Tafsir Surah Burooj Ayat 11 – 22 (Qalqalah)

Ayat 11:

إِنَّ الَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ لَهُم جَنّاتٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهارُ ۚ ذٰلِكَ الفَوزُ الكَبيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who have believed and done righteous deeds will have gardens beneath which rivers flow. That is the great attainment.

(MALAY)

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal yang saleh bagi mereka syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; itulah keberuntungan yang besar.

 

إِنَّ الَّذينَ آمَنوا

Sesungguhnya orang-orang yang beriman

Iaitu beriman dengan iman yang sempurna. Maksudnya, bukan hanya percaya dengan segala yang perlu dipercayai (rukum iman dan perkara-perkara yang lain), tapi ia juga bermaksud meninggalkan kepercayaan syirik. Inilah baru dikatakan beriman yang sempurna.

 

وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ

dan mengerjakan amal-amal yang saleh

Bukan sahaja mengaku beriman dalam hati, tapi juga hendaklah diikuti dengan melakukan amal ibadat dan amalan yang baik. Dan yang penting kena diketahui, amalan itu hendaklah amalan yang soleh – apakah amalan yang soleh? Amalan yang soleh adalah amalan yang sunnah dari Rasulullah. Ini penting diketahui kerana ramai dari kalangan kita tidak faham apakah amalan yang soleh. Ramai dari kalangan masyarakat kita yang banyak amal, tapi malangnya amalan mereka adalah amalan bidaah yang tidak diterima.

 

لَهُم جَنّاتٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهارُ

bagi mereka syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai;

Di dalam ayat 10 sebelum ini, orang kafir masuk neraka kerana mereka telah menyeksa orang Islam. Ini kita tahu dari kalimah فَلَهُم عَذابُ جَهَنَّمَ yang ada ف menunjukkan ‘kerana’ mereka menyeksa orang mukmin itu, ‘maka’ mereka dimasukkan ke dalam neraka. Akan tetapi, huruf ‘ف’ tiada dalam ayat ini, terus لَهُم sahaja kerana kita masuk syurga bukan kerana amalan kita. Kita masuk syurga adalah kerana rahmat Allah sahaja, bukan disebabkan amalan kita. Memang kita berusaha beribadat kepadaNya dengan harapan Dia akan memasukkan kita ke dalam syurga. Tapi kita masuk bukanlah kerana amal kita kerana amal kita tidak dapat balas pun segala nikmat yang Allah telah berikan kepada kita. Maka, janganlah kita sangka kita akan masuk syurga kerana amalan kita, kerana kedudukan kita, tidak; kita hanya dapat masuk ke dalam syurga atas rahmat dari Allah.

Taman syurga adalah lebat sangat sampai tak nampak tanah lagi dah. Macam jin kita tak nampak kerana tersembunyi dari pandangan kita; begitu juga janin pun kita tidak nampak sebab dalam perut. Jin dan janin itu dari katadasar yang sama dengan jannah yang mengandungi maksud ‘tidak kelihatan’. Jannah itu lebat sangat dengan tanaman indah sampaikan tanahnya sendiri pun tidak nampak kerana lebat sangat. Inilah tempat tinggal yang paling baik sekali. Tidak kira siapa sahaja, tentu mahukan tempat tinggal yang baik. Semakin bagus tempat tinggal itu, lagi manusia suka. Dan kalau rumah itu ada taman, lagilah cantik. Kerana itulah Allah sebut tentang tanaman yang lebat dan menghijau dalam syurga kerana begitulah yang Allah akan beri balasan kepada mereka yang beriman kerana Allah tahu apa yang dalam hati manusia. Allah memang tahu yang kita memang suka ada tanaman menghijau.

Bukan sahaja manusia suka taman, manusia juga suka dengan air. Taman dan air adalah apa yang memang manusia mahukan dan Allah memberikannya kepada manusia yang berjaya dalam menjalani kehidupan yang baik semasa di dunia. Kedua nikmat taman dan air in ibanyak disebut dalam Quran untuk memberi motivasi kepada kita. Ini adalah kerana manusia memang suka kalau duduk di kawasan yang ada air. Kalau tempat tinggal itu ada kolam, ada tasik, itu menambahkan lagi harga kawasan perumahan itu. Tambah pula kalau air itu jenis air yang mengalir, lagilah bagus sebab kalau air mengalir, ianya lebih segar lagi dari air yang tidak bergerak seperti air tasik. Jadi, dalam syurga, Allah selalu menyebut di bawahnya ada air sungai yang mengalir.

