kerana sudah tentulah peringatan itu memberi manfaat. Dan Nabi sudah tahu dah yang peringatan itu ada kebaikan, maka ayat ini adalah suruhan.

Maka, kita pun kenalah beri peringatan juga kepada manusia kerana bukan Nabi sahaja yang disuruh untuk beri peringatan. Akan tetapi, kekadang kita takut orang tak dengar peringatan dari kita. Kita rasa kalau kita dakwah, orang tak dengar pun dakwah kita, jadi kita malas nak beri nasihat, malas nak dakwah. Tapi kita kena ingat yang penerimaan itu adalah kerja Tuhan, bukan kerja kita. Yang penting kita kena sampaikan sahaja tanpa kita risau samada mereka terima atau tidak. Kerana mungkin mereka tak ikut sekarang tapi mungkin mereka simpan dalam ingatan mereka apa yang kita nasihatkan itu. Kadang-kadang kita sampaikan mereka tidak terima, tapi selepas itu ada orang lain lagi yang sampaikan perkara yang sama, maka mereka mula terfikir: “entah-entah betul kot apa yang mamat ni cakap…”.

Maka, sampaikanlah peringatan itu, entah-entah ia akan memberi manfaat kepada mereka. Inilah yang kita kena lakukan dengan orang lain – cuma sampaikan sahaja. Sampaikan peringatatan kepada keluarga, kepada kawan-kawan kita, kepada orang yang kita kenal pun. Kena sampaikan, jangan fikir samada mereka akan terima atau tidak. Bila ada peluang sahaja, ingatkan sahaja. Kerana bukan kerja kita untuk fikir samada mereka akan terima atau tidak. Kita sahaja yang buat keputusan mereka tidak terima padahal kita tidak tahu pun hati manusia. Mana kita tahu yang mereka tidak akan terima? Cuba fikir-fikirkan.

الذِّكرىٰ adalah peringatan yang kuat kerana ianya dalam bentuk isim mubalagahah. Maknanya kita kena beri peringatan yang power juga.

Ali r.a. telah berkata, “Berbicaralah kepada orang-orang lain sesuai dengan jangkauan pengetahuan mereka, mahukah kamu bila Allah dan Rasul-Nya didustakan?”

Oleh itu, kita kena fikirkan cara yang terbaik untuk sampaikan kepada manusia. Ia juga bermaksud memang peringatan itu ada manfaat yang kuat. Kerana, samada orang terima atau tidak, ia sudah memberi manfaat kepada mereka yang memberi peringatan itu. Orang yang diberi peringatan tidak dapat manfaat, tapi yang ‘beri’ peringatan itu yang dapat manfaat. Sebab itulah Allah suruh juga Nabi Musa beri peringatan kepada Firaun, walaupun Allah tahu yang Firaun tidak akan terima, kerna ia ada manfaat kepada Nabi Musa. Iaitu kalau kita sampaikan, ilmu kita bertambah, iman kita bertambah, kita sudah dapat pahala samada mereka terima atau tidak, dan tentunya banyak lagi manfaat yang kita tidak tahu.

Ya, kita akan tetap dapat pahala samada orang yang diberi peringatan itu terima atau tidak. Kerana Allah beri upah pahala atas dasar kita sampaikan sahaja, bukannya samada mereka terima atau tidak. Kalau dalam dunia, bos kita beri bonus kalau sesuatu rancangan berjaya sahaja, tapi Allah tidak begitu, buat kerja dakwah sahaja sudah dapat pahala.

Ayat ini diberi kepada Nabi Muhammad kerana baginda rasa sedih kerana ramai yang tidak terima apa yang baginda sampaikan. Allah nak beritahu, jangan risau tentang perkara itu kerana tugas baginda hanya sampaikan sahaja. Jangan fikir tentang mereka itu, tapi buat kerja sahaja.


 

Ayat 10: Maka, siapakah yang akan dapat faedah dari peringatan itu?

