Tafsir Surah Burooj Ayat 1 – 10 (Pembunuhan beramai-ramai)

Pengenalan: 

Sebelum ini telah disebut tentang langit dalam surah-surah sebelum ini. Sudah banyak ayat-ayat tentang langit, termasuk dalam juz amma sebelum ini. Tapi disebut tentang langit-langit itu akan dihancurkan, bukan? Kerana itulah kesudahan kepada langit, ia akan dihancurkan juga akhirnya. Oleh itu, sekarang langit menunggu sahaja bilakah ia akan dihancurkan. Langit yang kita sedang lihat ini indah dan kukuh akan hancur juga akhirnya. Tetapi Surah Burooj ini adalah tentang keadaan langit sekarang, bukan apa yang akan terjadi.

Dalam surah ini, Allah nak beritahu yang Allah tahu semua kekejaman yang dilakukan manusia dan mereka tidak akan ada yang terlepas dari penghukuman Allah.


 

Ayat 1: Allah mulakan dengan menceritakan kekuatan langit. Allah mulakan dengan sumpahan.

وَالسَّماءِ ذاتِ البُروجِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Burūj: The Great Stars. Also explained as “the planets” or their “high positions in the heaven.”

By the sky containing great stars

(MALAY)

Demi langit yang mempunyai gugusan bintang,

 

Allah bersumpah dalam ayat ini. Seperti yang kita telah sebelum-sebelum ini, apabila Allah bersumpah dengan sesuatu, itu menunjukkan kepentingan dan kebesaran perkara itu. Dan seperti kita telah tahu, selalunya sumpah digunakan apabila Allah marah kepada mereka yang tidak percaya. Apabila tidak dipercayai, jadi sumpah itu untuk menguatkan kata-katanya.

Sumpah itu juga digunakan sebagai saksi kepada sesuatu pernyataan. Jadi apabila Allah menggunakan langit sebagai sumpah, Allah hendak menjadikan langit sebagai saksiNya. Tetapi saksi kepada apa? Itu dinamakan jawabul qasm (jawap kepada sumpah) yang akan datang kemudian.

Allah bersumpah ‘demi langit yang mempunyai al-burooj’. Ianya adalah gugusan bintang-bintang yang bergemerlapan di langit. Burooj adalah jamak kepada burj yang dari segi bahasa bermaksud sesuatu yang tinggi yang menyebabkan kita perlu mendongak untuk melihatnya. Seperti juga kubu kerana kubu itu adalah sesuatu yang besar dan tinggi dan kita kena dongak untuk melihat keseluruhan kubu itu. Dan gugusan bintang pun dipanggil burj kerana kita kena dongak ke langit untuk tengok bintang-bintang itu. Orang zaman dahulu selalu tengok langit sebagai panduan mereka dalam perjalanan dan panduan dalam kehidupan. Pandauan dalam perjalanan malam kita faham tapi bagaimana dengan panduan dalam kehidupan? Ini terjadi kerana ada orang yang kaji bintang dan mereka bahagikan bintang-bintang kepada 12 gugusan yang setiap satunya dipanggil buruj. Kalau zaman sekarang dipanggil zodiak. Mereka sangka yang bintang-bintang itu menentukan kehidupan manusia atau menceritakan tentang masa hadapan. Ini adalah perkara khurafat kerana tidak ada dalam agama dan tidak ada kaitan langsung. Malangnya, ada juga orang kita yang selalu tengok horoskop untuk melihat nasib mereka. Ini adalah perkara kufur dan kena ditinggalkan.

Kalau anda perasan, dalam surah-surah sebelum ini, bintang digunakan lafaz najm dan kawaakib. Tapi kenapa digunakan kalimah lain untuk bintang pula dalam surah ini? Ini adalah kerana Allah nak menceritakan bagaimana langit itu ada kubu. Tentu kita dapat bayangkan kubu, bukan? Yang ada di kubur itu selalunya adalah tentera dan dalam kes ini tentera Allah adalah para malaikat yang berkumpul di langit menunggu sahaja arahan dari Allah apabila perlu. Mereka tunggu sahaja arahan dari Allah untuk turun dan menjalankan tugas mereka. Dan tentera-tentera ini memang telah pernah turun ke bumi memberi bantuan kepada para Nabi sebelum ini dalam peperangan. Sekarang ini mereka tunggu sahaja arahan dari Allah.

