Tafsir Surah Insyiqaq Ayat 1 – 15 (Hisab yang ringan)

Pengenalan:

Surah ini hampir sama dengan Surah Takweer and Infithar sebelum ini. Surah ini diturunkan di Mekah dan boleh dibahagian kepada empat bahagian:

  1. Ayat 1 – 5: Kisah tentang Hari Kiamat.
  2. Ayat 6 – 15: Menyentuh perjalanan peringkat kehidupan manusia sebelum Kiamat.
  3. Ayat 16 – 21: Mengajak manusia melihat alam, bagaimana alam itu berubah mengikut waktu.
  4. Ayat 22 – 25: Ancaman dari Allah. Setelah tahu apakah yang akan terjadi semasa Kiamat nanti, maka ambillah ancaman yang telah diberikan.

Ayat 1: Takhwif ukhrawi.

إِذَا السَّماءُ انشَقَّت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Inshiqāq: The Splitting.

When the sky has split [open]

(MALAY)

Apabila langit terbelah,

Allah menceritakan dan suruh kita bayangkan bagaimana keadaannya apabila langit terbelah. Waktu itu malaikat pun turun untuk menjalankan tugas mereka.

Surah ini adalah sambungan dari surah-surah sebelum ini yang menceritakan tentang kejadian Hari Kiamat dan surah ini meneruskan kisah-kisah itu.

Dalam surah-surah sebelum ini, telah banyak digunakan kalimah إِذَا seperti dalam Surah Takweer:

إِذَا الشَّمسُ كُوِّرَت

وَإِذَا النُّجومُ انكَدَرَت

dan seterusnya sampai ke ayat ke 13, semuanya mempunyai kalimah إِذَا.

Akhirnya, dalam ayat ke 14, Allah sebut:

عَلِمَت نَفسٌ ما أَحضَرَت

Selepas semua itu terjadi, manusia akan tahu dan teringat dengan apa yang mereka telah lakukan semasa mereka hidup di dunia. Maknanya, apabila Allah gunakan kalimah إِذَا, dalam surah Takweer dan juga dalam Surah Infithar (rujuk ayat 1 – 5). Akan tetapi, ada kelainan sedikit dalam surah ini kerana tidak disebut apakah konklusinya.

Kalimah انشَقَّت dari kalimah سقق yang bermaksud terbelah jenis yang tidak dapat disambung kembali. Penggunaan kalimah ini telah menaik dari kalimah-kalimah yang digunakan sebelum ini seperti انفَطَرَت dan كُشِطَت kerana kalimah انشَقَّت adalah jenis rosak yang tidak dapat diperbaiki lagi.


Ayat 2:

وَأَذِنَت لِرَبِّها وَحُقَّت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And has listened [i.e., responded]¹ to its Lord and was obligated [to do so]

  • It will have heard Allāh’s command and will have inclined immediately to compliance and willing obedience.

(MALAY)

dan patuh kepada Tuhannya, dan sudah semestinya langit itu patuh,

Langit itu mendengar dan mematuhi arahan Tuhan dan semestinya ia mematuhi. Sedangkan langit yang lagi besar pun patuh kepada Allah untuk memusnahkan dirinya, kenapa pula kita yang kerdil ini tidak taat? Kita banyak yang degil dengan arahan Tuhan dan Allah sedang menegur dan perli mereka yang engkar itu. Allah suruh kita lihatlah bagaimana langit itu ikut dan taat apa yang Allah suruh mereka lakukan. Mereka menunggu sahaja apa yang mereka perlu lakukan sebagai sebab itulah hujung kejadian mereka. Kerana mereka tahu yang mereka dijadikan untuk dihancurkan juga akhirnya. Jadi selama ini mereka tunggu sahaja arahan Allah apabila sudah sampai masanya.

Begitulah Allah selalu bandingkan manusia dengan alam kerana Allah hendak tunjuk kepada kita bagaimana alam itu ikut sahaja apa yang Allah suruh mereka buat, tapi manusia ini amat degil. Kita sepatutnya ikut seperti alam yang memang menjalankan apa tugas yang diberikan kepada mereka.