 

ذٰلِكَ الفَوزُ الكَبيرُ

itulah keberuntungan yang besar.

Apabila kalimah الفَوزُ الكَبيرُ digunakan dalam Quran, penerangan yang diberikan adalah sederhana sahaja. Kalau kalimah الفَوزُ عَظيمٌ yang digunakan, lagi banyak maklumat yang akan disebut. Ini menunjukkan bahawa banyak jenis kejayaan yang diberikan kepada manusia. Dan kalau kalimat الفَوزُ مبين yang digunakan, tidak banyak maklumat tentang nikmat yang disebut dalam ayat itu. Oleh itu, dalam ayat ini, maklumat sederhana sahaja yang disebut – ada taman dan ada sungai yang mengalir di bawahnya.


 

Ayat 12: Ada iltifad dalam ayat ini. Iltifad adalah perubahan. Iaitu dalam menyebut tentang sesuatu kisah, tiba-tiba ayat Quran bertukar arah menyebut tentang perkara lain pula. Kenapa dalam Quran ada banyak iltifad? Ini adalah salah satu dari keindahan tema yang digunakan dalam Quran supaya ianya lebih segar penceritaan di dalamnya. Bayangkan dalam kelas ada guru dan ada beberapa kumpulan anak murid dalam kelas itu. Ada pelajar yang bagus dan ada pelajar yang tidak bagus. Dalam masa yang sama dalam kelas itu juga ada pembantu guru itu. Kadang-kadang guru bercakap kepada kumpulan A yang bagus dengan memujinya, kadang-kadang guru itu bercakap kepada kumpulan B yang buruk pencapaian mereka. Dan kadang-kadang guru itu bercakap dengan pembantu dia tentang pelajar-pelajar yang berbagai jenis itu. Jadi apabila iltifad berlaku, Allah berubah untuk bercakap kepada kumpulan yang lain pula.

Pelajar yang baik ada orang mukmin dan pelajar yang buruk adalah mereka yang kafir. Dan pembantu guru itu adalah Nabi. Sekarang Allah melakukan iltifad dengan bercakap kepada Nabi Muhammad pula.

إِنَّ بَطشَ رَبِّكَ لَشَديدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, the assault [i.e., vengeance] of your Lord is severe.

(MALAY)

Sesungguhnya azab Tuhanmu benar-benar keras.

 

بَطشَ adalah apabila kita pegang seseorang dengan kuat sampai dia tidak boleh lepas dari pegangan kita. Dan dia tidak boleh lepaskan diri kerana kita lebih kuat dari dia. Allah hendak memberitahu Nabi bahawa sesungguhnya genggaman Allah sangatlah hebat. Dan kalau Allah yang genggam tak boleh lepas lagi. Allah nak beritahu Nabi bahawa nanti Allah akan pegang orang kafir sampai mereka tidak dapat lepaskan diri mereka dari azabNya.

Akan tetapi, cuba kita fikirkan waktu surah ini diturunkan, siapa yang kuat? Tentulah semasa ayat ini diturunkan, orang kafir yang lebih kuat dari Muslim. Dan waktu itu mereka sedang menindas dan menggegam orang Muslim dengan kejam sekali. Allah hendak memberitahu Nabi dan orang mukmin, walaupun orang kafir ada juga menggenggam mukmin termasuk mereka menyusahkan Nabi Muhammad sendiri, tapi genggaman mereka itu tidaklah dapat dibandingkan dengan genggaman Allah. Nanti bila sampai masanya, kena tunggu sahaja dan yakin dengan Allah. Sekarang, Allah lihat sahaja dulu apa yang mereka sedang lakukan dan Allah akan balas segala perbuatan jahat mereka itu nanti.


