Tafsir Surah at-Tariq (Bila rahsia akan terbongkar)

Pengenalan:

Di dalam hujung surah Burooj sebelum ini telah disebut tentang Quran yang terpelihara. Dan Quran itu terpelihara di langit dan ayat ini terus menyebut tentang langit.

Tema dalam ayat ini adalah ‘perjalanan’. Kita akan melihat beberapa perkara tentang perjalanan nanti dalam surah ini.

Allah nak beritahu dalam surah ini, balasan setimpal akan diberikan kepada manusia, sesuai dengan apa yang dilakukan semasa di dunia.


 

Ayat 1:

وَالسَّماءِ وَالطّارِقِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Aṭ-Ṭāriq: That Which Comes at Night.

By the sky and the night comer –

(MALAY)

Demi langit dan yang datang pada malam hari,

 

Allah bersumpah, demi langit dan at-Tariq. Sumpah ini sama stail dengan surah-surah sebelum ini dalam juz amma. Apabila digunakan kalimah ‘langit’ ianya merangkumi semua langit. Malah, ia boleh bermaksud apa sahaja yang ada di atas kita. Penggunaan kalimah untuk langit dalam ayat ini adalah السَّماءِ. Ini berbeza kalau kalimah السّماوات yang bermaksud ‘langit yang ada tujuh’. Ini adalah kerana kalimah السَّماءِ sebenarnya lebih besar lagi dari السّماوات. Ini adalah kerana kalimah السّماوات walaupun dalam bentuk jamak, tapi ia adalah jamak yang terhad, jadi ia hanya merujuk kepada langit yang tujuh. Oleh itu, kena lihat kalimah manakah yang digunakan dalam Quran. Sebagai contoh, Arash itu lebih tinggi dari السّماوات kerana Allah kata Arash itu في السَّماءِ.

Oleh itu, kalimah السَّماءِ secara umumnya merujuk kepada langit yang tidak ada hujungnya. Dan Quran boleh juga meletakkan had langit itu dengan tidak memaksudkan kesemua langit. Sebagai contoh kalau Allah kata, السَّماءِ الدنيا, itu bermaksud langit pertama yang berdekatan dengan dunia sahaja. Ini boleh dilihat dalam Mulk:5. Dalam ayat Surah Tariq ini, had yang Allah tetapkan adalah bintang Tariq kerana disebut bintang Tariq sekali dalam ayat ini.

nota: selagi mana kita boleh nampak bintang, samada dengan mata atau dengan teleskop, itu masih lagi termasuk dalam langit dunia (langit yang pertama). Bayangkan, semua sekali ada 7 langit!

Allah bersumpah dalam Quran kerana menjadikan sesuatu sebagai saksi. Dalam ayat ini, Allah menjadikan langit sebagai saksi terhadap apa yang hendak diberitahu kemudiannya. Dan juga sebagai pengenalan kepada apa yang Allah akan ceritakan dalam ayat yang seterusnya. Allah pilih sesuatu yang berkenaan dengan apa yang hendak disampaikan. Allah gunakan bintang sebagai sumpah dalam ayat ini kerana bintang adalah perkara yang selalu dilihat oleh orang Arab. Itulah pengisi masa lapang mereka kerana bukan ada TV pun. Malam-malam mereka akan tidur di bumbung rumah mereka sambil melihat bintang. Mereka juga menjadikan bintang sebagai panduan arah mereka semasa mereka mengembara di padang pasir di malam hari. Jadi, bintang adalah sesuatu yang rapat dengan maasyarakat Arab waktu ayat ini diturunkan. Jadi, apabila digunakan kalimah bintang, mereka sudah biasa dengan bintang itu.

Kalimah الطّارِقِ dari katadasar طرق yang bermaksud ‘pukulan’ ia bermaksud pukulan kepada jalan. Kerana itulah ‘jalan’ dalam bahasa Arab adalah طريق kerana bukankah jalan itu selalu kena pukul setiap hari dengan tapak kaki manusia dan binatang? Kita telah katakan sebelum ini bahawa tema surah ini banyak berkenaan dengan ‘perjalanan’, bukan? Oleh itu, kalimah الطّارِقِ juga digunakan untuk merujuk kepada mereka yang berjalan malam kerana malam lagi sejuk dan sesuai untuk manusia mengembara di padang pasir kerana tidak panas. Kalau berjalan siang, akan panas sangat, jadi mereka berjalan malam dan berehat waktu siang.

Dan apabila berjalan malam, kadang-kadang الطّارِقِ ini akan mengetuk pintu rumah orang sebagai tetamu kerana mereka mencari tempat berteduh di malam hari. Dan bila mereka buat begitu, tentunya mereka mengejutkan tuan rumah kerana tuan rumah tak sangka mereka akan dapat tetamu malam itu. Oleh itu, الطّارِقِ juga bermaksud mereka yang mengetuk pintu rumah orang kerana hendak memanggil perhatian tuan rumah.