حُقَّت bermaksud memang patut langit itu buat begitu. Tidak ada perkara lain yang patut dilakukannya. Ibn abbas kata, ianya dalah haq Allah untuk langit dengar dan taat kepadaNya.


Ayat 3:

وَإِذَا الأَرضُ مُدَّت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the earth has been extended¹

  • i.e., stretched flat and spread out.

(MALAY)

dan apabila bumi diratakan,

Apabila bumi diratakan selebar-lebarnya. مُدَّ bermaksud diregangkan, dibuka selebar-lebarnya. Jadi permukaan bumi itu diregangkan sampai jadi datar. Bayangkan kertas direnyuk dan ditegangkan balik. Ada riwayat yang mengatakan Allah akan tegangkan dunia seperti tegangkan kulit. Ini menunjukkan kekuasaan Allah untuk melakukan apa sahaja terhadap bumi ini. Ini adalah kerana memang Allah lah yang menguruskan dunia ini dari sekecil-kecil dan sebesar-besarnya. Ini berlawanan dengan kefahaman zaman dulu yang mengatakan Tuhan jadikan alam dan kemudian manusia yang menguruskan dunia. Zaman sekarang pun masih ada orang yang ada sangkaan begitu dan itu adalah fahaman yang salah. Mereka seolah-olah mengatakan Allah tidak mempunyai kuasa atau tidak kisahkan langsung dunia ini.

قَالَ ابْنُ جَرِيرٍ، رَحِمَهُ اللَّهُ: حَدَّثَنَا ابْنُ عَبْدِ الْأَعْلَى، حَدَّثَنَا ابْنُ ثَوْرٍ، عَنْ مَعْمَرٌ، عَنِ الزُّهْرِيِّ، عَنْ عَلِيِّ بْنِ الْحُسَيْنِ: أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “إِذَا كَانَ يومُ الْقِيَامَةِ مَدَّ اللَّهُ الْأَرْضَ مَدَّ الْأَدِيمِ حَتَّى لَا يَكُونَ لِبَشَرٍ مِنَ النَّاسِ إِلَّا مَوْضِعَ قَدَمَيْهِ، فَأَكُونُ أَوَّلَ مَنْ يُدْعَى، وَجِبْرِيلُ عَنْ يَمِينِ الرَّحْمَنِ، وَاللَّهِ مَا رَآهُ قَبْلَهَا، فَأَقُولُ: يَا رَبِّ، إِنَّ هَذَا أَخْبَرَنِي أَنَّكَ أَرْسَلْتَهُ إِلَيَّ؟ فَيَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ: صَدَقَ. ثُمَّ أُشَفَّعُ فَأَقُولُ: يَا رَبِّ، عِبَادُكَ عَبَدُوكَ فِي أَطْرَافِ الْأَرْضِ. قَالَ: وَهُوَ الْمَقَامُ الْمَحْمُودُ”

Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ibnu Abdul A’la, telah menceritakan kepada kami Ibnu Saur, dari Ma’mar, dari Az-Zuhri, dari Ali ibnul Husain, bahwa Nabi Saw. pernah bersabda: Apabila hari kiamat terjadi, Allah menghamparkan bumi menjadi rata seperti selembar kulit dihamparkan, sehingga tiada tempat lagi bagi seorang manusia kecuali hanya tempat bagi kedua telapak kakinya (kerana semua makhluk pada hari itu telah dibangkitkan). Maka aku adalah orang yang mula-mula dipanggil, sedangkan Jibril berada di sebelah kanan Tuhan Yang Maha Pemurah. Demi Allah, aku belum pernah melihat-Nya sebelum itu, dan aku berkata, “Ya Tuhanku, sesungguhnya malaikat ini (Jibril) telah memberitakan kepadaku bahawa Engkau telah mengutusnya kepadaku.” Allah Swt. berfirman, “Dia benar.” Kemudian aku memohon syafaat dan aku katakan, “Ya Tuhanku, tolonglah hamba-hamba-Mu yang menyembah-Mu di berbagai penjuru bumi.”


Ayat 4:

وَأَلقَت ما فيها وَتَخَلَّت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And has cast out that within it¹ and relinquished [it]

  • Of the dead and all else buried therein.

