Tafsir Surah Mutaffifin Ayat 1 – 17 (Peniaga yang zalim)

Pengenalan:

Dalam surah ini, Allah hendak memberitahu: mana-mana manusia atau jin yang telah disenaraikan sebagai ahli neraka, tidak boleh dikeluarkan lagi dari senarai itu. Begitu juga, yang mana Allah telah senaraikan sebagai ahli syurga, juga tidak boleh dibuang dari senarai itu.


Ayat 1: Ayat zajrun. Allah menegur sikap hamba yang semasa dunia tidak nampak balasan di akhirat. Mereka jadi begitu kerana mereka tidak yakin dengan balasan di akhirat. Dan ayat ini juga sebagai teguran kepada mereka yang engkar dengan hari kiamat. Oleh kerana mereka tidak percaya kepada hari kiamat, maka amalan dan perbuatan mereka di dunia juga salah.

وَيلٌ لِلمُطَفِّفينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Muṭaffifeen: Those Who Give Less.

Woe to those who give less [than due],¹

  • i.e., those who cheat people by giving them less than what they paid for when weighing or measuring – an amount so little as to hardly be noticed.

(MALAY)

Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang

Celakalah kepada para mutaffif. Perbuatan mereka dinamakan tatfif. Ini adalah salah satu dari satu jenis dosa yang dilakukan manusia. Iaitu mereka yang bila bagi kepada orang lain dalam perniagaan, mereka beri kurang dari yang sepatutnya. Ini adalah golongan peniaga atau businessman. Mereka tidak jujur dalam perniagaan mereka. Mereka telah ambil dari pelanggan mereka, tapi mereka tak ambil banyak setiap masa. Kalau beras yang dijual, mungkin beberapa gram sahaja yang kurang. Mereka ambil sikit-sikit sahaja, supaya orang tak perasan. Tapi kerana campur dengan semua orang, sana sikit dan sini sikit, jadi apa yang mereka dapat itu banyak sebenarnya. Ianya boleh jadi dalam bentuk timbangan atau dalam bentuk servis yang dia beri tapi tak cukup. Sebagai contoh, kalau dia kata dia bagi servis lima jam, dia bagi 4 jam setengah sahaja, dan kerana sikit sahaja bezanya, mungkin orang tak perasan pun, kan?

وَيلٌ bermaksud kecelakaan yang besar. Ianya digunakan apabila menyumpah seseorang. Tapi sekarang Allah yang sedang menyumpah mereka, alangkah beratnya! Kalau Allah yang sumpah, tentu mereka akan mendapat kemusnahan yang besar. Dalam riwayat ada menyebut bagaimana mereka yang melakukan perkara terkutuk ini akan menyebabkan bala datang dari Allah – tanaman tidak menjadi, hujan tidak turun dan sebagainya. Itu semua adalah balasan dari Allah kerana kesalahan manusia. Allah menakutkan manusia supaya mereka takut nak buat perkara ini. Kerana perkara ini adalah perkara yang amat berat.

Surah ini berkemungkinan besar adalah ayat Makkiah sebab perniagaan adalah kehidupan orang Mekah padahal Madinah adalah kawasan pertanian.

Allah telah memasukkan perasaan inginkan keadilan dalam timbangan. Semua manusia dapat rasa bahawa itu adalah perkara yang penting untuk dijaga walaupun mereka itu orang kafir. Dalam Infithar:7 Allah telah berfirman:

الَّذي خَلَقَكَ فَسَوّاكَ فَعَدَلَكَ
 Yang telah menciptakan kamu lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikanmu seimbang,

Sebab itu kita kadang-kadang kita perasan, kalau orang kafir pun mereka amat jaga perkara ini kerana mereka itu jujur. Dan kerana perasaan ini adalah diri setiap insan, kalau mutaffifin ini kena tipu dengan orang lain pun mereka marah juga kerana mereka pun tidak suka. Dan kalau ahli keluarga mereka kena tipu pun mereka akan marah juga, kerana memang mereka dah ada rasa yang menipu dalam timbangan ini adalah salah. Tapi mereka tolak jauh-jauh perasaan itu sampai mereka sanggup buat pada orang lain.