Jadi, semua ini ada kaitan: jalan, bintang, malam hari, ketuk, pukulan. Begitulah bahasa Arab, kalimah yang digunakan berkaitan antara satu sama lain. Mungkin ada yang pening, tapi mungkin ada yang suka dengan penggunaan bahasa Arab itu yang berkait antara satu dengan yang lainnya dan menjadi seperti satu teka-teki yang menarik. Jadi, apakah maksud الطّارِقِ yang digunakan dalam ayat ini? Kita boleh katakan الطّارِقِ adalah bintang malam yang datang dengan cara yang mengejutkan kerana cahayanya yang terang. Yang menyebabkan kita ambil perhatian kerana boleh perasan cahaya itu. Bintang apa yang dimaksudkan? Ada yang kata ianya adalah Bintang Zuhal. Allahu a’lam. Ini adalah kerana ada dua pendapat tentang bintang manakah yang dimaksudkan. Samada satu bintang atau bintang yang banyak. Kalau satu bintang yang dimaksudkan, ia boleh jadi Bintang Zuhal.


 

Ayat 2:

وَما أَدراكَ مَا الطّارِقُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And what can make you know what is the night comer?

(MALAY)

tahukah kamu apakah yang datang pada malam hari itu?

 

Apakah yang boleh menyebabkan kamu tahu apakah الطّارِقِ itu? Apabila Allah tanya begitu, bermaksud yang informasi tu kalau Allah tak beritahu kita, kita takkan dapat tahu sendiri. Allah sendiri yang akan ceritakan dan beritahu jawapannya. Seolah-olah Allah kata: “macam mana kamu nak tahu kalau Aku tidak beritahu kepada kamu? Ada carakah kamu boleh tahu tanpa Aku beritahu?” Tentu tidak, kerana kita memerlukan wahyu Allah dalam perkara macam ini. Kalau Allah tidak beri ilmu kepada kita, kita tidak tahu apa-apa pun. Ilmu yang kita ada, semuanya dari Allah. Maka, janganlah bangga sangat kalau tahu apa-apa pun, kerana kita dapat tahu itu pun Allah yang beri.

Jadi, Allah beritahu apakah الطّارِقِ itu dalam ayat seterusnya, tapi kenapa Allah tanya? Allah tanya untuk beritahu. Itu kalau Allah gunakan lafaz أَدراكَ. kalau يدريك seperti dalam Abasa:3, Allah tidak akan beritahu. Allah hendak mengingatkan ada benda yang kita tengok, tapi kita tidak tahu rahsia dalam sesuatu perkara itu. Kena Allah beritahu, baru boleh tahu. Menandakan yang kita tidak dapat ilmu kalau Allah tidak beritahu.


 

Ayat 3: Sekarang diberitahu tentang الطّارِقِ itu.

النَّجمُ الثّاقِبُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is the piercing star¹ –

  • Whose light pierces through the darkness.

(MALAY)

(yaitu) bintang yang cahayanya menembus,

 

النَّجمُ adalah bintang. Di dalam ayat ini, Allah beritahu sifat bintang الطّارِقِ yang dimaksudkan itu – ianya bersifat الثّاقِبُ. الثّاقِبُ bermaksud cahaya atau api yang amat terang. Oleh itu, الطّارِقِ adalah bintang yang cahayanya menembusi kegelapan malam. Malam adalah seperti selimut hitam dan cahaya bintang yang jauh ini boleh sampai kepada kita kerana ia dapat menembusi kegelapan malam. Kita pun tahu betapa jauhnya cahaya itu kena lalui kerana bintang-bintang itu, walaupun ianya nampak terang, tapi ianya amat-amat jauh.

Jadi, ada berkenaan dengan perjalanan juga – dan kita telah beritahu sebelum ini, ‘perjalanan’ adalah tema surah ini. Kerana cahaya bintang itu telah ‘berjalan’ begitu punya jauh untuk sampai kepada kita. Jadi ini adalah perjalanan cahaya dan nanti akan disebut tentang perjalanan air mani pula dalam ayat lain.

Bintang adalah perkara yang kita biasa lihat. Terutama sekali orang Arab yang suka melihat bintang. Sekarang Allah banyak menyebut tentang bintang, menyuruh kita melihat benda yang kita biasa lihat tapi cuba mencari apakah maksud disebaliknya. Allah nak suruh kita gunakan akal kita untuk melihat yang tersirat di sebalik yang tersurat.