(MALAY)

dan dilemparkan apa yang ada di dalamnya dan menjadi kosong,

أَلقَت asalnya dari lafaz ألقى yang bermaksud baling, buang, macam Nabi Musa baling tongkat baginda. Ini bermaksud bumi akan baling apa yang ada di atas dan di dalamnya. Dalam surah sebelum ini telah disebut bagaimana kubur akan dibongkarkan iaitu apabila yang telah lama mati akan dikeluarkan dari dalam perut bumi.

تَخَلَّت dari خلو yang bermaksud mengosongkan sesuatu. تَخَلَّت bermaksud mengosongkan terus sebagaimana seorang ibu mengosongkan perutnya selepas melahirkan anak. Setelah menanggung anaknya selama sembilan bulan dalam perut, akhirnya ibu itu akan mengeluarkan anaknya. Begitu juga, bumi akhirnya akan mengeluarkan semua yang ada di dalamnya setelah menanggung sekian lama dan bumi akan menjadi kosong. Bumi akan mengeluarkan orang yang baik dan yang jahat juga untuk semuanya menerima pengadilan. Lepaslah dia daripada segala tanggungannya selama ini di dalam perutnya.


Ayat 5:

وَأَذِنَت لِرَبِّها وَحُقَّت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And has listened [i.e., responded] to its Lord and was obligated [to do so] –

(MALAY)

dan patuh kepada Tuhannya, dan sudah semestinya bumi itu patuh, (pada waktu itu manusia akan mengetahui akibat perbuatannya).

Ulangan sekali lagi ayat ke 2. Sepertimana langit, bumi juga menurut perintah Allah dan memang layak bumi taat kepada arahan dari Allah. Bumi juga seperti langit, menunggu sahaja apa yang telah ditetapkan yang akan dilakukannya. Dan dari dulu sampai ke kiamat nanti, ia memang menunggu-nunggu sahaja untuk menjalankan tugasnya itu. Kerana bumi suka untuk taat kepada Allah. Kadang-kadang kita ada kerja yang kita suka buat dan ada kerja yang kita kena buat tapi kita tidak suka, bukan? Dalam kes ini, bumi memang suka untuk melakukannya. Bumi memang ia suka sebab selama ini bumi terpaksa menanggung semua mereka yang berbuat dosa di atasnya.

Seperti yang kita telah sebut sebelum ini, lima ayat yang pertama ini tidak ada konklusinya seperti kalimah عَلِمَت نَفسٌ ما أَحضَرَت dalam surah yang lepas. Allah tidak perlu ulang sebab sudah disebut dalam surah-surah sebelum ini. Kita boleh isikan tempat kosong ini kerana kita telah tahu. Oleh itu, selepas langit dihancurkan dan dibelah, maka waktu itu, tahulah manusia tentang segala kesalahan dan dosa yang mereka telah lakukan selama mereka hidup. Waktu itu baru teringat dan sedar. Tapi sudah terlambat.

Oleh itu, jangan tunggu perkara-perkara ini baru terjadi, baru nak menyesal. Maka kenalah kita terus buat baik dan beramal dan meninggalkan dosa sebaik mungkin.


Ayat 6: Kita masuk ke bahagian kedua dalam surah ini. Inilah ayat terpenting surah ini yang mengandungi targhib kepada amal soleh. Allah hendak mengingatkan kita semua, semasa dunialah kena buat amal.

يا أَيُّهَا الإِنسانُ إِنَّكَ كادِحٌ إِلىٰ رَبِّكَ كَدحًا فَمُلاقيهِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O mankind, indeed you are laboring toward your Lord with [great] exertion¹ and will meet it.²

  • i.e., striving throughout your life until you meet your Lord, hastening toward death.
  • i.e., you will find all that you intended and accomplished awaiting you in the Hereafter. Another meaning is “And will meet Him [i.e., your Lord]” and be recompensed in full by Him.

(MALAY)

Hai manusia, sesungguhnya kamu telah bekerja dengan sungguh-sungguh menuju Tuhanmu, maka pasti kamu akan menemui-Nya.