Ayat 2: huraian kecurangan mereka:

الَّذينَ إِذَا اكتالوا عَلَى النّاسِ يَستَوفونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who, when they take a measure from people, take in full.

MALAY

(iaitu) orang-orang yang apabila menerima timbangan dari orang lain, mereka minta dipenuhi,

Apabila mereka mengambil sukatan dari orang lain, mereka nak ambil dengan cukup, tak mahu kurang langsung, malah mereka nak lebih lagi. اكتال ialah apabila menerima dari orang lain.

Kalimah ‘عَلَى’ (atas) yang digunakan dalam ayat ini menunjukkan mereka membuli orang lain untuk beri cukup-cukup kepada mereka. Ini adalah kerana, kalau keadaan timbangan biasa, digunakan kalimah من (dari). Apabila guna ‘عَلَى’, maknanya menunjukkan ada elemen tekanan yang digunakan, iaitu mereka sibuk minta lebih lagi dari orang lain. Mereka menekan orang yang memberi timbangan kepada mereka. Ini amat berlainan sekali dengan apa yang dia berikan kepada orang lain – kalau dengan orang lain, mereka nak beri kurang sahaja. Oleh itu, kita boleh katakan, mereka ini tidak normal sebenarnya. Kalau beli barang, sentiasa nak minta benda-benda tambahan, sampai mereka memaksa  penjual itu beri benda-benda extra kepada mereka, sampai mereka rasa kena buli pula dengan pelanggan mereka. Yang rajin menawar itu sangka mereka pandai menawar, pandai dapatkan benda lebih dari penjual, tapi lihatlah Allah tidak suka dengan cara mereka.


Ayat 3: Tetapi apabila mereka sukat untuk orang lain pula:

وَإِذا كالوهُم أَو وَزَنوهُم يُخسِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But if they give by measure or by weight to them, they cause loss.

(MALAY)

dan apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka mengurangi.

Sekarang, apabila mereka beri timbangan kepada pelanggan mereka pula – mereka kurangkan, tapi sikit-sikit sahaja. Mereka memang tidak akan kurangkan banyak, macam 1% pun boleh juga pada mereka. Kerana mereka tidak mahu pelanggan mereka perasan; dan walaupun sedikit, tapi apabila dicampur dengan ramai orang, akhirnya jadi banyak juga.

Mutaffif ini sanggup buat perkara sebegini kerana mereka tidak ada perasaan malu; dan kerana mereka tidak takut dengan balasan di akhirat. Dan Allah Swt. telah membinasakan kaum Syu’aib dan menghancurkan mereka disebabkan mereka curang terhadap orang lain dalam melakukan takaran dan timbangan. Allah Swt. telah memerintahkan kepada manusia untuk memenuhi takaran dan timbangan dengan jujur. Untuk itu Allah Swt. berfirman:

وَأَوْفُوا الْكَيْلَ إِذا كِلْتُمْ وَزِنُوا بِالْقِسْطاسِ الْمُسْتَقِيمِ ذلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Dan sempurnakanlah takaran apabila kalian menakar, dan timbanglah dengan neraca yang benar. Itulah yang lebih utama (bagi kalian) dan lebih baik akibatnya. (Al-Isra: 35)


Ayat 4: Allah beritahu kita kenapa mereka berani buat begitu. Orang jenis apa yang boleh sampai hati nak buat begini? Allah jelaskan mereka jadi begitu kerana mereka tidak percaya kepada akhirat.

أَلا يَظُنُّ أُولٰئِكَ أَنَّهُم مَبعوثونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do they not think that they will be resurrected

(MALAY)

Tidaklah orang-orang itu menyangka, bahawa sesungguhnya mereka akan dibangkitkan,

Allah beritahu soalan retorik: Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan? Mereka tidak fikirkah?

Allah tak bercakap terus dengan mereka pun dalam ayat ini. Allah menjauhkan diri dari mereka.

