Tafsir Surah Mutaffifin Ayat 18 – 36 (keindahan syurga)

Ayat 18: Ayat tabshir. Sekarang kita berubah kepada kisah orang yang baik-baik pula. Ini adalah sambungan dari berita-berita yang telah disebut dalam surah-surah sebelum ini. Sekarang dimulakan dengan kisah kitab amalan mereka. Sebelum ini telah disebut yang kitab orang kafir dan engkar, rekod mereka di Sijjin. Di manakah pula rekod amalan mereka yang baik?

كَلّا إِنَّ كِتابَ الأَبرارِ لَفي عِلِّيّينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

No! Indeed, the record of the righteous is in ‘illiyyūn.

(MALAY)

Sekali-kali tidak, sesungguhnya kitab orang-orang yang berbakti itu (tersimpan) dalam ‘Illiyyin.

كَلّا: Tidak sama sekali; orang kafir kata orang mukmin itu duduk dalam kerugian, tapi Allah kata tidak sama sekali.

Sebaliknya, kitab amal orang-orang yang berbakti itu berada di Illiyyin, satu tempat yang mulia. Illiyyin dari علو yang bermaksud ‘tinggi’, jadi ia memberi isyarat yang kitab itu di tempat yang tinggi. semakin tinggi, semakin baik. kitab amalan orang baik itu akan dijaga oleh malaikat yang tinggi. Dan roh orang yg berbakti berada di tempat yg tinggi. roh mereka akan dinaikkan tinggi.

Beberapa pendapat tentang maksud Illiyin:

Al-A’masy telah meriwayatkan dari Syamir ibnu Atiyyah, dari Hilal ibnu Yusaf yang mengatakan, bahawa Ibnu Abbas pernah bertanya kepada Ka’b yang saat itu aku (Hilal ibnu Yusaf) hadir, tentang makna Sijjin. Maka Ka’b menjawab bahawa Sijjin terletak di bumi lapis yang ketujuh, di dalamnya tersimpan arwah orang-orang kafir. Ibnu Abbas pun bertanya lagi kepada Ka’b tentang ‘Illiyyin, maka Ka’b pun menjawab bahawa ‘Illiyyin terletak di langit yang ketujuh, di dalamnya tersimpan arwah orang-orang mukmin. Hal yang sama dikatakan pula bukan hanya oleh seorang ulama, bahwa sesungguhnya ‘Illiyyin itu terletak di langit yang ketujuh.

Ali ibnu Abu Talhah telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas sehubungan dengan makna firman-Nya: Sekali-kali tidak, sesungguhnya kitab orang-orang berbakti itu (tersimpan) dalam ‘Illiyyin. (Al-Muthaffifin: 18) Yakni di dalam syurga.

Menurut riwayat lain dari Ibnu Abbas yang dikemukakan oleh Al-Aufi, catatan amal perbuatan mereka berada di langit di sisi Allah. Hal yang sama dikatakan oleh Ad-Dahhak.

Qatadah mengatakan bahwa ‘Illiyyun adalah kaki’ Arasy yang sebelah kanan.

Selain Qatadah mengatakan bahwa ‘Illiyyin berada di dekat Sidratul Muntaha.


Ayat 19:

وَما أَدراكَ ما عِلِّيّونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And what can make you know what is ‘illiyyūn?

(MALAY)

Tahukah kamu apakah ‘Illiyyin itu?

Dan apakah yang membolehkan kamu mengetahui berkenaan dengan Illiyyin itu? kamu tidak dapat bayangkan apakah illiyin itu, dan kamu tidak akan dapat maklumat tentangnya, melainkan dengan wahyu dari Allah. Kerana itu kita kenalah belajar wahyu yang memberitahu tentang perkara ghaib. Kita memang memerlukan maklumat yang Allah sampaikan kepada kita. Kalau kita, apa pun kita tidak tahu. Ini mengajar kita untuk berharap kepada Allah untuk mendapatkan ilmu.