Dan ini membangkang pendapat kaum Musyrikin Mekah yang mengatakan bahawa jin ada di langit yang boleh mencuri maklumat dari langit. Dan mereka dakwa Nabi Muhammad dapat maklumat dari jin-jin itu sampai mereka panggil Nabi Muhammad sebagai majnoon (yang dirasuk jin). Dalam ayat ini dan ayat-ayat lain memberitahu kita yang ini tidak mungkin sebab ada tentera malaikat yang akan menghambat mereka. Tidak ada sesiapa lagi yang dapat mencuri maklumat dari langit. Dan pastinya Nabi Muhammad tidak mendapat wahyu dari langit, tapi dari Allah SWT sendiri melalui perantaraan para malaikat yang dipercayai.

Dan bintang-bintang ini adalah peringatan kepada manusia bahawa ianya akan hancur seperti yang telah disebutkan dalam ayat-ayat sebelum ini. Ini kita telah tahu seperti yang telah diberitahu dalam ayat-ayat dalam surah-surah sebelum ini. Maka apabila kita melihat kepada bintang-bintang itu sekarang maka ingatlah bahawa semuanya akan hancur belaka di hari kiamat nanti. Oleh itu, setiap kali kita melihatnya, kita akan teringat yang ianya akan hancur.


 

Ayat 2: Bilakah langit akan hancur? Ini adalah sumpah yang kedua, iatu tentang hari yang telah dijanjikan.

وَاليَومِ المَوعودِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [by] the promised Day

(MALAY)

dan hari yang dijanjikan,

 

Hari yang dijanjikan itu adalah Hari Kebangkitan. Maka sumpah yang kedua ini: Dan demi hari kebangkitan yang telah dijanjikan. Itulah hari dimana langit dan alam ini akan dihancurkan dan itulah hari dimana Allah akan membalas segala perbuatan manusia. Di dalam ayat dalam surah-surah juz amma sebelum ini telah diceritakan yang orang kafir Mekah tidak mahu mempercayai adanya hari kiamat. Allah memberi peringatan kepada mereka bahawa hari itu pasti datang kerana telah ‘dijanjikan’ oleh Allah sendiri. Dan kalau Allah yang berjanji, itu pasti akan terjadi. Pada hari itu, segala perbuatan salah manusia akan dibalas dengan adil. Allah ingatkan mereka supaya jangan lagi buat zalim kepada manusia lain kerana mereka akan dipertanggungjawabkan. Jangan mereka berbuat sesuka hati, ingatlah yang hari kiamat pasti akan datang dan mereka akan dibalas dengan buruk kalau mereka tidak berhenti dari berlaku zalim lagi.

Walaupun hari itu amat menakutkan, tapi ini adalah berita baik sebenarnya kepada muslimin. Berita baik yang pertama tadi adalah tentang malaikat-malaikat di langit yang sentiasa bersedia untuk turun membantu muslimin apabila diarahkan oleh Allah. Ini adalah kerana apabila pihak kafir yang ada kedudukan dan ada kuasa hendak memadamkan dakwah tauhid, mereka menggunakan kekerasan dan selalunya pihak muslim akan tertindas. Oleh itu, Allah beri berita gembira kepada puak muslim yang Dia ada tentera para malaikat yang menjadi tentera yang akan membantu umat Islam. Ini telah pernah terjadi seperti dalam Perang Badr dimana Allah menurunkan para malaikat untuk membantu tentera muslim. Jadi dengan berita gembira itu, umat Islam jangan rasa keseorangan.

Berita baik kedua adalah dalam ayat ini – perjanjian tentang hari kiamat. Allah nak beritahu yang akan ada keadilan untuk semua orang nanti. Perbuatan baik akan dibalas baik dan perbuatan jahat akan dibalas dengan balasan yang setimpal. Memang umat Islam kena tekan, kena seksa dan sebagainya oleh pihak musuh dan kalau mereka selamat di dunia pun, kamu wahai orang kafir tidak akan selamat di hari akhirat nanti. Maka, apabila umat Islam dengar bahawa semuanya akan dibalas nanti, maka tenanglah hati mereka, dapatlah mereka bersabar dengan kesusahan di dunia ini sekarang. Kerana mereka tahu yang itu adalah sementara sahaja.


 

Ayat 3: Sumpah yang ketiga.

وَشاهِدٍ وَمَشهودٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [by] the witness and what is witnessed,

(MALAY)

dan yang menyaksikan dan yang disaksikan.

 

Dan demi yang menyaksikan dan yang disaksikan. Kalimah شهد maksudnya sedang melihat dan selalunya bermaksud sesuatu yang ada berdekatan dengan yang melihat. Ini adalah kerana kalau nak saksi, kenalah ada berdekatan untuk melihatnya, bukan? Sebagai contoh, kalau ada saksi di mahkamah, hakim akan memastikan yang saksi itu memang ada nampak yang terjadi, kalau tidak dia akan ditolak sebagai saksi. Jadi, maksud شاهِدٍ adalah mereka yang sedang menyaksikan, atau telah menyaksikan.