سَيَذَّكَّرُ مَن يَخشىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He who fears [Allāh] will be reminded.

(MALAY)

orang yang takut (kepada Allah) akan mendapat pelajaran,

 

Huruf سَ dalam سَيَذَّكَّرُ bermaksud ‘tidak lama lagi’. Maksudnya, terus beri peringatan, tidak lama lagi akan ada orang yang akan terima. Yang akan terima adalah orang yang takut. Apabila digunakan kalimah مَن, ia boleh jadi sesiapa sahaja. Ini tidak sama kalau digunakan kalimah الذى, yang bermaksud orang yang spesifik.

Kalimah يَخشىٰ bermaksud jenis takut kepada sesuatu yang lebih besar dari kita. Yang lebih dari kita adalah Allah. Takut kepada Allah dan apa yang diancamkan olehNya. Dan sesiapa yang ada perasaan itu akan berusaha untuk ingat selalu. Mereka akan mula untuk mendengar ajaran yang diberikan dalam wahyu dan memang mereka akan takut kerana peringatan itu ada mengandungi ancaman yang menakutkan.

Oleh itu, orang yang akan terima peringatan adalah orang yang takutkan Allah dan hari akhirat. Mereka akan dapat terima kerana dalam hatinya sudah ada sedikit sebanyak perasaan takut dan mereka hendak menyelamatkan diri mereka.


 

Ayat 11: Tapi ada ramai lagi yang tidak menerima.

وَيَتَجَنَّبُهَا الأَشقَى

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But the wretched one will avoid it –

(MALAY)

dan orang-orang yang celaka akan menjauhinya.

 

Tetapi orang yang celaka akan menjauhinya. Mereka tidak mahu dengar dakwah dan peringatan yang diberikan sampai mereka sanggup lari. Pernah tak kita tengok orang yang nampak sahaja ustaz lalu, mereka akan lari? Mereka yang jenis itu adalah orang yang paling malang, dan malang itu lawan kepada orang yang bertuah. Mereka itu malang sungguh kerana tidak ada kebaikan pada mereka. Mereka ini selalunya berkawan dengan orang yang tidak baik, suka buang masa, buang kehidupan mereka, tidak ingat tentang masa hadapan lebih-lebih lagi tentang akhirat. Mereka itu amat jauh dari kebenaran kerana mereka akan mengelak dari kebenaran dan nasihat yang baik. Jangan kata mereka nak cari kelas untuk belajar agama, kalau ada orang beri nasihat pun mereka tak mahu dengar, nak pergi sahaja dari situ.


 

Ayat 12: Apa akan jadi kepada mereka?

الَّذي يَصلَى النّارَ الكُبرىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[He] who will [enter and] burn in the greatest Fire,

(MALAY)

(Yaitu) orang yang akan memasuki api yang besar (neraka).

 

Orang yang sebegitu akan masuk ke dalam neraka yang besar. يَصلَى bukan bermaksud ‘dimasukkan’ tapi dia sendiri akan masuk. Ini adalah kerana tubuh badannya akan memasukkan diri sendiri ke dalam neraka kerana mereka akan taat kepada Allah walaupun tuan badan tidak mahu masuk. Apabila Allah suruh badan masuk, mereka akan masuk sendiri.

Inilah rancangan Allah kepada mereka. Kerana mereka yang paling malang, mereka akan masuk ke dalam api yang paling besar النّارَ الكُبرىٰ yang tidak sama dengan api biasa. Allah tekankan penggunaan pembakaran dalam neraka, padahal api bukanlah satu-satunya azab dalam neraka. Ini adalah kerana kalau api, orang akan takut terus, kerana kalau kena panas sikit pun kena dapur, orang dah menjerit dah.


 

Ayat 13: Apakah keadaan mereka dalam neraka itu?

ثُمَّ لا يَموتُ فيها وَلا يَحيىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Neither dying therein nor living.

(MALAY)

Kemudian dia tidak akan mati di dalamnya dan tidak (pula) hidup.