Ayat 20: Allah memberitahu sifat Kitab di Illiyin itu.

كِتابٌ مَرقومٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is [their destination1 recorded in] a register inscribed

  • The highest elevations of Paradise.

(MALAY)

(Yaitu) kitab yang bertulis,

Ianya adalah kitab yang sudah siap tertulis. Kitab ini mengandungi nama ahli-ahli syurga dan amalan mereka semasa di dunia. Semoga kita termasuk antara mereka yang termasuk dalam kitab di Illiyin ini. ameen.


Ayat 21: Allah kemudian memberitahu betapa hebatnya kitab itu.

يَشهَدُهُ المُقَرَّبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Which is witnessed by those brought near [to Allāh].

(MALAY)

yang disaksikan oleh malaikat-malaikat yang didekatkan (kepada Allah).

Kitab itu disaksikan oleh malaikat yang hampir dengan Allah. Oleh itu, ini bermakna kitab itu berada di tempat yang tinggi, kerana itulah malaikat yang rapat dengan Allah boleh melihat dan menjaganya. Para malaikat itu akan lihat keadaan kitab itu, kerana hebatnya kitab itu. Mereka juga menjaganya kerana di dalamnya mengandungi tanda yang mereka yang didalamnya itu tidak dimasukkan ke dalam neraka. Jadi, ianya umpama seperti surat garenti, dan surat sebegini amat penting. Tidak boleh orang yang tidak tentu pasal dimasukkan di dalamnya. Kerana itu ia perlu dijaga rapi.


Ayat 22:

إِنَّ الأَبرارَ لَفي نَعيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, the righteous will be in pleasure

(MALAY)

Sesungguhnya orang yang berbakti itu benar-benar berada dalam kenikmatan yang besar (syurga),

ayat yang sama ada dalam surah Infithar ayat 13. Sesungguhnya orang-orang berbakti tetap berada di dalam tempat yang penuh nikmat. Allah mula nak menceritakan hal orang-orang yang baik pula. Yang nama dan amalan mereka ada dalam Kitab di Illiyin itu.


Ayat 23: Allah sebut beberapa perkara nikmat yang diterima oleh ahli syurga.

عَلَى الأَرائِكِ يَنظُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

On adorned couches, observing.

(MALAY)

mereka (duduk) di atas dipan-dipan sambil memandang.

Mereka berehat di atas pelamin-pelamin sambil melihat keindahan syurga. Mereka berbaring dengan berehat atau selalu dikatakan sebagai ‘bersenggeng’. Duduk di atas الأَرائِكِ yang bukannya kerusi dan bukan juga katil.

Walaupun mereka duduk baring berehat (bersenggeng), tapi mereka boleh melihat semua keindahan syurga darinya. Ini boleh terjadi semasa di syurga. Kalau di dunia, kalau baring tidak dapat lihat semuanya tapi kena bangun. Akan tetapi, Allah buat kerusi itu entah macam mana, boleh nampak semua tempat. Mereka duduk berehat di atas tempat yang amat sedap untuk diduduki dan berehat. Sebab kerja sudah tidak ada, amal ibadat pun sudah tidak perlu buat, memang duduk bergembira dan menikmati segala nikmat yang ada di syurga sahaja.

Menurut pendapat yang lain, makna yang dimaksud dari firman-Nya: mereka (duduk) di atas dipan-dipan sambil memandang. (Al-Muthaffifin: 23) Yakni memandang kepada Allah Swt. Dan hal ini bertentangan dengan apa yang digambarkan oleh Allah Swt. tentang keadaan orang-orang yang durhaka melalui firman-Nya: Sekali-kali tidak, sesungguhnya mereka pada hari itu benar-benar terhalang dari (melihat) Tuhan mereka. (Al-Muthaffifin: 15)


Ayat 24:

تَعرِفُ في وُجوهِهِم نَضرَةَ النَّعيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

You will recognize in their faces the radiance of pleasure.