 

Ayat 13:

إِنَّهُ هُوَ يُبدِئُ وَيُعيدُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, it is He who originates [creation] and repeats.

(MALAY)

Sesungguhnya Dialah Yang menciptakan (makhluk) dari permulaan dan menghidupkannya (kembali).

 

Kita boleh lihat ada penekanan ‘Dia’ sampai tiga kali dalam ayat ini. Semuanya merujuk kepada Allah. إِنَّهُ (sesungguh Dia), هُوَ (Dia) dan ada kalimah Dia yang tersembunyi dalam يُبدِئُ.

Maksudnya, Allah hendak menekankan sampai tiga kali yang Dialah yang menciptakan manusia pada awalnya dan Dia yang akan mengulang penciptaan mereka kembali. Orang yang membunuh mukmin dalam asbabun nuzul surah ini mungkin menyangka yang orang-orang mukmin itu mati tapi mereka semua akan dibangkitkan di alam akhirat nanti. Mereka yang menyeksa orang mukmin itu tidak mati begitu sahaja, tapi mereka akan dibangkitkan kembali (يُعيدُ) untuk menerima balasan dari perbuatan mereka. Jadi jangan mereka sangka mereka akan terlepas. Ini adalah peringatan kepada Musyrikin Mekah dan kepada orang-orang kafir yang sedang menindas umat Islam, jaga-jagalah kamu nanti. Kamu sangka kamu hidup dan kamu mati begitu sahaja? Kamu ingat kamu dihidupkan sekali sahaja? Alangkah salahnya sangkaan kamu itu!

Jadi, kalau ada yang kata, kenapalah Tuhan tidak buat apa-apa sampai membenarkan ada orang yang dizalimi begitu teruk sekali? Maka ingatlah bahawa Allah akan balas segala kesalahan manusia itu dan mereka akan diadili dengan adil dan kalau mereka zalim, mereka akan menerima balasan atas kezaliman mereka itu. Kehidupan ini bukan di dunia sahaja, tapi akan ada kehidupan di akhirat kelak. Kalau susah sementara di dunia, kena zalim, kena bunuh dan sebagainya, itu hanyalah sebagai ujian sahaja; kalau beriman, mereka akan mendapat kehidupan yang kekal abadi dalam kenikmatan yang tidak ada bandingan. Dan mereka yang kafir, yang menindas dan membunuh umat Islam, mereka juga akan dibangkitkan dan akan dibalas dengan azab. Mereka akan diadili dengan adil dan akan mendapat balasan yang setimpal.


 

Ayat 14: Sekarang ada iltifad lagi dimana Allah bercakap kepada semua orang pula. Allah menyebut tentang DiriNya pula.

وَهُوَ الغَفورُ الوَدودُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And He is the Forgiving, the Affectionate,

(MALAY)

Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Pencinta,

 

Dialah yang maha pengampun dan maha pencinta.

Allah bersifat الغَفورُ. Oleh itu, walaupun orang kafir telah membunuh orang-orang mukmin itu, tapi kalau mereka belum mati lagi, mereka boleh lagi minta ampun dan Allah akan memberi ampun. Allah ingatkan kepada orang kafir yang sedang menzalimi orang Islam di Mekah, pintu taubat masih terbuka lagi untuk mereka. Cuma kena berhenti dari buat kezaliman dan perbaiki diri dan beriman, mesti Allah akan ampunkan dosa mereka.

Mungkin ada yang berkata, kenapa ada kesusahan dan kenapa ada orang yang dizalimi dengan teruk sekali? Maka Allah ingatkan kita dengan sifatNya yang Maha Pengampun ini. Segala kesusahan yang kita alami dalam dunia ini ada nilainya. Kalau kita bersabar atas kesusahan dan kezaliman itu, ia akan menjadi sebab untuk kita diampunkan dari dosa-dosa kita. Sebagai contoh, kalau kita jatuh sakit dan kita bersabar dengan kesakitan itu, Allah akan ampunkan dosa-dosa kita. Maka, kalau ada yang dizalimi dan nampak macam Allah tidak buat apa-apa sahaja, ketahuilah bahawa mereka itu akan mendapat kebaikan yang amat banyak sekali kalau mereka dapat bersabar.