Mereka mula-mula mungkin buat sikit-sikit sahaja. Lepas itu mereka berani untuk buat yang lebih lagi, kerana mereka tak teringat pun bahawa mereka akan bertemu dengan Tuhan mereka. Lama-lama mereka jadi lebih pandai dalam menipu. Mereka tidak yakin yang mereka kena jawap tentang perkara itu di hari akhirat nanti. Mereka sangka, kerana terlepas di dunia, orang tak perasan apa yang mereka lakukan dan orang tak marah dengan mereka, mereka rasa mereka boleh lepas di akhirat juga nanti. Mereka tutup rasa yakin mereka kepada hari akhirat. Mereka tutup sebelah mata.


Ayat 5:

لِيَومٍ عَظيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For a tremendous Day –

(MALAY)

pada suatu hari yang besar,

Yakni mereka berdiri dalam keadaan tidak beralas kaki, telanjang, lagi tidak berkhitan di tempat pemberhentian yang amat sulit, sesak, lagi menyengsarakan bagi orang yang durhaka, kerana mereka diselimuti oleh murka Allah yang tiada suatu kekuatan pun yang mampu bertahan terhadapnya.

قَالَ الْإِمَامُ مَالِكٌ: عَنْ نَافِعٍ، عَنِ ابْنِ عُمَرَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: ” {يَوْمَ يَقُومُ النَّاسُ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ} حَتَّى يَغِيبَ أَحَدُهُمْ فِي رَشْحِهِ إِلَى أَنْصَافِ أُذُنَيْهِ”.

Imam Malik telah meriwayatkan dari Nafi’, dari Ibnu Umar r.a., bahwa Nabi Saw. pernah bersabda: di hari (ketika) manusia berdiri di hadapan Tuhan semesta alam, sehingga seseorang dari mereka tenggelam ke dalam keringatnya sampai sebatas pertengahan hidungnya. 

Imam Bukhari meriwayatkan hadis ini melalui Malik dan Abdullah ibnu Aun, keduanya dari Nafi’ dengan sanad yang sama. Imam Muslim telah meriwayatkannya melalui dua jalur pula.

Mereka akan dibangkitkan pada hari yang besar. Kalimah عَظيمٍ itu datang dari katadasar عَظمٍ, iaitu ‘tulang’. Tulang adalah benda yang keras, susah untuk dipatahkan. Allah hendak memberitahu yang hari kiamat bukan besar sahaja, tapi keras dan susah. Jangan mereka sangka yang mereka boleh lepas dengan mudah. Mereka akan ditanya tentang apa yang mereka lakukan dan mereka tidak boleh nak lepas.

Di dalam surah-surah sebelum ini telah disebutkan apa yang akan terjadi pada hari yang besar itu. Kalau tadabbur ayat-ayat dari surah-surah itu, maka akan tahulah betapa susahnya keadaan pada hari itu. Kalau mereka dah dengar tentangnya, mereka tidak percayakah lagi? Mereka tidak takutkah lagi? Orang yang yakin akhirat tidak akan buat begini. Tidak berbaloi untung sedikit tapi akan kena susah yang berat di akhirat kelak.


Ayat 6: Apakah hari itu? Allah terangkan lagi. Allah nak suruh kita bayangkan keadaan di hari akhirat itu.

يَومَ يَقومُ النّاسُ لِرَبِّ العالَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The Day when mankind will stand before the Lord of the worlds?

(MALAY)

(iaitu) hari (ketika) manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam?

Hari itu semua manusia akan berdiri untuk mengadap Tuhan sekelian alam. Allah itu adalah Tuhan kepada penjual, pembeli, semuanya sekali. Allah beri peringatakan kepada mereka: mereka tidak takutkah nanti nak kena mengadap Allah? Allah tahu segala apa yang kita lakukan, kecil atau besar. Apa mereka nak jawap nanti kalau ditanya tentang segala perbuatan salah mereka itu?


Ayat 7:

كَلّا إِنَّ كِتابَ الفُجّارِ لَفي سِجّينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

No! Indeed, the record of the wicked is in Sijjeen.

(MALAY)

Sekali-kali jangan curang, kerana sesungguhnya kitab orang yang durhaka tersimpan dalam Sijjin.