(MALAY)

Kamu dapat mengetahui dari wajah mereka kesenangan yang penuh kenikmatan.

Engkau dapat melihat di wajah mereka نَضرَةَ yang bermaksud bercahaya dengan kegembiraan. Wajah mereka akan berseri-seri, sebab mereka mendapat nikmat yang banyak sekali. Kalau dalam dunia, kita boleh lihat bagaimana orang yang sampai tempat baru yang menarik, wajah mereka akan berseri-seri sebab gembira tengok tempat baru. Dengan tengok wajah sahaja kita tahu yang mereka ada kepuasan dan ketenangan. Wajah adalah anggota badan yang pertama sekali menunjukkan perasaan bagi seseorang manusia. Kalau sedih pun, pada wajahnya yang akan kelihatan dahulu, bukan?


Ayat 25: Sekarang tentang minuman mereka pula.

يُسقَونَ مِن رَحيقٍ مَختومٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They will be given to drink [pure] wine¹ [which was] sealed.

  • Which is delicious and does not intoxicate.

(MALAY)

Mereka diberi minum dari khamar murni yang dilak (tempatnya),

Mereka akan diberi minum wain yang asli yang termeteri bekasnya. يُسقَونَ maksudnya mereka ‘diberi’ minum. Maknanya tak payah bangun pun dari tempat mereka bersenggeng itu untuk mendapatkan air wain itu. Teringat sahaja hendak minum, air itu akan diberikan kepada mereka. Begitulah hebatnya nikmat di sana nanti. Minum sambil duduk-duduk bersenggeng itu. Allah ceritakan supaya kita terpanggil untuk mendapatkan kesenangan dan segala nikmat ini.

رَحيقٍ adalah wain yang diberi yang tulen sekali, maksudnya amat bersih dan jangan dibandingkan dengan wain di dunia ini. Bila minum, tidak akan mabuk kerana tidak sama wain di sana dan di dunia. Memang kita boleh minum arak di syurga nanti. Cuma di dunia sahaja kita diharamkan. Kalau kita dapat tahan diri kita dari minum arak di dunia, kita boleh meminumnya di akhirat kelak.

مَختومٍ pula bermaksud air wain itu tertutup menanti penghuni syurga yang akan meminumnya. Kalau zaman sekarang, kalau nak air bersih, kena pastikan yang penutup botol itu tidak pecah. Di syurga nanti, air wain itu juga ada penutup, menandakan tidak ada sesiapa pun lagi yang membukanya dan ianya khas untuk tuannya sahaja. Khas untuk orang itu sahaja kerana ada nama dia sahaja. Ini menunjukkan kehebatan minuman itu.


Ayat 26: Ini tentang penutup (seal) itu pula. Allah beri penerangan tambahan ini sebagai pujukan kepada para sahabat yang awal dalam Islam. Mereka telah beriman tapi ramai lagi yang tidak beriman dari kalangan Arab Mekah waktu itu. Mereka juga telah berdakwah kepada puak kafir itu tapi mereka kena marah, disisih dan dipandang jijik oleh mereka yang kufur. Tapi lihatlah apa yang Allah sediakan untuk mereka.

Begitu juga, semua adalah sebagai berita gembira untuk kita yang sanggup beriman walaupun orang-orang di keliling kita tidak mahu beriman dan menyusahkan kita. Allah nak beritahu, kalau kita susah sedikit di dunia, lihatlah nanti apakah balasannya di akhirat kelak.

خِتامُهُ مِسكٌ ۚ وَفي ذٰلِكَ فَليَتَنافَسِ المُتَنافِسونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The last of it¹ is musk. So for this let the competitors compete.

  • i.e., its lingering odor.

(MALAY)

penutupnya adalah kesturi; dan untuk yang demikian itu hendaknya orang berlumba-lumba.