 

Apabila digunakan kalimah ثُمَّ, itu bermaksud selepas lama mereka di dalamnya. Sesudah lama kena masuk dalam neraka, mereka tidak mati-mati. Di dalam neraka, ahli neraka tidak mati dan dia tidak hidup. Ini amat menghairankan padahal kalau kena api yang panas, tentu orang akan mati kalau dalam dunia. Tapi Allah tidak benarkan mereka mati kerana Allah nak terus seksa mereka selama-lamanya. Kerana kalau mati, dah tak kena seksa dah. Dan azab itu memang terus sampaikan mereka akan minta untuk dimatikan terus kerana mereka tidak tahan dah, tapi Allah tidak akan matikan mereka. Dan sesungguhnya Allah Swt. telah memberitakan perihal ahli neraka melalui firman-Nya:

وَنادَوْا يَا مالِكُ لِيَقْضِ عَلَيْنا رَبُّكَ قالَ إِنَّكُمْ ماكِثُونَ

Mereka berseru, “Hai Malik, biarlah Tuhanmu membunuh kami saja.” Dia menjawab, “Kamu akan tetap tinggal (di neraka ini).” Az-Zukhruf: 77)

Ini kerana selepas akhirat, tidak akan ada kematian dah. Mereka yang duduk dalam syurga akan kekal dalam syurga tidak mati-mati dan mereka yang duduk dalam neraka, juga akan kekal dalam neraka (kepada mereka yang kekal dalam neraka) tidak mati-mati. Padahal apa yang dikenakan kepada mereka, patutnya sudah mematikan mereka, tapi mereka tidak mati mati.

Dan mereka itu tidak ‘hidup’ sebenarnya. Kenapa begitu pula? Kerana walaupun mereka hidup, tapi itu bukanlah kehidupan yang sebenar, bukan? Allah tidak biarkan mereka senang. Mereka tidak akan selesa seperti di dunia. Mereka hidup, tapi tak macam hidup pun. Tidak macam hidup di dunia.


 

Ayat 14: 

قَد أَفلَحَ مَن تَزَكّىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He has certainly succeeded who purifies himself

(MALAY)

Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan diri (dengan beriman),

 

Maka beruntunglah mereka yang menyucikan dirinya. Iaitu mereka yang telah berusaha menyucikan diri mereka. Mereka mungkin tidak berjaya lagi tapi mereka telah mula berusaha. Sekali lagi, kalimah مَن bermaksud sesiapa sahaja. Iaitu sesiapa sahaja yang mahu buang yang buruk dan membersihkan hati mereka, terutama dari unsur-unsur syirik. Oleh itu, tazkiyah dalam ayat ini pertamanya adalah membersihkan diri dari akidah syirik. Ramai dari kalangan orang kita mementingkan perkara ini. Mereka belajar agama, tapi mereka tidak faham tentang tauhid dan tentang syirik. Jadi, ramai yang tahu tentang amal ibadat tapi dalam masa yang sama, mereka ada fahaman syirik dan buat amalan syirik. Ada yang pergi lagi berubat dengan bomoh, contohnya. Dan ada yang buat amalan khurafat di kubur, minta dengan ahli kubur, bertawasul dalam berdoa dan macam-macam lagi. Ini semua terjadi kerana tidak mahir dalam hal tauhid dan syirik.

Selepas dibersihkan hati dari fahaman syirik, kena juga membersihkan hati dari segala sifat mazmumah seperti dengki, irihati dan sebagainya.

أَفلَحَ dari perkataan فلَحَ yang bermaksud menuai. Dalam bahasa Arab, فلاح bermaksud petani. Orang Arab amat mementingkan pertanian kerana tempat mereka susah untuk bercucuk tanam. فلاح itu telah berusaha sepanjang tahun dan telah tiba masanya dia menuai keuntungan dari penat lelahnya selama setahun itu. Itulah masa paling gembira untuk فلاح itu. Ini samalah seperti seorang mukmin yang telah berusaha dan tiba masanya dia memgambil untung dari usahanya yang taat selama ini. Jadi, أَفلَحَ adalah kejayaan seseorang setelah berusaha lama.