Dalam surah sebelum ini telah disebut tentang kitab amalan dan ada malaikat yang menulis kitab amalan itu. Sekarang ditambah maklumat tentang kitab amalan itu. Ini tentang penyimpanan kitab amalan itu pula, untuk memastikan kitab itu selamat. Kalau zaman sekarang, data amat penting, sampaikan data-data dalam server ada backup, ada cara penyimpanan yang terkawal. Kitab amalan itu juga tersimpan rapi dan sekarang Allah beritahu kita tentang di manakah kitab itu disimpan.

Seperti dalam surah-surah sebelum ini, kalimah كَلّا itu ada banyak kegunaannya:

كَلّا – Tidak sepatutnya mereka melakukan sedemikian. Maka berhentilah dari meneruskankan amalan salah mengurangkan timbangan dalam takaran.

كَلّا – Sikap mereka dan perbuatan mereka itu tidak akan menyelamatkan mereka langsung. Jangan mereka sangka yang mereka akan terselamat. Mereka mungkin sangka ianya kecil sahaja dan tidak direkodkan pun. Tapi bila Allah sebut tentang kitab amalan dalam ayat ini, ini hendak menekankan yang semuanya akan direkodkan.

الفُجّارِ itu diambil dari katadasar فجر yang bermaksud ‘koyak’, ‘pecah’ yang juga digunakan oleh fajar (fajar subuh). Fajar itu adalah satu waktu dimana matahari ‘mengoyak’ kegelapan malam. Oleh itu, الفُجّارِ adalah mereka yang ‘mengoyak’ ketaatan Tuhan tanpa takutkan kesan dari Allah. Ini memang jenis yang kurang ajar betul. Mereka jenis yang tidak takut pun buat dosa. Sampaikan ada antara mereka yang berlagak dengan dosa mereka, tidak takut buat kesalahan, tidak takut pun kalau orang lain tahu. Jadi, ini adalah jenis yang paling teruk sekali. Kerana ramai yang buat dosa, tapi mereka malu, tidak tunjukkan kepada orang lain.

Sesungguhnya kitab suratan amal orang-orang jahat (faajir) berada dalam ‘سِجّينٍ’. سِجّينٍ dari perkataan سجن iaitu ‘penjara’. Kitab-kitab mereka diletakkan di dalam tempat yang seperti penjara tapi penjara yang Allah jadikan. Di dalam kitab itu tertulis senarai nama mereka yang ahli neraka, apakah yang telah dilakukan oleh penjahat-penjahat itu dan apakah hukuman yang mereka akan terima. Ada yang kata سِجّينٍ itu terletak jauh di dalam perut bumi.

Jadi, senarai nama mereka telah ada dalam senarai dah. Dan kalau Allah sudah masukkan sebagai ahli neraka, tidak akan dikeluarkan lagi. Inilah perkara paling penting yang Allah hendak sampaikan. Maka kita kena ingat dan kena jaga amalan dan perbuatan kita semasa di dunia. Kerana kalau dah masuk dalam senarai, memang tidak ada harapan lagi. Keluar air mata darah pun tidak akan dikeluarkan.


Ayat 8:

وَما أَدراكَ ما سِجّينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And what can make you know what is sijjeen?

(MALAY)

Tahukah kamu apakah sijjin itu?

Dan apakah jalan yang membolehkan kamu mengetahui apakah سِجّينٍ itu? Allah sedang bercakap dengan orang yang berdosa itu. Mereka ditakutkan dengan penjara yang akan menempatkan mereka. Kamu jangan main-main dengan سِجّينٍ itu, jangan kamu sangka macam penjara dunia sahaja, buku biasa sahaja. Kamu tidak dapat nak bayangkan kerana ianya adalah perkara ghaib. Yang penting, kamu kena takut dengan سِجّينٍ itu.


Ayat 9: Oleh kerana kita takkan tahu bagaimana dan apakah سِجّينٍ itu, maka Allah terangkan.

كِتابٌ مَرقومٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is [their destination1 recorded in] a register inscribed.

  • The lowest depths of Hell.

(MALAY)

(Ialah) kitab yang bertulis.