Sekarang kaitkan pula dengan perkara lain, iaitu Quran. Seperti juga bintang itu memecahkan dan menembusi kegelapan malam, maka Quran juga membuka cahaya kepada rahsia. Ia memecah kegelapan syirik dan membawa ajaran tauhid. Seagaimana bintang malam memberi panduan kepada pengembara, maka Quran juga menjadi petunjuk kepada manusia yang memerlukan hidayah dalam kehidupan menuju akhirat.


 

Ayat 4: Inilah jawabal qasm sumpah-sumpah Allah sebelum ini. Allah mahu kita ingat perkara ini, iaitu apabila kita lihat bintang-bintang di langit nanti. Bila kita lihat bintang, kita teringat kepada jawabal qasm ini kerana Allah telah kaitkan bintang-bintang itu dengan jawabal qasm itu.

إِن كُلُّ نَفسٍ لَمّا عَلَيها حافِظٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

There is no soul but that it has over it a protector.

(MALAY)

tidak ada suatu jiwapun (diri) melainkan ada penjaganya.

 

Semua nafs mempunyai penjaga amal timbangannya. Yang menulis segala perbuatannya selama di dunia. Samada Allah sendiri atau malaikat penjaga amal. Ini bukan kali pertama kita baca tentang perkara ini. Dalam Infithar:10 sudah ada disebut tentang perkara ini.

Apakah kaitan dengan bintang? Walaupun bintang-bintang itu jauh, tapi ia seolah-olah sedang melihat apa yang kita sedang lakukan. Mereka sedang menyaksikan apa yang kita lakukan. Dan mereka nanti akan jadi saksi kepada kita di akhirat kelak. Samada baik atau buruk.

Dalam Quran, ada disebut tentang malaikat penjaga yang menjaga kita. Dan ada juga yang menjaga dan merekod amalan kita. Bezanya adalah penggunakan kalimah عَلَيها dalam ayat ini. Kalau merujuk kepada malaikat yang menjaga kita, kalimah لها atau له digunakan. Ini seperti dalam ayat Rad:11 –

لَهُ مُعَقِّباتٌ مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ
Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah.

Jadi, Allah ini hendak mengingatkan kita yang ada malaikat yang merekod segala amalan kita. Kita tidak pernah bersendirian. Tidakkah ini menakutkan kita untuk buat perkara yang salah? Tak malukah nak buat salah?

Penggunaan kalimah إِن jarang digunakan dalam bentuk ini. Kerana selalunya kalimah إِن digunakan untuk bermaksud ‘jika’. Apabila menggunakan format yang lain dari kebiasaan, maka ianya memberi satu kejutan kepada kita supaya kita sentiasa ingat tentang perkara ini. Tapi kena faham bahasa Arab dulu lah kalau nak terkejutlah!

Kenapa digunakan kalimah كُلُّ (semua) dan bukan جمع yang juga bermaksud ‘semua’? Ini adalah kerana kalau digunakan kalimah جمع, itu memberi makna, semua manusia duduk ramai-ramai dan ada satu penjaga. Tapi tidak begitu yang dimaksudkan. Kerana itu digunakan kalimah كُلُّ, kerana apabila digunakan kalimah كُلُّ, itu bermaksud setiap diri ada satu penjaga masing-masing. Allah juga takdimkan kalimah عَلَيها sebelum kalimah حافِظٌ, untuk menekankan lagi sebagai takhsis, yang setiap diri ada penjaga ke atasnya. Oleh itu setiap diri ada spesifik malaikat yang menjaga rekod amalannya.

Allah gunakan kalimah نَفسٍ dalam ayat ini dan bukan ‘الإِنسانُ’. Ini adalah kerana kerahsiaan adalah tema yang penting dalam surah ini. Kita sebagai manusia menyimpan rahsia dalam diri nafs kita, dalam diri kita. Sedangkan kalimah ‘الإِنسانُ’ memberi erti keseluruhan diri manusia itu. Dan bila digunakan kalimah insan, ianya hendak menekankan tentang kelupaan manusia. Allah gunakan kalimah نَفسٍ dalam ayat ini kerana hendak menekankan, walaupun kita simpan rahsia dalam diri kita, tapi Allah tahu yang kita lakukan. Walaupun kita buat sesuatu dengan rahsia, orang tak nampak, tapi ada malaikat yang nampak.


 

Ayat 5: Ini adalah dalil aqli.

فَليَنظُرِ الإِنسانُ مِمَّ خُلِقَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So let man observe from what he was created.

(MALAY)

Maka hendaklah manusia memperhatikan dari apakah dia diciptakan?

 

Di awal ayat ini ada ف dalam kalimah فَليَنظُرِ. Maksudnya adalah fa fasihah – membawa maksud ‘sebagai konklusi’ dari pembacaan ayat-ayat sebelum ini, maka ambillah pengajaran – kenanglah kembali dari apa kita dijadikan. Kalau manusia sudah tahu ada bintang yang melihat, ada malakat yang tengok kita, maka kena fikirlah, kalau kamu tidak percaya juga, maka lihatlah diri kamu sendiri untuk mengambil pengajaran.