Ayat ini bermula dengan kalimat يا أَيُّهَا الإِنسانُ. Maknanya, ayat ini ditujukan kepada semua manusia, bukan sahaja orang Islam. Dan kalimah الإِنسانُ itu bermaksud ‘makhluk yang pelupa’. Oleh itu ayat ini sedang ditujukan kepada kepada manusia yang pelupa terhadap tugas mereka. Langit dan bumi tidak lupa tugas mereka, janji mereka kepada Allah, tapi kamu wahai manusia, cepat sangat kamu lupa kepada tugas dan janji kamu.

Sepanjang hidup kita kita berusaha dalam kehidupan. Memang kena berusaha untuk mendapat sesuatu untuk terus hidup. Semenjak Nabi Adam diturunkan dari syurga, begitulah nasib manusia, kena sentiasa berusaha. Kita berpindah satu peringkat ke peringkat yang lain. Dari peringkat kanak-kanak, kemudian masuk peringkat persekolahan, kemudian peringkat perkerjaan, kemudian berkeluarga, beranak, peringatkat cucu, peringkat tua dan sebagainya. Dan dalam setiap peringkat, ada usaha yang kita kena lakukan. Semasa belajar, kena belajar, semasa berkeluarga, kena cari nafkah untuk keluarga dan sebagainya. Kalimah كدِحٌ bermaksud berusaha dalam sesuatu perkara, tidak kira samada perkara itu baik atau buruk. Kerana dalam perkara baik atau buruk, kita tetap kena tumpukan usaha terhadap menyelesaikannya.

Dalam setiap peringkat kita, ada gol yang kita hendak capai. Sebagai contoh, semasa peringkat pembelajaran, kita hendak capai lulus dalam peperiksaan. Dalam pekerjaan, kita berusaha untuk naik pangkat atau dapat kejayaan dalam perniagaan kita. Semua peringkat ada gol yang kita hendak capai. Tapi sekarang Allah letakkan satu gol untuk kita fikirkan dan tujui – iaitu menujuk kepada Tuhan. Kerana akhirnya kita akan tetap menemui Allah dengan apa yang telah kita berusaha susah payah dulu. Allah kena ingatkan kerana selalunya kita sibuk dengan kesibukan dunia dan keindahannya, perkara yang kita kejar dalam dunia seperti nak siapkah projek, nak dapatkan bisness, nak kejar itu dan ini, sampaikan kita lupa kepada Allah. Padahal semua gol-gol itu sebenarnya kecil sahaja, akan hilang begitu sahaja apabila kita tiada nanti. Tapi yang pasti kita akhirnya akan sampai kepada Allah, mengadap Allah. Samada mahu atau tidak mahu, kita tetap menuju ke sana. Tapi apa yang kita sediakan untuk ke sana? Kepada langit dan bumi, mereka tahu tujuan hidup mereka dan mereka akan melaluinya, tapi bagaimana dengan kita, adakah kita akan memenuhi tujuan hidup kita?

Oleh itu, Allah ingatkan kita. Kalimah فَمُلاقيهِ bermaksud kamu pasti akan menemuiNya. Pasti, pasti dan pasti; atau, ada juga yang menafsirkan maksud فَمُلاقيهِ begini: kamu pasti akan menemui kesan segala usaha kamu di akhirat kelak. Dan ini pun tidak lari dari tafsiran yang pertama, kerana semua hasil perbuatan kita itu ada bersama Allah. Oleh itu, kenalah jaga amal kita kerana tidak takutkah kita bawa amalan yang buruk?


Ayat 7: Ayat tabshir.

فَأَمّا مَن أوتِيَ كِتابَهُ بِيَمينِهِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then as for he who is given his record in his right hand,

(MALAY)

Adapun orang yang diberikan kitabnya dari sebelah kanannya,

lafaz yang digunakan adalah أوتِيَ, iaitu dalam bentuk madhi (past tense) walaupun kejadian ini belum berlaku lagi. Dalam Quran, past tense digunakan untuk menunjukkan ianya pasti. Maknanya, pasti ianya akan berlaku.

بِيَمينِهِ (dengan tangan kanan). Ada golongan manusia yang akan menerima kitab amalan mereka dengan tangan kanan. Mereka akan bergembira nanti dan mereka menerima kitab amalan itu macam menerima sijil selepas berjaya dalam sesuatu ujian dengan cemerlang. Ini kerana mereka telah menjaga amalan mereka semasa di dunia kerana mereka takut amal timbangan mereka diteliti oleh Allah. Kerana takut, mereka amat berhati-hati semasa di dunia dengan segala perbuatan mereka.