Ianya adalah buku yang ditulis. مَرقومٌ bermaksud tulisan yang kuat yang tidak boleh dipadam lagi. Dia juga macam disulam atau dipahat pada batu. Kalau dah tulis, bukan boleh dipadam lagi macam kita padam dengan pemadam getah, dengan air dan sebagainya. Ianya sesuatu yang sudah tetap dah. Ianya tidak akan dilupakan dan tidak akan dipadam lagi sampai bila-bila – tunggu masuk neraka sahaja. Di dalamnya tertulis segala perbuatan manusia; manusia senang lupa apa yang mereka telah lakukan, tapi ianya tetap tertulis dalam kitab itu, ia tidak pergi ke mana-mana.

Oleh itu, سِجّينٍ ini mengandungi nama ahli neraka itu dan kedua, mengandungi amalan ahli neraka itu.


Ayat 10:

وَيلٌ يَومَئِذٍ لِلمُكَذِّبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Woe, that Day, to the deniers,

(MALAY)

Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan,

Kecelakaan besar pada hari itu kepada orang-orang yang mendustakan. Mereka telah mendustakan agama. Maksud ‘mendustakan’ itu secara ringkasnya, mereka tidak percaya – mereka kata orang yang sampaikan tentang agama itu berdusta. Ini telah banyak disebut dalam Quran tentang mereka yang mendustakan. Boleh rujuk Infithar:9 dalam dalam surah sebelum ini.


Ayat 11: Apakah yang mereka dustakan?

الَّذينَ يُكَذِّبونَ بِيَومِ الدّينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who deny the Day of Recompense.

(MALAY)

(yaitu) orang-orang yang mendustakan hari pembalasan.

Ini ayat yang lebih kurang sama dengan Infithar:9. Iaitu mereka yang mendustakan hari pembalasan. Maksudnya, mereka tidak percaya yang mereka akan dibangkitkan. Inilah yang menyebabkan mereka tak takut langsung untuk menipu orang lain. Sebab mereka tak percaya bahawa akan ada hari kebangkitan semula dan segala perbuatan mereka akan dinilai. Mereka hanya nampak kehidupan di dunia sahaja dan mereka mahu dunia mereka untung sahaja. Dan kerana pemahaman beginilah yang menyebabkan kehidupan mereka macam itu.

Ayat ini lebih kurang sama dengan Infithar:9 sebelum, tapi tidak ada lafaz بِيَومِ di dalamnya. Jadi ada kelainan sedikit iaitu penekanan kepada Hari Kiamat itu sendiri dalam surah ini. Dalam surah itu, tentang manusia yang mendustakan agama terus – ini secara umum. Tetapi dalam surah ini, Allah hendak menekankan tentang hari kebangkitan semula itu. Inilah yang menyebabkan manusia buat dosa, kerana mereka tidak percaya ada hari kiamat. Dan kerana itulah ayat-ayat Quran berkali-kali mengingatkan tentang hari kiamat itu. Allah ingatkan berkali-kali kerana manusia selalu lupa. Apabila mereka baca Quran, mereka teringat, tapi apabila sibuk dengan dunia, mereka lupa balik sebab dunia yang mereka nampak jelas depan mata mereka. Oleh itu, benda yang manusia selalu lupalah yang Allah ulang dan ulangi lagi.


Ayat 12: Siapa yang menolaknya?

وَما يُكَذِّبُ بِهِ إِلّا كُلُّ مُعتَدٍ أَثيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And none deny it except every sinful transgressor.

(MALAY)

Dan tidak ada yang mendustakan hari pembalasan itu melainkan setiap orang yang melampaui batas lagi berdosa,

Dan tiada yang mendustakannya kecuali tiap-tiap orang yang melampaui batas dan amat derhaka. Jadi ada dua sifat orang itu yang disebut dalam ayat ini: مُعتَدٍ, yang bermaksud ‘melampau’. Iaitu boleh bermaksud mereka melampaui hak-hak orang lain. Mungkin pada pertama kali mereka buat, mereka rasa bersalah kerana berlawanan dengan fitrah manusia, tapi kalau dah lama buat berkali-kali, dah tak rasa apa dah, dah lali. Beginilah yang dilakukan oleh para penzalim – tidak kira samada mereka itu ketua syarikat, ketua negara atau ketua keluarga. Mereka akan bertindak zalim kepada orang bawahan mereka, tidak penuhi hak-hak mereka.