Kalimah نظر maksudnya melihat dengan betul, tenung dengan menggunakan akal kita, bukan tengok kosong sahaja. Hendaklah manusia itu merenung dengan betul-betul, dari apakah dia dijadikan. Allah suruh buat begitu kerana manusia selalu lupa dari apa dia dijadikan sebab itu digunakan kalimah ‘الإِنسانُ’ dalam ayat ini. Sifat الإِنسانُ adalah pelupa.

Lalu dari apa الإِنسانُ dinjadikan? Dijadikan dari air mani yang hina. Sampaikan Allah tak letak namaNya yang mulia dalam ayat ini (Allah tak kata: dari apa Allah jadikan insan itu). Kalimah مِمَّ itu pun sepatutnya adalah مِمَّا selalunya, tapi Allah tak letak sebegitu dan kurangkan huruf untuk menunjukkan betapa rendahnya dan tidak bernilainya air mani itu. Kita pun sudah tahu, tapi dalam bahasa yang digunakan pun sudah ditunjukkan.

Kalimah خُلِقَ (dijadikan) adalah dalam bentuk pasif. Bentuk pasif adalah tidak disebut siapakah pembuatnya. Kalau ada ayat yang Allah tak letakkan namaNya, bermaksud bahawa Allah murka, tidak suka. macam kalimah المَغضوبِ dalam surah Fatihah juga adalah kalimah yang dalam bentuk pasif. Dalam ayat ini, Allah hendak menunjukkan yang Dia murka kepada manusia yang melupakan dari mana asalnya mereka dijadikan. Allah nak suruh kita fikirkan. Janganlah begitu, kenang baliklah dari apa kamu itu dijadikan, wahai manusia!


 

Ayat 6:

خُلِقَ مِن ماءٍ دافِقٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He was created from a fluid, ejected,

(MALAY)

Dia diciptakan dari air yang dipancarkan,

 

Manusia dijadikan dari air mani yang dipancutkan ke dalam rahim. ماءٍ دافِقٍ bermaksud ‘air yang memancut’.

Kita boleh lihat tema ‘perjalanan’ sekali lagi. Sebelum ini perjalanan cahaya bintang yang sampai ke bumi. Sekarang disentuh tentang perjalanan air mani manusia yang mulanya dipancut.

Semua ini kalau Allah tak bagitahu, manusia terutama zaman dulu tidak tahu.


 

Ayat 7: Oleh kerana ayat sebelum ini adalah tentang manusia dijadikan dari air mani, maka ayat ini adalah tentang perjalanan air mani itu.

يَخرُجُ مِن بَينِ الصُّلبِ وَالتَّرائِبِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Emerging from between the backbone and the ribs.

(MALAY)

yang keluar dari antara tulang sulbi laki-laki dan tulang dada perempuan.

 

الصُّلبِ dari segi bahasa adalah sesuatu yang keras dan kuat. Dan antara tulang yang kuat adalah tulang belakang, jadi الصُّلبِ ini adalah dari tulang belakang. Sedangkan kalimah وَالتَّرائِبِ merujuk kepada tulang dada. Oleh itu, ayat ini adalah maklumat dari Allah yang air mani itu keluar dari tulang dada lelaki dan tulang belakang perempuan.

Terdapat banyak cubaan dari kalangan mufassir untuk menafsir ayat ini dari sudut saintifik. Sampai ketika ini, tidak ada maklumat konklusif berkenaan perkara itu dan saya terpaksa mengatakan yang perkara ini masih lagi termasuk dalam misteri dan rahsia lagi bagi kita kerana maklumat saintifik tidak sampai lagi ke tahap memahami ayat ini. Kerana apabila ada penerangan saintifik, ada sahaja hujah yang menolaknya, jadi tidak tahu mana yang betul.

Kenapa Allah tidak berikan maklumat saintifik yang jelas sahaj? Kita kena faham yang ayat ini pertamanya dibacakan kepada orang Arab yang tidak tahu ilmu biologi dalam diri manusia. Mereka tidak ada cara untuk memastikan apa yang terjadi dalam diri manusia, dari mana air mani itu datang, apa yang ada dalam air mani itu dan sebagainya. Kesannya, Allah hendak beritahu bahawa apa yang dalam diri manusia pun manusia tidak tahu. Kalau Allah tidak beritahu, mereka pun tidak tahu dari manakah mereka dijadikan, dari manakah air mani itu dibuat dan sebagainya. Sampai sekarang pun, walaupun sains sudah maju, tapi masih ada lagi misteri tentang kejadian manusia yang kita tidak tahu lagi. Entah di masa hadapan kita akan dapat tahu atau tidak.