الوَدودُ Allah juga amat mencintai dengan kuat. Walaupun surah ini cerita berkenaan mukmin diseksa dan dibunuh, tapi Allah mahu mengingatkan manusia bahawa Dia adalah amat penyayang dan amat mencintai hamba-hambaNya. Kerana kalau kita tidak sedar dan kenal Allah, maka tentu kita akan rasa yang Allah tidak sayang kita. Jadi Allah ingatkan kita yang Allah amat sayang kepada hambaNya. Jangan salah sangka dengan Allah, jangan sangka yang Allah tidak sayang kita kerana segala kesusahan yang kita alami. Ada kebaikan dalam kesusahan dan kesakitan yang kita alami, cuma kita mungkin tidak perasan sahaja.


 

Ayat 15: Kalau kita perasan, surah ini stailnya banyak menggunakan lafaz ذُو kerana menceritakan tentang ‘kepunyaan’, ‘pemilikan’. Sekarang kita lihat bagaimana ada lagi lafaz ذُو digunakan.

ذُو العَرشِ المَجيدُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Honorable Owner of the Throne,

(MALAY)

yang mempunyai ‘Arsy, lagi Maha Mulia,

 

Dialah Allah yang mempunyai arash yang amat tinggi kemuliaannya. Dan Allah itu lagi tinggi dari Arash itu, maka tiada lagi yang lebih mulia dari Allah.

Lafaz al-majid ada dua qiraat mengenainya, ada yang membacanya rafa’ المَجيدُ kerana menganggapnya menjadi sifat dari Ar-Rabb (seperti dalam ayat ini); sedangkan bacaan lainnya ialah dalam bentuk jar المَجيدِ kerana menganggapnya menjadi sifat dari ‘Arasy. Kedua-duanya dibenarkan. Maaf, ada tambahan dari segi i’rab pula, kepada mereka yang memahaminya.


 

Ayat 16: Kerana kedudukan Allah itu, kita tidak boleh mempersoalkan apa yang Allah buat.

فَعّالٌ لِما يُريدُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Effecter of what He intends.

(MALAY)

Maha Kuasa berbuat apa yang dikehendaki-Nya.

 

Allah Yang berkuasa melakukan apa sahaja yang Dia mahu. Kita tidak boleh suruh kepada Allah. Dialah sahaja yang menentukan. Yang kita boleh buat adalah kita boleh berdoa sahaja dan minta kepada Allah, tetapi Allah buat apa yang Dia hendak buat. Oleh itu kita kena ingat: makhluk minta kepada Allah adalah wajib; tapi samada Allah nak kabulkan permintaan itu atau tidak, itu harus sahaja.

Sebagai contoh, dalam ayat ini, orang kafir telah melakukan kezaliman kepada orang mukmin, tapi Allah buat keputusan untuk tidak buat apa-apa. Kita tidak boleh marah kalau Allah buat keputusan begitu kerana Allah berhak buat apa sahaja. Allah cuma biarkan sahaja orang kafir buat apa yang mereka hendak tapi nanti mereka akan dihukum di akhirat.

Kita kena terima apa sahaja yang Allah kenakan kepada kita, sebagaimana yang diriwayatkan kepada kita dari Abu Bakar As-Siddiq r.a. ketika dikatakan kepadanya saat ia menjelang ajalnya, “Apakah tabib telah memeriksamu?” Abu Bakar menjawab, “Ya.” Mereka bertanya, ‘”Apakah yang dikatakan olehnya?” Abu Bakar menjawab, ”Dia berkata kepadaku ‘Sesungguhnya Aku Mahakuasa berbuat apa yang Kukehendaki’.”


 

Ayat 17: Sekarang iltifad kepada kisah yang lain pula.

هَل أَتاكَ حَديثُ الجُنودِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Has there reached you the story of the soldiers –

(MALAY)

Sudahkah datang kepadamu berita tentang tentera-tentera,

 

Adakah sampai kepada kamu cerita tentang bala tentera? Maksudnya, tentang apakah yang terjadi kepada mereka? Ayat ini pendek dan menyebabkan kaum Arab Mekah tertanya-tanya, tentera apakah yang dimaksudkan? Ini menarik perhatian mereka untuk mendengar apa lagi yang hendak disampaikan.