 

Ayat 15: Apakah yang mereka telah buat?

وَذَكَرَ اسمَ رَبِّهِ فَصَلّىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And mentions the name of his Lord and prays.

(MALAY)

dan dia ingat nama Tuhannya, lalu dia sembahyang.

 

Setelah mereka menyucikan diri mereka, mereka berzikir menyebut nama Tuhan. Mereka  mengingati nama Tuhannya dan melakukan solat. Ini adalah kerana mereka terima yang Allah itu adalah rabb – Tuhan mereka dan mereka mahu untuk beribadat kepada Allah kerana Allah telah suruh buat begitu. Mereka dengan rela dan senang hati melakukan solat kerana pertalian antara mereka dan Allah amat rapat. Dalam solatlah mereka bermunajat kepada Allah dan merayu kepadaNya.

Allah kaitkan zikir dan solat dalam ayat ini. Kita kena cuba untuk khusyuk dalam solat. Allah tahu apa yang kita fikirkan semasa solat. Ada kalangan kita yang khusyuk dan ada juga yang teringatkan benda lain semasa solat. Maka Allah ingatkan dalam ini, semasa solat kena ingat Allah. Waktu solat kena tinggalkan perkara dunia. Salah satu cara adalah kalau kita faham apakah yang kita sebut dalam solat kita. Selalunya kita tidak dapat khusyuk kerana kita pun tidak tahu apa yang kita baca dalam solat. Maka, kenalah belajar tafsir supaya apabila kita baca ayat-ayat Quran dalam solat, kita boleh tadabbur ayat-ayat itu. Barulah senang nak dapat khusyuk.


 

Ayat 16: apakah yang menyebabkan manusia tinggalkan usaha untuk berjaya? Seolah-olah mereka tidak mahu masuk syurga pula dan tidak takut neraka. Allah beri teguran yang keras dalam ayat ini.

بَل تُؤثِرونَ الحَياةَ الدُّنيا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But you prefer the worldly life,

(MALAY)

Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi.

 

Ada iltifad dalam ayat ini, dimana Allah bercakap terus kepada manusia yang lali. Oleh itu, ini adalah peringatan yang kuat kerana Allah bercakap secara terus. Allah beritahu terus yang mereka lebih mementingkan kehidupan di dunia. Kalimah تُؤثِرونَ itu bermaksud apabila mereka membandingkan dua perkara dan membuat keputusan untuk memilih satu peraka yang mereka rasa lebih penting, lebih bagus. Oleh itu, ayat ini bermaksud, setelah manusia diberi pilihan antara syurga dan neraka, dunia dan akhirat, mereka pilih dunia. Mereka buat keputusan untuk berjaya di dunia, meluangkan masa lebih di dunia, mementingkan dunia dan akhirat dan seterusnya. Secara dasarnya, mereka telah buat keputusan yang amat salah sekali.