 

Ayat 8: Ini adalah maklumat penting yang Allah hendak sampaikan.

إِنَّهُ عَلىٰ رَجعِهِ لَقادِرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, He [i.e., Allāh], to return him [to life], is Able.

(MALAY)

Sesungguhnya Allah benar-benar berkuasa untuk mengembalikannya (hidup sesudah mati).

 

Sesungguhnya Allah berkuasa penuh untuk mengembalikan kepada hidup sesudah mati. kerana Dia juga yang menjadikan makhluk dari asal. Kalau Dia yang jadikan dari asal, tentulah Allah mampu untuk menghidupkan kembali makhluk yang telah dimatikanNya juga. Sebagai contoh, Allah jadikan manusia dari air mani, kemudian Allah matikan dan Allah boleh nak hidupkan kembali.

Allah gunakan dalam إِنَّهُ ayat ini dan Allah tidak sebut pun nama Dia. Ini adalah salah satu lagi tema dalam surah ini dimana Allah cuma isyarat sahaja kepada DiriNya tanpa menyebut namaNya. Ini adalah kerana Allah marah kepada mereka yang menolak tentang kuasa Allah boleh menghidupkan kembali. Maka Allah beri penekanan dalam surah ini dengan kalimah: إِنَّهُ.


 

Ayat 9: Apakah yang akan terjadi pada hari yang manusia akan dibangkitkan semula?

يَومَ تُبلَى السَّرائِرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The Day when secrets will be put on trial,¹

  • i.e., exposed, examined and judged.

(MALAY)

Pada hari dinampakkan segala rahsia,

 

Pada hari yang segala rahsia yang dijaga selama itu akan dikeluarkan. السَّرائِرُ adalah rahsia yang memang dijaga dengan baik sekali. Ini tidak sama dengan kalimah سر yang bermaksud rahsia sahaja. السَّرائِرُ ini adalah rahsia yang dijaga sampai tak mahu sesiapa pun tahu, walau macam mana pujuk nak tahu pun, orang itu tidak akan memberitahunya. ‘Rahsia’ juga adalah salah satu dari tema surah ini. Dan kita pun tahu bagaimana manusia banyak rahsia. Banyak perkara yang dilakukan oleh persatuan, parti politik, kerajaan dan sebagainya. Kadangkala kita dapat tahu sesetengah rahsia yang terbongkar, kita pun terkejut dengan apa yang telah dilakukan. Kita tak sangka ada manusia yang sanggup melakukan perkara yang terkutuk yang dilakukan mereka. Tapi begitulah manusia.

Kerana mereka tidak mahu rahsia mereka terbongkar, manusia amat menjaga segala rahsia itu. Tapi akhirnya akan terbongkar juga di akhirat nanti. Segala rahsia mereka akan dibogelkan. Ini memberi peringatan kepada kita, berhati-hatilah dengan apa yang kita lakukan. Walaupun kita terselamat dari diketahui oleh orang, tapi akan sampai masanya, segala rahsia yang kita jaga bermati-matian itu, akan terbongkar juga. Dan kalau kesalahan yang kita lakukan, kita akan dibalas dengan balasan azab yang setimpal.


 

Ayat 10: Lalu apabila segala rahsia telah dikeluarkan?

فَما لَهُ مِن قُوَّةٍ وَلا ناصِرٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then he [i.e., man] will have no power or any helper.

(MALAY)

maka sekali-kali tidak ada bagi manusia itu suatu kekuatanpun dan tidak (pula) seorang penolong.

 

Pada hari itu manusia tidak mempunyai kekuatan dan penolong. Penolong amat penting di hari akhirat nanti. Tapi orang kafir tidak mempunyainya. Dalam surah Burooj sebelum ini, telah disebut tentang tentera yang membunuh orang-orang mukmin dan dimasukkan ke dalam lubang berapi. Mereka ada kekuatan waktu itu, tolong menolong sesama sendiri. Tapi di akhirat kelak mereka tidak ada penolong langsung.

Kita memerlukan kekuatan untuk menyimpan rahsia kita. Di akhirat nanti segala rahsia akan terbongkar kerana sudah tidak ada kekuatan.

Kalau kita tidak kuat, maka kita memerlukan pertolongan orang lain untuk menjaga rahsia kita. Di akhirat juga tidak ada sesiapa yang akan menolong mereka.


 

Ayat 11: Ini adalah sumpah lagi dari Allah.

وَالسَّماءِ ذاتِ الرَّجعِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

By the sky which returns [rain]

(MALAY)

Demi langit yang mengandung hujan

 

Allah menggunakan langit sekali lagi sebagai sumpah. Demi langit yang ‘memulangkan’. Memulangkan apa? Allah menyebut salah satu sifat langit. Sebagai contoh, langit memulangkan air yang turun dalam bentuk hujan dan kembali naik menjadi wap dan naik ke atas dan kemudian diturunakn kembali air yang sama dalam bentuk hujan. Jadi ada kitaran naik dan turun.