Kalimah حَديثُ digunakan untuk perkara baru. Jadi ini adalah cerita yang baru ataupun cerita lama yang telah dilupakan. Kerana telah lama dilupakan, sampaikan bila disebut balik, ia seolah-olah perkara baru.

الجُنودِ bermakna tentera yang professional, yang dilatih dan kerja mereka memang tentera. Ini berbeza dengan جيش (jaish) dimana tentera adalah dari kalangan rakyat biasa. Seperti contohnya perang Badr, ahli Badr itu adalah golongan petani, peniaga dan orang biasa sahaja. Oleh itu, kalau disebut tentang جُنودِ, tentu mereka yang mendengarkan akan tertanya-tanya, tentera negara manakah yang dimaksudkan?


 

Ayat 18: Inilah tentera yang dimaksudkan; mereka juga menyeksa orang beriman.

فِرعَونَ وَثَمودَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Those of] Pharaoh and Thamūd?

(MALAY)

(yaitu kaum) Fir’aun dan (kaum) Tsamud?

 

Allah menceritakan tentang tentera Firaun dan Kaum Tsamud yang memang mempunyai bala tentera dan tamadun yang tinggi. Mereka memang dikenali oleh ahli kitab dan kaum Musyrikin Mekah kerana mereka melalui tinggalan kaum Tsamud apabila mereka mengembara untuk berdagang dan mereka juga pernah mendengar kisah tentang Firaun. Kerana itulah Allah menggunakan contoh Firaun dan Tsamud. Tapi kisah mereka tidak berapa jelas kerana telah lama ditinggal zaman. Jadi digunakan lafaz حَديثُ kerana walaupun ianya kisah lama, tapi kerana telah lama dilupakan, maka ianya seolah-olah perkara baru sahaja kepada mereka yang baru mendengarnya.

Kedua-dua kaum besar itu telah dimusnahkan Allah dengan azab semasa di dunia lagi. Tapi siapakah kamu wahai bangsa Quraish Mekah kalau dibandingkan dengan mereka? Begitu juga dikatakan terhadap sesiapa sahaja dari setiap zaman, siapa kamu? Kamu berlaku zalim kepada puak Muslim, apa kamu kuat sangatkah? Yang lebih besar dari kamu pun Allah dah pernah musnahkan dengan mudah sahaja. Kamu tidak ada apa-apa, binaan tidak ada, tentera pun tidak ada, tapi kamu berlagak besar sampai kamu sanggup nak buat zalim kepada Nabi Muhammad dan sahabat baginda? Maka ambillah dari sejarah yang telah berlalu itu, jangan kamu jadi seperti mereka pula.


 

Ayat 19: Orang Mekah walaupun mereka tahu kisah silam, mereka tidak ambil pengajaran pun.

بَلِ الَّذينَ كَفَروا في تَكذيبٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But they who disbelieve are in [persistent] denial,

(MALAY)

Sesungguhnya orang-orang kafir selalu mendustakan,

 

Kaum musyrikin itu sebenarnya sentiasa di dalam keadaan mendustakan kebenaran. Mereka telah tenggelam dalam sifat itu kerana teruk sangat. Setelah diberikan dengan segala dalil dan hujah, tapi mereka tidak mahu terima juga. Bukanlah kerana Nabi salah dakwah atau hujah tidak kuat, tapi kerana mereka telah tenggelam dalam sifat mereka yang buruk itu. Buat apa pun tak jadi juga. Jadi jangan salahkah diri kamu wahai Nabi dan para sahabat.


 

Ayat 20: Yang pasti, mereka tidak akan terlepas.

وَاللَّهُ مِن وَرائِهِم مُحيطٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

While Allāh encompasses them from behind.¹

  • See footnote to 2:19.

(MALAY)

padahal Allah mengepung mereka dari belakang mereka.