Apabila kitab amalan itu diberikan pada tangan kanan, itu menunjukkan bahawa orang itu dimuliakan; tangan kanan juga digunakan untuk menunjukkan kuasa – mereka ada kuasa untuk baca buku amalan mereka sendiri dan mereka akan suka hendak membacanya kerana suka sangat; tangan kanan juga digunakan sebagai isyarat perjanjian, kerana orang yang berjanji akan berjabat tangan dengan tangan kanan – sebagai isyarat yang dia telah memenuhi perjanjian dia dengan Allah.


Ayat 8:

فَسَوفَ يُحاسَبُ حِسابًا يَسيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He will be judged with an easy account

(MALAY)

maka dia akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah,

Mereka yang menerima kitab amalan mereka dengan tangan kanan akan menerima hisab yang mudah. Allah akan tengok lebih kurang sahaja. Sebab kalau diteliti satu persatu, maka akan adalah banyak yang salah. Tapi Allah akan pandang dengan pandangan biasa sahaja, tidak dengan teliti. Inilah nikmat yang pertama kerana kalau diteliti akan ada masalah. Oleh itu, apabila seseorang itu dapat buku dari tangan kanan, sudah gembira dah.

Para salaf amat takut akan hisab. Mereka takutkan yang mereka akan dimasukkan ke dalam neraka. Bayangkan para sahabat pun takut juga dengan amalan mereka, kalau kita tidak takut dan rasa selamat sahaja, memang tidak patut lah. Sahabat besar seperti Abu Bakr takut, Umar pun takut, takkan kita pula tidak takut? Takkan mereka tak rasa selamat lagi, tapi kita pula rasa selamat? Ketahuilah, memang bahaya kalau kita rasa selamat kerana kita tidak berusaha bersungguh-sungguh dalam amalan kita kalau kita sudah rasa selamat.

Ada satu hadis riwayat Aisyah yang bertanya tentang ayat ini. Beliau tanya kepada Rasulullah, apakah maksud ‘senang’ dalam ayat ini? Rasulullah jawap: Allah tengok tapi tak cakap apa. Ini macam polis trafik tahan kita di tengah jalan, memang dia minta tengok lesen kita, tapi dia tengok sahaja tak saman kita. Alangkah leganya kita waktu itu, memang waktu dia tengok lesen kita, kita takut benar. Tapi bila dia lepaskan kita, tak cakap apa-apa, berkali-kali kita ucap syukur, bukan? Inilah yang kita harapkan dengan kitab amalan kita nanti. Memang ada perbuatan salah dalam kitab amalan kita, kerana malaikat memang tulis dah pun, tapi kita berharap sangat yang Allah tidak kisah, tak tanya tentang kesalahan yang kita lakukan.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ، أَخْبَرَنَا أَيُّوبُ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي مُلَيْكة، عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “مَنْ نُوِقش الْحِسَابَ عُذِّب”. قَالَتْ: فَقُلْتُ: أَلَيْسَ قَالَ اللَّهُ: {فَسَوْفَ يُحَاسَبُ حِسَابًا يَسِيرًا} ؟ ، قَالَ: “لَيْسَ ذَاكَ بِالْحِسَابِ وَلَكِنَّ ذَلِكَ العَرْض، مَنْ نُوقِشَ الْحِسَابَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عُذِّبَ”.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ismail, telah menceritakan kepada kami Ayyub, dari Abdullah ibnu Abu Mulaikah, dari Aisyah r.a. yang mengatakan bahwa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Barang siapa yang diperiksa dengan teliti dalam hisab, berarti ia disiksa. Siti Aisyah melanjutkan kisahnya, bahawa lalu ia bertanya, “Bukankah Allah Swt. telah berfirman: ‘maka dia akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah’ (Al-Insyiqaq: 8).” Maka Rasulullah Saw. menjawab: Hal itu bukanlah pemeriksaan, tetapi pemeriksaan yang sebenarnya ialah orang yang diteliti dalam pemeriksaannya di hari kiamat, maka ia pasti disiksa.