Meterinya adalah dari Kasturi yang wangi. Ini juga sebagai satu motivasi kerana orang Arab tidak biasa minum benda-benda macam ini. Mereka minum air biasa sahaja, dari telaga, dari kolam, dari wadi. Tetapi Allah tawarkan kepada mereka minuman yang lebih lagi dari yang diberikan kepada raja. Lihatlah, penutup bekas air pun ada bau yang sedap. Ini belum buka air pun lagi.

Dan dalam perkara ini hendaklah berlumba-lumba mereka yang mahu berlumba. Mereka hendaklah berusaha untuk mendapatkan nikmat dari Allah di syurga nanti. Inilah perkara yang layak untuk berlumba-lumba kalau dibandingkan dengan benda lain. Tanafus – berlumba kepada sesuatu yang hebat, yang semua hendak kepadanya. Dari sibuk berlumba untuk mendapatkan kedudukan di dunia, kesenangan di dunia, lebih layak lagi untuk berlumba untuk mendapatkan nikmat di syurga. Para sahabat memang kena kutuk, kena keji, malah kena seksa dan sebagainya, tapi mereka tidak kisah kerana Allah telah janjikan sesuatu yang hebat kepada mereka. Mereka berlumba-lumba itu kerana nak lihat siapa antara mereka yang akan dapat dahulu. Jadi walaupun mereka kena cemuh dengan puak kafir, hidup mereka susah kerana iman mereka, mereka tidak kisah. Kerana mereka percaya dengan janji Allah dan kerana mereka ada perkara yang lebih penting lagi untuk mereka kejar. Semoga kita pun berlumba-lumba untuk mendapatkan perkara yang besar ini.


Ayat 27: Allah berikan lagi penerangan untuk menambah selera para sahabat. Supaya mereka lebih berlumba-lumba untuk mendapatkannya.

وَمِزاجُهُ مِن تَسنيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And its mixture is of Tasneem,¹

  • The highest spring in Paradise and the most favored drink of its inhabitants.

(MALAY)

Dan campuran khamar murni itu adalah dari tasnim,

مِزاجُ adalah bila kita buat campuran air. Macam sekarang pun apabila kita buat air, akan campur macam-macam dalam air itu untuk bagi rasa lagi sedap. Allah beritahu campuran minuman itu adalah tasneem. Tasneem asalnya dari سنم yang bermaksud ‘tinggi’. Jadi tasneem bermaksud meninggikan sesuatu. Allah beritahu yang campuran air itu dari tempat yang tinggi yang dipanggil tasneem. Air itu sangat sedap sampai sesiapa yang meminumnya akan tertanya-tanya – dari mana rasa tambahan itu? Kerana tasneem itu hanya dicampur sahaja. Jadi ada yang akan jawap: dari tasneem. Tapi tasneem itu dimana? Kerana air itu sendiri bukan tasneem, tapi dicampur dengan tasneem.


Ayat 28: Allah beritahu pula tentang tasneem.

عَينًا يَشرَبُ بِهَا المُقَرَّبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

A spring from which those near [to Allāh] drink.

(MALAY)

(iaitu) mata air yang minum daripadanya orang-orang yang didekatkan kepada Allah.

Tasneem adalah matair yang diminum oleh mereka yang hampir dengan Allah. Orang abraar dapat minum campuran tasneem sahaja. Tapi orang المُقَرَّبونَ dapat minum dari mata air tasneem itu sendiri. Ini kerana mereka memang duduk dekat matair itu dan kerana itu digunakan kalimah بِهَا dalam ayat ini. Kerana kalau mereka dapat minum sahaja, tapi tidak duduk dekat, kalimah منه boleh digunakan sahaja.

Ayat ini menunjukkan ada tingkatan antara ahli syurga dan betapa tingginya golongan المُقَرَّبونَ itu. Inilah golongan yang rapat dan ada disebut dalam Waqiah:11.