Dan salah satu lagi maksud شاهِدٍ adalah ‘pembantu’. Kerana mereka yang duduk dekat dengan kitalah yang boleh jadi pembantu kita.

Penyaksian adalah ringkasan agama Islam. Banyaklah contoh persaksian dalam quran. Oleh kerana dalam ayat ini tidak ada ada ال dalam kalimah شاهِدٍ dan مَشهودٍ, ini bermaksud ianya dalam bentuk umum – boleh merangkumi banyak penyaksi dan apa yang disaksi, tidak merujuk kepada sesuatu yang khusus. Banyak yang boleh termasuk dalam dua ayat ini. Sebagai contoh, kita adalah شاهِدٍ yang akan menyaksikan hari pembalasan (مَشهودٍ). Kita telah belajar banyak ayat-ayat tentang kejadian di hari kiamat dan hari akhirat nanti adalah مَشهودٍ dan kita akan menjadi شاهِدٍ nanti. Kerana akan sampai masanya nanti yang kita akan melihat sendiri dengan mata kita keadaan pada hari kiamat itu. Jadi, kita kena fikirkan, samada kita hendak menyaksikan kejadian pada hari itu dengan hati yang gembira atau dengan hati yang amat takut?

Contoh lagi lagi, segala makhluk Allah bersaksi akan keesaan Allah. Makhluk-makhluk lain telah terima yang Allah itu adalah esa, kecuali ramai dari kalangan manusia yang jin yang tidak mahu menyaksikan.

Orang Arab zaman dahulu selalu melalui dan melihat tempat kaum-kaum dahulu yang telah dihancurkan kerana kekafiran dan kesyirikan mereka dan kerana mereka menentang Rasul-rasul mereka. Itu semua adalah مَشهودٍ dan mereka yang melihat itu adalah شاهِدٍ. Allah ingatkan dalam ayat ini yang Musyrikin Mekah itu sendiri sudah lihat bagaimana ada kaum-kaum dahulu yang telah dihancurkan kerana mereka meentang rasul mereka dan tidak beriman dengan Allah. Maka ambillah pengajaran dari mereka itu; janganlah mereka melakukan perkara yang sama seperti apa yang mereka telah lakukan kepada Nabi Muhammad. Mereka tidak takutkah yang mereka akan dibalas seperti itu juga nanti?

Dan tempat-tempat yang telah telah dikenakan azab itu sendiri menjadi saksi kepada keadilan Allah dimana apabila mereka menentang Allah, maka Allah akan balas dengan adil.

Sebelum ini dalam surah-surah sebelum ini telah disebutkan tentang malaikat yang menulis apa yang kita lakukan. Mereka juga شاهِدٍ dan kita مَشهودٍ. Dan kita kena ingat yang ini sedang berlaku sekarang. Setiap perbuatan kita sedang ditulis oleh para malaikat itu. Apabila kita baca ayat ini, secara otomatik kita akan teringat tentang segala perbuatan kita dan teringatlah kita yang apa sahaja kita lakukan, ada malaikat yang menyaksikannya walaupun manusia lain tidak nampak.

Nanti di akhirat, kita pula akan melihat malaikat itu. Kita akan jadi شاهِدٍ dan malaikat itu yang menjadi مَشهودٍ. Tapi sekarang, kita tidak dapat melihat mereka dan mereka yang melihat kita. Jadi, sekarang mereka شاهِدٍ dan kita مَشهودٍ.

Masih lagi tentang malaikat, Nabi Muhammad pernah melihat Jibrail di ufuk. Waktu itu Nabi menjadi شاهِدٍ dan Jibrail menjadi مَشهودٍ.

Nabi juga nanti akan menjadi sebagai saksi kepada apa yang telah kita imankan. Allah akan tanya samada amalan yang dilakukan oleh ahli bidaah itu Nabi pernah ajar atau tidak, dan tentunya Nabi akan menjawap bahawa baginda tidak pernah mengajarnya. Jadi ini adalah amaran kepada para pengamal amalan bidaah. Waktu itu nanti Nabi Muhammad akan menjadi شاهِدٍ dan mereka menjadi مَشهودٍ.

Tubuh badan kita menjadi saksi kepada apa yang telah kita lakukan. Kaki, tangan, mata, telinga, kulit malah semuanya nanti akan menjadi شاهِدٍ.

Dan kita semua juga sebagai ummah akhir zaman akan menjadi شاهِدٍ kepada agama yang diamalkan oleh manusia. Kita akan menjadi شاهِدٍ bahawa Nabi-nabi setiap umat telah menyampaikan ajaran tauhid. Tapi bagaimana mungkin kita boleh tahu sedangkan kita tidak hidup sezaman dengan mereka? Ini terjadi kerana kita baca kisah-kisah mereka dalam Quran dan dalam Quran telah disebut yang para Rasul semua telah menyampaikan ajaran mereka kepada umat mereka, cuma umat mereka sahaja yang tidak ikut. Jadi, yang boleh jadi شاهِدٍ waktu itu hanyalah mereka yang mempelajari tafsir Quran lah sahaja.