Satu lagi adalah apabila memulangkan radiasi dari ozon dan signal satelit. Ini semua adalah proses lantunan yang berlaku pada langit dan ianya berlaku berulang-ulang kali.


 

Ayat 12: Sumpahan lagi. Tadi dengan langit, sekarang dengan bumi pula.

وَالأَرضِ ذاتِ الصَّدعِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [by] the earth which cracks open,¹

  • With the growth of plants.

(MALAY)

dan bumi yang mempunyai rekahan,

 

Dan demi bumi yang mempunyai sifat merekah. Apabila bumi merekah, ia dapat menerima air dari langit dan cahaya matahari yang membolehkan proses fotosintesis berlaku dan menumbuhkan tumbuhan. Allah membuat analogi kejadian manusia dengan pertumbuhan tanaman. Ini adalah kerana kedua-dua melibatkan dan memerlukan air. Manusia memerlukan air mani dan tumbuhan memerlukan air hujan. Kedua-duanya menerima air dan dua-dua hidup dan mati.


 

Ayat 13: Sudah ada dua sumpah di atas tadi. Setiap sumpah ada jawabal qasm dan ini adalah jawabal qasm kepada dua sumpah itu.

إِنَّهُ لَقَولٌ فَصلٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, it [i.e., the Qur’ān] is a decisive statement,

(MALAY)

sesungguhnya Al Quran itu benar-benar firman yang memisahkan antara yang hak dan yang bathil.

 

Yang dimaksudkan adalah Quran. Sumpah Allah sebelum ini adalah hendak menekankan tentang Quran. Sesungguhnya Quran itu bersifat فَصلٌ iaitu membezakan antara satu perkara dengan perkara yang lain, membezakan yang benar dan salah.

Allah menjadikan analogi air hujan itu seperti wahyu yang masuk ke hati manusia seperti air hujan masuk ke dalam tanah dan menyuburkan tanah itu. Dan memang ada dalam hadis bagaimana Nabi menggunakan air sebagai analogi kepada ilmu. Ini terdapat dalam Bab Kelebihan Orang Yang Berilmu Dan Mengajarkan `Ilmu Pengetahuannya, Kitab Sahih Bukhari.

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْعَلاءِ قَالَ حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ أُسَامَةَ عَنْ بُرَيْدِ بْنِ عَبْدِاللَّهِ عَنْ أَبِي بُرْدَةَ عَنْ أَبِي مُوسَى عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَثَلُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ مِنَ الْهُدَى وَالْعِلْمِ كَمَثَلِ الْغَيْثِ الْكَثِيرِ أَصَابَ أَرْضًا فَكَانَ مِنْهَا نَقِيَّةٌ قَبِلَتِ الْمَاءَ فَأَنْبَتَتِ الْكَلا وَالْعُشْبَ الْكَثِيرَ وَكَانَتْ مِنْهَا أَجَادِبُ أَمْسَكَتِ الْمَاءَ فَنَفَعَ اللَّهُ بِهَا النَّاسَ فَشَرِبُوا وَسَقَوْا وَزَرَعُوا وَأَصَابَتْ مِنْهَا طَائِفَةً أُخْرَى إِنَّمَا هِيَ قِيعَانٌ لا تُمْسِكُ مَاءً وَلا تُنْبِتُ كَلا فَذَلِكَ مَثَلُ مَنْ فَقُهَ فِي دِينِ اللَّهِ وَنَفَعَهُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ فَعَلِمَ وَعَلَّمَ وَمَثَلُ مَنْ لَمْ يَرْفَعْ بِذَلِكَ رَأْسًا وَلَمْ يَقْبَلْ هُدَى اللَّهِ الَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ قَالَ أبو عَبْد اللَّهِ قَالَ إِسْحَاقُ وَكَانَ مِنْهَا طَائِفَةٌ قَيَّلَتِ الْمَاءَ قَاعٌ يَعْلُوهُ الْمَاءُ وَالصَّفْصَفُ الْمُسْتَوِي مِنَ الارْض.ِ