Jadi dalam surah ini Allah ada sebut tentang orang yang paling jahat sekali (fujjar) dan ada disebut tentang mereka yang paling baik dan paling dekat dengan Allah sekali iaitu المُقَرَّبونَ.


Ayat 29: Siapakah المُقَرَّبونَ itu? Allah sebut kisah mereka pula. Dulu mereka ditertawakan.

إِنَّ الَّذينَ أَجرَموا كانوا مِنَ الَّذينَ آمَنوا يَضحَكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who committed crimes used to laugh at those who believed.

(MALAY)

Sesungguhnya orang-orang yang berdosa, adalah mereka yang menertawakan orang-orang yang beriman.

Siapakah mereka yang المُقَرَّبونَ itu? Untuk memahaminya, kita kena kenangkan dan bayangkan keadaan pada para sahabat semasa mula-mula Islam dulu. Sesungguhnya orang-orang yang derhaka kepada agama, selalu mengetawakan orang mukmin yang mula-mula masuk Islam. Mereka ditertawakan sebab mereka menyebut tentang benda-benda ghaib yang manusia tak nampak. Jadi mereka nampak pelik sangat kepada orang kafir. Dan kerana itu orang kafir mentertawakan mereka yang hendak beriman itu.

Jadi, المُقَرَّبونَ adalah mereka yang mula-mula mahu beriman, mula-mula mahu percaya. mereka tidak kisah walau apa pun yang dikata orang. Kalau zaman sekarang, sudah senang sebab dah ramai yang beriman. Tapi bayangkan mereka yang mula-mula beriman itu dulu, tentu amat susah bagi mereka. Kerana mereka nampak berlainan sangat dengan orang lain. Tapi mereka tetap beriman waktu orang lain tidak percaya. Oleh kerana keadaan mereka waktu itu susah, maka mereka mendapat kedudukan yang tinggi – المُقَرَّبونَ. Semoga kita pun boleh mendapat kedudukan yang tinggi ini, kerana mungkin kita termasuk dalam golongan yang mula-mula mahu kepada ajaran sunnah. Keadaan kita yang mahu sunnah ini juga agak susah kalau difikirkan, kerana ramai yang tidak suka kepada jalan sunnah. Orang yang mahu kepada sunnah juga banyak diketepikan, dikutuk dan ditertawakan. Kerana kita beramal lain dari amalan puak syirik dan puak bidaah. Dan mereka pula adalah golongan yang ramai dan majoriti sekarang, jadi mereka ada suara dan kuasa di belakang mereka.

أَجرَم adalah mereka yang telah buat dosa dan kemudian akan dapat lihat kesan dosa yang mereka lakukan itu. Merekalah yang mentertawakan orang-orang beriman itu. Mereka buat jenaka, buat lawak, kalau zaman sekarang, buat karton dan sebagainya untuk menyindir dan mentertawakan golongan beriman. Tapi kita tidak boleh terkesan dengan tindakan mereka itu. Biarlah mereka mahu merendahkan iman kita, tapi kita kena tetap yakin dengan akidah kita.

Kalau perasan, ada iltifad (perubahan) dalam ayat ini. Ayat-ayat sebelum ini tentang perkara yang akan berlaku di masa hadapan (di syurga) tapi sekarang Allah cerita dalam bentuk past tense sebab itu digunakan kalimah كانوا dalam ayat ini. Seperti Allah hendak menunjukkan bagaimana orang derhaka itu akan mengenang kembali apa yang mereka telah lakukan dahulu semasa di dunia. Allah ingatkan mereka yang mereka ‘dulu’ selalu mentertawakan mereka yang beriman. Jadi, ayat ini adalah ingatan ahli syurga yang telah duduk dan sedang menikmati nikmat-nikmat syurga dan mereka teringat tentang apa yang terjadi kepada mereka dahulu. Bayangkan mereka berkata sesama mereka: “ingat tak apa yang orang kafir mengetawakan kita dulu masa kita di dunia?” Dulu mereka ditertawakan, tapi sekarang mereka sedang menikmati keindahan syurga.