Selain dari Nabi Muhammad, Nabi Isa juga akan dipanggil di akhirat kelak untuk menjadi شاهِدٍ bagi Allah. Kerana akidah salah umat baginda, dan mereka itu ramai, maka Allah akan panggil Nabi Isa dan Allah akan tanya Nabi Isa, adakah baginda pernah ajar umat baginda untuk puja, sembah baginda? Tentu sekali baginda jawap tidak pernah; Semasa baginda hidup, golongan hawariyyun minta baginda jadi شاهِدٍ atas iman mereka. Tapi sekarang, penganut Kristian sudah lari dari agama yang dibawa oleh Nabi Isa a.s, dan kita disuruh untuk minta mereka jadi شاهِدٍ yang kita adalah muslim. Iaitu apabila kita dakwah agama tauhid kepada mereka, mereka tidak mahu terima, maka waktu itu kita minta mereka jadi شاهِدٍ yang kita adalah muslim.

Orang kafir juga boleh dikira sebagai شاهِدٍ kerana orang kafir sekarang bersaksi yang mereka itu kufur, dan mereka kata dengan bangga pula. Nanti mereka akan menyesal atas persaksian mereka itu.

Kalau kita lihat ceramah Nabi Muhammad yang terakhir iaitu semasa khutbah terakhir semasa baginda menjalankan ibadah Haji, baginda ada meminta umat Islam waktu itu jadi شاهِدٍ yang baginda telah menyampaikan apa yang perlu disampaikan. Dan baginda kemudian minta Allah jadi شاهِدٍ yang baginda telah sampaikan.

Oleh itu, ada banyak sekali dan banyak lagi kisah bagaimana شاهِدٍ dan مَشهودٍ ini dalam Quran dan Hadis, dalam kisah perjalanan hidup manusia. Allah sebut pendek sahaja ayatnya, tapi ia merangkumi amat banyak sekali perkara. Ia boleh dikaitkan dengan banyak perkara.

Dunia juga menjadi شاهِدٍ ke atas kita. Sebagai contoh, hari jumaat sebagai saksi kepada kita yang solat jumaat. Begitu juga, langit dengan segala malaikat sedang menyaksikan apa yang sedang berlaku di dunia.

Asbabun Nuzul ayat ini juga ada berkenaan شاهِدٍ dan مَشهودٍ. Iaitu kisah raja jahat yang mengarahkan dan kemudian melihat rakyatnya yang beriman dimasukkan ke dalam lubang berapi. Ini adalah kisah selepas ini.


 

Ayat 4: Seperti yang disebut sebelum ini, dalam qasam, mesti mempunyai jawapnya. Qasam mesti ada jawabal qasam. Dalam surah-surah sebelum ini, telah diberitahu yang jawabal qasam adalah apabila hari kiamat tiba, langit telah pecah dan macam-macam lagi seperti yang telah disebut dalam ayat-ayat sebelum ini , manusia akan tahu apakah yang mereka telah lakukan selama mereka hidup. Itulah jawabal qasam. Akan tetapi kerana telah disebut beberapa kali dalam surah-surah lain, maka tidak perlu disebut lagi. Jadi tidak ada jawabal qasam dalam surah ini.

Akan tetapi ada juga yang mengatakan, ayat ke 4 ini adalah jawabal qasam bagi tiga ayat qasam sebelum ini. Akan tetapi dari segi bahasa, hujah ini tidak berapa kuat kerana jawabal qasam selalunya ada kalimah ل di dalamnya.

قُتِلَ أَصحابُ الأُخدودِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Destroyed [i.e., cursed] were the companions of the trench¹

  • Or “May they be destroyed” or “cursed.” The “companions of the trench” (or ditch) were agents of a tyrannical king who refused to allow his people to believe in Allāh. Their evil deed in obedience to their ruler earned for them the curse of Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā).