Muhammad Bin al-‘Ala’ telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Hammad Bin Usamah telah meriwayatkan kepada kami daripada Buraid Bin `Abdullah daripada Abu Burdah daripada Abu Musa daripada Nabi SAW, sabdanya: “Perbandingan petunjuk dan `ilmu yang Allah utuskan aku membawanya adalah seperti hujan yang lebat yang menimpa bumi. Di antara bumi itu ada yang Naqiyah (subur), ia menerima air dan menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan rumput-rumput. Di antaranya ada yang Ajadib (yang hanya menampung air), ia menampung air tetapi tidak menyerap air. Maka Allah memanfaatkan tanah itu kepada manusia, mereka dapat minum dan memberi minum kepada ternakan mereka serta bercucuk tanam daripada air itu. Hujan yang turun itu menimpa sebahagian tanah yang lain, ia merupakan Qi’an (tanah gersang), tanah itu tidak dapat menampung air ataupun menyerap air sehingga dapat menumbuhkan tumbuh-tumbuhan. Itulah perbandingan orang yang mendalam `ilmunya tentang agama Allah. Allah memberi manfaat kepadanya dengan apa yang Allah utuskan aku membawanya lalu dia mendapat `ilmu dan mengajarkan kepada orang lain. Dan juga, perbandingan dengan orang yang tidak mengangkat langsung kepalanya terhadap `ilmu dan petunjuk yang dibawa olehku itu, dia tidak menerima petunjuk yang Allah utuskan kepadaku.

Abu `Abdullah berkata: Ishaq berkata dari Abu Usamah: “Di antara tanah itu ada sekumpulan tanah yang menerima air, tanah lapang yang menakung air, dan tanah rata di bumi”.

Dalam hadis di atas, air itu umpama wahyu dan tanah itu adalah manusia. Ada manusia yang baik dan menerima wahyu dan menyampaikan kepada manusia lain. Ada yang hanya dapat memanfaatkan dirinya sahaja dan ada yang langsung tidak memberi manfaat.


 

Ayat 14: Masih lagi tentang Quran.

وَما هُوَ بِالهَزلِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And it is not amusement.

(MALAY)

dan sekali-kali bukanlah dia senda gurau.

 

Dan apa yang disampaikan dalam Quran itu bukan perkara olok-olok. الهَزلِ adalah sesuatu yang tidak bernilai. Dan ia juga boleh bermaksud kata yang sia-sia. Quran itu bukan hanya bacaan ringan sebagai halwa telinga sahaja. Ia juga bukan hanya untuk memberi pengetahuan sahaja tetapi adalah untuk digunakan sebagai panduan hidup. Quran bukanlah sebagai entertainment kepada manusia – malangnya ramai dari kalangan kita yang buat itu sahaja. Iaitu memang mereka baca dan dengar Quran tetapi sebagai entertainment sahaja. Ini adalah kerana mereka tidak faham dan kerana itu tidak dapat nak amalkan apa yang disampaikan dalam Quran itu. Akhirnya mereka baca sebagai sekadar entertainment sahaja, something ‘interesting’ sahaja, tapi bukan nak amalkan.

Jadi, itu bukanlah sepatutnya kita lakukan terhadap Quran itu. Kita kena belajar tafsir Quran dan fahami apa yang Allah hendak sampaikan dalam Quran dan amalkan. Kemudian sebarkan kepada orang lain.


 

Ayat 15:

إِنَّهُم يَكيدونَ كَيدًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, they are planning a plan,

(MALAY)

Sesungguhnya mereka itu merencanakan tipu daya yang jahat dengan sebenar-benarnya.

 

‘Mereka’ yang dimaksudkan adalah musuh-musuh Islam yang hendak menjatuhkan Islam dengan berbagai cara. Sesungguhnya mereka menjalankan rancangan jahat secara rahsia. Kalimah yang digunakan adalah كيد dan ini tidak sama dengan مكر yang juga bermaksud perancangan.

كيد: Perancangan rahsia. Ini bertepatan dengan tema surah ini yang banyak tentang kerahsiaan.

مكر:  Rancangan yang memperdayakan pihak musuh yang sangka mereka akan menang, tapi akhirnya menyebabkan mereka kalah.

Dalam ayat ini, Allah membuka rahsia yang memang musuh ada buat rancangan jahat. Ini pasti kerana Allah sendiri sebut dalam ayat ini. Sebagai contoh, memang Musyrikin Mekah ada buat rancangan untuk membunuh Nabi Muhammad. Dan dari ayat ini kita dapat tahu bahawa ada banyak kumpulan yang ingin membuat sesuatu kepada Nabi, bukan satu kumpulan sahaja. Tapi mereka tidaklah bersatu. Begitulah dengan kumpulan-kumpulan kufur. Mereka buat rancangan bersendirian tapi mereka sendiri tidak bersatu. Mereka pun ada perbalahan dan perbezaan pendapat antara mereka.


 

Ayat 16: Kalau pihak musuh ada buat perancangan, tidakkah ini membahayakan umat Islam? Allah jawap dalam ayat ini.

وَأَكيدُ كَيدًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But I am planning a plan.

(MALAY)

Dan Akupun membuat rencana (pula) dengan sebenar-benarnya.