Ayat 30: Apa lagi yang dilakukan oleh mereka yang engkar itu?

وَإِذا مَرّوا بِهِم يَتَغامَزونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when they passed by them, they would exchange derisive glances.

(MALAY)

Dan apabila orang-orang yang beriman lalu di hadapan mereka, mereka saling mengedip-ngedipkan matanya.

Dan apabila orang mukmin lalu berdekatan mereka, mereka akan mengerling mata sesama sendiri. Mereka buat isyarat sesama mereka. Mereka tunjuk dengan mata atau dengan mulut memuncungkan terhadap orang-orang beriman. Banyak cara isyarat yang boleh digunakan. Sekarang bayangkan kita orang yang amalkan sunnah, tapi ada golongan ‘aswaja’ atau ahli bidaah tengok kita. Mereka akan buat isyarat kepada kawan-kawan mereka dan dalam hati mereka kata: “ha itulah geng wahabi yang aku cakap tu….”


Ayat 31:

وَإِذَا انقَلَبوا إِلىٰ أَهلِهِمُ انقَلَبوا فَكِهينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when they returned to their people, they would return jesting.

(MALAY)

Dan apabila orang-orang yang berdosa itu kembali kepada kaumnya, mereka kembali dengan gembira.

Dan apabila mereka kembali kepada keluarga mereka, mereka pulang dengan gembira. Mereka memang suka mempersendakan orang mukmin. Sukanya hati mereka sampai mereka balik dalam keadaan gembira menceritakan apa yang mereka perbuat kepada orang mukmin. Sebagai contoh, mereka kata: “tahu tak apa aku buat kepada muslim itu? tahu tak apa yang aku buat kepada puak wahabi itu?” Mereka rasa suka sangat dan bangga dengan apa yang mereka telah lakukan.

Dalam ayat ini disebut yang mereka suka dengan keluarga mereka, tapi nanti mereka akan lari dari ahli keluarga mereka nanti seperti yang disebut dalam surah Abasa (ayat 34-37).


Ayat 32:

وَإِذا رَأَوهُم قالوا إِنَّ هٰؤُلاءِ لَضالّونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when they saw them, they would say, “Indeed, those are truly lost.”

(MALAY)

Dan apabila mereka melihat orang-orang mukmin, mereka mengatakan: “Sesungguhnya mereka itu benar-benar orang-orang yang sesat”,

Dan apabila mereka melihat orang beriman, mereka berkata, sesungguhnya mereka itu orang yang sesat. Mereka yang sesat, mereka pula yang kata orang Islam sesat. Begitu juga dengan puak bidaah, mereka yang amalkan amalan bidaah, tapi kata ahli sunnah yang sesat. Macam-macam tuduhan yang mereka kenakan kepada ulama-ulama sunnah. Sampai ada yang mengatakan Ibn Taimiyyah bahaya sebab membawa fahaman terroris. Mereka buat sewenang-wenangnya kepada ustaz-ustaz sunnah. Ada ustaz Sunnah yang kena tahan dalam penjara hanya kerana mengajar tanpa tauliah. Apa nanti mereka nak jawap di hadapan Allah nanti?


Ayat 33:

وَما أُرسِلوا عَلَيهِم حافِظينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But they had not been sent as guardians over them.

(MALAY)

padahal orang-orang yang berdosa itu tidak dikirim untuk penjaga bagi orang-orang mukmin.