(MALAY)

Binasa dan terlaknatlah orang-orang yang membuat parit,

 

Ada kisah sejarah dalam ayat ini. Tentang seorang raja yang membunuh rakyatnya yang beriman. Allah hendak memberitahu, bukanlah orang Islam zaman Nabi Muhammad yang pertama sekali di seksa. Dari dulu juga lagi telah diseksa para mukmin yang berpegang dengan agama mereka dan mempertahankannya. Kejadian ini berlaku di  Najran. Waktu itu ada raja yang sembah patung berhala dan dia paksa semua rakyat dia ikut dia berbuat syirik sekali. Dan apabila ada yang beriman dengan Allah, dia akan paksa mereka untuk tinggalkan agama Islam dengan kekerasan. Dan apabila telah ramai yang beriman, dia arah untuk dinyalakan api besar dan paksa mereka syirik, dan kalau mereka tidak syirik juga, dia arahkan tentera untuk tolak mereka ke dalam api. Maka waktu itu orang beriman ramai-ramai kena masuk seorang demi seorang.

قُتِلَ dari segi bahasa bermaksud ‘dia telah dibunuh’. Tetapi dalam bahasa Arab, ia juga digunakan sebagai sumpah laknat, iaitu bermaksud melaknat seseorang, semoga orang itu terbunuh.

الأُخدودِ adalah parit besar yang digali dan ianya besar.

أَصحابُ pula adalah sahabat yang sentiasa bersama dengan kamu. Sebagaimana para sahabat sentiasa bersama Nabi Muhammad. Ia juga bermaksud seseoang yang berkaitan dengan sesuatu. Sebagai contoh, ‘ashabul Quran’ adalah mereka yang selalu baca Quran. Nabi Muhammad dikatakan sebagai saahib kepada orang Mekah kerana baginda sentiasa bersama mereka, tidak pergi ke mana-mana. Dalam ayat ini digunakan lafaz أَصحابُ kerana apabila raja dan tentera telah melakukan pembunuhan beramai-ramai di parit besar itu, mereka dikaitkan dengan perbuatan buruk mereka itu. Mereka akan dikenal dengan perbuatan mereka itu sampai bila-bila. Semoga mereka semua dilaknat atas perbuatan mereka itu.

Sambungan dari kisah asbabun nuzul ayat ini: ada seorang budak yang belajar sihir dan juga belajar agama. Dia telah belajar sihir kerana ahli sihir negara sudah lanjut usia dan dia mahu supaya ada orang yang akan mewarisi ilmu sihirnya itu. Maka budak itu telah dilatih dari dia kecil lagi. Tapi dalam masa dia belajar sihir itu, dia telah berjumpa dengan seorang lelaki Islam dan dia berminat untuk belajar agama juga tapi dengan rahsia. Jadi, dia telah belajar tentang sihir dan tentang agama Islam. Dipendekkan cerita, akhirnya rahsianya belajar agama telah terbongkar dan dia dipaksa untuk dibunuh. Akan tetapi kerana dia, ramai orang masuk Islam dan raja marah dan telah menggali parit besar untuk membunuh semua umat yang beriman waktu itu. Kisah ini ada terdapat dalam kitab-kitab tafsir yang lain dan tidak mahu dipanjangkan dalam penulisan ini, boleh rujuk di sana.

Kita baca dan dapat bayangkan betapa kejam sekali perbuatan yang dilakukan oleh raja dan tenteranya itu. Tapi sedarkah kita bahawa kejadian seperti itu masih juga berlaku zaman sekarang? Ini kerana masih ada lagi pembunuhan ramai-ramai dilakukan oleh pemerintah yang ganas. Ramai rakyat yang tidak bersalah yang dibunuh tanpa belas kasihan dan mereka mati terseksa.

Jadi, ayat ini adalah tentang mereka yang telah menggali parit untuk membunuh kaum mukmin. Akan tetapi ulama kata itu bukan kejadian di dunia sahaja. Oleh itu, kepada mereka yang melakukan keganasan itu, ada parit yang berapi akan mereka terima apabila mereka dimasukkan ke dalam neraka nanti. Allah tetap akan hukum mereka dengan cara mereka lakukan dulu di dunia. Tapi di dunia dulu, mereka sekali sahaja dapat kenakan kepada orang mukmin, tapi di akhirat nanti mereka akan dikenakan dengan azab itu berkali-kali.

Oleh itu, Allah menceritakan kejadian dunia sekarang dan dunia akhirat dalam satu ayat sahaja.


 

Ayat 5:

النّارِ ذاتِ الوَقودِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Containing] the fire full of fuel,

(MALAY)

yang berapi (dinyalakan dengan) bahan bakar,

 

(Parit) api itu penuh dengan bahan bakaran. Kaum mukmin itu dibunuh kerana mereka telah beriman dengan Allah. Seperti yang telah disebut, asbabun nuzulnya adalah cerita berkenaan seorang budak yang belajar dengan seorang ulama Islam dan telah menyebabkan rajanya marah kerana imannya itu. Ini adalah kerana rajanya itu mengaku sebagai tuhan kepada penduduk negara itu. Akan tetapi kerana budak itu mempunyai kelebihan yang menyebabkan para penduduk tidak lagi percaya bahawa raja itu mempunyai kelebihan sebagai tuhan lagi. Maka mereka telah memilih untuk beriman dengan Allah. Kerana marah, maka raja itu telah mengarahkan supaya mereka yang beriman itu dimasukkan ke dalam parit yang berapi. Dan api itu menyala-nyala dengan kuat.