Hal yang sama telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Nasai, dan Ibnu Jarir melalui hadis Ayyub As-Sukhtiyani dengan sanad yang sama.

Oleh itu, maksud perbicaraan yang mudah itu adalah: ditunjuk sahaja amalan, tapi tidak disoal ‘kenapa’?. Memang masalah kalau kena tanya. Kalau kena tanya sahaja, itu sudah tanda tak selamat walaupun tak dengar jawapan lagi. Sebagai contoh, kalau kita kena tanya: kenapa buat amalan ini? Ada dalil kah? Kalau kena tanya sahaja, itu maknanya memang kena azab di neraka. Jadi, tidak takutkah wahai pengamal bidaah, kalau Allah tanya apakah dalil kita buat sesuatu amalan yang Nabi tidak ajar itu?


Ayat 9: Kalau kita dapat berita baik, dapat kerja, dapat hadiah besar, siapa yang kita akan beritahu dulu? Tentu kita nak beritahu ahli keluarga dulu, bukan?

وَيَنقَلِبُ إِلىٰ أَهلِهِ مَسرورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And return to his people in happiness.

(MALAY)

dan dia akan kembali kepada kaumnya (yang sama-sama beriman) dengan gembira.

Kejadian ini selepas mereka selamat dalam penghisaban kitab amalan. Tentunya mereka gembira sangat dan mereka akan pulang menemui keluarga mereka dengan perasaan gembira. Mereka pulang dengan segera kerana mereka hendak beritahu berita gembira itu kepada ahli keluarga mereka.

Tapi bukankah sebelum ni dalam surah lain disebut manusia akan lari dari ahli keluarga mereka, bukan? Jadi, kepada siapa yang mereka akan beritahu? Siapakah ahli keluarga yang dimaksudkan?

Oleh itu, kita lihat kalimah أَهلِ yang digunakan dalam ayat ini. Keluarga yang dimaksudkan bukan hanya bermakna keluarga darah tetapi keluarga dalam Islam. Kalau darah daging tapi mereka bukan beriman, maka belum tentu lagi mereka itu termasuk dalam ahli keluarga kita lagi. Mereka yang sama akidah dengan kitalah yang kita paling sayang sekali sebenarnya. Pertalian kekeluargaan yang di dunia ini tidak ada lagi di akhirat kelak, hanya di dunia sahaja. Memang akan ada yang ahli keluarga darah daging tidak masuk syurga dan ahli syurga tidak ingat pun kepada mereka lagi kerana Allah akan hilangkan kasih dan sayang kepada mereka, dan lupa terus kepada mereka. Kerana kalau teringat kepada mereka, tentu ada kesedihan dalam hati dan syurga bukanlah tempat untuk bersedih.

Maka kenalah kita mengajak juga ahli keluarga kita beramal baik, supaya mereka pun termasuk dalam ahli yang bersama dengan kita dalam syurga. Kerana kalau dapat masuk syurga dengan ahli keluarga sekali, alangkah indahnya. Dalam ayat ini, diberitahu yang mereka bertemu dengan ahli keluarga mereka di syurga, bukan? Tapi bukankah ada tingkatan di syurga nanti? Kerana tidak semestinya dia dan ahli keluarganya duduk di tingkatan yang sama. Oleh itu, ini memberi isyarat bahawa, ahli syurga itu akan dapat menaikkan ahli keluarga mereka yang di tingkatan rendah untuk naik sama dengan tingkatannya di tempat yang tinggi. Jadi dia tidak perlu dia pergi ke tempat yang rendah untuk jumpa ahli keluarga dia. Ini adalah nikmat tambahan lagi.

Jadi, kalau ada ahli keluarga kita yang buat kerja agama, sokonglah mereka. Entah-entah mereka boleh naikkan tingkatan kita nanti di syurga. Tapi apa yang jadi dalam masyarakat kita? Kalau ada yang kerja keras dalam agama, ada sahaja yang akan tegur supaya janganlah buang masa. Ini jenis keluarga apa pun kita tidak tahu.