Ia juga boleh bermaksud melampau dari segi akidah. Iaitu tidak menjaga tentang tauhid, ada buat perkara syirik. Ini memang masalah besar kerana kalau akidah ada masalah, dalam kehidupan mereka pun ada masalah juga. Mereka akan jadi orang yang melanggar hukum Allah dan hukum kemanusian. Jadi, kebaikan di dunia, bermula dengan menjaga akidah.

أَثيمٍ: selalunya diterjemahkan sebagai ‘orang yang buat dosa’. Tetapi apakah maksud yang lebih tepat lagi? Ianya adalah mereka yang tak boleh nak buat benda baik. Dia tak rasa selesa nak buat perkara-perkara baik. Ini berbeza dengan orang normal, kerana ada orang yang buat salah, tapi ada juga buat baik. Hati mereka rasa berat untuk buat benda baik. Orang yang jenis أَثيمٍ ini amat teruk, sampai tak mahu buat benda yang baik. Mereka ini tolak Quran langsung. Dan kalau dah jadi أَثيمٍ, maknanya dia dah pekat, dan tetap sebagai seorang yang buat jahat. Jadi, Allah sedang sebut jenis orang yang paling teruk.


Ayat 13: Oleh kerana mereka itu teruk sangat, lihat apa yang mereka sanggup kata.

إِذا تُتلىٰ عَلَيهِ آياتُنا قالَ أَساطيرُ الأَوَّلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

When Our verses are recited to him, he says, “Legends of the former peoples.”

(MALAY)

yang apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, ia berkata: “Itu adalah dongengan orang-orang yang dahulu”

Apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, mereka akan berkata: “ini adalah dongeng orang-orang dahulu kala!”. Mereka kata ayat-ayat itu adalah cerita-cerita dongeng sahaja dan orang tak percaya cerita dongeng. Mereka kata orang bodoh sahaja yang percaya kisah dongeng sebegini. Jadi mereka juga mempermain-mainkan ayat-ayat Allah. Mereka hina ayat-ayat Allah!

تُتلىٰ maksudnya apabila ‘dibacakan’ kepadanya berkali-kali. Allah uji mereka dengan ada orang yang bacakan ayat-ayat Quran kepada mereka, kerana nak tengok mereka terima atau tidak. Maksud ‘dibacakan’ itu adalah: mereka kena dibacakan ayat Quran kerana mereka takkan nak baca sendiri, jadi kena ada orang yang bacakan kepada mereka.

أَساطيرُ dari سطرُ yang bermaksud mitos, lagenda, perkara yang tidak boleh dipercayai. Dan kepada mereka, begitulah Quran. Pada mereka, kisah-kisah dan berita yang disampaikan dalam Quran itu hanya menipu sahaja. Mereka ejek orang-orang yang bacakan Quran kepada mereka sebagai orang bodoh kerana boleh percaya benda macam itu. Lihatlah bagaimana mereka telah teruk sangat. Jarang kita jumpa orang yang macam ini.


Ayat 14: Allah jelaskan kenapa mereka jadi begitu.

كَلّا ۖ بَل ۜ رانَ عَلىٰ قُلوبِهِم ما كانوا يَكسِبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

No! Rather, the stain has covered their hearts of that which they were earning.1

  • i.e., their sins.

(MALAY)

Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka.

كَلّا: apa yang mereka lakukan itu bukanlah kebaikan. Maka berhentilah dari melakukannya lagi.

Kerana perbuatan buruk mereka itu, akan diletakkan رانَ (karat) pada hati mereka. Dan kekotoran karat itu akan tutup hati mereka apabila sudah banyak. Akhirnya sampai hati mereka jadi gelap terus dan tidak boleh terima hidayah. Setiap kali buat dosa, akan ada satu titik hitam. Apabila manusia bertaubat, titik itu akan dihilangkan dan hati kembali bersih. Tapi kalau terus buat lagi, terus jadi hitam, kerana semakin bertambah banyak, sampai mereka tidak nampak kebenaran Quran lagi dah.