 

Ayat 6:

إِذ هُم عَلَيها قُعودٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

When they were sitting near it

(MALAY)

ketika mereka duduk di sekitarnya,

 

Ini penerangan tentang keadaan raja dan tentera ketika mereka duduk di keliling parit berapi itu. Memang raja yang mengarahkan pembunuhan itu dijalankan, dan tentera itu menurut arahan raja itu. Tapi, tentera yang diarahkan untuk membunuh orang muslim itu, akan ada dua jenis. Ada yang hanya menurut perintah sahaja dan mereka melakukannya kerana terpaksa. Akan tetapi ada yang memang suka melakukannya.

Kalau mereka terpaksa melakukannya, hanya kerana raja mereka suruh dan mereka hanya menjalankan tugas sahaja, ‘duduk’ yang macam itu digunakan perkataan جلس. Ia bermaksud duduk juga, tapi jenis duduk yang sekejap sahaja. Tetapi perkataan yang digunakan dalam ayat ini adalah قُعودٌ yang bermaksud duduk dalam jangkamasa yang lama. Jadi, mereka memang duduk lama sambil melepak dan menikmati pemandangan apa yang berlaku. Macam mereka memang suka melihat orang orang mukmin itu disiksa dan dibunuh.

Kita selalu melihat gambar bagaimana tentera-tentera yang diarahkan untuk berperang, kadang-kadang mereka suka dengan apa yang mereka lakukan, walaupun apa yang mereka lakukan itu adalah kejam sekali. Mereka siap ambil gambar kenang-kenangan dengan mangsa mereka dalam keadaan gembira. Ada yang trauma kerana mereka sedar apa yang mereka lakukan itu adalah kejam dan mereka menyesal dan tidak dapat memaafkan diri mereka. Tapi mereka yang memang berperangai syaitan, mereka suka apa yang mereka lakukan itu, mereka suka membunuh dan kadang-kadang mereka melakukan lebih kekejaman lagi dari apa yang diarahkan oleh pemimpin negara mereka.

us-policy-created-isis


 

Ayat 7:

وَهُم عَلىٰ ما يَفعَلونَ بِالمُؤمِنينَ شُهودٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they, to what they were doing against the believers, were witnesses.¹

  • After casting the believers into a trench filled with fire, they sat at its edge, watching them burn to death. This event occurred before the time of Prophet Muḥammad ().

(MALAY)

sedang mereka menyaksikan apa yang mereka perbuat terhadap orang-orang yang beriman.

 

Sebelum ini dalam ayat ke tiga, kita telah bincangkan dengan panjang lebar tentang kalimah شهد (penyaksian) dan keluar lagi sekarang dalam ayat ini. Sebelum ini telah disebut tentang raja dan tentera yang memasukkan orang-orang beriman ke dalam parit yang berapi, dan sekarang disebut bagaimana selepas mereka memasukkan orang beriman itu, mereka duduk-duduk melihat apa yang mereka lakukan kepada orang-orang yang beriman. Mereka suka melihat apa yang mereka telah lakukan itu.

Lihatlah perkataan yang digunakan di dalam ayat ini adalah يَفعَلونَ (yang mereka lakukan). Kalimah يَفعَلونَ dari kalimah فعل yang bermaksud membuat sesuatu tanpa berfikir. Ini berbeza dengan kalimah يعملون yang datang dari kalimah عمل bermakna melakukan sesuatu dengan berfikir. Untuk lebih faham, kalau kita menulis, itu adalah عمل dan kalau bernafas, itu فعل sebab tak perlu berfikir pun untuk bernafas.

Jadi bermakna apa yang mereka lakukan itu, mereka tidak berfikir dahulu apakah kesan perbuatan mereka. Mereka tidak berfikir panjang, tidak memikirkan kesan dari perbuatan mereka yang salah itu. Mereka buat sahaja. Ini kita tahu dari kalimah يَفعَلونَ yang digunakan. Jadi mereka pasti akan ditanya tentang perbuatan mereka ini – mereka akan jadi saksi. mereka akan jadi شاهِدٍ (saksi) atas diri mereka sendiri.