مَسرورًا (gembira) ada kena mengena dengan سرر (rahsia). Iaitu jenis perasaan dalam hati yang tidak keluar. Inilah kegembiraan dalaman dan ia lebih lama lagi dan lebih kekal dari gembira yang biasa sahaja.

Kejadian yang disebut dalam ayat ini adalah kejadian di akhirat, bukan di dunia. Kerana di dunia, mereka tidak rasa selamat dan kadang-kadang tidak dapat bergembira dengan ahli keluarga mereka. Kerana mereka risau tentang iman ahli keluarga mereka. Macam sekarang, kita risau tentang apakah yang akan dipelajari oleh anak-anak kita selepas kita tiada nanti, jadi kita risau sangat tentang agama mereka. Malangnya, kita sekarang ramai yang hanya risaukan apa anak nak makan, baju apa nak pakai, game apa nak main, rancangan tv mana nak tengok, ke mana nak melancong dan benda-benda lain yang tidak penting. Hal-hal agama, amal anak isteri kita tidak kisah pun. Kita tidak dapat rasa bahawa kebahagian yang berkekalan adalah bila ahli keluarga sama-sama beriman dan beribadat kepada Allah sekali dengan kita. Itulah kegembiraan yang sebenar, bukannya bergembira dalam hal-hal yang kecil dan remeh dalam dunia seperti pergi melancong bersama-sama sahaja.

Oleh itu, bagaimana kita nak buat? Walaupun kita mahu kepada agama, tapi kadang-kadang bila kita ajak ahli keluarga kita, anak-anak kita, mereka macam tidak suka nak beramal bersama dengan kita. Ketahuilah yang kita tidak boleh nak paksa anak-anak kita dan ahli keluarga kita untuk beramal. Oleh itu kita kena pandai buat dan dakwah supaya mereka nampak agama ini adalah perkara yang menggembirakan, menarik. Jangan paksa-paksa mereka – kalau mereka tidak suka, maka kita kena cari jalan yang lebih lembut dan berhikmah. Maka jangan lupa berusaha untuk ajar agama kepada ahli keluarga kita. memang susah, tapi itu yang kena buat. Kerana kita tidak boleh biarkan ahli keluarga kita begitu sahaja.


Ayat 10: Takhwif ukhrawi.

وَأَمّا مَن أوتِيَ كِتابَهُ وَراءَ ظَهرِهِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But as for he who is given his record behind his back,

(MALAY)

Adapun orang-orang yang diberikan kitabnya dari belakang,

Dan ada pula yang akan menerima kitab mereka dengna tangan kiri. Dan dalam ayat ini, bukan dengan tangan kiri sahaja tetapi dari belakang. Untuk mengetahui keadaan itu, kena baca semua sekali nas yang ada tentang perkara ini. Dalam nas yang lain, kita dapat tahu yang tangan kanan mereka telah kena ikat dan tangan kiri mereka pula diikat ke belakang. Sebab itulah mereka hanya akan dapat kitab amalan mereka dari belakang dan di belakang itu pula adalah tangan kiri.

Dan apabila dapat kitab amalan dari tangan kiri pun dah tahu yang perkara buruk sahaja ada dalam kitab amalan itu. Dan ada yang kata mereka akan menyorokkan kitab mereka di belakang mereka. Kerana mereka malu sangat sampai tak ambil dari depan.


Ayat 11:

فَسَوفَ يَدعو ثُبورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He will cry out for destruction

(MALAY)

maka dia akan berteriak: “Celakalah aku”.

Selepas dapat kitab amalan di tangan kiri, mereka akan dinampakkan dengan api neraka yang membara. Maka mereka akan meneriak supaya mereka dibinasakan. Mereka rasa biarlah mereka mati waktu itu terus. Ini adalah kerana takut sangat apabila mereka dah tengok neraka. Mereka meneriak minta dimatikan, tapi mereka boleh minta kepada malaikat sahaja kerana Allah tidak nampakkan diri kepada mereka.


Ayat 12: Akan tetapi mereka tidak akan dimatikan.

وَيَصلىٰ سَعيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [enter to] burn in a Blaze.

(MALAY)

Dan dia akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka).