الدُّنيا dari perkataan دنو yang bermaksud dekat dan juga bermaksud rendah kualitinya. Apabila dikatakan dunia itu dekat, maksudnya kita boleh terus dapat apa yang kita hendak semasa dunia, kerana dunia itu sudah nampak depan mata, rasa macam boleh capai sahaja. Sedangkan akhirat itu nampak jauh sangat. Jadi, walaupun telah berbagai imbuhan yang dijanjikan oleh Allah kepada mereka yang berusaha beramal dan beriman, tapi apa yang Allah janjikan kepada kita itu nampak jauh kepada orang yang bukan mukmin. Mereka nampak yang di dunia ini lebih dekat, lebih mudah dicapai dan lebih jelas lagi. Allah menjanjikan mahligai dan istana di syurga tapi rumah di syurga yang dijanjikan amatlah terasa jauh. Tapi rumah yang di dunia amat dekat kita rasa, bukan? Jadi mereka yang tidak bijak, terus berusaha untuk dapatkan segala rumah dan harta di dunia, kerana mereka nak dapat perkara dan kesenangan yang cepat, yang dekat. Semua mereka nak cepat. Padahal, dunia itu sikit dan sementara sahaja dan kalau mereka bersabar, mereka boleh dapat lebih lagi dan lebih kekal lagi. Maka kita kena lebihkan dunia seperti sabda Nabi Muhammad:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا سُلَيْمَانُ بْنُ دَاوُدَ الْهَاشِمِيُّ، حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ بْنُ جَعْفَرٍ، أَخْبَرَنِي عَمْرُو بْنُ أَبِي عَمْرٍو، عَنِ الْمُطَّلِبِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، عَنْ أَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “مِنْ أَحَبِّ دُنْيَاهُ أَضَرَّ بِآخِرَتِهِ، ومَن أَحَبَّ آخِرَتَهُ أَضَرَّ بِدُنْيَاهُ، فَآثِرُوا مَا يبقَى عَلَى مَا يَفْنَى”

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Sulaiman ibnu Daud Al-Hasyimi, telah menceritakan kepada kami Ismail ibnu Ja’far, telah menceritakan kepadaku Amr ibnu Abu Amr, dari Al-Muttalib ibnu Abdullah, dari Abu Musa Al-Asy’ari, bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Barang siapa yang mencintai dunianya, berarti merugikan akhiratnya; dan barang siapa yang mencintai akhiratnya, berarti merugikan dunianya. Maka utamakanlah apa yang kekal di atas apa yang fana.


 

Ayat 17: Apa yang mereka lakukan itu adalah tidak menguntungkan, sedangkan akhirat itu lebih bernilai.

وَالآخِرَةُ خَيرٌ وَأَبقىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

While the Hereafter is better and more enduring.

(MALAY)

Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.

 

Allah menegaskan bahawa akhirat itu lebih baik dan lebih kekal dari dunia yang kita lebihkan ini. Untuk lebih jelas, mari kita bandingkan: bayangkan kita diberi pilihan boleh dapat rumah yang kecil dan tidak berapa cantik tapi yang pasti, rumah itu kita yang punya. Dan pilihan kedua pula, dapat duduk dalam hotel lima bintang, tapi duduk sekejap sahaja, selama seminggu. Dan kita boleh pilih satu sahaja, mana yang anda akan pilih? Kalau anda orang yang waras, mana yang kita pilih? Kalau anda waras, tentu anda akan pilih rumah yang kekal menjadi milik sendiri, bukan?

Tapi memang manusia kebanyakannya mahukan pulangan yang segera. Allah janjikan syurga tapi bukan diberikan segera. Semua telah dijanjikan tapi kita tidak dapat nak lihat pun rumah di syurga itu. Sedangkan, bukankah kalau kita kalau nak beli barang, kita nak tengok dulu, bukan? Takkan kita nak bayar duit yang banyak sesuatu yang kita tidak lihat? Kalau kita keluarkan seluruh duit simpanan kita untuk beli rumah, dan kita beritahu keluarga kita, kita dah beli rumah. Mereka tanya, di manakah rumah itu? Kita kata kita tidak tahu, dan bukan boleh dapat rumah itu sekarang, tapi bertahun-tahun dari sekarang. Agaknya, apa keluarga kita akan kata? Tentu mereka kata kita gila, bukan? Dan begitulah kita dengan syurga, memang kena berikan dan kena korbankan diri kita seluruhnya kerana kita kena serah diri kita semuanya kepada Allah, bukan? Itulah maksud ‘muslim’ – menyerahkan seluruh diri kepada Allah.