 

Ayat 8: Amat teruk sekali apa yang mereka lakukan terhadap orang mukmin itu. Tapi kenapa ya, mereka marah dan benci sangat kepada orang beriman? Allah jawap dalam ayat ini:

وَما نَقَموا مِنهُم إِلّا أَن يُؤمِنوا بِاللَّهِ العَزيزِ الحَميدِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they resented them not except because they believed in Allāh, the Exalted in Might, the Praiseworthy,

(MALAY)

Dan mereka tidak menyeksa orang-orang mukmin itu melainkan kerana orang-orang mukmin itu beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji,

 

نَقَم bermaksud perasaan sangat tak suka kepada sesuatu sampai nak melihat pun menyampah. Orang-orang kafir itu benci sangat kepada orang beriman dan sanggup untuk membunuh mereka adalah hanya kerana mereka itu beriman. Ini kerana raja mahu rakyatnya hanya menyembah kepadanya sahaja. Mereka menyampah sampai mereka mahu melakukan sesuatu terhadap kemarahan mereka itu. Ada orang marah dan benci juga, tapi tidaklah sampai ambil tindakan. Tapi mereka ini tahap yang teruk sangat sampai mereka mengambil tindakan yang amat zalim.

Alhamdulillah, kebanyakan orang kafir tidaklah begitu. Mereka tidaklah benci sangat kalau orang Islam mahu beriman kerana pada mereka, itu adalah perbezaan pilihan antara agama sahaja. Akan tetapi, kita tidak nafikan ada juga yang tidak suka sangat kalau lihat orang Islam. Sampaikan ada negara yang mengharamkan orang Islam menutup aurat sampaikan ada negara seperti negara Perancis yang menggubal undang-undang mengharamkan orang Islam wanita dari memakai purdah di tempat awam seperti di pantai mereka.

Padahal, tidak ada kesalahan yang dilakukan oleh orang-orang mukmin itu melainkan mereka menerima bahawa Allahlah yang Maha Kuasa dan Yang Maha terpuji. Itu adalah sifat-sifat Allah yang terpuji.

Orang mukmin bukan sahaja percaya adanya Allah, tapi mereka percaya dengan sifat-sifat mulia Allah sekali. Allah yang ada kuasa mutlak dan kalau kita menerima Allah bersifat begitu, kita akan taat kepada kekuasaanNya. Sedangkan orang kafir dalam ayat ini tidak suka kalau ada rakyat yang taat kepada selain dari raja.

Orang mukmin percaya yang Allah telah melakukan banyak jasa kepada kita dan kita tidak dapat nak balas segala jasa Allah itu, walau banyak mana pun ibadat yang kita lakukan. Kalau ada perasaan begitu terhadap Allah, maka senanglah untuk menerima kekuasaan Allah ke atas kita, dan senanglah untuk taat kepada Allah dan senanglah untuk buat ibadat kepada Allah.


 

Ayat 9: Siapakah Allah itu? Apakah sifat-sifatNya lagi?

الَّذي لَهُ مُلكُ السَّماواتِ وَالأَرضِ ۚ وَاللَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ شَهيدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

To whom belongs the dominion of the heavens and the earth. And Allāh, over all things, is Witness.

(MALAY)

Yang mempunyai kerajaan langit dan bumi; dan Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu.

 

Kekuasaan adalah kepunyaan mutlak Allah. Bukannya raja di dunia ini kerana kekuasaan yang dimiliki oleh pemimpin di dunia ini adalah terhad sahaja. Allah berkuasa mutlak kerana Dia mempunyai langit dan bumi – alam ini adalah kepunyaaan Allah dan Allah boleh buat apa sahaja yang Dia mahu. Kita kena terima yang kekuasaan Allah adalah penuh dan mutlak. Malangnya mereka yang kufur sangka mereka ada kuasa tapi mereka hanya mempunyai kekuasaan sementara dan tidak penuh pun. Tapi dengan kekuasaan yang sedikit itu pun mereka sudah sombong dan hendak lawan kekuasaan Allah.

Kalau sesiapa mempunya kekuasaan mutlak, tidak ada sesiapa boleh mempersoalkan apa yang dilakukan. Sebagai contoh, kalau negara yang merdeka, negara lain tidak boleh masuk campur mempersoalkan bagaimana negara itu mentadbir rakyatnya dan urusan negara. Maka, begitulah juga dengan Allah – Dia ada kekuasaan penuh, maka kita tidak boleh mempersoalkan apa yang Allah hendak buat dengan haqNya. Kita sebagai hamba, akan terima sahaja dan itulah yang senang. Tidaklah kita pening kepala dan pecah kepada nak tanya: kenapalah jadi begini dan begitu?

Ingatlah bahawa Allah menyaksikan segala sesuatu, semua benda yang ada, semua yang terjadi. Allah menyaksikan semua sekali kerana Allah sebut عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ dahulu. Sekali lagi digunakan lafaz شَهيدٌ bermula dari ayat ke dua tadi. Allah melihat semua yang terjadi dan Allah akan balas segala perbuatan kita nanti di akhirat – kalau baik dibalas baik dan yang jahat akan dibalas dengan azab. Maka kenalah kita menjaga segala amalan dan perbuatan kita.