Ibnu Jarir, Imam Turmuzi, Imam Nasai, dan Ibnu Majah telah meriwayatkan melalui berbagai jalur dari Muhammad ibnu Ajlan, dari Al-Qa’qa’ ibnu Hakim, dari Abu Saleh, dari Abu Hurairah, dari Nabi Saw. yang telah bersabda:

“إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا أَذْنَبَ ذَنْبًا كَانَتْ نُكْتَةٌ سَوْدَاءُ فِي قَلْبِهِ، فَإِنْ تَابَ مِنْهَا صُقِلَ قَلْبُهُ، وَإِنْ زَادَ زَادَتْ، فَذَلِكَ قَوْلُ اللَّهِ: {كَلا بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ}

Sesungguhnya seorang hamba itu apabila melakukan suatu dosa, maka terjadilah noktah hitam di hatinya; dan apabila ia bertobat darinya, maka noktah itu lenyap dari hatinya dan menjadi cemerlang; dan apabila ia menambah dosanya lagi, maka bertambah pulalah noktahnya. Yang demikian itu disebutkan oleh firman-Nya; “Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka.” (Al-Muthaffifin: 14)

Imam Turmuzi mengatakan bahwa hadis ini kalau tidak hasan, sahih.

Tidaklah ayat-ayat Allah itu mempunyai cacatnya. Bahkan hati mereka telah diselaputi karat dengan sebab perbuatan mereka sampai mereka tidak dapat menerima kebenaran dari Quran. Ini menunjukkan bahawa apabila manusia melakukan dosa, hati mereka akan mempunyai titik hitam. Dan akan bertambah setiap kali membuat dosa. Kalau seorang hamba Allah itu meminta ampun, hatinya akan dicuci bersih, tapi kalau tidak, akan bertambah-tambah lagi titik hitam pada hati itu. Akhirnya apabila hati manusia itu telah menjadi hitam, dia akan melawan arahan Tuhannya.

Tidak berbaloi mereka dikenakan dengan azab ini kalau dibandingkan dengan apa yang mereka dapat. Memang bukan banyak pun mereka dapat kalau mereka tipu orang lain dalam perniagaan. Maka, mereka kena fikirkanlah, apa yang lebih penting – jaga agama atau untuk dapat untung yang sedikit?


Ayat 15:

كَلّا إِنَّهُم عَن رَبِّهِم يَومَئِذٍ لَمَحجوبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

No! Indeed, from their Lord, that Day, they will be partitioned.¹

  • i.e., they will not be able to see Him.

(MALAY)

Sekali-kali tidak, sesungguhnya mereka pada hari itu benar-benar tertutup dari Tuhan mereka.

كَلّا: Jangan lagi mereka berbuat demikian! Jangan kamu sampai jadi begitu, ubahlah sikap kamu.

Mereka pada hari itu akan ditutup dari melihat Tuhan mereka. Ada hijab diantara mereka dan Allah. Kalimah ‘hijab’ adalah penghadang. Kesan dari kesalahan dan dosa yang mereka lakukan, mereka tidak akan dapat melihat Allah di akhirat nanti dan ini adalah azab rohani. Ini adalah kerana mereka tidak layak tengok Allah.

Sebagai manusia, tentu kita hendak melihat Allah, melihat Tuhan yang menjadikan kita dan telah menjaga kita selama hari ini. Kalau kita tidak pernah tengok emak ayah kita kerana kita dari lahir telah diberikan kepada orang lain, tentu teringin nak tengok macam mana rupa emak dan ayah kita, bukan? Apatah lagi kalau Allah yang menjadikan kita? Jadi amat pelik kalau ada manusia tidak teringin nak tengok Allah. Tapi Allah tidak mahu beri orang yang berdosa melihatNya kerana Allah murka kepada mereka. Mereka tidak akan diberikan dengan satu nikmat yang amat besar, iaitu nikmat melihat Allah, Tuhan kita. Jadi, kita kena simpan niat dalam hati kita untuk lihat Allah, dan Allah hanya melihat hambaNya yang di dalam syurga sahaja – maka kena masuk syurga lah dahulu. d

Tapi mereka akan tetap dapat melihat neraka dan segala azab yang akan dikenakan kepada mereka. Sebelum dimasukkan ke dalam neraka, mereka akan ditunjukkan neraka itu kepada mereka – neraka ditarik keluar dan ditunjukkan kepada ahli neraka. Dan apabila neraka itu ditunjukkan kepada mereka, mereka akan terus melihat neraka, mata mereka akan terpaku. Ini adalah sebagai azab rohani.