Dan kita hanya mempunyai kata-kata Allah sebagai janjiNya. Dan kita tidak ada bukti apa-apa selain dari kita kena beriman dengan janji itu. Harganya adalah seluruh hidup kita kita serahkan kepadaNya. Perkara ini memang nampak pelik, tapi bagi orang mukmin, mereka sanggup buat begitu kerana mereka percaya kepada janji Allah. Yang tidak percaya adalah mereka yang tidak beriman sahaja, yang tidak yakin dengan janji Allah. Oleh kerana itu tidak hairanlah kalau agama Islam ini kadangkala pelik kepada orang tidak percaya. Dan inilah ujian yang Allah berikan. Kalau ianya mudah, tidaklah ia dipanggil ujian, bukan? Dan apabila ujian itu berat, maka balasan kejayaan juga amatlah besar – bayangkan, buat ibadat sikit sahaja, sedangkan kita akan dimasukkan ke dalam syruga selama-lamanya.


 

Ayat 18: Janji tentang akhirat itu semua bukan benda baru.

إِنَّ هٰذا لَفِي الصُّحُفِ الأولىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, this is in the former scriptures,

(MALAY)

Sesungguhnya ini benar-benar terdapat dalam kitab-kitab yang dahulu,

 

Perkara-perkara dan janji-janji yang telah disebutkan dalam Quran ini juga ada di dalam suhuf-suhuf yang sebelum ini. Suhuf bermaksud lembaran-lembaran yang tidak sampai ke tahap kitab. Ianya mengandungi maklumat-maklumat agama dan hukum-hukum. Di dalam suhuf-suhuf itu, telah ada tentang perkara menyucikan nama Rabb, pasal akhirat adalah lebih kekal daripada dunia, tentang tauhid, tentang syirik dan sebagainya. Jadi perkara-perkara pokok telah disebutkan dahulu lagi dah, bukan perkara baru. Allah nak beritahu kita, wahyu samada dari dulu sampai sekarang, ada persamaannya.

Ayat ini semakna dengan firman-Nya yang terdapat di dalam surat An-Najm, iaitu:

أَمْ لَمْ يُنَبَّأْ بِما فِي صُحُفِ مُوسى وَإِبْراهِيمَ الَّذِي وَفَّى أَلَّا تَزِرُ وازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرى وَأَنْ لَيْسَ لِلْإِنْسانِ إِلَّا مَا سَعى وَأَنَّ سَعْيَهُ سَوْفَ يُرى ثُمَّ يُجْزاهُ الْجَزاءَ الْأَوْفى وَأَنَّ إِلى رَبِّكَ الْمُنْتَهى

Ataukah belum diberitakan kepadanya apa yang ada dalam lembaran-lembaran Musa? Dan lembaran-lembaran Ibrahim yang selalu menyempurnakan janji? (Yaitu) bahawasanya seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain, dan bahawasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya. Dan bahawasanya usahanya itu kelak akan diperlihatkan (kepadanya). Kemudian akan diberi balasan kepadanya dengan balasan yang paling sempurna, dan bahawasanya kepada Tuhanmulah kesudahan (segala sesuatu). (An-Najm: 36-42)


 

Ayat 19: 

صُحُفِ إِبراهيمَ وَموسىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The scriptures of Abraham and Moses.

(MALAY)

(yaitu) Kitab-kitab Ibrahim dan Musa

 

Antara suhuf yang mengandungi perkara-perkara itu adalah Suhuf Nabi Ibrahim dan Suhuf Nabi Musa alaihis salam. kenapa Allah sebut suhuf dua Nabi ini? Allah sebut nama dua Rasul ini kerana Nabi Muhammad sedang berdepan dengan dua golongan: kafir Quraish Mekah yang memandang tinggi Nabi Ibrahim dan juga golongan ahli kitab yang agama mereka bermula dengan Nabi Musa (iaitu Yahudi dan Kristian). Allah mengingatkan mereka bahawa perkara-perkara ini telah diberitahu kepada kedua-dua Nabi itu. Nabi Muhammad bukannya bawa perkara yang baru tapi telah disebut sebelum ini lagi.

Maulana Hadi: Al A’laa

Allahu a’lam. Sambung ke surah seterusnya, Surah Ghasyiya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 087: al-A'la. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s