 

Ayat 10: Allah akan balas perbuatan mereka.

إِنَّ الَّذينَ فَتَنُوا المُؤمِنينَ وَالمُؤمِناتِ ثُمَّ لَم يَتوبوا فَلَهُم عَذابُ جَهَنَّمَ وَلَهُم عَذابُ الحَريقِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who have tortured¹ the believing men and believing women and then have not repented will have the punishment of Hell, and they will have the punishment of the Burning Fire.

  • Or, in this instance, the literal meaning of “burned” is also appropriate.

(MALAY)

Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan cubaan kepada orang-orang yang mukmin laki-laki dan perempuan kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab Jahannam dan bagi mereka azab (neraka) yang membakar.

 

Kalimah إِنَّ adalah penekanan untuk menolak keraguan. Ini kerana ada yang ada was-was – dalam hati mereka tertanya-tanya kenapa Allah tidak tolong orang Islam yang tertindas.

فتَن adalah apabila besi dibakar oleh api untuk menyucikannya – buang segala bahan-bahan yang tidak perlu. Memang ianya panas kerana memerlukan haba yang tinggi untuk menghilangkan segala bahan yang bukan besi. Jadi, apabila digunakan kalimah فتَن seperti dalam ayat ini, ianya adalah seperti ujian yang berat. فتَن digunakan dalam Quran apabila ujian itu boleh menyebabkan seseorang meninggalkan Islam kerana berat sangat ujian itu. Hanya mereka yang kuat iman sahaja yang boleh tahan dan tetap dalam iman mereka. Di dalam surah ini, orang kafir menggunakan keganasan yang teruk sangat supaya orang mukmin itu meninggalkan Islam, tapi tidak berjaya kerana mereka telah nampak kebenaran dan mereka sanggup mati untuk menegakkan kebenaran itu.

Orang muslim apabila telah melepasi ujian dipanggil mukmin seperti dalam ayat ini. kerana digunakan isim fa’il المُؤمِنينَ dalam ayat ini. Ini tidak sama dengan kalau digunakan kalimah الَّذينَ آمَنوا dan المُؤمِنينَ. Ini adalah kerana المُؤمِنينَ adalah orang yang telah tetap iman mereka. Kerana mereka telah tetap dalam iman mereka, jadi walaupun mereka telah kena seksaan yang teruk, mereka tetap dalam iman dan mereka telah mendapat kedudukan yang tinggi dari Allah – Allah panggil mereka المُؤمِنينَ dah. Sedangkan kalau digunakan kalimah الَّذينَ آمَنوا, itu bermaksud mereka memang sedang beriman lagi, tapi tidak mendapat kedudukan yang tetap, kerana mereka mungkin jatuh iman mereka dan mereka sudah tidak beriman lagi.

Kenapa ada kalimah المُؤمِناتِ dalam ayat ini? المُؤمِناتِ juga disebut dalam ayat ini kerana mereka juga telah disiksa dengan teruk. Seperti dirogol dan sebagainya. Mereka mendapat pujian dari Allah kerana kesabaran dan keimanan mereka yang kuat.

Apabila adalah kalimat ثُمَّ لَم يَتوبوا, ini bermakna Allah memberi peluang kepada mereka yang telah melakukan siksaan ini beberapa lama untuk bertaubat. Ini kerana lafaz ثُمَّ digunakan – memberi isyarat kepada masa yang lama. Jadi mungkin ada yang bertaubat dan ada yang tidak. Hanya mereka yang tidak bertaubat sahaja dan mati dalam tidak bertaubat itu yang akan dikenakan azab di akhirat kelak.

Huruf ‘فَ’ digunakan dalam kalimah فَلَهُم kerana mereka dimasukkan ke dalam neraka kerana perbuatan mereka itu. Oleh itu, huruf فَ itu digunakan sebagai menunjukkan sebab – sebab mereka memberi ujian kepada orang mukminoon itulah yang menyebabkan mereka dimasukkan ke dalam neraka. Bukanlah kerana Allah sengaja nak memasukkan mereka ke dalam neraka akan tetapi kerana kesalahan mereka juga.

Azab api yang mereka akan terima itu akan berterusan tanpa ada hentinya. Api sentiasa membakar mereka kerana mereka membakar orang mukmin. Itulah maksud الحَريقِ. Mereka yang dijadikan sebagai minyak yang membakar. Bukannya ada minyak yang lain, tapi mereka sendiri. Nanti lihatlah kalau mereka boleh tahan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 085: Burooj and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s