Mereka tidak dimatikan dan mereka akan dimasukkan ke dalam neraka untuk diazab. Sekarang digunakan nama lain untuk neraka – سَعيرًا. Memang dalam juz 30 ini yang kita asyik dengar adalah jaheem selalunya tapi sekarang digunakan سَعيرًا. سَعيرًا maksudnya api yang menjulang tinggi. Mereka akan masuk ke dalam neraka yang apinya menjulang tinggi. Apabila mereka nampak sahaja neraka itu, mereka minta dimatikan segera kerana mereka tidak sanggup untuk menghadapinya. Waktu itu mereka nampak dari jauh sahaja, tapi mereka dah dapat dengar bunyi neraka yang menakutkan itu.

Apabila digunakan kalimah يَصلىٰ (masuk) ianya memberi isyarat yang mereka akan masuk sendiri. Tapi bagaimana pula boleh jadi macam itu? Bukankah kita selalu dengar tubuh kita akan jadi saksi di akhirat kelak, bukan? Kerana mereka boleh bercakap, maka mereka akan jadi saksi ke atas segala perbuatan dosa yang dilakukan oleh tuannya itu. Bukan begitu sahaja, malah tubuh badan itu juga boleh pergi sendiri masuk ke dalam neraka kerana mereka taat kepada arahan Allah. Walaupun tuannya tidak mahu, tapi tubuh mereka sudah dapat bergerak sendiri.


Ayat 13: Sekarang Allah beritahu kita kenapa mereka boleh jadi begitu.

إِنَّهُ كانَ في أَهلِهِ مَسرورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, he had [once] been among his people in happiness;

(MALAY)

Sesungguhnya dia dahulu (di dunia) bergembira di kalangan kaumnya (yang sama-sama kafir).

Ini seperti yang telah disebut dalam Mutaffifin:31

وَإِذَا انقَلَبوا إِلىٰ أَهلِهِمُ انقَلَبوا فَكِهينَ
Dan apabila orang-orang yang berdosa itu kembali kepada kaumnya, mereka kembali dengan gembira.

Mereka dimasukkan ke dalam neraka kerana dahulu semasa mereka di dunia, mereka sentiasa bergembira bersama puak mereka tanpa memikirkan tentang hari pembalasan. Mereka hanya bergembira sahaja tanpa menjaga iman dan amal mereka. Dan mereka bergembira dalam mengejek orang mukmin, kerling mata terhadap orang mukmin, kata mereka orang sesat dan sebagainya. Jadi, mereka dulu semasa di dunia, duduk gembira dalam derhaka. Mereka tak kisah akidah dan apa amalan yang mereka akan bawa ke akhirat.


Ayat 14:

إِنَّهُ ظَنَّ أَن لَن يَحورَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, he had thought he would never return [to Allāh].

(MALAY)

Sesungguhnya dia menyangka bahwa dia sekali-kali tidak akan kembali (kepada Tuhannya).

Mereka berfikir bahawa mereka tidak akan يَحورَ (kembali). يَحورَ bermakud pulang kembali ke asal. Mereka tidak sangka yang mereka akan dikembalikan bertemu Allah untuk mempersembahkan segala amalan mereka. Jadi mereka berbuat sesuka hati mereka ikut nafsu sahaja tanpa mengingatkan bahawa mereka akan dikembalikan kepada Allah. Kerana kalau mereka yakin yang mereka akan bertemu dengan Allah, mereka tidak akan jadi macam itu.


Ayat 15:

بَلىٰ إِنَّ رَبَّهُ كانَ بِهِ بَصيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But yes! Indeed, his Lord was ever, of him, Seeing.

(MALAY)

(Bukan demikian), yang benar, sesungguhnya Tuhannya selalu melihatnya.

Sesungguhnya segala yang mereka lakukan, Allah amat melihat. Allah lihat sahaja apa yang mereka buat. Malah Allah tahu bukan yang mereka buat sahaja, tapi termasuk apa yang dalam hati mereka. Kerana sebelum ini telah pernah disebut tentang malaikat yang menulis amalan. Akan tetapi malaikat tidak tahu apa yang dalam hati manusia. Hanya Allah sahaja yang tahu apa yang ada dalam hati manusia dan dalam akal manusia.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 084: Insyiqaq. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s