 

Dan Aku (Allah) juga merancang. Allah tak letak perkataan إِنَّ (sesungguhnya) seperti dalam ayat sebelum ini, kerana kalau ada kalimah إِنَّ, menunjukkan bahawa ada usaha yang diperlukan. Tentunya Allah tidak memerlukan usaha kerana senang sahaja bagi Allah untuk melakukan apa sahaja. Tidak perlu susah kalau Allah hendak buat dan rancangan Allah pasti berjaya. Rancangan mereka banyak dan macam-macam tapi rancangan Allah satu sahaja. Rancangan mereka belum tentu berjaya, tapi rancangan Allah pastinya berjaya.

Jadi ini sebagai tasliah (pujukan) untuk Nabi dan para sahabat. Memang musuh ada buat rancangan tapi biarkan mereka buat rancangan, jangan takut. Kerana Allah pun ada rancangan juga. Kita kena tawakal kepada Allah kerana Allah tetap akan memenangkan agamaNya dan tidak biarkan orang mukmin dalam kekalahan.


 

Ayat 17: Ayat takhwif.

فَمَهِّلِ الكافِرينَ أَمهِلهُم رُوَيدًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So allow time for the disbelievers. Leave them awhile.¹

  • i.e., Do not be in haste for revenge, for you will see what will become of them.

(MALAY)

Karena itu beri tangguhlah orang-orang kafir itu yaitu beri tangguhlah mereka itu barang sebentar.

 

Selepas Allah sebut tentang perancangan yang dibuat orang kafir untuk menjatahukan Islam, Allah beritahu kepada Nabi untuk beri peluang kepada mereka. Allah kata: Oleh itu berilah sedikit masa lagi kepada mereka. تمهل digunakan apabila kita memberi masa tambahan untuk beri peluang kepada orang. Sebagai contoh, beri masa tambahan untuk seseorang bayar hutang. Kalimah إمهل juga bermaksud biarkan sahaja secara keseluruhan. Maknanya beri peluang kepada mereka.

Bagaimana boleh jadi begitu? Padahal Nabi dan orang mukmin sedang diseksa masa itu? Bagaimana pula Nabi yang diminta untuk beri peluang kepada kaum kafir? Sedangkan permintaan ini selalunya dikatakan kepada mereka yang sedang berkuasa, bagaimana nak kata yang Nabi Muhammad sedang berada dalam kedudukan berkuasa waktu itu?

Maksudnya, Allah minta Nabi jangan doakan kebinasaan mereka lagi. Ini seperti doa Nabi Nuh dan Rasul lain yang menyebabkan kemusnahan kaum mereka. Sebab kalau Nabi doa, Allah akan makbulkan dan akan musnahlah bangsa Arab. Maknanya, doa Nabi itu adalah senjata Nabi dan kalau Nabi doa sahaja, Allah akan buat apa yang baginda minta, iaitu hancurkan mereka. Ini menunjukkan bahawa kekuatan sebenarnya ada pada Nabi. Memang secara fizikal tak nampak, tapi sebenarnya kekuatan ada pada Nabi.

Padahal Allah dah ada rancangan untuk menjatuhkan mereka. Jadi jangan risau kerana Allah akan buat apa yang patut.

Dan Allah juga mahu memberi peluang kepada ramai musyrikin Mekah untuk beriman. Memang pada peringkat awal mereka menentang akan tetapi sedikit demi sedikit ramai yang masuk Islam. Dan akhir sekali, berbondong manusia masuk Islam semasa Pembukaan Mekah.

Ayat ini menunjukkan kekuatan pada doa. Bukan Nabi sahaja boleh berdoa tetapi kita pun ada doa juga. Kalau kita nampak lemah, jangan kita rasa rendah sangat, kerana kita ada doa. Allah dengar doa kita.

Beri peluang bukan sehingga akhir, tapi seketika. Kalimah رُوَيدًا bermaksud ‘sekejap sahaja lagi’ (ini isim tasghir). Ini kerana Allah sudah rancang untuk puak Muslim berhijrah, nanti akan ada Perang Badr, Uhud dan macam-macam lagi yang akan berlaku.

Nota: dalam keseluruhan surah ini, Allah hanya berkata-kata kepada Nabi sahaja. Langsung tak bercakap kepada orang kafir. Ini adalah sebagai penghinaan kepada mereka. Tak layak Allah berkata kepada mereka. Kerana murka dengan mereka.

Ayat-ayat dalam surah-surah selepas ini adalah tentang tauhid. Akan banyak ditekankan tentang tauhid dan perkara-perkara yang menghalang kepada manusia untuk menerima tauhid, iaitu dunia. Allah tahu manusia tolak tauhid kerana terlalu sayangkan dunia maka Allah beritahu apakah hakikat dunia itu.

Maulana Hadi: at-Thoriq

Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-A’la. 


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 086: at-Tariq and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s