Ada dua tafsir yang boleh diambil dari ayat ini:

  1. Padahal orang kafir itu tidak dihantar untuk menjaga orang-orang mukmin itu. Kenapa mereka nak sibuk sangat tentang orang mukmin itu? Ini tafsiran yang pertama.
  2. Tafsiran yang kedua: ini adalah kata-kata orang berdosa tentang orang-orang mukmin. Mereka kata: kenapalah puak Muslim itu sibuk sangat nak tegur mereka yang menipu dalam pernigaan? Kenapa mereka nak tegur amalan-amalan yang dah lama dilakukan oleh orang lain? Sendiri punya amal la… siapa yang lantik mereka jaga amal kita?

Memang benar, kita tidak payah jaga pun amalan mereka itu. Tapi kita ingatkan sahaja kerana sudah diwajibkan atas kita untuk amar makruf nahi mungkar. Dan kita tidak perlu jaga amalan mereka kerana yang jaga dan catit amalan mereka adalah para malaikat pencatit amal.


Ayat 34: Sekarang kembali kepada keadaan di syurga nanti. Keadaan sudah terbalik. Dulu orang berdosa mentertawakan orang beriman.

فَاليَومَ الَّذينَ آمَنوا مِنَ الكُفّارِ يَضحَكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So today¹ those who believed are laughing at the disbelievers,

  • On the Day of Judgement.

(MALAY)

Maka pada hari ini, orang-orang yang beriman menertawakan orang-orang kafir,

Di akhirat kelak, orang mukmin akan mengetawakan orang kafir itu pula. Dulu kamu tidak percaya dengan neraka jahannam kan? Sekarang lihat apa sudah jadi? Kamu tak percaya lagi?

Allah beri peluang kepada mereka pula untuk membalaskan kehinaan yang telah dikenakan kepada mereka semasa mereka di dunia dulu.


Ayat 35:

عَلَى الأَرائِكِ يَنظُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

On adorned couches, observing.

(MALAY)

mereka (duduk) di atas dipan-dipan sambil memandang.

Mereka duduk-duduk di tempat tinggi sambil melihat-lihat. Sebelum ini disebut mereka lihat segala nikmat. Sekarang maksudnya mereka duduk bersenggeng sambil melihat orang-orang yang menyebabkan mereka tertawa pula. Mereka tidak perlu susah pun nak tengok. Macam sebelum ini juga mereka boleh nampak segalanya dari tempat duduk mereka. Sekarang, mereka boleh nampak ahli-ahli neraka dari tempat senggeng mereka itu. Tak payah susah-susah nak bangun pun.


Ayat 36:

هَل ثُوِّبَ الكُفّارُ ما كانوا يَفعَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Have the disbelievers [not] been rewarded [this Day] for what they used to do?

(MALAY)

Adakah orang-orang kafir telah diberi ganjaran terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan?

ثُوِّبَ bermaksud ‘upah yang bagus’. Bukankah orang-orang kafir itu telah dibalas dengan sebab perbuatan mereka dahulu? Ini adalah kata-kata perlian. Samada ianya datang dari Allah atau dari penghuni syurga.

Dalam surah a’raf, memang ada kisah bagaimana ahli neraka bercakap-cakap meminta bantuan dari ahli syurga. Mereka dulu kurangkan timbangan kerana mereka nak lebih dapat untung, sekarang disebut tentang ثُوِّبَ ’pulangan’. Adakah mereka dapat apa yang mereka patut dapat? Jawapannya, sudah tentu ya.

يَفعَلونَ lain dari يَفعَلونَ .يعملون adalah perbuatan yang dilakukan tanpa berfikir sedangkan يَفعَلونَ adalah perbuatan yang dilakukan dengan fikiran, ada perancangan, tahu apa yang sedang dilakukan. Apabila digunakan kalimah يَفعَلونَ dalam ayat ini, Allah hendak memberi isyarat yang mereka yang berdosa itu sudah tidak fikirkan lagi kesan dari perbuatan mereka itu.

Maulana Hadi: Mutoffifin

Allahu a’lam. Sambung ke Surah yang seterusnya, Surah Insyiqaq.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 083: Mutaffifin and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s