Ayat ini juga adalah sebagai isyarat dan dalil bahawa orang mukmin akan dapat melihat Allah di hari akhirat nanti. Ini adalah berita gembira kepada orang mukmin. jadi ayat ini adalah ancaman kepada orang kafir dan berita gembira kepada orang mukmin. Ini dikuatkan lagi dengan ayat lain:

وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ ناضِرَةٌ إِلى رَبِّها ناظِرَةٌ

Wajah-wajah (orang-orang mukmim) pada hari itu berseri-seri. Kepada Tuhannyalah mereka melihat. (Al-Qiyamah: 22-23)


Ayat 16: Azab mereka akan diteruskan. Ini adalah azab jasmani pula. Tadi, tidak dapat melihat Allah adalah azab rohani. Kemudian ditunjukkan neraka itu sendiri sebagai azab rohani juga. Sekarang, disebut yang mereka akan dimasukkan ke dalam neraka itu.

ثُمَّ إِنَّهُم لَصالُو الجَحيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then indeed, they will [enter and] burn in Hellfire.

(MALAY)

Kemudian, sesungguhnya mereka benar-benar masuk neraka.

Kemudian mereka akan masuk ke dalam Neraka Jahannam. Kita pun sudah lama tahu yang mereka akan masuk neraka. Akan tetapi, dari segi bahasa yang digunakan dalam ayat ini ada sedikit penerangan tambahan. kalimah yang digunakan adalah صالُو dan ia adalah dalam bentuk isim fa’il. Ia memberi isyarat yang mereka sendiri akan memasukkan diri mereka ke dalam neraka.


Ayat 17:

ثُمَّ يُقالُ هٰذَا الَّذي كُنتُم بِهِ تُكَذِّبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then it will be said [to them], “This is what you used to deny.”

(MALAY)

Kemudian, dikatakan (kepada mereka): “Inilah azab yang dahulu selalu kamu dustakan”.

Kemudian akan dikatakan kepada mereka: inilah dia azab yang kamu dustakan dulu semasa kamu di dunia. Dikatakan hal tersebut kepada mereka dengan nada mengecam, mencemoohkan, menghina dan merendahkan mereka. Dulu semasa di dunia, kamu tidak percaya, sekarang sudah masuk ke dalam, kamu tidak percaya lagi kah? Kata-kata ini adalah sebagai azab rohani. Sudahlah mereka kena seksa dengan azab jasmani, dikatakan lagi kata-kata yang menyakitkan hati. Macam budak nakal kena rotan dengan guru – sambil rotan, sambil kena marah dengan kata-kata menyakitkan hati – sakit punggung kerana dipukul beberapa hari hilanglah, tapi kadang-kadang, sakit hati kena marah dengan guru itu boleh dibawa sampai ke pencen.

Kalimah yang digunakan adalah يُقالُ (dikatakan) iaitu dalam bentuk pasif. Dan digunakan dalam bentuk pasif, kerana Allah telah kata yang ada hijab antara mereka dan Allah. Maknanya, hijab suara sekali. Allah tidak cakap terus kepada mereka.

Oleh itu, lafaz-lafaz ini dan banyak lagi akan dikatakan semasa mereka masuk ke dalam neraka. Mereka diingatkan yang dulu mereka kata kisah tentang neraka itu adalah kisah dongeng sahaja, tipuan sahaja, nah sekarang rasalah.

Penerangan tentang Hari Akhirat dalam surah ini memang keras lebih lagi dari surah-surah sebelum ini. Ini adalah mereka yang sedang disebutkan ini adalah jenis orang yang tidak boleh diharap lagi untuk berubah. Maka diberikan ancaman yang cukup-cukup kepada mereka.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 083: Mutaffifin and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s