 

Allah mengepung, melingkungi mereka dari belakang. Juga bermaksud dari depan dan dari tepi – maksudnya sekeliling mereka. Kerana digunakan lafaz مُحيطٌ, maka itu bermaksud sekeliling mereka. Mereka tidak ada tempat nak lari lagi. Ini adalah ancaman kepada mereka.


 

Ayat 21: Apa yang mereka dustakan?

بَل هُوَ قُرآنٌ مَجيدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But this is an honored Qur’ān

(MALAY)

Bahkan yang didustakan mereka itu ialah Al Quran yang mulia,

 

Yang mereka dustakan adalah wahyu Quran. Sesungguhnya Quran yang mereka dustakan itu adalah amat mulia. Jangan kita sangka atau berfahaman bahawa Quran tidak boleh dijadikan sebagai alat dakwah. Tidak ada salah dengan Quran itu tapi mereka yang telah tenggelam dalam kedustaan mereka sahaja yang tidak dapat terima. Dan kalau mereka tidak terima pun, Quran itu tetap mulia, ianya tetap tinggi.

Ingatlah yang Quran itu sudah cukup untuk dijadikan sebagai sumber dakwah kita. Ingatlah yang dakwah yang digunakan oleh Nabi Muhammad adalah Quran. Tapi orang kita banyak yang tidak faham Quran tapi gunakan macam-macam cara lain untuk berdakwah kepada manusia – guna lagu, guna sajak, guna lawak jenaka dan sebagainya. Tapi Quran jarang digunakan. Maka hendaklah kita kembali berdakwah dengan menggunakan Quran seperti yang dilakukan oleh Nabi dan juga para sahabat baginda. Quran tidak pernah lekang dari mereka dan begitu juga kita, kena merapatkan diri lagi dengan Quran. Oleh itu kena belajar tafsir. Tidakkah kita mahu kenal Quran yang mulia ini?


 

Ayat 22: Lagi satu sifat Quran.

في لَوحٍ مَحفوظٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Inscribed] in a Preserved Slate.

(MALAY)

yang (tersimpan) dalam Lauh Mahfuzh.

 

Quran itu terpelihara, dipeliharai oleh Allah. Maksudnya, Al-Qur’an itu di kalangan para malaikat terpelihara dari segala bentuk pengurangan, penambahan, perubahan, dan penyimpangan. Oleh itu ia tidak akan ada apa-apa kesalahan di dalamnya. Allah telah berjanji yang Dia sendiri akan menjaga Quran. Maka jangan kita ada rasa sangsi langsung dengan Quran ini.

Surah ini berkenaan dengan ummat mukmin dahulu kala yang diseksa. Dan kerana mereka ada yang terseksa dan ada yang mati kerana iman mereka, nampak seperti mereka tidak terjaga. Tapi Allah sebut yang Dia memelihara Quran pula. Oleh itu, ini memberi isyarat, Quran memberi kekuatan kepada orang mukmin yang diseksa. Quran memberi harapan kepada mereka yang menjalankan dakwah. Selama mereka berpegang dengan Quran, usaha dakwah mereka akan berjaya. Musuh boleh merosakkan pada pendakwah, seksa, tangkap dan masukkan dalam penjara, malah bunuh mereka, tapi mereka tidak dapat hendak merosakkan Quran. Jadi kita kena dapatkan kekuatan dengan Quran. Untuk itu, kena belajar dan kena tadabbur setiap hari.

 

Penutup:

Surah ini dimulakan dengan orang-orang beriman ditindas, diseksa malah dibunuh. Dan di hujung surah ini orang beriman diajar bahawa kita boleh mendapat kekuatan dan ketenangan fikiran dengan Quran.

Nota: Sedikit refleksi tentang keindahan Quran dalam bentuk tajwid. Kalau anda lihat semula ayat-ayat surah ini, semua ayat dalam surah ini diakhiri dengan Qalqalah kecuali ayat terakhir. Ini adalah salah satu keindahan Quran dalam surah ini. Apabila surah ini berakhir, maka barulah penghujung dengan qalqalah itu berakhir. Allah susun surah ini dengan begitu indah sekali.

Maulana Hadi: al-Buruj

Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 085: Burooj. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s